BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
Showing posts with label Catatan Bunda. Show all posts
Showing posts with label Catatan Bunda. Show all posts

Sunday, February 14, 2016

Air Mata Bunda

Air mata Bunda

Anak di mata Bunda, ibarat permata. 
Pasti ada air mata yang mengiringi pembentukannya

Air mata tawa

Teringat pertama kali mendapat cahaya mata, gembira tak terkata hingga air mata kesyukuran mengalir tanpa sengaja. Melihat redup mata Papa, kesakitan dan kepahitan dari komplikasi bersalin biasa yang ditakdirkan terasa ringan, walaupun masih ada kesan di hati dan fizikal ini.

Air mata panahan kasih

Mengharungi detik-detik pantang pertama, berambu air mata, Nuha yang tercinta asyik menangis hingga terpaksa berjaga malam, Bunda pula masih lagi trauma dan untuk bertukar posisi sungguh payah sekali. Setiap kali terjaga, perlu bergerak mendekati si kecil, menangis Bunda terasa tidak berdaya, tapi digagahkan jua melihat dirimu lagi tak berupaya, malah tidak tahu apa apa. Papa memberi semangat, hinggalah satu ketika barulah tahu helah si kecil, awalnya kami tempatkan di katil berbeza, mana tidaknya menangis. Justeru tahulah kami tidur mahu ditemani rapat, mahu kehangatan Bunda dan Papa.

Anak kedua, alhamdulillah.. Si kecil tidak banyak ragamnya cuma kisah masih milik Nuha. Nuha terbukti tahu statusnya, sudah pandai beradik-adik, tahu cakna dan pandai bawa diri. Cabarannya Nuha pula yang meragam apabila tiba waktu malam atau mengantuk. Dia sudah biasa disusukan dan dimanjakan, kini Bunda pula beralih perhatian. Susu badan sudah pastinya tidak boleh diberikan, hak adik bertukar tangan. Sedih Bunda apabila Nuha tak putus putus merengek minta disusukan, menangisnya Nuha bukan kepalang, hinggalah Bunda akhirnya menangis dan terpaksa mengeraskan hati, aduh pedihnya hanya Bunda yang tahu..

Air mata kecewa

Melihat Nuha membesar, banyak yang kami belajar, Allah banyak membentukmu menjadi anak cerdas dan cergas serta mendidik kami untuk lebih sabar dan perbaiki seni keibubapaan.

Diawalnya Nuha tidak banyak kerenah, senang mengikut kata, tidak mudah 'tantrum'. Beranjak usia setahun setengah, Nuha sudah pandai merajuk dan menunjukkan ketidaksetujuan. Apabila dimuhasabah, terlepas juga suara tinggi kepadanya. Terasa sungguh kebodohan orang tua. Bukan sengaja, apabila penat bercampur kecewa itulah yang terjadi. Kenapa kecewa, kerana mengharapkan anak menjadi begini dan begini, apabila tidak seperti diharapkan mulalah kita terasa hati, terlepas dengan suara tinggi, si anak di marahi. Sebaik sahaja terlepas suara tinggi, Bunda pula menangis sekuat hati, kecewa dengan diri sendiri kerana berasa hati dengan anak kecil sendiri, dan gagal mengawal diri untuk membentuk anak yang diharapkan. Justeru setiap kali, saya berusaha mendidik diri untuk terlebih menjadi apa yang diharapkan sebelum mengharapkan anak menjadi sebegitu dan sebegitu.

Air mata keinsafan

Menjadi Bunda, bukanlah senang.. Dengan tugas terhadap masyarakat bukan sekali dua Bunda terasa anak Bunda terkena tempiasnya. Kurang masa bersama, kurang pehatian dan kurang kasih sayang. Tiada yang faham melainkan dirimu wahai anak yang merasai. Dirimu sudah banyak berkorban kerana berorang tuakan kami pegawai perubatan.  Justeru Bunda sungguh terasa jika tidak mampu mengembirakanmu dengan keterbatasan waktu. Disebabkan itu, tangisanmu sebolehnya tidak mahu Bunda dengari, biarlah tawamu mengubat lelah diri. Mendengar suara lunakmu mengatakan ' Sayangggg Bunda, sayanggg Papa' sudah cukup membuatkan kami lega, kerana kehadiran kami ada juga bekas di hatimu.. Setidaknya kasih sayang kami mengalir padamu. 

Monday, June 29, 2015

29 Jun; Hari Bapaku dan Anakku, dalam sejarah!

...Allah is alwayz with us...

Allah tidak pernah meninggalkan kita walau sesaat. Begitulah.. Dia Pencipta dan penuh kesempurnaan. Alhamdulillah dengan berkat dan ihsannya jua dapatlah saya menempuh kandungan kedua ini yang sudah berusia 39 minggu hari ini.

29 Jun bukanlah calang-calang hari. Hari ini pada tahun 1961 lahirlah walidku, tanpa beliau mustahil wujudnya saya. Sanah helwah ya abi, ya walidi, ya ra-iisi, ya habibi... Alhamdulillah, bertemu ummi, dengan izinNya lahir pula saya ke ardullah ini.

Hari ini 29 Jun, saya pula bakal menjalani pembedahan untuk melahirkan anak kedua. Sudah pun berada di hospital, menanti giliran dioperasi . InsyaAllah giliran yang ketiga. Subhanallah berdebar tak usah di kata. Bercampur baur perasaan. Cuma satu diharapkan, Allah memudahkan urusan saya, mengampunkan dosa-dosa saya, memudahkan urusan doktor dan mengampunkan dosanya juga. Moga moga rahmatNya mencucuri proses kelahiran nanti 😂 tersangat berharap dijauhkan dari sebarang komplikasi.

Justeru di saat-saat akhir ini. Saya, ingin memohon jutaan maaf pada mereka yang mengenali, terguris hati samada sedar atau tanpa saya sedari. Maafkanlah jiwa yang lemah ini. Doakan keselamatan saya dan bayi yang bakal dilahirkan ini. Doakan kami selamat dan kami suami isteri terus diberi petunjuk untuk mendidik anak-anak kami dengan cahaya Illahi. Mohon ya doakan kebaikan dan kebahagian dunia akhirat kami☺️ Uhibbukumfillah

Salam sayang dari PRIBA, HSNZ 🌷

Thursday, May 09, 2013

Catatan Bunda : 35 minggu usiamu...


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Syukur pada Allah pemberi segala nikmat dan kurnia. Hari Khamis tiba lagi. (^_^) Sungguh ceria menyambutnya. Seperti kebiasaan, hari ini pasti ramai yang berpuasa. Namun hari ini saya rehat sebentar kerana peristiwa semalam. Pada yang berpuasa, selit-selitkanlah doa untuk Sinar dan bayi. InsyaAllah makbul doa kalian.

Hari Khamis juga bermakna hari genapnya usia minggu kandungan. Kini 35 minggu sudah usianya. Kesemua sistem tubuhnya sudah terbentuk sempurna, walaupun paru-paru masih belum matang sepenuhnya, insyaAllah keadaannya baik-baik sahaja. Bayi saya juga sudah pandai berinteraksi dengan suara-suara yang dikenali, terutamanya saya dan suami. Pasti sahaja bayi kami akan bergerak dengan suka hati. Selain itu juga, apabila saya menghampiri objek panas contohnya ketika meng 'iron' baju dan  saya talakan lampu ke perut, pasti bayi kami akan bergerak juga :) Tidak selesa barangkali dan Alhamdulillah petanda derianya sensitif dan berfungsi dengan baik.

Kalau sudah 35 minggu, kira-kira dalam 3-5 minggu sahaja lagi bayi ini akan melihat dunia. Doakan beliau keluar dengan selamat  pada waktu yang sudah Allah tetapkan. Gementar juga.

Justeru persiapan perlu saya lakukan seadanya untuk menyambut bayi kami yang pertama.

Kelengkapan ke hospital

Selagi masih punya tenaga, saya harus menggunakan masa yang ada sebaiknya. Alhamdulillah, beg saya dan bayi sudah dalam proses. Keluarga dan kawan-kawan juga turut menyumbang untuk menyambut kelahirannya. Ada yang memberi baju, swaddling blanket, kain barut, tilam, bantal dan bermacam-macam lagi.



Alhamdulillah bakal dimanfaatkan. Senarai sudah saya lakukan untuk bawa kelengkapan di hospital nanti. Antara barang yang perlu saya siapkan ialah,
  1. 3 pasang baju bayi (sudah)
  2. 2 swaddling blanket bercorak dan 1 kain bedung putih buatan Ummi (sudah)
  3. Tuala badan dan muka (sudah)
  4. Diapers
  5. 1 kain barut perut bayi buatan Ummi (sudah)
  6. Cotton wool (sudah)
  7. Baby wipers (sudah)
  8. Minyak yuyi atau seangkatan dengannya (sudah)
  9. Set mandian Johnson's (sudah)
  10. Penyikat rambut bayi (sudah)
  11. Nasal aspirator (sudah)
  12. 2 set stokin kaki dan tangan bayi (sudah)
Kelengkapan saya pula ialah,
  1. 2 pasang baju berbutang depan (50%)
  2. 2 helai tudung (50%)
  3. Pakaian dalam sesuai untuk menyusu (sudah)
  4. Tuala mandi
  5. Tuala wanita
  6. 2 helai Kain batik (sudah)
  7. 2 helai stokin kaki (50%)
  8. Selipar dan kasut
  9. Kelengkapan kendiri (Bedak, pewangi, penyikat rambut)
  10. Syampoo dan sabun
  11. Ubat dan minyak urut
  12. Makanan (Roti dan biskut)
  13. Minuman (Air zam-zam) dan termos panas
Debaran si ibu mengandung ada dua.

Pertama, siapa tak berdebarkan? Lagi-lagi perkara yang pertama kali bakal kita hadapi.. Apatah lagi inilah pertama kali saya mengandung dan bakal melahirkan. Pelbagai cerita dan pengalaman yang telah saya dengar. Apapun, saya doakan Allah ringankan sakit saya, pimpin saya untuk ingatiNya, terus kuat dan bertenaga, mampu menjaga mulut dan akhlak serta terus menerus zikrullah walaupun sakitnya hanya Allah dan ibu itu saja yang merasa dan selamat semuanya. Ameen..

Debaran kedua pula adalah tentang urusan kerja, Alhamdulillah surat pelantikan sudah pun dalam genggaman. Sedang menanti surat panggilan untuk bekerja pula. Sempat atau tidak? Boleh tangguh atau tidak? Masih persoalan. Kemungkinan besar, bayi ini keluar melihat dunia dahulu, berehatlah Sinar jawabnya buat sementara waktu. Wallahu'alam. Hanya Allah yang tahu, jika terpaksa kerja dalam waktu terdekat, Allah sahaja mampu menguatkan saya dan pelihara kami berdua. Bagus juga, kalau mahu beranak, saya sudah berada di tempat sepatutnya. Disebabkan saya anemia (kod hijau), beranak di klinik kesihatan dan rumah memang tidak dibenarkan. Hospital memang menjadi pilihan untuk saya yang berkod hijau di buku rekod ibu hamil.

Saya doa semuanya selamat dan pastinya Allah sudah aturkan penyusunan yang terbaik.

Thursday, April 11, 2013

Catatan Bunda : 31 minggu usiamu


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah...

Hari ini genaplah kandungan 31 minggu. Keluarga dan mereka di sekeliling sudah mula menegur kandungan yang kian membesar. Yang dulunya tidak perasan Sinar mengandung, kini sudah mula perasan. Biasalah, tak lama lagi akan menginjak 8 bulan usia kandungan. Sekejap pula rasanya masa berlalu. Apapun diri ini sentiasa doakan bayi sihat dan selamat dilahirkan.

Makin lama, makin aktif 'si kecil comel' ini. Alhamdulillah.. Agaknya beliau tidak sabar mahu berjalan, tadabbur dan beramal di dunia yang Allah cipta. Ralit juga melihat 'si kecil' bergerak dan menendang. Subhanallah.. menabjubkan perasaan ini, tambah lagi apabila Papanya ada di sisi. Bertambah aktif jadinya.

Semalam selesai temuduga di Pusat Temuduga SPA di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur. Alhamdulillah lulus. Rasa lucu juga pergi temuduga dalam keadaan mengandung ini. Orang lain 'slim', kita pula boyot kata orang kebanyakan. Whatever.. :) Yang penting bayi sihat dan membesar dengan baik. Itupun tidaklah seboyot orang lain kata Jururawat. Hehe.. Ye ye je kan.. Jururawat pun lega semenjak dua minggu ini, hemoglobin saya sudah normal (11gm%) dan berat badan pun meningkat dengan baik. Kalau tidak, pasti akan ada sahaja nasihat demi nasihat. Risau mereka. Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan suami dan keluarga tercinta dengan sikap ambil berat mereka, saya bertambah sihat dan bertenaga. Sinar doakan, keadaan akan lebih baik, terus sihat hingga ke akhirnya

Hari ini pula, Ummi saya bersemangat menjahit kain bedung dan barut perut untuk baby. Untungkan kalau pandai menjahit boleh tinggalkan kenangan untuk orang tersayang... InsyaAllah, kenalah siapkan barang sedikit demi sedikit untuk menyambut bayi.


Nampaknya kena perbaharui senarai barang untuk menyambut kedatangannya. (^_^) Doakan kami ya..

Thursday, January 24, 2013

Catatan Bunda : 20 minggu - Kenangan 12 Rabiulawal 1434H


اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين

Selawat dan salam buat junjungan besar yang kita cintai Nabi Muhammad S.A.W. Syukur pada Allah masih diizinkan menghirup udara baru di hari baru.

Hari ini 24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiulawal 1434 H..


Maulidurasul takkan dilupa

Tidak dilupakan tarikh ini dari ingatan ummat Islam khususnya. Yang pasti menjelang 12 Rabiulawal kita seharusnya muhasabah kembali sejauh mana pengamatan dan sunnah yang baginda tinggalkan untuk kita amalkan. Di hari inilah titik tolak untuk kita perbanyakkan selawat kepada baginda.


Genap setahun hijri perkahwinanku

Pantas sungguh masa berlalu. Akad nikah 4 Februari 2012 bersamaan 11 Rabiulawal (Malaysia) atau 12 Rabiulawal (Mesir). Justeru setahun sudah perkahwinan kami mengikut bulan Islam. Allah.. Allah..Gembira dan sebak juga. Kerana perkahwinan jarak jauh, sungguh saya tak menyangka setahun sudah usia ikatan ini. Masih banyak yang perlu kami lalui dan fasa baru yang bakal kami tempuhi.

Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Walaupun kenduri sebelah lelaki belum sempat dijalankan kerana jarak dan waktu memisahkan, saya bersyukur majlis akad dan kenduri saya sudah pun selamat berlangsung setahun yang lalu dihadiri oleh keluarga besar, kenalan Ummi, Lek dan sebahagian besar adalah sahabat ketika saya kecil hingga universiti. Semalam melihat semula gambar yang ada, terdetik di hati, moga Allah berkati mereka ini. Saya mampu tersenyum mengingati doa-doa mereka di hari perkahwinan kami. Sungguh mereka antara orang soleh yang menyejukkan majlis saya. Hanya Allah yang tahu perasaan sebenar saya, disebalik setiap persiapan majlis ini. Alhamdulillah makin hari saya makin merasakan keluarga suami juga sebahagian daripada saya. Sudah pasti kalau berlangsung sahaja kenduri nanti, saya masih berbadan dua, dengan 'si comel' bermain di alamnya.


Genap 20 Minggu kandunganku

Hari ini genap juga usia 20 minggu 'si kecil comel' kami. Lagi 20 minggu untuk saya tempuhi. Alhamdulillah dengan rahmat Allah, segalanya dipermudahkan. Baby juga sangat baik pada Bundanya. Bunda sayanggg Baby! Baby pun sudah aktif dan sudah pandai beraksi. Alhamdulillah saya sudah merasa sebahagian pergerakannya ketika usianya 19 minggu (17 Jan) sebaik sahaja Papa pulang semula ke Malaysia. Kesian Papa kan? Hehe.. Makin lama makin aktif. Bunda doakan sihat dan ceria selalu anakku.

Gembira dan syukur tak terkata. Semoga Allah pelihara anak yang saya kandungkan dengan sifat rahmatNya. Seorang bakal ibu pastinya mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Anaknya sihat sempurna, baik akhlaknya, teguh pegangan agamanya, lembut bicaranya, teralun Al-Quran dan Hadith di lisannya serta sejuk dipandang oleh manusia amnya.

Bunda doakan agar Allah berkatimu anakku.. Dikuatkan menghadapi seribu macam ujian di dunia kelak. Moga kita bertemu di hari kelahiranmu ditemani Papa di sisi kita. Ameen.

Thursday, November 15, 2012

Catatan Bunda : 10 Minggu usiamu. Alhamdulillah..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Kalimah agung yang mampu diucap oleh hamba lemah seperti saya. Diizinkan Allah bernikah dengan seorang pemuda sudah cukup beerti buat saya. Tidak pernah tergambar wajah sebenar perkahwinan, Alhamdulillah hari demi hari perkahwinan yang dibina kian matang dan yang penting setiap detik merupakan ruang untuk kami cari kebersamaan dan lakukan pembaikan.

Kini perubahan fasa dirasai, diizinkan Allah merasai kebesaranNya dengan diciptakan segumpal daging  dan ditiupkan ruh kedua di dalam jasad sendiri. Allahuakbar. Saya disahkan hamil pada 23 Oktober 2012 dengan usia kandungan 6 minggu 5 hari. Tiada perubahan ketara pada badan saya namun melihat kantung kecil melalui ultrasound membuatkan diri takjub dengan kebesaranNya. Tanpa saya sedari, ada sahaja nikmat yang Allah beri. Ini hadiah termahal buat saya dan suami di awal usia perkahwinan kami. Walaupun pernah melihat hasil ultrasound pesakit-pesakit di hospital, melihat hasil ultrasound sendiri membuatkan diri teruja. Maha Besar Pencipta diri.

Buku tambahan untuk peperiksaan akhir ini.. (^_^)
Doakan saya, cemerlang imtihan, sihat kandungan.
Pada 12 November sebelum berangkat pulang ke Mesir, disempat juga berjumpa Murabbiyah dan ditakdirkan pula jumpa di klinik beliau bertugas. Dapatlah kami melihat 'insan kecil' melalui ultrasound lagi. Usianya sudah 9 minggu. Melihat degupan jantungnya membuat saya dan suami tersenyum dan lafaz Alhamdulillah tidak putus kami ucapkan. Kalau sebelumnya hanya kantung kecil, kini kami dapat melihat jantung dan mendengar degupannya.

Hari ini insyaAllah sudah 10 minggu. Syukur padaNya.

Sungguh fasa menjadi ibu hamil ini sungguh mendebarkan. Pergantungan pada Allah harus 100%. Hanya Allah yang mampu menjaga sepenuhnya tumbesaran bayi di dalam kegelapan rahim. Selaku si ibu, hanya aspek pemakanan dan kesihatan diri yang mampu dipantau. Moga Allah melindungi kami.

"Ya Allah, jagalah anakku di dalam kandunganku. Sihatkanlah dia. Engkau jua penyembuh dan tidak ada penawar melainkan penawarmu. Penawar yang tidak meninggalkan sebarang penyakit. Bentukkan dia dalam rupa yang cantik dan elok, dan keluarkanlah dia dihari kelahirannya dengan mudah dan selamat."

"Ya Allah, jadikan dia sihat, sempurna, cerdik, berakal, alim, bijak, mukmin soleh yang ditumpukan kepada kebaikan juga diizinkan menjadi tetamu di Baintul Haram."

"Ya Allah, indahkan akhlaknya dan fasihkan lidahnya, perindahkan dirinya dengan bacaan ayat Al-Quran dan hadith dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W" Ameen..