BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, January 23, 2013

23 Januari 2013 Dalam Sejarah

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.. Tiada kalimah yang lebih agung, di hari ini melainkan setinggi-tinggi pujaan padaMu Ya Rabbi..


23 Januari 2013.. Penuh pengharapan!

Selesai sudah peperiksaan yang cukup mendebarkan hati ini.

Hari ini merupakan hari bersejarah buat kami. Inilah hari terakhir saya, sahabat-sahabat Gen6 dan sebahagian angkatan tahun akhir 2012 Fakulti Perubatan Universiti Kaherah menduduki peperiksaan akhir demi sekalung ijazah. Ijazah itulah yang bakal merubah hidup kami. Walaupun itu bukanlah segala-galanya, tapi ijazahlah wasilah untuk kami mencari redha Allah dan jalan untuk mendekati dan berkhidmat pada masyarakat kelak.

Perjuangan ini masih belum terhenti. Doa dan tawakal harus mengiringi. Keputusan peperiksaan sudah pasti mendebarkan kami. Inilah saat penantian yang penuh pengharapan buat kami. Doakan keputusan yang cemerlang milik kami semua ya. (^_^)

Jutaan kemaafan saya ucapkan kepada yang mengenali terutamanya suami yang dikasihi, Ummi Lek, Ibu Abah, adik-beradik, keluarga besar, pendidik, angkatan Gen6, sahabat-sahabat, adik-adik..maafkan salah silap sepanjang kita berinteraksi, jika ada tersalah bicara dan tingkah-laku yang tidak berkenan di hati. Terima kasih yang tak terhingga juga kepada semua kerana sentiasa memberi sokongan, semangat dan nasihat sepanjang menghadapi saat-saat getir ini.

Moga Allah beri yang terbaik untuk kami demi membahagiakan keluarga yang selalu mendoakan kami. Ameen.


23 Januari hari lahirnya..


Hari ini juga hari penting dan 'special' untuk sahabat saya. Sepanjang 6 tahun setengah di sini, saya dikurniakan sahabat yang sangat dekat di hati. Kami kuliah sekali, kelas Al-Quran sekali, bahkan di dewan peperiksaan juga sekali. Angka gilirannya 1650 dan saya 1651. Banyak kenangan kami bersama, tidak mampu bercerita. Orangnya lincah, baik sekali. Pemurah dan sangat menyenangkan hati. Bait kata dan bicara, menyedarkan diri. Alhamdulillah, syukur pada Allah memberi sahabat yang baik untuk perbaiki diri.

Moga Allah berkati teman saya ini. (^_^)
Uhibbukifillah. Abadan abada.. Biiznillah kita berjiran di Syurga nanti.

Saturday, January 19, 2013

Kembara Mesir : Bersama Habibi. Uhibbuka fillah!


Tidak disangka-sangka, Allah membuka peluang suami yang dikasihi hadir ke bumi kinanah ini. Syukur ke hadrat Illahi. (^_^) Alhamdulillah, memang ada hikmah di sebalik kedatangan suami. Allah membuka ruang untuk saya terus berkhidmat sebagai seorang isteri sebagai bekalan akhirat untuk bertemu Pencipta diri dan memperingatkan diri di saat akhir perjuangan di Mesir ini. 

Di samping bergelut dengan buku, Allah membuka seluasnya peluang untuk meraikan kedatangan beliau ke sini. Melihat beliau makan masakan sendiri pun sudah menguntumkan senyuman dan kelegaan di hati. Di samping itu sempat juga membawa beliau menjelajah sedikit sebanyak tempat di Kaherah dan Iskandariah. Memang tidak puas kata beliau. Maklumlah kebanyakan masa menemani saya di rumah untuk menghadapi peperiksaan akhir yang masih berbaki. Beliau sangat memahami dan sentiasa memberi semangat pada diri.

Iskandariah kami lawati (6-7 Januari 2013)

Sudah pasti Iskandariah kami jejaki kerana adik beliau masih belajar di sini. Yang jauh dekat di hati, lagi dirindui. Pastinya kedatangan ke Mesir tidak lengkap kalau tidak ke sini kerana Iskandariah juga merupakan tempat pelancongan yang masyhur dengan pantainya bahkan itulah pusat pemerintahan Mesir suatu ketika dahulu :) Alhamdulillah tertunai hajatnya. 


Sebaik sahaja tiba di Iskandariah, terasa beza sungguh udaranya dengan Kaherah. Maklumlah, ada pantai dan angin yang segar menghidupkan suasana di sini. Antara tempat yang sempat kami lawati ialah, Bibliotheca Alexandrina (Perpustakaan), Makam Nabi Daniel, Makam Luqman Al-Hakim, Masjid Abu Al-Abbas Al-Morsi dan Kubu Qaitbay.


Sambil berjalan, perut juga pasti berdendangan. Tidak lengkap rasanya kalau tidak menikmati aiskrim segar buah-buahan di Iskandariah. Walaupun musim sejuk, kelazatan aiskrim menghangatkan. Kemudian, pada sebelah malamnya juga kami menikmati hidangan makanan laut sebelum membeli belah di Mashiyah. Jutaan terima kasih pada adikku Milah, sahabat saya Ukhti 'Izzah dan junior yang dihormati Hashimi dan Qarafi kerana sudi menemani sepanjang perjalanan kami di sini.

Walaupun ziarah singkat di Iskandariah, manisnya tetap dirasa apabila dapat bertemu insan yang tersayang bahkan dapat bersilaturahim dengan sahabat-sahabat baru. Itulah manisnya sebuah kembara. Sambil mengenal tempat baru, sambil menyebar ukhwah.

Kaherah bercerita (5-17 Januari2013)

Sudah pasti, kebanyakan masa suami dihabiskan di Kaherah. Kami tinggal di Mouniera-Sayeda Zainab. Secara tidak langsung, tinggal di sini memberikan gambaran cara hidup golongan majoriti di Mesir. Kepadatan penduduk di Kaherah membuatkan kehidupan di sini terasa sesak dan menguji kesabaran. Kaherah boleh diibaratkan kota yang tidak pernah mati. Hidup sepanjang hari. Di pagi hari lagi, rakyatnya sudah beratur membeli 'eisy (roti), ful, to'miyyah, pengangkutan awam sudah dibanjiri dan hon kereta pula silih berganti. Siangnya sibuk dengan aktiviti jual beli bahkan tak pernah berhenti. Di sebelah malamnya pula kedai kopi dan shisha pasti dipenuhi. Ya, itulah Kaherah dengan seribu macam ragam Misriyuun. Namun, di situlah letaknya seribu macam teladan dan sempadan buat perantau seperti kami.

Jauh dari kebiasaan, Kaherah masih banyak keunikan yang perlu diterokai. Wujudnya masjid bersejarah dan makam para sahabat dan solehin menjadikan kita terpanggil untuk menjadikan diri sebaik mereka, meneruskan perjuangan mereka dan mengimarahkan masjid yang sedia ada. Walaupun sudah 6 tahun di sini, saya sendiri terasa buta sejarah dan masih mencari-cari untuk melengkapi cebisan yang masih berbaki.



Sudah pasti Makam Imam Waqi', Imam Syafie dan Imam Hassan Al-Banna antara pilihan di hati.  Kali terakhir saya ziarahi mungkin 3 tahun yang lepas. Sejuk hati melihat Makam Imam Hassan Al-Banna lebih rapi dan terpelihara. Namun sedih pula melihat kondisi makam-makam Imam dan para sahabat. Tidak terjaga. Moga ada perubahan selepas ini.

Di samping itu juga , saya menemani suami ke makam beberapa sahabat Nabi dan melihat masjid yang masyhur di sini seperti Masjid Amru Al-Asr, Masjid Al-Azhar, Masjid Hussein, Masjid Sayeda Zainab, Masjid Sayeda Aisyah, Masjid Muhamad Ali Pasha serta Kubu Salahuddin yang masih teguh berdiri.
Selesai melawat tempat-tempat orang soleh yang terpilih, kami beranjak melihat tinggalan Firaun yang dilaknat Allah. Memang gah kelihatan piramid di mata kasar tapi tidak mampu menandingi kebesaran dan keagungan Allah. Telah Allah buktikan, Dia mampu menjatuhkan sebesar-besar empayar dengan kuasa sebagai PEMILIK sebenar alam ini. Tidak ada manusia yang mampu menandingi kuasaNya hatta Firaun yang mengaku tuhan dan memiliki piramid yang pernah diagung-agungkan.

Sebesar mana pun ciptaan manusia, besar lagi kekuasan Allah ke atas kita, kerana kita ciptaanNya.
Hanya tinggal 'batu' sebagai saksi keangkuhan..
 Jiwa akan gersang jika kita jauh daripada Allah, Pencipta sekalian alam.

Yang hadir akan pulang... Itulah sunnahnya.

Tak tergambar dengan kata dengan kehadiran suami ke sini. Sungguh itulah antara hadiah termahal yang Allah beri. Sebak pula membaca tulisan suami di facebooknya. Tersentuh dengan kasih sayang Allah dan suami..

'Jika ada awal, mesti ada akhir. Jika ada listen, mesti ada speak. 

Itulah percutian cinta kali ini. Penuh cinta bertemu zaujah tersayang, penuh mahabbah bertemu sahabat-sahabat di Mesir walaupun baru kali pertama bersua muka. Offline atau online hanyalah sekadar cara, apapun ia pastikan terus subur di lubuk hati kita.

Jumpa di Malaysia dengan title Dr dan Ustaz berada didepan nama kalian.

Semoga Allah rahmati kita semua dan berada dalam dakapan kasih sayang-Nya. 

Untuk anakanda, jaga bonda bebaik ya!'
-------------------------------------
"Kembali ke tanahair. Berat hati tinggalkan zaujah dan baby. namun InsyAllah, Allah akan menjaga mereka. "


InsyaAllah, di hati mengharapkan pertemuan penuh barakah untuk fasa seterusnya. Moga Allah rahmati dan buka peluang untuk mentaatiNya dan zauji juga. Moga diampunkan dosa dan dibuka pintu kemaafan untuk menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan. Ameen..

Saturday, January 05, 2013

Hadiah berharga di Jubli Perak'

5 januari 1988

Mengimbau detik itu..25 tahun dahulu..T idak kutahu bagaimana peritnya seorang ibu melahirkan anak seberat 2.8kg ketika masih di perantauan, ditemani seorang ayah yang pengasih di sisi. Kini, bayi itu sudah dewasa, sedang mengandung cucunya pula. Sungguh aturan Allah itu Maha cantik. Hadiah yang tidak ternilai daripada Allah adalah dengan kewujudan mereka. Tanpa mereka siapalah saya. Ditakdirkan pula saya ditemani seorang adik lelaki dan 6 adik perempuan. Comel dan karenah yang pelbagai mewarnai hidup saya. Tidak putus saya mendoakan mereka. Moga syurga milik kami semua.

Sehari sebelum 5 Januari 2013

Allah hadiahkan kehadiran sahabat yang disayangi. Memasak Laksa Johor kami persetujui, dimeriahi lagi dengan kehadiran rakan seperjuangan dan adik-adik sepengajian yang dikasihi.

5 Januari 2013

Pada tarikh ini, tahun ini Allah hadirkan lagi insan baru, di dalam hati dan di dalam diri. Siapakah mereka?sudah pasti suami yang dicintai dan 'anak' yang dikasihi. Tidak pernah disangka, pada 5 Januari, ketika saya berkelana sendiri di bumi Mesir ditemani rakan seperjuangan tanpa suami, Allah lapangkan rezeki dan masa  suami untuk menziarahi saya di benua afrika ini. Subhanallah.. sebuah lagi hadiah tidak ternilai. Syukur!

Saya tersenyum.. masihkan saya tidak bersyukur?

Umur dunia : 25 tahun bukan sekadar angka.


Banyak cerita, banyak berita, banyak kenangan yang terukir di sebalik angka 2 dan 5. Alhamdulillah genap sudah 25 tahun masihi di muka bumi yang diciptakan Allah ini. Alhamdulillah!


Umur, tidak akan berhenti dibicarakan..


Sebut sahaja perihal umur, pasti ada yang termenung panjang. Tidak kira tua atau muda, lelaki mahupun wanita. Tahun demi tahun kita tempuhi, umur kian bertambah tanpa kita sedari. Kulit yang dahulunya mulus, kian berkedut saban hari, rambut yang dahulunya hitam, bakal putih suatu hari, badan yang dahulunya sihat, kian lemah jua bila Allah takdirkan nanti. Itu sunnah alam. Harus kita tempuhi dengan matang. Namun keajaiban boleh sahaja berlaku kerana semuanya milik Allah jua.

Berapa pun umur kita, bukanlah jaminan 100%  kematangan dan keimanan. Boleh sahaja yang tua bersikap kebudak-budakan dan yang muda matang pemikiran. Boleh sahaja usia lebih muda, tapi nuraninya tua, lemah tidak berdaya. Boleh sahaja umurnya tua, tapi nuraninya muda, teguh keimanannya. Apa sahaja mungkin di dunia ini. Namun kita sentiasa diingatkan, kasihi yang muda, hormati yang tua. Yang salah kita betulkan, yang benar kita tegakkan tidak kira batas usia. Permainan umur ini kadangkala di salah ertikan. Moga kita tidak termakan dengan tipu daya umur. Yang benar wajib dibenarkan, yang salah wajib disalahkan.

Begitulah umur antara kayu ukur di dunia supaya kita sedar diri tentang hidup ini ada tempohnya, walaupun kita sendiri tahu ajal itu rahsia dan tidak kira muda atau tua.

Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan tentang harta bendanya dari manakah ia perolehi dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya". (HR Tarmizi)

Menggerunkan bukan? Allah akan soal kita... Jawapan apa yang bakal kita bentangkan? Sepanjang 25 tahun apa yang telah aku lakukan atas sebuah jasad yang Allah berikan?

Hargai masa ini, 25 dan kehadapan..

Berbunga rasa hati bila mendengar ucapan Ummi, Lek dan Abang sempena hari lahir ini. Tak lupa juga ucapan adik-beradik, rakan dan adik seperjuangan. 'Special'nya itu kerana merekalah insan berjasa dalam mencorak warna-warni kehidupan 25 tahun ini. Yang lepas dijadikan kenangan, teladan dan sempadan. 

Yang bakal ditempuhi, esok dan seterusnya merupakan hadiah untuk terus mematangkan diri. Sungguh pun sudah bergelar isteri, belaian kasih sayang Ummi dan Lek belum puas kutagih. Mungkin juga diri ini anak sulung kepada 8 adik-beradik dan sejak umur 13 tahun berjauhan dengan Ummi dan Lek. Sungguh mereka berjasa besar dalam segenap segi. Moga Allah berkati mereka. Hadirnya Abang dan 'insan kecil' di dalam kandungan, petanda bahawa Allah sekali lagi sedang mempersiapkan saya untuk fasa-fasa kehidupan seterusnya. Moga saya kuat dan keimanan juga tertingkat.

Terima kasih juga buat rakan terdekat, adik-adik yang prihatin terhadap diri. Moga Allah eratkan lagi ukhwah ini.

Peringatan ini kusemat.. agar diri terus kuat.

"Rebutlah olehmu akan lima perkara sebelum datang lima perkara; hidup kamu sebelum mati, sihat kamu sebelum sakit, masa lapang kamu sebelum masa kesibukan kamu, muda kamu sebelum tua, dan kaya kamu sebelum miskin". (HR Hakim dan Baihaqi)

Ya Allah, pinjamkanlah kekuatan dan bimbinglah kaki ini mendapat redha dan rahmatMu. Ameen.

Thursday, November 15, 2012

Catatan Bunda : 10 Minggu usiamu. Alhamdulillah..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Kalimah agung yang mampu diucap oleh hamba lemah seperti saya. Diizinkan Allah bernikah dengan seorang pemuda sudah cukup beerti buat saya. Tidak pernah tergambar wajah sebenar perkahwinan, Alhamdulillah hari demi hari perkahwinan yang dibina kian matang dan yang penting setiap detik merupakan ruang untuk kami cari kebersamaan dan lakukan pembaikan.

Kini perubahan fasa dirasai, diizinkan Allah merasai kebesaranNya dengan diciptakan segumpal daging  dan ditiupkan ruh kedua di dalam jasad sendiri. Allahuakbar. Saya disahkan hamil pada 23 Oktober 2012 dengan usia kandungan 6 minggu 5 hari. Tiada perubahan ketara pada badan saya namun melihat kantung kecil melalui ultrasound membuatkan diri takjub dengan kebesaranNya. Tanpa saya sedari, ada sahaja nikmat yang Allah beri. Ini hadiah termahal buat saya dan suami di awal usia perkahwinan kami. Walaupun pernah melihat hasil ultrasound pesakit-pesakit di hospital, melihat hasil ultrasound sendiri membuatkan diri teruja. Maha Besar Pencipta diri.

Buku tambahan untuk peperiksaan akhir ini.. (^_^)
Doakan saya, cemerlang imtihan, sihat kandungan.
Pada 12 November sebelum berangkat pulang ke Mesir, disempat juga berjumpa Murabbiyah dan ditakdirkan pula jumpa di klinik beliau bertugas. Dapatlah kami melihat 'insan kecil' melalui ultrasound lagi. Usianya sudah 9 minggu. Melihat degupan jantungnya membuat saya dan suami tersenyum dan lafaz Alhamdulillah tidak putus kami ucapkan. Kalau sebelumnya hanya kantung kecil, kini kami dapat melihat jantung dan mendengar degupannya.

Hari ini insyaAllah sudah 10 minggu. Syukur padaNya.

Sungguh fasa menjadi ibu hamil ini sungguh mendebarkan. Pergantungan pada Allah harus 100%. Hanya Allah yang mampu menjaga sepenuhnya tumbesaran bayi di dalam kegelapan rahim. Selaku si ibu, hanya aspek pemakanan dan kesihatan diri yang mampu dipantau. Moga Allah melindungi kami.

"Ya Allah, jagalah anakku di dalam kandunganku. Sihatkanlah dia. Engkau jua penyembuh dan tidak ada penawar melainkan penawarmu. Penawar yang tidak meninggalkan sebarang penyakit. Bentukkan dia dalam rupa yang cantik dan elok, dan keluarkanlah dia dihari kelahirannya dengan mudah dan selamat."

"Ya Allah, jadikan dia sihat, sempurna, cerdik, berakal, alim, bijak, mukmin soleh yang ditumpukan kepada kebaikan juga diizinkan menjadi tetamu di Baintul Haram."

"Ya Allah, indahkan akhlaknya dan fasihkan lidahnya, perindahkan dirinya dengan bacaan ayat Al-Quran dan hadith dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W" Ameen..

Saya dan Peperiksaan Tahun Akhir Kuliah Perubatan (2006- Jan 2013) : Doakan ya...!

Perjuangan selama 6 tahun setengah di bumi kinanah ini akan ditamatkan dengan peperiksaan akhir yang bakal bermula dalam 12 hari lagi pada 28 November 2012. Peperiksaan ini bakal berlangsung selama 2 bulan. InsyaAllah selesai pada 23 Januari 2013. 

Sungguh pun diberi 'study leave' selama hampir 4 bulan, masa itu pantas sahaja berlalu dan dirasakan suntuk pula waktu. Moga Allah ampunkan saya jika ada kelalaian dalam memanfaatkan waktu dan Alhamdulillah suami selalu mengerah diri untuk belajar sepanjang tempoh dihabiskan di Bandung mahupun di Malaysia bersamanya. Diusung buku seberat 15kg ke mana sahaja kami pergi, dari rumah di Selangor ke Bandung, dari Bandung ke Selangor, dari Selangor ke Langkawi dan Terengganu. Akhirnya kembali ke Mesir tanggal 13 November. Alhamdulillah, segalanya Allah permudahkan.

Kini saya di Mesir ditemani rakan serumah, 'insan kecil' dan sokongan padu daripada suami dan keluarga di Malaysia. Semoga Allah beri keberkatan ilmu dan waktu serta kekuatan  ingatan, jasadi dan ruhi dalam mendepani peperiksaan kali ini. Sudah pasti targetnya mahu mumtaz, cemerlang dunia akhirat kerana ilmu ini bakal digunakan sepanjang hayat saya nanti. Moga kecemerlangan milik saya dan kawan-kawan seperjuangan. Ameen. Doakan kami  menjadi doktor yang cemerlang deen, ilmu dan akhlaknya.

Akhir kalam, saya memohon maaf pada suami saya, Ummi, Lek, Ibu, Abah, adik-beradik, ipar-duai, keluarga, guru-guru saya, ahli rumah saya di Mesir, sahabat-sahabat saya dan kenalan saya sekiranya pernah terkasar bahasa, tersalah bicara dan ada perilaku yang tak berkenan di mata. Mohon juga halalkan makan minum dan pemberian selama ini. Moga Allah berkati dan menganjari pahala pada kalian semua. (^_^) Ameen.

InsyaAllah jadual peperiksaan saya ada di bawah ini. Mohon doakan saya pada tarikh-tarikh ini ya. Jazakumullahu kheiran kathira semua.

Internal Medicine's Written Exam

28/11/2012 - Paper 1
1/12/2012   - Paper 2 
3/12/2012   - Paper 3
Surgery's Written Exam

17/12/2012 - Paper 1
20/12/2012 - Paper 2
22/12/2012 - Paper 3

Internal Medicine's Clinical Exam

25/12/2012 - Oral
27/12/2012 - Short Cases
30/12/2012 - Long Case
1/1/2013     - X-ray & ECG
3/1/2013     - Dermatology & Andrology
9/1/2013     - Clinical Pathology

Surgery's Clinical Exam

12/1/2013  - Oral Operative
16/1/2013  - Long Case
21/1/2013  - OSCE
23/1/2013  - Surgical Pathology & X-ray.

Sunday, October 07, 2012

Kembara Indonesia : Hidup Sihat di Bandung


Bandung selain menjadi tempat pelancongan dan membeli belah di kalangan pelancong mahupun masyarakat setempat, turut tidak terlepas sebagai destinasi sihat untuk jasmani. Saya diberitahu suami, penduduk di sini suka bersukan. Setidaknya itu menjadi rutin mingguan ataupun rutin harian mereka. Patutlah mereka slim pada hemat saya.

Meriahnya kompleks sukan mereka.

Alhamdulillah pernah turun ke Sabuga (kompleks sukan). Saya naik hairan melihat, gelanggang bola keranjangnya meriah, tennisnya riuh apatah lagi padang bola dan balapan. Ramai yang berjogging, berlari dan ada juga kolam renang. Banyak lagi kemudahan yang disediakan untuk bersukan. Tua, muda, kaya, miskin, lelaki dan perempuan semuanya bersukan. Kalau saya yang tinggal berdekatan kompleks sukan Bukit Jalil, keadaan berbeza, selalunya sunyi dan tidak semeriah ini. Yang meriahnya hanya ketika ada kejohanan sukan, pameran atau ekspo di situ.


Car Free Day (CFD)

Selain itu, setiap hari Ahad di Bandung, Jalan Ir. H. Juanda(Dago dan Jl. Buah Batu akan dikosongkan dari kenderaan, hanya dibenarkan pejalan kaki dan mereka yang berbasikal. Setakat ini saya sudah 3 kali ke CFD di Dago. Acara ini bermula dari 6 pagi hingga 10 pagi. CFD ini dimanfaatkan oleh masyarakat Bandung dan juga pelancong untuk berolahraga atau sekadar menikmati udara kota Bandung di pagi hari. Pelbagai aktiviti yang ada antaranya senam aerobik, jogging, berbasikal, dan persembahan (menari, memasak, menyanyi). Di samping itu juga, diwujudkan booth kecil untuk pemeriksaan kesihatan dan kecemasan sekiranya berlaku kecederaan. Menarikkan?


Mari kita ke CFD!
Kami odw, ada yang dalam perjalanan pulang.. Seronok, boleh dijadikan aktiviti keluarga.

Selesai parking. Lihat signboard itu.. Kita sudah sampai!
Berbasikat tidak kira usia.. Ada juga yang berjalan dan ada juga yang jogging.
Pelbagai ragam janji kita relaks..

Ada juga yang memakai custume menarik untuk membuat promosi.
Selain aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan, pastinya kewujudan kedai, gerai dan booth memeriahkan lagi hari ini. Ramai yang mengambil peluang ini untuk menjual sambil beramal. Ada bermacam-macam jenis jualan; makanan, pakaian, mainan, alat sukan. Pastinya yang menarik perhatian saya adalah makanan, apatah lagi bila terjumpa Pempek. Ohhooo.. memang sedaplah Pempek Ratu ni. Terbaik! Maka dikesempatan ini, sebagai pelancong bolehlah mencuba masakan Indonesia. Tidak salah merasa dan itulah salah satu kepuasan mengembara. Kepelbagaian dalam budaya, masakan sesebuah negara membuatkan kita semua unik.


Jual...Jual...
Ohho.. Pempek!
Terbaik!
Rasa lapar pula.. Tak cukup makan di sini, kena bungkus satu.

ZEN Family Reflexology

Sekali sekala bila sudah penat bekerja atau menguruskan rumahtangga, tidak salah memanjakan diri di rumah urut yang dipercayai. Untuk kali ini, kami mencuba Zen Family reflexology. Ada juga khabarnya setelah penat shopping di Pasar Baru (antara tarikan di Bandung) pasti ada yang ke sini. Maklumlah, di Pasar Baru kuat berjalan. Selesai shopping baru terasa penatnya.

Ada baiknya sebelum ke sini, kita membuat tempahan untuk memastikan perkhidmatan dapat disediakan, apatah tempat ini menjadi tumpuan. Usai sahaja masuk ke ruangan pendaftaran, udara yang segar ala-ala pudina dapat nikmati dan terasa relaks.

Kami pengambil perkhidmatan reflexology selama 1 jam setengah di mana kaki dan bahagian belakang akan diurut. Terpulang kepada pelanggan ada yang mahu urut kaki dan ada yang mahu seluruh badan. Pasti harganya dan masa yang diperlukan juga berbeza.

Welcome to ZEN.
Selamat datang..

Murah pun murah.. Service pun terbaik.






Alhamdulillah sambil diurut boleh menonton tv yang disediakan untuk setiap pelanggan. Ada juga yang tertidur. Maklumlah tempatnya tenang. Selain itu turut disediakan minuman. Sedap juga air teh yang disediakan. Anda bebas membuat apa sahaja ketika diurut janji jangan menganggu therapist melakukan kerja mereka.

Selesai sahaja diurut, terasa kaki semakin ringan dan sakit belakang pun hilang. Alhamdulillah. Hati senang, hidup sihat dan rasa tenang.

Ayuh hidup sihat!


Tuesday, September 18, 2012

Kembara Indonesia : Pempek vs Es Campur Special Duren

Pempek oh Pempek..

Pempek, Empek-empek atau mpek-mpek adalah makanan palembang yang cukup memikat hati saya. Rasanya mirip keropok lekor tetapi berbeza cara hidangnya. Dimakan bersama mee, hirisan timun dan juga kuah cuka menjadikan pempek kombinasi sempurna buat saya. Pertama kali merasa makanan ini bukanlah di Indonesia sendiri tapi di sebuah restoran di Gami', Hayyu Asyir Mesir (paling sedap hingga kini). Kemudian bermulalah sikap mengidam dan mengada-ngada mahu makanan ini selalu. Saya juga tidak habis habis meminta suami belanja saya ketika sampai di Indonesia.

Alhamdulillah, suami mana tak kasih isteri.  Ketika di Tasik, kami sedang berjalan di foodcourt Toserba Yogya, saya ternampak kedai Pempek.. Tersasul perlahan kalimah Pempek. Peka sungguh suami saya, lalu di beli " Khas untuk isteri," katanya sambil kenyit mata. Alhamdulillah sedap seperti di restoran Indonesia-Mesir dan rasanya sama!

Pelbagai pempek untuk dipilih.
Lihat saya pempek, terliur terus saya dibuatnya. Saya meminati Pempek Kapal Selam kerana didalamnya ada inti telur. Berbanding pempek lain yang kosong dan lebih mirip pada keropok lekor. Kalau di Malaysia, sudah pasti keropok lekor tiada tandingan. Alhamdulillah sekarang saya boleh melabel yang mana sedap dan kurang sedap. Hehe 'penyakit' yang sama saya suka lakukan pada Char Kuew Teow. Maklumlah kalau sudah minat kita akan cuba memesan dan membandingkan supaya dapat menikmati yang masakan yang terbaik. Boleh datang lagi ke kedai yang paling sedap. Betulkan?

 Inilah pempek kapal selam pertama saya di indonesia
Kalau sebelum ini di foodcourt Toserba Yogya, kali ini mencuba di Pempek Bu Srie.
Boleh tahan juga rasanya. Cuma mee diganti sooun.

Lepas ni kalau sudah berjauhan dengan pempek, tekad di hati mahu mencari resepi. Wait & see. Erm, kerana tertarik dengan pempek, gatal juga tangan mengoogle sejarah si pempek idaman hati ini. Lalu terjawablah oleh pakcik Wiki. Mari baca di SINI.

Es Campur Special Duren .. Durian tu!

Saat ini saya sudah di Bandung tapi masih terbayang-bayang Es Campur Special Durian di Tasik Malaya. Saya bukanlah peminat durian segar dan tegar cuma agak meminati makanan yang dioleh daripada Durian. Ehem...Sedap hingga payah juga mahu diterjemah dengan kata. Tinggallah gambar sebagai cerita.

Kali pertama mencuba...

Enak bangat! 
 Es campur special durian hasil pengamatan saya adalah campuran 3 ulas durian, hirisan mangga, nenas, avocado, kelapa, cincau, jelly, nata de coco, tapai pulut hitam dan kuahnya santan. Hehe, mungkin ada yang saya tertinggal. Pastinya rahsia tuan kedai kan..

Di hadapan kedai. Menjual durian dan Ex Campur. Kali ketiga dan terakhir kami menjamu selera di sini.

3 hari berturut-turut kami singgah di kedai ini hinggalah hari terakhir kami di Tasik Malaya. Mujur juga terlambat cuba Es Campur ni, kalau tidak berminggu-minggu la pakcik kedai ni melayan kami.  Sampai sekarang masih terbayang-bayang. Nak ke Tasik? Entah bila la kan. Boleh tahan perjalanannya, laluan bergunung ganang, bersimpang siur. Kalau jalan tidak macet (bahasa indonesia) zahmah (ammiyah Mesir) atau laluan trafik sesak bak kata laporan semasa mahu 4 jam juga, kalau sesak boleh jadi 6-7 jam atau lebih. Dasyat juga.

Itulah cerita Pempek dan Es Campur Duren Special. Dua jenis makanan di bumi Indonesia yang berjaya memikat hati saya. Maka, kalian boleh juga mencari nanti ya kalau singgah di bumi jiran ini.

Wednesday, August 29, 2012

Kembara Indonesia : Jalan-jalan cari makan di Tasik Malaya

Sepanjang duduk di Tasik Malaya, perkara yang Sinar suka cuba adalah makanannya. Walaupun nama masakan hampir sama di setiap kedai, namun rasanya cukup berbeza dan pastinya sedap.

Di sini suami Sinar cukup teliti dalam memilih makanan, baik dari segi kebersihan hinggalah kelazatannya. Memang terbaiklah citarasa suami. Jadi makanan yang saya rasa setakat ini Alhamdulillah memenuhi citarasa saya juga. Sampai saya ternanti-nanti ke mana lagi suami nak bawa.

Beliau pasti tanya, " Nur nak makan apa?"
Saya pasti jawab," Ikut Abang.." Maklumlah nak 'demand' pun bukan tempat kita. Hehe..
Lepas makan pasti di tanya, " Macam mana? Suka?"
Saya pasti jawab, "Sedappp, suka!"

Ok, sekarang biar gambar bercerita. Juadahnya ringkas tapi rasanya ada ummmp! Hingga menjilat jari.

Nasi Timbel Mama Mia. Kedai pertama untuk makan malam setibanya kami di Tasik Malaya.
Tempe dan tauhu goreng antara lauk yang wajib. Daun pisang menaikkan aroma nasi. Ulaman pula membangkitkan selera. Sudah pasti ayamnya sedap!
Kami ke gerai Ayam Penyet Wong Solo pula.
Turut menjual Lele Penyet (^_^) Rangup! Sedap!


Kami datang lagi ke sini. Ayam penyet untuk saya dan Lele penyet untuk abang.
Di suatu petang yang indah, kami singgah di tepi sawah menikmati air kelapa muda di gerai. Fresh!
Kami ke Saung Anyar... Nikmati udara sawah.
Juadah kami;
TO Bakar(Nasi) Ayam bakar madu, Ikan bakar madu, Kangkung goreng, Jus Sirsak (Durian belanda) dan Air Teh O.
Kami ke Saung Anyar lagi. Juadah yang berbeza. Cukup memikat hati.
Makanan tradisi. Ala-ala putu piring kita di Malaysia.
Dasyat sungguh bubur di sini. Penuh!
Murtabak Ramayana.. Antara yang glamour di sini.
Dahla besar, sedap sampai tak cukup untuk kami berdua. Memang makan berdua jadi lebih sedap sebab berebut kan..
Ahha... tiba-tiba saya pula jadi terliur sendiri. Alhamdulillah masih di Tasik Malaya lagi. Sudah pasti saya nak ucapkan seinfiniti terima kasih pada suami kerana cukup mengambil berat perihal makan dan keselesaan saya di sini. Terbaiklah abang! (^_<)v

Kawan-kawan lawatlah negara jirannya ni. Ada banyak persamaan dan perbezaan yang kita patut terokai. Bukan bab makan je ye. (^_^)

Monday, August 27, 2012

Kembara Indonesia : Damainya Tasik Malaya

"Indonesia here I come (^_^)"

Itulah ayat yang tidak saya sangka diberi keizinan olehNya untuk diungkap semula. Alhamdulillah saya dapat bertandang ke Indonesia buat kali ketiga. Pantas sungguh masa berlalu. Kenapa saya pergi  kali ini? InsyaAllah menemani suami yang masih bertugas di sini sebelum majlis graduasi. Alhamdulillah kali kedua bersamanya.
Walaupun masih Bahasa Melayu tapi agak aneh untuk saya..
Seperti sebelumnya Bandunglah tempat saya dan suami mendarat. Bezanya kali ini saya tidak hanya menetap di Bandung seperti sebelumnya. Saya ke Tasik Malaya, sebuah kota di Jawa Barat terletak di antara Bandung dan Purwokerto. Di khabarkan tempatnya hanyalah kecil. Ala-ala kampung kata suami. Yang terbayang di mata saya mungkinkah tinggal di kawasan hulu barangkali. Tambah lagi suami puas bertanya betulkah mahu ikutnya ke sana, susasana tidak seperti Bandung, bekalan airnya berkarat, makanannya tak seperti Malaysia. Untuk saya, itu tidaklah menjadi hal yang penting saya mahu menemaninya. Apatah lagi, saya juga perantau dan Mesir sudah cukup mengajar saya banyak perkara. Yang untungnya saya antara peminat makanan indonesia baik jawa, sunda dan palembang. Maka berbungalah hati saya mahu ke Indonesia tidak kiranya apa cabaran sekalipun.

Sekarang saya sudah pun 5 hari di Tasik Malaya. Saya menginap di Pondokan Amanah. Alhamdulillah selesa. Rumah-rumah di sini kelihatan kecil, rapat, comel dan cantik warnanya. Ceria sahaja kawasan perumahan kami. Damai... dan tidak pula saya sangka ada beberapa mall dan restaurant yang tak kurang hebatnya (^_^) Tidaklah hulu seperti yang saya sangka.

Di sini saya banyak memanfaatkan masa untuk mengenali suami, ulangkaji untuk peperiksaan akhir dan menikmati ketenangan Tasik Malaya seadanya..

Erm.. Lepas ni Sinar akan kongsikan tentang jalan-jalan cari makan... Umpppp.. Lazat! (^_<)

Thursday, August 23, 2012

Aidilfitri 1433H

Moga kita terus istiqamah pertingkatkan amal diri.

Salam Aidilfitri daripada kami buat rakan blog yang disayangi. Moga redha Allah bersama kita. Maafkan salah silap sinar ya.

Alhamdulillah, sudah 5 Syawal kita hari ini. Sinar pun sudah terbang ke Bandung bersama suami tercinta. Selamat tiba semalam di tanah ini. Alhamdulillah dulu kami jauh, kini kami dekat (^_^) Baki seminggu Ramadhan hingga kini masih dipinjamkan waktu untuk bersamanya. Sungguh Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Moga Dia terus melimpah rahmat ke atas kami dan kalian juga.

Sudah pasti Aidilfitri ini cukup berbeza buat diri. Bergelar seorang isteri dan punya keluarga baru membuatkan Aidilfitri kali ini penuh warna-warni. Alhamdulillah dapat juga beraya dengan keluarga sendiri. Indah! Saya cuba memaknakan Aidilfitri kali ini, kerana mungkin Ramadhan dan Syawal tahun depan bukan sebegini, apatah lagi kalau sudah bergelar Dr. Ramadhan dirindui, Syawal dirai. Kedua-dua bulan ada 'special'nya.

Tahun ini saya beraya di Terengganu lebih tepat di Marang (keluarga suami) dan Besut (keluarga sebelah Ummi). Perjalanan kali ini bermula 2 hari sebelum Syawal tiba dengan menaiki kerata Unser yang dipandu oleh suami secara bergilir. (^_^) Seronok rupanya bila merasa suami pandu kereta. Kami terlebih dahulu bermalam di Marang manakala keluarga terus ke Besut. Berbuka puasa bersama keluarga baru, terbit juga rasa segan. InsyaAllah usaha untuk menyuaikan diri dan keluarga suami sangat terbuka dan terasa dirai.

Esoknya pula hari terakhir berpuasa, malam raya disambut dengan majlis berbuka puasa dengan keluarga Ummi di Besut. Selesai berbuka, tiba pula giliran acara memanggang ayam, kambing dan membakar satay. Best, riuh dan meriah. Kemudian setelah selesai, saya dan suami bertolak semula ke Marang, kampung suami untuk beraya di sana.

Pagi raya seperti biasa, diizinkan solah sunat hari raya bersama suami dan keluarga mertua. Usai solah kami bersalaman dan mohon kemaafan.


Raya kedua pula diadakan rumah terbuka dan kenduri aqiqah di Marang untuk anak saudara kami Faqihah Nur Insyirah. Membantu selagi yang terdaya dan pastinya paling segan untuk menyambut tetamu. Maklumlah masih baru dalam suasana 'loghat terenggnu' tapi Alhamdulillah segalanya lancar. Dapat bertemu beberapa sahabat yang dirindui. Sekali lagi Aidilfitri saya diceriakan dengan kehadiran mereka.


Rasa lucu pun ada beraya kali ini. Rasa kekok itu sedikit demi sedikit hilang bila suami berperanan untuk mendekatkan diri saya dengan keluarganya dan sungguh beliau sangat membantu untuk meraikan Syawal ini. Alhamdulillah. Moga Allah pelihara dan lindunginya selalu.

Jutaan terima kasih buat suami tercinta, Ibu, Abah, Kak Long & suami, Angah & Aisyah, Ayie, Milah, Inah, Amad dan Bibik kerana menerima kehadiran saya di pagi raya. Maafkan kekurangan ahli baru ini. Terima kasih juga buat Ummi, Lek dan adik-adik yang sentiasa menceriakan hati Alongmu ini serta kawan-kawan yang sentiasa ingat dan tidak lepas doakan diri. Moga Allah berkati kalian semua. Selamat menyambut syawal, salam aidilfitri maaf zahir batin (^_^)

Tuesday, August 07, 2012

Tahun Akhir : Ramadhan terakhir di Mesir

Hari ini saya bakal berangkat ke Malaysia untuk 'study leave' sebelum peperiksaan akhir sebelum bergelar Dr. Mohon doa semua agar selamat sampai dan cuti ini dimanfaatkan sepenuh untuk study dan beberapa tanggungjawab lain. Mahu jadi yang terbaik dalam segala hal. At least cuba la kan..

Erm, nanti nak coret fasal Ramadhan di sini. Tersangat indah.. Semalam sempat melihat gelagat arab di jalanan  berbuka puasa :) Saling memberi makanan dan minuman pada mereka dalam kerendaan. Menabjubkan!

(^_^) Nervous pula nak balik ni. Gembira sebab nak jumpa keluarga apatah lagi suami tercinta. Sedih bila fikir.. inilah summer terakhir dan Ramadhan terakhir sebagai pelajar di Mesir ini.

Ok. Doakan saya dan maafkan salah silap ya...

Wednesday, July 04, 2012

Harga Sebuah Perkahwinan : Bukan Sebatas Dunia, Bicara dan Rasa..

Angka 5 datang lagi. Suka benar dengan angka itu kerana angka yang sangat rapat dengan diri. Hari ini genap 5 bulan pernikahan kami (4Feb-4Julai). Alhamdulillah, terisi dan taaruf masih berterusan. Menilai perjalanan sebuah perkahwinan bukanlah semata dari luaran tapi dalaman dan pengalaman. Ya, saya akui, saya masih HIJAU di alam ini.

Moga dengan warna pakaian inilah kami di akhirat nanti...

Dunia maya hadir sebagai pelengkap diri

"Skype tu apa?" tanya saya pada Lek dan seorang kawan diawal taaruf dengan Skype. Sudah bertahun di perantauan tapi skype tidak pernah disentuh. Maklumlah kalau rindu keluarga, terus sahaja buat panggilan ataupun ym. Berdolak-dalik mahu menginstall Skype. Akhirnya perkahwinan jarak jauh ini mengkehendaki saya menggunakan khidmatnya. Khidmat percuma tapi tidak ternilai untuk saya.

Jangankan skype... Dalam fasa-fasa hendak berkahwin pun baru mendekati dunia maya lebih jauh.

Lepas tunang baru tahu apa itu fb..
Lepas kahwin baru manfaatkan whatapp semaksimanya.. 
Lepas kahwin baru teringin guna voip..

Dunia tu walaupun kadangkala kita rasa ketinggalan tapi bila saat diperlukan baru rasa ada kemanisan.. 

:) Maka, ada benda yang Allah tangguhkan untuk sebuah kebahagiaan di hadapan. :)

Alhamdulillah... di dunia walaupun rasa ketinggalan bukanlah satu kerugian, namun manis bila kita gunakan dunia untuk keperluan bukan sekadar kemahuan.

Selagi mampu, senyum pilihan hati!

Setiap kali di awal bicara, lewat telefon mahupun skype hatta sms sekalipun, senyum seperti ini (^_^) mahupun ini =) sudah menjadi tradisi kami. Walaupun selepas itu, perbincangan serius ataupun sedih mengisi. Selalunya, kami pasti tersenyum mahupun tertawa. Itulah.. Damai.. Senyum adalah sarana pengikat hati, pertautan jiwa. Mampu memberi kesan lebih daripada apa yang boleh dilahirkan oleh nilai kebendaan. Alhamdulillah melalui komunikasi verbal dan nonverbal kami belajar mengenali.

Sesungguhnya, “Senyum itu akan terasa berat dilakukan bagi jiwa yang belum dibiasakan dengan kebaikan”. (Muhammad Qutb)

Namun bagi sang isteri, senyuman itu bertambah-tambah pahalanya. Masihkah ada pilihan lain? Kasihnya Allah pada wanita.. Setiap perilaku yang baik adalah ibadah dan pahala. Hingga kini, menatap suami sahaja senang sekali senyuman terukir. Jauh itu mendekatkan. Justeru, railah sesiapapun yang ada disekeliling dengan senyuman, apatah lagi yang dekat di mata. InsyaAllah, akan ada kedamaian di celah-celah kesibukan mahupun kesedihan. Maklumlah hati kita selalu sibuk dengan benda yang kita tidak nampak yang akhirnya membunuh senyuman.

Lembut bicara, tuturkan kalimah cinta

Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)

Sudah pasti dalam pernikahan berhajatkan pada madah bicara penuh kesopanan dan kelembutan. :) Itulah yang harus dikekalkan sepanjang perkahwinan. Dengan kelembutan mampu menyentuh jiwa insan dan menuturkan kalimah cinta tanpa paksaan.

Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR. Al-Bukhari)

Dunia dan akhirat mahu dimiliki

Dunia sahaja tidak menjanjikan apa apa. Apa yang kita suburkan demi perkahwinan seperti mentaati suami, senyuman, gurauan hanya tinggal dunia jika tiada ketulusan. Dunia penuh dengan peluang namun peluang perlu ada asas untuk membuahkan hasil di akhirat sana.

Jadilah perkahwinan sebatas dunia jika, kebahagiaan di dunia sahaja yang kita inginkan. Berapa ramai yang megah dengan majlis persandingan, pakaian pengantin, kecantikan dan kekacakan, keakraban yang dipertontonkan. Namun semua itu sebatas luaran. Terlalu banyak ilmu perkahwinan yang harus kita terokai hatta sudah selesai berakad nikah kerana syurga suami pada isteri dan anak-anak. Tarbiyah imaniyah dan tarbiyah tzatiyah sebuah keluarga harus diisi demi akhirat sana. Sungguh, banyak nasihat dari mereka yang lebih berpengalaman saya ambil buat bekalan.

Lazimi zikir seperti  Alhamdulillah, Subhanallah dan wallahuakbar ketika bersendirian. Bahkan lazimi istighfar kerana boleh sahaja disebabkan dosa, hati kita keruh, kurang cahaya, kurangnya cinta untuk kita kongsikan dengan orang yang kita sayang..

InsyaAllah dunia dan akhirat milik pasangan, jika neraca Allah jadi timbangan :) Tiadalah harga perkahwinan itu sejumlah mahar Rm sekian dan sekian tapi lebih dari segalanya. Bahkan jauh sekali sebatas dunia. Harga perkahwinan letaknya pada redha Allah dan suami yang mentaati Allah :) Maka, lengkaplah!