BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, August 14, 2013

Aidilfitri 1434H

Assalamualaikum wbt.

Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin Sinar ucapkan kepada semua. Alhamdulillah sudah 7 Syawal. Pantas masa berlalu. Pastinya setiap kali tiba Syawal, sambutannya berbeza. Tahun ini, Allah izinkan saya bersama orang baru lagi. Kalau tahun lepas bersama suami buat pertama kali, tahun ini pula hadir cahaya mata kami berdua. Alhamdulillah Syawal yang indah dengan kehadiran Nuha. Sudah 2 bulan usianya. Doakan Nuha menjadi anak solehah, sihat dan membesar dengan sulaman keimanan. (^_^)

Tahun ini juga saya dapat beraya dengan Ibu, Abah, Ummi, Lek dan adik-beradik serta keluarga belah Ummi. Uniknya tahun ini, keluarga sebelah Ummi mengadakan family day di Peladang Setiu Agro Resort pada raya ketiga dan keempat. Sangat teruja kerana ini pertama kali diadakan dan pelbagai aktiviti menarik dijalankan. Perkumpulan ini bukan sekadar beraya, bahkan sanak saudara mampu meluangkan masa bersama dalam aktiviti yang jarang kami lakukan bersama. Acara sukaneka pastinya menambat hati anak-anak kecil dan tak kurang juga orang dewasa. Acara sukan untuk suami isteri pun ada seperti sambutan kasih sayang dan berkayak. Boleh tahan juga Ummi dan Lek beraksi dalam beberapa acara. Suami juga rupanya pandai berkayak. 


Pada waktu malam pula diadakan barbeque, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Apabila dikenangkan, terliur pula saya. Makanan memang lazat hingga menjilat jari. Alhamdulillah masing-masing beroleh hadiah walaupun bermain bukanlah untuk menang. Dalam acara cabutan bertuah, tidak sangka rezeki saya, suami dan Nuha. Alhamdulillah.. Bertuah dengan izin Allah. 

Alhamdulillah, raya ini berharga kerana dapat meluangkan masa dengan keluarga tersayang. Masa yang ada ini dihargai.

Dalam bergembira terasa sedih pula apabila mendapat khabar Mesir kian berdarah, hati mana tidak resah. Allah.. Allah.. Syawal mereka diuji, sungguh mereka insan terpilih. InsyaAllah mereka yang syahid itu beroleh kemenangan besar di sisi Allah.

Setiap manusia akan diuji.  Syawal ini bulan penerusan ibadah dan ujian akan bermula. Kita di Malaysia ada ujian tersendiri.Walaupun Ramadhan sudah berlalu, namun proses yang dilalui diharapkan masih berbekas di hati kita dan terus dilaksanakan. Selamat beramal dan teruskan berdoa untuk ummat Islam di serata dunia.

0 comments: