BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, March 11, 2012

Nikmatnya Bernikah : 1 bulan 1 minggu


Jauh jarak dekat nurani

Alhamdulillah dengan izinNya sudah sebulan seminggu perkahwinan kami terbina. Inai masih merah di jari. Rasa puas menyimpan jari untuk diinaikan pada hari bersejarah tersebut. Inai itu bakal hilang, namun, ikatan ini akan terus dan bertambah utuh dari sehari ke sehari. InsyaAllah!


Apabila sebut perkataan 'jarak'. Sinar akan tersenyum sendiri. Faktor jarak jugalah yang mendekatkan kami. Seorang di selatan, seorang di pantai timur, kemudian dipertemukan kami di Pantai Barat Semenanjung Malaysia . Tidaklah Sinar kenal suami ketika itu. Allah jugalah yang mendekatkan kami melalui keluarga dan laman penulisan ini. Moga Allah berkati keluarga Sinar, keluarga suami dan berkati blog kami :)

Sekarang ...(^_^) Sinar di benua Afrika dan kanda di benua asia. Jauh terpisah tapi hati sungguh dekat di rasa. Biarpun orang berkata itu dan ini. Moga Allah beri mereka kebaikan dan lindungi kami dari segala keburukan. Ameen.

Sinar tersangat yakin Allah itu Maha Mengetahui hikmah di sebalik perkahwinan jarak jauh ini. Sekalipun kami diuji, InsyaAllah titik permulaan dan pengakhiran kami adalah Allah. KepadaNya kami rujuk kembali. Doakan ya. Kami yakin hidup ini adalah ujian untuk semua hambaNya sebelum pulang ke SANA nanti. Justeru kelebihan kami rai dan kelemahan kami baiki. Peluang ini kami manfaatkan untuk pertingkatkan diri sebelum berjumpa nanti. Anda pun seharusnya begitu... Ayuh perbaiki diri!

Hargailah!

Yang penting hargai masa yang ada. Hargai yang sedia ada dan berharap kebaikan pada yang belum didapatkan. Tidak guna kita mengeluh bukan? Itu prinsip yang Sinar pegang.

Ada yang berkata, baru sebulan memang semuanya indah. :) Lalu apa? Bersangka baik saja dengan Allah. Alhamdulillah saya bersyukur dengan sebulan ini. Hatta sehari yang Allah beri pun kita patut bersyukur bukan? Biar kita menghargai setiap hari yang kita lalu kerana hari ini sahaja milik kita, esok belum tentu lagi.

Alhamdulillah tiada masalah berjauhan. Teknologi menghubung segalanya. Kalau sedih dan punya masalah, dengar suaranya, tatap wajahnya sudah kembali ceria dan ringan terasa. Kalau gembira apatah lagi, saling bertukar cerita. Dapat pahala semuanya. Syukur pada Allah diberi kemudahan demi kemudahan bahkan teman-teman yang beri sokongan. Sangat supportive semuanya!

'Supportive' itu tanda sayang.

Teringat 'Rule no 8 : Be supportive' dari buku 'The rules for Marriage by Ellen Fein & Sherrie Schneider'. Kita biasanya rasa bahagia apabila keluarga, kawan, atau sesiapa sahaja ambil berat atau support kita. Terasa hangatnya ukhwah dan silaturahim yang terjalin. Ikatan yang didasari perasaan yang ikhlas, sungguh tidak dapat dinafikan. Hati tidak dapat menipu dalam sebuah hubungan dan pertalian persaudaraan.

Begitulah juga dalam sebuah perkahwinan akan terasa indah bila pasangan kita seorang yang supportive. Itu tanda kasihkan pasangannya. Justeru pasangan perlu sentiasa memberi 'push' yang baik dalam setiap perkara.

Beliau selalu mengingatkan, " Bercinta sampai Syurga." Hati ini cukup tersentuh dan teramat berharap kalimah hebat ini terlaksana dengan izin Allah.

Harapan suami, saranan Allah juga

Seputar lagu daripada suami buat diri. Alhamdulillah, kerap kali dimainkan lagu ini untuk Sinar dengari dan pernah dikongsikan liriknya di fb.

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

Untukmu, Sh Hidayah ♥

Ya, Sinar mengerti hidup ini penuh ujian dan InsyaAllah akan kami harungi dan akan kulaksanakan sebagai seorang isteri. (^_^) Moga Allah pinjamkan kekuatan demi kekuatan untuk menyenangi insan yang baru dikenali.

Sesiapa pun kalian, mari positif dengan segala susunan Allah. Setidaknya kita cuba as being positive is the key for happiness!

Wednesday, March 07, 2012

Pelik!

Berdasarkan pemerhatian, ada banyak benda pelik sedang berlaku di dunia tapi ramai melihat benda itu sebagai kebiasaan masyarakat.

Pelik!

(^_^) Betapa peliknya manusia bila berbulu mata dengan amar makruf..Tapi nahi mungkar itu berpeluk tubuh dan mula bersilat menggunakan 'cukuplah benci dalam hati' padahal takut putus kawan, takut putus saudara. Redha siapa kita cari?

Couple boleh?

Kahwin tak boleh?

Pergi konsert boleh?

Menuntu ilmu agama tak boleh?

Pelik kan.. Apatah lagi kalau seorang Muslim yang bersikap demikian, menjadi penyokong pada perkara mungkar. Itu tandanya apa ya?

Ada sesuatu yang tak kena dengan iman kan?

Kalau sayang saudara seislam jangan biar dia masuk neraka.

Nak tegur banyak cara.. face to face boleh, private mesej boleh.

Berubah tu, cerita lain pula...

Hehe, sure la kalau tegur di khalayak umum, naik angin la kawan tu. ADAB JAGA YA!

Pelik!

Manusia hari ini sedar bahawa hidup dalam pemerhatian Allah dan suka hidup beragama tapi kelakuan tidak seperti yang Allah mahukan. Kerana apa? Kerana manusia suka meremehkan.

"Takpelah muda lagi, enjoy dulu!"
"Tua tua nanti aku taubatlah"

Ayat biasa yang selalu kita dengar. Dan akhirnya tak sempat tua, Allah dah jemput pergi. Na'uzubillah. Moga Allah lindungi kita.

Apatah lagi pembalasan itu bukan di depan mata secara terang-terangan. Banyak Muslim hari ini guna pakai ayat Quran untuk kepentingan peribadi, contoh bab harta, bab kahwin. Datang bulan puasa, dalil ke mana, amalan ke mana. Huhu.

Justeru...

Pelik yang menimbulkan kerisauan kerana manusia mempermainkan keislaman yang dimiliki. Pelik memang pelik. Dan saya selaku manusia akan terus keluar dari zon ini kerana rimas dengan perangai manusia pelik. Saya mahu jadi manusia luar biasa dan sejannah dengan para solehin. Anda bagaimana? Mari kita menuntut ilmu agama, jangan rasa cukup dengan keimanan yang ada. Dalamilah Islam kerana baru anda tahu, kita sebenarnya tidak tahu banyak perkara dan rupanya nilaian kita salah selama ini terhadap isu di sekeliling kita.

Inilah kepelikan yang Sinar lihat. Sedangkan banyak manusia hari ini memandang mereka yang laksanakan Islam sebagai pelik dan asing. Kerana apa? Kerana mereka rasa tidak sama dengan ajaran nenek moyang, adat dan pemikiran mereka. Sengaja sinar bawakan entri pelik ini kerana, manusia sudah tidak tahu menilai. Maka pada pelaksana deenul Islam, anda tidak pelik tapi teruskan beramal dan bersiaplah!

Benarlah kata Rasulullah di akhir zaman. Sangat sikit orang yang mempraktikkan Islam secara syumul. Ibarat asing dalam kelompok manusia. Kita menganggap manusia yang tidak praktikkan Islam itu pelik tapi mereka juga memandang kita asing dan out of date. Asing dari kebiasaan manusia yang bertuhankan hawa nafsu dan adat kebiasaan manusia.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".

(H.R. Muslim)




Tuesday, February 28, 2012

Senyumlah... Ujian itu anugerah!

Setiap hari akan ada sahaja ujian yang Allah hadirkan. Bagaimana kita menghadapinya? Tanpa iman kita mungkin menyalahkan Tuhan, kita putus asa dan mungkin ada sahaja yang ingin terus lari dari kehidupan dengan memilih jalan yang Allah murka. Jangan pula kita cari selain Allah untuk jalan pintas. Kemurkaan Allah lebih besar pada mereka yang menyekutuNya. Nah, di akhirat sana API NERAKA sedang ternanti-nanti untuk membakar mereka yang dusta dan berdosa. Na'uzubillah. Sesusah mana pun ujian, carilah Allah semula.. Hanya DIA! Pintu TAUBAT dan RAHMAT sentiasa TERBUKA.

Bagi Muslim Mukmin, ujian bukanlah penamat kehidupan tapi dihadapi dengan penuh kesabaran, redha dan usaha mencari jalan. Ujian adalah anugerah untuk kita ke darjat seterusnya di sisi Allah. InsyaAllah kedamaian ada di SANA selepas bersusah-payah di SINI. Tiada yang abadi di dunia yang boleh kita kejar, akhirnya kita bakal mati juga. Bila? Mungkin sebentar lagi...

Teringat pesan Brother Fadel Soliman, Mukmin kalau diuji tidak terjerumus dalam 'major depression' tetapi " They change the hapiness and sadness to feeling of acceptance (redha). Nothing happens without His knowledge." Maka Dia MAHA TAHU yang hambaNya ini mampu...




Nasyid ini pernah menemani hampir bertahun-tahun di bumi Mesir. Alhamdulilah masih ada dalam playlist. Dengar dan hayatilah. Moga kekuatan Allah beri untuk kita hadapi kehidupan ini.

Teruskan senyum dan hadapilah kehidupan dengan pengawasan Tuhan.


"Hidup ini bukan kita punya. Ada penciptanya.

Maka hiduplah seperti yang Pencipta gariskan...

Allahu musta'an. Setiap hari dan setiap saat takkan lepas dari diuji. Hati! Kuatlah!"

Friday, February 10, 2012

Perkahwinan : Redha Illahi redha suami

Perkahwinan adalah penyatuan dua hati. Itulah hadiah yang Allah berikan untuk meraikan fitrah insani. Siapalah kita untuk menidakkan kehadiran fasa ini. Dengan izin Allah akan hadirlah fasa ini. Di dalamnya ada tanggungjawab bukan sekadar suka suka. Suka duka kehidupan pasti silih berganti namun di dalam perkahwinanlah wujud medan praktikal melebihi medan teori. Maka tidaklah asing jika hadith mengatakan sempurnalah setengah agama jika seorang hamba itu menikah ( Hadith hasan riwayat Al-Hakim dan Ath-Thabrani dari Anas Bin Malik)

Persoalan bersedia atau tidak, tanyalah iman di hati. Bila redha ibu bapa dan jalannya Allah permudahkan, siapalah kita sebagai hamba untuk menidakkan. Walaupun manusia berkata itu dan ini, keputusan itu di tangan kita bahkan perancangan Allah itu mengatasi segalanya.

Alhamdulillah dengan izin Allah. Berubahlah Sinar ke fasa baru. Merasa manisnya pernikahan yang Allah berikan. Kerana apa Sinar kata fasa ini manis, kerana iman saya bakal diuji dan kemanisan iman itu hanya dirasai selepas diuji, diuji dan diuji hingga dijemput pergi. Perkahwinan juga merupakan ujian bila mana Allah rasa kita layak menempuhinya.. Allah!

Wajib ditanya di jalan apa kita menikah? Sangat menenangkan kalau di jalan dakwah kita menikah dan mesti diperingatkan bahawa di jalan nikah juga aku berdakwah. Keduanya perlu perlaksanaan. (^_^) Doakan saya ya. Ini tanggungjawab yang bakal disoal Allah kelak. Harus mencari bekal untuk sebuah Baitul Muslim yang diredhai Allah.

Justeru 4 Februari 2012 (11 Rabiulawal 1433H) akan terus kekal dalam ingatan sebagai hari bersejarah dalam hidup Sinar. Hari Sinar diijab kabulkan dengan pemuda pilihan Allah.


Sungguh saat akad nikah, debarnya tak terkata. Di temani Ummi, Lek, keluarga dan beberapa teman setidaknya mengurangkan sedikit debaran yang ada.

"Aku terima nikah Sh. Nurul Hidayah Binti Syed Murzaki dengan mas kahwinnya sebanyak 300 ringgit tunai." sekali lafaz... Alhamdulillah...



Saat dilafazkan sahlah diri ini bergelar isteri. Sebak kerana selama ini Lek dan Ummi mendidik diri. Saat itu tanggungjawab sudah beralih kepada insan baru dalam hidup ini. Sinar sentiasa berdoa moga Allah pimpin hatinya untuk memimpin diri ini. Kami masing-masing punya kelemahan dan kekuatan itu hanya daripada Pencipta diri kami.

Seminggu yang indah.

Jujur saya lebih mengenalinya sebaik sahaja bergelar isteri. (^_^) Saya tahu beliau ada kekurangan dan saya siap menerimanya. Tidak layak meminta itu ini kerana saya juga punya kelemahan tersendiri. InsyaAllah kami saling mengingatkan untuk saling memberi dan saling melengkapi.

Hari ini sudah genap seminggu Sinar bersama suami, Ahmad Fahmi. Alhamdulillah fatrah pertunangan kami harungi dengan baik dan penuh toleransi dan semoga perkahwinan ini juga dapat kami harungi dengan penuh kesabaran. Berbincang dan bertoleransi itu telah kami sepakati jika terdapat duri-duri yang harus kami lalui. Moga bantuan Allah bersama kami.

Hanya berbaki dua hari bersama suami, kemudian masing-masing meneruskan perjuangan di medan sendiri. Sinar yakin, kualiti masa lebih utama dari kuantiti. Dan kerana masa itu yang diizinkan Allah untuk kami, kami sama-sama memberi untuk mencipta kenangan terindah selama 9 hari. Bakal terpisah oleh benua takkan memisahkan hati ini kerana hati terpaut dalam satu ikatan. InsyaAllah terus kuat mencari redha Illahi. Ameen.

Seperti biasa beliau ke hospital dan saya pula di rumah memasak seadanya dan Alhamdulillah baru sahaja selesai makan bersama suami tercinta.

"Macam mana ya buat ayam berempah ni."
"Kenapa? " Tanya saya, risau la juga..
"Sedap!" Katanya, lantas hati ini berbunga-bunga.

Sungguhlah rasa sangat bahagia dan seronok melihat suami makan dengan selera. Orang kata mahu menangi hati suami menangi perutnya. Hehe Sinar masih belajar untuk menambat hati suami. Rasa kekok memasak untuk seorang lelaki yang dahulunya asing, Alhamdulillah dari sehari ke sehari cuba mencari serasi. Dan saya cukup mengkagumi layanan yang dia beri. Hilang kekok saya dibuatnya.

Nekad saya adalah menjadi isteri solehah. Doakan!

Isteri Solehah

Album : Secercah Pewarna
Munsyid : The Zikr

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penyejuk jiwa
Di rumah ia isteri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur diwaktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat sibuta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan


Tenang sungguh di rasa. Sungguhlah yang halal itu memberi ketenangan. Selagi bergelar tunangan orang hati sukar untuk tenang. Ya saya tahu awal pernikahan itu nampak semuanya indah, namun diharapkan keindahan inilah menjadi kekuatan untuk dikenang-kenangkan andai diuji nanti.

Wednesday, February 01, 2012

Menghitung hari...?

Segala puji bagi Allah yang mengatur segalanya. Moga damailah hati ini dan mereka yang bertungkus lumus menyumbang tenaga. Allah, Dia sajalah yang Maha Mengetahui perasaan kala ini. Jiwa hamba itu sememangnya lemah dan hanya Dia yang mampu memberikan kekuatan.

Sudah berlalu Januari kini tiba debaran Februari. Sungguh rasa bersyukur Maulidurrasul menghampiri. Moga Allah memberkati majlis nanti dan syafaat Rasulullah juga dimiliki.

Sambil menghitung hari, tidak dinafikan kekhuatiran saya lebih jauh kepada menghitung amalan diri dan redha Illahi berbanding kelancaran majlis nanti. Kepada yang faham mereka tahu kenapa saya fikir begini. Saya tidak mahu yang grand di mata manusia, perfect di mata manusia tapi di sisi Allah zero, wa na'uzubillah. Ya Allah berilah kekuatan pada kami...

Mohon doa ya... Jemput hadir pada yang berkelapangan...

Sunday, January 15, 2012

Postbirthday & Prewedding

12 Jan 2012

Alhamdulillah. Sangat terharu dengan kesungguhan akhawat gen6 dalam menjayakan majlis Bachelor party. Bukan sebarang party, party ini terisi dan indah sekali dengan sentuhan islami. Tak di sangka diri dirai sebegitu rupa. (^_^) Tersangat malu mengenangkannya.

Sungguh sebak ketika ditayangkan video ucapan daripada akhawat. Di tahan juga, kata mereka nanti makeup rosak. Sungguh moga keindahan ukhwah ini hingga ke syurga. Maaflah kalau Sinar tak beri perkongsian yang bersesuaian dengan hati kalian...

13 Jan 2012

Hari ini bergegas menyiapkan tugasan seminar. Selepas zohor sudah berjanji untuk keluar makan bersama ahli rumah. Alhamdulillah sambutan pasca hari lahir buat Sinar (5hb Jan) dan Ina (6hb). Hadiah istimewa, kad ucapan perkahwinan dan sehelai voucher! Tergelak besar sambil ditahan air mata. Terharu!

Dalam baki 3 minggu untuk berubah fasa, pelbagai perkara harus diselesaikan. Hak Allah, hak diri, hak ibubapa, hak adik-adik kena cakna juga. Satu pembentangan, satu peperiksaan perlu dilalui dan sebuah projek yang diharapkan membantu warga PERUBATAN di sini.

14 Jan 2012

Alhamdulillah. Dapat berdating dengan seorang sahabat yang kerap Sinar luangkan masa bersama. Moga Allah berkatinya. Sungguh Sinar sayang dia. Usai sahaja isyak Sinar terus membuka laptop. Katanya ada sesuatu di dokumen. Terima kasih atas hadiah cerpen dan sebuah lagu. Tersangat sebak saat ini.

Thursday, January 05, 2012

5 Januari 2012 : Hadiah DaripadaNya.



Putaran waktu tanpa henti, maka persaksikanlah...



Merindui 15 Jamadilawal 1432H
Anjakan usia di bulan Hijri,
Nah, sekarang pula Masihi.
24 tahun sebagai hamba Allah dan anak Ummi Lek

Segala puji bagi Allah yang mencipta diri dengan sifatNya Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Saya pantas tersenyum kerana diberi peluang berjumpa hari ini iaitu 5 Januari 2012 suatu tarikh yang tidak akan pernah sama sekali berulang lagi.

Genaplah sudah 24 tahun usia yang Allah pinjamkan. Suatu angka yang tidak terjangka saya masih dihidupkan untuk merasainya. Inilah peluang untuk perbaiki diri dan menambah amal barangkali. 24 tahun? Jauh saya merenung angka itu. Jauh... Tiada siapa tahu sampai umur berapa dihidupkan. Timbul persoalan sejauh mana amal untuk dibawa pulang bertemu Illahi, cukupkah amal mahu ke syurga dengan dosa yang mengunung tinggi.. Allah, lemah sungguh hambaMu ini.

24 tahun, suatu angka yang membuatkan hati ini tersentuh kerana pada umur inilah, Ummi dengan susah payahnya melahirkan diri ini pada 5 Januari 1988. Ya ketika itu Ummi berumur 24 tahun. Ketika itu Ummi dan Walid sudah 2 tahun mendirikan rumah tangga. Maka hadirlah saya ketika mereka masih berjuang di bumi Machester. Pasti indahkan? (^_^) Anakmu pula masih bujang saat ini. Takdir bakal menentukan. Moga doa kalian menyerikan hidup ini.

Sungguh, tidak terbalas jasa mereka mendidik diri. Banyak pengorbanan mereka sehari demi sehari hingga saat ini. Apatah lagi, dengan izin Allah inilah hari lahir terakhir sebelum bergelar isteri. Dan ketika saatnya tiba, kuasa seorang ayah berpindah pada suami. Pasti sayu saat itu. (Bergenang sudah air mata) Ummi dan Walid jugalah yang paling sibuk mengurus perkahwinan ini. Moga Allah berkati usaha-usaha mereka dan moga Sinar mampu gembirakan mereka serta penyatuan dua keluarga ini terbinalah mawaddah dan rahmah.


Untuk kalian yang sentiasa memberi.
Terima kasih Ummi Lek atas ucapan.
Terima kasih Dr atas sebuah penghargaan.
Terima kasih sahabat atas gambar sebagai kenangan.
Terima kasih kalian atas doa dan ucapan.
Moga Allah berkati kalian.

Sudah pasti, di sini Sinar ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir buat Warga Januari. Moga Allah berkati hidup kita semua dan dipermudahkan hisab kelak. Kalian sentiasa di hati.

1 Januari Nur Sakinah Yaakob dan Wan Aisyah

5 Januari me & myself

6 Januari Siti Amalina Zakaria & Nur Madihah Kamalul Sahar & Izzati

7 Januari Kak Nadiah Ghazali & Kak Hidayah Romazi & Wafaa

8 Januari Radin Rahmah Radin Munawwir dan Kak Bid

10 Januari Puan Balqis Asma Saidah

12 Januari Puan Nik Noramalina Rozik

13 Januari Ramisah Aini

16 Januari Hilal Asyraf

18 Januari Nurul Wahidah Rosli

19 Januari Muhammad Syafiq & Izzat Ibrahim

21 Januari Atikah Abd Razak

22 Januari Puan Nur Aqilah

23 Januari Salihah Muda

25 Januari Syafaf Jumiran

27 Januari Aisyah Ruqayyah & Noor Amalina Jamal

28 Januari Nurulhuda Ahmad Sani

31 Januari Safiyah Ahmad Yusoff

Doakan Sinar ya (^_^)
Moga kita berkumpul di syurga kelak.

Friday, December 30, 2011

Jemputan Perkahwinan Ahmad Fahmi & Sh. Nurul Hidayah


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah s.w.t ada menyebut,


“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri (jodoh) dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

[Surah Ar-Rum: 21]


Justeru dengan rasa rendah diri dan penuh kesyukuran, saya Sh. Nurul Hidayah Binti Syed Murzaki ingin berkongsi kegembiraan dengan keluarga, murabbi, sahabat dan kenalan untuk melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w ini pada 4 Februari 2012, 9.00 pagi dengan syabab pilihan hati Ahmad Fahmi Bin Sulaiman di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor (Rumah pengantin perempuan)


Majlis Walimatul Urus pihak Pengantin Perempuan, insyaallah akan berlangsung pada;

Tarikh: 4 Februari 2012, Sabtu

Tazkirah ringkas dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: 11.00am – 12.00pm

Jamuan: 12.00 pm- 4.00 pm

Tempat: Balai Masyarakat BK2/10, Bandar Kinrara, 47180 Puchong, Selangor



Bagi kami berdua, tiada yang kami dambakan melainkan doa dan restu daripada kalian. Kehadiran keluarga,murabbi, sahabat dan kenalan sangatlah dialu-alukan untuk memeriahkan walimahtul urus ini.


Terbang tinggi, si burung merpati,

Hinggap di dahan di tengah hari.

Munajat hamba, tenang di hati,

Doa dipohon, redhaNya di cari.


Akhirul kalam, moga redha Allah pada kami berdua, kedua belah keluarga, majlis dan kalian juga.


Wassalamualaikum wbt.


Nota 1: Bagi yang berhajatkan jemputan dalam bentuk kad undangan pernikahan, boleh hubungi Ahmad Fahmi atau Sh. Nurul Hidayah.


Nota 2: Bagi sahabat (Ahmad Fahmi) termasuk juga sahabat (Sh. Nurul Hidayah) yang tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis dipihak perempuan, InsyAllah majlis walimah di pihak pengantin lelaki, akan diadadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti di kampung halaman, Marang, Terengganu.

Nota 3: Mohon doa " Semoga Allah memberkatimu dan melimpahkan keberkatan-Nya ke atasmu serta menempatkan kebaikan di antara kamu berdua'' [ Riwayat Abu Daud, Ahmad Ibnu Majah, Al-Hakim]

Wednesday, December 14, 2011

Hafalan Shalat Delisa

Mahu setabah kamu!



Memiliki buku ini hampir setahun membuatkan hati tiba-tiba tersentuh saat menjumpai trailer filem ini di Youtube. Kisah Tsunami yang melanda acheh tidak pernah disangka mampu difilemkan semula oleh Indonesia. Justeru ingin dikongsikan review yang saya simpan tentang buku 'Hafalan Shalat Delisa'. InsyaAllah tidak rugi... Untung sudah ada filem boleh menjiwai :)

Selesai sahaja membaca buku ini, terbit perasaan untuk diri seberani, secekal dan setabah anak kecil,Alisa Delisa. Adaptasi dari peristiwa itu Tere Liye selaku penulis mampu menggarapkan cerita dengan baik walhal dia tidak pernah merasainya sendiri peristiwa tersebut.

Watak Delisa si anak kecil berusia 6 tahun bersama 3 orang kakaknya cukup menyentuh hati. Saat beliau berusaha menghafal bacaan solah untuk ujian praktikal solah pelbagai kesukaran ditemui bahkan kerap kali terlupa sambungan. Namun beliau bersungguh dan termotivasi apabila ibunya menjanjikan rantai sebagai hadiah.

Memiliki ibubapa yang penyayang dan menjaga agama membuatkan dirinya sedar akan tuntutan sebagai Muslim. Hubungan rapat dengan keluarga membuatkan Delisa bahagia walaupun ayahnya sentiasa berjauhan kerana kerja perkapalan, namun ayahnya sentiasa mengambil berat perihal keluarga. Ayahnya juga tidak lupa memberi sokongan untuk terus menghafal melalui telefon.

Tibalah saat ujian praktikal, debaran Delisa makin terasa. Delisa mengusapkan Takbir memuji Yang Maha Kuasa 'Allahu akbar'. Ketika itu Banda Acheh sudah mula ditimpa tsunami. Ranap semuanya hinggalah tiba giliran perkampungan Lhok Nga di saat Delisa khusyuk membaca hinggalah tiba kalimah 'wa-mamati', lantai sekolah bergegar, papan tulis jatus menghembas lantai dan air deras menghentam bangunan sekolah. Maka, musnahlah segalanya.. Hanyutlah Delisa dan orang-orang yang beliau sayang.

Pulanglah si ayah dari tengah lautan kerana mendapat berita Acheh dalam keributan, hati mana tidak gundah bila mana hidup mati keluarga masih tidak dapat dipastikan. Sayunya hati bila hanya menjumpa Delisa seorang diri dengan kehilangan kaki kanannya, hafalan solahnya juga hilang dan yang lainnya sudah tiada dimuka bumi... Allah, sebak sungguh apatah lagi Delisa kerap bermimpi ibunya di sebuah taman indah. Dan dalam kepayahan menerima hakikat kematian orang tersayang, Delisa dan ayah terus maju kehadapan mencari redha Illahi.

Mahu mengetahui cerita penuh, dan mahu selami... Bacalah bukunya dan Alhamdulillah kini sudah ada filemnya. Moga kita sekental anak kecil ini...



Terima kasih yang tidak terhingga kepada pemberi buku 'Hafalan Shalat Delisa' hingga mengenal watak-watak setabah ini. (^_^) Ada sebuah buku novel yang belum saya baca tapi tertinggal di Malaysia.. Kena baca mana tau nanti difilemkan juga. Seronok! Bukan Harry Potter je boleh difilemkan.

Monday, December 05, 2011

Produktif!

Satu nikmat yang tidak terhingga adalah keluar dari rutin biasa. Nikmat itulah yang dapat Sinar rasakan semalam. Alhamdulillah semalam diiizinkan Allah untuk menyertai program 'Productive Muslim'. It was so amazing sampai terlupa akan kepenatan harian malah 'energetic' dan terpukau dengan setiap kalimah yang dituturkan oleh Ustaz Muhammed Faris @ abuproductive, selaku pengasas laman web 'Productive Muslim'.

Banyak perkongsian dan langkah-langkah untuk menjadi 'productive muslim' dikupas dengan cukup baik dan menarik. Beliau fasih berbahasa inggeris dan bagi yang mahu mengenali bolehlah singgah ke laman web Productive Muslim. InsyaAllah banyak manfaat. Banyak perkara tak mampu dicoretkan buat masa ini. Kena pergi sendiri baru ada feel orang kata. InsyaAllah Sinar sendiri dalam fatrah menyusun kembali hidup sebagai hamba Allah dalam dunia ini.

Apapun yang kita buat, letakkan akhirat sebagai matlamat. Tanya diri selalu, "Sesuai ke tak apa yang aku nak buat dengan apa yang Allah mahu? Kita hidup bukan untuk disia-siakan tapi diisi dengan sesuatu. Dan tidak dapat tidak kitalah yang harus menjadi muslim yang produktif untuk mengisi masa kita dengan sesuatu yang Allah redha. Hatta tidur pun biarlah Allah kira sebagai ibadah.

InsyaAllah berkongsi beberapa gambar dan akan diedit lagi...


Tak sabar nak masuk...


Tiket oh tiket...


I want to be productive Muslim!

Just a simple equation...

Focus + Energy = Productive

But it need 'tadhiyyah'...

It is the way you help yourself
to get the maximum reward in Jannah
and of cause to be the best servant ever.


Harap dapat mendengar perkongsian daripada Ustaz Faris lagi...
(^_^) Banyak sungguh yang Sinar belajar dan baru tahu. Ceteknya ilmu...

Friday, November 25, 2011

Layakkah aku bercinta?

Sudah 1 Muharram (^_^) Cepat sungguh masa berlalu. Bertuah sungguh masih dihidupkan oleh Allah. Mungkin inilah peluang untuk kita bertaubat. Makin beranjaklah usia ini.

Buat mereka yang Sinar rindu.

Moga warna-warni kehidupan menyatukan kita.


Entah kenapa jadi rindu pula pada Ummi dan Lek. Terasa banyak lagi hak mereka yang belum Sinar tunaikan. Terasa dari kecil hinggalah dewasa ini kerap kali menyusahkan mereka berdua. Pada waktu ini, Lek dan Ummi sedang berada di Kemboja. Moga Allah beri hikmah kembara dan mereka berbahagia di sana. Maklumlah kalau di Malaysia sudah pasti sibuk dengan kerja, dengan urusan rumahnya dan dengan ragam anak-anak yang pelbagai. Boleh pening kepala mujur mereka masih sabar. Moga kasih sayang dan cinta mereka terus mekar hingga ke syurga dan kerana cinta mereka jugalah aku hadir ke dunia ini. Kerana cinta mereka pada Allah jugalah aku kenal apa itu Iman dan Islam di bumi wakafan ini.

Cinta Allah vs Cinta Manusia

Teringat pesanan lek pada suatu ketika. Lek kata jika sudah jatuh cinta (baca:bangunkan cinta) jangan seluruhnya diberi pada manusia. Sayang dan cinta pada manusia ada caranya. Jika tersalah aturan, kelak kita kecewa dan jiwa kita yang merana. Oleh itu, redha dan tawakal kena sentiasa ada. Biar hati kita dan hati orang yang kita cinta dipimpin oleh-Nya.

Erm... Berat sungguh pesanan itu. Pernah dikatakan juga, cinta manusia tidak boleh melebihi cinta Allah kerana itu dikatakan syirik cinta. Na'uzubillah... Moga keimanan ini tidak terhakis kerana cinta selain pada Allah

“Tidak beriman seorang daripada kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

“Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) lebih dicintainya daripada isterinya, hartanya dan seluruh umat manusia.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Sebak bila memikirkan cinta pada Allah saja masih banyak kekurangan. Maklumlah tiada jabatan penilai di dunia untuk kita mengetahui aras cinta pada Allah Yang Maha Esa. Namun apabila diperhati semula, sikap kita hari-hari boleh dijadikan kayu ukur. Muhasabah semula... Banyak sungguh kekurangan. Sinar sendiri pernah kecewa kerana tidak pantas melunas tanggunjawab seorang hamba. Ya! Kerana Sinar juga manusia. Terlalai dalam meniti kehidupan yang penuh godaan. Hingga pernah tertanya-tanya, "Layakkah aku bercinta sedangkan cinta pada Allah masih belum semaksimanya."

Cinta pada Allah

Cinta pada Rasulullah

Cinta pada Sahabat-sahabat

Cinta pada Ibubapa

Cinta pada keluarga

Cinta pada teman-teman

Antara cinta yang kita harapkan dalam kehidupan ini untuk rasa bahagia. Moga kita beroleh semuanya kerana ingin meraih cinta Allah. Moga Allah bantu kita mendapatkan cinta-cinta tersebut. Ameen.

Cinta Si Isteri

Entah kenapa hati ini cukup terusik melihat pasangan suami isteri yang sudah tua. Pangkat datuk dan nenek kita. Walaupun sudah bertongkat, masih boleh berpimpin dan berpegang tangan melintas jalan. Sweeetttt orang kata. Namun dalam hati tertanya-tanya, apa rahsia mereka? Sangat cemburu dan mengimpikan 'moment' sebegitu. Biarpun sudah melewati usia, mereka tetap masih bersama.

Pernah mencungkil rahsia cerita cinta Wan dan Tokki. Memang ajaib cinta mereka. Tiada pula rasa cinta sebelum kahwin. Keluarga yang menyatukan mereka. Alhamdulillah sampai sekarang, Tokki dan Wan memang tidak boleh berenggang. Hingga mahu ke pasar pun sanggup di temankan. Kalau masak selayaknya biarlah Wan yang sediakan. Pasti Tokki diam kekenyangan. Tokki memang tak banyak bercakap kebelakangan ini, Wan lah yang menghiburkan suasana. Sweet sungguh.

Kata Wan, rahsianya adalah sabar, dari situ cinta boleh berputik. Dalam bercinta harus sabar untuk mengembangkan cinta, membangunkan cinta dan menyakinkan cinta. Hargai setiap saat yang ada kerana setiapnya ada kenangan dan nilai 'sentimental' yang berbeza. Kalau dalam rumah tangga, si isteri mahukan redha suami. Kalau posisi anak pula mahu redha ibu bapa. Begitulah.. Kalau masing-masing faham posisi dan peranan. InsyaAllah bahagia... Biiznillah kalau diizinkan berkeluarga harap ada sakinah, mawaddah dan rahmah. Mahu raih cinta Allah melaluinya.

Azam Perkemaskan Cinta

Kagum dengan mereka menyebabkan hati ini mahu meletakkan satu anjakan untuk lebih menyintai Allah melebihi segalaNya dan berdoa agar cinta pada keluarga terus mekar dan cinta untuk suami diberi pada waktu selayaknya dan dengan cinta itu Sinar mampu ke syurga bersamanya berjumpa Pemilik cinta agung. Ameen.

" Apabila kamu telah membulatkan TEKADMU maka bertawakalah kepada ALLAH SWT."

( Ali Imran : 159)

Dalam gementar menghadapi hari muka, entah apa takdir dan ketetapan daripadaNya, yang ada adalah pengharapan untuk hari-hari muka lebih diberkati Allah.

Ya Sinar sendiri pernah merasa kecewa dengan diri sendiri. Maklumlah, berjanji perbaiki diri namun masih punya kelemahan tersendiri. Dan pesanan berharga adalah jangan jatuh cinta tapi bangunkan cinta :) Saya ingat pesanan ini selalu. Terima kasih kepada penasihat setia.

Monday, November 14, 2011

Kita Penentu?

Apakah panduan dalam kita mengatur kehidupan? Adakah perlembagaan negara semata-mata? Ibu bapa kita? Adik-beradik kita? Cikgu kita? Pensyarah kita? Kawan-kawan kita? Atau mungkin nafsu kita?


Muslimkah kita? Jika ya, Alhamdulillah. Kita di garisan yang sama. Justeru yang jelas Al-Quran dan As-sunnah sebagai panduan hidup. Jika ada yang bertembung seharusnya sumber hakiki itulah yang kita utamakan. Apatah lagi jiwa kita yang lemah ini penuh dengan desakan dunia dan hawa nafsu serta tidak lepas dari kata-kata manusia yang kadangkala menikam kalbu.

'Jangan ikut kata orang...' Kata-kata yang berbaur egois tapi pada Sinar ada benarnya. Setiap manusia ada batas keupayaan untuk menerima dan melaksanakan perubahan. Kitalah penentu apa yang kita mahu. Bukanlah bermakna menidakkan semua teguran dan perintah orang lain. Namun diri kita punya filter (sistem tapisan) terhadap segala nasihat, teguran dan kritikan untuk kita ambil sebagai panduan.

Ya! Kitalah penentu siapa kita di masa hadapan. Pastikan kita di jalan kebenaran walaupun berkali-kali kita terjatuh, tersungkur di persimpangan jalan. InsyaAllah Allah sentiasa memimpin di saat kita lemah apatah lagi saat kita cuba mendekatinya. Apa yang sudah berlalu, biarkanlah kerana Allah menanti di hadapan...

(^_^) Di kala hati kita sesak dengan asakan orang lain, rasa tergugat dengan pilihan orang lain tidak sama dengan pilihan kita, kata-kata yang bakal saya kongsikan cukup menenangkan. Apabila saya inginkan kata-kata dan pemangkin untuk hari-hari saya lebih indah di blog inilah saya mengintai kata-kata untuk dijadikan seri hidup saya. Potongan Al-Quran dan Hadith turun dikongsikan di sini. Sempurna!. Ini antara kata-kata untuk kita renungkan.

'Don't compare your life to others. You have no idea what their journey about'

"What other people think of you is none of your business, just do the right things.'


Namun dalam kita menentukan apa yang harus kita praktikkan berdasarkan nasihat-nasihat manusia, kita sendiri perlu jelas akan tujuan kehidupan. Kalaulah nasihat itu bertepatan apa yang syarak mahukan, tidaklah menjadi satu kesalahan untuk kita ikuti bahkan itulah yang terbaik dan mesti kita lakukan. Mungkin itulah teguran dan nasihat daripada Maha Pencipta. Memang pahit menerima teguran tapi manis di pengakhiran InsyaAllah...

'Put Allah first in anything and everything that you think, say and do'

'The best is yet to come --> Paradise! Stive for it!'

Dan saya sendiri akan berusaha ke arah itu walaupun saya tahu saya bukanlah sempurna. Mengharapkan belas ehsan Dia untuk bertemuNya dan menjadi penghuni syurga. Anda bila lagi? Ayuh!

Sunday, November 06, 2011

Aidiladha 1432H

Pengorbanan. Suatu kalimah yang tidak asing di bulan Zulhijjah. Merata tempat orang memperkatakan. Sebenarnya dalam hidup ini kita akan selalu berkorban. Kita terpaksa mengorbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Contohnya kita sebagai anak tentunya berat hati untuk berpisah dengan keluarga, namun kerana belajar di luar negara terpaksa berjauhan bertahun-tahun lamanya. Kita untung dalam satu hal dan kelihatan kita rugi dalam satu hal. Banyak lagi contoh pengorbanan dalam kehidupan. Boleh la kita duduk sebentar sambil renung renungkan...

Namun selepas kita teliti dan lalui disebalik pengorbanan tu, InsyaAllah terselit kemanisan yang hanya dapat dirasai oleh jiwa yang berkorban. (^_^)

Cubalah masing-masing fikir apa yang telah kita korbankan dan boleh fikirkan apa yang telah kita lakukan untuk orang lain hari ini?

Mari cerita fasal raya tahun ini...

Untuk tahun ini, Alhamdulillah masih dapat beraya bersama-sama teman di perantauan. Mungkin raya haji terakhir di sini. Justeru, terasa ingin melakukan perubahan tahun ini antaranya mahu pergi solah lebih awal supaya tidak terkejar-kejar dan berebut saff seperti tahun-tahun sebelumnya.

Alhamdulillah berjaya! Dapat solah dengan selesa kerana awal dari biasa.
Kami baru selesai Solat Sunat Hari Raya.




Mari pulang mengisi perut dengan juadah istimewa.

Sempat pula meninjau :)
Kedai buah pun buka, tapi tuannya mana?

Berdekatan kedai buah Pakcik2 Arab sudah mula proses penyembelihan

Erm... dan sudah pasti Sinar akan merindui detik-detik dan suasana perayaan di sini. Walaupun berbeza dengan Malaysia tetapi Mesir mampu cipta kemeriahannya tersendiri. Mana nak jumpa jalan raya basah dengan darah ketika Aiduladha di Malaysia. :)

Saturday, October 08, 2011

Berubahkah aku?


Sudah hampir puluhan tahun hidup di muka bumi ini dan seringkali terdetik dalam hati:

Adakah sama aku semalam dengan hari ini?
Adakah sama aku dulu dan kini?
Adakah diri makin baik atau buruk di sisi Illahi?

Sungguh kehidupan berhajat pada perubahan. Air mata tak pernah berhenti memikirkan kekurangan diri dan kelemahan tapi tidak kujadikan itu sebagai satu alasan untuk berputus asa dengan rahmah Tuhan.

Berubahkah aku? Itulah lontaran muhasabah di kala mata menuntut hak malam ini...

APA ITU PERUBAHAN? Inilah perubahan....

-Daripada Kegelapan kepada Cahaya

-Daripada Jahiliyyah Kepada Islam

-Daripada Kufur kepada Iman

-Daripada Syirik kepada Tauhid

-Daripada Hati Yang Kasihkan Dunia kepada Hati Yang Hanya Takutkan Allah swt

-Daripada Hina kepada Mulia

-Daripada Hati Yang Keras kepada Hati Yang Lembut

-Daripada Kasar kepada Lemah-Lembut

-Daripada Kedekut kepada Mengutamakan Orang Lain

-Daripada Ananiyyah kepada Mengambil-Berat

-Daripada Benci kepada Kasih-Sayang

-Daripada Takut kepada Berani

-Daripada Berjuang Di Atas Jalan Kebatilan kepada Berjihad Fi Sabilillah

-Daripada Menghabiskan Harta Untuk Dunia kepada Barkorban Fi Sabilillah

-Daripada Jahil kepada Berilmu

-Daripada Bangsa Yang Dijajah kepada Bangsa Yang Merdeka

-Daripada Bangsa Yang Ditindas kepada Bangsa Yang Menolong Manusia Lain

-Daripada Pengembala Kambing Dan Unta kepada Maharugu Kemanusiaan

-Daripada Pejuang Kebatilan kepada Pejuang Kebenaran

-Daripada Takutkan Kematian kepada Cintakan Syahid

::Sumber: HSI::

Maka sudah pasti perubahan yang dicari adalah sesuai dengan fitrah keimanan....

Thursday, September 08, 2011

Cerita bergambar Aidilfitri 1432H

Assalamualaikum wbt. Salam aidilfitri buat semua dan maaf zahir batin. Apa khabar iman kita hari ni?

Sudah berlalu 1 Syawal dan sekarang sudah pun 10 Syawal. (^_^) Semoga amalan kebaikan dapat kita teruskan di bulan ini. Ziarah-menziarahi, Puasa 6 dan pelbagai ibadah lain.

Peristiwa yang berlalu hanya dapat dikenang, tidak akan sesekali berlaku lagi. Hanya gambar dapat menceritakan sedikit sebanyak peristiwa lalu. Tersenyum melihat gambar ketika menyambut Syawal. Pelbagai telatah dan karenah. Melihat gambar pasti mengundang rindu apatah lagi gambar di pagi Syawal takkan sama pada setiap tahun walaupun lokasinya mungkin sama. :). Sudah pasti 1 Syawal juga ada kenangan manisnya sendiri. Moga Allah terus membimbing hati ini. Alhamdulillah, tahun ini 1 syawal di sambut di Besut, Terengganu kemudian di Arau, Perlis.

Biarlah gambar bercerita. Moga Allah berkati Sinar sekeluarga dan kalian juga.

Pagi raya tak lengkap tanpa Solat Hari Raya.
Bergegas kami dibuatnya (^_^)
"Cepat! Cepat!" Ajak Lek penuh semangat.


dan di pagi inilah kenalan bertemu semula.
Berbunga hati melihat kemesraan di pagi Syawal.
Indahnya Islam (^_^)


Di masjid inilah kami bertakbir mengingati Yang Esa.


Alhamdulillah. Selesai sudah Solat Hari Raya...


Masing-masing tidak sabar pulang ingin beramah-mesra bersama sanak-saudara.


Semestinya sebaik sahaja pulang, sesi bermaafan dan bergambar bermula.
Sungguh terasa jari yang dikucup dan kemaafan yang dipinta menenangkan jiwa.


Bersama bonda dan ayahanda sememangnya menceriakan pagi raya.


Wan dan Tok Ki insan penting dalam keluarga besarku.
Moga Allah berkati mereka sentiasa.


Di sini jugalah kemesraan diraih. Adik kakak bersuapan. Tanda kasih tidak pernah putus.


Yang jauh turut meraikan bersama melepas rindu dan bergembira.

Kesibukan, keceriaan dan keenakan jelas terpancar di pagi raya


Merekalah tulang belakang dalam setiap keraian dalam keluarga. (^_^)


Dan kami selaku orang muda sentiasa menceriakan suasana.
Adik-beradik dan sepupulah saudara sepermainan dan teman cerita.
" Sudah besar rupanya Wafi," Kataku pada insan yang pernah kucubit pipinya.


Kami bergembira walaupun suka dan duka itu tetap silih berganti.

Sungguhlah hari raya punya pelbagai ceritanya sendiri :)

Gambar sahaja tidak mampu mengambarkan segalanya. Namun bersyukur kerana diberi peluang bersama keluarga tercinta kerana saya rasa bahagia. Moga kemaafan yang kita pinta benar benar mengeratkan silaturahim sesama kita.

Memaknakan setiap kebaikan dengan sebenar-benarnya adalah ibadah. (^_^) Selamat menghidupkan Syawal dengan bekalan di bulan Ramadhan yang mulia.

Tuesday, August 16, 2011

Ramadhan : Bulan transformasi diri

Pejam celik pejam celik, sudah 16 hari kita berpuasa. Alhamdulillah... Bersyukur rasa dipilih hingga ke hari ini. Tidak pasti tahun depan masih ada atau tidak untuk Sinar.

Pernahkah kita terfikir kenapa masih dihidupkan hingga hari ini? Sedangkan ramai sahaja yang tidak sempat bertemu Ramadhan ini, namun kita terpilih.

Setelah direnung-renungkan ada satu sebab mengapa kita diberi peluang. Kenapa? Kerana Allah sayangkan kita memandangkan:

Pertama : Dosa kita yang banyak. Dia masih beri masa untuk kita bertaubat. Mungkin sahaja kalau kita dijemput pergi kita tergolong dalam ahli neraka. Maka bulan mulia ini peluang untuk kita adakan transisi diri, kita ubah diri kita. Namun berapa ramai di kalangan kita yang masih berada di takuk lama. Kerana apa tidak mahu berubah? Tepuk dada tanya iman.

Kedua : Sikitnya amalan kita. Disebabkan ini, Allah buka peluang untuk kita lakukan sebanyak-banyaknya amalan pada bulan mulia ini. Di bulan inilah pahala melimpah ruah, bersahur dapat pahala, puasa dapat pahala, berbuka dapat pahala, masak untuk orang berbuka dapat pahala, solat tarawih dapat pahala hatta orang yang tidak berpuasa disebabkan agama beri keizinan pun dapat pahala. Hebat bukan ganjaran dari Madhrasah Ramadhan ini. Namun berapa ramai di kalangan kita yang masih berada di takuk lama. Kerana apa tidak mahu berubah? Tepuk dada tanya iman.

Seharusnya hasil dari menjalani ibadah puasa dan ibadah yang lain di bulan ini kita beroleh takwa. Ibarat memasuki sebuah universiti. Kita wajib beroleh sijil barulah kita berkelayakan. Maka jika kita gagal beroleh takwa kita bukanlah graduan University Of Ramadhan. Malah kita fail sebagai mahasiswanya. Bertepatan dengan firman Allah;

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” (Q.S Al Baqarah, 2:183)


Setiap tahun kita puasa. Waktu maghribnya kita berbuka. Waktu malamnya ada tarawih. Terasa sama sahaja. Maka kita silap di situ. Rasa sayu juga melihat anggota jemaah di masjid makin susut saban hari. Di masjid sendiri hari pertama penuh sampai ke tingkat atas. Kini sudah tinggal suku sedangkan baru sahaja masuk fasa kedua belum akhir lagi. Ada kisah di satu tempat penuh hingga ke tangga pada hari pertama. Tidak cukup tempat mahu menunaikan solat tarawih. Ramai yang mengadu suruh di pasang kanopi. Lalu pihak masjid membalas, ''Tunggulah dua tiga hari nanti kalian dapat solah dengan tenang dan lapang.'' Mendalam maknanya. Maka benarlah kata-kata itu. Setelah beberapa hari, semua orang sudah selesa tidak perlu berebut-rebut kerana ahli jemaah kian susut tanpa sempat di pasang kanopi :).


Kalau kita puasa abid Ramadhani, memanglah kita akan mendapat lapar dahaga dan tiadalah penerusan selepas bulan ini berlalu. Kalau puasa abid rabbani, puasanya, ibadahnya membuahkan ketakwaan seperti firman Allah sebentar tadi. Bahkan inilah bekalan untuk 11 bulan akan datang. Mungkin sahaja inilah 'latihan' untuk yang susah bangun qiam untuk adakan perubahan atau buat yang merokok untuk terus berhenti merokok. (^_^)

Kita sendiri sudah biasa dengan kata-kata motivasi. " Jadikan hari ini lebih baik dari semalam." Maka buktikan!

Kata-kata yang menusuk Sinar hari ini di kuliah agama tadi ialah, " Jangan tiada masa untuk Allah, nanti Allah tiada masa untuk kita." Bahaya kan? Na'uzubillah. Moga kesibukan bukan alasan untuk kita tidak lakukan kebaikan terutama baca Al-Quran.

Sinar juga punya azam. Mahu jadi kekasih Allah dan disayangi manusia. Maafkan ya kalau ada salah bicara. Bantu Sinar jadi orang yang lebih baik daripada sebelum ini.

Sunday, August 14, 2011

S.E.M.E.N.T.A.R.A : Sujud dan Berdoalah Wahai Hamba...

Sementara... Perkataan yang hanya mengunggah jiwa.

Hidup hanya sementara. Sementara yang perlu dihargai sebaik mungkin kerana selepas ini tiada peluang kedua selepas menuju ke daerah ABADI. Di Sana sudah tiada peluang untuk membetulkan kesalahan lalu. Di dunia sahajalah ladang amal manakala akhirat ladang tuai.

Namun dalam kehidupan di dunia selaku hamba, telah banyak diberi peluang untuk terus bangun. Walau berkali berbuat dosa, masih ada ruang untuk kita mohon padaNya. Walaupun bersalut dosa, kejayaan dan kemudahan dalam hidup tetap diberikan. Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Cuma terpulang kepada kita, samada mahu mengambil peluang atau melepaskan.

Sebak dan terharu rasanya...

Alhamdulillah keputusan imtihan sudah keluar pada malam ini. Tarikh yang cukup indah dan bulan yang penuh barakah. 15 Ramadhan. Itulah tarikhnya. Di saat ini, Allah masih sudi beri pelangi di saat hambaNya penuh kekurangan. Moga Allah sentiasa memberi peluang dan ruang buat hambaNya ini. Moga tidak terhijab kecemerlangan dek dosa yang dilakukan...

Moga di pengakhiran kehidupan yang sementara ini, diri masih kekal sebagai hambaNya. Pulang dalam keadaan yang Allah redha. Itulah Mumtaz yang Sinar harapkan. Dapat bertemuNya merupakan satu kepuasaan yang tiada tara. Syukur Ya Allah atas pemberianMu.

___¶¶¶¶¶¶¶

______¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

_____¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

____¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

__.¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

__.¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶___(¯`♥´¯) ─────────█─█

_¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶____`•.¸.•´-████──█──█─█

¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶______¶¶¨¨¨¨ █──█──█──█─█

¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶_________¶¶¶¨¨¨¨ ████──█──█─█

¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶________¶¶¶¶¨¨¨¨ ───███████─█

¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶_____¶¶¶¶¶

¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶___¶¶¶¶¶¨¨ Yaa ALLAH ..

¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¨¨ Sesungguhnya aku lemah

¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¨¨ tanpa petunjuk-MU

¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¨¨ aku buta tanpa bimbingan-MU

¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¨¨¨¨ aku cacat tanpa hidayah-MU

_¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¨¨¨ aku hina tanpa Rahmat-MU

__¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

__¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

__¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

___¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

____¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

_____¶¶__¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

___¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶¶

○°ºoº° °ºoº° °ºoº° °ºoº° °ºoº° °ºoº° °ºoº°


Ighfirzunubana Ya Allah. Ya Rahman, berkatilah mereka yang sentiasa mendoakanku. Kumpulkan kami di SyurgaMu dengan kasih sayangMu yang melimpah ruah.

Friday, August 12, 2011

Dewan Bersalin, Satu Kesinambungan

Lama juga blog ini menyepi. 3 minggu ini Sinar berulang-alik dari rumah ke hospital untuk mengikuti latihan elektif di Jabatan Obstetrik & Ginekologi. Mana taknya, pulang sahaja dari hospital sudah kepenatan. Alasan sungguh :D. Entri 'Wad Kecemasan, Satu Permulaan' adalah permulaan latihan elektif yang sangat bermanfaat buat saya. Kini pengalaman di Dewan Bersalin, Hospital Ampang turut memberi sinar baru dalam kehidupan saya. Diberi peluang untuk membantu dalam proses melahirkan anak membuatkan saya terharu. Walaupun mungkin tidak sehebat rakan-rakan Malaysia yang diwajibkan menyambut 15-20 bayi di hospital, saya tetap bersyukur kerana di bumi sendiri kami berpeluang untuk membantu. Di Mesir setakat ini kami masih belum berpeluang untuk menyambut bayi. (^_^) Maka, kenalah sentiasa berusaha dalam menadah ilmu dan mengasah kemahiran. Moga Allah permudahkan kami. Bukannya masa untuk beralasan dan menyalahkan kami. Bantulah kami, InsyaAllah kami sedia belajar.

Cairo & Moscow bersatu (^_^)

Sinar dan 3 rakan sekuliah dari Mesir pada awalnya telah berpakat untuk menjalani latihan elektif selama 3 minggu di Jabatan Obstetrik & Ginekologi. Namun, atas sebab tertentu terpaksalah memulakan latihan lewat seminggu daripada mereka. Cuma sekadar melapor diri lebih awal pada 18 Julai. Alhamdulillah segala urusan berjalan lancar.

Kami juga dipertemukan dengan rakan seperjuangan yang belajar di Rusia iaitu Farahdiba, Aimi, Fatin, Evelyn (Moscow) dan Jen Wei (Volgo). Alhamdulillah dapatlah meluaskan jaringan ukhwah dan saling berkongsi ilmu :) Nanti bolehlah makan free di Rusia kan (^_^)


Hari ini merupakan hari terakhir Sinar di Jabatan Obstetrik & Ginekologi. Sebak jugalah mahu meninggalkan jabatan ini. Banyak benda baru, pengalaman dan ilmu yang Sinar perolehi. Kebanyakan masa memang banyak dihabiskan di Dewan Bersalin. Pada awalnya hanya diarahkan ke sini saja. Maka kami tidak berani ke wad, dewan bedah (OT) dan klinik. Alhamdulillah kerana ingin tahu, dapat jugalah ke wad dan klinik melihat beberapa kes sakit puan setelah mendapat izin. Staff di sini sungguh mesra, suka mengajar dan sedaya upaya meraikan kami. Dr Jamil ketika di klinik sungguh bersemangat berkongsi pendapat dan memberi nasihat kepada kami selaku bakal doktor. Banyak persoalan yang beliau lontarkan agar kami generasi baru berfikir tentang keupayaan kami di masa hadapan. :) Mencabar! Maka, jangan malas, manja dan mudah stress.


Terima kasih akak-akak semua. Merekalah sifu-sifu yang sangat berjasa.
(Kak Ita, Kak Yuni, Kak Shikhah, Sinar, Kak Baizura)
Dan Kak Norisah-Camerawoman-
Saya sematkan gambar kita di sini agar kalian segar dalam ingatan. Doakan saya :)

Setinggi-tinggi perhargaan dan jutaan terima kasih kepada warga jabatan terutama Dr Murali selaku HOD, Dr Ranjit, Dr Jamil, Dr Shilpa (Specialist), Dr Komal (MO), Dr Auji, Dr Ida, Dr Wan (HO), doktor-doktor, sisters, dan staffnurse yang lain atas tunjuk ajar dan didikan yang diberikan. Kalian sangat hebat. Moga terus semangat dan kekal ceria. Pasti lepas ini saya termimpi-mimpi sorakan kalian, 'Push, push' 'Teran puan teran', Selawat puan', 'Alhamdulillah baby selamat' (^_<) Hehe ... Tersenyum saya dibuatnya.

Apapun buat yang beragama Islam, perbanyakan zikrullah sebelum, semasa dan selepas bersalin kerana ada hikmah dan kebaikan dalam mengingati Allah. Buat para suami, bersedialah untuk memberi sokongan pada isteri. Mereka sangat memerlukan kalian. Banyak sudah melihat ibu-ibu bersalin, sakitnya hanya mereka dan Allah yang tahu. Hargailah para isteri jangan dilukai hati mereka. Moga mawaddah dan sakinah berterusan hingga ke syurga. Nervous pula mahu jadi seorang ibu. Moga yang terbaik untuk Sinar.

Sekian sahaja coretan ringkas pasca latihan elektif pada tahun ini... Sedih dalam gembira. Gi mana tu? Hehe... Tak puas bermukim di sana...