BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, July 26, 2011

Duri dalam daging?


Duri dan durian takkan terpisah...

Durian oh durian.
Hari hari orang makan kamu.
Tapi maaflah teman ni tak lalu.
Melainkanlah kamu bertukar jadi dodol, lempok atau bubur,
InsyaAllah saya sudi terima kamu..

Begitulah antara status fb saya seminggu yang lalu. Macam ayat orang sedang tolak dan tarik dalam bercinta. (^_^) Ye ke gitu ayatnya?

~The King of Fruits~
The way you look at it, make you smeel, taste and feel it's differences.
Zikir and Think!

Saya bukanlah pengemar durian tegar tapi saya menghormati pengemar durian dengan memakan buah-buahan lain dan memakan durian yang sudah dimasak seperti dodol, lempuk dan serawa. Dari Johor hingga ke Perlis, orang kota dan orang desa, tak terlepas dari penangan buah ini. Seminggu Sinar berkelana, durian pasti di mana mana. Ramai yang pelawa tapi saya mengeleng kepala. Buah rambutan juga yang saya hadap berjam-jam lamanya. Biar puas orang kata. Mesir mana ada kan!

Terhidu saja bau, sudah cam inilah durian. Raja buah orang kata. Teruja pula buah ini hanya didapati di negara kita dan beberapa negara jiran yang lain lain sehingga buah ini boleh menarik perhatian pelancong asing. Sudah macam budaya kita pula memakan 'raja buah'ini. Fakta tentang duria ada di SINI. Pengemar durian kenalah baca. Saya mungkin berkecuali tapi nak ilmu apa salahnya baca kan?

Namun ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada durian.

Durinya merupakan aset untuk mempertahankan diri. Kita juga perlu ada self-defend dalam mempertahankan apa yang Allah suruh dan larang serta mempertahankan apa yang kita yakini. Yang salahnya menjadi duri dalam daging. Salah apabila mengunakan 'duri' bukan pada tempatnya.

Baunya yang menyengat, harum kata kebanyakan orang membuatkan semua tahu kehadiran buah ini. Setidaknya kita meninggalkan jejak yang baik di hati semua orang walaupun pasti akan ada segelintir manusia yang tidak menyenangi kehadiran kita.

Apa lagi yang tersirat daripada durian ini ya? Mungkin kalian pula boleh berkongsi...

Budaya kita?

Budaya kita sejak zaman nenek moyang hatta jika diundur berabad lamanya, Rasulullah sendiri dan kaum Muslimin akan bangkit menentang fahaman yang bercanggah. Apatah lagi bila Islam hadir. Jelas dan terang yang benar dan bathil itu tidak boleh disekalikan. Islam dan jahiliyah tidak boleh dicampuradukkan.

Sudah terbawa cerita durian. Abadikan sifat duri untuk mempertahakan isi agar tidak busuk biarlah menguning dan ranum. Begitulah kita, pertahankan hak kita seadaanya.

Ini bukan budaya kita?

Sakit mata juga melihat beberapa iklan di 'kotak hitam'. Saluran televisyen di Malaysia sungguh berat sebelah dari kaca mata akal yang sihat. "Ini bukan budaya kita". Begitulah antara bunyi iklannya. Tersenyum saya sendiri. Budaya macam mana yang mahu kita ketengahkan. Apa kayu ukurnya?

Malas... Bukan budaya kita
Mengumpat... Bukan budaya kita
Rasuah... Bukan budaya kita
Berat sebelah... Bukan budaya kita. Kena ingat tu!

Nampaknya banyak lagi budaya kita yang tidak terlaksana. Itu yang buat orang hangin :) Ayat remajalah katakan. Itu yang buat manusia bangkit untuk pertahankan hak dan maruah mereka.

Berat sebelah itu maknanya zalim. Sudah sunnatullah, yang dizalimi akan bangkit menentang yang menzalimi. Teringat bedah buku yang pernah diikuti. Kupasannya menarik.

Kadangkala, ibarat duri dalam daging. Ada yang cuba menjual maruah sendiri dengan berbasa-basi. Kita juga sudah arif, berjuang menegakkan kebenaran takkan dihampari permaidani merah. Maka zikir dan fikirlah dalam mendepani onak duri ini. (^_^) Jadi duri takpa, tapi biaq kena tempat orang kata. Kalau salah jadi duri silap aribulan, ke neraka jadi bahan bakarlah kita jawabnya. Na'uzubillah.

Bukan mahu mencari salah siapa, tapi mau ajak kalian berfikir. Kritis dan kritikal! (^_^)

Makan durian tak pernah salah. Selamat menjamu kepada peminat raja buah ini.

Sunday, July 10, 2011

Summer break 2011- Pulang

Alhamdulillah dapat menulis di sini. InsyaAllah ringkas coretan kali ini. Sekadar meninggalkan jejak dan kenangan buat hari tua. Inilah coretan hari-hari dalam hidupku sebagai perantau yang sentiasa mengharapkan belas kasihan daripada-Nya.

Alhamdulillah. Selesai sudah peperiksaan di Tahun 5 pada 6 Julai 2011. Maka bermulalah cuti musim panas pada tahun ini. Sekejap sungguh masa berlalu. Syukur pada Allah kerana Dia mengizinkan hamba-Nya untuk mengharungi detik-detik itu. Berakhir dengan subjek Perubatan Kanak-Kanak mempunyai kenangannya tersendiri. Melihat si kecil yang berusaha mengagahkan diri untuk menghadapi penyakit menimbulkan keinsafan tersendiri. Melihat olah mereka menghiburkan hati bahkan Doktor Pakar di jabatan ini juga mempunyai karisma dan personaliti yang membuatkan diri kagum. InsyaAllah, banyak yang Sinar pelajari pada tahun ini.

Alhamdulillah. Masih dikurniakan nikmat sihat dan dipinjamkan nafas untuk bertemu hari ini. InsyaAllah Sinar bakal terbang ke tanah air malam nanti. Kira-kira 3 jam lagi akan bertolak ke lapangan terbang. Sudah mula berdebar. (^_^) Entahlah kenapa, tetapi Sinar memang begitu. Sungguh tiada yang diharapkan agar Allah pelihara diri sepanjang perjalanan. Biarlah apapun yang bakal terjadi ketika itu Sinar dalam keadaan beriman.

Terbang mencari ketenangan :)

Mohon maaf pada semua andai ada tersalah bicara, terkasar bahasa dan ada yang terluka kerana diri ini. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita. Tiada manusia yang sempurna tapi kita berusaha menyempurkan diri.

Perancangan : (Kemaskini semula pada 14 Ogos)

18 Julai : Lapor diri di Hospital Ampang & Menuju ke utara Malaysia with MAS.
25 Julai : Pulang ke Selangor
27 Julai : Latihan Elektif di Hospital Ampang bermula (3 minggu)
29 Julai : Kolokium Pendakwah Muda (29/7-2/8)
31 Julai : Menuju ke Temerloh. Berjumpa si kecil Umairatuljannah.
1 Ogos : Puasa
10 Ogos : Lek dan Mak Tok menunaikan umrah
12 Ogos : Latihan Elektif berakhir.
13 Ogos : Forum dan Pembentangan PLN
14 Ogos : Hari Lahir Ibu
19 Ogos : Hari Lahir Dekna
26 Ogos : Balik Besut kemudian Perlis*
3 Sept : Kenduri Fiza, Ummu Hani & Kak Diana-Abg Azrul
10 Sept : Kenduri Kak Fatimah Adi
16 Sept : Pulang semula ke Mesir.
18 Sept : Kuliah bermula.


Some food to share with you guys out there...

Food for Thought:
What most counts is not to live, but to live aright. Not only must we be good, but we must be good for something. Purpose is what gives life a meaning. A useless life is an early death. Be a life long or short, its completeness depends on what it was lived for. Strong lives are motivated by dynamic purposes. Only he who can see the invisible can do the impossible.
[Lessonsoftheday]

Do pray for me (^_^)

Sunday, June 12, 2011

Kita terpilih?


Assalamualaikum wbt. Apa khabar iman kalian hari ini? Ada doakan kesejahteraan keluarga dan sahabat-sahabat tak? Kalau belum, berhenti beberapa saat untuk mendoakan mereka....

Alhamdulillah selesai target Sinar pagi ini. Usai subuh tidak tumbang dan terus belajar.

Mahu berkongsi di blog untuk berehat sebentar. Mahu bermonolog dengan blog sendiri. (^_^).

Hidup ini penuh dengan cabaran, betul tak? Pada pengamatan Sinar tak terhitung rasanya.

Sekarang, kami pelajar di Mesir sedang menghadapi musim peperiksaan dan musim panas. Cabaran sungguh untuk mengekalkan konsentrasi dalam belajar. Adakalanya mengantuk, ada ketika dahaga dan lapar. Senang kata tidak senang duduk. Lucu pula apabila fikirkan. Itu baru satu cabaran.

Namun dengan cabaran yang pelbagai itulah mampu menguji sejauh mana kita mampu menghadapi dunia dengan penuh kesabaran. Perlu ada kekuatan rohani, akal dan jasmani. Suka saya berkongsi beberapa hal hari ini berdasarkan tajuk entri. (^_^)

Pertama : Hargailah kehidupan kerana Dia memilih kita.

Percaya tidak, kita ini terpilih?
Terasa hebat pula bunyinya... Ermm...

Sinar suka menyinggah blog Lessons Of The Day untuk mencari suntikan rohani. Akhirnya kata-kata ini menjentik jiwa Sinar.

Never think hard about past, it brings tears.

Don't think more about future, it brings fears

Live this moment with a smile, it brings cheer...

Tersentuh dan di situ ada terapi untuk meneruskan kehidupan. Apa yang difahami daripada kata-kata ini adalah keperluan kita bersederhana dalam memandang sesuatu isu atau peristiwa. Bukan bermakna kita tidak boleh mengambil pengajaran di atas apa yang telah berlaku dan keperluan merancang masa hadapan. Sebagai Muslim kita perlu muhasabah dan merancang. Itu dituntut oleh Islam tetapi bersederhanalah dan bertawakallah.

Kata-kata di atas saya kongsikan bersama rakan-rakan di Fb terutama junior tahun 4 yang bakal menghadapi peperiksaan akhir tahun hari ini. Itulah kita, manusia. Berkali-kali diuji, ada keluh kesahnya. Hatta sudah berkali-kali menduduki peperiksaan masih jua gementar. Sinar gelak sendiri bila mendengar dan mengeluar penyataan itu beberapa kali. Bahkan Sinar juga masih gementar dan tidak senang duduk ketika menghadapi peperiksaan. Itu baru 'academic evaluation' belum lagi ' Allah's evaluation'. Macam manalah agaknya kita nanti. Apapun doakan Sinar ya.

Yeap, dan terdetik juga rasa beruntung dan bersyukur Allah masih memilih kita untuk diuji. Hatta kita sebenarnya dipilih oleh Allah untuk dipersiapkan menjadi seorang guru, doktor, penguam, jurutera, suri rumah, ibubapa dan pelbagai posisi di masa hadapan. Masing-masing ada bahagiannya. Maka, kita berkewajipan untuk memanfaatkan usia kita.

Sungguh! Kita terpilih dalam segala hal.

Kedua : Seawal kita memang terpilih untuk dilahirkan di dunia ini...

Jom tonton video di bawah.





Subhanallah. Alunan ayat Al-Quran ini mendamaikan. Bukan mudah melalui fasa-fasa pembentukan manusia. Ada yang dilahirkan hidup dan sempurna, ada yang hidup tapi kurang upaya, ada yang mati tapi sempurna sifatnya dan ada pula yang gugur sebelum masa tiba. Ayuh panjatkan pujian kerana memilih kita untuk dilahirkan ke dunia walaupun wujud kekurangan dan kelemahan. Ayuh memohon ampun kerana mungkin ada waktu kita lupakan Allah selaku Pencipta kita.

Kepada pelajar perubatan atau yang ingin tahu dari sudut ilmiah bolehlah layari video ini.

Rasa terhibur pula mengulangkaji subjek Obstetrik dan Ginekologi pagi ini. Alhamdulillah dibuka beberapa dimensi untuk lebih memahami ilmu Allah. Bukan sekadar ilmiah sahaja tapi membentuk sebuah keyakinan seorang hamba Allah.

Subhanallah sungguh Allah itu Maha Besar. Membaca tajuk ' 'Infertility' yang berlaku di kalangan manusia secara amnya menyedarkan hakikat yang Allah itu yang Maha Memilih. Dia memilih ibubapa kepada anak-anak dan begitulah sebaliknya.


Bertemankan pensel warna kesayangan. Sungguh berjasa hingga 'kontot' saya kerjakan.
Ayuh baca Infertility.
~Ya Allah izinkan hambamu ingat maklumat mengenainya~

Di dunia ini wujud pasangan yang mengalami masalah untuk melahirkan anak atas beberapa faktor tertentu samada masalah di pihak suami atau isteri tetapi kajian sains juga menemui jalan buntu hingga wujudnya 'unexplained infertility' iaitu kegagalan mendapatkan anak tanpa sebab yang diketahui.

Namun, manusia tidak putus asa. Kajian dan rawatan diteruskan. Ada yang boleh dirawati dengan pengambilan ubat dan pembedahan.

Bahkan kini dengan meluas dilakukan permanian berhadas (Intrauterine insemination - IUI - تلقيح الصناعي), bayi tabung uji (invitro fertilization - IVF - طفل الأنابيب) dan pelbagai kaedah yang lain. Apa yang menariknya usaha ini juga tidak menjamin keberhasilan 100% hanya sekitar 25-40% sahaja bergantung kepada umur pesakit, kualiti benih, keadaan rahim dan sebagainya.

Itu bukti bahawasanya manusia berusaha tapi Allah juga memilih. Takkan ada yang mampu mengatasi keupayaan-Nya. Allahu akbar...

Mahu penerangan mengenai pandangn fiqh permanian berhadas sila layari blog ini. InsyaAllah bermanfaat. (^_^) Sinar pula tidaklah berhajat mahu mengupas lebih mendalam dari sudut perubatan. Mahu ramai yang pening nanti. Cukup sekadar itu. Mengambil yang tersirat dari yang tersurat.

Moga kita menghargai kewujudan diri kita dan menggunakan kelebihan yang ada untuk membantu yang mereka yang dalam kesusahan.

Sungguh anda terpilih menjadi diri anda tetapi anda juga mempunyai pilihan untuk menjadi manusia yang bagaimana.

Allah itu adil bukan? Dia memberi kita pilihan. :) Namun hati-hatilah. Kelak akan ada Hari Perhitungan.

Doakan Sinar ya. Moga dapat membentuk diri menjadi manusia berguna dan doakan juga dapat menjawab dengan baik dalam peperiksaan nanti. :) Maafkan Sinar kalau ada salah bicara dalam entri ini dan pengolahan ayat yang mungkin agak berterabur. Kekok menulis semenjak dua menjak ini. Pakar-pakar bahasa, maafkan saya. Huhu.

Selamat berjuang semua!

Thursday, June 02, 2011

Jiwa Tersepit antara Dua : Ya dan Tidak

Harus bijak memilih ya dan tidak kerana kita akan melangkah...

Ya dan Tidak merupakan perkataan yang sering kali berlegar dalam hidup kita. Hatta di tempat awam juga jelas terpampang slogan " Katakan Tidak Pada Rokok". Besar impak dua perkataan ini kerana memilih salah satu diantaranya akan menyebabkan anda memilih jalan seterusnya. Rokok? Oh bukan itu isu yang mahu saya bawa. Kotak rokok pun sudah jelas,terang dan nyata diletak gambar pesakit yang kronik tapi masih jua ramai yang hisap. :) Erm saya faham 'tidak' itu juga melambangkan perubahan dan memerlukan kejelasan matlamat dalam melafaznya. Perlu masa :)

Sahabat-sahabat sudah pasti tahu siapa musuh besar kita.

Israel? Bukan.
Syaitan? Bukan.
Oh apa lagi ya?

Dekat sungguh musuh ini. Dia tumbuh dalam diri. Dialah nafsu kita. Inilah antara pembolehubah yang akan menganggu pilihan hidup kita sama ada memilih ya atau tidak dalam banyak perkara.

Kehidupan adalah medan membuat pilihan. Saban hari ada sahaja pilihan yang harus diambil.

Mahu solah?
Mahu tutup aurat?
Mahu baca buku?
Mahu menonton drama?

Ahhh... Usah dikata, 1000 helai kertas pun tidak cukup untuk Sinar senaraikan. Banyak kan?

Kadangkala kita marah. Marah pada sesuatu yang masih boleh bersabar tapi kita tewas. Erm, kenapa kita tidak pilih untuk berkata 'tidak' pada marah dan 'ya' untuk sabar?

Kadangkala kita leka. Leka pada sesuatu yang tidak patut menjadi kegembiraan muslim. Kita seronok dengan maksiat. Kenapa harus 'ya' pada maksiat kenapa bukan 'tidak'?

Kadangkala kita sedih. Sedih pada sesuatu yang sudah menjadi ketentuan. Kita berdukacita dan menyalahkan Tuhan. Kenapa kita tidak memilih 'ya' untuk redha dengan ketentuan?

Di sinilah hati kita teruji dalam menelusuri kehidupan dengan penuh kepasrahan dan rela hati terhadap segala yang Allah putuskan. :) Jika benar kita yakin hidup ini adalah susunannya dengan sedikit usaha kita, InsyaAllah warna-warni kehidupan terasa indah.

Seorang shalih pernah berkata, " Wahai umat manusia! Medan pertempuran kalian adalah jiwa kalian. Jika kalian dapat mengalahkannya, maka kalian akan lebih mampu dari yang lain. Namun apabila kalian dikalahkan oleh jiwa kalian, maka dihadapan orang lain, kalian akan lemah dan lemah."

Justeru jika diberi pilihan Ya atau Tidak dalam kehidupan, tampillah menjadi insan yang hebat dalam membuat keputusan. Jangan lemah dalam mendidik jiwa. Jangan jiwa kuasai kita tapi kita menguasai jiwa dengan acuan yang Allah gariskan.

Kelihatan jiwa tersepit antara dua, namun jika benarlah pilihan kita dalam kehidupan, mengikut apa yang Allah gariskan, InsyaAllah.... Lapang dan tenang itu milik kita. Moga begitulah... Ameen.

(^_^) Allah.. Allah..

Sungguh ini peringatan untuk saya dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran.
Saya manusia seperti mana kamu. Sering melakukan kesalahan dan sering memohon keampunan walaupun terasa malu menghadap-Nya. Namun jauh di sudut hati ini percaya, Dia sudi menerima taubat makhluk ciptaan-Nya ini. Ighfirzunubana Ya Allah.

Selamat berjuang dalam mengendalikan jiwa!
Selamat berjuang buat adik-adik yang baru melangkah ke IPT. Medan baru maka jiwa harus digilap biar berkilat!
Selamat berjuang buat kalian yang sedang berjuang memenangkan iman dalam jiwa kalian.
Selamat berjuang buat mahasiswa Mesir yang sedang bertempur di medan peperiksaan. Doakan Sinar ya :)

O&G End round examination

29 Mei : Slide
2 Jun : History Taking
4 Jun : (MCQ)

Final Exam

18 Jun : Imtihan Tahriri O&G 1
19 Jun : Imtihan Tahriri O&G 2
20 Jun : Slides
26 Jun : Syafawi O&G
3 Julai : Imtihan Tahriri Paediatrics 1
4 Julai : Imtihan Tahriri Paediatrics 2
6 Julai : Syafawi Paediatric

Banyak rule 'Ya' dan 'Tidak' dalam menghadapi imtihan :)
Doakan saya dapat lakukan yang terbaik.
Jika umur panjang, mahu lekas naik tahun akhir. Doakan!

Thursday, May 26, 2011

SiNaR's Kitchen Corner : Agar-agar Seri Malam.

Dalam hangat hangat cuaca di Mesir, rasa seronok pula kalau ada agar-agar atau puding. Itulah antara makanan kegemaran Sinar. Teringat pula Puding Karamel yang Ummi buat. Sedap! Dengan izin Allah hari tu ada kawan yang bawa ke kelas. Terubat la rindu. Hari ini bukanlah nak kongsi resepi Puding Karamel. Mungkin lain kali. Rasanya banyak sangat kot resepi yang ada kat internet ni. Cuma terasa pula nak kongsi resepi agar-agar yang baru dicuba.


Alkisahnya gara-gara mahu mereka resepi, cubaan pertama rasanya kurang manis untuk dimakan begitu sahaja. Maklumlah 'taste buds' pula merajuk waktu itu. Maka perlu dibuat kuah. Selepas dua kali mencuba akhirnya, kali ini tidak perlu dibuat kuah. Tapi kalau mahu buat kuah pun sedap. Hehe itupun pandai pandailah kalian merasa ketika buat resepi ni. Tak pandai nak bagi sukatan dalam timbangan yang tepat (mg, ml & ect) sebab tiada penyukat. Maka main agak je ikut deria seorang chef yang tak seberapa. :) Nama pun masih belajar kan?

Ini cubaan pertama lalu dihantar ke rumah junior atas.

Sebelum dipotong. Kalau mahu tenggelamkan semua 'dadu warna-warni' pun tak pe.
Lebih kemas bila potong nanti.

Nyum.. Nyum.. Aihlah..

Kenapa namanya seri malam? Kerana dapat idea malam hari dan Sinar harap kalian berseri-seri macam warna agar-agar tu. Untuk cubaan kedua, ditambah perisa jagung, sebab itu kalau kalian perasan warnanya lebih kuning. :) Tapi untuk cubaan pertama, kuah tu yang berperisa jagung. Sekurangnya adalah rasa jagung sikit. Lebih sempurna kot rasa agar-agar ni. Terpulanglah pada lidah masing-masing. Hehe hakikatnya Sinar suka warna-warni dalam masakan.


Cubaan kedua. Tiada bonjolan dadu warna warni.

Semua seia dan sekata. (^_^)

Cuma dadu warna-warni itu kena lebih terang.

Sendiri masak, sendiri kritik.

..............................................

Bahan A (Hiasan)

20 gram agar
6 cawan air
1 cawan gula

  1. Masakkan agar-agar hingga mendidih dan larut kemudian masukkan gula. Kacau hingga larut.

  2. Setelah agar-agar masak, bahagikan agar-agar ke dalam 3 bekas berlainan. Kalau ditapis lebih baik. :)

  3. Setiap bekas diletakkan warna yang berbeza. Kuning, merah dan hijau.

  4. Biarkan sehingga sejuk dan keras.

  5. Apabila sudah keras, agar-agar tadi dipotong halus seperti dadu

  6. Taburkan potongan-potongan kecil agar-agar tadi ke dalam loyang.

  7. Barulah anda lakukan langkah seterusnya.

Bahan B

30 gram agar
6 cawan air
500 gram susu cair
2 biji telur
perasa jagung
sudu teh esen vanila
1.5 cawan gula

  1. Susu cair, telur, esen vanila dan perasa jagung dipukul atau di'blend' kemudian diketepikan dahulu.

  2. Masakkan agar-agar bersama air hingga mendidih dan hancur. Kemudian masukkan gula dan kacau hingga larut.

  3. Perlahankan api kemudian masukan bahan yang telah dikisar tadi. Kacau tanpa henti.

  4. Setelah agak pekat, tutup api dan tuangkan adunan ini ke dalam loyang yang sudah ditaburkan agar-agar kecil (dadu warna-warni) tadi.

Ok. Sekian sahaja daripada Sinar. Selamat mencuba dan salam perjuangan. Maaf atas kekurangan. Doakan Sinar dapat jawab dengan baik untuk exam Ahad ni dan kejayaan dunia akhirat umumnya. Harapan Sinar dapat jadi superwoman, superwife and supermom. Doakan juga ya. Semuanya lillah InsyaAllah.

Tuesday, May 24, 2011

Revolusi Hati

Pembaharuan sesebuah masyarakat tidak datang dengan tiba-tiba atau dengan kebetulan sahaja. Setiap tamadun di dunia bangun sesudah tidurnya, menjadi kuat setelah mengalami kejatuhannya, maju sesudah mundurnya.

Manusia juga ada pasang surutnya. Penuh dengan emosi. Manusia memberontak jika kemahuan tidak dipenuhi. Ada sahaja perubahan yang diinginkan. Begitulah jugalah iman di dalam hati akan memberontak jika nafsu merajai. Mana mungkin diizinkan nafsu memerintah diri. Maka kita tidak akan mudah mengizinkan kemalasan mengatasi kerajinan, kebodohan mengatasi kepandaian, kezaliman mengatasi keamanan apatah lagi kemaksiatan mengatasi keimanan. Kerana semua itu akan mencabut ketenangan.

Namun bila mana kita tahu sifat keji harus dibuang, sifat negatif harus ditangkis. Di mana kekuatan kita? Sudah pasti dengan perubahan jiwa dan cara fikir dapat mengubah nasib kita sendiri. Justeru perkara yang paling penting yang perlu diberi perhatian oleh kita semua ialah, penghijrahan jiwa dan minda dengan dorongan iman. Hanya dengan iman kita akan temui jalan pembaharuan.

Kebanyakan daripada kita juga tahu bahawa jiwa kita itu seringkali ada pertembungan. Bahkan turut di'highlight'kan bahawa ada 3 jenis jiwa yang disebut dalam Al-Quran.

1. Jiwa yang menganjurkan kejahatan (An-nafs Al-ammarah bissu')

Jiwa ini mudah terpengaruh dengan pujukan hawa nafsu dan dari itu lahirlah segala sifat keji seperti marah, bongkak, zalim dan tidak segan-silu ingkar perintah Allah. Bahkan jiwa manusia seringkali terperangkap dalam dorongan hawa nafsu. Maka di sinilah perlu mujahadah melawan bisikan kejahatan. Tidak dapat tidak, iman sahaja yang mampu melawan hawa nafsu. Firman Allah melalui kata-kata isteri pembesar Mesir

"Dan aku tidak membebaskan diriku dari kesalahan kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

( Surah Yusuf : 53)

2. Jiwa yang mengecam tuannya (An-nafs Al-lawwamah)

Allah berfirman:

" Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali dirinya sendiri."

(Al-Qiyamah :2)

Jiwa ini mengikut huraian Hasan Al-Basri merupakan jiwa seorang mukmin iaitu ia sentiasa menyesali dirinya dan mempersoalkan setiap perbuatannya. Persoalan selalu berlegar dalam dirinya. Apa yang inginkan diperkatakan? Apa yang dilakukan? Sementara orang jahat terus melangkah ke hadapan tanpa pernah menyesali dirinya.

Bahkan jiwa ini juga akan selalu mengecam dirinya ketika melakukan kejahatan. "Mengapa kamu lakukannya?" dan dia juga mengecam dirinya yang melakukan kebaikan," Mengapa kamu tidak perbanyakkan." Hatinya akan merintih pilu mengenang masa silam kerana penyesalan mempersiakan waktu-waktunya bukan pada ketaatan.

Antara kata-kata Syed Qutb, " Maka jiwa ini sedar, bertaqwa, takut, bimbang dan sentiasa muhasabah dirinya. Ia memperhatikan sekelilingnya, mengenal pasti hakikat hawa nafsunya dan memperingatkan tipu daya dirinya. Ia merupakan jiwa yang mulia di sisi Allah dan lawan kepada jiwa yang jahat. Jiwa yang jahat adalah jiwa yang ingin melakukan kejahatan dan terus melangkah dalam kejahatan."

3. Jiwa yang tenang (An-nafs al-Mutmainnah)

Imam Qurtubi berkata, "Jiwa mutmainnah adalah jiwa yang tenang dan yakin. Ia yakin bahawa Allah adalah Tuhannya. Lantaran itu ia khusyu' dan tunduk."

Justeru marilah berhenti sejenak membaca, ambillah Al-Quran dan selaklah Surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30. Indah bukan baik-bait ini.

Jiwa seperti ini kata Syed Qutb rahimahullah:

Tenang ketika senang dan susah
Tenang ketika lapang dan sempit
Tenang ketika terhalang dan beroleh kurniaan
Tenang maka ia tidak terpesong
Tenang maka ia tidak tergelincir dalam perjalanan
Tenang maka ia tidak ketakutan pada hari menakutkan dan mengerunkan (Hari Kiamat)

Sudah pasti selepas meneliti ketiga-tiga jenis jiwa ini yang kita idamkan adalah ketenangan dalam redha-Nya. Maka, langkah harus dimulakan. Yakin dengan-Nya, berbekalkan iman di dada, agar hati mampu berubah.

“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka berusaha merubah nasib mereka sendiri”.
(Surah Ar-Ra'd : 11)

Nah perubahan jiwa merupakan suatu revolusi dan pembaharuan tentang tujuan hidup, cita-cita dan keinginan. Perubahan hanya bermula ketika kita berusaha mencari jalan keluar. Merubah daripada kebiasaan yang kita lakukan kepada sebuah pembaharuan. Sungguh, Sinar sendiri pernah dan sedang mengalami beberapa perubahan. Tanpa iman dan petunjuk daripada-Nya sungguh diri rasa lemah yang bersangatan.

Takkan ada revolusi jika diri tidak berani dan diri diam menyepi. Hakikatnya dengan sebuah langkah, segalanya mampu berubah!

Moga kesalahan-kesalahan masa lalu menjadi pembuka pintu ketaatan yang baru. Kerana kita hamba yang lemah sentiasa memerlukan Dia sebagai Pemberi kekuatan.

Ayuh kita usaha miliki yang tenang dalam dakapan Illahi.

Friday, May 13, 2011

Hidupku adalah rahsia!


♥ Hidupku adalah rahsia. Namun kuharap di hujungnya bahagia ♥



Setiap kali mendengar nasyid ini, hati bergetar, tersentuh dan sebak.
Doakan penghujung hidup saya dijemput dalam iman ya.
Moga daku dan kalian hidup dalam iman.

Wednesday, April 27, 2011

Umairatuljannah

Cepat sungguh masa berlalu. Tidak sempat Sinar berkongsi dengan teman-teman di laman ini akan kehadiran insan baru dalam keluarga kami. Subhanallah insan ini comel sekali. Bukan kacak ya :) Itu belum lagi. Sekali lagi saya sudah bertukar status. Dengan rasminya saya sudah layak bergelar mak cik. (^_^) Jangan panggil Mak Long tapi Cik Long ya. Baru mesra!

Biar Sinar perkenalkan ahli baru dalam keluarga kami.

Nama diberi Syarifah Umairatuljannah Binti Syed Muhammad Solehin.
Dilahirkan pada 13 April 2011 (3.02 p.m) di Hospital Temerloh Pahang
Berat beliau ialah 2.41kg.

Tengok apa tu sayang? Hehe. Comelnya kamu.
Alhamdulillah Allah permudahkan.
Moga Allah peliharamu dunia dan akhirat.
Terpesona Sinar dengan dagu Umairah. :)

Nama Umairah cantik sekali,
Hadirnya dia penyejuk hati.
Dagu terbelah manis sekali,
Moga kita berjumpa nanti.

Muka siapalah Umairah ni ya? Ada yang kata muka walid dia, ada yang kata ummi dia. Dagu tu Sinar 'confirm' ikut umminya. Dengar kata nama Umairah ni, adik Sinar yang beri. :) Ada bakat rupanya. (^_^)

Dahulu ketika Sinar kecil, Sinar dikelilingi oleh mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik yang penyayang dan suka melayan. Pernah terdetik di hati seronoknya kalau dah besar nanti ada anak saudara yang comel. Melihat kondisi diri sendiri sebagai anak sulung terasa mustahil juga apatah lagi selepas Sinar adalah adik lelaki. Orang kata anak lelaki biasanya kahwin lambat. Erm, dunia sekarang tiada yang mustahil. Rezeki, jodoh dan ajal semua sudah ditentukan Allah. Dalam soal jodoh adik Sinar terlebih dahulu Allah izin mendirikan rumahtangganya pada akhir Januari 2010 dan kini April 2011 seperti tercapai pula impian ingin memiliki anak saudara terlebih dahulu. Itu tanda Dia dengar bukan? Segala puji bagi-Nya. (^_^)

Sungguh saya teruja menerima anak kecil dalam keluarga. Maklumlah Salwa, adik bongsu Sinar juga sudah besar. Teringat perbualan santai Sinar bersama Fatin dan Salwa. Mereka berdua ini ibarat belangkas. Ada juga yang mengatakan mereka ini kembar. Seorang Darjah 6 dan seorang lagi Darjah 3. Cuma perangai tidak pernah 'matured'. Dua-dua manja.

"Tak sabarnya Along nak tunggu baby keluar, " kata saya sambil mereka sibuk bermain komputer

"Erm, nanti baby Kak Malissa dan In nak panggil Salwa apa ya?"

"Mak Cik Salwa ke?" Terkekeh Sinar gelakkan dia.

"Apa la Along ni. Mestilah Kak Salwa," Balas Salwa sambil membuat muka comel.

"Aaa.. Fatin pun baby kena panggil Kak Fatin. Takkan la mak cik. Kitaorang kecik lagi la"

"Ye ke kecik? Hisap botol lagi ke Fatin?" Ada sahaja nak kenakan mereka.

Tersenyum sendiri mengingat gelagat mereka. :) Sinar dulu apabila sebaya mereka tak sabar menanti lahirnya adik baru. Mereka? Terus anak saudara. Tak sempat merasa adik sendiri. Risau pula nanti Salwa cemburu bila semua orang sudah tidak manjakan dia lagi. Macam manalah agaknya reaksi dia. Sungguh Sinar tak sabar ingin pulang menemui mereka semua.

Moga bertambahnya keluarga kami seiring bertambahnya redha Illahi. Moga Allah berkati kami dan kalian juga.

Sunday, April 10, 2011

Demam Malaysia : Ketidakstabilan Dunia.

Semenjak dua menjak ini makin menjadi-jadi pula sindrom berpantun. Mungkin inilah cara meluahkan apa yang terbuku di hati dan perkara yang menganggu fikiran. Rangkaian ayat dalam pantun yang tidak seberapa mampu membuatkan hati ceria :) InsyaAllah dikongsikan sesi berbalas pantun di Fb bersama junior yang disegani. Abaikan sesetengah pantun yang tidak memenuhi syarat ya.

S:
Malaysia kini apa nak jadi,
kami di sini risau sendiri.
Berita kian menjadi-jadi,
bilakah mahu sedar diri?

Ermmm...
Malaysia, Mesir, Libya, Syria tak stabil belaka. Salah siapa? Inilah ujian buat kita.

A:
Mesir kini apa nk jadi,
Sebelum revolusi takde la cam ni.
Curi-mencuri menjadi-jadi,
Mungkinkah arab akan sedar diri?

S:
Lapang sungguh jelapang padi,
Penat si adik berlari-lari.
Padanlah gempa selalu terjadi,
dek manusia tak sedar diri.

Menongkat daku memegang dahi,
bukan meneka bukan menilik.
Hidayah itu kepunyaan Illahi,
biiznillah yang 'buta' bakal 'celik'.

A:
Gempa bumi membawa tsunami,
bersamanya juga kesan radiasi.
Lupa diri sifat insani,
semoga Allah sentiasa memberkati.

Mencengkam pinggan membengkok tekak,
menilik meneka jadi sempadan.
Adakah kita buta dan pekak?
Kekuasaan pencipta jadikan teladan.

S:
Lemahnya manusia sifat azali,
untuk melihat kuasa Illahi.
Hargailah peluang walau sekali,
Moga kita Allah kasihi.

Biar buta mata, jangan buta hati,
Kalau pun mati, biarlah syurga menanti.

A:
Peluang mendatang akan dihargai,
kasihnya Tuhan jangan dipersiakan.
Kuasa Allah telah terbukti,
Moga Inayah-Nya tidak dilupakan.

Jika celik mata, Harus celik hati,
Indah banyak harta, Perit sungguh mati.
Untuk akhirnya....

Sayang negara mana tidaknya,
itulah tanah besarnya kita.
Kalau rasa sayangkannya,
Ubahlah Malaysia dan diri kita.

Apa yang mampu doa, usaha dan berubah :)

Moga perubahan diri membawa tranformasi pada negara yang lebih Allah redhai. Ameen...

Sekian sahaja(^_^) Mohon maaf atas kekurangan entri kali ini.
Demam berpantun kerana demam Malaysia :)
Mari hidupkan budaya melayu yang indah ini.
Menyampaikan sesuatu dalam bahasa yang cukup indah.
Sedang belajar walaupun tidak sepandai kalian berpantun :)

Wednesday, April 06, 2011

O&G itu peringatan


Alhamdulillah sudah hampir dua minggu saya berada di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G). Setakat ni tidak banyak yang Sinar 'explore' melainkan sedaya upaya membedah buku untuk mendapatkan teori dan ilmu. Tidak dinafikan untuk memahami proses kelahiran dan sakit puan ini tidak cukup dengan menatap buku sahaja malah perlu 'observe' dan mengurus pesakit. Baru beberapa kali sahaja berpeluang melihat proses kelahiran secara normal mahupun pembedahan. Belum cukup untuk berpuas hati. Masih banyak lompong di sana sini.


Kami di Hospital O&G ( Mustasyfa amrad an-nisa wat taulid)

Sinar juga kesal pada awal rotasi ini kerana kemampuan diri masih terbatas dalam banyak perkara. Sudah pasti tidak sama pengalaman seperti mereka yang belajar di Malaysia mahupun Indonesia. Saya teruja membaca pengalaman mereka. Antaranya di link ini . Teruja mahu sehebat mereka dan merasa pengalaman seperti itu walaupun sekali sebelum menamatkan pengajian nanti (^_^) Laskar pelangi harus berani bermimpi walaupun mungkin peluang tidak secerah mentari. Tak salahkan Sinar berharap?

Nah, kini Sinar terasa ditampar. Untuk menjadi hebat bukan sekadar bermimpi harus usaha lebih lagi.

Berada di tahun 5 sememangnya menyebabkan diri makin tidak senang duduk dek kebimbangan terhadap kerjaya sebagai doktor nanti. Inilah profesion yang kebanyakan orang menyangka profesionnya kukuh padahal cabarannya tak terkata. Ilmu dan kemahiran ibarat sinergi yang wajib ada pada seorang doktor. Profesion ini melibatkan nyawa bukan bahan mainan yang boleh dipakai buang. Gerun bukan? Oleh sebab itu, Sinar tidak senang duduk. Ini soal amanah dan kredibiliti. Hatta berpuluh-puluh buku dan kuliah yang dihadiri tidak menjamin kualiti diri. Sungguh bidang ini luas dan sungguhlah manusia itu lemah. Tanpa Allah kita bukanlah siapa siapa. Allah jugalah Pemilik segala ilmu dan kebijaksanaan.

Datangnya O&G dalam hidup Sinar, menyedarkan diri bahawa masa sangat suntuk. Ada sahaja cabaran yang mendatang. Dulu disediakan kelas khas untuk mahasiswa Malaysia kini lain pula ceritanya. Namun, biarpun suasana pembelajaran sudah berbeza, itu bukan alasan untuk tidak berusaha. Positifkan diri kerana begitulah kehidupan. Bukan semua keinginan kita dipenuhi. Yang indah semuanya di syurga. Adillah kiranya di dunia ini kita berpenat-lelah :) . Apapun Sinar mendoakan agar angkatan Gen6 selaku generasi pertama MOU pulang dengan jayanya.

Sedar atau tidak O&G mengajar untuk menghargai apa yang ada dan tiada...

Melihat sendiri proses kelahiran membuatkan Sinar terfikir hakikat kita sebagai manusia dan hamba Allah. Teringat kata-kata doktor di dalam tutorial tadi. Kelahiran sebenarnya adalah proses semula jadi dan tiada campur tangan manusia dalam proses tersebut. Daripada proses pemilihan benih, persenyawaan, penempelan di dinding rahim, pembesaran hinggalah kelahiran sudah terbukti menunjukkan Allah yang Maha Mengatur. Jika hidup, hiduplah bayi. Jika Allah takdirkan mati, matilah bayi. Peranan doktor? Membantu setakat kemampuan yang ada pada kudratnya. Bukanlah doktor penentu segalanya. Hatta doktor pun tidak dapat menentukan bilakah tarikh sebenar persenyawaan. Maka penentuan umur janin pun tidak tepat bukan? Apatah lagi mahu menentukan hidup dan mati manusia :) Allah saja yang tahu bila kejadian kita sebagai manusia dan bila pengakhiran kita di muka bumi.

Maka pada siapa kita patut mengucapkan syukur dan terima kasih kerana ketika ini mampu melihat dunia. Lihat sahaja saat bayi dilahirkan, ucapan terima kasih bertalu-talu pada doktor yang menyambut si anak. Di mana Allah di saat itu? Moga kita nanti, terlebih dahulu memanjatkan rasa syukur ketika bayi kita dilahirkan. (^_^)

Sinar juga sangat terharu, dilahirkan dari rahim seorang ibu yang dipanggil Ummi. Tabahnya Ummi membawa Sinar dalam kandungannya. Ke hulu dan ke hilir dengan muatan di perut. Doanya pasti tidak putus mengharapkan Sinar sihat saat dilahirkan (^_^). Sudah pasti kebimbangan dan pengharapan silih berganti. Alhamdulillah Allah penyusun segalanya. Sinar normal saat dilahirkan.

Ummi, walaupun mungkin biasa di mata orang lain, Ummi tetap hebat di mata saya. Tidak wajar saya bandingkan Ummi dengan sesiapa kerana tempat dan peranannya tidak boleh diganti. Kesabaran dan ketabahannya luar biasa. Kekurangannya membuatkan kami mencari kelebihan untuk membantunya. Sinar bersyukur dipilih menjadi anak Ummi. Terima kasih Ummi. Moga Allah menganjari syurga.

Alhamdulillah.. Moga Allah terus campakkan rasa syukur di hati ini dan memberi rasa untuk menghargai apa yang ada dan tiada. Sungguh hanya Allah yang tahu apa yang terbaik buat diri.

Melangkah dan melangkahlah tanpa berhenti... Hargailah apa yang ada kerana di situ letaknya kesyukuran. Hargailah apa yang tiada kerana di situ letaknya penyerahan dan pergantungan.

Salam mujahadah. Doakan Sinar ya.

Friday, March 25, 2011

Titian Kehidupan : Carilah bekalan



Meniti hari-hari kehidupan

Tiada apa yang lebih mendebarkan sekiranya berlakunya perubahan dalam fasa kehidupan. Melangkah ke alam baru semestinya menuntut satu persiapan. Maka, Sinar, kamu dan kamu tidak akan lepas dari mempersiapkan diri setiap saat dalam kehidupan ini.

Esok? Tahukah apa yang akan terjadi?


Sungguh indah melihat bunga di taman, namun akan ada saat bunga juga berguguran...

Setiap hari pasti akan ada perubahan. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya. Dulu kita anak kecil kemudian melangkah dewasa. Dari alam persekolahan dan pengajian kita beralih ke alam kerjaya dan keluarga. Begitulah rotasi sebuah kehidupan. Ibarat titian yang panjang tapi hakikatnya cuma sebentar.

Matlamat yang tidak dimakan usia

Tiadalah yang membezakan semua ini melainkan faktor masa namun apa yang masih sama adalah matlamat akhir seorang manusia. Itu mungkin berlainan dari manusia kepada manusia yang lain. Namun bagi Muslim yang sedar, seharusnya matlamatnya kekal sama hingga ke penghujungnya. Jika 'terjatuh' di celah fasa perubahan maka dia tahu kepada haluannya. Dia tidak mudah melatah dalam meniti dunia. Namun apakah rahsianya untuk kekal lama dan sampai pada matlamat yang dicitakan. Maka di situlah perlunya bekalan meniti sebuah kehidupan. Bekalan ini tidak pernah berubah cuma kita perlu berusaha mencari dan mencari.

Al-Quran sudah khabarkan tinggal KITA cari!

Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal

(Al-Baqarah : 197)

Nah, bekalan itulah yang perlu dicari, perlu diisi ke dalam hati. Jika tidak kita bakal terkandas di salah satu stesen kehidupan. Berapa ramai yang putus asa kerana tiada bekalan ini, lalu memilih jalan bunuh diri. Sadis bukan. Inilah realiti. Bila mana dirasakan seolah-olah dunia matlamat akhir maka, di situlah tamat riwayat hidupnya. Sedangkan perjalanan kita masih berbaki di akhirat sana. Mahukah kita rugi di persimpangan dunia ini? Maka ayuh, berbekallah!

Walaupun dengan akal yang Allah kurnia masih ramai yang terlepas dalam mencari bekalan sebenar. Sungguh di luar ini banyak cabaran. Tribulasi yang penuh seribu ragam. Takkan sama dengan teori bahkan inilah medan sebenar. Dulu di Medan Islami kita diterangkan Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkannya. Namun di medan ini, kita lihat di mana Islam? Hilang? Kenapa?

Maka adakah sama peranan mereka yang memahami tugas manusia sebagai khalifah dengan yang tidak memahami. Itulah peranan generasi muda berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah, menegakkan ma'ruf akbar dan meruntuhkan jahilayah akbar.

Usahlah takut mendepani dunia luar. Terbanglah dalam sayap iman dan taqwa di situlah lahirnya kekuatan. Izzahlah dengan Islam yang engkau fahami, jangan terungkai dengan keseronokan duniawi. Kelazatan dunia yang sementara boleh mengundang kebinasaan kekal abadi.

Wahai diri sahabat dan adik-adik harapan Islam

Bagi memastikan diri terus terpelihara, berpeganglah dengan 5 M ini seperti mana diri ini cuba memegangnya. Ya sungguh kita lemah, tetapi jangan sekali-kali membenarkan kita lemas dan rebah selama-lamanya.

1. Mu'amalah dan Mu'ahadah (Mengingati janji)

Hendaklah kita mengingati perjanjian dengan Allah iaitu dengan menjadikan Allah sebagai Rabb.

2. Muraqabah (Merasa pengawasan Allah)

Merasakan keagungan Allah setiap waktu dan keadaan serta merasakan kehadiran-Nya di kala sendirian mahupun di khalayak ramai.

3. Muhasabah (Perbaiki diri)

Menghisab diri ketika selesai melakukan amal. Apakah amalan tulus kerana Allah atau dicemari sifat riya? Apakah ada dosa yang tersisa?

4. Mu'aqabah (Menebus kesalahan)

Memberi hukuman pada diri agar tidak mudah melanggar kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengakibatkan kesalahan itu sukar ditinggalkan

5. Mujahadah

Memaksa diri dengan tegas, serius dan penuh semangat untuk tetap mentaati suruhan Allah di kala terseret dengan kemalasan dan cinta dunia.

Begitulah sedikit perkongsian. InsyaAllah sama-sama mengingatkan diri untuk sentiasa berpegang pada 5M ini. Sebelum mengakhiri entri kali ini, khusus untuk putera dan puteri SPM '10 yang baru memperoleh keputusan kelmarin moga kalian terus thabat dan istiqamah di jalan kebenaran. Khusus buat adikku, perjalanan masih panjang. Jadilah dirimu dan jadikan Allah matlamat akhirmu. InsyaAllah kejayaan dan kebahagian akan dikau miliki. Susah payah di dunia adalah kemanisan di akhirat nanti. Jangan pernah serik ^_^ kerana Allah sedang menilai siapa kamu di sisi-Nya. Doakan Along juga.

Akhir kalam moga ada ruang untuk kita terus meraih cinta Illahi. Moga semua pembaca dirahmati Allah.

Terus dan terus melangkah.

Saturday, March 12, 2011

Dedikasi buat SAHABAT


Hari ini merupakan hari bersejarah buat sahabat saya. Ani nama gelarannya. Walaupun mungkin saya bukan siapa-siapa ( its feel better I feel I'm nobody rather than somebody) tapi kehadiran dia punya makna besar dalam hidup saya. ( Sebak pula tapi saya sungguh gembira kerana dia gembira) (^_^)

Pertemuan saya dengan dia adalah pada tahun 1999. Sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan pertengahan tahun di Sekolah Kebangsaan Padang Matsirat saya terpaksa pindah ke Perak mengikuti ayah. Keputusan penuh masih belum dikeluarkan. Risau sungguh saya risau dan sedih meninggalkan sekolah lama. Tahun itulah saya dari Utara Malaysia pertama kali menjejaki Perak sebagai budak baru di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh. Berbekal hanya keputusan Bahasa Inggeris yang dikatakan bagus oleh pihak sekolah yang baru, saya dimasukkan ke kelas pertama 5 Kualiti. Di situlah segalanya bermula...

Budak baru sudah sinonim ibarat makhluk asing. Berpuluh mata akan melihat diri ini. Janggal sungguh berada dalam komuniti yang tidak bercakap, hang, hangpa, habaq. Maka saya memilih untuk menjadi seorang yang pendiam. Namun dia dan seorang sahabatnya menegur saya, diajak saya meninjau kawasan sekolah ketika waktu rehat dan kami akhirnya menjadi akrab. Hinggakan kami mempunyai nickname masing-masing. Ani, Kat dan Sha. Maka di situlah sebenarnya lahirnya nama Sha. Bagi saya itulah tanda dan kenangan persahabatan kami. Secara tidak langsung ada juga yang tersalah anggap bahawa saya dan Ani adalah kembar. (^_^) itu menjadikan kami lebih rapat saban hari. Usah dikenangkan saat persekolahan kami, walaupun kami pengawas kami juga berlari-lari seperti anak kecil lain di sekolah itu. ( Saya tersenyum)


Ya kami bertiga ibarat belangkas. Bila mereka terpilih sebagai pengawas saya juga turut terpilih. Aneh sungguh sedangkan saya hanya budak baru. Sungguh Allah itu Maha Besar dan DIA sebenarnya sedang mendidik saya. Saat persahabatan ini bermula sungguh saya rasa akan ada perubahan besar dalam hidup saya. (Sebak)

Apa yang membuatkan saya cukup terharu, KLCC menjadi saksi persahabatan kami bertiga ketika kepulangan saya ke Malaysia baru-baru ini. Walaupun saya tidak dapat bertemu dengan mereka lama. Sepanjang perjalanan pulang saya sebak mengenangkan persahabatan kami. Saya kerap bertemu Ani berbanding Kat. Saya terharu dapat bertemu Kat. Sungguh Allah pelihara dia menjadi muslimah solehah. Sha doa Kat selalu. Hari itu menjadi saksi pertemuan 12 tahun tidak berkumpul bersama. Moga Allah rahmati kalian, sahabatku.

Dengan Ani, sebaik sahaja tamat sekolah rendah, dengan izin Allah kami berdua terpilih ke Mahad Attarbiyah Al-Islamiyah. Di situlah percambahan cinta saya pada Islam terus mekar. Mempunyai sahabat yang baik membuatkan saya bahagia. Saya makin menghargai apa itu Ukhwah Islamiyah. Saya tidak suka persahabatan biasa-biasa tapi saya mahu yang luar biasa. Di bumi itulah saya temua cinta hakiki, cinta yang takkan saya lupa. Saya makin mengenali apa itu hakikat Iman dan Islam. Saya sangat bersyukur pada Allah kerana menghantar dia untuk mengenali bumi wakafan itu. Tanpa izin-Nya, tanpa dia saya bukanlah saya yang sekarang. Syukur pada Allah. Moga Allah terus pelihara sahabatku dan pelihara diri ini. Sungguh saya lemah tanpa pengawasan dan ihsan Rabbul Izzati.

Sebak... kerana hari ini saya tidak mampu bersama dia secara nyata untuk meraikan hari bahagianya. Apa yang saya mampu bak kata sahabat saya yang turut saya sayang," Berdoalah untuk dia." Dan itulah yang sentiasa saya lakukan sebenarnya.

Buat sahabatku Ani, moga fasa baru yang bakalmu tempuhi menjadikan dirimu wanita yang mulia di sisi Allah, suami, keluarga dan ummah. Moga dirimu tetap teguh dengan panji Allah, menyebar luas kecintaan dan kemurniaan yang Islam bawa. Sebarkan bicara kebenaranmu. Moga hayunan langkahmu sebagai srikandi terus dan terus hingga negeri abadi. Sungguh Sha rindu dan sayang kamu. Uhibbukifillah ya ukhtie.



بارك الله لكما وبارك عليكما

وجمع بينكما في خير


(^_^) Moga Allah permudahkan urusanmu.
Moga Allah berkati dan redha-Nya sentiasa bersamamu.

Friday, March 11, 2011

Tuah di Bumi Mesir : Pulang semula

Pejam celik pejam celik mahu sebulan juga bercuti di Malaysia. Alhamdulillah hari ini Sinar sudah pun berada di meja study yang dirindui. Siapa sangka Mesir tiba-tiba bangkit menuntut hak dan kami pula dinasihatkan pulang. Pasti ada hikmah dan rahmah yang tersembunyi. Alhamdulillah keberadaan di Malaysia dimanfaatkan sebaik mungkin walaupun ada beberapa tempat wajib tidak sempat dikunjungi. Maafkan Sinar kerana tidak dapat tunaikan janji. Jujurnya terselit perasaan resah apabila teringatkan pengajian yang tertangguh. Mengenangkan buku-buku di rak tidak bersentuh menambahkan galau di hati. Nak tak nak, bila dapat arahan kenalah jugalah balik apatah lagi perjuangan belum selesai.

Pintu pagar sekolah setia menanti.

Minggu terakhir di Malaysia berderet kem yang harus Sinar sertai dari Tamrin Perantau, Kem SPIES anjuran Kerajaan Negeri Selangor hinggalah Program Wacana Intelektual aka BTN. Setiap kem ada objektif tersendiri dan insyaAllah banyak pengalaman dan ilmu ditimba. Alhamdulillah setidaknya mendidik Sinar untuk menilai realiti kita. Matang dalam menerima input dan maklumat.

Ketika BTN itulah sudah dimaklumkan kebarangkalian bahawa kami mahasiswa tajaan JPA akan dihantar pulang pada 9, 10 atau 11 Mac. Antara sedih dan gembira menerima berita tersebut. Walauapapun bersyukur kerana ada yang sudi menaja tiket pulang.

Setiap hari juga membuka emel dan menelefon pihak bertanggungjawab. Itupun jenuh digesa Ummi. Sinar bukanlah rajin mana untuk online di Malaysia, apatah lagi apabila tiada perkembangan mengenai tiket tersebut. Mungkin JPA masih dalam peringkat penyusunan. Hinggalah pada waktu tengahari 8hb Mac, barulah tergerak hati untuk melihat emel terkini penghantaran pulang ke Mesir. Bergolak hati apabila mendapat tahu perlu berkumpul di KLIA pada malam itu juga. Maklumlah 'unprepared'. Tepuk dahi kerana barang belum dikemas dan dibeli. Sepantas kilat Ummi pula mengajak keluar. Haha, tapi hati ni sungguh berat mahu meninggalkan Ummi, Lek dan adik-adik.

Sempat lagi menyiapkan jahitan leher dua helai baju yang Ummi jahitkan. Ada juga yang panggil mata lalat tapi kami suka panggil karipap. Sebenarnya beza panggilan berdasarkan berapa lilitan yang dibuat. Bila 3 lilitan namanya mata lalat, bila 5 namanya karipap. Disebabkan kami dari kecil melihatnya macam karipap, kami memanggilnya karipap hingga kini walaupun mengunakan 3 lilitan. Sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan jahitan ini. Comel pun comel. Hasilnya, cantik dan selesa dipakai (^_^). Orang sibuk kemas beg, Sinar sibuk menjahit. Oh lupa ada orang panggil 'tikam leher'. Mati mati Sinar ingat orang nak tikam leher. :) rupanya istilah sahaja berbeza.

Kain Cotton jadi pilihan. Selesai sahaja Ummi jahit baju giliran Sinar 'tikam leher'. Lucu pula bila guna ayat ini.

Ummi yang pilih. Terima kasih jahitkan.

Packing... Packing... Yeah! Dapat baju baru!

Pada 9.15 malam kami bergerak ke KLIA. Alhamdulillah Ummi dan Lek pun sudah ke Mesir tempoh hari. Maka tidak perlulah bawa banyak barang ke Mesir. InsyaAllah 20 kg yang dibenarkan oleh JPA memadai untuk penerbangan kali ini. (Ini ayat orang mahu balik lagi. Hehe)
Kalian permata hatiku. Sedihnya nak tinggalkan.
Senyum untuk cover....
Gurau dengan lek, " Siapa ye nak menangis dulu ni?"
Balas lek sambil senyum, " Lek ada dua kesedihan."
Berkaca sudah mata kami.
Speechless...
Terima kasih dan maafkan segala kesalahan Along ya.
Terima kasih JPA dan MAS. Layanan dan makanan BEST!
Cairo Airport sekali lagi kami jejaki. Macam tak percaya.
Zuppp... Sejuk... Inilah angin Mesir yang Sinar suka.
Sabar menanti bas. Apalah agaknya khabar rumah?

Terkejut!

Inilah kerja rumah yang ditinggalkan oleh 'makhluk kasar'

Kesian 'dia' terperangkap sedangkan kami terlepas selama sebulan... (^_^)

.................

Allahuakbar... Setiap yang bernyawa itu pasti mahu mencari jalan keluar bila menghadapi kesulitan... Wallahu'alam

.................

Begitulah coretan tentang cuti-cuti Malaysia -Mesir kali ini.

Doakan yang terbaik untuk kami ya. (^_^)

Salam perjuangan semua.

Tuesday, March 01, 2011

Kecil tetapi celoteh bermakna

Apa khabar sahabat-sahabat? Malam ini Sinar mahu menceriakan diri. Alhamdulillah apabila Sinar mengingati epilog hidup bersama adik kecil Sinar, pasti tersenyum. Bahkan dia cukup manja dengan kami sekeluarga. Walaupun dia masih banyak kekurangan tapi ada sesuatu yang saya belajar dari kebersihan jiwanya. Bicara dia berbaur lucu tapi ada benarnya.

Kisah 1

"Kenapalah kucing kencing kat situ"

"Allah yang bagi kucing rasa nak kencing tu. Nak wat camna."

MasyaAllah hebat jawapan dia.

Kisah 2

"Peliklah kenapa kawan Salwa tak nak pakai tudung. Tak tau ke haram tak pakai."

Sentap pula aku mendengar si kecil bercakap pasal hukum.

Kisah 3

"Kawan salwa tu janji je nak datang. Puas tunggu tak jadi pula. Tipu! Tipu! Tipu tu dosa. Dosa tu seksa." Celoteh dia di malam hari.

"Seksa tu macam mana Ummi?" menyambung lagi soalan dia. Tergelak Ummi dan Sinar. Sendiri cakap sendiri tanya.

Maka, janganlah kita menabur janji kalau tidak mampu lunaskan. Munafik orang kata. Apatah lagi berjanji dengan budak-budak, memang deme akan ingat janji kita.

Kisah 4

Petang tu telefon salah seorang keluargaku berbunyi.

"Eh, bukan lagu tu tak syar'ie ke?"

"Syar'ie tu camna?" Sinar menguji.

"Yang Allah suka." Selamba dia balas.

Tahu juga dia pasal syarak tak syarak. Sinar tersenyum.

.......................................................................

Kadangkala kita rasa hidup jauh daripada sentuhan Allah. Sedar tak sedar ada daie kecil dalam rumah yang mendidik diri tentang hidup sebagai hamba Allah. Walaupun kecil besar hikmah penciptaannya kerana dialah manusia yang bersih dari dosa.