BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, May 30, 2013

Catatan Bunda : 38 minggu.. Sabar menantimu


Siku sana, siku sini, pukul sana, pukul sini, tendang sana, tendang sini.. Itulah rencah si kecil yang masih dalam kandungan. Interaksi sihat antara si anak yang masih dalam rahim dengan Bundanya.

Alhamdulillah hari ini genap 38 minggu. Kandungan sudah matang. Hanya menunggu hari untuk si kecil soleh wa musleh ini melihat dunia. Gembira itu semestinya kerana mahu melihat muka insan yang suci dari dosa ini. Terselit kerisauan untuk si kecil menghadapi dunia yang sememangnya banyak cabaran untuk menghidupkan iman. Untuk itu, saya dan suami wajib menjadikan diri kami ibubapa yang soleh dan rabbani untuk dijadikan ikutan dan zuriat kami diberkatiNya. Bertepatan dengan pengisian usrah hari ini tentang keperluan menjadi insan rabbani karangan Dr Majdi Hilaly. Ada 7 semuanya mengapa perlunya menjadi insan Rabbani. 

  1. Untuk mewujudkan kebahagiaan
  2. Untuk mendapatkan perlindungan Allah
  3. Menjamin masa depan anak
  4. Keselarasan dengan fitrah
  5. Mengembalikan ilmu yang hilang
  6. Mendapat pertolongan Allah
  7. Dekat di sisi Allah di akhirat
Saya tersenyum kerana sememangnya kita tak pernah rugi apabila kita mendekati Allah. Aura kebaikan akan terpancar pada orang sekeliling kita. Itulah hikmah menjadi orang Rabbani. Menjadi insan soleh setidaknya memberi tempias pada zuriat dan keluarga kita. Saya sentiasa berharap dan berdoa, Allah tidak pernah lepas mendidik kami sekeluarga untuk terus berada dalam jagaan, rahmat dan pengampunanNya.

38 minggu sudah berlalu.. Akan hadir satu detik mengubah status kami berdua menjadi ayah dan ibu. Alhamdulillah Dia berikan kesabaran untuk menantimu. Moga bertambah juga keberkatan, kesejahteraan, kecintaan dan kesabaran dalam rumahtangga yang telah kami bina. Doakan kebaikan sentiasa mengiringi kami (^_^) Terima kasih atas doa-doa yang tidak putus kalian titipkan. 

Friday, May 10, 2013

Suri Rumah vs Wanita Bekerjaya

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..

Assalamualaikum wbt buat semua khususnya buat para Muslimah yang dihormati lagi di kasihi..

Lihat sahaja tajuk entri kali ini, fokusnya lebih kepada wanita. Kenapa? Kerana wanita sungguh berharga. Mereka perlu dipelihara kejiwaannya, pembangunan rohani, ruhi dan jasmaninya.

Wanita berupaya

Rata-rata wanita hari ini tidak kurang hebatnya di persada dunia. Sudah ramai yang bergelar Profesor, Doktor, Jurutera, Saintis, Atlet negara mahupun peniaga tersohor di seantero dunia. Hinggakan ada kelab wanita yang memperjuangkan hak wanita apatah lagi dalam penglibatan mereka dalam bidang terbuka. Namun istilah suri rumah kurang dipopularkan, bahkan wanita sendiri lebih cenderung memperkasakan diri di bidang akademik tanpa meneliti aspek rumahtangga dan keperluannya. Kemegahan peribadi kini lebih fokus pada nilai akademik, kerjaya dan harta yang mampu dimiliki. Namun kita seringkali terlepas pandang kata-kata orang tua walaupun sinis kedengaran tapi ada hikmah yang perlu diteliti, 'belajar tinggi-tinggi akhirnya ke ceruk dapur jua.' Sudah itu kaca mata Melayu kita (^_^) Kita rai tapi tidak pula meremehkan kepentingan akademik di abad ini. Ibu yang pintar, pantas mendidik anak lebih jauh lagi kerana dialah guru pertama anak-anaknya.



Lelaki dan wanita kedua-duanya ada peranannya tersendiri. Kewujudan Medina dan Mecca atau Mars dan Venus ini tujuannya saling melengkapi. Namun, ada sesuatu yang wanita perlu terokai dan kebanyakan mereka mempunyai kelebihan yang tidak diberi pada lelaki. Banyak kajian mengatakan wanita kuat bermain emosi, kerjanya lebih teliti dan mampu melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa (multitasking). Di situ sahaja Allah beri keupayaan untuk mereka mengandung dan melahirkan. Suatu cabaran yang tidak pernah sama di kalangan wanita dan lelaki tidak pernah merasai. Walaupun ditegah itu ini, akhirnya perempuan juga yang perlu melaksanakan tugasan di rumah mahupun tempat kerja. Tinggallah pesanan, nasihat sekadarnya, wanita kuatkan jiwa laksanakan juga tugasannya.

Suri rumah bidadari rumahnya

Entah mengapa, saya rasa suri rumah itu ibarat sang bidadari. Mungkin kerana dirinya taat setia pada rumah yang dihuni. Berkhidmat tidak kira waktu untuk keselesaan suami dan anak-anak yang dikasihi. Jiwanya ikhlas untuk berkhidmat tanpa gaji. Penatnya kalah orang bekerjaya dan bergaji tinggi. Peluhnya mencurah-curah menjemur pakaian di siang hari. Kadangkala, pergerakannya sudah melebihi 1 kilometer separuh hari. Memasak dengan penuh perisa dan rempah cinta buatan sendiri. Senang kita memerhati tapi hati yang melalui bagaimanalah...Kadangkala tidak dirai namun hatinya tekad berbakti. Namun apabila dirai oleh sang suami, cinta hatinya, penatnya hilang, kasih bersemi, taat suami hingga ke mati (^_^) Subhanallah..  Indah. 

Tambahan pula suri rumahlah antara wanita terpelihara dari fitnah luar serta gangguan lelaki. Kecantikannya, dandanannya hanya untuk suami. Indah... Kalau seoptimis inilah suri rumah yakin diri, pasti beliaulah bidadari bukan di syurga nanti malah sejak di dunia lagi.

Rai mereka, bukan meremehkan,


Apabila suri rumah sudah percaya diri, kini ujian bakal dihadapi dari dunia luar yang tidak pernah akan sunyi mengocak jiwanya yang kadangkala sunyi. Seharusnya insan sekeliling menaikkan martabat mereka kerana mereka sudah bersusah payah untuk menjadikan 'Rumahku syurgaku hingga  syurgamu jua wahai suami.' Inilah cabaran mereka, kadangkala kerja di rumah di pandang remeh. Sedangkan kalau rumah tidak bersapu, bersepah, pakaian tidak dilipat, pinggan mangkuk tidak dibasuh yang salahnya nanti siapa. Wanita juga. Lebih tepat si isteri, si ibu ataupun si nenek. Terbakar jiwa mereka sekiranya merekalah 100% penyebab ketidakkemasan rumah. Di mana peranan suami, ayah dan datuk? Sejukkanlah jiwa mereka..

Ringan-ringankanlah kerja mereka seperti mana Rasulullah saw kita yang tercinta membantu isteri-isterinya dalam urusan rumahtangga. Namun di sisi sang suri rumah tangga, seperti mana Rasulullah saw pernah berpesan pada anaknya Fatimah yang tercinta, perbanyakkan tasbih, tahmid, takbir sebagai sumber kekuatan dalaman. Dunia dalaman menentu dunia luaran bukan. Kuat dalaman, pasti ujian apapun kita mampu hadapinya.


Kalimah suri rumah jika dituturkan sahaja rasa tidak bergaya dan tidak cool pada sesetengah telinga. Membuatkan diri suri rumah kadangkala goyah dan mahu menukar rasa. Ada yang berpendapat, mereka hanya terperangkap di dalam rumah dan tidak mengetahui isu semasa. Maka suri rumah dianggap ala golongan kelas ketiga. Namun ketahuilah dengan dunia tanpa sempadan dan ruang terbuka dek internet yang berpanjangan, isu semasa dan ilmu dunia hanya dihujung jari untuk diteroka. Kadangla mereka lebih mempunyai masa untuk menganalisa apa yang ada dari kita yang mungkin bekerjaya, lagak orang tahu segalanya tapi hanya pandai berkata-kata. (^_<)


Cabaran wanita bekerjaya.

Tidak lama lagi dengan izinNya saya pula melangkah ke alam serba asing ini. Ada kelebihan dan kekurangan yang perlu difikirkan, dibincangkan dan diatasi bersama suami tercinta. Inilah cabaran dan bukan masalah yang perlu dibesarkan. Hehe, enak sedikit menyebut cabaran dari masalah terus negatif sahaja tanggapan minda kita.

Cabarannya pasti ada, kerana waktu banyak dihabiskan di tempat kerja sudah pasti urusan rumahtangga terbatas untuk dilaksanakan. Perhatian terhadap suami dan anak-anak tidak seperti sang suri rumah mampu berikan. Urusan mengemas rumah, makan-minum, pakaian juga tidak boleh dibiarkan sahaja walaupun sibuk bekerjaya.

Bekerjaya tapi rumah tidak dilupa.

'Seenak-enak'  saya di rumah ketika ini, paling tidak mahu rumah yang kemas, selesa dan sedap mata memandang. Maklumlah rumah itu tempat kita mencari damai dan suami juga setelah penat bekerja sudah pasti mahu lekas pulang jika rumah itu ibarat syurga bukan? Sejak bujang, memang kita sendiri serabut kepala kalau bilik yang kita huni tidak sedap dipandang mata, tetamu hadir pun segan kita dibuatnya dan kalau mahu belajar pasti tidak tentu arah juga.

Maka apabila sudah bekerjaya, rumah juga perlu diusahakan untuk sekemas yang boleh. Susun atur rumah yang ringkas, perabot yang tidak keterlaluan, barang-barang sekadarnya sahaja dan stor yang tersusun insyaAllah membantu. 

Untuk mengekalkan kekemasan, ada yang mengambil inisiatif dengan mengajikan pembantu rumah dan tak kurang juga yang hanya menggunakan khidmat pengemas rumah di hujung minggu. Kalau mahu berdikari, memang kita perlu ada sistem mengemas rumah sendiri, sediakan bakul baju yang sudah dipakai, tempat jemur baju di dalam rumah, jadual memasak, jadual menseterika baju. Padat.. padat (^_^) Harus superduper dalam urusan rumahtangga. Segalanya mungkin jika ada 'support system' yang baik.

Wah.. Panjang pula. Maafkan saya andai tulisan saya ini berjela-jela. Begitulah jadinya apabila mencoret ikut kehendak hati dan rasa. Moga Allah ampunkan kekurangan saya dan menguatkan saya menjadi isteri, bakal ibu dan dalam kerjaya. (^_^)

Thursday, May 09, 2013

Catatan Bunda : 35 minggu usiamu...


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Syukur pada Allah pemberi segala nikmat dan kurnia. Hari Khamis tiba lagi. (^_^) Sungguh ceria menyambutnya. Seperti kebiasaan, hari ini pasti ramai yang berpuasa. Namun hari ini saya rehat sebentar kerana peristiwa semalam. Pada yang berpuasa, selit-selitkanlah doa untuk Sinar dan bayi. InsyaAllah makbul doa kalian.

Hari Khamis juga bermakna hari genapnya usia minggu kandungan. Kini 35 minggu sudah usianya. Kesemua sistem tubuhnya sudah terbentuk sempurna, walaupun paru-paru masih belum matang sepenuhnya, insyaAllah keadaannya baik-baik sahaja. Bayi saya juga sudah pandai berinteraksi dengan suara-suara yang dikenali, terutamanya saya dan suami. Pasti sahaja bayi kami akan bergerak dengan suka hati. Selain itu juga, apabila saya menghampiri objek panas contohnya ketika meng 'iron' baju dan  saya talakan lampu ke perut, pasti bayi kami akan bergerak juga :) Tidak selesa barangkali dan Alhamdulillah petanda derianya sensitif dan berfungsi dengan baik.

Kalau sudah 35 minggu, kira-kira dalam 3-5 minggu sahaja lagi bayi ini akan melihat dunia. Doakan beliau keluar dengan selamat  pada waktu yang sudah Allah tetapkan. Gementar juga.

Justeru persiapan perlu saya lakukan seadanya untuk menyambut bayi kami yang pertama.

Kelengkapan ke hospital

Selagi masih punya tenaga, saya harus menggunakan masa yang ada sebaiknya. Alhamdulillah, beg saya dan bayi sudah dalam proses. Keluarga dan kawan-kawan juga turut menyumbang untuk menyambut kelahirannya. Ada yang memberi baju, swaddling blanket, kain barut, tilam, bantal dan bermacam-macam lagi.



Alhamdulillah bakal dimanfaatkan. Senarai sudah saya lakukan untuk bawa kelengkapan di hospital nanti. Antara barang yang perlu saya siapkan ialah,
  1. 3 pasang baju bayi (sudah)
  2. 2 swaddling blanket bercorak dan 1 kain bedung putih buatan Ummi (sudah)
  3. Tuala badan dan muka (sudah)
  4. Diapers
  5. 1 kain barut perut bayi buatan Ummi (sudah)
  6. Cotton wool (sudah)
  7. Baby wipers (sudah)
  8. Minyak yuyi atau seangkatan dengannya (sudah)
  9. Set mandian Johnson's (sudah)
  10. Penyikat rambut bayi (sudah)
  11. Nasal aspirator (sudah)
  12. 2 set stokin kaki dan tangan bayi (sudah)
Kelengkapan saya pula ialah,
  1. 2 pasang baju berbutang depan (50%)
  2. 2 helai tudung (50%)
  3. Pakaian dalam sesuai untuk menyusu (sudah)
  4. Tuala mandi
  5. Tuala wanita
  6. 2 helai Kain batik (sudah)
  7. 2 helai stokin kaki (50%)
  8. Selipar dan kasut
  9. Kelengkapan kendiri (Bedak, pewangi, penyikat rambut)
  10. Syampoo dan sabun
  11. Ubat dan minyak urut
  12. Makanan (Roti dan biskut)
  13. Minuman (Air zam-zam) dan termos panas
Debaran si ibu mengandung ada dua.

Pertama, siapa tak berdebarkan? Lagi-lagi perkara yang pertama kali bakal kita hadapi.. Apatah lagi inilah pertama kali saya mengandung dan bakal melahirkan. Pelbagai cerita dan pengalaman yang telah saya dengar. Apapun, saya doakan Allah ringankan sakit saya, pimpin saya untuk ingatiNya, terus kuat dan bertenaga, mampu menjaga mulut dan akhlak serta terus menerus zikrullah walaupun sakitnya hanya Allah dan ibu itu saja yang merasa dan selamat semuanya. Ameen..

Debaran kedua pula adalah tentang urusan kerja, Alhamdulillah surat pelantikan sudah pun dalam genggaman. Sedang menanti surat panggilan untuk bekerja pula. Sempat atau tidak? Boleh tangguh atau tidak? Masih persoalan. Kemungkinan besar, bayi ini keluar melihat dunia dahulu, berehatlah Sinar jawabnya buat sementara waktu. Wallahu'alam. Hanya Allah yang tahu, jika terpaksa kerja dalam waktu terdekat, Allah sahaja mampu menguatkan saya dan pelihara kami berdua. Bagus juga, kalau mahu beranak, saya sudah berada di tempat sepatutnya. Disebabkan saya anemia (kod hijau), beranak di klinik kesihatan dan rumah memang tidak dibenarkan. Hospital memang menjadi pilihan untuk saya yang berkod hijau di buku rekod ibu hamil.

Saya doa semuanya selamat dan pastinya Allah sudah aturkan penyusunan yang terbaik.

Monday, May 06, 2013

Pasca PRU13 : 3 rasa dalam diri


Gembira, Sedih, Risau.. Mungkin itulah yang kita rasai di pagi ini dan untuk saya sudah pasti 3 rasa yang sedang bermain dalam diri..

Beberapa hari yang lalu ibarat persiapan Hari Raya, jalan sesak di kampung mahupun bandar tercinta. Seronok tak terkata. Yang tua hingga yang muda, jelas keterujaan mereka. Bendera berkibar tidak kira parti mana. Hijau, biru, putih dan merah semua ada. Meriah sungguh Malaysia tercinta.

Semalam berlalu sudah pilihanraya. Akhirnya keputusan sudah tersedia, kerajaan lama terus kekal tersedia. Maka, 5 tahun entah apa cabarannya. Kemajuan dan  pembangunan yang bagaimana mahu dibawa? Semua menjadi tanda tanya. Pastinya keimanan, ketakwaan wajib ditingkatkan untuk tempuh ujian daripadaNya.

Gembira kerana ini kalilah usaha tidak sia-sia, ada peningkatan untuk kita raikan walaupun kerajaan lama terus kekal di posisi sama. Ini kalilah juga untuk kita terus lipatgandakan usaha. Allah mahu kita muhasabah dan terus bekerja. Perbetulkan niat berpolitik, dakwah dan bersilaturahim tak kira bangsa dan agama. Allah beri peluang untuk kita kaji kelemahan dan perbaikinya, mungkin ada hak Allah, Rasul yang belum kita jelas tentangnya, hak keluarga yang belum kita sedari dan hak masyarakat yang belum kita lunasi. Perbaiki dan perbaiki. Tentu Allah menolong setiap langkah kita perbaiki diri. Yakin perubahan itu ada walaupun selambat kura-kura menuju destinasi, hakikatnya kura-kura menang kerana dia terus usaha atasi kelemahan diri dan jernih hati.

Sedih kerana diri masih banyak kelemahan dan tidak pasti masihkah diri berpeluang merasai PRU 14 nanti. Menjadi pengundi buat pertama kali, sungguh itulah yang didambakan hati. 5 tahun nanti pastinya sudah tertulis apa yang terjadi. Sedih ini insyaAllah bakal diubati sekiranya Allah terus mendidik diri menjadi insan yang lebih bertakwa dan tidak takut mati malah sedia melakukan perubahan untuk Islam kekal di bumi. 'Ya Allah pilihlah kami menjadi insan yang Engkau redhai.' Ameen..

Entah kenapa Risau sungguh dengan janji-janji yang ditaburi, tidak kira di pihak kerajaan mahupun yang dikatakan pembangkang kini. Janji senang dituturi tapi sukar ditepati, apatah lagi senang dimanipulasi oleh manusia yang lemah dan cinta duniawi. Moga Allah sedarkan pemimpin yang dipilih rakyat agar lebih takut dengan azab melantun bicara tanpa memikir isinya kerana neraka itu jelas bukan membakar kulit tapi hingga ke isi malah tulang sekali. Selamat berkhidmat dengan hati yang suci. Amanah itu jangan para YB khianati, nanti kelak azab menanti.

Majulah.. majulah.. langkah tak pernah berhenti. Positif itu ubat.. kerana Allah sentiasa mendidik diri bahawasanya Dia Maha Berkuasa atas segalanya yang belum kita miliki.