BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
Showing posts with label Mesir Berbicara. Show all posts
Showing posts with label Mesir Berbicara. Show all posts

Friday, February 15, 2013

Coretan Hamba : Keputusan akhir MBBCh & Konvokesyen


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Debaran peperiksaan sudah dilalui
Debaran menanti keputusan akhir pengajian pun sudah dilalui.
Alhamdulillah, khabar gembira Allah beri.
Saya tamat pengajian di sini. MBBCh dimiliki.

Dirai dengan rasa syukur yang tidak terhingga.
Saya doakan ini sebagai permulaan yang baik buat  angkatan Gen6 khususnya..


Jazakumullahu kheiran kepada suami, Dr Ahmad Fahmi Sulaiman, Lek, Ummi, Abah, Ibu, Wan, Tokki, Mak Tok, Pakcik Makcik, adik-beradik; Solehin dan isteri, Hanisah, Husna, Insyirah, Intan Liyana, Fatin, Salwa,  ipar-duai, biras, keluarga besar, pendidik dari sekolah rendah hingga sekarang, sahabat-sahabat, kenalan yang mendoakan dan khusus buat kalian yang sering membaca blog dan facebook serta kalian yang mendoakan saya. (^_^)


Doakan kami semua..

Doa-doa kalian menyumbang kepada kejayaan hari ini. Dengan kekurangan yang ada, tanpa rahmatNya, tanpa berkatNya, saya tidak mampu menghadapi hari-hari lalu. Alhamdulillah segala kekuatan daripadaNYa. Terima kasih semua! ♥

~الحمد لله على كل نعمة~

Debaran sehari sebelum Konvokesyen, terjawab dengan rahmatNya (13 Feb 2013)

Sehari sebelum Konvokesyen barulah keputusan kami diumumkan. Debarannya tak mampu digambarkan. Tak terkata saat menerima berita itu. Yang pasti saat keputusan sudah diketahui oleh rakan-rakan saya, saya masih dalam perjalanan pulang dari Iskandariah ke Kaherah bersama keluarga tersayang. Ditakdirkan pula telefon tiada bateri, menyebabkan rakan serumah tidak berjaya menghubungi saya. Alhamdulillah ada power bank Walid, maka sempatlah online sebentar dengan telefon yang sedang nyawa-nyawa ikan. 

Debaran itu tak terkata saat melihat status seorang demi seorang rakan sekelas melafazkan kalimah Alhamdulillah di status facebook masing-masing. Saya pula masih belum mengetahui keputusan saya. Fuhh, debar sungguh hingga Ummi menenangkan dan meyakinkan saya, ' Ummi tahu Along berjaya.' Memang positif sungguh Ummi terhadap anaknya. Walid pula menambah, ' InsyaAllah, Along cemerlang tu. Along dah usaha. Baby pun tolong juga'. Tersenyum saya. Dari lubuk paling dalam, saya mendoakan Allah bersama doa dan sangkaan kedua ibu-bapa saya.

Sebaik sahaja keputusan saya dimaklumkan oleh rakan, sebak sungguh saya dibuatnya. Benar kata Ummi dan Lek. Saya sampaikan berita itu pada Ummi, Lek terlebih dahulu. Mereka sangat gembira. Melihat mereka gembira, saya tersenyum.. Alhamdulillah Allah beri saya peluang untuk buat mereka gembira. Saya tahu, besar harapan mereka melihat anak mereka berjaya dan menaiki pentas menerima ijazah setelah berjuang sekian lama.

Pangkat dan gelaran itu suatu permulaan bahkan amanah.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hambaNya. Pangkat Jaid Jiddan hadiah buat saya di Tahun 6 dan itu jugalah pangkat keseluruhan sepanjang pengajian Perubatan Umum di sini. Alhamdulillah, sepanjang 6 tahun setengah saya berjaya dalam semua peperiksaan. Tiada daya melainkan ini semua daripada Allah Yang Maha Mengasihani. Kerdil rasa diri.

Mendapat gelaran Doktor memang kelihatan gah di mata orang namun pada yang mengalas terasa sungguh beratnya amanah. Berhadapan dengan nyawa manusia bukan suatu mainan dan bukanlah suatu yang mudah. Pada Allah sahaja tempat bergantung harap. Didoakan perjalanan selepas ini penuh rahmah, barakah dan petunjuk daripadaNya.

Hari Konvokesyen, Hari berkongsi gembira (14 Feb 2013)


Beruntung rasanya, Allah beri peluang pada Ummi, Lek, Dekna, Ibu, Abah, Milah dan Inah untuk meraikan Hari Konvokesyen saya di Mesir. (^_^) Jazakumullahu kheiran pada Kak Una, Huda, Alimah, Syamila, Akma, Azfar, Asma, kawan-kawan seuniversiti, semesir dan adik-adik yang hadir di majlis ini. Syukran juga  pada keluarga, sahabat dan adik-adik kerana memberi bunga, coklat, buku dan pelbagai lagi hadiah. Saya suka semuanya. Jutaan terima kasih pada AJK pelaksana yang bertungkus-lumus menjayakan majlis. Alhamdulillah usaha yang baik kerana ini Majlis Graduasi Pertama buat Mahasiswa Malaysia Universiti Kaherah.


Doakan saya. Perjalanan saya baru bermula..

Tuesday, January 29, 2013

Kembara Mesir : Bahnasa - Jaulah Mencari Cinta


Perjalanan jaulah cinta kami (28 Januari 2013)

Perjalanan menuju ke Bahnasa semalam membuahkan ketenangan dan kerehatan buat jiwa yang dahagakan cinta. Inilah peluang buat saya dan rombongan akhwat seangkatan dalam perjuangan 6 tahun setengah di sini. Sudah pasti, peluang ini tidak kami lepaskan untuk menyucikan hati dalam mencari redha Illahi. Tidak putus kami berselawat dan mendoakan kesejahteraan diri, keluarga, sahabat dan ummah seluruhnya serta kejayaan kami. Alhamdulillah misi 1000 selawat setiap orang telah melengkapkan misi 35 000 selawat sepanjang perjalanan. InsyaAllah barakah! Tambahan pula kami sedang menunggu keputusan peperiksaan akhir untuk tamat pengajian Kuliah Perubatan Am di Mesir ini. Maka, saya berharap dan berdoa, kedatangan kami ke Bahnasa dipandang Allah, diberkati dan doa-doa kami diangkat serta kedudukan kami dinaikkan di sisiNya seperti para solehin yang di maqamkan di Bahnasa ini. Ameen.

Sejujurnya, tempat bernama Bahnasa ini baru saya kenali ketika jaulah ini ingin diadakan. Alhamdulillah tempat barakah ini sempat juga saya singgah di saa-saat akhir berada di Mesir ini. Segala puji bagi Allah.. sungguh rasa terpilih. Kalau dahulu kami akhawat Gen6 ke Bahriya, kini kami ke Bahnasa mencari cinta hakiki, sambil menyubur cinta dan ukhwah di kalangan kami.

Istimewanya Bahnasa

Sepanjang perjalanan dari Kaherah ke Bahnasa, kiri dan kanan terbentang  gurun dan pasir yang menguning. Namun gurun yang kelihatan gersang bukanlah sebarang gurun yang kita gambarkan, ada bahagian yang mempunyai sumber air dan galian. Bahkan subur dengan tanaman seperti tomato, kubis dan lain-lain lagi. Semakin mendekati Bahnasa, angin sepoi-sepoi bahasa menampar pipi. Sejuk, dingin dan damai sekali.

Bahnasa ketika zaman Mesir Purba dikenali sebagai 'Pr-Medjed' berdasarkan nama ikan dan ketika di zaman Greek dikenali sebagai 'Oxyrhynchus'. Bahnasa terletak di Muhafazah Al-Minya (Upper Egypt) di Selatan Mesir kira-kira 160 km dari Kaherah. Selain mempunyai kesan arkeologi yang berharga, 5000 jasad sahabat-sahabat dan tabi'in yang gugur syahid peperangan Fathul Islami di semadikan di sini termasuk 70 orang ahli Badar. Maka itu menjadikan Bahnasa merupakan bumi yang penuh keberkatan dan lebih berharga di sisi ummat Islam. Maka tidak syak ada kedamaian di sini buat kita kerana terdapat bukti kekuasan Allah dan cerita untuk kita renungkan.


Berhampiran dengan Masjid Ali Jummam (Qadi Bahnasa) terdapat bukit-bukit yang mempunyai sebahagian besar bilangan daripada kubah-kubah dan maqam-maqam yang dinisbahkan kepada sahabat, tabi'in dan ulama' . Justeru ramai ulama’ dahulu dan sekarang yang menziarahi tempat ini.

Secara ringkas sejarah Kota Bahnasa, dahulunya Bahnasa ditakluk kerajaan Rom dan merupakan sebuah kota yang serba kukuh benteng pertahanannya, dikelilingi tembok yang kukuh dan rantai berduri. Selepas pembukaan kota Bahnasa oleh tentera Islam yang diketuai Saidina Khalid Al-Walid, kota ini dijadikan tempat membuat kain tenun yang disulam dengan emas.

Saidina Amru Al-Asr RA, sahabat baginda yang membuka Mesir pernah mengatakan “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda “: Tidak ada selepas Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis suatu tempat yang berkat melainkan di bumi Mesir serta lebih banyak keberkatan di bahagian Barat Mesir. Kata Saidina Amru lagi : “Mudah-mudahan ia (tempat yang banyak keberkatan itu) ialah Bahnasa”.

Tempat bersejarah dan maqam para solehin

Di antara para solehin yang disemadikan di bumi yang berkat ini dan yang sempat kami ziarah ialah:
  1.  Maqam 7 perempuan : Dome of seven girls
  2. Maqam Saidi Ali Jummam (Qadi Bahnasa)
  3. Maqam Saidi Jaafar dan Ali Bin 'Ukil Bin Abi Talib (Anak saudara Saidina Ali)
  4. Maqam Saidi Syarif Mas'ud ( Satu maqam dengan Saidi Jaafar dan Ali)
  5. Pokok Saidah Maryam (Tempat Maryam, Ibu Nabi Isa alaihissalam berehat ketika melarikan diri)
  6. Maqam Saidina Ziad bin Abi Sufian bin al-Harith bin Abdul Muttalib (Ketua perang)
  7. Maqam Saidi Hassan bin Soleh bin Ali Zainal 'Abidin bin Hussain bin Ali (Cicit Saidina Hussain)
  8. Maqam Ubaidah Bin Ubadah Bin Assomat (Anak Sahabat)
  9. 12 Maqam di bawah satu kubah antaranya Saidina Muhammad bin 'Uqbah bin Nafi' dan Qa’qa Ibn Umar
  10. Saidah Khaulah Al-Azwar
  11. Saidi Hassan Bin Yahya Bin Hassan Al-Basri (Cucu Hasan Al-Basri)
  12. Saidina Muhammad bin Abdul Rahman bin Abu Bakar (Cucu Saidina Abu Bakar As-Siddiq)

Perjalanan kami : Cerita bergambar

Kami mula berkumpul pukul 6.30 pagi dan bertolak ke Bahnasa kira-kira 7.30 pagi. Seperti biasa, dalam perjalanan kalau tidak tidur, pastinya kami bersembang dan makan. Memang puas hati kerana sudah lama kami tidak beramah-mesra sesama sendiri melainkan bertemankan buku sepanjang hari sejak beberapa bulan yang lalu. Sudah pasti banyak cerita yang kami kongsi.


Sebaik sahaja memasuki Bahnasa, tempat pertama yang kami ziarahi adalah Dome of seven girls. Di sini wujudnya 7 maqam perempuan yang dipercayai telah menyertai peperangan membuka kota Bahnasa bersama tentera Islam. Mereka dibunuh oleh tentera Rom dan darah yang terkena batu-batu di lapangan berhampiran dikatakan terus berdarah dan menjadi rebutan orang yang menziarahi. Disebabkan itu tidak lagi kelihatan batu tersebut. 


Di sini juga wujudnya 3 maqam di dalam bangunan berkubah, 3 maqam di sisi banggunan, dan 1 maqam di belakang bangunan, menjadikan 7 buah maqam semuanya . Di belakang perkarangan ini juga terdapat sebuah padang pasir yang luas dinamakan ‘Sahra' Dammul Syuhada’ yang mempunyai keberkatan dan keajaiban dengan izin Allah. Ramai yang mengambil peluang untuk berubat di kawasan ini. Wallahu’alam sejauh mana keberkesanan namun menurut cerita dan pengalaman orang, sesiapa yang membaca Surah Al- Fatihah, memejamkan mata dan dan mengulingkan badan kemudian mereka akan terus berguling tanpa dikawal oleh mereka sendiri.

Kemudian, kami bergerak dengan menaiki bas ke perkarangan Masjid Ali Jumman. Di sinilah sejumlah besar maqam dan perkuburan di tempatkan. 

Masjid dan Maqam Saidi Ali Jummam, Maqam Saidi Jaafar dan Saidi Ali serta Maqam Saidi Saidi Syarif Mas'ud

Pokok Saidah Maryam ; Sebatang pokok yang besar dan berlingkar.

Maqam Saidina Ziad bin Abi Sufian bin al-Harith bin Abdul Muttalib

Maqam Saidi Hassan bin Soleh bin Ali Zainal 'Abidin bin Husain bin Ali (Cicit Saidina Hussain)
Maqam Ubaidah Bin Ubadah Bin Assomat  dan 12 Maqam di bawah kubah bersebelahan
Banyak cerita dan pengajaran di sebalik maqam dan tempat yang kami lawat. Alhamdulillah nasihat yang berguna turut disampaikan oleh Ustaz Zahari yang menemani perjalanan kami ke sini. Jazakumullahu kheiran kathira diucapkan pada Ustaz, Kak Lyanna dan AJK Jaulah serta akhawat Gen6 yang menjayakan Jaulah Bahnasa ini. Saya doakan kita semua berjaya dunia akhirat dan dikurniakan kebaikan demi kebaikan selagi hayat dikandung badan. Ameen.

Saturday, January 19, 2013

Kembara Mesir : Bersama Habibi. Uhibbuka fillah!


Tidak disangka-sangka, Allah membuka peluang suami yang dikasihi hadir ke bumi kinanah ini. Syukur ke hadrat Illahi. (^_^) Alhamdulillah, memang ada hikmah di sebalik kedatangan suami. Allah membuka ruang untuk saya terus berkhidmat sebagai seorang isteri sebagai bekalan akhirat untuk bertemu Pencipta diri dan memperingatkan diri di saat akhir perjuangan di Mesir ini. 

Di samping bergelut dengan buku, Allah membuka seluasnya peluang untuk meraikan kedatangan beliau ke sini. Melihat beliau makan masakan sendiri pun sudah menguntumkan senyuman dan kelegaan di hati. Di samping itu sempat juga membawa beliau menjelajah sedikit sebanyak tempat di Kaherah dan Iskandariah. Memang tidak puas kata beliau. Maklumlah kebanyakan masa menemani saya di rumah untuk menghadapi peperiksaan akhir yang masih berbaki. Beliau sangat memahami dan sentiasa memberi semangat pada diri.

Iskandariah kami lawati (6-7 Januari 2013)

Sudah pasti Iskandariah kami jejaki kerana adik beliau masih belajar di sini. Yang jauh dekat di hati, lagi dirindui. Pastinya kedatangan ke Mesir tidak lengkap kalau tidak ke sini kerana Iskandariah juga merupakan tempat pelancongan yang masyhur dengan pantainya bahkan itulah pusat pemerintahan Mesir suatu ketika dahulu :) Alhamdulillah tertunai hajatnya. 


Sebaik sahaja tiba di Iskandariah, terasa beza sungguh udaranya dengan Kaherah. Maklumlah, ada pantai dan angin yang segar menghidupkan suasana di sini. Antara tempat yang sempat kami lawati ialah, Bibliotheca Alexandrina (Perpustakaan), Makam Nabi Daniel, Makam Luqman Al-Hakim, Masjid Abu Al-Abbas Al-Morsi dan Kubu Qaitbay.


Sambil berjalan, perut juga pasti berdendangan. Tidak lengkap rasanya kalau tidak menikmati aiskrim segar buah-buahan di Iskandariah. Walaupun musim sejuk, kelazatan aiskrim menghangatkan. Kemudian, pada sebelah malamnya juga kami menikmati hidangan makanan laut sebelum membeli belah di Mashiyah. Jutaan terima kasih pada adikku Milah, sahabat saya Ukhti 'Izzah dan junior yang dihormati Hashimi dan Qarafi kerana sudi menemani sepanjang perjalanan kami di sini.

Walaupun ziarah singkat di Iskandariah, manisnya tetap dirasa apabila dapat bertemu insan yang tersayang bahkan dapat bersilaturahim dengan sahabat-sahabat baru. Itulah manisnya sebuah kembara. Sambil mengenal tempat baru, sambil menyebar ukhwah.

Kaherah bercerita (5-17 Januari2013)

Sudah pasti, kebanyakan masa suami dihabiskan di Kaherah. Kami tinggal di Mouniera-Sayeda Zainab. Secara tidak langsung, tinggal di sini memberikan gambaran cara hidup golongan majoriti di Mesir. Kepadatan penduduk di Kaherah membuatkan kehidupan di sini terasa sesak dan menguji kesabaran. Kaherah boleh diibaratkan kota yang tidak pernah mati. Hidup sepanjang hari. Di pagi hari lagi, rakyatnya sudah beratur membeli 'eisy (roti), ful, to'miyyah, pengangkutan awam sudah dibanjiri dan hon kereta pula silih berganti. Siangnya sibuk dengan aktiviti jual beli bahkan tak pernah berhenti. Di sebelah malamnya pula kedai kopi dan shisha pasti dipenuhi. Ya, itulah Kaherah dengan seribu macam ragam Misriyuun. Namun, di situlah letaknya seribu macam teladan dan sempadan buat perantau seperti kami.

Jauh dari kebiasaan, Kaherah masih banyak keunikan yang perlu diterokai. Wujudnya masjid bersejarah dan makam para sahabat dan solehin menjadikan kita terpanggil untuk menjadikan diri sebaik mereka, meneruskan perjuangan mereka dan mengimarahkan masjid yang sedia ada. Walaupun sudah 6 tahun di sini, saya sendiri terasa buta sejarah dan masih mencari-cari untuk melengkapi cebisan yang masih berbaki.



Sudah pasti Makam Imam Waqi', Imam Syafie dan Imam Hassan Al-Banna antara pilihan di hati.  Kali terakhir saya ziarahi mungkin 3 tahun yang lepas. Sejuk hati melihat Makam Imam Hassan Al-Banna lebih rapi dan terpelihara. Namun sedih pula melihat kondisi makam-makam Imam dan para sahabat. Tidak terjaga. Moga ada perubahan selepas ini.

Di samping itu juga , saya menemani suami ke makam beberapa sahabat Nabi dan melihat masjid yang masyhur di sini seperti Masjid Amru Al-Asr, Masjid Al-Azhar, Masjid Hussein, Masjid Sayeda Zainab, Masjid Sayeda Aisyah, Masjid Muhamad Ali Pasha serta Kubu Salahuddin yang masih teguh berdiri.
Selesai melawat tempat-tempat orang soleh yang terpilih, kami beranjak melihat tinggalan Firaun yang dilaknat Allah. Memang gah kelihatan piramid di mata kasar tapi tidak mampu menandingi kebesaran dan keagungan Allah. Telah Allah buktikan, Dia mampu menjatuhkan sebesar-besar empayar dengan kuasa sebagai PEMILIK sebenar alam ini. Tidak ada manusia yang mampu menandingi kuasaNya hatta Firaun yang mengaku tuhan dan memiliki piramid yang pernah diagung-agungkan.

Sebesar mana pun ciptaan manusia, besar lagi kekuasan Allah ke atas kita, kerana kita ciptaanNya.
Hanya tinggal 'batu' sebagai saksi keangkuhan..
 Jiwa akan gersang jika kita jauh daripada Allah, Pencipta sekalian alam.

Yang hadir akan pulang... Itulah sunnahnya.

Tak tergambar dengan kata dengan kehadiran suami ke sini. Sungguh itulah antara hadiah termahal yang Allah beri. Sebak pula membaca tulisan suami di facebooknya. Tersentuh dengan kasih sayang Allah dan suami..

'Jika ada awal, mesti ada akhir. Jika ada listen, mesti ada speak. 

Itulah percutian cinta kali ini. Penuh cinta bertemu zaujah tersayang, penuh mahabbah bertemu sahabat-sahabat di Mesir walaupun baru kali pertama bersua muka. Offline atau online hanyalah sekadar cara, apapun ia pastikan terus subur di lubuk hati kita.

Jumpa di Malaysia dengan title Dr dan Ustaz berada didepan nama kalian.

Semoga Allah rahmati kita semua dan berada dalam dakapan kasih sayang-Nya. 

Untuk anakanda, jaga bonda bebaik ya!'
-------------------------------------
"Kembali ke tanahair. Berat hati tinggalkan zaujah dan baby. namun InsyAllah, Allah akan menjaga mereka. "


InsyaAllah, di hati mengharapkan pertemuan penuh barakah untuk fasa seterusnya. Moga Allah rahmati dan buka peluang untuk mentaatiNya dan zauji juga. Moga diampunkan dosa dan dibuka pintu kemaafan untuk menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan. Ameen..

Saturday, April 07, 2012

15 Jamadilawal 1433H : Masih ada yang sayang


Hidup ini penuh dengan kasih sayang...
Sama ada kita boleh merasa atau sebaliknya...

Dalam kesibukan kita mengurus kehidupan, akan tiba saat kita rasa sendirian dalam menghadapi hidup yang penuh seribu satu ragam. Dalam kesesakan jiwa, kita rasa kita tidak punya sesiapa, seakan-akan kita dibuang dari kamus kehidupan mereka yang wujud di sekeliling kita.

''Mereka tak pedulikan aku! Mereka tak sayangkan aku!" Hati meronta...

Itulah ujian perasan. Sebuah ujian yang kita akan hadapi dan bertarung setiap hari.

Nah, kita lupa. Saat kita bersendirian, kita bersedih... ada Allah yang terus setia menemani. Dia membelai jiwa kita dengan sebuah ujian. Bukan ujian untuk melemahkan, namun memberi sebuah kekuatan.

Ada kebenaran dalam lagi Zain Bhikha ini...

When you feel all alone in this world
And there's nobody to count your tears
Just remember, no matter where you are
Allah knows
Allah knows

When you carrying a monster load
And you wonder how far you can go
With every step on that road that you take
Allah knows
Allah knows

No matter what, inside or out
There's one thing of which there's no doubt
Allah knows
Allah knows
And whatever lies in the heavens and the earth
Every star in this whole universe
Allah knows
Allah knows

When you find that special someone
Feel your whole life has barely begun
You can walk on the moon, shout it to everyone
Allah knows
Allah knows

Indah bukan liriknya. Ya, Allah tahu dan Allah masih sayang kerana itu dikurniakan kita waktu untuk perbaiki matlamat kehidupan, diberikan waktu untuk kita perbaiki diri dengan menyedarkan kita melalui sebuah ujian.

Seharusnya capailah Al-Quran dan tanyalah diri, " Apa ya Allah ingin bicara padaku hari ini?"

"Katakanlah, "Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam." [Al-An'am:162]

BicaraNya lagi

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." [ Ali-Imran:139]

Kemudian tanyalah diri

Did I live for Allah & His Messenger?
Did I really love Allah & His Messenger?
Did I matter to the Ummah?

Nah kalau inilah soalannya, kita tiada masa untuk berendam lama dalam sebuah kesedihan mahupun berpeluk tubuh dengan himpitan dunia dan terus hanyut dibawa keseronokan dunia. Kita akan menongkahnya. Bergerak maju dan terus melangkah hingga ke pintu syurga. Kita tidak selayaknya memikirkan kepentingan diri semata-mata tapi perlu lihat lebih jauh untuk Ummah Islam keseluruhannya.

Justeru, wahai temanku.. Kita punya tugas (^_^) Jangan risau, Allah masih sayang dan InsyaAllah masih ada lagi yang sayang kita. Cuma kita yang tidak sedar kehadiran mereka. Lihatlah kiri dan kanan. InsyaAllah akan ada...

.................................................................................

15 Jamadilawal 1433H

Apa 'significantnya'? Diri merenung jauh...

Sudah bertahun-tahun hidup di dunia...
Sudah dua bulan juga marhalah baru dilalui...
Setapak kaki melangkah dan akan terus melangkah...
Moga baiklah pengakhiran ini hendaknya. Mohon doa..

♥

Angka 1 dan 5 sudah Allah takdirkan untuk saya dan di sebaliknya punya pelbagai cerita... Semuanya dengan izin Allah, siapalah kita untuk menidakkan segala perancanganNya. Akan terus positif melihat perancanganNya. (^_^)

Alhamdulillah terasa kasih sayang Allah dalam mendidik diri yang sering terlupa. Dihadirkan insan-insan penyayang setiap hari. Masih ada yang sayang. Saya percaya Allah tidak membiarkan kita sendiri. Syaitan sahaja yang suka mencucuk jiwa kita.

Marilah kita terus senyum menghadapi kehidupan ini.

Wednesday, March 07, 2012

Pelik!

Berdasarkan pemerhatian, ada banyak benda pelik sedang berlaku di dunia tapi ramai melihat benda itu sebagai kebiasaan masyarakat.

Pelik!

(^_^) Betapa peliknya manusia bila berbulu mata dengan amar makruf..Tapi nahi mungkar itu berpeluk tubuh dan mula bersilat menggunakan 'cukuplah benci dalam hati' padahal takut putus kawan, takut putus saudara. Redha siapa kita cari?

Couple boleh?

Kahwin tak boleh?

Pergi konsert boleh?

Menuntu ilmu agama tak boleh?

Pelik kan.. Apatah lagi kalau seorang Muslim yang bersikap demikian, menjadi penyokong pada perkara mungkar. Itu tandanya apa ya?

Ada sesuatu yang tak kena dengan iman kan?

Kalau sayang saudara seislam jangan biar dia masuk neraka.

Nak tegur banyak cara.. face to face boleh, private mesej boleh.

Berubah tu, cerita lain pula...

Hehe, sure la kalau tegur di khalayak umum, naik angin la kawan tu. ADAB JAGA YA!

Pelik!

Manusia hari ini sedar bahawa hidup dalam pemerhatian Allah dan suka hidup beragama tapi kelakuan tidak seperti yang Allah mahukan. Kerana apa? Kerana manusia suka meremehkan.

"Takpelah muda lagi, enjoy dulu!"
"Tua tua nanti aku taubatlah"

Ayat biasa yang selalu kita dengar. Dan akhirnya tak sempat tua, Allah dah jemput pergi. Na'uzubillah. Moga Allah lindungi kita.

Apatah lagi pembalasan itu bukan di depan mata secara terang-terangan. Banyak Muslim hari ini guna pakai ayat Quran untuk kepentingan peribadi, contoh bab harta, bab kahwin. Datang bulan puasa, dalil ke mana, amalan ke mana. Huhu.

Justeru...

Pelik yang menimbulkan kerisauan kerana manusia mempermainkan keislaman yang dimiliki. Pelik memang pelik. Dan saya selaku manusia akan terus keluar dari zon ini kerana rimas dengan perangai manusia pelik. Saya mahu jadi manusia luar biasa dan sejannah dengan para solehin. Anda bagaimana? Mari kita menuntut ilmu agama, jangan rasa cukup dengan keimanan yang ada. Dalamilah Islam kerana baru anda tahu, kita sebenarnya tidak tahu banyak perkara dan rupanya nilaian kita salah selama ini terhadap isu di sekeliling kita.

Inilah kepelikan yang Sinar lihat. Sedangkan banyak manusia hari ini memandang mereka yang laksanakan Islam sebagai pelik dan asing. Kerana apa? Kerana mereka rasa tidak sama dengan ajaran nenek moyang, adat dan pemikiran mereka. Sengaja sinar bawakan entri pelik ini kerana, manusia sudah tidak tahu menilai. Maka pada pelaksana deenul Islam, anda tidak pelik tapi teruskan beramal dan bersiaplah!

Benarlah kata Rasulullah di akhir zaman. Sangat sikit orang yang mempraktikkan Islam secara syumul. Ibarat asing dalam kelompok manusia. Kita menganggap manusia yang tidak praktikkan Islam itu pelik tapi mereka juga memandang kita asing dan out of date. Asing dari kebiasaan manusia yang bertuhankan hawa nafsu dan adat kebiasaan manusia.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".

(H.R. Muslim)




Monday, December 05, 2011

Produktif!

Satu nikmat yang tidak terhingga adalah keluar dari rutin biasa. Nikmat itulah yang dapat Sinar rasakan semalam. Alhamdulillah semalam diiizinkan Allah untuk menyertai program 'Productive Muslim'. It was so amazing sampai terlupa akan kepenatan harian malah 'energetic' dan terpukau dengan setiap kalimah yang dituturkan oleh Ustaz Muhammed Faris @ abuproductive, selaku pengasas laman web 'Productive Muslim'.

Banyak perkongsian dan langkah-langkah untuk menjadi 'productive muslim' dikupas dengan cukup baik dan menarik. Beliau fasih berbahasa inggeris dan bagi yang mahu mengenali bolehlah singgah ke laman web Productive Muslim. InsyaAllah banyak manfaat. Banyak perkara tak mampu dicoretkan buat masa ini. Kena pergi sendiri baru ada feel orang kata. InsyaAllah Sinar sendiri dalam fatrah menyusun kembali hidup sebagai hamba Allah dalam dunia ini.

Apapun yang kita buat, letakkan akhirat sebagai matlamat. Tanya diri selalu, "Sesuai ke tak apa yang aku nak buat dengan apa yang Allah mahu? Kita hidup bukan untuk disia-siakan tapi diisi dengan sesuatu. Dan tidak dapat tidak kitalah yang harus menjadi muslim yang produktif untuk mengisi masa kita dengan sesuatu yang Allah redha. Hatta tidur pun biarlah Allah kira sebagai ibadah.

InsyaAllah berkongsi beberapa gambar dan akan diedit lagi...


Tak sabar nak masuk...


Tiket oh tiket...


I want to be productive Muslim!

Just a simple equation...

Focus + Energy = Productive

But it need 'tadhiyyah'...

It is the way you help yourself
to get the maximum reward in Jannah
and of cause to be the best servant ever.


Harap dapat mendengar perkongsian daripada Ustaz Faris lagi...
(^_^) Banyak sungguh yang Sinar belajar dan baru tahu. Ceteknya ilmu...

Sunday, November 06, 2011

Aidiladha 1432H

Pengorbanan. Suatu kalimah yang tidak asing di bulan Zulhijjah. Merata tempat orang memperkatakan. Sebenarnya dalam hidup ini kita akan selalu berkorban. Kita terpaksa mengorbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Contohnya kita sebagai anak tentunya berat hati untuk berpisah dengan keluarga, namun kerana belajar di luar negara terpaksa berjauhan bertahun-tahun lamanya. Kita untung dalam satu hal dan kelihatan kita rugi dalam satu hal. Banyak lagi contoh pengorbanan dalam kehidupan. Boleh la kita duduk sebentar sambil renung renungkan...

Namun selepas kita teliti dan lalui disebalik pengorbanan tu, InsyaAllah terselit kemanisan yang hanya dapat dirasai oleh jiwa yang berkorban. (^_^)

Cubalah masing-masing fikir apa yang telah kita korbankan dan boleh fikirkan apa yang telah kita lakukan untuk orang lain hari ini?

Mari cerita fasal raya tahun ini...

Untuk tahun ini, Alhamdulillah masih dapat beraya bersama-sama teman di perantauan. Mungkin raya haji terakhir di sini. Justeru, terasa ingin melakukan perubahan tahun ini antaranya mahu pergi solah lebih awal supaya tidak terkejar-kejar dan berebut saff seperti tahun-tahun sebelumnya.

Alhamdulillah berjaya! Dapat solah dengan selesa kerana awal dari biasa.
Kami baru selesai Solat Sunat Hari Raya.




Mari pulang mengisi perut dengan juadah istimewa.

Sempat pula meninjau :)
Kedai buah pun buka, tapi tuannya mana?

Berdekatan kedai buah Pakcik2 Arab sudah mula proses penyembelihan

Erm... dan sudah pasti Sinar akan merindui detik-detik dan suasana perayaan di sini. Walaupun berbeza dengan Malaysia tetapi Mesir mampu cipta kemeriahannya tersendiri. Mana nak jumpa jalan raya basah dengan darah ketika Aiduladha di Malaysia. :)

Sunday, July 10, 2011

Summer break 2011- Pulang

Alhamdulillah dapat menulis di sini. InsyaAllah ringkas coretan kali ini. Sekadar meninggalkan jejak dan kenangan buat hari tua. Inilah coretan hari-hari dalam hidupku sebagai perantau yang sentiasa mengharapkan belas kasihan daripada-Nya.

Alhamdulillah. Selesai sudah peperiksaan di Tahun 5 pada 6 Julai 2011. Maka bermulalah cuti musim panas pada tahun ini. Sekejap sungguh masa berlalu. Syukur pada Allah kerana Dia mengizinkan hamba-Nya untuk mengharungi detik-detik itu. Berakhir dengan subjek Perubatan Kanak-Kanak mempunyai kenangannya tersendiri. Melihat si kecil yang berusaha mengagahkan diri untuk menghadapi penyakit menimbulkan keinsafan tersendiri. Melihat olah mereka menghiburkan hati bahkan Doktor Pakar di jabatan ini juga mempunyai karisma dan personaliti yang membuatkan diri kagum. InsyaAllah, banyak yang Sinar pelajari pada tahun ini.

Alhamdulillah. Masih dikurniakan nikmat sihat dan dipinjamkan nafas untuk bertemu hari ini. InsyaAllah Sinar bakal terbang ke tanah air malam nanti. Kira-kira 3 jam lagi akan bertolak ke lapangan terbang. Sudah mula berdebar. (^_^) Entahlah kenapa, tetapi Sinar memang begitu. Sungguh tiada yang diharapkan agar Allah pelihara diri sepanjang perjalanan. Biarlah apapun yang bakal terjadi ketika itu Sinar dalam keadaan beriman.

Terbang mencari ketenangan :)

Mohon maaf pada semua andai ada tersalah bicara, terkasar bahasa dan ada yang terluka kerana diri ini. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita. Tiada manusia yang sempurna tapi kita berusaha menyempurkan diri.

Perancangan : (Kemaskini semula pada 14 Ogos)

18 Julai : Lapor diri di Hospital Ampang & Menuju ke utara Malaysia with MAS.
25 Julai : Pulang ke Selangor
27 Julai : Latihan Elektif di Hospital Ampang bermula (3 minggu)
29 Julai : Kolokium Pendakwah Muda (29/7-2/8)
31 Julai : Menuju ke Temerloh. Berjumpa si kecil Umairatuljannah.
1 Ogos : Puasa
10 Ogos : Lek dan Mak Tok menunaikan umrah
12 Ogos : Latihan Elektif berakhir.
13 Ogos : Forum dan Pembentangan PLN
14 Ogos : Hari Lahir Ibu
19 Ogos : Hari Lahir Dekna
26 Ogos : Balik Besut kemudian Perlis*
3 Sept : Kenduri Fiza, Ummu Hani & Kak Diana-Abg Azrul
10 Sept : Kenduri Kak Fatimah Adi
16 Sept : Pulang semula ke Mesir.
18 Sept : Kuliah bermula.


Some food to share with you guys out there...

Food for Thought:
What most counts is not to live, but to live aright. Not only must we be good, but we must be good for something. Purpose is what gives life a meaning. A useless life is an early death. Be a life long or short, its completeness depends on what it was lived for. Strong lives are motivated by dynamic purposes. Only he who can see the invisible can do the impossible.
[Lessonsoftheday]

Do pray for me (^_^)

Sunday, June 12, 2011

Kita terpilih?


Assalamualaikum wbt. Apa khabar iman kalian hari ini? Ada doakan kesejahteraan keluarga dan sahabat-sahabat tak? Kalau belum, berhenti beberapa saat untuk mendoakan mereka....

Alhamdulillah selesai target Sinar pagi ini. Usai subuh tidak tumbang dan terus belajar.

Mahu berkongsi di blog untuk berehat sebentar. Mahu bermonolog dengan blog sendiri. (^_^).

Hidup ini penuh dengan cabaran, betul tak? Pada pengamatan Sinar tak terhitung rasanya.

Sekarang, kami pelajar di Mesir sedang menghadapi musim peperiksaan dan musim panas. Cabaran sungguh untuk mengekalkan konsentrasi dalam belajar. Adakalanya mengantuk, ada ketika dahaga dan lapar. Senang kata tidak senang duduk. Lucu pula apabila fikirkan. Itu baru satu cabaran.

Namun dengan cabaran yang pelbagai itulah mampu menguji sejauh mana kita mampu menghadapi dunia dengan penuh kesabaran. Perlu ada kekuatan rohani, akal dan jasmani. Suka saya berkongsi beberapa hal hari ini berdasarkan tajuk entri. (^_^)

Pertama : Hargailah kehidupan kerana Dia memilih kita.

Percaya tidak, kita ini terpilih?
Terasa hebat pula bunyinya... Ermm...

Sinar suka menyinggah blog Lessons Of The Day untuk mencari suntikan rohani. Akhirnya kata-kata ini menjentik jiwa Sinar.

Never think hard about past, it brings tears.

Don't think more about future, it brings fears

Live this moment with a smile, it brings cheer...

Tersentuh dan di situ ada terapi untuk meneruskan kehidupan. Apa yang difahami daripada kata-kata ini adalah keperluan kita bersederhana dalam memandang sesuatu isu atau peristiwa. Bukan bermakna kita tidak boleh mengambil pengajaran di atas apa yang telah berlaku dan keperluan merancang masa hadapan. Sebagai Muslim kita perlu muhasabah dan merancang. Itu dituntut oleh Islam tetapi bersederhanalah dan bertawakallah.

Kata-kata di atas saya kongsikan bersama rakan-rakan di Fb terutama junior tahun 4 yang bakal menghadapi peperiksaan akhir tahun hari ini. Itulah kita, manusia. Berkali-kali diuji, ada keluh kesahnya. Hatta sudah berkali-kali menduduki peperiksaan masih jua gementar. Sinar gelak sendiri bila mendengar dan mengeluar penyataan itu beberapa kali. Bahkan Sinar juga masih gementar dan tidak senang duduk ketika menghadapi peperiksaan. Itu baru 'academic evaluation' belum lagi ' Allah's evaluation'. Macam manalah agaknya kita nanti. Apapun doakan Sinar ya.

Yeap, dan terdetik juga rasa beruntung dan bersyukur Allah masih memilih kita untuk diuji. Hatta kita sebenarnya dipilih oleh Allah untuk dipersiapkan menjadi seorang guru, doktor, penguam, jurutera, suri rumah, ibubapa dan pelbagai posisi di masa hadapan. Masing-masing ada bahagiannya. Maka, kita berkewajipan untuk memanfaatkan usia kita.

Sungguh! Kita terpilih dalam segala hal.

Kedua : Seawal kita memang terpilih untuk dilahirkan di dunia ini...

Jom tonton video di bawah.





Subhanallah. Alunan ayat Al-Quran ini mendamaikan. Bukan mudah melalui fasa-fasa pembentukan manusia. Ada yang dilahirkan hidup dan sempurna, ada yang hidup tapi kurang upaya, ada yang mati tapi sempurna sifatnya dan ada pula yang gugur sebelum masa tiba. Ayuh panjatkan pujian kerana memilih kita untuk dilahirkan ke dunia walaupun wujud kekurangan dan kelemahan. Ayuh memohon ampun kerana mungkin ada waktu kita lupakan Allah selaku Pencipta kita.

Kepada pelajar perubatan atau yang ingin tahu dari sudut ilmiah bolehlah layari video ini.

Rasa terhibur pula mengulangkaji subjek Obstetrik dan Ginekologi pagi ini. Alhamdulillah dibuka beberapa dimensi untuk lebih memahami ilmu Allah. Bukan sekadar ilmiah sahaja tapi membentuk sebuah keyakinan seorang hamba Allah.

Subhanallah sungguh Allah itu Maha Besar. Membaca tajuk ' 'Infertility' yang berlaku di kalangan manusia secara amnya menyedarkan hakikat yang Allah itu yang Maha Memilih. Dia memilih ibubapa kepada anak-anak dan begitulah sebaliknya.


Bertemankan pensel warna kesayangan. Sungguh berjasa hingga 'kontot' saya kerjakan.
Ayuh baca Infertility.
~Ya Allah izinkan hambamu ingat maklumat mengenainya~

Di dunia ini wujud pasangan yang mengalami masalah untuk melahirkan anak atas beberapa faktor tertentu samada masalah di pihak suami atau isteri tetapi kajian sains juga menemui jalan buntu hingga wujudnya 'unexplained infertility' iaitu kegagalan mendapatkan anak tanpa sebab yang diketahui.

Namun, manusia tidak putus asa. Kajian dan rawatan diteruskan. Ada yang boleh dirawati dengan pengambilan ubat dan pembedahan.

Bahkan kini dengan meluas dilakukan permanian berhadas (Intrauterine insemination - IUI - تلقيح الصناعي), bayi tabung uji (invitro fertilization - IVF - طفل الأنابيب) dan pelbagai kaedah yang lain. Apa yang menariknya usaha ini juga tidak menjamin keberhasilan 100% hanya sekitar 25-40% sahaja bergantung kepada umur pesakit, kualiti benih, keadaan rahim dan sebagainya.

Itu bukti bahawasanya manusia berusaha tapi Allah juga memilih. Takkan ada yang mampu mengatasi keupayaan-Nya. Allahu akbar...

Mahu penerangan mengenai pandangn fiqh permanian berhadas sila layari blog ini. InsyaAllah bermanfaat. (^_^) Sinar pula tidaklah berhajat mahu mengupas lebih mendalam dari sudut perubatan. Mahu ramai yang pening nanti. Cukup sekadar itu. Mengambil yang tersirat dari yang tersurat.

Moga kita menghargai kewujudan diri kita dan menggunakan kelebihan yang ada untuk membantu yang mereka yang dalam kesusahan.

Sungguh anda terpilih menjadi diri anda tetapi anda juga mempunyai pilihan untuk menjadi manusia yang bagaimana.

Allah itu adil bukan? Dia memberi kita pilihan. :) Namun hati-hatilah. Kelak akan ada Hari Perhitungan.

Doakan Sinar ya. Moga dapat membentuk diri menjadi manusia berguna dan doakan juga dapat menjawab dengan baik dalam peperiksaan nanti. :) Maafkan Sinar kalau ada salah bicara dalam entri ini dan pengolahan ayat yang mungkin agak berterabur. Kekok menulis semenjak dua menjak ini. Pakar-pakar bahasa, maafkan saya. Huhu.

Selamat berjuang semua!

Thursday, June 02, 2011

Jiwa Tersepit antara Dua : Ya dan Tidak

Harus bijak memilih ya dan tidak kerana kita akan melangkah...

Ya dan Tidak merupakan perkataan yang sering kali berlegar dalam hidup kita. Hatta di tempat awam juga jelas terpampang slogan " Katakan Tidak Pada Rokok". Besar impak dua perkataan ini kerana memilih salah satu diantaranya akan menyebabkan anda memilih jalan seterusnya. Rokok? Oh bukan itu isu yang mahu saya bawa. Kotak rokok pun sudah jelas,terang dan nyata diletak gambar pesakit yang kronik tapi masih jua ramai yang hisap. :) Erm saya faham 'tidak' itu juga melambangkan perubahan dan memerlukan kejelasan matlamat dalam melafaznya. Perlu masa :)

Sahabat-sahabat sudah pasti tahu siapa musuh besar kita.

Israel? Bukan.
Syaitan? Bukan.
Oh apa lagi ya?

Dekat sungguh musuh ini. Dia tumbuh dalam diri. Dialah nafsu kita. Inilah antara pembolehubah yang akan menganggu pilihan hidup kita sama ada memilih ya atau tidak dalam banyak perkara.

Kehidupan adalah medan membuat pilihan. Saban hari ada sahaja pilihan yang harus diambil.

Mahu solah?
Mahu tutup aurat?
Mahu baca buku?
Mahu menonton drama?

Ahhh... Usah dikata, 1000 helai kertas pun tidak cukup untuk Sinar senaraikan. Banyak kan?

Kadangkala kita marah. Marah pada sesuatu yang masih boleh bersabar tapi kita tewas. Erm, kenapa kita tidak pilih untuk berkata 'tidak' pada marah dan 'ya' untuk sabar?

Kadangkala kita leka. Leka pada sesuatu yang tidak patut menjadi kegembiraan muslim. Kita seronok dengan maksiat. Kenapa harus 'ya' pada maksiat kenapa bukan 'tidak'?

Kadangkala kita sedih. Sedih pada sesuatu yang sudah menjadi ketentuan. Kita berdukacita dan menyalahkan Tuhan. Kenapa kita tidak memilih 'ya' untuk redha dengan ketentuan?

Di sinilah hati kita teruji dalam menelusuri kehidupan dengan penuh kepasrahan dan rela hati terhadap segala yang Allah putuskan. :) Jika benar kita yakin hidup ini adalah susunannya dengan sedikit usaha kita, InsyaAllah warna-warni kehidupan terasa indah.

Seorang shalih pernah berkata, " Wahai umat manusia! Medan pertempuran kalian adalah jiwa kalian. Jika kalian dapat mengalahkannya, maka kalian akan lebih mampu dari yang lain. Namun apabila kalian dikalahkan oleh jiwa kalian, maka dihadapan orang lain, kalian akan lemah dan lemah."

Justeru jika diberi pilihan Ya atau Tidak dalam kehidupan, tampillah menjadi insan yang hebat dalam membuat keputusan. Jangan lemah dalam mendidik jiwa. Jangan jiwa kuasai kita tapi kita menguasai jiwa dengan acuan yang Allah gariskan.

Kelihatan jiwa tersepit antara dua, namun jika benarlah pilihan kita dalam kehidupan, mengikut apa yang Allah gariskan, InsyaAllah.... Lapang dan tenang itu milik kita. Moga begitulah... Ameen.

(^_^) Allah.. Allah..

Sungguh ini peringatan untuk saya dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran.
Saya manusia seperti mana kamu. Sering melakukan kesalahan dan sering memohon keampunan walaupun terasa malu menghadap-Nya. Namun jauh di sudut hati ini percaya, Dia sudi menerima taubat makhluk ciptaan-Nya ini. Ighfirzunubana Ya Allah.

Selamat berjuang dalam mengendalikan jiwa!
Selamat berjuang buat adik-adik yang baru melangkah ke IPT. Medan baru maka jiwa harus digilap biar berkilat!
Selamat berjuang buat kalian yang sedang berjuang memenangkan iman dalam jiwa kalian.
Selamat berjuang buat mahasiswa Mesir yang sedang bertempur di medan peperiksaan. Doakan Sinar ya :)

O&G End round examination

29 Mei : Slide
2 Jun : History Taking
4 Jun : (MCQ)

Final Exam

18 Jun : Imtihan Tahriri O&G 1
19 Jun : Imtihan Tahriri O&G 2
20 Jun : Slides
26 Jun : Syafawi O&G
3 Julai : Imtihan Tahriri Paediatrics 1
4 Julai : Imtihan Tahriri Paediatrics 2
6 Julai : Syafawi Paediatric

Banyak rule 'Ya' dan 'Tidak' dalam menghadapi imtihan :)
Doakan saya dapat lakukan yang terbaik.
Jika umur panjang, mahu lekas naik tahun akhir. Doakan!

Wednesday, April 06, 2011

O&G itu peringatan


Alhamdulillah sudah hampir dua minggu saya berada di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G). Setakat ni tidak banyak yang Sinar 'explore' melainkan sedaya upaya membedah buku untuk mendapatkan teori dan ilmu. Tidak dinafikan untuk memahami proses kelahiran dan sakit puan ini tidak cukup dengan menatap buku sahaja malah perlu 'observe' dan mengurus pesakit. Baru beberapa kali sahaja berpeluang melihat proses kelahiran secara normal mahupun pembedahan. Belum cukup untuk berpuas hati. Masih banyak lompong di sana sini.


Kami di Hospital O&G ( Mustasyfa amrad an-nisa wat taulid)

Sinar juga kesal pada awal rotasi ini kerana kemampuan diri masih terbatas dalam banyak perkara. Sudah pasti tidak sama pengalaman seperti mereka yang belajar di Malaysia mahupun Indonesia. Saya teruja membaca pengalaman mereka. Antaranya di link ini . Teruja mahu sehebat mereka dan merasa pengalaman seperti itu walaupun sekali sebelum menamatkan pengajian nanti (^_^) Laskar pelangi harus berani bermimpi walaupun mungkin peluang tidak secerah mentari. Tak salahkan Sinar berharap?

Nah, kini Sinar terasa ditampar. Untuk menjadi hebat bukan sekadar bermimpi harus usaha lebih lagi.

Berada di tahun 5 sememangnya menyebabkan diri makin tidak senang duduk dek kebimbangan terhadap kerjaya sebagai doktor nanti. Inilah profesion yang kebanyakan orang menyangka profesionnya kukuh padahal cabarannya tak terkata. Ilmu dan kemahiran ibarat sinergi yang wajib ada pada seorang doktor. Profesion ini melibatkan nyawa bukan bahan mainan yang boleh dipakai buang. Gerun bukan? Oleh sebab itu, Sinar tidak senang duduk. Ini soal amanah dan kredibiliti. Hatta berpuluh-puluh buku dan kuliah yang dihadiri tidak menjamin kualiti diri. Sungguh bidang ini luas dan sungguhlah manusia itu lemah. Tanpa Allah kita bukanlah siapa siapa. Allah jugalah Pemilik segala ilmu dan kebijaksanaan.

Datangnya O&G dalam hidup Sinar, menyedarkan diri bahawa masa sangat suntuk. Ada sahaja cabaran yang mendatang. Dulu disediakan kelas khas untuk mahasiswa Malaysia kini lain pula ceritanya. Namun, biarpun suasana pembelajaran sudah berbeza, itu bukan alasan untuk tidak berusaha. Positifkan diri kerana begitulah kehidupan. Bukan semua keinginan kita dipenuhi. Yang indah semuanya di syurga. Adillah kiranya di dunia ini kita berpenat-lelah :) . Apapun Sinar mendoakan agar angkatan Gen6 selaku generasi pertama MOU pulang dengan jayanya.

Sedar atau tidak O&G mengajar untuk menghargai apa yang ada dan tiada...

Melihat sendiri proses kelahiran membuatkan Sinar terfikir hakikat kita sebagai manusia dan hamba Allah. Teringat kata-kata doktor di dalam tutorial tadi. Kelahiran sebenarnya adalah proses semula jadi dan tiada campur tangan manusia dalam proses tersebut. Daripada proses pemilihan benih, persenyawaan, penempelan di dinding rahim, pembesaran hinggalah kelahiran sudah terbukti menunjukkan Allah yang Maha Mengatur. Jika hidup, hiduplah bayi. Jika Allah takdirkan mati, matilah bayi. Peranan doktor? Membantu setakat kemampuan yang ada pada kudratnya. Bukanlah doktor penentu segalanya. Hatta doktor pun tidak dapat menentukan bilakah tarikh sebenar persenyawaan. Maka penentuan umur janin pun tidak tepat bukan? Apatah lagi mahu menentukan hidup dan mati manusia :) Allah saja yang tahu bila kejadian kita sebagai manusia dan bila pengakhiran kita di muka bumi.

Maka pada siapa kita patut mengucapkan syukur dan terima kasih kerana ketika ini mampu melihat dunia. Lihat sahaja saat bayi dilahirkan, ucapan terima kasih bertalu-talu pada doktor yang menyambut si anak. Di mana Allah di saat itu? Moga kita nanti, terlebih dahulu memanjatkan rasa syukur ketika bayi kita dilahirkan. (^_^)

Sinar juga sangat terharu, dilahirkan dari rahim seorang ibu yang dipanggil Ummi. Tabahnya Ummi membawa Sinar dalam kandungannya. Ke hulu dan ke hilir dengan muatan di perut. Doanya pasti tidak putus mengharapkan Sinar sihat saat dilahirkan (^_^). Sudah pasti kebimbangan dan pengharapan silih berganti. Alhamdulillah Allah penyusun segalanya. Sinar normal saat dilahirkan.

Ummi, walaupun mungkin biasa di mata orang lain, Ummi tetap hebat di mata saya. Tidak wajar saya bandingkan Ummi dengan sesiapa kerana tempat dan peranannya tidak boleh diganti. Kesabaran dan ketabahannya luar biasa. Kekurangannya membuatkan kami mencari kelebihan untuk membantunya. Sinar bersyukur dipilih menjadi anak Ummi. Terima kasih Ummi. Moga Allah menganjari syurga.

Alhamdulillah.. Moga Allah terus campakkan rasa syukur di hati ini dan memberi rasa untuk menghargai apa yang ada dan tiada. Sungguh hanya Allah yang tahu apa yang terbaik buat diri.

Melangkah dan melangkahlah tanpa berhenti... Hargailah apa yang ada kerana di situ letaknya kesyukuran. Hargailah apa yang tiada kerana di situ letaknya penyerahan dan pergantungan.

Salam mujahadah. Doakan Sinar ya.

Friday, March 11, 2011

Tuah di Bumi Mesir : Pulang semula

Pejam celik pejam celik mahu sebulan juga bercuti di Malaysia. Alhamdulillah hari ini Sinar sudah pun berada di meja study yang dirindui. Siapa sangka Mesir tiba-tiba bangkit menuntut hak dan kami pula dinasihatkan pulang. Pasti ada hikmah dan rahmah yang tersembunyi. Alhamdulillah keberadaan di Malaysia dimanfaatkan sebaik mungkin walaupun ada beberapa tempat wajib tidak sempat dikunjungi. Maafkan Sinar kerana tidak dapat tunaikan janji. Jujurnya terselit perasaan resah apabila teringatkan pengajian yang tertangguh. Mengenangkan buku-buku di rak tidak bersentuh menambahkan galau di hati. Nak tak nak, bila dapat arahan kenalah jugalah balik apatah lagi perjuangan belum selesai.

Pintu pagar sekolah setia menanti.

Minggu terakhir di Malaysia berderet kem yang harus Sinar sertai dari Tamrin Perantau, Kem SPIES anjuran Kerajaan Negeri Selangor hinggalah Program Wacana Intelektual aka BTN. Setiap kem ada objektif tersendiri dan insyaAllah banyak pengalaman dan ilmu ditimba. Alhamdulillah setidaknya mendidik Sinar untuk menilai realiti kita. Matang dalam menerima input dan maklumat.

Ketika BTN itulah sudah dimaklumkan kebarangkalian bahawa kami mahasiswa tajaan JPA akan dihantar pulang pada 9, 10 atau 11 Mac. Antara sedih dan gembira menerima berita tersebut. Walauapapun bersyukur kerana ada yang sudi menaja tiket pulang.

Setiap hari juga membuka emel dan menelefon pihak bertanggungjawab. Itupun jenuh digesa Ummi. Sinar bukanlah rajin mana untuk online di Malaysia, apatah lagi apabila tiada perkembangan mengenai tiket tersebut. Mungkin JPA masih dalam peringkat penyusunan. Hinggalah pada waktu tengahari 8hb Mac, barulah tergerak hati untuk melihat emel terkini penghantaran pulang ke Mesir. Bergolak hati apabila mendapat tahu perlu berkumpul di KLIA pada malam itu juga. Maklumlah 'unprepared'. Tepuk dahi kerana barang belum dikemas dan dibeli. Sepantas kilat Ummi pula mengajak keluar. Haha, tapi hati ni sungguh berat mahu meninggalkan Ummi, Lek dan adik-adik.

Sempat lagi menyiapkan jahitan leher dua helai baju yang Ummi jahitkan. Ada juga yang panggil mata lalat tapi kami suka panggil karipap. Sebenarnya beza panggilan berdasarkan berapa lilitan yang dibuat. Bila 3 lilitan namanya mata lalat, bila 5 namanya karipap. Disebabkan kami dari kecil melihatnya macam karipap, kami memanggilnya karipap hingga kini walaupun mengunakan 3 lilitan. Sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan jahitan ini. Comel pun comel. Hasilnya, cantik dan selesa dipakai (^_^). Orang sibuk kemas beg, Sinar sibuk menjahit. Oh lupa ada orang panggil 'tikam leher'. Mati mati Sinar ingat orang nak tikam leher. :) rupanya istilah sahaja berbeza.

Kain Cotton jadi pilihan. Selesai sahaja Ummi jahit baju giliran Sinar 'tikam leher'. Lucu pula bila guna ayat ini.

Ummi yang pilih. Terima kasih jahitkan.

Packing... Packing... Yeah! Dapat baju baru!

Pada 9.15 malam kami bergerak ke KLIA. Alhamdulillah Ummi dan Lek pun sudah ke Mesir tempoh hari. Maka tidak perlulah bawa banyak barang ke Mesir. InsyaAllah 20 kg yang dibenarkan oleh JPA memadai untuk penerbangan kali ini. (Ini ayat orang mahu balik lagi. Hehe)
Kalian permata hatiku. Sedihnya nak tinggalkan.
Senyum untuk cover....
Gurau dengan lek, " Siapa ye nak menangis dulu ni?"
Balas lek sambil senyum, " Lek ada dua kesedihan."
Berkaca sudah mata kami.
Speechless...
Terima kasih dan maafkan segala kesalahan Along ya.
Terima kasih JPA dan MAS. Layanan dan makanan BEST!
Cairo Airport sekali lagi kami jejaki. Macam tak percaya.
Zuppp... Sejuk... Inilah angin Mesir yang Sinar suka.
Sabar menanti bas. Apalah agaknya khabar rumah?

Terkejut!

Inilah kerja rumah yang ditinggalkan oleh 'makhluk kasar'

Kesian 'dia' terperangkap sedangkan kami terlepas selama sebulan... (^_^)

.................

Allahuakbar... Setiap yang bernyawa itu pasti mahu mencari jalan keluar bila menghadapi kesulitan... Wallahu'alam

.................

Begitulah coretan tentang cuti-cuti Malaysia -Mesir kali ini.

Doakan yang terbaik untuk kami ya. (^_^)

Salam perjuangan semua.