BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 15, 2012

Catatan Bunda : 10 Minggu usiamu. Alhamdulillah..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Kalimah agung yang mampu diucap oleh hamba lemah seperti saya. Diizinkan Allah bernikah dengan seorang pemuda sudah cukup beerti buat saya. Tidak pernah tergambar wajah sebenar perkahwinan, Alhamdulillah hari demi hari perkahwinan yang dibina kian matang dan yang penting setiap detik merupakan ruang untuk kami cari kebersamaan dan lakukan pembaikan.

Kini perubahan fasa dirasai, diizinkan Allah merasai kebesaranNya dengan diciptakan segumpal daging  dan ditiupkan ruh kedua di dalam jasad sendiri. Allahuakbar. Saya disahkan hamil pada 23 Oktober 2012 dengan usia kandungan 6 minggu 5 hari. Tiada perubahan ketara pada badan saya namun melihat kantung kecil melalui ultrasound membuatkan diri takjub dengan kebesaranNya. Tanpa saya sedari, ada sahaja nikmat yang Allah beri. Ini hadiah termahal buat saya dan suami di awal usia perkahwinan kami. Walaupun pernah melihat hasil ultrasound pesakit-pesakit di hospital, melihat hasil ultrasound sendiri membuatkan diri teruja. Maha Besar Pencipta diri.

Buku tambahan untuk peperiksaan akhir ini.. (^_^)
Doakan saya, cemerlang imtihan, sihat kandungan.
Pada 12 November sebelum berangkat pulang ke Mesir, disempat juga berjumpa Murabbiyah dan ditakdirkan pula jumpa di klinik beliau bertugas. Dapatlah kami melihat 'insan kecil' melalui ultrasound lagi. Usianya sudah 9 minggu. Melihat degupan jantungnya membuat saya dan suami tersenyum dan lafaz Alhamdulillah tidak putus kami ucapkan. Kalau sebelumnya hanya kantung kecil, kini kami dapat melihat jantung dan mendengar degupannya.

Hari ini insyaAllah sudah 10 minggu. Syukur padaNya.

Sungguh fasa menjadi ibu hamil ini sungguh mendebarkan. Pergantungan pada Allah harus 100%. Hanya Allah yang mampu menjaga sepenuhnya tumbesaran bayi di dalam kegelapan rahim. Selaku si ibu, hanya aspek pemakanan dan kesihatan diri yang mampu dipantau. Moga Allah melindungi kami.

"Ya Allah, jagalah anakku di dalam kandunganku. Sihatkanlah dia. Engkau jua penyembuh dan tidak ada penawar melainkan penawarmu. Penawar yang tidak meninggalkan sebarang penyakit. Bentukkan dia dalam rupa yang cantik dan elok, dan keluarkanlah dia dihari kelahirannya dengan mudah dan selamat."

"Ya Allah, jadikan dia sihat, sempurna, cerdik, berakal, alim, bijak, mukmin soleh yang ditumpukan kepada kebaikan juga diizinkan menjadi tetamu di Baintul Haram."

"Ya Allah, indahkan akhlaknya dan fasihkan lidahnya, perindahkan dirinya dengan bacaan ayat Al-Quran dan hadith dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W" Ameen..

0 comments: