BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, February 14, 2010

Sinai Explorer 2010 Part 3

Hari Ketiga 11 februari 2010


Suasana pagi di Dahab nyaman sekali. Udaranya segar. Paginya damai dan sunyi daripada kesibukan. Kedai pun masih belum beroperasi. Sunyi tapi inilah saat kami menikmati keindahan alam di sini.

Kami berjalan di persisiran pantai menikmati damainya pagi. Allah izin, ketika kami sedang menyeberangi jambatan, kami dipertemukan dengan seorang warga Kanada. Beliau menyatakan kegembiraan melihat sekumpulan anak gadis bertudung litup dan berbudi bahasa. Katanya dia berasa gembira melihat kaum muslimin yang bersopan-santun begini. Katanya lagi, bangsa eropah sendiri kekadang dingin dan tidak ramah dalam erti kata lain ada yang sombong dengannya. Ini pantulan dari pengalaman beliau, katanya apabila melancong dan terserempak dengan beberapa warga Eropah lain, setiap kali diajak berbual, mereka bersikap acuh tidak acuh. Lain pula dengan bangsa Asia. Kita ramah, mudah membantu dan merai tetamu. Sebenarnya itu satu kelebihan. Terpulang kepada kita mengambil peluang. Moga keindahan yang dilihat beliau itu mampu membuka hatinya untuk mengenal Islam dengan lebih jauh. Alhamdulillah, pertemuan yang tidak kami rancang, namun cukup meninggalkan memori indah. Kemudian, sebaik sahaja bertemu beliau kami meneruskan pencarian aktiviti untuk mengisi masa.



Keberadaan kami di Dahab diisi dengan aktiviti yang menarik. Sempat juga kami berkuda dan ada juga yang ingin mencuba quad bike. Peluang hanya datang sekali. Peluang yang ada digenggam sebaik mungkin.


Selepas puas menjelajah kawasan Dahab dengan menunggang kuda, kami bergegas pulang ke hotel untuk ‘check out’ dan meneruskan perjalanan menziarahi kubu salahuddin sebelum pulang ke Kaherah.

Kubu Salahuddin



Dari jauh lagi apabila terlihat kubu salahuddin yang terbina di atas sebuah pulau, hati terdetik kagum. Hati seakan-akan tertarik dengan kewujudan kubu itu ditengah-tengah perairan. Sesuatu yang unik Sinar rasakan. Justeru untuk menjejakkan kaki ke kubu itu, kami perlu menaiki bot. Kubu ini telah dibina oleh tentera pimpinan Salahuddin Al-Ayubi untuk menghadapi tentera Salib. Kedudukan kubu ini sangat strategik kerana berada ditengah-tengah sempadan Palestina, Jordan dan Arab Saudi. Ini memudahkan tentara mengawal keamanan negara dan menangkis sebarang ancaman dari negara luar.


Tidak dapat tidak, peluang untuk menikmati panaorama yang cukup indah digunakan sebaik mungkin. Sinar banyak menghabiskan masa di salah satu tembok utama kubu tersebut bersama dua lagi rakan. Di situ kami bertukar cerita, bertukar rasa, bernasyid bersama dan apa yang membuatkan dada ini sebak, saat yang singkat itu mengingatkan kami bertiga mengingati Allah. Alunan zikir sayup sayup kami alunkan bersama. Terima kasih kepada teman setembok. Moga Allah berkati saat itu. Walaupun pertama kali menjejak kaki, tapi terasa akrab dengan tempat ini. Dari jauh dapat kulihat bendera kesatuan arab di Aqabah, Jordan. Terus dihambat rindu yang bersangatan di bumi Urdun yang harmoni itu. Mahu sahaja diseberangi perairan itu tapi itu mustahil kerana waktu amat cemburu.

.:Di sini kami meluah dan berbicara:.

.:merenung dalam jiwa hamba:.


Hati sungguh berat mahu meninggalkan kubu itu. Selamat tinggal kuucapkan. Lalu bot meninggalkan kubu dalam kenangan yang cukup indah sebelum kepulangan ke kota Kaherah.

.:berakhir sudah Sinai explorer 2010:.



.:Selamat tinggal:.


Alhamdulillah, perjalanan 3 hari 2 malam ini meninggalkan kesan yang mendalam. Walaupun terasa singkat tapi apa yang ingin Sinar cari, sudah pun Sinar temui. Benarlah kembara itu punya hikmah yang tinggi.

Sinai Explorer 2010 Part 2

Hari Kedua 10 Februari 2010

Suasana Semenanjung Sinai masih sunyi ditelan pekatnya malam, sungguh nyaman untuk beradu tetapi hanya sempat melelapkan mata sejam dengan selena-lenanya. Alhamdulillah tidurku berkualiti, menjana tenaga untuk mendaki. Pukul 11.30 malam (9 februari) kami diminta berkumpul. Namun ditukar semula kepada 11.45 malam ekoran bas akan akan bertolak ke kaki gunung hanya pada pukul 12.30 malam (10 februari). Namun seperti biasa, masa teranjak hinggalah pukul 1.00 pagi baru bergerak ke kawasan yang ingin dituju.

Bangun... Adik-adik bangun...

Malam masih muda...

Menunggu...

Bersemangat!!!

Melihat adik-adik yang bersemangat untuk mendaki, termotivasi juga diri ini. Hati ini sememangnya teruja untuk mendaki dan menawan Gunung Thursina atau Jabal Musa. Pesanan rakan-rakan, agar hati sentiasa dibasahi dengan zikrullah tersemat di minda. Detikan hati yang tidak baik, lebih baik dicampak jauh sebelum pendakian bermula. Justeru takbir, tahmid dan tahlil meniti dibibir, menemani setiap langkah mengharungi gelapnya malam. Bertemankan lampu suluh dan teman-teman yang lain, seakan ada daya tolak untuk meneruskan perjalanan walaupun terasa penat yang bersangatan. Batu yang kupijak inilah yang menjadi pijakan Nabi Musa ketika mencari sinar islami.

Tahukah kalian Gunung Thursina atau Jabal Musa ini setinggi 2280 meter dari paras laut. Walaupun kelihatan rendah berbanding Gunung Kinabalu, hakikatnya ia tetap mencabar apatah lagi kesejukan yang membeku. Dan di sinilah Nabi Musa bermunajat kepada Allah Taala selama 40 hari sepertimana yang termaktub dalam Al-Quran dalam Surah Al-A’raf ayat 143 hingga 147. Kita sama-sama membongkar kisah dalam lembaran suci Al-Quran itu.

Jabal Musa ; Menuju Puncak, Gemilang Cahaya

Lebih kurang 3 jam perjalanan, akhirnya kami sampai di puncak. Sejuk tak terkata menyebabkan bathoniyah (selimut tebal) kami sewa. Itupun tidak dapat menghangatkan tubuh yang mengigil kesejukan. Hebat sungguh penangan di atas bukit ini. Tapi udara yang dihirup cukup aman dan segar sekali. Subhanallah, wal hamdulillah wa lailahaillallah wallahuakbar. Kepenatan di atas bukit dibalas dengan zikir. Bersyukur diberi khudrat hingga ke puncak.


Alhamdulillah...Selamat sampai


Kami menunggu sehingga masuk waktu subuh dan seterusnya menanti matahari terbit yang dikatakan cukup indah dilihat dari puncak.

Sememangnya penanti itu sangat menakjubkan, melihat matahari terbit secara berfasa, dari cahaya merah muncul hingga ke bulatan matahari terbentuk sepenuhnya. Subhanallah memang penciptaan Allah itu Maha Indah. Tiada tandingan.



Kedengaran Nama-nama Allah dinasyidkan...


Selesai melihat matahari terbit, peserta berkumpul untuk sesi tazkirah yang bertajuk “ A walk to Sinai seeking for the Highest.” Sinar diberi taklifan untuk menyampaikan tazkirah di pagi hari tersebut. Jika diteliti ‘The Highest’ itu ada terselit makna yang cukup besar. Kita bukan sekadar jalan-jalan, tapi kita berjalan mencari Allah Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Tinggi. Jejak Sinai bukan sebarang jejak. Jejak kita mencari redha Illahi. Jika tidak diselaraskan niat untuk beribadah kepada Allah, maka sia-sialah pendakian 2280 meter ini. Setiap perbuatan mestilah kerana Allah, setiap percakapan mestilah kerana Allah, setiap deruan nafas mestilah kerana Allah. Barulah akan dimuliakan disisi Allah Taala. Tidakkah itu yang kita semua inginkan? Di mana pun bumi kita pijak Allah itu sangat dekat. Di puncak inilah kita manfaatkan peluang bermunajat dan berdoa kepada Allah seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Musa dalam kembara mencari redha Allah.

“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat. Aku makbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu dalam kebenaran”

(Al-Baqarah : 186)

.:Seeking for The Highest:.

Salam Perjuangan daripada kami peserta Sinai Explorer 2010


Sungguh, pagi itu benar-benar meniup nafas baru dalam diri. Berbekalkan ayat Al-Quran yang Sinar bacakan dan kongsikan itu dan memandangkan ayat itu ayat kegemaran Sinar juga, moga kita benar-benar merasai pengawasan Allah. Moga Allah terus dan terus memberi hidayah dan petunjuk untuk menyuluh kehidupan ini. Seterusnya sesi taklimat bersama timbalan pengarah program, saudari Ramisah Aini pula mengambil alih tentatif sebelum kami semua menuruni Jabal Musa.



Saint Catherine’s Monestary


Setelah hampir dua jam setengah, kami berjaya turun ke kaki gunung dan berehat sebentar di kawasan batu bertentangan dengan Saint Catherine’s Monastery sementara menunggu sebahagian peserta yang masih belum tiba.




Saint Catherine’s Monastery dibina oleh Maharaja Justinian (527-565) pada zaman Byzantine. Selepas sedikit sesi taklimat berkaitan dengan biara ini, kebanyakan peserta mula bergerak memasuki biara tersebut. Didalamnya terdapat ‘The Burning Bush’ iaitu pohon hijau yang seakan-akan tergantung yang dipercayai bercahaya apabila wahyu diturunkan kepada nabi Musa satu ketika dahulu. Bagi penganut kristian Jabal Musa merupakan salah satu gunung suci mereka dan menjadi tempat ziarah yang sangat dihormati kerana kewujudan Burning Bush dan biara St. Cathriene ini. Apa yang menarik, di dalam biara ini terdapat masjid yang dibina ketika zaman Fatimiyyah. Namun hari ini Saint Catherine’s Monastery ini menjadi milik Kristian. Justeru pengaruh Kristian yang kuat di dalam biara ini menjadi tarikan ramai pelancong beragama kristian.


Lembu Samiri

Setelah puas melawat biara tersebut kami bergerak ke bas untuk pulang ke hotel terlebih dahulu. Kira-kira pukul 12.00 tengah hari kami chek out dan menuju ke kawasan Lembu Samiri yang terletak di lereng bukit tidak jauh dari Jabal Musa. Batu tersebut kelihatan seperti seekor lembu. Ada pendapat mengatakan patung Lembu Samiri ini diukir oleh Samiri ( seorang Bani Israel dari suku kaum Assamirah) selepas patung ciptaannya yang pertama yang dibuat daripada emas dihancurkan. Dalam pendapat lain pula dikatakan pancaran cahaya dari patung lembu emas itu yang membentuk ukiran di lereng bukit ini. Wallahu’alam.



Menurut sejarah, ukiran Lembu Samiri ini bersangkut paut dengan Lembu Samiri yang pernah disembah oleh kaum Nabi Musa ketika sepeninggalan baginda untuk bermunajat di Jabal Musa selama 40 hari. Sepeninggalan Nabi Musa, Nabi Harun diberikan kepercayaan untuk mengawasi dan memimpin penduduk Bani Israel daripada melakukan kemungkaran. Bagaimanapun sepanjang pemergian Nabi Musa, ujian ini berlaku. Sebilangan mereka menyekutukan Alllah dan menyembah anak lembu yang diperbuat dari emas oleh Samiri. Sudah tentu sekembalinya Nabi Musa dari munajatnya, baginda cukup terkejut dan terkilan di atas apa yang berlaku. Maka termaktublah kisah ini di dalam Surah Taha ayat 83-91.

Makam Nabi Harun A.S



Sambungan daripada Surah taha ini iaitu ayat 91- 98 merupakan teguran Nabi Musa kepada Nabi Harun di atas amanah yang diberikan untuk menangkis sebarang kekufuran sewaktu peninggalannya dan terkandung juga perbualan Nabi Musa dengan Samiri dan balasan di atas kekufurannya itu. Nabi Harun merupakan rasul yang ke-16 selepas Nabi Musa dan baginda merupakan abang kepada Nabi Musa (dilahirkan 3 tahun sebelum Nabi Musa). Nama penuhnya ialah Harun Bin Imran Bin Qahits bin Lawi Bin Yaakub Bin Ishak Bin Ibrahim. Makam Nabi Harun terletak berhampiran dengan kawasan Lembu Samiri. Namun kami hanya melihat dari jauh memandangkan kesuntukan masa.

Makam Nabi Salleh A.S

Perjalanan diteruskan ke makam Nabi Salleh. Nabi Salleh diutuskan kepada kaum Thamud. Selepas Kaum ‘Ad dimusnahkan, kaum Thamud pula menguasai. Hanya sebilangan kecil dari kaum baginda yang beriman. Manakala mereka yang tidak beriman meminta bukti kenabian. Lantas Allah memberi mukjizat kepada Nabi Salleh A.S dengan mengeluarkan seekor unta betina dari sebalik sebuah batu besar. Nabi salleh sudah berpesan agar unta betina itu tidak diganggu apatah lagi dibunuh. Sekiranya peristiwa ini berlaku, bala besar akan menimpa mereka yang ingkar. Namun masih ada yang tidak percaya akan nubuwwah dan risalah yang Nabi salleh bawa. Maka pembunuhan unta diketuai oleh 2 orang pemuda iaitu Mushadda’ Bin Muharrij dan Gudar Bin Salif. Akhirnya azab Allah menimpa kaum Thamud.


Justeru kisah ini membangkitkan kesedaran bahawa keingkaran sekelompok manusia mampu mengundang binasa kepada masyarakat seluruhnya. Realiti hari ni boleh kita kaitkan memandangkan maksiat kian berleluasa. Adakah kita mahu Allah membinasakan kita kerana dosa orang lain. Seharusnya kita buka mata dan sebarkan seruan Islam dan tidak lagi selesa dengan status masing-masing. Biarlah sama-sama kembali kepada Allah dengan Redha-Nya.

Dahab ; Merehatkan jasmani, mendidik rohani

Sebaik sahaja menziarah makan Nabi Salleh, kami menuju ke Dahab, kawasan pandai yang sangat cantik dan menenangkan. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan. Antara aktviti yang menarik ialah scuba diving, snorkeling, menunggang kuda dan quad bike.

Sebelum menerokai Dahab, kami terlebih dahulu berehat di hotel melepaskan lelah. Disebabkan masalah teknikal rombongan ini dipecahkan kepada dua hotel, iaitu sebahagian peserta ditempatkan di Hotel Jowhara dan Hotel Merama. Hotel Octopus yang ditempah terpaksa kami lupakan seketika walaupun kemudahannya lebih menarik dan selesa. Sinar menginap di Hotel Jowhara bersama Raf, Aqish, Rem, Jlah serta 2 musyrif dan 43 peserta yang lain. Agak kelam-kabut juga menguruskan hotel ini. Alhamdulillah segalanya dapat dikawal. Jazakallah pada yang terlibat untuk mengurus masalah-masalah yang timbul. Hidup ini penuh dengan kejutan dan kita merancang, Allah juga menentukan.



Sebaik sahaja Isyak, kami AJK yang Allah izin terdiri daripada gen6 kesemuanya dan 3 teman dari Jordan berpakat untuk menikmati malam di Dahab dengan acara ‘Hunting for food’ dan shopping. Acara pertama iaitu makan kami nikmati sepuasnya. Sementara menunggu juadah tiba, seperti biasa perbualan mengisi masa. Terasa hangatnya ukhwah ketika itu apabila masing-masing mula berbicara. Alhamdulillah malam ini terisi dengan memori yang tidak akan Sinar lupakan. Moga kita turut dikumpulkan di Syurga kelak. Bersambung.

Saturday, February 13, 2010

Sinai Explorer 2010 Part 1

Apa khabar semua? Sinar harap pembaca semua sihat dan dipelihara Allah selalu. Maaf kepada mereka yang ternanti-nanti perkhabaran diri ini. Sungguh walaupun cuti, banyak tanggungjawab yang harus dilunaskan. Rindu sungguh Sinar pada laman ini.

Sudah tiga tahun berlalu, cuti musim sejuk yang keempat bertandang pula. Kalau dulu;

Tahun 1 menghabiskan cuti di Kaherah, merawat jiwa::
Tahun 2 ke Bahriya, padang pasir dan batuan pelbagai mencetus bicara::
Tahun 3 ke Jordan dan Syria, merungkai persoalan yang ada ::
Tahun 4 berpatah semula ke bumi Mesir menjelajah Semenanjung Sinai pula.



Mungkin ada yang hairan tapi itulah kenyataan. Sinar belum pernah ke Sinai dan Alhamdulillah walaupun tidak pernah menjejakkan kaki ke sana, telah dijemput menjadi tenaga pelaksana. Terima kasih atas kepercayaan kalian. Menjadi Orang Kaya dalam ‘team Sinai Explorer 2010’ telah menjadikan Sinar seorang yang garang dalam mengawal status kewangan. Hehe..maaf ye kawan-kawan. Siap yang ada adik peserta berkata, “Ingatkan Kak Sha ni garang”. Belum kenal belum tahu. Maka apa komen antunna bila dah tiga hari berehlah bersama. Garang lagi tak?

Alhamdulillah kembara diri ke semenanjung Sinai berlalu sudah. Bukan sekadar berjalan-jalan sebagai peserta, akan tetapi sebagai mereka yang menguruskan aktiviti rehlah sememangnya berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cubaan. Pelbagai perkara boleh berlaku tanpa dijangka. Pertamanya bersyukur kepada Allah dikurniakan ‘team’ yang sangat sabar dan sentiasa bertungkus-lumus menjayakan program. Selaku salah satu tenaga pelaksana, terasa kesulitan itu hanya dapat kita hadapi bila ada kesatuan bersama. Tak kira waktu, tak kira tempat, apa yang penting kita perlu tajdid (perbaharui) niat. InsyaAllah bantuan Allah bersama orang yang sabar.


Panjang pula berceloteh. Sememangnya Sinar sangat gembira. Terima kasih semua. Ingatlah setiap ujian dan cabaran itu tanda Allah sayang dan InsyaAllah bakal mematangkan kita. Mari kita kenal Sinai dan kawasan sekitarnya sambil jalan-jalan menambah iman

Semenanjung Sinai, destinasi kami

Semenanjung Sinai atau Sinai merupakan satu semenanjung berbentuk segitiga yang terletak di antara Laut Mediterranean (ke utara) dan Laut Merah (ke selatan), yang terletak di Mesir. Ia mempunyai keluasan sebanyak 60,000 kilometer persegi. Dataran ini menyingkap pelbagai peristiwa sejarah para rasul seperti peristiwa perjalanan Nabi Ibrahim ke Syam, Nabi Musa berbicara dengan Allah di Lembah Suci Sinai. Di samping itu juga terdapat makam Nabi Harun dan makam Nabi Salleh. Hampir seluruh kawasan semenanjung Sinai ini merupakan kawasan padang pasir dan gunung-ganang berbatuan. Namun, batuan bukan sebarang batuan. Kawasan ini tetap menerima kunjungan tanpa henti kerana sejarah yang dimiliki.

Seawal 6.30 pagi kami berkumpul di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah untuk sesi taklimat bersama jawatankuasa pelaksana dan taklimat keselamatan oleh musyrif. Rehlah kami kali ini dirasmikan oleh Saudara Muhammad Husaini Bin Salleh, selaku Presiden PERUBATAN 2010/2011. Kira-kira pada pukul 8.30 pagi kami memulakan perjalanan yang disertai oleh 84 peserta, 7 ajk pelaksana dan ditemani oleh 4 musyrif yang berwibawa dengan menaiki 2 bas yang ditempah khas untuk rehlah ini.

Bar Lev Line dan Nuktah Hasinah

Kira-kira jam 10.30 kami berhenti berehat di salah sebuah kedai (ala-ala R&R) untuk menghirup udara segar. Kemudian perjalanan diteruskan untuk ke Bar Lev Line. Namun kami tidak berjaya turun ke kawasan yang dituju diatas sebab ketenteraan dan keselamatan.



.:Abang-abang musyrif yang berdedikasi:.

Bar Lev line merupakan rantaian kubu 160 meter panjang yang dibina oleh Israel sepanjang terusan suez selepas menawan semenanjung sinai dalam Six Day War (Perang Arab-Israel 1967) iaitu peperangan antara Israel dan negara Arab (Mesir, Jordan dan Syria). Kubu ini dibina dari dinding-dinding pasir yang disokong oleh dinding konkrit. Disebalik tembok itu israel menempatkan barisan pertahanan mereka yang paling kuat dan canggih. Mereka membina 35 titik pertahanan dengan setiap satunya terdiri daripada 26 kubu yang lengkap dengan heavy machinegun, 24 tempat perlindungan, 6 penembak mortar, 4 bunker penembak anti pesawat dan 3 anti kereta tebal serta setiap titik pertahanan tersebut dikelilingi kira-kira 15 lilitan kawat berduri dan periuk api. Kemudian bas menuju ke Nuktah Hasinah yang juga merupakan salah satu rantaian kubu israel. Dapatlah kami melihat kubu yang ada.


.:Pemandu bas beraksi di salah sebuah pintu kubu:.

.:Di bawah timbunan batu itu ada bilik-bilik operasi ketenteraan:.

.:Terjemahan Taurat yang didapati tersimpan di dalam kubu:.

.:Antara senjata yang ditemui:.

.:Kubu oh kubu akhirnya tumpas jua:.

Namun akhirnya Mesir berjaya mendapatkan semula kawasan ini dalam Perang Yom Kappur atau lebih dikenali sebagai Perang Oktober (Harb Sitta Oktober) di Mesir pada Oktober 1973. israel kelihatan gah dengan peralatan perang yang dimiliki namun ilham daripada Allah, air mampu menghancurkan kubu yang dianggap pelindung Israel itu. Sungguh Allah itu Maha Besar dan Mengetahui Segala sesuatu.

Uyun Musa

Uyun Musa merupakan tempat persinggahan Nabi Musa untuk bersuci yang terletak di antara Terusan Suez dan Gunung Thursina. Sejarah mengatakan ada 12 buah telaga semuanya. Namun sekarang hanya tinggal lapan buah telaga sahaja yang ditemui. Kami pula hanya sempat melihat 2 buah telaga sahaja. 12 telaga itu menunjukkan bahawa pengikut Nabi Musa terbahagi kepada 12 kaum. Firman Allah:

“Dan ingatlah ketika Musa memohon air untuk kaumnya lalu kami berfirman:”Pukullah batu itu dengan tongkatmu.”Lalu memancarlah daripadanya 12 mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. Makan dan minumlah rezeki yang diberikan oleh Allah dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerosakan.”

(Al-baqarah:60)


Syukur pada Allah kerana diri ini dapat menjejaki uyun (mata air) ini. Terasa dekat dengan Nabi Musa. Tiada ujian yang lebih berat untuk manusia melainkan ujian Allah pada para nabi. Nabi Musa merupakan anak kepada Imran dan Yukabad Binti Qahat. Waktu kelahirannya sahaja sudah cemas kerana Firaun menguatkuasakan undang-undang supaya bayi lelaki yang dilahirkan terus dibunuh. Namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Dialirkan Musa di Sungai Nil. Sayang bertamu dihati Asiah. Musa pun membesar menegakkan kebenaran di istana yang penuh kehinaan.
Apabila dewasa, Nabi Musa sangat disayangi oleh Asiah, isteri Firaun tapi sangat dibenci oleh Firaun sendiri. Mana tidaknya, firaun terasa dicabar. Sememangnya Firaun sendiri sudah tahu, ada yang lebih berkuasa daripada dirinya. Namun apabila ego mengatasi segalanya, yang benar itu terasa gelap. Justeru kita manusia hendaklah mengambil iktibar agar, yang benar itu kita tegakkan, yang bathil itu kita tinggalkan dan kita hapuskan.

Hotel Morgenland, tempat beradu


Selesai di Uyun Musa, perjalanan diteruskan ke tempat penginapan. Hotel Morgenland menjadi pilihan untuk berehat seketika sebelum kami memerah tenaga pada lewat malam untuk mendaki Gunung Thursina. Apa kisah disebalik gunung ini, nantikan sambungan part 2 Sinai Explorer ini.

Tuesday, February 09, 2010

Winter Break 2010

Merakam bingkisan alam : Saujana mata memandang :
.: Memujuk hati supaya terus tenang :.

Sudah beberapa hari cuti musim sejuk bermula. Banyak perancangan yang ingin dilakukan. Alhamdulillah separuh daripadanya sudah terlaksana. Namun hasrat ingin mengulangkaji pelajaran terutama subjek 'Forensic and Toxicology' masih belum tercapai. Buku 'Ear, Nose and Throat' juga seakan-akan memanggil untuk dibedah isinya. Moga terlaksana sebelum kuliah dibuka. Seawal cuti bermula, jadual harian padat dengan program dan pelbagai urusan. Bak kata seorang teman "Hidup seorang Muslim ni memang buzy. Mana ada rehat." Tersenyum mendengar kata-katanya. "Kalau ana buat-buat buzy bolehkan. Aci tak?"

Boleh dikatakan minggu pertama cuti, beratur program yang ingin dihadiri baik di peringkat anjuran PERUBATAN mahupun yang lain. Dari majlis pernikahan, mesyuarat agung hinggalah seminar dan kelas tafakuh. Walaupun kedatangan cuti sememangnya dinanti tetapi cuti bukanlah 'greenlight' untuk kita membiarkan masa tidak terisi apatah lagi diisi tanpa kualiti. (^_^) Membuang masa bermakna kita tertipu dengan syaitan durjana. Moga Allah jauhkan.

Daripada Abu Zar Jundub Ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Muaz Ibn Jabal Radhiallahu'anhuma daripada Rasulullah s.a.w bahawasanya baginda bersabda:

"Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada dan iringilah kejahatan dengan kebaikan nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik"

Justeru, di mana pun kita, di waktu mana pun kita, semestinya kita berkelakuan dengan apa yang Allah kehendaki. Sememangnya agak kalut beberapa minggu ini. Terasa mahu lari pulang ke Malaysia. Jasad masih di sini akan tetapi hati melayang pulang ke nusantara. Realiti tetap realiti. Perjuangan tetap perjuangan. Misi mesti dilaksanakan. Biar rindu pada tanah air menjadi sumber kekuatan di sini. Doakan (^_^)

Postactivity
  • Le tour de Cairo bersama kenalan yang belajar di Rusia. Alhamdulillah beliau pun sudah pulang semula ke negara bersalji itu. Jemput berkampung di sini lagi.
  • Menghadiri Majlis Pernikahan Saudari Naimah dan Saudara Israq
  • Menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN
  • Menyambut tetamu yang belajar di Jordan. Sejuta kemaafan dipohon kerana tidak memberi layanan yang sebaiknya. [Asyik ke hulu ke hilir je kak sha ni kan...Huhu ]

In progress

  • Esok sudah mahu menyertai Sinai Explorer 2010 :: Doakan kami selamat pergi dan pulang
  • Seminar PERUBATAN Mesir Kali Ke-3 :: Muslim Medical Student Towards Professionalism
  • Program Tamsyi : Rindu nak menziarah dan mengisi rohani
  • Menunggu gambar perkahwinan adinda tersayang di saat kenduri. Sabar Along Sabar. (^_^)
  • Membaca dan membuat nota
  • Mendidik diri bersabar dan menjadi insan yang Allah sayang.

Akhir kalam, doakan cuti ini diberkati Allah. Moga tidak ada waktu yang diabaikan untuk mengingati Allah. Sedikit gambar yang menenangkan jiwa dan sanubari. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.

Berjalan mencari cinta hakiki

Kita semakin hampir...

Dialah yang menciptakan alam ini. Berfikirlah dan berfikirlah...

Moga sinar hidayah-Nya milik mereka yang benar-benar ikhlas dijalan-Nya.

Moga diriku, kalian dan mereka bakal bertemu di Syurga Abadi.

Sunday, February 07, 2010

::MAT 7 memoire::


Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-7
Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan (PERUBATAN)
6 Februari 2010


Kedinginan cuti musim sejuk kali ini, julung-julung kali dihangatkan dengan Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN yang kebiasaannya diadakan pada bulan November. Namun atas sebab-sebab tertentu mesyuarat ini dianjakkan kepada bulan Februari ini. Alhamdulillah, segalanya selesai seperti dirancang walaupun di sana terdapat kekurangan dalam mengoptimumkan kelancaran majlis. Mohon kemaafan atas ketidaksempurnaan dan terima kasih diucapkan kepada ajk pelaksana yang sememangnya sangat komited bekerja walaupun pelbagai halangan menimpa.

Sememangnya penuh debaran menanti ketibaan semalam. Mana tidaknya ahli jawatankuasa tertinggi sesi 2008-2010 harus menyediakan hati, melapangkan jiwa, membuka minda untuk menerima segala teguran selepas 2 tahun berkhidmat kepada komuniti PERUBATAN. Inilah sesi yang Sinar rasa cukup panjang, luar biasa dan penuh cabaran. Namun AJKT yang ada telah banyak berganding bahu walaupun ada yang menilai rendahnya usaha yang dilakukan. Itu perkara biasa. Masakan indah hidup ini tanpa ujian, kritikan dan masalah. Itulah yang mematangkan manusia hatta mematangkan persatuan yang baru ditubuhkan. Salah itu biasa, namun membiarkan satu kesalahan di takuk lama itu jenayah kemajuan namanya. Suara ahli penting untuk kita tingkatkan kualiti dan bermuhasabah kembali.
Terima kasih di atas bimbingan dan kerjasama kalian

Perjuangan tidak berhenti di sini


Sejujurnya kelegaan sangat dirasa sebaik sahaja menuruni pentas utama. Alhamdulillah itulah lafaz pertama. Bukan lega meninggalkan jawatan lama tapi kelegaan dalam memikul amanah yang cukup berat dirasakan. Banyak sudah sudi menumpangkan bahu dan banyak juga sudi menghulurkan tangan di saat diri terkapai-kapai mencari bantuan. Seinfiniti terima kasih kepada keluarga, sahabat-sahabat, teman serumah, rakan-rakan dan adik-adik yang banyak menyokong diri ini. Moga Allah balasi jasa, pengorbanan dan bantuan kalian.

InsyaAllah mereka yang mengantikan itu lebih layak. Allah telah memilih mereka untuk merealisaikan erti hidup pada memberi. Kita bukanlah selama-lamanya di atas kerana masih ada komitmen lain yang harus dicakna. InsyaAllah AJKT sesi 2010/2011 bakal membawa pembaharuan pada persatuan yang dikasihi. Hatta diri ini masih sedia menghulurkan bantuan tapi cukuplah setakat berada di bawah kerana itu lebih menyenangkan saat ini. Banyak harus diberbaiki dan dikoreksi kembali. Moga amanah yang berlalu ini tidak seperti debu-debu berterbangan. Mohon maaf atas segala kelemahan dalam memegang jawatan yang diberikanDari setahun ke setahun, persatuan ini kian bertambah ahlinya. Sudah pasti cabaran tidak pernah sama. Sinar cukup tertarik dengan ucapan dasar yang dibentangkan oleh Presiden PERUBATAN sesi 2008-2010, saudara Ahmad Wafi Bin Mohd Arshad tentang kuantiti dan kualiti. Renungan yang cukup besar buat sesiapa untuk menilai kembali kualiti hidup kita masa kini. Hatta kualiti sebuah ahli dan persatuan dan jika kita dapat kaitkan dengan kualiti ummat Islam dalam realiti hidup dewasa ini.

Kuantiti dan Kualiti Pelajar Perubatan Mesir

“Hidup di tengah-tengah masyarakat membuka ruang yang luas untuk memberi dan menerima. Konsep ini subur dalam kehidupan bermasyarakat atau berpersatuan. Kelebihan setiap individu secara kolektif menutup kelemahan individu yang lain. Inilah kuasa yang ada pada kuantiti dalam melonjakkan kualiti masyarakat berasaskan kepada kerangka sinergistik. Persatuan kita contohnya tidak mampu berperanan seperti hari ini tanpa perkongsian kelebihan yang dimiliki oleh para ahlinya. Latar belakang yang berbeza bukan halangan untuk membina persefahaman lebih-lebih lagi kerana kita sujud ke arah qiblat yang sama.

Kuantiti biasanya tidak menjamin kualiti; inilah slogan yang dihidangkan kepada kita sejak dahulu. China dan Indonesia mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Namun, kemajuan China jauh mengatasi Indonesia. Maka titik manakah yang memberikan perbezaan ini? Bukankah kuantiti itu boleh menjadi suntikan kebaikan dan mungkin juga sebaliknya? Maka formulanya di sini ialah kebolehan kita mengurus jumlah tenaga yang ramai untuk penjanaan kuasa optimum. Ahli persatuan kini yang mencecah ribu-ribuan patut melonjakkan prestasi akademik ahli, pembinaan kemahiran sosial sekaligus menghasilkan produk doktor terbaik.

Kita semua sepatutnya sedar bahawa jumlah yang ramai sekarang ini memerlukan agar kita berusaha bukan sekadar untuk menjadi pelajar perubatan serta doktor yang biasa-biasa, cukup-cukup makan.Kadar kompetensi semakin tinggi, baik sesama kita dari universiti-universiti keluaran Mesir mahupun dari universiti-universiti negara lain yang turut menampung ramai anak-anak Malaysia yang mengambil jurusan perubatan.Amat malang, jika situasi ini tidak disedari dan diambil rancangan sebaiknya oleh setiap peribadi untuk melonjak lebih cemerlang berbanding pelajar lain.Lebih malang lagi jika pelajar-pelajar di sini terus hanyut dalam arus keseronokan anak muda, hidup happy go lucky, ikut apa yang jadi, tanpa memahami bahawa bidang ini memerlukan usaha dan penumpuan yang tinggi sepanjang tempoh pembelajaran.

Justeru, pertambahan ahli hanya meresahkan kita jika tiada usaha penyatuan dan penyedaran dilakukan. Semua bergerak mengikut haluan sendiri, lupa akan konsep bersatu teguh bercerai roboh. Buih di lautan lemah bukan kerana kuantiti tetapi disebabkan kualiti yang kurang. Janganlah kita terpesona dengan bilangan ahli yang ramai kerana jaminan kejayaan datang setelah usaha gigih oleh semua pihak. Kita mahukan bilangan yang ramai ini mencorakkan budaya akademik dan cintakan ilmu serta menyemaikan budaya toleransi dan kasih sayang. “

Begitulah antara isi ucapan dasar yang ingin dikongsi. Manusia tidak boleh lari dari meningkatkan kualiti jika mahu redha Allah disisi. Manusia tidak layak berbangga dengan bilangan ahli yang ramai jika jumlah itu tidak bisa merubah apa-apa pun. Begitulah persatuan dan begitu jugalah keadaan ummat Islam jika kita tidak menggunakan setiap sumber tenaga yang ada dan merancang dengan sebaiknya.




Benarlah, hidup ini adalah medan kita belajar. Kita belajar untuk mencipta sejarah, samada sejarah itu bakal dikenang atau dilupakan. Pilihan di tangan kita.

“Sejarah adalah wadah mengkaji manusia, memerhati kelakuan dan pemikiran manusia agar kesimpulannya boleh digunakan untuk membentuk manusia. Itulah enjin sejarah.” Saifulislam.com

Marilah bekerjasama dengan AJKT 2010/2011 dalam merealisasikan tema tahun ini iaitu "Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati"
.:Allah Yang Satu untuk kita semua:.
~Satu PERUBATAN dalam Satu destinasi~