BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, January 01, 2010

Permata Kehidupan

~Permata kehidupan, Permata Hati~
Buka Mata Buka hati
Mari Bersama Mari Berlari
Kita mencari Redha Illahi
Usaha ini tidak pernah rugi
Bahkan ini jaminan ke Syurga abadi



Arus kehidupan tidak pernah lokek dari keriuhan dan ketenangan, dari kebathilan mahupun kebenaran. Arus inilah membuatkan manusia dalam dilema memilih jalan. Mengaburi mata antara kaca dan permata. Banyak juga keluhan mahupun kesyukuran yang dipanjatkan dari insan yang bergelar manusia ini semenjak mereka menjadi penghuni terbesar dalam dunia fatamorgana yang penuh onak dan duri. Masing-masing berlumba-lumba melunaskan amanah dunia, ada yang jelas matlamatnya namun ada segelintir yang terpesong pegangannya. Moga Allahlah pantas untuk kita takuti dalam meniti arus kepincangan masa kini. Di manakah kita saat ini? Masih di landasan atau terkeluar dari jalan?

Dewasa ini pelbagai ragam kehidupan yang lahir dari sikap ego manusia sendiri. Masih ada kecacatan andai Islam tidak di jadikan panduan dalam kehidupan. Dan inilah yang berlaku. Diri manusia itu buta andai Allah tidak bertakhta di hatinya. Dirinya tempang andai syarak tidak mengepalai kehidupannya. Jiwanya lemah andai kebathilan yang ditegakkan. Dirinya bisu sekiranya kalimah tauhid La ila ha illallah tidak berdegup dalam setiap nadinya. Mahukah kita bergelar cacat..iaitu cacat akidah..pastinya tidak bukan..Sama-sama kita menyingkap apakah permata kehidupan yang dicari selama ini.

Justeru dalam rangka untuk menggapai kemanisan iman dan Islam secara amnya, seorang muslim itu haruslah mendasari keislamannya dengan dua syahadah. Apakah syahadah itu? Inilah ucapan persaksian yang amat berharga sebagai titik tolak perubahan dalam seluruh aspek kehidupan insan yang melafazkan. Kerana syahadahlah Bilal sanggup berkorban, kerana syahadah inilah Mus’ab bin Umair menyisihkan kekayaan daripada kehidupannya, kerana syahadah inilah Syed Qutb terkorban. Malah menegakkan yang haq itu satu kemestian yang sering kali kita abaikan. Kalimah agung ini terdiri dari syahadat tauhid dan syahadat risalah. Syahadat tauhid adalah pengakuan dan persaksian bahwa “Tiada tuhan selain Allah” dan syahadat risalah adalah persaksian bahawa “Muhammad pesuruh Allah”. Oleh itu inilah yang perlu sama-sama kita renungi,sejauh mana penghayatan kita selaku Muslim. Adakah kita menerimanya hanya sebagai Islam warisan atau Islam dengan sebenar-benarnya?

Lihatlah diri kalian di hadapan cermin, persaksikan diri anda sambil menanyakan”Dari mana aku didatangkan, kenapa aku didatangkan dan ke mana tempat aku kembali?” Justeru fikirkanlah pasti ada Al-Khaliq yang Maha Kuasa disebalik penciptaan agung ini.

"Dialah Allah Yang Menciptakan,Yang Mengadakan,Yang Membentuk rupa"
(Al-Hasyr:24)


Buat apa kita berduka, resah dengan urusan dunia kerana kita masih ada Islam tercinta. Islam itu adalah deen, cara hidup yang pastinya takkan sama selain darinya. Mungkin resah di jiwa tidak kembali tenang kerana kita lupa pergantungan kepada Allah sebaik-baik penyelesaian. Namun masakan akan selesai sesuatu permasalahan seandainya kita hanya menongkat daku, bertawakal secara buta tapi tidak menampakkan usaha. Implikasinya pasti tidak akan ada apa-apa hasil yang boleh di’izzahkan dan digemblengkan.

Persoalkan diri,”Adakah kau lupa wahai diri Islam pernah berjaya,gemilang di serata dunia memayungi 2/3 dunia”. Lupakah kita!!.Tak cukup lagikah bukti untuk kita benar-benar tekadkan niat utk mencari ‘permata kehidupan’. Islamlah landasan untuk kita benar-benar mencapai matlamat hidup iaitu Allahu ghayatuna. Keredhaan-Nya dan rahmah-Nya sahaja yang mampu menyelamatkan diri dari panasnya api neraka.

Dr Aid Bin Abdullah Al-Qarni dalam penulisannya berkata,

”Pandanglah kehidupan dengan pandangan cinta dan optimis,sebab kehidupan adalah hadiah dari Allah untuk seluruh manusia.Usirkanlah semua kesedihan dengan menyebut nama Allah yang bergantung padaNya segala sesuatu dan hindari serta jauhilah hawa nafsu yang melenakan.”

Sesungguhnya kehidupan yang ada sangat berharga. Usah disiakan usia kerana Islam dan Mahabbatullah adalah sebaik-baik permata yang harus dikejari. Kitalah syabab, kitalah rijal islami dan harapan ummah masa kini kerana kekuatan pemuda Islam ibarat permata yang menyinari kegelapan yang menyelubungi masyarakat dewasa ini. Bersedialah wahai diri kerna apabila telah memilih yang haq untuk ditegakkan, pasti akan ada tribulasi yang bertamu tanpa dipinta. Namun bersedialah menerima kritikan yang membina serta pandangan yang bermakna. Semoga hidup ini akan menjadi lebih berharga dan diredhai ALLAH apabila kita saling takmil wa istikmal. Carilah permata yang bermakna sebagai bekalan ke destinasi yang seterusnya. Kutiplah sinar cahaya beserta selawat untuk meniti titian sirat yang pastinya tiada kesempatan untuk disesali andai kandas melintasi hingga terjunam di lembah neraka, Na’uzubillah. Moga syurga destinasi abadi.
Erti Hidup pada memberi, erti hidup dalam mencari Redha Illahi. Mari sama-sama sucikan diri dari noda dosa yang menyakiti hati. Sinar menulis kerana diri ini terasa hina tanpa peringatan Illahi lalu Sinar kongsi agar tulisan-tulisan ini mampu mendekatkan diriku dan dirimu jua

Bertahun-tahun berlalu, sudah pasti tidak terkira kesalahan dan kekurangan diri. Justeru itu, Seinfiniti kemaafan dipohon pada rakan taulan dan teman seperjuangan. Terimalah diri tapi bantulah Sinar pertingkatkan diri. Janganlah kita membenci kerana hidup ini untuk saling menyayangi. Mari mulakan hari ini dengan jiwa yang sarat dengan kecintaan pada Allah Yang Maha Penyayang. Sucikan hati, Jernihkan persepsi.
::Coretan lama yang kusimpan akhirnya kukongsi buat pengilap hati::
::Perkongsian untuk semua pada 01.01.10:: Tahun Baru Datang lagi::
::Salam penuh keazaman, salam penuh ke'izzahan, dan salam penuh kehambaan::

2 comments:

shubhangi said...

Nice post.Great to read.

SEO Company

sinar_islami said...

Thank you shubhangi...
May God be pleased with you...