BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, February 15, 2013

Coretan Hamba : Keputusan akhir MBBCh & Konvokesyen


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Debaran peperiksaan sudah dilalui
Debaran menanti keputusan akhir pengajian pun sudah dilalui.
Alhamdulillah, khabar gembira Allah beri.
Saya tamat pengajian di sini. MBBCh dimiliki.

Dirai dengan rasa syukur yang tidak terhingga.
Saya doakan ini sebagai permulaan yang baik buat  angkatan Gen6 khususnya..


Jazakumullahu kheiran kepada suami, Dr Ahmad Fahmi Sulaiman, Lek, Ummi, Abah, Ibu, Wan, Tokki, Mak Tok, Pakcik Makcik, adik-beradik; Solehin dan isteri, Hanisah, Husna, Insyirah, Intan Liyana, Fatin, Salwa,  ipar-duai, biras, keluarga besar, pendidik dari sekolah rendah hingga sekarang, sahabat-sahabat, kenalan yang mendoakan dan khusus buat kalian yang sering membaca blog dan facebook serta kalian yang mendoakan saya. (^_^)


Doakan kami semua..

Doa-doa kalian menyumbang kepada kejayaan hari ini. Dengan kekurangan yang ada, tanpa rahmatNya, tanpa berkatNya, saya tidak mampu menghadapi hari-hari lalu. Alhamdulillah segala kekuatan daripadaNYa. Terima kasih semua! ♥

~الحمد لله على كل نعمة~

Debaran sehari sebelum Konvokesyen, terjawab dengan rahmatNya (13 Feb 2013)

Sehari sebelum Konvokesyen barulah keputusan kami diumumkan. Debarannya tak mampu digambarkan. Tak terkata saat menerima berita itu. Yang pasti saat keputusan sudah diketahui oleh rakan-rakan saya, saya masih dalam perjalanan pulang dari Iskandariah ke Kaherah bersama keluarga tersayang. Ditakdirkan pula telefon tiada bateri, menyebabkan rakan serumah tidak berjaya menghubungi saya. Alhamdulillah ada power bank Walid, maka sempatlah online sebentar dengan telefon yang sedang nyawa-nyawa ikan. 

Debaran itu tak terkata saat melihat status seorang demi seorang rakan sekelas melafazkan kalimah Alhamdulillah di status facebook masing-masing. Saya pula masih belum mengetahui keputusan saya. Fuhh, debar sungguh hingga Ummi menenangkan dan meyakinkan saya, ' Ummi tahu Along berjaya.' Memang positif sungguh Ummi terhadap anaknya. Walid pula menambah, ' InsyaAllah, Along cemerlang tu. Along dah usaha. Baby pun tolong juga'. Tersenyum saya. Dari lubuk paling dalam, saya mendoakan Allah bersama doa dan sangkaan kedua ibu-bapa saya.

Sebaik sahaja keputusan saya dimaklumkan oleh rakan, sebak sungguh saya dibuatnya. Benar kata Ummi dan Lek. Saya sampaikan berita itu pada Ummi, Lek terlebih dahulu. Mereka sangat gembira. Melihat mereka gembira, saya tersenyum.. Alhamdulillah Allah beri saya peluang untuk buat mereka gembira. Saya tahu, besar harapan mereka melihat anak mereka berjaya dan menaiki pentas menerima ijazah setelah berjuang sekian lama.

Pangkat dan gelaran itu suatu permulaan bahkan amanah.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hambaNya. Pangkat Jaid Jiddan hadiah buat saya di Tahun 6 dan itu jugalah pangkat keseluruhan sepanjang pengajian Perubatan Umum di sini. Alhamdulillah, sepanjang 6 tahun setengah saya berjaya dalam semua peperiksaan. Tiada daya melainkan ini semua daripada Allah Yang Maha Mengasihani. Kerdil rasa diri.

Mendapat gelaran Doktor memang kelihatan gah di mata orang namun pada yang mengalas terasa sungguh beratnya amanah. Berhadapan dengan nyawa manusia bukan suatu mainan dan bukanlah suatu yang mudah. Pada Allah sahaja tempat bergantung harap. Didoakan perjalanan selepas ini penuh rahmah, barakah dan petunjuk daripadaNya.

Hari Konvokesyen, Hari berkongsi gembira (14 Feb 2013)


Beruntung rasanya, Allah beri peluang pada Ummi, Lek, Dekna, Ibu, Abah, Milah dan Inah untuk meraikan Hari Konvokesyen saya di Mesir. (^_^) Jazakumullahu kheiran pada Kak Una, Huda, Alimah, Syamila, Akma, Azfar, Asma, kawan-kawan seuniversiti, semesir dan adik-adik yang hadir di majlis ini. Syukran juga  pada keluarga, sahabat dan adik-adik kerana memberi bunga, coklat, buku dan pelbagai lagi hadiah. Saya suka semuanya. Jutaan terima kasih pada AJK pelaksana yang bertungkus-lumus menjayakan majlis. Alhamdulillah usaha yang baik kerana ini Majlis Graduasi Pertama buat Mahasiswa Malaysia Universiti Kaherah.


Doakan saya. Perjalanan saya baru bermula..

Monday, February 04, 2013

Perkahwinan : Warna-warni Tahun Pertama. Raikannya dengan Alhamdulillah!


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Segala puji pada Yang Maha Tinggi

Sekali lagi Allah beri kurniaan demi kurnian untuk menjadi tamu di hari barunya. Hari ini 4 Februari 2013. Maka genap sudah setahun usia perkahwinan kami ikut tahun Masihi.

"1 tahun jika diukur dari tarikh ikatan, 3 bulan jika diukur dari sebenar-benar pengertian.

Suburkanlah, eratkanlah, perkuatkanlah Ya Allah."

4 Februari 2012 - Kami sah sebagai suami isteri.



Terharu membaca catatan suami di Facebooknya. Jauh di lubuk hati meng'amin'kan setiap bait tulisannya. Setahun kedengaran lama. Tapi untuk saya yang merasai perkahwinan jarak jauh, terasa baru beberapa bulan menginjak ke alam perkahwinan. Namun setahun ini cukup mengajar saya pelbagai perkara.  Warna-warni perkahwinan itu ada, apatah lagi jasad terpisah oleh dua benua. Ya, hanya Allah tempat kami berdoa, bergantung dan berharap. Hanya dengan izinNya perkahwinan kami terus utuh, diberkati dan kami diberi kekuatan dari semasa ke semasa.

Sungguh, saya masih terasa aura Pengantin Baru. Masih terasa hangatnya cinta. Terkadang malu juga apabila masih ada yang mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru'. Justeru, (^_^) Saya doakan Allah sentiasa memberi rasa cinta hari demi hari hingga kami ke Jannah nanti. Apatah lagi kini saya sudah berbadan dua. Keajaiban daripada Allah Yang Maha Kuasa. Alhamdulillah.. Setapak melangkah, rumahtangga kini dihiasai dengan cinta, tanggungjawab dan amanah daripadaNya.

Belajar Mencintai dan Dicintai

Ketahuilah tahun pertama penuh debaran yang tidak mampu dilakarkan dengan kata atau bicara. Bernikah dengan seorang pemuda yang kita tidak kenal perwatakannya membuatkan hati tertanya-tanya,

"Betulkah diri bersedia? Siapakah dia sebenarnya? Mampukah menyayanginya?"

Itulah yang sendiri berlegar di minda. Tapi sampai bila harus melarikan diri dari tuntutan ini. Harus tempuh dengan hati yang sedar dan celik iman di dada. Lalui baru tahu realitinya. Peningkatan diri akan dikecapi apabila kita melalui fasa-fasa baru yang kita selama ini kita risaukan dan bimbangi. Masa itu sendiri perubahan. Perubahan akan hadir dalam diri kita dan mereka di sekeliling kita tanpa kita pinta. Cara kita mengharungi masa dan berhadapan dengan perubahan itu menghasilkan natijah yang berbeza. Kenalilah perubahan ini sebagai cabaran bukan masalah yang memberatkan untuk meningkatkan darjat di sisi Allah Yang Maha Esa.

Dunia lelaki selalu berlingkar sekitar rasional, kritikal dan penyelesaian masalah, manakala wanita lebih cenderung mengutamakan emosi, kehendak dan menyuarakan masalah dari mencari penyelesaiannya. Banyak lagi perbezaan dalam citarasa. Dalam banyak perbezaan ini, kedua-duanya cuba menyesuaikan diri dan meraikan persamaan yang ada. Apa yang penting, wujudkan sikap terbuka, positif dan menghargai si dia seadanya. InsyaAllah banyak perbezaan itu adalah peluang melengkapkan diri untuk menghadapi hari muka.

Itulah cinta, meletakkan perbezaan sebagai peluang dan ruang untuk kita memperkuatkan. Mencari titik kesamaan untuk terus menyuburkan sebuah institusi kecil, nukleus terpenting dalam ummah Islam yang kita harapkan.

Bagaimana menyubur cinta? Lelaki tetap lelaki. Kalau dahulu kita ajnabi, kita tidak boleh berutusan manja dan berhias berlebihan di depannya. Kini dia sudah bergelar suami. Menatap wajahnya, bergurau manja dengannya, bersolek dan berhias di depannya satu ibadah. Itulah juga antara pemikat jiwa kelakiannya. Ketahuilah, walaupun kita aktivis, daieyah, dia bukanlah ikhwah yang harus kita layan sama rata seperti abang, adik dan ikhwah di luar sana. Lelaki itu harus dilayan mesra dan manja. Jauh dilubuk hatinya, masih anak kecil untuk dibelai oleh si isteri yang setia.

Si isteri pula tidak kurangnya. Dia bukanlah emakmu untuk selalu dituruti tanpa banyak bicara, kakakmu untuk ditakuti, bukan adikmu untuk diarah itu ini. Paling tidak, dia mahu seorang suami yang selalu berbicara, bertanya khabarnya, mengambil berat akan dirinya dan menghormati dirinya sebagai manusia. Dengan hanya bertanya khabar dan siulan kata cinta daripada suami membuatkan si isteri tersenyum saban hari. Pastinya tanpa arahan si isteri akan melakukan tugasnya dengan senang hati. Jadilah dia superwife dan supermom yang membuatkan si suami makin jatuh hati. Allah.. Allah.. "Ya Allah, jadikan Sinar Islami, isteri yang menyenangkan hati." Ameen.

Tips bercinta

Ada beberapa hal yang harus kita perhatikan dan dijadikan ramuan dalam rumahtangga terutama di awal perkahwinan. Hasil tulisan Saudara Cahyadi Takariawan dalam bukunya Di Jalan Dakwah Aku Menikah, molek rasanya saya kongsikan mengikut bahasa dan pemahaman saya. Alhamdulillah, catatan di bawah ini telah dan sedang kami praktikkan dalam rumahtangga kami. Perkara yang wajar pasangan praktikkan :

1. Wujudkan keterbukaan (musharahah) dan hidupkan komunikasi dengan pasangan (musyawarah)
2. Jadilah yang terlebih dahulu memahami pasangan, bukan minta difahami dan jadilah yang terawal dalam segala segi.
3. Tidak mengabaikan hal yang dirasakan kecil.
4. Saling mengalah untuk kebaikan bersama dan berlumba meminta maaf.
5. Hubungkan semua perkara dengan Allah.

InsyaAllah, dalam apa jua hal kehidupan, kita harus positif dan bersangka baik terhadap Allah dan manusia . Kalau dalam perkahwinan pastinya bersangka baik dengan pasangan. (^_^) Allah itu Pencipta dan Pemilik hati manusia. Suami dan isteri itu pula manusia yang perlu bergantung pada pencipta mereka. Hubungan dengan Allah wajib dijaga untuk kelangsungan rumahtangga bahagia.

Sekian sahaja, selamat bercinta dan menemui cinta kalian. Doakan kami bahagia dunia dan akhirat.  Jazakallahu kheiran buat suami tercinta dan Jazakumullahu kheiran kathira semua terutama keluarga yang tidak putus mendoakan kami bahagia. Uhibbukum fillah.

Tuesday, January 29, 2013

Kembara Mesir : Bahnasa - Jaulah Mencari Cinta


Perjalanan jaulah cinta kami (28 Januari 2013)

Perjalanan menuju ke Bahnasa semalam membuahkan ketenangan dan kerehatan buat jiwa yang dahagakan cinta. Inilah peluang buat saya dan rombongan akhwat seangkatan dalam perjuangan 6 tahun setengah di sini. Sudah pasti, peluang ini tidak kami lepaskan untuk menyucikan hati dalam mencari redha Illahi. Tidak putus kami berselawat dan mendoakan kesejahteraan diri, keluarga, sahabat dan ummah seluruhnya serta kejayaan kami. Alhamdulillah misi 1000 selawat setiap orang telah melengkapkan misi 35 000 selawat sepanjang perjalanan. InsyaAllah barakah! Tambahan pula kami sedang menunggu keputusan peperiksaan akhir untuk tamat pengajian Kuliah Perubatan Am di Mesir ini. Maka, saya berharap dan berdoa, kedatangan kami ke Bahnasa dipandang Allah, diberkati dan doa-doa kami diangkat serta kedudukan kami dinaikkan di sisiNya seperti para solehin yang di maqamkan di Bahnasa ini. Ameen.

Sejujurnya, tempat bernama Bahnasa ini baru saya kenali ketika jaulah ini ingin diadakan. Alhamdulillah tempat barakah ini sempat juga saya singgah di saa-saat akhir berada di Mesir ini. Segala puji bagi Allah.. sungguh rasa terpilih. Kalau dahulu kami akhawat Gen6 ke Bahriya, kini kami ke Bahnasa mencari cinta hakiki, sambil menyubur cinta dan ukhwah di kalangan kami.

Istimewanya Bahnasa

Sepanjang perjalanan dari Kaherah ke Bahnasa, kiri dan kanan terbentang  gurun dan pasir yang menguning. Namun gurun yang kelihatan gersang bukanlah sebarang gurun yang kita gambarkan, ada bahagian yang mempunyai sumber air dan galian. Bahkan subur dengan tanaman seperti tomato, kubis dan lain-lain lagi. Semakin mendekati Bahnasa, angin sepoi-sepoi bahasa menampar pipi. Sejuk, dingin dan damai sekali.

Bahnasa ketika zaman Mesir Purba dikenali sebagai 'Pr-Medjed' berdasarkan nama ikan dan ketika di zaman Greek dikenali sebagai 'Oxyrhynchus'. Bahnasa terletak di Muhafazah Al-Minya (Upper Egypt) di Selatan Mesir kira-kira 160 km dari Kaherah. Selain mempunyai kesan arkeologi yang berharga, 5000 jasad sahabat-sahabat dan tabi'in yang gugur syahid peperangan Fathul Islami di semadikan di sini termasuk 70 orang ahli Badar. Maka itu menjadikan Bahnasa merupakan bumi yang penuh keberkatan dan lebih berharga di sisi ummat Islam. Maka tidak syak ada kedamaian di sini buat kita kerana terdapat bukti kekuasan Allah dan cerita untuk kita renungkan.


Berhampiran dengan Masjid Ali Jummam (Qadi Bahnasa) terdapat bukit-bukit yang mempunyai sebahagian besar bilangan daripada kubah-kubah dan maqam-maqam yang dinisbahkan kepada sahabat, tabi'in dan ulama' . Justeru ramai ulama’ dahulu dan sekarang yang menziarahi tempat ini.

Secara ringkas sejarah Kota Bahnasa, dahulunya Bahnasa ditakluk kerajaan Rom dan merupakan sebuah kota yang serba kukuh benteng pertahanannya, dikelilingi tembok yang kukuh dan rantai berduri. Selepas pembukaan kota Bahnasa oleh tentera Islam yang diketuai Saidina Khalid Al-Walid, kota ini dijadikan tempat membuat kain tenun yang disulam dengan emas.

Saidina Amru Al-Asr RA, sahabat baginda yang membuka Mesir pernah mengatakan “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda “: Tidak ada selepas Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis suatu tempat yang berkat melainkan di bumi Mesir serta lebih banyak keberkatan di bahagian Barat Mesir. Kata Saidina Amru lagi : “Mudah-mudahan ia (tempat yang banyak keberkatan itu) ialah Bahnasa”.

Tempat bersejarah dan maqam para solehin

Di antara para solehin yang disemadikan di bumi yang berkat ini dan yang sempat kami ziarah ialah:
  1.  Maqam 7 perempuan : Dome of seven girls
  2. Maqam Saidi Ali Jummam (Qadi Bahnasa)
  3. Maqam Saidi Jaafar dan Ali Bin 'Ukil Bin Abi Talib (Anak saudara Saidina Ali)
  4. Maqam Saidi Syarif Mas'ud ( Satu maqam dengan Saidi Jaafar dan Ali)
  5. Pokok Saidah Maryam (Tempat Maryam, Ibu Nabi Isa alaihissalam berehat ketika melarikan diri)
  6. Maqam Saidina Ziad bin Abi Sufian bin al-Harith bin Abdul Muttalib (Ketua perang)
  7. Maqam Saidi Hassan bin Soleh bin Ali Zainal 'Abidin bin Hussain bin Ali (Cicit Saidina Hussain)
  8. Maqam Ubaidah Bin Ubadah Bin Assomat (Anak Sahabat)
  9. 12 Maqam di bawah satu kubah antaranya Saidina Muhammad bin 'Uqbah bin Nafi' dan Qa’qa Ibn Umar
  10. Saidah Khaulah Al-Azwar
  11. Saidi Hassan Bin Yahya Bin Hassan Al-Basri (Cucu Hasan Al-Basri)
  12. Saidina Muhammad bin Abdul Rahman bin Abu Bakar (Cucu Saidina Abu Bakar As-Siddiq)

Perjalanan kami : Cerita bergambar

Kami mula berkumpul pukul 6.30 pagi dan bertolak ke Bahnasa kira-kira 7.30 pagi. Seperti biasa, dalam perjalanan kalau tidak tidur, pastinya kami bersembang dan makan. Memang puas hati kerana sudah lama kami tidak beramah-mesra sesama sendiri melainkan bertemankan buku sepanjang hari sejak beberapa bulan yang lalu. Sudah pasti banyak cerita yang kami kongsi.


Sebaik sahaja memasuki Bahnasa, tempat pertama yang kami ziarahi adalah Dome of seven girls. Di sini wujudnya 7 maqam perempuan yang dipercayai telah menyertai peperangan membuka kota Bahnasa bersama tentera Islam. Mereka dibunuh oleh tentera Rom dan darah yang terkena batu-batu di lapangan berhampiran dikatakan terus berdarah dan menjadi rebutan orang yang menziarahi. Disebabkan itu tidak lagi kelihatan batu tersebut. 


Di sini juga wujudnya 3 maqam di dalam bangunan berkubah, 3 maqam di sisi banggunan, dan 1 maqam di belakang bangunan, menjadikan 7 buah maqam semuanya . Di belakang perkarangan ini juga terdapat sebuah padang pasir yang luas dinamakan ‘Sahra' Dammul Syuhada’ yang mempunyai keberkatan dan keajaiban dengan izin Allah. Ramai yang mengambil peluang untuk berubat di kawasan ini. Wallahu’alam sejauh mana keberkesanan namun menurut cerita dan pengalaman orang, sesiapa yang membaca Surah Al- Fatihah, memejamkan mata dan dan mengulingkan badan kemudian mereka akan terus berguling tanpa dikawal oleh mereka sendiri.

Kemudian, kami bergerak dengan menaiki bas ke perkarangan Masjid Ali Jumman. Di sinilah sejumlah besar maqam dan perkuburan di tempatkan. 

Masjid dan Maqam Saidi Ali Jummam, Maqam Saidi Jaafar dan Saidi Ali serta Maqam Saidi Saidi Syarif Mas'ud

Pokok Saidah Maryam ; Sebatang pokok yang besar dan berlingkar.

Maqam Saidina Ziad bin Abi Sufian bin al-Harith bin Abdul Muttalib

Maqam Saidi Hassan bin Soleh bin Ali Zainal 'Abidin bin Husain bin Ali (Cicit Saidina Hussain)
Maqam Ubaidah Bin Ubadah Bin Assomat  dan 12 Maqam di bawah kubah bersebelahan
Banyak cerita dan pengajaran di sebalik maqam dan tempat yang kami lawat. Alhamdulillah nasihat yang berguna turut disampaikan oleh Ustaz Zahari yang menemani perjalanan kami ke sini. Jazakumullahu kheiran kathira diucapkan pada Ustaz, Kak Lyanna dan AJK Jaulah serta akhawat Gen6 yang menjayakan Jaulah Bahnasa ini. Saya doakan kita semua berjaya dunia akhirat dan dikurniakan kebaikan demi kebaikan selagi hayat dikandung badan. Ameen.

Thursday, January 24, 2013

Catatan Bunda : 20 minggu - Kenangan 12 Rabiulawal 1434H


اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين

Selawat dan salam buat junjungan besar yang kita cintai Nabi Muhammad S.A.W. Syukur pada Allah masih diizinkan menghirup udara baru di hari baru.

Hari ini 24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiulawal 1434 H..


Maulidurasul takkan dilupa

Tidak dilupakan tarikh ini dari ingatan ummat Islam khususnya. Yang pasti menjelang 12 Rabiulawal kita seharusnya muhasabah kembali sejauh mana pengamatan dan sunnah yang baginda tinggalkan untuk kita amalkan. Di hari inilah titik tolak untuk kita perbanyakkan selawat kepada baginda.


Genap setahun hijri perkahwinanku

Pantas sungguh masa berlalu. Akad nikah 4 Februari 2012 bersamaan 11 Rabiulawal (Malaysia) atau 12 Rabiulawal (Mesir). Justeru setahun sudah perkahwinan kami mengikut bulan Islam. Allah.. Allah..Gembira dan sebak juga. Kerana perkahwinan jarak jauh, sungguh saya tak menyangka setahun sudah usia ikatan ini. Masih banyak yang perlu kami lalui dan fasa baru yang bakal kami tempuhi.

Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Walaupun kenduri sebelah lelaki belum sempat dijalankan kerana jarak dan waktu memisahkan, saya bersyukur majlis akad dan kenduri saya sudah pun selamat berlangsung setahun yang lalu dihadiri oleh keluarga besar, kenalan Ummi, Lek dan sebahagian besar adalah sahabat ketika saya kecil hingga universiti. Semalam melihat semula gambar yang ada, terdetik di hati, moga Allah berkati mereka ini. Saya mampu tersenyum mengingati doa-doa mereka di hari perkahwinan kami. Sungguh mereka antara orang soleh yang menyejukkan majlis saya. Hanya Allah yang tahu perasaan sebenar saya, disebalik setiap persiapan majlis ini. Alhamdulillah makin hari saya makin merasakan keluarga suami juga sebahagian daripada saya. Sudah pasti kalau berlangsung sahaja kenduri nanti, saya masih berbadan dua, dengan 'si comel' bermain di alamnya.


Genap 20 Minggu kandunganku

Hari ini genap juga usia 20 minggu 'si kecil comel' kami. Lagi 20 minggu untuk saya tempuhi. Alhamdulillah dengan rahmat Allah, segalanya dipermudahkan. Baby juga sangat baik pada Bundanya. Bunda sayanggg Baby! Baby pun sudah aktif dan sudah pandai beraksi. Alhamdulillah saya sudah merasa sebahagian pergerakannya ketika usianya 19 minggu (17 Jan) sebaik sahaja Papa pulang semula ke Malaysia. Kesian Papa kan? Hehe.. Makin lama makin aktif. Bunda doakan sihat dan ceria selalu anakku.

Gembira dan syukur tak terkata. Semoga Allah pelihara anak yang saya kandungkan dengan sifat rahmatNya. Seorang bakal ibu pastinya mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Anaknya sihat sempurna, baik akhlaknya, teguh pegangan agamanya, lembut bicaranya, teralun Al-Quran dan Hadith di lisannya serta sejuk dipandang oleh manusia amnya.

Bunda doakan agar Allah berkatimu anakku.. Dikuatkan menghadapi seribu macam ujian di dunia kelak. Moga kita bertemu di hari kelahiranmu ditemani Papa di sisi kita. Ameen.

Wednesday, January 23, 2013

23 Januari 2013 Dalam Sejarah

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.. Tiada kalimah yang lebih agung, di hari ini melainkan setinggi-tinggi pujaan padaMu Ya Rabbi..


23 Januari 2013.. Penuh pengharapan!

Selesai sudah peperiksaan yang cukup mendebarkan hati ini.

Hari ini merupakan hari bersejarah buat kami. Inilah hari terakhir saya, sahabat-sahabat Gen6 dan sebahagian angkatan tahun akhir 2012 Fakulti Perubatan Universiti Kaherah menduduki peperiksaan akhir demi sekalung ijazah. Ijazah itulah yang bakal merubah hidup kami. Walaupun itu bukanlah segala-galanya, tapi ijazahlah wasilah untuk kami mencari redha Allah dan jalan untuk mendekati dan berkhidmat pada masyarakat kelak.

Perjuangan ini masih belum terhenti. Doa dan tawakal harus mengiringi. Keputusan peperiksaan sudah pasti mendebarkan kami. Inilah saat penantian yang penuh pengharapan buat kami. Doakan keputusan yang cemerlang milik kami semua ya. (^_^)

Jutaan kemaafan saya ucapkan kepada yang mengenali terutamanya suami yang dikasihi, Ummi Lek, Ibu Abah, adik-beradik, keluarga besar, pendidik, angkatan Gen6, sahabat-sahabat, adik-adik..maafkan salah silap sepanjang kita berinteraksi, jika ada tersalah bicara dan tingkah-laku yang tidak berkenan di hati. Terima kasih yang tak terhingga juga kepada semua kerana sentiasa memberi sokongan, semangat dan nasihat sepanjang menghadapi saat-saat getir ini.

Moga Allah beri yang terbaik untuk kami demi membahagiakan keluarga yang selalu mendoakan kami. Ameen.


23 Januari hari lahirnya..


Hari ini juga hari penting dan 'special' untuk sahabat saya. Sepanjang 6 tahun setengah di sini, saya dikurniakan sahabat yang sangat dekat di hati. Kami kuliah sekali, kelas Al-Quran sekali, bahkan di dewan peperiksaan juga sekali. Angka gilirannya 1650 dan saya 1651. Banyak kenangan kami bersama, tidak mampu bercerita. Orangnya lincah, baik sekali. Pemurah dan sangat menyenangkan hati. Bait kata dan bicara, menyedarkan diri. Alhamdulillah, syukur pada Allah memberi sahabat yang baik untuk perbaiki diri.

Moga Allah berkati teman saya ini. (^_^)
Uhibbukifillah. Abadan abada.. Biiznillah kita berjiran di Syurga nanti.

Saturday, January 19, 2013

Kembara Mesir : Bersama Habibi. Uhibbuka fillah!


Tidak disangka-sangka, Allah membuka peluang suami yang dikasihi hadir ke bumi kinanah ini. Syukur ke hadrat Illahi. (^_^) Alhamdulillah, memang ada hikmah di sebalik kedatangan suami. Allah membuka ruang untuk saya terus berkhidmat sebagai seorang isteri sebagai bekalan akhirat untuk bertemu Pencipta diri dan memperingatkan diri di saat akhir perjuangan di Mesir ini. 

Di samping bergelut dengan buku, Allah membuka seluasnya peluang untuk meraikan kedatangan beliau ke sini. Melihat beliau makan masakan sendiri pun sudah menguntumkan senyuman dan kelegaan di hati. Di samping itu sempat juga membawa beliau menjelajah sedikit sebanyak tempat di Kaherah dan Iskandariah. Memang tidak puas kata beliau. Maklumlah kebanyakan masa menemani saya di rumah untuk menghadapi peperiksaan akhir yang masih berbaki. Beliau sangat memahami dan sentiasa memberi semangat pada diri.

Iskandariah kami lawati (6-7 Januari 2013)

Sudah pasti Iskandariah kami jejaki kerana adik beliau masih belajar di sini. Yang jauh dekat di hati, lagi dirindui. Pastinya kedatangan ke Mesir tidak lengkap kalau tidak ke sini kerana Iskandariah juga merupakan tempat pelancongan yang masyhur dengan pantainya bahkan itulah pusat pemerintahan Mesir suatu ketika dahulu :) Alhamdulillah tertunai hajatnya. 


Sebaik sahaja tiba di Iskandariah, terasa beza sungguh udaranya dengan Kaherah. Maklumlah, ada pantai dan angin yang segar menghidupkan suasana di sini. Antara tempat yang sempat kami lawati ialah, Bibliotheca Alexandrina (Perpustakaan), Makam Nabi Daniel, Makam Luqman Al-Hakim, Masjid Abu Al-Abbas Al-Morsi dan Kubu Qaitbay.


Sambil berjalan, perut juga pasti berdendangan. Tidak lengkap rasanya kalau tidak menikmati aiskrim segar buah-buahan di Iskandariah. Walaupun musim sejuk, kelazatan aiskrim menghangatkan. Kemudian, pada sebelah malamnya juga kami menikmati hidangan makanan laut sebelum membeli belah di Mashiyah. Jutaan terima kasih pada adikku Milah, sahabat saya Ukhti 'Izzah dan junior yang dihormati Hashimi dan Qarafi kerana sudi menemani sepanjang perjalanan kami di sini.

Walaupun ziarah singkat di Iskandariah, manisnya tetap dirasa apabila dapat bertemu insan yang tersayang bahkan dapat bersilaturahim dengan sahabat-sahabat baru. Itulah manisnya sebuah kembara. Sambil mengenal tempat baru, sambil menyebar ukhwah.

Kaherah bercerita (5-17 Januari2013)

Sudah pasti, kebanyakan masa suami dihabiskan di Kaherah. Kami tinggal di Mouniera-Sayeda Zainab. Secara tidak langsung, tinggal di sini memberikan gambaran cara hidup golongan majoriti di Mesir. Kepadatan penduduk di Kaherah membuatkan kehidupan di sini terasa sesak dan menguji kesabaran. Kaherah boleh diibaratkan kota yang tidak pernah mati. Hidup sepanjang hari. Di pagi hari lagi, rakyatnya sudah beratur membeli 'eisy (roti), ful, to'miyyah, pengangkutan awam sudah dibanjiri dan hon kereta pula silih berganti. Siangnya sibuk dengan aktiviti jual beli bahkan tak pernah berhenti. Di sebelah malamnya pula kedai kopi dan shisha pasti dipenuhi. Ya, itulah Kaherah dengan seribu macam ragam Misriyuun. Namun, di situlah letaknya seribu macam teladan dan sempadan buat perantau seperti kami.

Jauh dari kebiasaan, Kaherah masih banyak keunikan yang perlu diterokai. Wujudnya masjid bersejarah dan makam para sahabat dan solehin menjadikan kita terpanggil untuk menjadikan diri sebaik mereka, meneruskan perjuangan mereka dan mengimarahkan masjid yang sedia ada. Walaupun sudah 6 tahun di sini, saya sendiri terasa buta sejarah dan masih mencari-cari untuk melengkapi cebisan yang masih berbaki.



Sudah pasti Makam Imam Waqi', Imam Syafie dan Imam Hassan Al-Banna antara pilihan di hati.  Kali terakhir saya ziarahi mungkin 3 tahun yang lepas. Sejuk hati melihat Makam Imam Hassan Al-Banna lebih rapi dan terpelihara. Namun sedih pula melihat kondisi makam-makam Imam dan para sahabat. Tidak terjaga. Moga ada perubahan selepas ini.

Di samping itu juga , saya menemani suami ke makam beberapa sahabat Nabi dan melihat masjid yang masyhur di sini seperti Masjid Amru Al-Asr, Masjid Al-Azhar, Masjid Hussein, Masjid Sayeda Zainab, Masjid Sayeda Aisyah, Masjid Muhamad Ali Pasha serta Kubu Salahuddin yang masih teguh berdiri.
Selesai melawat tempat-tempat orang soleh yang terpilih, kami beranjak melihat tinggalan Firaun yang dilaknat Allah. Memang gah kelihatan piramid di mata kasar tapi tidak mampu menandingi kebesaran dan keagungan Allah. Telah Allah buktikan, Dia mampu menjatuhkan sebesar-besar empayar dengan kuasa sebagai PEMILIK sebenar alam ini. Tidak ada manusia yang mampu menandingi kuasaNya hatta Firaun yang mengaku tuhan dan memiliki piramid yang pernah diagung-agungkan.

Sebesar mana pun ciptaan manusia, besar lagi kekuasan Allah ke atas kita, kerana kita ciptaanNya.
Hanya tinggal 'batu' sebagai saksi keangkuhan..
 Jiwa akan gersang jika kita jauh daripada Allah, Pencipta sekalian alam.

Yang hadir akan pulang... Itulah sunnahnya.

Tak tergambar dengan kata dengan kehadiran suami ke sini. Sungguh itulah antara hadiah termahal yang Allah beri. Sebak pula membaca tulisan suami di facebooknya. Tersentuh dengan kasih sayang Allah dan suami..

'Jika ada awal, mesti ada akhir. Jika ada listen, mesti ada speak. 

Itulah percutian cinta kali ini. Penuh cinta bertemu zaujah tersayang, penuh mahabbah bertemu sahabat-sahabat di Mesir walaupun baru kali pertama bersua muka. Offline atau online hanyalah sekadar cara, apapun ia pastikan terus subur di lubuk hati kita.

Jumpa di Malaysia dengan title Dr dan Ustaz berada didepan nama kalian.

Semoga Allah rahmati kita semua dan berada dalam dakapan kasih sayang-Nya. 

Untuk anakanda, jaga bonda bebaik ya!'
-------------------------------------
"Kembali ke tanahair. Berat hati tinggalkan zaujah dan baby. namun InsyAllah, Allah akan menjaga mereka. "


InsyaAllah, di hati mengharapkan pertemuan penuh barakah untuk fasa seterusnya. Moga Allah rahmati dan buka peluang untuk mentaatiNya dan zauji juga. Moga diampunkan dosa dan dibuka pintu kemaafan untuk menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan. Ameen..

Saturday, January 05, 2013

Hadiah berharga di Jubli Perak'

5 januari 1988

Mengimbau detik itu..25 tahun dahulu..T idak kutahu bagaimana peritnya seorang ibu melahirkan anak seberat 2.8kg ketika masih di perantauan, ditemani seorang ayah yang pengasih di sisi. Kini, bayi itu sudah dewasa, sedang mengandung cucunya pula. Sungguh aturan Allah itu Maha cantik. Hadiah yang tidak ternilai daripada Allah adalah dengan kewujudan mereka. Tanpa mereka siapalah saya. Ditakdirkan pula saya ditemani seorang adik lelaki dan 6 adik perempuan. Comel dan karenah yang pelbagai mewarnai hidup saya. Tidak putus saya mendoakan mereka. Moga syurga milik kami semua.

Sehari sebelum 5 Januari 2013

Allah hadiahkan kehadiran sahabat yang disayangi. Memasak Laksa Johor kami persetujui, dimeriahi lagi dengan kehadiran rakan seperjuangan dan adik-adik sepengajian yang dikasihi.

5 Januari 2013

Pada tarikh ini, tahun ini Allah hadirkan lagi insan baru, di dalam hati dan di dalam diri. Siapakah mereka?sudah pasti suami yang dicintai dan 'anak' yang dikasihi. Tidak pernah disangka, pada 5 Januari, ketika saya berkelana sendiri di bumi Mesir ditemani rakan seperjuangan tanpa suami, Allah lapangkan rezeki dan masa  suami untuk menziarahi saya di benua afrika ini. Subhanallah.. sebuah lagi hadiah tidak ternilai. Syukur!

Saya tersenyum.. masihkan saya tidak bersyukur?

Umur dunia : 25 tahun bukan sekadar angka.


Banyak cerita, banyak berita, banyak kenangan yang terukir di sebalik angka 2 dan 5. Alhamdulillah genap sudah 25 tahun masihi di muka bumi yang diciptakan Allah ini. Alhamdulillah!


Umur, tidak akan berhenti dibicarakan..


Sebut sahaja perihal umur, pasti ada yang termenung panjang. Tidak kira tua atau muda, lelaki mahupun wanita. Tahun demi tahun kita tempuhi, umur kian bertambah tanpa kita sedari. Kulit yang dahulunya mulus, kian berkedut saban hari, rambut yang dahulunya hitam, bakal putih suatu hari, badan yang dahulunya sihat, kian lemah jua bila Allah takdirkan nanti. Itu sunnah alam. Harus kita tempuhi dengan matang. Namun keajaiban boleh sahaja berlaku kerana semuanya milik Allah jua.

Berapa pun umur kita, bukanlah jaminan 100%  kematangan dan keimanan. Boleh sahaja yang tua bersikap kebudak-budakan dan yang muda matang pemikiran. Boleh sahaja usia lebih muda, tapi nuraninya tua, lemah tidak berdaya. Boleh sahaja umurnya tua, tapi nuraninya muda, teguh keimanannya. Apa sahaja mungkin di dunia ini. Namun kita sentiasa diingatkan, kasihi yang muda, hormati yang tua. Yang salah kita betulkan, yang benar kita tegakkan tidak kira batas usia. Permainan umur ini kadangkala di salah ertikan. Moga kita tidak termakan dengan tipu daya umur. Yang benar wajib dibenarkan, yang salah wajib disalahkan.

Begitulah umur antara kayu ukur di dunia supaya kita sedar diri tentang hidup ini ada tempohnya, walaupun kita sendiri tahu ajal itu rahsia dan tidak kira muda atau tua.

Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan tentang harta bendanya dari manakah ia perolehi dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya". (HR Tarmizi)

Menggerunkan bukan? Allah akan soal kita... Jawapan apa yang bakal kita bentangkan? Sepanjang 25 tahun apa yang telah aku lakukan atas sebuah jasad yang Allah berikan?

Hargai masa ini, 25 dan kehadapan..

Berbunga rasa hati bila mendengar ucapan Ummi, Lek dan Abang sempena hari lahir ini. Tak lupa juga ucapan adik-beradik, rakan dan adik seperjuangan. 'Special'nya itu kerana merekalah insan berjasa dalam mencorak warna-warni kehidupan 25 tahun ini. Yang lepas dijadikan kenangan, teladan dan sempadan. 

Yang bakal ditempuhi, esok dan seterusnya merupakan hadiah untuk terus mematangkan diri. Sungguh pun sudah bergelar isteri, belaian kasih sayang Ummi dan Lek belum puas kutagih. Mungkin juga diri ini anak sulung kepada 8 adik-beradik dan sejak umur 13 tahun berjauhan dengan Ummi dan Lek. Sungguh mereka berjasa besar dalam segenap segi. Moga Allah berkati mereka. Hadirnya Abang dan 'insan kecil' di dalam kandungan, petanda bahawa Allah sekali lagi sedang mempersiapkan saya untuk fasa-fasa kehidupan seterusnya. Moga saya kuat dan keimanan juga tertingkat.

Terima kasih juga buat rakan terdekat, adik-adik yang prihatin terhadap diri. Moga Allah eratkan lagi ukhwah ini.

Peringatan ini kusemat.. agar diri terus kuat.

"Rebutlah olehmu akan lima perkara sebelum datang lima perkara; hidup kamu sebelum mati, sihat kamu sebelum sakit, masa lapang kamu sebelum masa kesibukan kamu, muda kamu sebelum tua, dan kaya kamu sebelum miskin". (HR Hakim dan Baihaqi)

Ya Allah, pinjamkanlah kekuatan dan bimbinglah kaki ini mendapat redha dan rahmatMu. Ameen.

Thursday, November 15, 2012

Catatan Bunda : 10 Minggu usiamu. Alhamdulillah..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Kalimah agung yang mampu diucap oleh hamba lemah seperti saya. Diizinkan Allah bernikah dengan seorang pemuda sudah cukup beerti buat saya. Tidak pernah tergambar wajah sebenar perkahwinan, Alhamdulillah hari demi hari perkahwinan yang dibina kian matang dan yang penting setiap detik merupakan ruang untuk kami cari kebersamaan dan lakukan pembaikan.

Kini perubahan fasa dirasai, diizinkan Allah merasai kebesaranNya dengan diciptakan segumpal daging  dan ditiupkan ruh kedua di dalam jasad sendiri. Allahuakbar. Saya disahkan hamil pada 23 Oktober 2012 dengan usia kandungan 6 minggu 5 hari. Tiada perubahan ketara pada badan saya namun melihat kantung kecil melalui ultrasound membuatkan diri takjub dengan kebesaranNya. Tanpa saya sedari, ada sahaja nikmat yang Allah beri. Ini hadiah termahal buat saya dan suami di awal usia perkahwinan kami. Walaupun pernah melihat hasil ultrasound pesakit-pesakit di hospital, melihat hasil ultrasound sendiri membuatkan diri teruja. Maha Besar Pencipta diri.

Buku tambahan untuk peperiksaan akhir ini.. (^_^)
Doakan saya, cemerlang imtihan, sihat kandungan.
Pada 12 November sebelum berangkat pulang ke Mesir, disempat juga berjumpa Murabbiyah dan ditakdirkan pula jumpa di klinik beliau bertugas. Dapatlah kami melihat 'insan kecil' melalui ultrasound lagi. Usianya sudah 9 minggu. Melihat degupan jantungnya membuat saya dan suami tersenyum dan lafaz Alhamdulillah tidak putus kami ucapkan. Kalau sebelumnya hanya kantung kecil, kini kami dapat melihat jantung dan mendengar degupannya.

Hari ini insyaAllah sudah 10 minggu. Syukur padaNya.

Sungguh fasa menjadi ibu hamil ini sungguh mendebarkan. Pergantungan pada Allah harus 100%. Hanya Allah yang mampu menjaga sepenuhnya tumbesaran bayi di dalam kegelapan rahim. Selaku si ibu, hanya aspek pemakanan dan kesihatan diri yang mampu dipantau. Moga Allah melindungi kami.

"Ya Allah, jagalah anakku di dalam kandunganku. Sihatkanlah dia. Engkau jua penyembuh dan tidak ada penawar melainkan penawarmu. Penawar yang tidak meninggalkan sebarang penyakit. Bentukkan dia dalam rupa yang cantik dan elok, dan keluarkanlah dia dihari kelahirannya dengan mudah dan selamat."

"Ya Allah, jadikan dia sihat, sempurna, cerdik, berakal, alim, bijak, mukmin soleh yang ditumpukan kepada kebaikan juga diizinkan menjadi tetamu di Baintul Haram."

"Ya Allah, indahkan akhlaknya dan fasihkan lidahnya, perindahkan dirinya dengan bacaan ayat Al-Quran dan hadith dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W" Ameen..

Saya dan Peperiksaan Tahun Akhir Kuliah Perubatan (2006- Jan 2013) : Doakan ya...!

Perjuangan selama 6 tahun setengah di bumi kinanah ini akan ditamatkan dengan peperiksaan akhir yang bakal bermula dalam 12 hari lagi pada 28 November 2012. Peperiksaan ini bakal berlangsung selama 2 bulan. InsyaAllah selesai pada 23 Januari 2013. 

Sungguh pun diberi 'study leave' selama hampir 4 bulan, masa itu pantas sahaja berlalu dan dirasakan suntuk pula waktu. Moga Allah ampunkan saya jika ada kelalaian dalam memanfaatkan waktu dan Alhamdulillah suami selalu mengerah diri untuk belajar sepanjang tempoh dihabiskan di Bandung mahupun di Malaysia bersamanya. Diusung buku seberat 15kg ke mana sahaja kami pergi, dari rumah di Selangor ke Bandung, dari Bandung ke Selangor, dari Selangor ke Langkawi dan Terengganu. Akhirnya kembali ke Mesir tanggal 13 November. Alhamdulillah, segalanya Allah permudahkan.

Kini saya di Mesir ditemani rakan serumah, 'insan kecil' dan sokongan padu daripada suami dan keluarga di Malaysia. Semoga Allah beri keberkatan ilmu dan waktu serta kekuatan  ingatan, jasadi dan ruhi dalam mendepani peperiksaan kali ini. Sudah pasti targetnya mahu mumtaz, cemerlang dunia akhirat kerana ilmu ini bakal digunakan sepanjang hayat saya nanti. Moga kecemerlangan milik saya dan kawan-kawan seperjuangan. Ameen. Doakan kami  menjadi doktor yang cemerlang deen, ilmu dan akhlaknya.

Akhir kalam, saya memohon maaf pada suami saya, Ummi, Lek, Ibu, Abah, adik-beradik, ipar-duai, keluarga, guru-guru saya, ahli rumah saya di Mesir, sahabat-sahabat saya dan kenalan saya sekiranya pernah terkasar bahasa, tersalah bicara dan ada perilaku yang tak berkenan di mata. Mohon juga halalkan makan minum dan pemberian selama ini. Moga Allah berkati dan menganjari pahala pada kalian semua. (^_^) Ameen.

InsyaAllah jadual peperiksaan saya ada di bawah ini. Mohon doakan saya pada tarikh-tarikh ini ya. Jazakumullahu kheiran kathira semua.

Internal Medicine's Written Exam

28/11/2012 - Paper 1
1/12/2012   - Paper 2 
3/12/2012   - Paper 3
Surgery's Written Exam

17/12/2012 - Paper 1
20/12/2012 - Paper 2
22/12/2012 - Paper 3

Internal Medicine's Clinical Exam

25/12/2012 - Oral
27/12/2012 - Short Cases
30/12/2012 - Long Case
1/1/2013     - X-ray & ECG
3/1/2013     - Dermatology & Andrology
9/1/2013     - Clinical Pathology

Surgery's Clinical Exam

12/1/2013  - Oral Operative
16/1/2013  - Long Case
21/1/2013  - OSCE
23/1/2013  - Surgical Pathology & X-ray.

Sunday, October 07, 2012

Kembara Indonesia : Hidup Sihat di Bandung


Bandung selain menjadi tempat pelancongan dan membeli belah di kalangan pelancong mahupun masyarakat setempat, turut tidak terlepas sebagai destinasi sihat untuk jasmani. Saya diberitahu suami, penduduk di sini suka bersukan. Setidaknya itu menjadi rutin mingguan ataupun rutin harian mereka. Patutlah mereka slim pada hemat saya.

Meriahnya kompleks sukan mereka.

Alhamdulillah pernah turun ke Sabuga (kompleks sukan). Saya naik hairan melihat, gelanggang bola keranjangnya meriah, tennisnya riuh apatah lagi padang bola dan balapan. Ramai yang berjogging, berlari dan ada juga kolam renang. Banyak lagi kemudahan yang disediakan untuk bersukan. Tua, muda, kaya, miskin, lelaki dan perempuan semuanya bersukan. Kalau saya yang tinggal berdekatan kompleks sukan Bukit Jalil, keadaan berbeza, selalunya sunyi dan tidak semeriah ini. Yang meriahnya hanya ketika ada kejohanan sukan, pameran atau ekspo di situ.


Car Free Day (CFD)

Selain itu, setiap hari Ahad di Bandung, Jalan Ir. H. Juanda(Dago dan Jl. Buah Batu akan dikosongkan dari kenderaan, hanya dibenarkan pejalan kaki dan mereka yang berbasikal. Setakat ini saya sudah 3 kali ke CFD di Dago. Acara ini bermula dari 6 pagi hingga 10 pagi. CFD ini dimanfaatkan oleh masyarakat Bandung dan juga pelancong untuk berolahraga atau sekadar menikmati udara kota Bandung di pagi hari. Pelbagai aktiviti yang ada antaranya senam aerobik, jogging, berbasikal, dan persembahan (menari, memasak, menyanyi). Di samping itu juga, diwujudkan booth kecil untuk pemeriksaan kesihatan dan kecemasan sekiranya berlaku kecederaan. Menarikkan?


Mari kita ke CFD!
Kami odw, ada yang dalam perjalanan pulang.. Seronok, boleh dijadikan aktiviti keluarga.

Selesai parking. Lihat signboard itu.. Kita sudah sampai!
Berbasikat tidak kira usia.. Ada juga yang berjalan dan ada juga yang jogging.
Pelbagai ragam janji kita relaks..

Ada juga yang memakai custume menarik untuk membuat promosi.
Selain aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan, pastinya kewujudan kedai, gerai dan booth memeriahkan lagi hari ini. Ramai yang mengambil peluang ini untuk menjual sambil beramal. Ada bermacam-macam jenis jualan; makanan, pakaian, mainan, alat sukan. Pastinya yang menarik perhatian saya adalah makanan, apatah lagi bila terjumpa Pempek. Ohhooo.. memang sedaplah Pempek Ratu ni. Terbaik! Maka dikesempatan ini, sebagai pelancong bolehlah mencuba masakan Indonesia. Tidak salah merasa dan itulah salah satu kepuasan mengembara. Kepelbagaian dalam budaya, masakan sesebuah negara membuatkan kita semua unik.


Jual...Jual...
Ohho.. Pempek!
Terbaik!
Rasa lapar pula.. Tak cukup makan di sini, kena bungkus satu.

ZEN Family Reflexology

Sekali sekala bila sudah penat bekerja atau menguruskan rumahtangga, tidak salah memanjakan diri di rumah urut yang dipercayai. Untuk kali ini, kami mencuba Zen Family reflexology. Ada juga khabarnya setelah penat shopping di Pasar Baru (antara tarikan di Bandung) pasti ada yang ke sini. Maklumlah, di Pasar Baru kuat berjalan. Selesai shopping baru terasa penatnya.

Ada baiknya sebelum ke sini, kita membuat tempahan untuk memastikan perkhidmatan dapat disediakan, apatah tempat ini menjadi tumpuan. Usai sahaja masuk ke ruangan pendaftaran, udara yang segar ala-ala pudina dapat nikmati dan terasa relaks.

Kami pengambil perkhidmatan reflexology selama 1 jam setengah di mana kaki dan bahagian belakang akan diurut. Terpulang kepada pelanggan ada yang mahu urut kaki dan ada yang mahu seluruh badan. Pasti harganya dan masa yang diperlukan juga berbeza.

Welcome to ZEN.
Selamat datang..

Murah pun murah.. Service pun terbaik.






Alhamdulillah sambil diurut boleh menonton tv yang disediakan untuk setiap pelanggan. Ada juga yang tertidur. Maklumlah tempatnya tenang. Selain itu turut disediakan minuman. Sedap juga air teh yang disediakan. Anda bebas membuat apa sahaja ketika diurut janji jangan menganggu therapist melakukan kerja mereka.

Selesai sahaja diurut, terasa kaki semakin ringan dan sakit belakang pun hilang. Alhamdulillah. Hati senang, hidup sihat dan rasa tenang.

Ayuh hidup sihat!


Tuesday, September 18, 2012

Kembara Indonesia : Pempek vs Es Campur Special Duren

Pempek oh Pempek..

Pempek, Empek-empek atau mpek-mpek adalah makanan palembang yang cukup memikat hati saya. Rasanya mirip keropok lekor tetapi berbeza cara hidangnya. Dimakan bersama mee, hirisan timun dan juga kuah cuka menjadikan pempek kombinasi sempurna buat saya. Pertama kali merasa makanan ini bukanlah di Indonesia sendiri tapi di sebuah restoran di Gami', Hayyu Asyir Mesir (paling sedap hingga kini). Kemudian bermulalah sikap mengidam dan mengada-ngada mahu makanan ini selalu. Saya juga tidak habis habis meminta suami belanja saya ketika sampai di Indonesia.

Alhamdulillah, suami mana tak kasih isteri.  Ketika di Tasik, kami sedang berjalan di foodcourt Toserba Yogya, saya ternampak kedai Pempek.. Tersasul perlahan kalimah Pempek. Peka sungguh suami saya, lalu di beli " Khas untuk isteri," katanya sambil kenyit mata. Alhamdulillah sedap seperti di restoran Indonesia-Mesir dan rasanya sama!

Pelbagai pempek untuk dipilih.
Lihat saya pempek, terliur terus saya dibuatnya. Saya meminati Pempek Kapal Selam kerana didalamnya ada inti telur. Berbanding pempek lain yang kosong dan lebih mirip pada keropok lekor. Kalau di Malaysia, sudah pasti keropok lekor tiada tandingan. Alhamdulillah sekarang saya boleh melabel yang mana sedap dan kurang sedap. Hehe 'penyakit' yang sama saya suka lakukan pada Char Kuew Teow. Maklumlah kalau sudah minat kita akan cuba memesan dan membandingkan supaya dapat menikmati yang masakan yang terbaik. Boleh datang lagi ke kedai yang paling sedap. Betulkan?

 Inilah pempek kapal selam pertama saya di indonesia
Kalau sebelum ini di foodcourt Toserba Yogya, kali ini mencuba di Pempek Bu Srie.
Boleh tahan juga rasanya. Cuma mee diganti sooun.

Lepas ni kalau sudah berjauhan dengan pempek, tekad di hati mahu mencari resepi. Wait & see. Erm, kerana tertarik dengan pempek, gatal juga tangan mengoogle sejarah si pempek idaman hati ini. Lalu terjawablah oleh pakcik Wiki. Mari baca di SINI.

Es Campur Special Duren .. Durian tu!

Saat ini saya sudah di Bandung tapi masih terbayang-bayang Es Campur Special Durian di Tasik Malaya. Saya bukanlah peminat durian segar dan tegar cuma agak meminati makanan yang dioleh daripada Durian. Ehem...Sedap hingga payah juga mahu diterjemah dengan kata. Tinggallah gambar sebagai cerita.

Kali pertama mencuba...

Enak bangat! 
 Es campur special durian hasil pengamatan saya adalah campuran 3 ulas durian, hirisan mangga, nenas, avocado, kelapa, cincau, jelly, nata de coco, tapai pulut hitam dan kuahnya santan. Hehe, mungkin ada yang saya tertinggal. Pastinya rahsia tuan kedai kan..

Di hadapan kedai. Menjual durian dan Ex Campur. Kali ketiga dan terakhir kami menjamu selera di sini.

3 hari berturut-turut kami singgah di kedai ini hinggalah hari terakhir kami di Tasik Malaya. Mujur juga terlambat cuba Es Campur ni, kalau tidak berminggu-minggu la pakcik kedai ni melayan kami.  Sampai sekarang masih terbayang-bayang. Nak ke Tasik? Entah bila la kan. Boleh tahan perjalanannya, laluan bergunung ganang, bersimpang siur. Kalau jalan tidak macet (bahasa indonesia) zahmah (ammiyah Mesir) atau laluan trafik sesak bak kata laporan semasa mahu 4 jam juga, kalau sesak boleh jadi 6-7 jam atau lebih. Dasyat juga.

Itulah cerita Pempek dan Es Campur Duren Special. Dua jenis makanan di bumi Indonesia yang berjaya memikat hati saya. Maka, kalian boleh juga mencari nanti ya kalau singgah di bumi jiran ini.