BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
Showing posts with label Catatan Dr. Show all posts
Showing posts with label Catatan Dr. Show all posts

Sunday, February 14, 2016

Housemenship zaman kita semua

...Allah is alwayz with us...



Dr : Housemenship zaman kita semua. 

Zaman lalu kalau dikenang, memang ada masam manisnya. Namun Alhamdulillah mampu mengurut dada, melepas lelah sebatuk dua sambil mengesat air mata kerana berjaya melalui zaman itu. Antara zaman kritikal dalam mengejar cita-cita adalah zaman bergelar houseman. Fuh.. Jangan dikata, nak menangis sepanjang masa tapi kena la tunjuk kuat juga 😝 

Apa yang kita rasa, kadangkala tak semua mampu diluah. Yang negatif terutamanya.. Biarlah disimpan sebanyak mungkin. Kalau dikongsi jadi aura negatif la pula. Habis yang asalnya  gembira dan semangat jadi down, sedih dan bermuram duja.

Apapun untuk 'survive' ada beberapa tips untuk mengurangkan stress di zaman ho ini. Jangan kata tidak stress.. Memang stress ye.. 😂 

1. Pilih kediaman yang kondusif 
- rumah/bilik sewa kena kemas
- baju kena basuh dan lipat , angan tangguh lebih dari 2 hari. Hari-hari basuh lagi baik. Kuman hospital ni boleh tahan aggrasivenya.
- balik kerja penat, biarlah pemandangan dalam rumah itu bertepatan dengan pepatah rumahku syurgaku. Allah kan suka bersih.

2. Pilih ahli rumah yang positif atau tinggal dengan keluarga yang memahami
- mampu membantu sekiranya susah
- ada pendengar untuk kita luah perasaan dan kongsi suka duka

3. Datang kerja, betulkan niat.
- pergi awal pagi dan review patient sebaik mungkin (usaha untuk tahu sejarah pesakit by heart)
- pulang tepat masa kalau sudah habis kerja (susah sebenarnya hehe). Kalau belum siap tengok rasional ke tidak nak passover. Patient kritikal yang perlu pemerhatian jangan lupa ingatkan kawan shif seterusnya.
- anggap patient macam keluarga
- selalu offer untuk bantu mo/collegue terutama ketika prosedur sebab bukan semuanya kita selalu buat
- bunuh persepsi orang kata makan gaji buta. So kerja sebaik mungkin. Maka kata-kata mereka  menjadi fitnah sama sekali. Relaks, dosa masing-masingkan.. Pahala pun. So jom  kita hias kubur sendiri dengan amalan.
- moship nanti memerlukan pengalaman hoship kita terdahulu. Tidak wujud orang dewasa melainkan menjadi bayi diawalnya. So chill ya! Pakar ke mo ke dia pun ho dulu. Pernah buat silap. Apapun hormat orang atasan, sayangilah kawan dan orang bawahan 😉

4.Allocate cuti untuk hargai diri
- sekurang-kurangnya biarlah sebulan  sekali ada percutian. Nak jimat dalam negeri, ada rezeki lebih ke luar negara. Hehe ada lebih duit, yang solo ajak mak ayah sekali. 
- yang bekeluarga lagilah kena pergi bercuti. InsyaAllah ada moment yang boleh dikenangkan nanti.

5. Menangislah bila perlu
- tanda hati hidup
- mengingatkan kita pada Pencipta
- selingkan doa, insyaAllah makbul. Hehe lagi lagi ketika ada orang khianati kita. Faham faham je la kerja dengan pelbagai ragam ni. Kadangkala kita dikambing hitamkan.

Biarlah 5 sahaja dulu. Rasanya zaman mo pun ada suka dukanya. Lain jabatan lain peratus stressnya. So hormat collegue di jabatan lain ya. Jadi orang rendah diri tapi tinggi ilmu di hati.

Monday, November 23, 2015

Zero to Hero.. Ho to Mo

Setiap perkara, bermula dari titik pertama. Begitulah hidup. Dari tiada kepada ada. Alhamdulillah setelah dua tahun bergelar Ho, kini selangkah lagi ke alam misteri, penuh tanggungjawab dan soal jawab. Mendebarkan... Apatah lagi berhadapan dengan masyarakat intelek yang kian banyak rujukannya. Itu tandanya, perlu lagi pembacaan dan tambah pengalaman.

Belajar dan belajar .. 

Dulu rasa jangkal melangkah ke alam kerjaya. Hari demi hari, Alhamdulillah ada sahaja perkara baru yang dipelajari.  Terima kasih pada senior , Mo dan pakar yang disegani. Tak lokek ilmu dan  didikan setiap hari.

Tahan sahaja, masam manis itu ada

Kena marah, perli benda biasa dalam hiraki perkerjaan.  Perkara biasa yang harus dikikis sebenarnya kerana itu bukanlah cerminan Muslim. Saya sendiri takut melihat fenomena yang ada. Boleh jadi tabiat ini menjadi ikutan tanpa sedari. Nauzubillah. Moga dijauhi. Memilih khudwah dalam pekerjaan  itu perlu. Apapun perlu memilih dengan  mata hati dan iman sebagai asas diri. Ya, bukan mudah menjadi ikan di laut masin. Kekal enak isinya, tidak masin dipengaruhi air yang didiaminya.

Keluarga, jasa dan pengorbanan

Bukanlah saya seorang sahaja yang menempuh alam ini. Apabila memilih bidang kedoktoran, keluarga anda juga terjebak di alam sama. Apatah lagi yang sudah bersuami dan memiliki anak. Merekalah yang banyak berkorban. Ketika kerja shift malam,  si suami terpaksa berjaga malam. Ketika shift petang, si anak bertanya-tanya di mana ibunya, sedangkan anak kecil lain riang ria di taman permainan.

Zero to hero... Ya ayat mudah untuk dituturkan tapi penuh ranjau untuk dilaksanakan. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Melihat kedua anak kecil yang ada, terasa luka yang dalam sukar diubati.. Sukar memahamkan mereka yang tidak mengetahui. Apapun terus.. dan terus melangkah.

Tuesday, October 01, 2013

Catatan Dr : Kecil tapi Besar, Besar tapi Kecil

Dari mana harus saya mula berkongsi rasa.. Walaupun baru sebulan, pelbagai cerita mewarnai hidup saya di hospital. Ada yang gembira, ada yang menghimpit jiwa.

Senyum..

Kecil di mata sesetengah pihak tapi perkara besar untuk saya. Sebuah senyuman besar nilainya. Seorang doktor kelihatan menyerabutkan tanpa senyuman di mukanya baik ketika berinteraksi bersama pesakit, rakan sekerja, dan pihak atas, tidak kira pakar mahupun senior ho dan mo. Ketika saya menjadi pesakit, apa yang meringankan sakit saya adalah senyuman daripada doktor yang merawat. Ketika saya bergelar pegawai perubatan, senyuman rakanlah meringankan keserabutan tugasan. Oh besarnya nilai sebuah senyuman.

Keruhnya muka jururawat, rakan sekerja, MO dan pakar sungguh tidak menyenangkan. Apatah lagi di mata pesakit (^_^) Maka senyumlah, tidak kira apa jua keadaan. Saya akan cuba tersenyum biarpun berhadapan dengan mereka yang tawar daripada senyuman.

Kecilnya..

Ketika berhadapan dengan pesakit, kita sebagai doktor di lihat sebagai sumber harapan. Besarnya peranan dan kita diberi kuasa besar untuk merawat. Kita diberi pengharapan oleh pesakit dan keluarganya untuk merawat selagi terdaya. Adakala mereka lupa, kita hamba dan hanya Allah penentunya. Amanah dipikul tanpa bicara, si doktor tidak wajar besar diri, harus selalu tautkan hati kerana kuasa menyembuh hanya pada Sang Illahi. Manusia yang bergelar doktor ini boleh sahaja melakukan kesalahan walaupun target perawatan adalah yang terbaik untuk pesakit dan jauhi dari sebarang kesalahan yang boleh membahayakan pesakit. Allah.. Allah sangat berat peranan ini. Siapalah kita untuk bangga diri, sedangkan kita hamba yang hina dan sangat kecil di sisiNya. Tanpa Allah siapalah kita...

Masa..

Masa oh masa. 24 jam terasa cepat berlalu. Bagi orang yang tiada kepentingan dalam hidupnya, selalu masa yang ada akan dibazirkan. Kelihatan masa itu unsur kecil baginya. Bagi yang punya komitmen pula, masa sangatlah berharga. Mereka akan berkira-kira untuk menggunakan masa dengan sebaiknya.

Sepanjang di hospital, masa sangat mencemburui. Lambakan kerja membuatkan kami di wad tidak senang duduk. Bermimpilah kalau mahu goyang kaki di hospital. Walaupun waktu bekerja bermula dari jam 7 pagi hingga 8 malam, tiada istilah tepat waktu untuk pulang ke rumah. Hinggakan sering sahaja saya merasakan bahawa jasad sahaja di hospital, namun hati saya kerap di rumah mengenangkan anak kecil yang kurang meluangkan masa dengan bundanya. Hati saya mudah sebak sekiranya saya lewat pulang. Saya berkira-kira tentang masa kerana masih ada yang memerlukan saya di rumah selain di hospital. Di hospital masih ada rakan setugas yang boleh meneruskan tapi di rumah hanya ada seorang bunda dan papa. Tiada pengganti yang sama untuk tugas ibubapa. Mungkin ada yang berkata, itu lumrah kerjaya seorang doktor, terpaksa berkorban meninggalkan keluarga tapi mereka mungkin lupa sistem itu dihasilkan oleh manusia dan kita mampu mengubahnya. Pasti ada keseimbangan untuk cemerlang dalam dunia keluarga dan kerjaya.

Empati..

" Terima kasihlah Dr rawat saya. Kalau Dr ada suami dan anak mesti terpaksa tinggalkan mereka untuk rawat saya. Besar pengorbanan Dr, " berkata Pakcik A sambil tersenyum kelegaan dan matanya sayup dengan air mata selepas bergelut dengan kesakitan.

Air mata saya mula bergenangan mendengar kalimah itu. Beliau beruntung, kerana anak-anaknya begitu prihatin. Mungkin  dia juga mementingkan keluarga lantas berbicara seperti itu. Pantas saya membalas, " Sama-sama Pakcik. Alhamdulillah, ada suami dan anak sekarang. Yang penting doakan kebaikan untuk kami, Allah dengar doa orang sakit ni."

Sebelum ini pensyarah di Mesir selalu juga menasihatkan kami supaya meletakkan elemen empati dalam merawat pesakit, namun kali ini saya berhadapan dengan pesakit yang empati pada kerjaya Dr. Terharu dibuatnya...

Tali pergantungan

Hamba ini perlu pada Yang Maha Esa supaya terus kuat menghadapi segalanya. Sibuknya urusan bekerja tidak wajar membuatkan kita lupa kuasa Allah Yang Maha Esa. Terasa jiwa saya dihimpit rasa bersalah kerana keterbatasan saya membaca Al-Quran dan sentiasa berkejar-kejar ketika melakukan solah. Dulu saya bebas membaca Al-Quran terutama selepas setiap waktu solah. Selepas solah masih boleh berwirid dan berdoa panjang. Kini, saya terbatas. Allah, sungguh saya rindu untuk meluangkan masa bersama Allah lebih lama. TanpaNya sungguh lemah jiwa ini.

Di hospital juga ramai pesakit yang beralasan untuk menunaikan solah. Kadangkala, saya bingung dengan sikap orang kita. Ketika sakitlah masa untuk dekat dengan Allah, kerana hanya Allah Yang Maha segalanya. Saya impikan institusi hospital nanti mesra ibadah, bukan sahaja di kalangan pesakit, tapi dikalangan perawat juga. Kita sibuk mahu merawat pesakit dengan rawatan terbaik hingga ketika berlaku kesilapan, kita mula menuding jari pada rakan setugas dan anak buah tapi kita lupa hanya Allah yang mampu menyembuhkan. Saya risau, boleh sahaja keberkatan dalam menjalankan tugas dicabut kerana hubungan kita dengan Allah tidak mapan. Allah.. Allah.. ampunilah hambamu ini.

Sungguh dunia ini banyak perkara seolah-olah kelihatan kecil tapi besar nilainya. Yang besar pula sebenarnya kecil nilainya. Hanya kita kadangkala masih samar-samar dalam menilainya. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk pada kita.

Sunday, August 25, 2013

Catatan Dr : Bermulalah alam kerjaya..

Sekali lagi saya berubah fasa kehidupan. Yang ditunggu akhirnya tiba. Selesai fasa bergelar pelajar, kini tiba masanya menjadi penjawat awam.

Sebagai memenuhi syarat perkhidmatan di perkhidmatan awam, kami perlu menghadiri Program transformasi Minda (PTM). Alhamdulillah selesai berkursus selama 5 hari di Hotel Crystal Crown Harbour View Klang dari 19-23 Ogos. Nuha pun diterbangkan pertama kali ke Selangor. Rasa janggal musafir tanpa suami ketika Nuha ada. Pastilah lebih seronok kalau Papanya ada. 

Rakan seperjuangan, berbeza kaum dan juga hospital.

Alhamdulillah dengan izin Allah, Ummi dan adik-adik berjaya melatih Nuha menggunakan botol susu ketika mengasuhnya. Bukan mudah rupanya mengawal emosi ketika berjauhan dengan anak. Risau memanjang. Alhamdulillah sokongan daripada suami dan keluarga membuatkan saya lebih tenang.

Nuha asyik bercerita.. Terpesona Bunda dengan gelagatnya. Mana tak berat hati ini..
Selesai sahaja PTM, hati ini tak sabar bertemu Nuha dan Papanya. Namun hati juga sudah mula berdebar tapi masih dapat dikawal. Sebaik sahaja pulang, Teruja melihat Nuha masih gembira dan baik baik sahaja di bawah jagaan Ummi dan adik-adik. Besar sungguh jasa mereka. 'Terima kasih. Sungguh Along sayang kalian.' Malam 23hb itu juga saya dan Nuha terbang ke Terengganu. Walaupun masih tidak puas bermanja dengan Ummi, tak sabar juga mahu bertemu 'separuh diri saya' di Marang. Alangkah terkejutnya saya apabila kepulangan saya di sambut oleh sejambak bunga. Terharu dan gembira tak terkata. 'Jazakallahu kheir Abu Nuha. You are so adorable.'

Hari ini pula saya selesai mendaftarkan diri di hospital dan Alhamdulillah masih berpeluang untuk pulang lebih awal. Inilah juga pertama kali Nuha bersama pengasuh. Nuha pun sudah pandai bawa diri memandang ketika PTM, Nuha sudah dijaga oleh keluarga saya. Mulai minggu depan jadual akan lebih padat. Apapun minggu ini kami akan sibuk menyesuaikan diri dengan sistem kerja yang sememangnya sangat baru dengan kami. Doakan semuanya berjalan lancar dan saya mudah 'adapt' dengan alam kerjaya ini. 

Tuesday, June 04, 2013

Catatan Dr : Perjalanan Panggilan Cinta (Kerja Ibadahku)


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Setelah lama menanti, Alhamdulillah hari ini sudah dapat surat panggilan untuk mula bertugas sebagai pegawai perubatan gred UD41. Tersenyum saya sendiri..

.....................................................

Sungguh urusan demi urusan selepas selesai imtihan itu panjang juga. Pada awalnya saya perlu pendapatkan surat sokongan pengajian beserta credit hour, transkrip peperiksaan dan surat pengesahan tamat pengajian daripada pihak universiti untuk memohon jawatan di laman SPA. Kemudian wajib melapor diri pada JPA, MMC dan KKM. Setelah itu berbekalkan Sijil Perakuan Sementara Perubatan dari MMC bermulalah gelaran Dr di hadapan nama setiap pemilik sijil ini. Allah.. Allah.. Berat sungguh rasanya. Alhamdulillah 14 Mac saya memiliki sijil ini. Selagi tidak terjun ke bidang praktikal, status Dr itu tidak benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat saya. Tanggungjawab belum digalas dan belum terjun ke medan sebenar.

surat, sijil dan resit untuk urusan kerja

Menanti dan menanti, akhirnya panggilan telefon dari SPA diterima untuk ditemuduga pada 10 April 2013. 



Alhamdulillah lulus dan surat tawaran jawatan dari SPA pula tiba pada 2 Mei dan hari ini pula terima surat pengesahan jawatan dari Kementerian untuk mula bertugas pada 10 Jun dengan mengikuti Program Tranformasi Minda. 



Sungguh berbunga hati ini kerana saya dipanggil, walaupun sebenarnya saya perlu membuat penangguhan untuk berkhidmat kerana saya dijangka bersalin pada 13 Jun. Saya masih gembira walaupun tidak dapat pergi kerana saya tahu Allah benar-benar merancang apa yang terbaik untuk hambanya. Apatah lagi saya masih akan berubah ke fasa baru kehidupan walaupun bukan alam kerjaya. InsyaAllah alam kerjaya itu bakal saya tempoh sebaik sahaja stabil, berstamina dan dengan niat serta semangat yang jelas dan berkobar-kobar.

Doakan saya ya semua! Jazakumullahu kheiran kathira (^_^)