BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
Showing posts with label Dakwah Crunch. Show all posts
Showing posts with label Dakwah Crunch. Show all posts

Friday, May 04, 2012

Kepimpinan: Anugerah dan Amanah! Pimpinlah dengan sedar!

Pemimpin kecil berjiwa besar

Menyebut soal pemimpin pasti tertanya-tanya, siapakah yang digelar pemimpin? Justeru pasti terasa bukanlah kita orang yang selayaknya. Persepsi yang sememangnya salah kerana tanpa kita sedar, setiap hari lagak kita adalah lagak seorang pemimpin. Tidak percaya?

Lihat sahaja kehidupan seharian, baju apa harus dipakai, lauk apa harus dimasak, buku apa harus dibaca, jam berapa mahu tidur, semua kita tentukan sendiri. Jarang sekali kita mengikut orang sekeliling. Walaupun mungkin bertanya pendapat, akhirnya keputusan di tangan kita juga. Benar?

Percaya atau tidak manusia secara lahiriah sudah dilahirkan sebagai pemimpin. Sebaik sahaja celik melihat dunia, Allah mengizinkan kita mengerakkan mata, jari, mengagahkan tangan dan kaki untuk merangkak. Kemudian bertatih dan berlari sendiri. Setiap daripada kita berbeza usia untuk pertama kali kita berjalan tanpa dipimpin ibubapa kita. Allah jugalah yang membimbing kita untuk menjadi pemimpin di saat kecil. Puas emak dan ayah memberi sokongan untuk melihat perkembangan kita tetapi jika tiada sistem pimpinan dan kawalan dalam diri, kita tidak mampu bergerak ke suatu tahap yang lebih baik.  Sorokan mereka hanya tinggal sorakan jika kita tidak mempunyai keinginan.


Ya, saat kita kecil, kitalah ‘duta kecil’ malah pemimpin kecil yang memiliki cita-cita besar untuk berusaha merubah diri dari tidak tahu kepada tahu. Dari merangkak hinggalah berjalan. Hebat bukan…?

Setiap daripada kita adalah pemimpin

Setiap individu sudah Allah takdirkan menjadi pemimpin untuk dirinya. Inilah anugerah buat makhluk bernama manusia. Bergelar pemimpin berupaya menentukan pilihan. Allah bentangkan jalan ketakwaan dan kefasikan. Jika pilihan kita menepati apa yang Allah gariskan iaitu jalan ketakwaan, pahalalah milik kita. Bukankah itu anugerah untuk menambah amal?

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ عَلَيْهِمْ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Ibn umar r.a berkata : Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda : Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya. Seorang pemerintah akan diminta pertanggungjawaban  perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan jawab) darihal hal yang dipimpinnya. (Bukhari dan Muslim)

Nah, sudah terang pesanan Rasulullah s.a.w. ini. Setiap manusia adalah pemimpin, paling tidak, pemimpin pada dirinya iaitu dengan pemimpi jiwanya dalam segenap kehidupan, memilih antara yang hak dan bathil. Pemerintah adalah pemimpin, suami adalah pemimpin, isteri adalah pemimpin, agamawan adalah pemimpin, doktor adalah pemimpin, pelajar adalah pemimpin dan sesiapa sahaja adalah pemimpin terhadap amanah yang telah diberikan. Itulah tanggungjawab kita. Setiap apa yang kita pimpin ada hak yang perlu kita tunaikan.

Gambar Hiasan : Sumber Dr Amad's Blog

Wanita juga tidak lepas dari tanggungjawab ini..

Terbayang-bayang wanita Palestina mencorak anak lelakinya..

Harus mula bersiap dari sekarang! 


Pemimpin adalah mutiara ummah

Selain itu perlu diingatkan bahawa, kita dipimpin oleh Islam melalu Al-Quran, Hadith dan mereka yang terpercaya untuk memimpin. Tanpa panduan kita mungkin teraba-raba dalam mencari contoh khudwah (contoh). Biarlah kita memimpin dalam keadaan tahu akan hukum-hakam yang Allah gariskan. Jangan zalim di pertengahan jalan.

Kita menginginkan ummah yang mampu membawa keindahan Islam ke seluruh dunia. Tidak lain dan tidak bukan apabila wujudnya pemimpin yang mengutamakan manusia di sekelilingnya, melaksanakan amanah sebaiknya, ambil berat isu semasa, bahkan bercita-cita mengubah keadaan ummah Islam hari ini. Justeru pemimpin yang Allah suka bukan sahaja memimpin dirinya namun keluar memimpin ummah di sekitarnya. Dia mahu bergandingan dengan masyarakat untuk menyebarluas Islam yang dia percaya. Itulah mutiara di tengah ummah.

Tidak perlu pemimpin masa hadapan. Kenapa?

Pasti terkejut bukan. Ya itulah kenyataan. Kita lupa, bila mana slogan pemimpin masa hadapan dilaungkan justeru semangat kita pudar dek merasakan akan hadir pemimpin masa hadapan, bahkan kita sebenarnya wujud pada masa kini dan belum tentu kita miliki masa hadapan. Jadi yang harus diperjuangkan adalah masa  kini yang pasti. InsyaAllah perjuangan masa kini akan menatijahkan pemimpin masa hadapan. Ingatlah sabda Rasulullah saw;

“Tidak beriman orang yang tidak bisa menjaga amanah yang dibebankan padanya. Dan tidak beragama orang yang tidak bisa menepati janjinya.”

(Hadith Riwayat Ahmad Bin Hambal)

Na’uzubillah, marilah kita renungkan dan kilatkan iman di hati supaya sedar akan amanah ini.

Matahari akan terbit, maka sedarlah wahai teman!

Kalau anda memandang jauh ke hadapan, terpampang di sana sebuah harapan yang akan memenuhi hidup anda; harapan yang positif. Harapan harus tetap ada dan tertanam kuat di dalam jiwa. Harapan adalah potensi yang mendorong lahirnya gerakan dan produktiviti dalam beramal. Biar pun susah bergelar ‘pemimpin’ ketahuilah Allah menanti kita di akhirat sana dengan kenikmatan yang tidak mampu kita bayangkan.

Berbuatlah demi Allah untuk membangunkan ummah sebagai pemimpin masa kini dan juga masa hadapan, InsyaAllah.

Sinar~islami :
Risalah Buat Setiap Muslim dan Muslimah Jamadilakhir
El-Fahmy Alley
...........................................................................
Alhamdulillah, sedikit perkongsian di hari Jumaat yang barakah ini. Bukan mudah saya mencoret penulisan di atas. Atas permintaan sahabat, saya gagahkan juga supaya pesanan ini sampai ke dalam jiwa dan sesuai untuk sahabat-sahabat baca. Sungguh, saya juga sedang belajar menjadi pemimpin yang Allah redha. Moga Allah terus pimpin jiwa-jiwa kita untuk mendukung risalahnya. Moga kemanisan Islam kita terapkan dalam keluarga, rakan taulan, masyarakat dan negara kita. 

Wallahualam.. Salam jumaat buat semua. Jumaat terindah buat saya hari ni. Sujud syukur!

Friday, March 25, 2011

Titian Kehidupan : Carilah bekalan



Meniti hari-hari kehidupan

Tiada apa yang lebih mendebarkan sekiranya berlakunya perubahan dalam fasa kehidupan. Melangkah ke alam baru semestinya menuntut satu persiapan. Maka, Sinar, kamu dan kamu tidak akan lepas dari mempersiapkan diri setiap saat dalam kehidupan ini.

Esok? Tahukah apa yang akan terjadi?


Sungguh indah melihat bunga di taman, namun akan ada saat bunga juga berguguran...

Setiap hari pasti akan ada perubahan. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya. Dulu kita anak kecil kemudian melangkah dewasa. Dari alam persekolahan dan pengajian kita beralih ke alam kerjaya dan keluarga. Begitulah rotasi sebuah kehidupan. Ibarat titian yang panjang tapi hakikatnya cuma sebentar.

Matlamat yang tidak dimakan usia

Tiadalah yang membezakan semua ini melainkan faktor masa namun apa yang masih sama adalah matlamat akhir seorang manusia. Itu mungkin berlainan dari manusia kepada manusia yang lain. Namun bagi Muslim yang sedar, seharusnya matlamatnya kekal sama hingga ke penghujungnya. Jika 'terjatuh' di celah fasa perubahan maka dia tahu kepada haluannya. Dia tidak mudah melatah dalam meniti dunia. Namun apakah rahsianya untuk kekal lama dan sampai pada matlamat yang dicitakan. Maka di situlah perlunya bekalan meniti sebuah kehidupan. Bekalan ini tidak pernah berubah cuma kita perlu berusaha mencari dan mencari.

Al-Quran sudah khabarkan tinggal KITA cari!

Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal

(Al-Baqarah : 197)

Nah, bekalan itulah yang perlu dicari, perlu diisi ke dalam hati. Jika tidak kita bakal terkandas di salah satu stesen kehidupan. Berapa ramai yang putus asa kerana tiada bekalan ini, lalu memilih jalan bunuh diri. Sadis bukan. Inilah realiti. Bila mana dirasakan seolah-olah dunia matlamat akhir maka, di situlah tamat riwayat hidupnya. Sedangkan perjalanan kita masih berbaki di akhirat sana. Mahukah kita rugi di persimpangan dunia ini? Maka ayuh, berbekallah!

Walaupun dengan akal yang Allah kurnia masih ramai yang terlepas dalam mencari bekalan sebenar. Sungguh di luar ini banyak cabaran. Tribulasi yang penuh seribu ragam. Takkan sama dengan teori bahkan inilah medan sebenar. Dulu di Medan Islami kita diterangkan Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkannya. Namun di medan ini, kita lihat di mana Islam? Hilang? Kenapa?

Maka adakah sama peranan mereka yang memahami tugas manusia sebagai khalifah dengan yang tidak memahami. Itulah peranan generasi muda berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah, menegakkan ma'ruf akbar dan meruntuhkan jahilayah akbar.

Usahlah takut mendepani dunia luar. Terbanglah dalam sayap iman dan taqwa di situlah lahirnya kekuatan. Izzahlah dengan Islam yang engkau fahami, jangan terungkai dengan keseronokan duniawi. Kelazatan dunia yang sementara boleh mengundang kebinasaan kekal abadi.

Wahai diri sahabat dan adik-adik harapan Islam

Bagi memastikan diri terus terpelihara, berpeganglah dengan 5 M ini seperti mana diri ini cuba memegangnya. Ya sungguh kita lemah, tetapi jangan sekali-kali membenarkan kita lemas dan rebah selama-lamanya.

1. Mu'amalah dan Mu'ahadah (Mengingati janji)

Hendaklah kita mengingati perjanjian dengan Allah iaitu dengan menjadikan Allah sebagai Rabb.

2. Muraqabah (Merasa pengawasan Allah)

Merasakan keagungan Allah setiap waktu dan keadaan serta merasakan kehadiran-Nya di kala sendirian mahupun di khalayak ramai.

3. Muhasabah (Perbaiki diri)

Menghisab diri ketika selesai melakukan amal. Apakah amalan tulus kerana Allah atau dicemari sifat riya? Apakah ada dosa yang tersisa?

4. Mu'aqabah (Menebus kesalahan)

Memberi hukuman pada diri agar tidak mudah melanggar kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengakibatkan kesalahan itu sukar ditinggalkan

5. Mujahadah

Memaksa diri dengan tegas, serius dan penuh semangat untuk tetap mentaati suruhan Allah di kala terseret dengan kemalasan dan cinta dunia.

Begitulah sedikit perkongsian. InsyaAllah sama-sama mengingatkan diri untuk sentiasa berpegang pada 5M ini. Sebelum mengakhiri entri kali ini, khusus untuk putera dan puteri SPM '10 yang baru memperoleh keputusan kelmarin moga kalian terus thabat dan istiqamah di jalan kebenaran. Khusus buat adikku, perjalanan masih panjang. Jadilah dirimu dan jadikan Allah matlamat akhirmu. InsyaAllah kejayaan dan kebahagian akan dikau miliki. Susah payah di dunia adalah kemanisan di akhirat nanti. Jangan pernah serik ^_^ kerana Allah sedang menilai siapa kamu di sisi-Nya. Doakan Along juga.

Akhir kalam moga ada ruang untuk kita terus meraih cinta Illahi. Moga semua pembaca dirahmati Allah.

Terus dan terus melangkah.

Thursday, November 11, 2010

Jutawan akhirat, simpanannya kekal

Duit oh duit. Di manakah kamu?

Diselup poket kiri, wah seratus ringgit. Diselup poket kanan tiga ratus ringgit. Dalam dompet belum dikira lagi. Begitulah hidup ini. Apabila duit cukup memang hati pun bahagia, senyum pun sampai ke telinga. Tak cukup lagi dengan itu. Dilihat pula akaun bank. Waahhh... Blink blink... Mata tidak percaya. Hingga mencapai puluhan ribuan, tangan dihayun sambil menyebut yess bila target sudah tercapai.


Hehe..itu adalah monolog buatan sendiri. Sekadar bayangan. Berbunga-bungakan hati bila duit banyak dalam simpanan.


Orang kata tanpa duit manusia tidak boleh hidup memandangkan hampir setiap pergerakan kita memerlukan duit. (Betul ke?) Nak minum air yang Allah cipta pun kena bayar. Nak makan sayur pun kena beli (^_^). Paling best nak buang hajat pun kena bayar. Oho, life is a matter of money. Berkira sungguh manusia ni. Patutlah sayang sangat kat duit. Bersyukurlah Allah tak berkira dengan peratus Oksigen yang kita hirup setiap hari. Parah kita kalau Allah suruh bayar.


Dalam isu duit ini, kalau orang yang tidak mampu, mahu mengeluh panjang. Tapi sebagai manusia yang bermaruah apatah lagi Muslim bukan mengeluh jalannya. Duit hanyalah alat untuk kita menjalani kehidupan. Maka, seperit mana jalan untuk mencarinya. Ramai sanggup redah cuma untuk kita biarlah yang menepati kaca mata syarak.


Dah banyak duit, lain pula ceritanya.


Bila banyak duit, Allah nak uji pula. Lagi berat ujian kalau kita jutawan. Mungkin kita rasa senang hati dan secara tidak langsung kita juga senang terlupa bahawa ada lagi manusia yang perlu pertolongan kita. Kita sendiri rasa bahagia bila simpanan di bank meningkat dari angka sa kepada puluh, kepada ratus, kepada ribu dan seterusnya. Namun tahukah kita, semua itu tidak kekal lama? Hanya dengan satu cara sahaja simpanan kita kekal dan terus menerus meningkat tanpa dibazirkan.


"Bukan yang kita simpan tapi apa yang kita beri membuatkan kita kaya." - Henry Ward Beecher-


Nah, orang barat pun ada konsep ini apatah lagi muslim. Justeru dalam menentukan nilai duit, bersedekah dan infak itulah simpanan kita. Kita sendiri mengaku bahawa tempat abadi kita adalah akhirat. Maka, sepatutnya kita membuat simpanan di sana. Dalam konsep belanjawan inilah kita perlu ada satu anjakan paradigma, pemikiran luar biasa. Duit yang kita sedekahkan, duit yang kita infakkan sebenarnya sedang dilaburkan di dalam akaun simpanan akhirat. Malah habuannya berlipat ganda.


Allah berfirman:


"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (As-Saff 61:10)"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (As-Saff 61:11)


"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar." (As-Saff 61:12)


"Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman." (As-Saff 61:13)


Jadi jutawan dunia pun belum tentu dapat beli kediaman berhampiran dengan sungai mengalir di sebelah. Jadi jutawan akhirat, InsyaAllah dapat. Oh, saya teringin menjadi salah satu jutawan akhirat.



Wah, indah bukan. Sempena eidul adha yang datang. Maka tidak salah Sinar katakan, wang juga patut dikorbankan. Inilah antara jalan kita membahagiakan saudara seislam kita yang kesusahan. Ketika inilah juga daging sembelihan kita agihkan. (^_^) Banyak sungguh bulan-bulan yang boleh kita beramal. (Sebenarnya setiap detik. Cuma mahu atau tidak). Kalau ada seringgit, seghinnih pun boleh kita sedekahkan. Sehari seringgit, 100 hari 100 ringgit. Kan betul peribahasa," Sikit sikit lama lama jadi bukit".


Orang kaya yang sebenarnya bukanlah mereka yang kaya atau memiliki banyak harta benda. Orang yang kaya yang sejati adalah mereka yang bisa memberi banyak ke sekitarnya.

~ Erich Fromm ~

Jom, jutawan akhirat on board! (^_^)

Monday, April 19, 2010

Palestina tanah kita!

Menjejak kembara Palestina melalui maya, sentiasa membangkitkan rasa sayu dihati, kadangkala geram pada diri sendiri kerana tidak mampu membantu mereka secara langsung. Semangat mereka mengalahkan kita yang hidup dalam keadaan aman. Walaupun dihujani peluru, peribadi yang lahir dari tanah itu jauh berbeza dari tempat kita. Setiap hari akan lahir puluhan malahan ratusan hafiz Al-Quran. Kita pula masih merangkak mahu membaca Al-Quran apatah lagi menghafal. Bukan mengecilkan potensi tapi mahu menjentik diri untuk terus melangkah beribu tapak ke hadapan.



“Perjuangan kami bukan hanya sekadar ingin memerdekakan sekeping tanah, tetapi untuk memandu kebangkitan umat Islam semula dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.” – Khalil Ismail al-Haya ketika mengunjungi Malaysia pada tahun 1998

Besar nilai sebidang tanah itu. Bukan hanya milik mereka. Milik kita yang mengaku saudara. Siapa kata kita tidak boleh melakukan apa-apa. Kita tidak harus kecut dengan ancaman zionis durjana. Doa dan sumbangan kita masih belum terlambat untuk mereka. Dilihat masih ada saluran untuk terus menyumbang. Benarlah kita bersaudara. Cubit paha kanan, paha kiri terasa. Ayuh buktikan kita saudara mereka!

Kempen Lifeline 4 Gaza, Ayuh Sahut!

Alhamdulillah, semangat kental saudara Islam diluar Palestina mengubat hati ini. Sesungguhnya kita bukanlah diikat dengan semangat bangsa tapi atas dasar akidah yang satu. Mampu terukir senyuman dibibir yang lesu. Setidaknya kita mampu melakukan sesuatu dari tunduk kecut berhadapan dengan taghut. Dan saat ini, sungguh saya terasa bersyukur, masih ada ruang dan harapan. Janji Allah pasti.


Tahukah anda ketika ini, sebuah kempen sedang dijalankan hampir di seluruh dunia. Para sukarelawan sedang rancak mempromosikan Kempen Konvoi Talian Hayat Gaza (Lifeline 4 Gaza) di merata tempat termasuklah di Amerika, United Kingdom, Ireland, Greece, France, Germany, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Venezuela. Turut dicatatkan di laman web Lifeline4Gaza mengatakan 42 negara menjayakan projek mega ini. Hatta di akhbar Malaysia juga tidak lepas membicarakan isu ini.

Kempen Lifeline 4 Gaza merupakan misi keempat dalam menerobos tembok besar Gaza. Kempen ini adalah rentetan daripada misi-misi sebelumnya. Misi pertama adalah pada tahun 2006. Misi kedua adalah pada Julai 2009. Manakala misi ketiga telah berjaya sampai di Gaza pada 6 Januari 2010 setelah memulakan misi ini pada 6 Disember 2009. Bahkan setiap misi ada ujian dan rintangannya tersendiri. Moga misi ini dipermudahkan Allah.

Justeru Konvoi talian hayat Gaza (Lifeline 4 Gaza) adalah bukti kecintaan kita pada bumi Palestina. Misi ini akan diketuai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa Turki, Foundation for Human Right & Freedom & Humanitarian Relief (IHH). Misi kali ini adalah misi pertama menggunakan jalan air melalui Laut Mediterranean sehingga ke perairan Gaza. Misi ini juga merupakan konvoi yang terbesar dengan kapasiti 10 000 penyertaan dan sebanyak 20 kapal yang akan berkonvoi dengan kutipan sumbangan yang disasarkan sebanyak RM10 juta. Apa yang menarik adalah misi ini akan diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip Edrogan. Justeru kelantangan seorang pemimpin itu sangat perlu untuk menegakkan kebenaran. Moga akan lahir ribuan pemimpin sebegini.

Hulurkan bantuan

Justeru bagi pembaca yang ingin turut serta menyumbang buat teman kita di Gaza, kalian bolehlah berbuat demikian dengan memasukkan wang ke dalan akaun Lifeline 4 Gaza dengan butiran di bawah :


Nama akaun : "TABUNG PALESTIN HALUAN"

Nombot akaun : 5-644-902-085-28

Bank : Maybank Berhad

Ikuti perkembangan Lifeline 4 gaza di laman web rasmi mereka dan di Facebook fan Page


Sunday, March 07, 2010

Perubahan bukan semudah bicara




Ingin berubah?Pilihan di tangan anda...


" " Akak, macam mana ye nak buat perubahan" ngadu si adik

“ Saya rasa banyak kekurangan dalam diri ni kak.”

“Allah beri kita peluang, selagi tu kita boleh berubah” balas si kakak

“Tapi macam mana?” Si adik tertanya-tanya

Ha, macam mana ya pembaca semua. Bila mana kita kata mahu berubah. Apa yang perlu kita lakukan? Kadangkala kita didatangi oleh rakan-rakan yang hajatkan perubahan. Sinar dan kalian setidaknya pernah mengalami situasi ini. Memang sukar mahu berubah tapi kita tidak akan pernah rugi jika berusaha. InsyaAllah berjaya.

Walaupun diri pun masih banyak kekurangan, setidaknya kita kongsi apa yang perlu. Secebis pengalaman daripada setiap individu itu sememangnya akan mendidik kita juga. Kita harus menentukan perubahan yang bagaimana kita mahukan. Dan semestinya perubahan atau penghijrahan diri ke arah kebaikan itu sahaja yang akan membahagiakan dan menenangkan jiwa.(^_^). Betul tak?

Pertama, apa yang perlu kita buat kita perlu letakkan matlamat . Dalam melakukan apa sahaja kita perlu ada matlamat. Biar terlaksana dan kita terpandu ke arah perubahan yang dihajatkan. Bila mana kata matlamat, perlu ada garis yang mesti letakkan. Untuk menyelesaikan sesuatu perkara kita perlu ada gerak kerja mahupun garis panduan. Hatta meletakkan garis atau objektif kita perlu 'smart'. Bukan sekadar kalimah 'smart' tapi perlu diungkai satu persatu. Kalau belajar ‘management tidak dapat tidak kita perlu menilai objektif kita dengan ini:

S - Specific : spell out clear statement of what to be attained

M - Measurable : to facilitate monitoring and evaluation of achieving objectives

A - Attainable : have the ability to achieve

R - Relevant : should be focus on intended outcome

T - Time specific : give clear time to achieve the stated objective

Contohnya kita seorang yang sering lambat ke kuliah. Kita ingin berubah. Maka untuk menghadiri kuliah lebih awal, mana mungkin untuk kita bangun lewat. Dalam proses bangun awal, jam pula harus dikunci setidaknya inilah jalan dan ruang yang akan membantu kita berubah. Begitu juga ingin menjadi insan yang baik, yang disukai Allah. Perlulah menyiapkan diri dengan ilmu agama, ilmu kepakaran yang lain.

Secara amnya, ramai yang hajat untuk menjadi muslim yang soleh dan muslimah yang solehah. Sinar sangat kagum dengan hajat dan semangat mereka. Cuma sama-samalah kita ingatkan diri. Tanya kembali diri. Kenapa kita mahu berubah? Kalau kerana Allah, Alhamdulillah. Tapi kalaulah semua ini kerana manusia, maka sia-sialah usaha kita. Kalaulah kita berubah kerana lelaki hatta wanita yang kita cintai, tidak lama perubahan itu. Labuhnya tudung kita kerana apa, bersongkoknya kita kerana apa? Islamnya kita kerana apa? Teringat Sinar kisah kewafatan nabi ketika mana ramai sahabat yang bersedih dan Abu Bakar As-Siddiq pantas membacakan firman Allah mengingatkan mereka. Firman Allah;


" Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur"

( Surah Ali ‘Imran: 144)

Ayat ini peringatan besar buat kita. Sungguh rugi jika kita berubah kerana manusia apatah lagi menjadi muslim kerana manusia. Moga Allah pimpin hati kita untuk mencari sinar-Nya

Kedua, kita perlu berdisiplin dalam menjayakan perubahan. Ya, ini penting! Tapi sentiasa kita tewas untuk mendisiplinkan diri. Maklumlah syaitan melaksanakan tugasan dia 24 jam. Kita manusia, Sinar juga manusia. Sentiasa ada sahaja halangan untuk melaksanakan satu perubahan apatah lagi ia merupakan satu kebaikan. Allah Taala berfirman:


“Barang orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-banar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.”

(Al-Ankabut : 69).

Yakin dan teruskan langkah dalam mencipta perubahan. Sentiasa perbaharui niat.

Ketiga, ketahuilah kawan-kawan, berubah itu perlu masa. Masa itu rawatan. Maka di sini kita tidak mahu menjadi ‘makanan segera’ yang akhirnya hanya merosakkan diri sendiri. Bersahabatlah dengan mereka yang soleh, inilah antara ramuan untuk menjadikan diri turut soleh. Mereka akan cuba membimbing diri kita semaksima mungkin. Apa yang perlu, kita mesti sediakan hati untuk diisi.

Perubahan apatah lagi ini adalah proses didikan hati pastinya perlukan masa. Masa itu yang akan memberi kesan pada diri.

Akhir kalam, kita mesti terus dan terus berusaha. Setidaknya Allah akan nilai usaha-usaha yang kita lakukan.

(Surah Ar-Rad : 11)

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri kita sendiri".

Wednesday, December 09, 2009

Ini dunia kita?

Apa khabar dunia anda hari ini? Anda selesa? Sudah tentu selesakan. Mana tidaknya segala keperluan sudah ada, pastinya kita bahagia. Melihat dari sudut keselesaan diri. Alhamdulillah, rata-rata pembaca blog bukanlah sesusah teman-teman kita yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Untungkan kita, Syukur Alhamdulillah tapi beringat.. Ujian itu ada dalam kesenangan juga. Kita juga sedang diuji. Biarpun sudah 4 hari menjadi tetamu di Community Medicine Department, hati ini meronta-ronta untuk berkongsi rasa. Jadual yang padat bukan alasan utama. Dalam keadaan apapun Sinar sentiasa memerlukan perhatian dari Allah dan meneruskan kelangsungan amal di sini. Sinar, Kamu dan juga Kalian akan sentiasa memerlukan Dia dan peringatan yang 'membasahkan' jiwa.

Erm...melihat dunia hari ini dari peningkatan usia bumi, Sedih dibuatnya....

Bukit kita ditarah, udara kita dicemari, sungai kita dikotori. Di manakah kawasan yang damai buat kita? Kota yang kita banggakan ibarat hutan batu, manusia terkenal dengan kalimah sibuk, sibuk dan sibuk. Masing-masing dengan hal sendiri. Kampung pula, permai namun sedikit demi sedikit pengaruh kebandaran dan kebaratan mula menular. Sudah pandai anak-anak kampung merempit di lorong sunyi, berkepit di air terjun damai. Manusia sudah berubah, berubah dan berubah. Kesopanan dan keramahan kian hilang dalam budaya hidup hari ini. Yang menghiasi hidup manusia hari ini, keangkuhan, kebendaan dan kelalaian.

Benar bukan? Ini realiti yang terjadi. Era globalisasai memakan nilai hidup dan jatidiri manusia tanpa kita sedari. Manusia tertipu dalam menilai dunia. Ya, di satu sudut, inilah yang berlaku. Negara yang membangun tapi hampir majoriti negara terbantut dalam aspek modul insannya. Cuba kita lihat kiri dan kanan, atas dan bawah dunia hari ni. Bagaimana? Lihatlah dari prospektif iman. Saat ini, hati ini meronta-ronta ingin bersama generasi awal bersama Rasulullah, ingin melihat kekuatan mereka. Kekuatan Akidah, Kekuatan Fikrah, Kekuatan Ukhwah, Kekuatan Akhlak. Tidak puas sekadar membaca dan mendengar cerita ummat terdahulu. Ya Allah jangan Engkau padam rasa hati ini. Sungguh aku rindu pada kekasih-Mu dan kedamaian ketika mengadu pada-Mu. Hati sedih melihat dunia hari ini. Manusia lupa Allah memerhati mereka.




Sekarang mari kita lihat teman-teman kita di Palestine, satu sudut dunia yang tidak putus-putus berendam air mata dan bermandi darah. Rumah mereka hancur dibedil bom tanpa mata, status pengganas sebenarnya layak untuk perampas tanah. Habis bangunan menjadi serpihan dan bongkah batuan. Kalau kita ada sungai, ada air tapi dicemari mereka pula bekalan air disekat dan tiada ketika mahu digunakan.

Mendengar dan membaca pengalaman para sukarelawan Palestine, membangkit rasa lemah dalam diri harus dirawat. Kita lihat penderitaan ummat Palestine itu satu kesusahan, tapi itulah medan mereka berjihad dan menjadi kekasih Allah, mereka sendiri menyatakan bertuah dipilih menjadi insan di bumi Palestine. Hebat bukan sudut pandang mereka. Husnu zhon dan tetap berjuang tanpa henti. Tapi itu bukan syarat untuk kita memangku tangan dan berpeluk tubuh. Mereka berjuang demi kita dan demi Islam seluruhnya. Tidak malukah kita membiarkan mereka berjuang bersendirian. Luka mereka adalah luka kita.




Mahu tahu apa kekuatan mereka? Pertama mereka mendekati Al-Quran dan kedua mereka memantapkan institusi keluarga.

"Besar perjuangan Hamas di sana. Benar Hamas telah memulakannya. Tetapi mereka hanya satu juzuk daripada Ummah yang besar. Mereka memerlukan bantuan luar. Hamas memulakan tetapi Ummah di luar akan menyempurnakan. Begitulah indahnya keadilan Allah yang memberikan peluang kepada semua untuk sama-sama mendapatkan saham akhirat"

"Rupa-rupanya kekuatan itu adalah natijah daripada proses dakwah & tarbiyah oleh generasi awal sejak lebih 40 tahun lagi bukan setahun dua. Bermula daripada dakwah kepada anak-anak dan keluarga. Dakwah supaya mereka mencintai Al-Quran, supaya mereka membaca, menghafal dan menghayati Al-Quran. Al Quran menjadi sumber kehidupan, Al Quran menjadi amalan hidup. Inilah proses yg telah dilakukan oleh Rasulullah saw. Proses melahirkan Jil Quran Farid (Generasi Al-Quran yang unik). Proses dakwah/ ajakan kepada Allah melalui wahyu Allah. Bukan hanya sekadar kata-kata manusia, atau ceramah pembakar dan menyentuh jiwa. Tetapi mereka mulai dengan seruan dan ajakan "untuk mencintai Al Quran". Mereka kenalkan Allah melalui Al-Quran. Mereka kenalkan manusia melalui Al Quran. Mereka kenalkan kehidupan melalui Al-Quran. Mereka selesaikan segala permasalahan hidup melalui Al Quran. Dari anak-anak sehingga orang tua berlumba-lumba mendekati Al Quran."

Jiwa anak-anak muda dicetak oleh Al-Quran. Pemikiran mereka disusun oleh Al-Quran, Amal mereka menjurus pada perintah Al-Quran. Maka terhasilnya barisan pejuang yang tidak gerun syahid demi Islam. Ini tidak dapat tidak, hasil pembentukan dari madhrasah Al-Quran dan hasil didikan keluarga yang benar-benar memahami Islam. Indah bukan hasilnya?

Ayah menjadi Mithali,
Ibu menjadi Mithali,
Anak-anak juga Mithali..

Rosak ayah rosak keluarga,
Rosak ibu binasa keluarga,
Rosak anak-anak hancur ummah.


Subhanallah, satu-satunya kalimah yang terucap. Kemas dan kagum. Kelu lidah melihat kehebatan saudara di Palestine. Mereka ibarat singa dalam perjuangan. Melihat kekuatan yang mereka ada sedikit sebanyak mengubat rindu pada generasi awal, masih ada mereka yang benar-benar teguh di jalan INI. Daku mahu sekuat mereka dalam mendepani cabaran dan ujian dunia.

Entah la kenapa. Sedih di hati masih berbaki. Melihat realiti Islam dipermainkan oleh pembawa-pembawa agama apatah lagi penolak agama. Hatta ummat Islam kian jauh dengan Al-Quran. Jauh dari memahami apa yang ada di dalamnya. Hatta kadangkala, kita sendiri kurang kedepankan sikap dalam memaparkan Islam sebenar. Benarlah kata YusuF IsLam ketika ditemuramah mengenai keislaman beliau. Beliau sendiri tertarik pada Islam bukanlah dengan melihat muslim-muslim yang ada tapi bila Islam yang syumul itu menyentuh hati-NYa. Ya Allah berdosa rasanya apabila bergelar muslim tapi kita tidak mempersembahkan contoh teladan yang baik. Sinar ingin mengajak diri dan teman-teman, perhatikan sirah, perhatikan sejarah, perhatikan sikap ulama. Jujurlah pada kata-kata dan perbuatan. Tidak takut kah kita dengan azab Allah? Bila mana Al-Quran dan suruhannya kita langgar? Ya Allah ampunkan kami.




Dunia menuntut perubahan... Akhirat tempat perkumpulan. Ya Allah, sinarilah kami hidayah-Mu dan kumpulkan hati-hati kami di Jannah-Mu.

Friday, December 04, 2009

Rumah Kita

Kalau sebut fasal rumah macam-macam ada. Rumah banglo, rumah teres, rumah pangsa, pondok dan lain-lain lagi. Pendek kata di abad ini segalanya ada. Isu rumah juga tidak kurang hebatnya. Menjadi keperluan asasi untuk berumah kerana disitu tempat kita berlindung. Namun apabila memerhatikan rumah hingga tidak cukup tangan menanganinya.

"Mama, bila rumah kita nak dicat?" tanya si anak

"Baba, atap umah kita bocor." kata angah pada ayahnya

"Tak abis abis paip ni bocor, sinki pula sumbat." keluhan si isteri di senja hari

"Aku bila besar nanti nak rumah banglo." Lagak si anak memikirkan masa hadapan.
Gambar hiasan

Hari ini mari kita kenangkan rumah kita. Yang berada di perantauan pastinya sangat rindu bukan. Jom pulang ke negeri dan daerah masing-masing. Bagaimana kondisinya? Cantik atau ditelan usia?

Baiklah...Mari kita lihat rumah kita yang ini pula. Bagaimana?


Di mana seharusnya letaknya islam, iman dan ihsan? Apa alasannya? Kukuhkah binaannya?

Apa itu islam?

Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerahkan kepada Allah swt. Dari segi istilah syarak pula ialah agama yang dibina di atas lima asas iaitu
  1. Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Tuhan (ilah) melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah
  2. Mendirikan solat dalam waktunya dengan rukun dan syarat yang sempurna serta menjaga sunat dan adabnya
  3. Mengeluarkan zakat
  4. Berpuasa di bulan Ramadhan
  5. Menunaikan haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan dan memiliki keperluan untuk bermusafir seperti bekalan, kenderaan dan belanja nafkah ahli keluarganya.


Namun Islam tidak terbatas dalam lima asas sebentar tadi. Islam adalah deenul hayah iaitu gaya hidup mahupun peraturan kehidupan. Islam bukan suatu Deen yang wujud secara kebetulan tetapi adalah satu natijah (hasil) daripada satu tarbiyah (pendidikan). Hasil dari perancangan, perencanaan, pembentukan yang disusun dengan rapi dan berhati-hati melalui ransangan-ransangan dan bimbingan yang diransang dalam rangka melahirkan manusia yang Islam dalam pemikirannya, aqidahnya, akhlaknya dan jiwanya dalam segala perbuatan dan tindakannya.

Apa itu Iman?

Iman dari segi bahasa ialah at-tasdiq (membenarkan) dan dari segi syarak ialah: Tasdiq yang jazim (keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap kewujudan Allah Taala yang Maha Pencipta dan bahawasanya Allah itu Esa dan tiada sekutu. Membenarkan kewujudan para malaikat, kitab-kitab samawiah, para rasul, hari kiamat dan membenarkan semua perkara yang berlaku dimuka bumi ini adalah dengan takdir (ketentuan) Allah Taala berdasarkan hikmah yang tersembunyi. Inilah rukun-rukun iman yang sudah kita sedia maklum

Iman ialah teman sejati manusia. Di kala kita kesunyian dan kesedihan imanlah penghibur. Maka keteguhan iman sebagai asas atau fondisi sangat besar peranannya. Masakan sebuah rumah akan stabil andai tapaknya goyah. Justeru kestabilan diperingkat asas, dasar mahupun tapak itu perlu agar binaan yang terbina atasnya kukuh hingga keakhirnya.

Apa itu Ihsan?

Ihsan ialah ikhlas dan tekun. Inilah hasil apabila kita beribadah seolah-olah kamu dapat melihat Allah sekiranya tidak mampu seolah-olah Allah Taala melihat kita samada kecil ataupun besar perbuatan tersebut.

Dr Abdullah Azzam pernah berkata:

"Sesungguhnya meninggalkan sikap saling membantu dalam mengembalikan semula agama Allah ke alam wujud adalah jenayah terbesar yang dilakukan oleh golongan yang berdiam diri dan yang malas membina semula agama ini."

Justeru dalam menjadi seorang hamba yang taat pada Pencipta-Nya, dalam membantu agama-Nya, tidak dapat tidak kita harus sedar dimana tanggungjawab kita. Ingin bermalasan? Malas itu meyamai anda membiarkan diri diselimuti dosa. Ingin terus diselimuti maksiat dan amal yang tidak berfaedah? Tidak takut Allah kah kita?

Dewasa ini, manusia berlumba-lumba dalam membina rumah yang cantik strukturnya namun, iman, islam dan ihsan tidak dihiraukan pembinaannya dalam diri. Setiap satunya masih goyah. Marilah kita perkemaskan rumah kita. Tegakkan dalam diri dan akhirnya tersegam indahlah setiap satunya dan rumah kita secara amnya adalah serupa bahkan tertegaklah masyarakat Muslim dan barulah terbentuknya daulah.

Sunday, November 22, 2009

Tanda-tanda cinta


Aku cinta kamu?
I love You?
Uhibbukifillah?
Uhibbukafillah?


Indah kalimah ini kalau kita menerimanya. Terawang-awang dibuatnya. Kalau namanya cinta, seolah-olahnya indah belaka kan? Belum kena penangan cinta belum tahu. Kalau cinta manusia, haru biru juga kalau tidak kena cara. Tapi ada satu cinta ni, aman bahagia hati dibuatnya. Apa ya?

Kali ini cinta pada siapa Sinar ingin bawakan? Pada manusia? Oh tidak…Hari ini kita pulang mencari Yang Maha Mencipta. Sudah pastinya pada Allah. Tahukah kalian tanda-tanda cinta pada-Nya. Kita dalam mengejar kejayaan jangan lupa kasih Allah jangan sekali-kali dipinggirkan.

Mudah untuk kita lafazkan “Saya sayang Allah. Saya cinta Allah.” Namun. cinta itu memerlukan bukti dan tanda. Jika kita selalu menyalahi perintah Allah, bukan cinta namanya. Justeru jika tidak ada bukti, maka kata-kata cinta sudah tidak bermakna. Kita cintakan sahabat? Kita cintakan dakwah? Kita cintakan Allah? Jika ya, maka tunjukkan bukti dan tandanya, kerana kata-kata bukanlah segalanya. Hatta iman pun menuntut bukti.

“Apa tanda cinta?”

“Ha, Rindu. Pastu mestilah akan selalu teringat kat dia kan kak.” sambil senyum nakal adik usrahku menjawab. Dan turut disambung dengan beberapa jawapan yang lain yang turut mengundang tawa petang itu.

“Alhamdulillah semuanya betul. Cuma akak nak juga bagi tau. Cinta ni bukan cinta biasa-biasa. Cinta seorang hamba dengan Pencipta. Cinta ni mahal bukan murah tau nilai-Nya. Cari dulu cinta Allah. Jangan pi cari yang lain. Nampaknya semua ni pakar cinta. Erm... Tapi make sure! Zahirkan! Jangan hanya meniti dibibir sahaja. Ops! Jangan salah cari cinta ya. Buruk padahnya. Ok! Jom kita tengok apa tanda cinta.”

“Betul betul betul.” Macam-macam reaksi kanak-kanak ini bila disebut pasal cinta. =)


Baiklah. Ada 8 semuanya yang dapat dikongsi. Lepas ni masing-masing boleh periksa. Adakah benar dan bulat cinta kita pada Allah? Sudah jitukah?

  1. Selalu menyebut (Kasratuz zikr)
  2. Kagum (Al-I'jab)
  3. Redha(Ar-Redha)
  4. Pengorbanan( At-Tadhiyah)
  5. Takut (Al-Khauf)
  6. Berharap (Ar-Raja')
  7. Patuh (At-Taah)
  8. Mencintai apa yang dicintai oleh Kekasih

Selalu Menyebut

Seseorang yang mencintai kekasihnya pasti akan banyak menyebut dan mengingatinya. Kerana mabuk cinta pada kekasihnya, ingatannya sentiasa bersama orang yang dicintai dalam sedar atau tidak, bahkan dalam mimpi dan saat membuka mata. Syair arab ada menyebut

"Kaulah yang terakhir kusebut sebelum terlena "

"Kaulah yang pertama kusebut setelah terjaga"

Begitulah hebatnya cinta. Namun hanya cinta pada Allah boleh mengalirkan ketenangan dalam jiwa yang keresahan. Sudah pasti kalian sendiri pernah merasainya. Di saat diuji anda pulang mencari Dia. Mengadu dan mengadu akhirnya Dia membuka jalan.

“…dan lelaki dan perempuan yang banyak menyebut Allah, Allah akan menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”
(Al-Ahzab:35)

Kagum

Orang yang dilamun cinta akan memandang kekasihnya penuh ketakjuban, tiada cacat dalam dirinya. Semua terasa indah dan menarik pandangan matanya. Biar apa pun kata orang. Hanya dialah yang terbaik di mata kita.

Rasulullah bersabda , “Cintamu terhadap sesuatu dapat membuatmu buta dan tuli” (Riwayat Ahmad)

Inikan pula Allah adalah Zat Yang Maha Sempurna tiada cacat cela. Maka Allah pantas kita kagumi melebihi manusia yang penuh dengan kelemahan demi kelemahan. Rasulullah adalah khudwah dalam melayari cinta pada Allah. Baginda sangat mencintai Allah. Baginda cukup kagum dan terkesan dengan kalamullah. Bahkan pada suatu hari baginda ingin mendengar kalamullah dibacakan oleh insan lain agar penghayatannya lebih terkesan dihati.

“Bacalah untukku Al-Quran” pinta baginda kepada Ibnu Mas’ud pada suatu ketika.

Ibnu Mas’ud bertanya,” Wahai rasulullah, apakah saya akan membacakan Al-Quran kepadamu, sementara kepadamulah Al-quran diturunkan?”

Rasulullah bersabda,”Aku senang mendengar daripada orang lain selain diriku.”

Ibnu Mas’ud lalu membaca Surah An-Nisa hinggalah pada ayat

“Maka bagaimanakah (halnya orang-orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi(rasul) dari tiap-tiap umat dan Kamu mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka.” (An-Nisa:41)

Tiba-tiba Rasulullah bersabda, “Cukuplah sampai di situ”

Ibnu Mas’ud mengangkat kepala dan memandang Rasulullah,”Ternyata, kedua mata beliau menitiskan air mata.” (HR Bukhari dan Muslim)

Begitulah kecintaan yang dari awalnya lahirnya kekaguman akan membibitkan kerinduan.

Redha


Tika kita diuji dengan ujian dan dugaan apapun oleh Allah, redha akan mengiringi. Inilah antara bukti cinta pada-Nya. Pejuang dan pencinta di jalan Allah akan sentiasa tulus dan ikhlas menerima semua risiko perjuangan dan takdir yang Allah tetapkan. Jauh sekali bibirnya menuturkan…

“Mengapa aku diuji sedemikian…”

Tapi apa yang akan ditutur,” Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untukku. Biar apapun redha-Nya menjadi pelengkap hidupku”

Pengorbanan


Pengorbanan adalah bukti cinta. Tidak ada cinta tanpa pengorbanan. Seseorang yang tulus cinta akan bersiap sedia untuk mengorbankan dirinya untuk orang yang dicintai. Cinta pada Allah akan membentuk individu yang sedia meninggalkan kenikmatan lain untuk mendapat cinta-Nya. Hartanya, kesenangannya, tenaganya semuanya dikerahkan untuk meraih cinta yang hakiki. Begitulah hebatnya cinta. Sanggup berkorban apa sahaja.

Takut (Al-Khauf)

Seseorang yang mencintai akan merasa takut ditinggalkan oleh orang yang cintai. Hatta dia juga takut menguriskan hati orang yang dicintai. Tentu kalian pernah mendengar cerita Tsa'labah Bin Abdurahman. Beliau sangat takut dosanya mengundang murka Allah. Beliau takut Allah tidak mencintainya. Lalu beliau memencil diri memohon keampunan hingga akhirnya meninggal kerana takutkan Allah. Kita mahu jiwa seperti ini. Hati yang sensitif sekiranya melakukan maksiat terus menerus bertaubat. Alangkah indahnya seperti Tsalabah, dia dikenali oleh penduduk di langit dan di bumi kerana perasaan takutnya pada Allah. Moga keampunan buat kita juga. Takut ini dalam erti kata yang lain menyumbangkan kepada tingkatnya ketakwaan kita kepada Allah.

Berharap

Seseorang yang mencintai insan lain sudah pasti berharap agar cintanya itu diterima dan ia turut dicintai. Kerana cinta yang hanya 'bertepuk sebelah tangan', sungguh perit jika dialami. Dalam kisah Laila Majnun, Abu Qais Bin Al-Mulawwah mengharapkan cinta dari Laila dengan alunan syairnya

"Aku tidak akan pernah bertaubat untuk mencintaimu"

Itu cinta manusia apatah lagi orang yang beriman sudah pasti sangat berharap dicintai Allah swt, kerana Dialah sumber segala kasih sayang dan keredhaannya yang menjadi dambaan setiap hamba. Allah berfirman

"Katakan wahai Muhammad, "Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang"

(Ali-Imran : 31)

Mereka yang tidak mengenali Allah semestinya tidak menaruh harapan. Namun sebenarnya itulah kerugian yang nyata kerana hanya Dialah tempat kita berharap. Rasa harap inilah akan mengalahkan segala rasa putus asa, Pantang bagi seorang pencinta berputus asa mengharap rahmat dari Kekasihnya. Inilah sumber kekuatan seorang hamba untuk terus tabah menjalani kehidupannya.

Taat

Cinta akan melahirkan ketaaatan, kepasrahan.Orang yang beriman kepada Allah akan sentiasa taat kepada Allah. Inilah tanda cintanya. Sesekali tidak ingin berjauhan dari rahmat Allah.

"Wahai orang-orang beriman , taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada pemerintah di antara kamu...."

(An-Nisa : 59)

Mencintai kekasih

Mencintai apa yang dicintai kekasih adalah bahagian dari tanda cinta. Adalah tidak mungkin seseorang menyatakan cinta pada kekasih lalu dalam tindakan dan sikapnya menunjukkan perilaku yang bertentangan dengan kehendak orang yang dicintai. Allah sangat mencintai keimanan dan kebaikan, maka hamba-Nya yang soleh turut mencintainya. Allah sangat mencintai ukhwah, maka hamba-Nya yang soleh turut mencintainya. Allah sangat mencintai jihad maka hamba-Nya yang soleh turut mencintai jihad di jalan-Nya.

Ibnu Taimiyah pernah berkata

"Mencintai sesuatu yang dicintai kekasih adalah bahagian dari mencintai kekasih, dan ketahanan menerima risiko yang menyusahkan adalah sebahagian dari cinta kepada kekasih"

Justeru mari kita buktikan cinta kita. Kita sebagai umatnya perlu menyahut setiap seruan yang Allah gariskan agar kita dicintai oleh Allah dengan menghadirkan kelapan-lapan ciri ini dalam diri. Sama-sama kita realisasikan cinta kita kepada Allah bukan hanya meniti dibibir sahaja =)

Sumber rujukan : Buku Iman dan Mahabbatullah, Cahyadi Takariawan

Friday, October 30, 2009

~:: Gaya hidup mukmin ::~



"Gaya Hidup Mukmin"
"Gaya Hidup Bahagia"

Begitulah antara slogan kata oleh Dr Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya “Menabjub potret insan beriman”

Orang beriman dia bahagia dengan harta yang dimiliki kerana harta dinafkahkan untuk mencari redha Allah. Dia bahagia dengan kefakirannya,kerana baginya kefakiran adalah masa-masa untuk meraih sikap tawadhuk dan ketenangan. Dia tidak merungut tapi berusaha menjadi insan yang lebih baik.


Orang yang bahagia adalah orang yang apabila memperoleh nikmat dia bersyukur, apabila memperoleh musibah dia bersabar dan apabila dia berbuat dosa dia beristighfar. Inilah antara akhlak mukmin dan kelebihan peribadi muslim yang menyerah sepenuhnya jiwa raganya pada Allah, Pencipta dirinya. Subhanallah…

Pasti kalian pernah mendengar mahupun terbaca kata-kata “ You loose the battle but you win the war”. Mendalam sungguh sebenarnya kata-kata ini. Mari kita ambil contoh dalam konsep menahan marah. Apabila dicemuh dicaci dengan pelbagai kata-kata yang pastinya tidak enak didengar, kita ada dua pilihan. Samada membalas dengan niat yang sama atau beralah biar timbul masa yang rasional untuk diajak berbincang. Anda memang marah tapi anda lebih memilih menahan. Justeru bukan bermakna anda kalah. Anda menang dalam peperangan ini sebenarnya. Itulah kelebihan akhlak mukmin, rasional tanpa mengira waktu dan tempat.


Alhamdulillah, hari ini hati ini kian terisi….Maka tidak dapat tidak Sinar akan berkongsi…

Mari kita berakhlak mulia

Senang untuk berakhlak mulia dan senang juga berakhlak dengan akhlak yang buruk. Diri kita berhak menentukan. Memilih untuk berakhlak mulia bererti menginginkan kehidupan yang baik dan diredhai Allah. Maka sumbernya utama dalam pembentukan akhlak adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Memilih untuk berakhlak buruk maka dia memilih syaitan sebagai pengemudi hidupnya.

Tahukah anda asas-asas yang mendorong berakhlak mulia? Iman, Islam, Taqwa dan Ihsan adalah 4 asas yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah dalam membentuk peribadi mukmin.

Keimanan pada Allah

Keimanan memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak. Iman di dada akan menghasilkan buah-buah amal yang ranum, enak dan segar. Inilah pencetus untuk beramal di jalan Allah, hidup dalam melakukan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah.


“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya bertambahlah keimanan mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal”

(Surah Al-Anfal: 2)

Islam itu syumul

Islam itu menyeluruh. Jika menolak islam kita adalah kaum yang rugi. Islam itu bererti kita tunduk dan patuh pada suruhan dan larangan Allah. Kita mengakui bahawasanya tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Tiada bangkangan tiada keluhan. Iman dan Islam itu sentiasa beriringan untuk menghasilkan akhlak mulia dalam individu mukmin dan muslim. Sudah pasti apa yang Allah gariskan itu adalah yang terbaik buat makhluk ciptaan. Sudah banyak nikmat yang Allah berikan, Oksigen, makanan, kesihatan, kekayaan. Maka nikmat Tuhanmu, yang mana kamu dustakan. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 277 :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman,mengerjakan amal soleh, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya.Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati”

Taqwa penggerak amal soleh

Perasaan takut pada Allah akan membimbing hati-hati yang menerima Islam dan mengaku beriman pada Allah untuk terus berdiri di jalan kebenaran. Inilah pemicu dan pemandu untuk terus istiqamah dalam amal kebaikan. Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr ayat 18 :

“Hai orang-orang yang bertakwa kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengerahui apa yang kamu kerjakan.”

Besar pesanan pencipta buat hamba yang ciptakan. Benarlah, hatta barang sesaat pun Allah tidak pernah lupa daripada mengingatkan hamba-Nya. Tanda Allah itu kasih akan hamba-Nya. Tapi hamba itu ego dalam mengingati Allah. Sentiasa lupa dan leka. Ayuh pulang kepangkuan pencipta.

Ihsan

Tahukah kalian maksud ihsan? Ihsan itu adalah “ Bahawasanya apabila kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu.”Begitulah sabda Rasulullah ketika ditanya oleh Jibril.

Seputar keimanan, islam dan takwa maka kesinambungan ihsan mencantikkan kombinasi ini. Ihsan takkan lahir tanpa keimanan dan ketakwaan yang tulen. Mana mungkin kita akan berbuat maksiat jika takutkan Allah. Mana mungkin kita mempersekutukan Allah andai kita berikrar Allah sebagai Ilah. Jika masih ada…sama-sama tanya pada diri, hidupkah imanku sihatkah imanku.

Bahagiakan diri anda dengan berakhlak mulia

Apakah akhlak Islamiyah yang kita bawa? Yang cantik dan indah itulah Islam. Kita bersungguh dalam sesuatu. Kita tekun dan tidak bermalasan. Kita menghulurkan bantuan tanpa mengharap balasan. Kita bersedekah kepada yang memerlukan. Kita amanah dalam pekerjaan. Kita menutup aurat seperti yang Allah sarankan. Kita kota janji yang dilafazkan. Pendek kata kita bersegera dalam segala kebaikan dan kita benar dalam setiap perbuatan dan percakapan sepertimana yang Allah mahu bukan mengikut hawa nafsu.





Akhir kalam. Bawalah Akhlak Islamiyah ke mana sahaja kita pergi dan di mana sahaja bumi yang kita pijak kerana kita adalah duta-duta kecil di dunia yang membawa risalah agung Rabb Yang Maha Besar lagi Maha Agung. Moga inilah saham untuk kita di akhirat sana.

Sinar~islami
El-Fahmy Allay, Mouniera

Saturday, October 24, 2009

Apa pilihanmu?

Manusia bebas menentukan apa-apa sahaja jalan yang ingin dituruti, bidang apa yang ingin diceburi, wanita mana yang ingin dinikahi, lelaki mana yang ingin dijadikan suami hatta jalan hidup mana yang ingin ditempuhi. Bebas tanpa konkongan. Ya! terasa benar pilihan itu banyak bukan? Namun dalam menentukan hala tuju kehidupan mari sama-sama kita renungi kalam Allah ini :



فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan,
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,
وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.
(Surah As-syams : 8-10)


Justeru, dalam hidup ini hanya ada dua pilihan atau hanya dua jalan.Hanya dua dan antara dua sahaja. Jalan kefasikan atau jalan ketakwaan. Manusia diberi akal untuk membuat pilihan. Bebas memilih satu antara dua jalan yang disediakan. Natijah daripada pemilihan itu akan menentukan hakikat kehidupan di akhirat kelak. Maka di sinilah titik tolak yang memerlukan kita berfikir panjang. Ayuh tepuk dadamu, tanyalah diri dan imanmu.

Antara Dua Pilihan.

Mereka yang memilih Islam bererti memilih pengakhiran yang menjamin kebahagian. Memilih Islam bererti menegakkan Islam dalam diri, tingkah laku, peribadi, percakapan dan hatta seluruh kehidupan ini. Setiap satu dihubungkan dengan Allah. Perintah dan larangan dituruti tanpa banyak karenah. Sudahkah kita menyerah hati sepenuhnya? Takrif Islam sepertimana yang dijelaskan oleh Dr Abdullah Karim Zaidan, bermaksud patuh dan menyerah kepada perintah Allah Taala semata-mata. Justeru sikap ini hanya akan hadir apabila kita benar-benar sedar akan pilihan yang kita ambil. Sedarkah kita atas selama ini bergelar pewaris?

Jika pilihan kita sebaliknya, hasilnya pembalasan dan penderitaan yang akan diperolehi. Terpulanglah kepada kita untuk memilih satu daripada dua jalan itu. Firman Allah,

"Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, maka bagi mereka syurga tempat kediaman sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Dan adapun orang-orang fasiq maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya mereka dikembalikan lagi ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: Rasakan siksaan neraka yang dahulu kamu dustakan."

(Surah As-sajadah : 19-20)

Menghayati pemilihan.

Sudah selesai membuat pilihan? Tidak cukup hanya memilih tanpa penghayatan yang SEDAR. Betapa ramai ustaz dan ustazah yang dilahirkan tapi turut sama menyumbang kepada kemaksiatan. Bukan ingin menyalahkan. Cuma teori tanpa amal itu benar-benar tidak memilih profesion apa pun. Sungguh ilmu tanpa amal juga sia-sia. Tahu tanpa mahu juga sia-sia. Apalagi memilih jalan yang benar tanpa penjagaan itu juga akan sia-sia.




Apabila sudah memilih Islam sebagai deen maka praktik hidupnya juga harus mengiklankan, memperjelaskan, mengambarkan Islam yang dikehendaki walau di mana sahaja dia berada. Tidak kira di universiti, di pejabat, di hospital, di kedai kopi hatta di dalam rumah. Tidak kira kaya mahupun miskin tidak kira pangkat atau darjat. Seorang muslim harus setia dalam peribadi seorang yang tunduk patuh pada neraca Allah.

Maka benarlah, pemilihan yang tepat adalah dengan penyerahan seluruh jiwa dan aggota kepada Allah. Kita benar-benar lemah, tapi pada-Nya kita memohon kekuatan. InsyaAllah moga Allah mantapkan kita di atas jalan ini. Cukuplah Islam sebagai pilihan kita. Ya Rabb peliharalah kami dan lindungilah kami dari azab seksaan-Mu.

sinar~islami
Madinah An-Nasr
Layar dalam perteguhkan keimanan pada-Mu