BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, April 08, 2010

Nak Chipsmore!

Hari ini entah kenapa Sinar teringatkan Chipsmore. Sedapnya kalau dapat makan. Maka mulalah terkenang kisah-kisah yang berkaitan. Terkenang zaman persekolahan dahulu. Kalau membeli barang untuk dibawa pulang ke asrama, pelbagai makanan akan dicapai tetapi biskut memang tidak berapa digemari melainkan Chipsmore dan yang seangkatan dengannya. Dalam erti kata lain memang sangat meminati 'chocolate chip cookies' especially yang emak saudara Sinar buat. Maka siaplah kalau tibanya lebaran, operasi menjejaki cookies bermula. Janganlah ada yang menghidang. Kesian pula tengok balang kuih perlu diisi semula.


Apabila bercakap pasal Chipsmore, teringat falsafah Chipsmore. Oh ada ya falsafah dia? Ha, bukanlah falsafah sangat pun, cuma apabila sebut ayat ini kita akan terus teringat Chipsmore.

"Kejap ada, kejap tiada"

Seringkali kalau sesuatu perkara tiada ketetapan, mahupun satu aturan agak tidak berkala mulalah ayat ini terpantul daripada mulut kita. Misal kata seorang ahli rumah bukanlah jenis lekat di rumah, biasa bila ditanya kita akan membalas,

"Macam tak kenal dia. Kawan kita tu buzy memanjang. Dah macam chipsmore pun aku tengok. Kejap ada kejap takde!"

Tapi bukanlah ini yang Sinar ingin 'highlightkan'. Apabila diputar semula memori, ditenung kembali kenangan mencari apa itu tarbiyah Islamiyah, apa itu fikrah Islamiyah, banyak kisah boleh dijadikan renungan untuk menghadapi hari muka.

Dalam meniti detik masa yang terus berlalu, timbul persoalan dalam diri. Agaknya berapa ramai daripada para sahabat kita yang berkobar-kobar untuk sampaikan Islam masih bertahan hingga hari ini?

Chipsmore dalam kelansungan dakwah...

Begitulah apa yang Sinar nampak dalam resam hidup ini. Penuh pasang surut. Alhamdulillah makin ramai yang berhajat pada Islam. Namun hari yang berlalu terus diasak kerisauan dan kesedihan apabila ramai juga yang gugur dipertengahan jalan. Walaupun mungkin seorang dua tapi itu tetap menyumbang saham terbesar dalam menegakkan Islam di muka bumi. Keseronokan dan kesibukan dunia sungguh mampu memikat dan membantutkan sesiapa sahaja. Kalau dikenang-kenangkan. Dulunya ramai...

Dulu merekalah insan yang mengajak kita ke masjid,
Dulu merekalah insan yang membangunkan kita di malam hari
Dulu merekalah insan yang memimpin tangan menuju redha Allah
Namun hari ini mereka cukup berbeza
Terlalu jauh mereka pergi...


Dan kini...
Yang dulu kian berkurang...

Inilah peringatan buat diri. Dalam mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, jangan lupa berdoa agar diteguhkan di jalan ini. Hidayah itu milik Allah. Sesiapa pun berhak memilikinya dengan izin Allah dan Allah jualah berhak mencabutnya daripada dada mereka yang diuji. Namun sebagai sahabat, tugas kita untuk sama-sama membimbing menuju syurga Allah. Kalau boleh kita tidak mahu sahabat kita tergelincir bahkan disambar panasnya azab Allah. Na'uzubillah. Ya Allah moga dipimpin dan terpimpin hati ini.

Jangan tertipu dengan budaya kejap ada kejap tiada. Cubalah untuk memimpin diri untuk istiqamah. Iman makin didekati makin manis. Iman makin digilap makin banyak ujiannya.

Pandanglah setiap manusia dengan pandangan kasih sayang. Gapailah tangan mereka dengan sentuhan iman. Takkan rugi kita berbuat demikian. Wallahu'alam

Sunday, April 04, 2010

Wujudkah berhala dalam diri?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Terasa kerdilnya diri dengan kenikmatan yang Dia beri...


Teringin dilahirkan semula...

Sungguh dunia ini penuh dengan hambatan. Pelbagai fasa akan kita lalui. Gagal mencari bekalan bermakna kita akan lekas kecundang. Justeru ingin Sinar kongsi beberapa peringatan hasil pembacaan. Dalam beberapa hari ini juga, diri ini amat sensitif dan mudah terasa. Maaf kalau ada yang terguris kerana kelakuan atau bicara yang salah. Sungguh saya rindukan ketenangan. Sungguh saya rindu kata-kata yang memberi kekuatan. Saya mendapatnya tapi masih tidak puas dan cukup. Ohoo kelihatan tamaknya saya.

Kadang kala kita tidak sedar bahawa diri kita sebenarnya sedang diuji. Hakikatnya kita adalah manusia hidup dalam dunia serta bakal pulang ke kampung akhirat. Maka sudah pastinya berumahkan dunia akan menghidangkan ujian yang bertali arus. Bukan senang ya kawan-kawan mahu ke akhirat apatah lagi yang mengidam mahligai di syurga nanti. Saya sedang merasakan bahawa jalan ini sungguh perit. Sungguh banyak cubaan dalam menangani hati manusia apatah lagi memenangi kasih Allah... =( Sungguh saya lemah dalam banyak hal.

Kita selalu tertipu dengan kesenangan yang ada
Kita selalu tertipu dengan kejayaan yang diterima
Kita selalu terlupa dengan rahmat Allah semua ini dikecapi

Membelek sebuah buku ini, banyak yang menyedarkan saya. Mari Sinar cerita apa yang terdaya. Selebihnya bolehlah kalian dapatkan di kedai buku. InsyaAllah tidak rugi... Ego anda, sombong anda, bangga dirinya anda. Semuanya bakal dicairkan.


Buku ini mengingatkan saya pada kenangan lama di alam persekolahan dulu

"Akak, dulu awal-awal ana ingat akak ni sombong," kata seorang adik jujur

"Lepas tu, sekarang macam mana. Sombong ke?" Tanyaku dibalas senyuman oleh adik seasrama sebelum masing-masing menaiki tangga asrama.

"Bila dah kenal, baru tahu. Ana salah rupanya" Sambil mengeleng. Kubalas dengan senyuman.

Itulah kebiasaan anggapan orang pertama kali mengenal saya di sekolah dulu. Mungkin kerana status sebagai badan disiplin menampakkan saya seorang yang garang dan sombong. Sekadar andaian saya. Lucu mengingatkan cerita ini tapi saya sedikit terluka bila mengenangkan cerita dulu. Kenapa ya orang kata saya sombong? Itu membuatkan saya ingin tahu. Ingin muhasabah mana silapnya. Lupa pula saya tanya di mana sombongnya saya.

Sudah pasti kisah lama saya dan buku ini ada kaitannya. Walaupun mungkin bukan seratus peratus sama, tapi banyak yang saya dapat daripada buku ini. Banyak didikan dan banyak juga peringatan untuk diri. Buku ini pada awalnya membentangkan hakikat hamba, apa itu bangga diri dan mengupas apa itu syirik. Kemudian dipertekankan isi kandungan buku dalam soal syirik khafi.

Terjebakkah kita dalam syirik khafi?

Syirik khafi adalah bentuk syirik yang tidak nampak secara jelas kewujudannya dalam diri manusia. Syirik khafi adalah syirik yang tersembunyi. Bahkan tidak terkesan melainkan dengan memerhati perbuatan dan kata-kata pelaku dengan cermat. Di antara syirik khafi yang paling menonjol adalah melihat diri sendiri dengan rasa bangga, riak, ujub dan meyakini bahawa dirinya berjaya bahkan disayangi Allah kerana kemampuan dan kehebatan dirinya. Namun penyakit ini susah dikesan oleh pelaku. Ia berhajatkan kepada sebuah kesedaran yang tinggi. Inilah antara berhala yang perlu kita kuatirkan.

Antara fenomena yang boleh dijadikan renungan bersama ialah kisah seorang penuntut ilmu yang dikurniakan Allah kepintaran. Dia boleh sahaja merasakan dirinya sangat bagus dalam memahami dan menghafal ilmu yang dipelajari. Justeru dia mudah terjebak dengan rasa tinggi diri apabila merasakan kerana kepintarannyalah dia berjaya. Mana tidaknya, dia mampu menyiapkan puluhan nota dan latihan hatta keputusannya setimpal usaha yang dikenakan membuatkan dia mendabik dada. Istighfar panjang saya dibuatnya. Moga saya dijauhkan dari sifat yang tidak patut.

Bahkan seorang wanita yang dapat menyiapkan makanan yang enak boleh diheret penyakit tinggi diri bila dirasakan kerana kemampuannyalah, dia dapat membuat makanan yang enak pada bila-bila masa. Tambah pula kisah seorang pendakwah yang merasakan kerana ilmu yang dimiliki, kemampuan dia bercakaplah yang mampu menarik orang pada Islam. Sedangkan Allah lah yang membuka hati-hati manusia lain dengan seruan dakwahnya itu.

Inilah realiti dan kisah yang sering terjadi di kalangan kita. Ramai manusia tertipu dengan kehebatan sendiri, lalu timbullah bangga diri, sombong, riak, ujub dan sebagainya.

Syaikh Majdi Al-Hilali juga menegaskan bahawa termasuk juga dalam kategori sombong adalah ketika seseorang berpuas hati dengan diri kemudian memuji dirinya atas prestasinya itu dan lupa bahawa Allah sajalah yang memiliki setiap kelebihan yang ada pada diri manusia.

Al-Muhasibi berkata,"Sombong adalah memuji diri sendiri atas prestasi yang berbentuk pekerjaan atau pengetahuan dan lupa bahawa nikmat-nikmat itu berasal dari Allah."(Al Muhasibi, Ar-Ri'ayah li Huquqillah, Darul yakin, Al-Mansurah, Mesir, ms 420)

Makna ini dikuatkan oleh Abu Hamid Al-Ghazali dalam perkataannya,"Sombong adalah mengagungkan-agungkan suatu kenikmatan dan cenderung kepadanya dengan melupakan penyandaran kenikmatan itu kepada Zat yang memberikannya" (Ihya Ulumuddin)

Sombong adalah jenis penyakit yang hampir tidak ada seorang pun yang selamat darinya. Ia sangat berbahaya dapat menjadikan diri seseorang merasa besar, Dari sini sifat sombong akan membentuk sebuah berhala internal di dalam jiwa pemiliknya dengan mengagungkan namanya. Kita harus berwaspada! Daripada rasa inilah akan memakan segala amal yang kita lakukan. Maka jadilah setiap amal kebaikan yang dilakukan tanpa ikhlas seperti debu-debu berterbangan.

Faktor yang menimbulkan penyakit bangga diri
  1. Tidak mengenal Allah
  2. Tidak mengenal diri sendiri
  3. Mengabaikan penyucian jiwa
  4. Selalu berjaya dalam bidang yang diceburi
  5. Selalu mendapat pujian
  6. Pengaruh pangkat dan kekuasaan
  7. Kurang bergaul dengan golongan miskin dan tidak ada yang menasihati
  8. Pendidikan ibubapa
  9. Memiliki kelemahan dalam berinteraksi
  10. Tingginya populariti dalam masyarakat

Menghilangkan berhala diri?

Bagaimana ingin menghancurkan perasaan itu. Ya, sudah pasti ada penawarnya. Menghilangkan berhala di dalam diri bermaksud memandang diri kita sebagai manusia yang kecil dan rendah berbanding Allah walauapapun posisi kita di tengah masyarakat. Kita beramal soleh tanpa merasa bangga dengannya. Saat kita berbincang dengan manusia dan berbicara dengan mereka kita tidak angkuh dan tidak besar diri. Bahkan setiap saat kita isi dengan istighfar.

Besar peringatan ini agar kita tidak lupa diri... Moga Allah ampunkan kesilapan masa lalu...

Hari Rabu ini kami akan menghadapi 'end round exam' untuk subjek Ear, Nose and Throat. Saya cuba mengingatkan diri. Kalau ikut banyaknya baca, saya lemah sekali. Kalau ikut pandai, entahlah jauh sekali pengakuan itu. Saya berada di sini, hari ini pun semua hasil pertolongan Allah. Sungguh saya tiada apa-apa, melainkan usaha yang kecil dan pengharapan yang besar. Aduh kerdilnya saya... Doakan saya... Maaf dipinta jika ada salah dan silap.

Wallahu'alam...

p/s:
  • Doakan saya dan rakan seangkatan.
  • Maaf kepada mereka yang tidak saya tunaikan hak. Maaf sangat...

Tuesday, March 30, 2010

Bila Hati Sunyi...

Kehidupan merupakan satu medan yang tidak terjangka aturannya. Segala sesuatu menurut perancangan Allah. Namun bukan bermakna kita tidak boleh merancang kehidupan yang kita kehendaki. Perasaan yang hadir juga silih berganti. Adakalanya kita gembira, adakala kita sedih. Itulah uniknya manusia, punya perasaaan dan hati yang terkesan dengan keadaan persekitaran. Cuma, di sinilah kebijaksanaan manusia diuji, bagaimana untuk kita berinteraksi dengan perasaan-perasaan itu. Ramai yang tewas dalam mengemudi hati. Kita? Pastinya tidak mahu tewas...


Ada yang bertanya, pernahkah saya sunyi Jawapan saya, pernah dan banyak kali. Saya juga manusia seperti kalian. Perasaan ini muncul dan berganda apabila saya berjalan sendirian. Ketika itulah saya merenungkan. Sunyinya saya. Sedangkan hidup saya dipenuhi dengan kehadiran teman dan mereka yang memberi sokongan tapi kerana tamaknya hati dan rindukan kehidupan masa lalu, sunyi berubah pada sedih. Tapi inilah penyakit tidak bersyukur saya kira. Kadangkala saya sendiri tidak mampu menafsirkan perasaan itu. Ia hadir dan berlalu pergi. Alhamdulillah tidak kronik. Hatta bila sunyi inilah, saya mula rindu gelak tawa keluarga, adik-adik saya bahkan teman-teman rapat saya.

Namun saya tidak membiarkan perasaan sunyi itu membunuh semangat saya,membunuh siapa saya yang sebenarnya. Saya cuba manipulasi kesunyiaan yang ada. Biar ada manfaat untuk diri. Ada ketika kesunyian akan membunuh semangat kita. Sunyi yang bagaimana? Kesunyian yang mana kita rasa semua orang menjauh kita dan mungkin terasa semua orang tidak menyayangi kita. Oh itu harus dijauhkan. Bahkan wujud juga kesunyiaan yang membunuh potensi kita bekerja. Seperti kita rasakan kita hidup tanpa sokongan teman, padahal hakikatnya ramai yang mendoakan kita tanpa kita menyedarinya. Semua ini mainan syaitan. Syaitan menyibukkan kita supaya melayani perasaan agar kerja menambah pahala tergendala. Tukarkan segala bisikan itu menjadi satu dorongan positif. Katakan pada diri, sebenarnya syaitan itu cemburu untuk melihat diri menjadi manusia yang hebat.

Kalaulah kita rasa sunyi tanpa kawan maka tugas kita adalah mencari kawan. Kawan yang mampu mengingatkan kita pada Allah dan faham akan tujuan kita hidup di muka bumi.

Saya selalu mengubat kesunyian-kesunyian itu dengan mendidik diri bahawa saya memang akan sendiri, berteman sepi di alam kubur nanti. Dan sesungguhnya saya hanya ada Allah. maka di dunia ini, berpeluangkan masa yang ada wajarlah dioptimumkan penggunaan dengan berkhidmat pada masyarakat, menyibukkan diri dengan amal islami hatta menyiapkan diri dengan bekalan untuk ke negeri abadi. Inilah ubat untuk merawati sunyinya kita di dunia ini.

Ya, sebelum terlupa, ada juga yang mendefinisikan sunyi itu apabila putus cinta. Ramai saya kira menghadapi situasi ini. Putus cinta dengan manusia punya impak yang lebih besar dewasa ini kerana rata-rata pemuda-pemudi disogok indahnya cinta dunia. Kalau dulu disebabkan cinta, mandi tak basah, tidur tak lena tapi sekarang terus makan tidak mahu, tidur pun terganggu. Asyik terkenangkan si dia. Hatta ada yang sanggup bunuh diri. Namun ketahuilah, putus cinta dengan Allah akan mengundang kesunyian bertemankan panasnya api di ruang akhirat sana. Moga kita dijauhi dari azab api neraka.

Andai rasa sunyi, gunalah peluang itu mendekati Allah. Adakala, kita perlu keluar dari kelompok manusia untuk muhasabah diri. Di mana kurang, di mana silap, di mana lemahnya kita dalam menghidupkan sebuah kehidupan.

Terpanggil saya untuk menulis tentang sunyi bukanlah saja saja. bahkan saya dapat rasakan makin ramai remaja akan menaip 'bila hati sunyi' di ruangan carian di google mahupun yahoo. setidaknya mereka atau kalian yang menaip kalimah itu. tidaklah terpedaya dengan ajakan-ajakan yang tidak membina iman. Ketahuilah ubat paling mujarab untuk mengubat sunyi adalah Allah. Bagaimana? Mari kita senaraikan apa yang boleh kita lakukan.
  1. Berlindunglah dalam rumah Allah iaitu masjid, agar hati dekat dengan-Nya
  2. Bertemankan Al-Quran setiap masa
  3. Berukhwahkan sahabat yang sentiasa mengingatkan diri pada Allah
  4. Bermalam dengan tahajud yang mengubat resah di jiwa
  5. Hargailah setiap peluang dengan keluarga

Dalam mengatur kehidupan yang sememangnya banyak cabaran dan halangan. Hati kita diganggu dan diasak. Manusia itu lemah dan perlu mencari sumber kekuatan. Hatta ilmuan agama juga dihimpit celarunya perasaan. Namun ubatnya masih memerlukan Allah.

Ibnu Al-Jauzi berkata : Suatu urusan menghimpitku membuatku cemas dan gelisah berlarutan. Aku terus berfikir mencari jalan penyelesaian dari kecelaruan itu dengan berbagai cara dan usaha. Tetapi aku tidak menemukan satu penyelesaian pun untuk keluar darinya hingga ada sebuah ayat yang menawarkan kepadaku, ayat itu adalah:

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar."

(Surah At-Talaq : 2)

Semoga... kegembiraan kita, kesedihan kita, kesunyian kita dan kegelisahan kita dihubungkan kepada Allah. Isilah ruang masa yang ada dengan bekalan yang tidak putus ke negeri abadi. Wallahu'alam...

Tuesday, March 23, 2010

Saya Perokok?

Tahukah anda apa itu rokok...? Pastinya anda tahu. Menjadi satu kepelikan sekiranya generasi masa kini tidak mengenali apa itu rokok. Baiklah, kita tinggalkan dulu persoalan kenal atau tidak anda dengan rokok. Cukup sekadar ingin membuka mata kalian. Bahawa rokok itu bahaya dan merupakan salah satu 'silent killer'. Tak percaya? Cubalah. Kita tengok 10 atau 20 tahun akan datang apa kesannya.

Adakah Sinar juga merokok? Sudah pasti anda terkejut membaca tajuk di atas. Aduh, geleng kepala dibuatnya. Terasa lemas dan sesak apabila hidup dalam dunia masa kini. Pencemaran demi pencemaran. Mujur bumi tidak lekas merajuk. Kalau tidak buruk padahnya.


Baiklah. Biar Sinar bawakan satu kisah terlebih dahulu. Hidup ini penuh dengan cerita cuma tidak sempat dikongsikan bersama. Kehidupan di perantauan sememangnya sangat mencabar kewibawaan diri hatta prinsip kita juga boleh diganggugugat. Di sebalik mutiara yang ada, atmosfera Mesir ini juga sentiasa dipenuhi asap-asap pencemaran, baik asap kenderaan mahupun asap rokok bahkan akhlak juga turut di'asap'kan. Rata-rata negara pun begitu. Tiada terkecuali. Bukan Mesir sahaja, hatta Malaysia dilanda krisis yang sama. Apabila Islam tidak dilaksanakan secara total, beginilah jadinya. Manusia lupa daratan, hilang percaturan dalam mengurus kehidupan.
Moga Allah terus memimpin hati kita.

Baru-baru ini Allah izin dalam perjalanan ke kelas Al-Quran, seperti biasa Sinar akan menaiki microbus atau istilah lainnya adalah tremco (pengangkutan awam seperti teksi tetapi tremco adalah van). Kali ini Sinar dapat duduk di bahagian hadapan, iaitu di belakang driver. Alhamdulillah alunan bacaan Al-Quran begitu mendamaikan kalbu hatta mulut ini turut asyik mengikut alunan itu. Terubat juga kegelisahan dan kepenatan terkandas dalam kesesakan lalu lintas. Tiba-tiba lagu arab pula bergema. Bingit juga telinga ini mendengarnya. Maka tibalah giliran azan berkumandang. Lebih tenang bila mendengar seruan kebenaran itu. Mujur pemandu punya rasa hormat pada azan. Ditutup radio itu tanpa diarah. Lalu terdetik hati kecil ini, "Masih ada lagi mereka yang menghormati azan rupanya dalam kesesakan sebegini". Jarang Sinar bertemu pemandu seperti ini. Tersenyum melihat tindakannya.

Namun sebaik sahaja hati ini memuji. Pemandu tersebut mengeluarkan sepuntung rokok dan turut mempelawa penumpang di sebelahnya. Maka bermulalah pencemaran udara di dalam tremco tersebut, berkepul-kepul asap menerpa muka. Bukan seorang perokok tapi dua perokok sedang asyik dengan rokok mereka. Bukan sedikit asapnya, banyak hingga terbatuk kecil kami dibuatnya. Di sini kurang adab Sinar kira. Mahu cari sakit, jangan turut beri kesan pada orang lain. Setidaknya, beradablah dengan penumpang lain. Panas hati pula Sinar dibuatnya. Mujur tidak meledak kemarahan kerana mahu memperdengar ayat Al-Quran pada Ustazah pada hari tersebut. Astaghfirullah...Manusia lupa, nikmat sihat itu juga pinjaman daripada Allah.


Ya, saya amat membenci perbuatan merokok. Kerana ia akan memberi kesan negatif pada orang sekeliling. Secara tidak sengaja, kita juga turut menjadi perokok. Perokok pasif, itulah kata nama yang sesuai. Entah buat kali ke berapa bergelar perokok pasif lagi-lagi di Mesir ini. Adakalanya Sinar diam. Malas sungguh mencetus pergaduhan dengan orang arab. Adakala teguran terpantul juga. " Saya tidak suka orang merokok".

Sepanjang 4 tahun dalam kuliah perubatan, tidak dapat tidak memang sudah terang, jelas dan nyata perbuatan merokok boleh mengakibatkan sebahagian besar penyakit. Bahkan timbul persoalan dalam kotak fikir ini, kenapa ada juga doktor yang merokok? Parah bukan? Mahu mengajak masyarakat membina gaya hidup sihat akan tetapi doktor pula tidak mengamalkan. Buat bakal doktor, harusnya kejadian di 'operation theater' dan pembedahan yang kita lihat menjadi pengajaran supaya kita menghargai kesihatan yang Allah berikan. Untung sebenarnya mereka yang sedang berada dalam bidang perubatan. Kita dapat melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh masyarakat umum. Maka hargailah.

Dewasa ini merokok telah menjadi satu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat. Bahkan tabiat ini telah menjadi norma yang membanggakan terutamanya bagi Kaum Adam dan sudah mula menjadi 'trend' bagi Kaum Hawa. Tidak macho tanpa rokok katanya.Tambah pula di negara arab seperti Mesir ini wujud pula Shisha yang mempunyai pelbagai perasa.

Sejarah rokok jangan kita lupa.

Pada asalnya tembakau ini digunakan dalam ritual agama. Manusia di dunia yang merokok untuk pertama kalinya adalah suku bangsa Indian di Amerika. Mereka menggunakan rokok untuk keperluan ritual seperti memuja dewa atau roh. Pada abad 16, ketika bangsa Eropah meneroka benua Amerika, sebahagian daripada penjelajah Eropah itu terikut untuk mencuba menghisap rokok dan kemudian membawa tembakau ke Eropah. Kemudian budaya merokok mulai muncul di kalangan bangsawan Eropah. Namun bezanya dengan bangsa Indian yang merokok untuk keperluan ritual, di Eropah orang merokok hanya untuk keseronokan semata-mata. Abad 17 para pedagang Sepanyol memasuki Turki dan saat itu budaya merokok sudah menular ke negara-negara Islam. Lihat, jauh rupanya rokok ini datang ke negara kita. Banyakkah kelebihan rokok ini sebenarnya, hingga terkenal satu dunia?

Kandungan rokok

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di 'kamar gas maut' bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.


Nikotin, seperti dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah berpunca daripada tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Bahkan gas ini boleh melemahkan keupayaan otak kita berfikir dan penyumbang kepada budaya lupa.

Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.

Kesan merokok pada kesihatan.

Merokok bukan sahaja memberi kesan kepada penghisap atau perokok aktif. Mereka yang hidup di sekeliling turut menerima tempias daripada tabiat ini. Antara kesan buruk merokok adalah kecenderungan untuk mengidap sakit jantung, kanser peparu, kanser salur pernafasan, ulcer di dalam perut dan rokok turut menjejas bayi dalam kandungan hingga boleh menyebabkan keguguran dan kecacatan. Lihat! Rokok bukan seindah yang disangka. Pada asalnya dilihat dengan merokok dapat menyelesaikan masalah dan tekanan hidup, itu hanyalah mimpi sahaja. Anda akan berhadapan dengan masalah kesihatan yang kronik bahkan anda sendiri akan menyesal di kemudian hari. Jika ada masalah dalam kehidupan, maka selesaikanlah sebaik mungkin bukan dengan melarikan diri. Ibarat anda lari dari bayangan sendiri. InsyaAllah setiap masalah ada jalannya.

Kami tidak mahu bergelar Perokok Pasif

Selama ini kita sering dimaklumkan mengenai bahaya merokok tetapi tahukah anda kesan yang mungkin didapati oleh penghidu asap rokok adalah lebih tinggi berbanding perokok itu sendiri.

Laporan Agensi Perlindungan Alam Sekitar California pada 1997, menganggarkan 147 hingga 251 orang bagi setiap sejuta perokok pasif di California mati akibat penyakit membabitkan tembakau. Jika kadar yang sama digunakan oleh Kesatuan Eropah, kematian membabitkan perokok pasif boleh menjangkau 55,000 hingga 94,000 mangsa setiap tahun manakala di China boleh mencatatkan kematian sebanyak 185,000 hingga 317,000 orang.

Berhenti itu sukar, tapi cubalah dan usahalah

Sedih juga memikirkan apabila mereka yang sudah tahu kesannya tapi tidak mahu berhenti. Cubalah berhenti. Usahalah. Setidaknya hargailah mereka yang menyayangi dirimu dan sentiasa mendoakan perubahanmu. Ya, saya tidak membenci kalian yang merokok. Saya membenci tabiat itu. Untuk golongan perokok saya masih berlapang dada dan berharap anda berubah. Saya menyokong seratus peratus. Saya tahu sangat susah untuk diri kalian berubah. Jika niat sudah ada, maka perlunya kesungguhan. InsyaAllah moga Allah bantu kalian. Kalau bukan sekarang bila lagi. Sebelum segala-galanya terlambat... Sebak pula diri ini... Harap pembaca faham apa yang Sinar mahu sampaikan...

Tuesday, March 16, 2010

Buku Oh Buku...

Sudah lama rasanya tidak berbicara tentang koleksi buku. Kali ini, Sinar tidak mahu membedah buku yang Sinar miliki. Cuma mahu berkongsi beberapa buku yang Sinar mahu dapatkan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Malaysia nanti. Semoga Sinar berpeluang. Oh, lama lagi rupanya! (^_^) Semoga panjang umur untuk laksanakan kebaikan dan mencari bekal. Walauapapun harap yang terbaik Allah berikan pada hidup ini.



Setelah ditinjau dan ditinjau, Sinar berhajatkan empat buah buku untuk dijadikan koleksi dan teman peribadi. Senarai awal perancangan cuti musim panas sudah berlegar di dalam peti minda, dan ter'refleks' pula tangan ini mencoretkan di dalam planner. Maklumlah, asyik terlupa sahaja, lebih-lebih lagi barang yang saudara-mara minta belikan. Walaupun masih berbaki 4 bulan tidak salah agaknya berangan dan merancang. Betul tak? Dan entri kali ini mungkin secara tidak langsung Sinar sudah menjadi tukang promosi. Pakat pakat la beli ya. Apatah lagi orang di Malaysia. Baik beli buku daripada shopping tak tentu hala kan. Kalau siapa nak hadiahkan, oh berbunga-bunga hati ini. (^_^) Gurau je. Sinar mahu usaha sendiri.


Gembira hati dibuatnya apabila buku Abu Saif bakal bertemu pembaca Namun seperti biasa, pesta buku tidak dapat la Sinar berpeluang untuk menyertai kehangatan ilmunya. Terkilan tapi sudah adat orang jauh begitu.

.:ATN 3 : Murabbi Cinta:.



Buku ini pastinya tidak akan Sinar lepaskan. Masakan mahu dilepaskan, ATN 1 dan ATN 2 sudah berada digenggaman. Kalau peminat Harry Porter sanggup mengumpul kesemua buku J.K Rowling, apa salahnya Sinar mengumpul hasil tulisan Ustaz Hasrizal kan (^_^)

.:Secangkir Teh, Pengubat Letih:.


Memandangkan Sinar boleh dikatakan gemar 'berjalan'. Travelog ini tidak akan Sinar lepaskan. Kalau dulu Jordan, kali ini Turki pula. Maklumlah Turki belum Sinar jelajah. Sekurang-kurangnya boleh menjadi panduan sebelum Sinar menjejak kaki ke sana. Oh tidak sabar pula rasanya.

,:Sinergi:.


Hilal Asyraf, namanya sudah tidak asing di kalangan pemilik novel Vt dan buku Langit Illahi serta pembaca setia laman webnya Langit Illahi. Sinergi punya kekuatannya tersendiri. Ibarat melayari kehidupan di Jordan dan merasai dunia yang penuh mehnah dan tribulasi. Ukhwah diuji, dakwah diperangi, dan akhirnya kasih sayang Allah itu juga yang Maha Tinggi. Mahu tahu cerita dalam Sinergi. Apa lagi, jom kita beli!

.:Denyut Kasih Medik:.

Sinar baru sahaja berkenalan dengan buku ini. Syukran pada ukhtie Khazinatul Asrar atas perkongsian di blog beliau. Penulis buku ini adalah Dr Farhan Hadi iaitu suami kepada Saudari Fatimah Syarha Nordin. Pastinya ada keunikan tersendiri. Jarang Sinar bertemu buku hasil tulisan doktor muda. Maka apa lagi. Mari dapatkan!!!

Akhir kalam, sudilah kiranya pembaca blog ini berkongsi judul buku yang dirasakan menarik . Maklumlah, buku di Malaysia pun makin bertambah. Ilmu tu banyak dan perkongsian ilmu itu pula sangat indah. Salam perjuangan buat semua. Moga redha Allah bersama kita.

Thursday, March 11, 2010

Lemah? Carilah Dia


Siapa tidak pernah rasa jiwanya kosong?
Siapa tidak pernah rasa jiwanya lemah?
Hampir semua orang pernah merasainya.

Gara-gara hati yang gersang dengan peringatan. Jauh dari sentuhan Rabbul 'Alamin. Malah hambatan dunia membuatkan hati resah dan tidak tenang. Buat hati kian jauh bahkan rohani minta diisi. Hampir semua insan begitu. Namun Alhamdulillah sekiranya kita menyedari kelemahan dan status diri, kita akan lekas mencari penawarnya. Biar banyak mana amal yang dilakukan, ada kegusaran yang akan hadir. Apatah lagi bila amal kita statik. Itu lagi membimbangkan.


Sinar juga insan biasa. Adakala lemah. Adakalanya kuat. Hidup ibarat roda. Adakala menangis itu sahaja ubatnya. Tiada manusia tempat Sinar mengadu. Tiada untuk sepanjang masa. Tapi Sinar ada Dia. Dia sentiasa ada. Ketahuilah, Sinar sama seperti kalian. Pengalaman itu mungkin yang membezakan. Manusia tidak lari dari kesalahan. Tapi itu tidak merencatkan langkahnya untuk terus maju kehadapan. Dia sentiasa ada untuk Sinar dan kalian. Tapi kita selalu tidak menyedari... Yang dicari sebenarnya ada dekat dengan diri sendiri. Tapi kita selalu lupa pulang pada Khaliq yang menciptakan.

Ada kalanya Sinar akan bersendirian. Waktu itulah waktu emas Sinar mengadu dengan-Nya. Malah pernah ada ketika, walaupun dalam khalayak ramai, hati seperti asing daripada kelompok manusia. Hati dibayangi dengan persoalan yang kadangkala mengigatkan diri supaya berdiam diri itu lebih baik. Terlalu banyak bercakap, menyebabkan hati sesak.

Apabila menyebut tentang lemah, teringat peristiwa di suatu petang. Sinar sangat sangat tersentuh apabila seorang sahabat mengenggam tangan, meminta nasihat untuk mengisi hatinya. Tahu apa yang terlintas dalam kepala Sinar. Allah. itulah jawapannya. Lima perkataan tapi itulah rawatan terbaik. Pulanglah cari dia.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

(Surah Al-Anfal : 2)


Sememangnya kita tiada apa-apa melainkan DIA.

Allah izin hati terpaut pada nasyid ini. Sangat terkesan pada hati. Buat ukhtie ku yang baru menginjak usianya dua hari yang lepas. I dedicate it for you dan buat teman-teman serta kalian yang sedang mengharungi lautan kehidupan. Saksikanlah satu cinta yang cukup mendamaikan. Saat anda resah, saat anda gembira, saat anda rindu. Cinta nan satu inilah yang mententeramkan.

“Allah bersama kita wahai sahabat-sahabat. Maka apakah besarnya dugaan yang datang, berbanding dengan besarnya Allah SWT bersama kita?” cebisan peringatan dalam Novel Sinergi

Saksikan...





~Satu Cinta (star5)~

ku memohon
dalam sujudku pada-Mu
Ampunkanlah
segala dosa dalam diri
ku percaya
Engkau bisa meneguhkan
Pendirianku... Keimananku

ku memohon
dalam sujudku pada-Mu
Ampunkanlah
segala dosa dalam diri
ku percaya
Engkau bisa meneguhkan
Pendirianku... Keimananku

Engkau
Satu cinta
yang selamanya aku cari
Tiada waktuku tinggalkan
demi cintaku kepada-Mu

Walau seribu rintangan
kan menghadang dalam diri
ku teguhkan hati ini
hanya pada-Mu
ku pasrahkan

Engkau
Satu cinta
yang selamanya aku cari
Tiada waktuku tinggalkan
demi cintaku kepada-Mu

Walau seribu rintangan
kan menghadang dalam diri
ku teguhkan hati ini
hanya pada-Mu
ku pasrahkan

Oh tuhan
Selamatkanlah hamba ini
dari segala fatamorgana dunia

Oh tuhan
Jauhkanlah hamba ini
dari hidup yang sia-sia

Sunday, March 07, 2010

Perubahan bukan semudah bicara




Ingin berubah?Pilihan di tangan anda...


" " Akak, macam mana ye nak buat perubahan" ngadu si adik

“ Saya rasa banyak kekurangan dalam diri ni kak.”

“Allah beri kita peluang, selagi tu kita boleh berubah” balas si kakak

“Tapi macam mana?” Si adik tertanya-tanya

Ha, macam mana ya pembaca semua. Bila mana kita kata mahu berubah. Apa yang perlu kita lakukan? Kadangkala kita didatangi oleh rakan-rakan yang hajatkan perubahan. Sinar dan kalian setidaknya pernah mengalami situasi ini. Memang sukar mahu berubah tapi kita tidak akan pernah rugi jika berusaha. InsyaAllah berjaya.

Walaupun diri pun masih banyak kekurangan, setidaknya kita kongsi apa yang perlu. Secebis pengalaman daripada setiap individu itu sememangnya akan mendidik kita juga. Kita harus menentukan perubahan yang bagaimana kita mahukan. Dan semestinya perubahan atau penghijrahan diri ke arah kebaikan itu sahaja yang akan membahagiakan dan menenangkan jiwa.(^_^). Betul tak?

Pertama, apa yang perlu kita buat kita perlu letakkan matlamat . Dalam melakukan apa sahaja kita perlu ada matlamat. Biar terlaksana dan kita terpandu ke arah perubahan yang dihajatkan. Bila mana kata matlamat, perlu ada garis yang mesti letakkan. Untuk menyelesaikan sesuatu perkara kita perlu ada gerak kerja mahupun garis panduan. Hatta meletakkan garis atau objektif kita perlu 'smart'. Bukan sekadar kalimah 'smart' tapi perlu diungkai satu persatu. Kalau belajar ‘management tidak dapat tidak kita perlu menilai objektif kita dengan ini:

S - Specific : spell out clear statement of what to be attained

M - Measurable : to facilitate monitoring and evaluation of achieving objectives

A - Attainable : have the ability to achieve

R - Relevant : should be focus on intended outcome

T - Time specific : give clear time to achieve the stated objective

Contohnya kita seorang yang sering lambat ke kuliah. Kita ingin berubah. Maka untuk menghadiri kuliah lebih awal, mana mungkin untuk kita bangun lewat. Dalam proses bangun awal, jam pula harus dikunci setidaknya inilah jalan dan ruang yang akan membantu kita berubah. Begitu juga ingin menjadi insan yang baik, yang disukai Allah. Perlulah menyiapkan diri dengan ilmu agama, ilmu kepakaran yang lain.

Secara amnya, ramai yang hajat untuk menjadi muslim yang soleh dan muslimah yang solehah. Sinar sangat kagum dengan hajat dan semangat mereka. Cuma sama-samalah kita ingatkan diri. Tanya kembali diri. Kenapa kita mahu berubah? Kalau kerana Allah, Alhamdulillah. Tapi kalaulah semua ini kerana manusia, maka sia-sialah usaha kita. Kalaulah kita berubah kerana lelaki hatta wanita yang kita cintai, tidak lama perubahan itu. Labuhnya tudung kita kerana apa, bersongkoknya kita kerana apa? Islamnya kita kerana apa? Teringat Sinar kisah kewafatan nabi ketika mana ramai sahabat yang bersedih dan Abu Bakar As-Siddiq pantas membacakan firman Allah mengingatkan mereka. Firman Allah;


" Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur"

( Surah Ali ‘Imran: 144)

Ayat ini peringatan besar buat kita. Sungguh rugi jika kita berubah kerana manusia apatah lagi menjadi muslim kerana manusia. Moga Allah pimpin hati kita untuk mencari sinar-Nya

Kedua, kita perlu berdisiplin dalam menjayakan perubahan. Ya, ini penting! Tapi sentiasa kita tewas untuk mendisiplinkan diri. Maklumlah syaitan melaksanakan tugasan dia 24 jam. Kita manusia, Sinar juga manusia. Sentiasa ada sahaja halangan untuk melaksanakan satu perubahan apatah lagi ia merupakan satu kebaikan. Allah Taala berfirman:


“Barang orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-banar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.”

(Al-Ankabut : 69).

Yakin dan teruskan langkah dalam mencipta perubahan. Sentiasa perbaharui niat.

Ketiga, ketahuilah kawan-kawan, berubah itu perlu masa. Masa itu rawatan. Maka di sini kita tidak mahu menjadi ‘makanan segera’ yang akhirnya hanya merosakkan diri sendiri. Bersahabatlah dengan mereka yang soleh, inilah antara ramuan untuk menjadikan diri turut soleh. Mereka akan cuba membimbing diri kita semaksima mungkin. Apa yang perlu, kita mesti sediakan hati untuk diisi.

Perubahan apatah lagi ini adalah proses didikan hati pastinya perlukan masa. Masa itu yang akan memberi kesan pada diri.

Akhir kalam, kita mesti terus dan terus berusaha. Setidaknya Allah akan nilai usaha-usaha yang kita lakukan.

(Surah Ar-Rad : 11)

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri kita sendiri".

Wednesday, March 03, 2010

Saya Cemburu!


Saya Cemburu!


Cemburu itu sudah sinonim apabila insan lain mendominasi kita. Cukup sinonim kalimah cemburu dalam kamus kehidupan manusia. Salahkah kalau kita dilanda cemburu? Sinar tidak nafikan. Sinar juga pernah cemburu. Tak terkira rasanya. Oh, harap kalian tidak salah faham kecemburuan Sinar ini. Mungkin jika Ummi dan Walid lebih menyayangi adik-adik atau orang lain, kecemburuan itu timbul tapi itu sekalipun tidak akan menjadikan saya seorang yang negatif dan bertindak agresif. Bahkan inilah peluang, yang akan menyebabkan saya mencetus idea untuk lebih disayangi. Agak membuang masa jika sifat cemburu itu disalah guna seperti manusia kebiasaan.

Saya mahu jadi manusia biasa tapi mencipta sikap luar biasa. Lazimnya orang yang dicemburui akan menjadi lawan tapi saya mahu jadikan ia kawan bahkan guru dalam kehidupan. Saya mahu saya dan mereka berolah kebaikan dan pada hemat Sinar, Allah hadirkan mereka untuk mengajar kita menjadi insan yang lebih baik. Belajar daripada pengalaman orang lain dan peristiwa di sekeliling. Saya lebih cemburu bila mana Allah lebih menyayangi orang lain berbanding saya. Walaupun saya tahu, saya lemah serba-serbi.

Kecemburuan saya...

Pelbagai…dan antaranya ;

Saya kagum melihat andai teman-teman saya dilanda masalah, mereka cukup tabah. Cemburunya saya bila mana difikirkan, tabahnya dia dengan ujian-Nya. Saya?

Ditangan mereka pastinya sudah tergenggam kemas sebuah harapan untuk terus berjaya. Mereka usaha tanpa henti. Kemudian mereka diuji. Mereka gagal dipertengahan jalan. Namun, kegagalan nan sementara itu tidak mematahkan semangat juang. Mereka bangkit dan terus melangkah. Bukan senang malah amat payah menongkah arus. Tapi mereka gagah. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Anehkan mereka ini? Tapi inilah keajaiban orang mukmin. Mereka ada Allah. Mereka bersabar dan tidak putus asa. Kerana sifat sabar, Allah SWT menjadikan segala urusan orang-orang yang beriman itu baik dan memimpin mereka selagi mereka percaya bahawa sebaik-baik PENOLONG itu hanya Allah.

Rasulullah SAW bersabda:

"Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya."

(Riwayat Muslim)

Saya kagum melihat andai teman-teman saya Allah uji dengan kematian. Mereka cukup redha. Cemburunya saya bila mana difikirkan, redhanya dia akan ketentuan Allah.

Mereka yang diuji dengan kehilangan kemudian mereka bersabar, dijanjikan Allah dengan gantian yang lebih baik bahkan terbaik.

"Dan Kami pasti memberikan ganjaran kepada mereka yang bersabar, dengan ganjaran yang terbaik di atas apa yang mereka lakukan"

(An-Nahl : 96)

Saya kagum melihat andai teman-teman saya Allah uji dengan keretakan keluarga. Mereka cukup gagah menghadapinya. Cemburunya saya bila mana difikirkan, gagahnya dia akan dugaan yang Allah berikan. Saya?

Firman Allah:

"Dan bersabarlah kamu ( wahai Muhammad), bahawasanya kesabaran kamu itu tidak mungkin melainkan dengan Allah."

(An-Nahl : 127)

Saya kagum melihat teman-teman yang dilanda marah tapi mereka menahannya. Jika saya, mampukah saya menahannya. Apatah lagi apabila orang sekeliling yang berbuat salah.

”Maafkanlah mereka dan berilah mereka kesempatan. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

(Al-Maidah : 13)

Saya kagum melihat teman-teman yang menjadi ‘teman emas’ pada kebanyakkan orang. Hatta melihat wajah, terus membenih rasa cinta pada Allah. Saya juga mahu seperti mereka. Teringat saya pada wajah seorang lelaki tua yang berjubah dan berjanggut putih yang saya lihat dalam perjalanan ke Hayyu Sabie’. Mukanya jernih dan terbit keinsafan dalam diri. Walaupun sudah berusia tapi cukup indah dipandang mata.

Bila mana direnungkan, perkara-perkara ini, paling tidak akan menggugurkan air mata saya. Saya mahu setabah mereka bahkan lebih. Saya mahu optimis dengan dunia dan saya mahu jadi insan yang beriman dengan qada dan qadar Allah. Saya mahu menjadikan dunia, ladang akhirat saya. Kerana saya tiada apa-apa melainkan bekalan untuk akhirat sana. Semoga setiap ujian, saya dan kalian dapat mengharungi dengan baik.

Ujian Allah ke atas seorang mukmin adalah tanda bahawa Allah menginginkan kebaikan untuknya. Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya Dia akan mengujinya dengan kesusahan"

(Riwayat Al-Bukhari)

"Sesungguhnya besar ganjaran adalah dengan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah jika Dia mengasihi sesuatu kaum, nescaya mereka akan diuji dengan ujian. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah. Barangsiapa yang tidak bersabar, nescaya Allah juga tidak akan bersabar dengan mereka!"

(Riwayat At-Tirmizi & Ibn Majah)

Kendalilah sebuah kekaguman dan kecemburuan dengan neraca iman. Wallahu’alam.

Thursday, February 25, 2010

Al-Amin, Kerinduan Ummah


Saat ini...Hati benar-benar dilanda rindu...
Layakkah diri ini bertemu dengan kekasih Allah ini...
Hatta diberi peluang untuk bertemu baginda...
Apakah seharusnya aku katakan...?
Aku cuba mengubat kerinduan ini dengan alunan
.:The Chosen One :.
~^~
Selawat dan Salam Buat Junjungan tercinta




.:THE CHOSEN ONE:.

In a time of darkness and greed
It is your light that we need
You came to teach us how to live
محمد يا رسول الله

You were so caring and kind
your soul was full of light
You are the best of mankind
محمد خير خلق الله

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى
Peace be upon The Messenger
The Chosen One

From luxury you turned away
And all night you would pray
Truthful in every word you say
محمد يا رسول الله

Your face was brighter than the sun
Your beauty equaled by non
You are Allah Chosen One
محمد خير خلق الله

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى
Peace be upon The Messenger
The Chosen One

I'll try to follow your way
And do my best to live my life
as you taught me
I pray to be close to you
On that day and see you smile
When you see me

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى
Peace be upon The Messenger
The Chosen One

صلّوا على رسول الله
Oh
Peace be upon.. Oh
The Chosen One
~^~

Baginda yang terpilih
Baginda yang kita rindukan
Baginda yang kita kasihkan


Tapi sejauh mana kita laksanakan apa yang baginda sampaikan?

Sia-sia jika kerinduan tapi hidup tidak seperti yang Rasulullah mahukan

Moga Allah bimbing hati-hati kita dan mengampunkan dosa-dosa lalu.

Wednesday, February 24, 2010

Jodoh itu ketentuan Illahi

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang


Hari yang berlalu pergi, terlalu berharga buat diri


Hari berganti hari. Siang malam silih berganti. Hatta musim berlalu pergi. Itulah sunnah alam ini. Justeru, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang menambah bekal sebelum dijemput ke ‘daerah abadi’. Sekejap sungguh masa berlalu. Moga Allah menilai setiap detik dengan belas kasihan-Nya.


Pelbagai berita, pelbagai cerita kami di sini. Rata- rata isu yang hangat diperkatakan di bumi Mesir, kalau tidak kualiti graduan mesir, tidak lain tidak bukan pastinya isu nikah, isu jodoh dan seangkatan dengannya. Maklumlah “Nikah connecting people”. Sudah dewasa rupanya anak ummi & walid, anak ibu & abah, anak emak & ayah dan anak mama & papa ini. Kalau dulu pemikirannya hanya belajar. Sekarang sudah tambah satu folder untuk difikirkan.


Sesungguhnya niat dan titik tolak setiap insan pada marhalah ini amat murni dan sangat suci jika setiap satunya tahu tanggungjawab yang bakal digalas. Melebarkan sayap dan mengembang zuriat buat Islam tercinta memerlukan manusia yang pantang menyerah pada keadaan dan ujian. Apatah lagi dalam mendefinasikan cinta dan melaksanakan mahligai ini. Terdetik pula hendak mencoret kata mengenai isu ini sebelum dilambakkan kenangan indah keluarga kami.


Adanya ikatan, maka bermulalah cinta.


Hari ini, tema dan persoalan cinta kian popular di kalangan masyarakat kita. Tak kira muda ataupun tua. Cinta atau bercinta bukanlah satu kesalahan, tetapi silapnya apabila seseorang itu mengunakan anugerah ini bukan untuk mengembangkan potensi diri mencari keredhaan Allah, sebaliknya melayani hawa nafsu yang disogokkan oleh musuh-musuh Allah. Telenovela demi telenovela cinta menghiasi hidup kita. Kita juga sudah dikelirukan dengan konsep cinta. Alhamdulillah baru-baru ini kebanyakkan blog sudah mengupas “Apa itu cinta sebenar?”. Setidaknya kita sudah mendefinasikan dengan apa yang Islam mahu.


Konsep cinta menurut perspektif Islam adalah cinta kita kepada Allah iaitu mahabatullah iaitu kita menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Cinta terbahagi kepada dua iaitu cinta makhluk kepada Pencipta dan cinta makhluk sesama makhluk atau dalam erti kata lain cinta sesama manusia. Bahkan cinta sesama manusia itu juga banyak tahapan dan semestinya harus disandarkan kepada Allah. Cinta antara bani adam dan hawa seharusnya diurus dengan kaca mata syarak. Apa yang Allah cipta tiada satu pun yang sia-sia.


Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.


(Surah Az-Zariyat : 49)


Mari kita renungi sebentar ayat 1 Surah An-Nisa’ untuk mengingatkan diri akan hakikat penciptaan diri dan kelangsungan manusia di muka bumi


“Wahai manusia, bertakwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari jiwa yang satu, dan Dia menciptakan daripadanya pasangannya, dan memperkembang-biakkan dari mereka berdua laki-laki dan perempuan yang banyak. Maka bertakwalah kepada Allah yang beserta-Nya kalian saling meminta satu sama lain, dan juga saling mengikat dalam kasih sayang. Sesungguhnya Allah Maha Mengawasi kalian.


Maka kelangsungan manusia di muka bumi dirai. Sangat dirai oleh Islam dengan menganjurkan pernikahan. Cinta itu diikat dengan ikatan yang sah dan hanya disuburkan selepas ikatan terbina dan tiada noktah untuk dihidupkan.


Fitrah harus diurus, bukan dibiar ikut arus


Isu ini ibarat isu semasa yang tidak pernah surut. Duduk sahaja pasti ada cerita.


“Anti tahu, cuti summer nanti ada lagi yang nak bina masjid”


“Oh, ye ke! Bagus la macam tu. Kalau Allah dah mudahkan. Yang baik itu wajarlah disegerakan.”


InsyaAllah ini perkembangan sihat. Ini semua fitrah. Meningkat dewasa bermakna pertukaran marhalah. Apa yang baik mestilah diurus dengan cara yang baik. Bukanlah memilih couple tanpa batasan, bukanlah memilih ‘dating’ tanpa mahram sebagai jalan. Hakikatnya bukanlah memilih sesuatu yang tidak syar’ie sebagai ‘greenlight’ memenuhi sunnah nabi.


Perkahwinan itu sunnah. Perkahwinan itu indah. Maka jangan dinodai dengan sesuatu yang keji dan jangan pula dibiar nafsu yang mengapalai. Namun realiti hari ini ramai sungguh mereka yang terlanjur sebelum pernikahan. Apabila disoroti laman-laman ustaz yang disegani, pelbagai persoalan praperkahwinan diberikan. Ada yang sudah pun berzina sebelum perkahwinan. Na’uzubillah. Moga Allah lindung Muslimin di jalan cinta para pejuang. Bahkan ini peringatan buat kita, sebarang hubungan sebelum perkahwinan hatta tempoh bertunang bukanlah greenlight untuk berdua-duaan. Masih belum ikatan sah. Jauhilah!!!


“Maka sesiapa yang membiarkan ikatan pertunangan dan era mudanya dicemarinya dengan 'ringan-ringan dan zina', ia membenihkan penyakit yang serius dalam hati. Tanpa taubat yang sebenar, Allah SWT akan membiakkan lagi peluang dan ruangnya untuk menjadi orang yang celaka, dan mendapat keluarga yang bakal runtuh, kecoh dan hancur. Kelaurga yang amat berpotensi melahirkan suami yang bermain kayu tiga, isteri bercinta dan zina dengan rakan sekerja, anak yang menjadi penzina muda di sekolah dan lain-lain bencana keluarga yang pastinya diakhiri dengan penceraian dan penderitaan anak-anak. Matinya si ibu bapa ini kelak, mungkin diiringi dengan celaan atau sorakan oleh anak-anak peninggalannya.” (1) UZAR


Maka, beringatlah wahai diriku dan teman-temanku.


Merisik – antara cara mengurus cinta


Jika benar Sang Adam yakin si gadis untuk dirinya, usahlah teragak-agak. Segeralah. Gunakanlah jalan selamat lagi diredhai Allah. Dalam urusan jodoh laksanakanlah sebagaimana yang syarak anjurkan dengan jalan istkharah dan berbincang. Jika sudah serasi ambillah langkah yang diizinkan Allah iaitu berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji yang dibina. Jika pinangan anda ditolak usah kecewa kerana untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa sudah pasti jalannya berliku dan penuh cabaran. Usah malu dan putus asa teruskan berusaha. Jodohmu pasti ada.


“Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya.”


(HR Ahmad)


Buat si gadis pula, ambillah masa untuk berfikir sedalamnya. Jika ditolak kerana alasan tidak bersedia. Maka tidakkah terfikir olehmu apa gunanya fatrah bertunang. Bukankah itu platform untuk anda bersiapkan diri? Kaum Adam pasti tidak mengemari jawapan anda, jika hanya berkata “Saya belum bersedia!”


Bertunang fatrah emas dan cemas


Jika sudah mengambil keputusan, sudah terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah. Perlaksanaan khitbah dalam Islam ada pelbagai cara sebagaimana dicontohi dalam sirah (2)*


  1. Khitbah melalui keluarga si gadis
  2. Khitbah dengan menyampaikan secara langsung kepada si gadis bukan walinya
  3. Khitbah si gadis kepada lelaki soleh melalui orang tua atau kerabat atau dirinya sendiri
  4. Khitbah secara sindiran semasa iddah


Justeru, gunalah saluran-saluran yang ada (keluarga, orang tengah dan baitmuslim). Wanita punya maruah dan sifat malu dan lelaki pula selaku penjemput anda juga ada harga diri dan sikap ‘kelakian sejati’. Menjemput wanita biarlah kena cara.


Khitbah. Inilah tempoh emas untuk keduanya mengenali hati budi masing-masing, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak.


Inilah juga tempoh cemas, kerana banyak persiapan dan persediaan yang keduanya perlu lakukan. Dan tempoh ini jugalah pelbagai cubaan dan dugaan biasanya bertamu. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. InsyaAllah jika kita memahami tujuan tertubuhnya sebuah ikatan rasmi, Allah akan permudahkan.


Harapanku, harapanmu jua


Harapan Sinar, semoga Allah ukirkan takdir yang terindah untuk semua. Buat yang selalu berkongsi cerita, moga Allah mudahkan perjalananmu. Buat yang masih gelisah akan jodoh tak kunjung tiba, nasihatku bersabarlah. Allah masih memberi peluang untuk kita memanfaatkan masa muda ini dengan mengapai cita-cita seindah pelangi. Akhirul kalam, sama-sama mendidik diri supaya mampu memberi komitmen yang sebaiknya jika melangkah ke alam baru. Usah dirisau jika tiada, kerana Allah tahu apa yang terbaik untukmu. Jika jodohmu tidak di dunia, di syurga sana pasti ada.


*(1) Ustaz Zaharuddin


*(2) Fatimah Syarha dalam artikel Seruan Buat Si Belangkas


Hari-hari bahagia adindaku tersayang : Solehin dan Malissa disatukan. Barakallahulakuma…


.: Alhamdulillah selamat diijabkabul :.


.: Debaran melafazkan "Aku Terima Nikahnya":.


.: Sabar Menanti :.


.:Tersarunglah sudah:.



.:Hijau Oh Hijau, Pasni Ungu ke?:.


.:Merpati Hijau, Dua Sehati:.

Bertambah satu anak Ummi & Lek

tapi kekurangan tiga dalam gambar ini (^_^)

Sekarang anak Ummi & Lek sudah 9 orang

.: Moga kita semua disayangi Allah :.

Friday, February 19, 2010

Hanya Tiga, Tapi Itulah Selamanya

Sedar tidak sedar sudah ke penghujung musim cuti rupanya. Alhamdulillah masa yang berlalu diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertemuan yang menyuburkan iman dan ukhwah. Setidaknya terubat kerinduan di hati. Walaubagaimanapun, kerinduan pada tanah air, masih kekal bahkan kian ketara. Tambahan pula walid sudah bertanya fasal kepulangan pada musim panas nanti. Nampaknya ada juga insan yang menunggu kepulangan Along ni(^_^)

Bercakap tentang rindu, teringat akan sebuah kerinduan. Rindu yang sepatutnya dimiliki oleh setiap Muslim Mukmin. Perjalanan hidup bertambah indah apabila Allah selaku 'Pemilik hati dan nyawa' ini mengingatkan diri akan 3 persoalan yang sering diulang-ulangkan. Inginkan syurga, perlunya usaha. Usaha untuk memahami risalah yang Rasulullah bawa. Sesungguhnya, mahligai di dalam syurga itu dibina oleh tangan-tangan kita sendiri. Inilah sepatutnya yang menjadi kerinduan kita semua. Allah selayaknya kita rindu dan terus rindu.

Hanya Tiga


3 persoalan yang membangkitkan ruh dan menghangatkan kerinduan. Bagi Sinar inilah yang sepatutnya terus mekar dalam ingatan buat penyubur iman.


Dari mana kita datang?

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”

(Surah Al-Hajj : 5)

kenapa kita didatangkan?

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaKu.

(Surah Azzariyat : 56)

Ke manakah kesudahan kita?

“Sesungguhnya kepada Rabb (Allah) kesudahan (segala perkara); Dan bahawa sesungguhnya. Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; Dan sesungguhnya, Dialah yang mematikan dan menghidupkan”

(Surah An-Najm : 42-44)

Justeru kepada Allah, selayaknya kita menyandarkan segala sesuatu. Hiduplah dengan merasai pengawasan Allah.

TamSyi : mengembaralah !


Permusafiran (TamSyi) ke bumi Mansurah bersama teman seperjuangan masih segar dalam ingatan. Walaupun masanya singkat tapi kesannya mendalam. Setiap langkah dan masa yang digunakan ada terselit peringatan. 3 persoalan asas bagi seorang manusia sentiasa diperingatkan.



Berehat sebentar
Inilah jalan kita...takmil wa istikmal itu perlu


Alhamdulillah, disamping menambah kefahaman, dapat juga memupuk ukhwah bersama teman-teman. Walaupun ada yang baru berkenalan terasa sudah lama kita dipertemukan. Moga ukhwah yang terjalin ini mendapat keredhaan Allah.

.:Moga terus thabat:.


Seminar PERUBATAN Mesir Kali Ke-3 : Profesionalisme


Sekembalinya dari Mansurah, Seminar pula menanti. Seminar kali ketiga ini merupakan kejayaan besar buat Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) dan turut diakui oleh ramai peserta serta mendapat pujian daripada Prof Dr Abdul Latiff, Prof Dr Mohamed Hatta dan Prof Madya Dr Amaluddin selaku pengisi slot. Justeru syabas Sinar ucapkan kepada Jawatankuasa pelaksana diatas titik peluh antum semua.



Apabila direnungkan dan muhasabah semula cuti yang berlalu, terasa ajaib sungguh nombor tiga pada cuti kali ini. Sesungguhnya kasih sayang Allah itu sangat menakjubkan kerana Dia tidak putus mengingatkan diri akan 3 persoalan ini. Hatta ingin menjadi manusia yang profesinal, 3 persoalan ini jugalah yang akan membentuk karisma dalam diri individu muslim. Inilah milestone untuk kita mengorak lebih jauh.

Dari mana kita datang?

Kenapa kita didatangkan?

Ke manakah kesudahan kita?

Dengan menghayati 3 persoalan ini, InsyaAllah kita akan cuba menjadi apa yang Allah sarankan. Pastinya Allah mahu kita menjadi insan yang profesional dan cermat dalam setiap tindakan. Apa itu professional? Inilah kombinasi tenaga mahir, beretika dan bersyaksiyah (attitude). Cukuplah sebenarnya kita merasai bahwasanya kita ini milik Allah dan segalanya adalah pinjaman Allah. Justeru kita akan hidup dalam jiwa hamba dan berasa ‘izzah dengan status khalifah yang Allah taklifkan. Akhirnya kita akan sentiasa profesional dalam setiap gerak kerja dan kita akan berusaha menjadikan orang lain turut menerima acuan yang sama.



Seminar ini sebenarnya berjaya mengetuk pintu hati dan minda. Sungguh banyak kelemahan diri yang perlu dibaiki. Maklumlah masih banyak perkara yang Sinar tidak tahu dan kurang mahir. Namun tidak bermakna perlu Sinar mahupun kalian berputus ada. Usaha perlu ditingkatkan. belajar dan terus belajar. Untuk menjadi generasi yang berada di barisan terkehadapan (frontliners) perlu mujahadah dan jiddiyah yang tinggi. Kalau tidak, usah diimpi ummah Islam beroleh kejayaan dan mendominasi semula dunia yang kian tenat ini. Akhirul kalam, doakan Sinar. Moga cuti yang terisi ini beroleh barakah daripada Allah. Moga tiada yang sia-sia.