BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, June 29, 2010

Walid D~Hearty 2

29 June akhirnya bertandang kembali. Alhamdulillah, Alhamdulillah masih dipanjangkan umur untuk bernafas hingga ke hari ini. Hari ini merupakan hari yang istimewa buat Sinar, Ummi dan adik-adik. Hari ini merupakan Hari Lahir Walid Sinar. Tanpanya tidak lengkaplah keanggotaan keluarga kami.


Nak bercerita memang tak cukup satu entri dan tak cukup hanya dengan coretan ini. Terlalu berharga pengalaman bersama Walid atau mesranya kami anak-anak memanggil beliau Lek.

Lek oh Lek

Panggilan Lek sahaja sudah cukup unik untuk Sinar. Ramai juga yang masih pelik dengan panggilan tersebut. Bagi Sinar, ini satu kebiasaan kerana dalam keluarga besar iaitu kami yang berketurunan Syed dan Sharifah selalu menggunakan Walid untuk ayah, Ummi untuk emak dan Ammi untuk pakcik sebelah ayah.

Waktu di sekolah dahulu, kawan-kawan terasa pelik bila mendengar Sinar bercerita pasal keluarga. Walaupun Walid adalah bahasa arab dan Sinar bersekolah di sekolah berasaskan Bahasa Arab, mereka masih pelik terhadap penggunaan kalimah ini. Hinggakan pernah timbul satu cerita lucu di sekolah ketika sedang menelefon walid di asrama. Sudah pastinya ketika itu tiada telefon bimbit hanya menggunakan pondok telefon yang menjadi rebutan ramai.

"Lek, lek. Nanti balik kita gi jalan ye." Lepas tu bercampur gelak tawa. Mana la orang tak salah anggapkan? (^_^) Haru sungguh!

Habis je bercakap dengan telefon, terus adik-adik yang sedang menunggu 'turn' pandang pelik dan mujur ada yang bertanya.

"Akak telefon siapa tu?"
" Ayah akak." sambil tersenyum sebab sudah mengagak mesti mereka salah paham
"Oh, ingatkan...."
"Ingat akak telefon ikhwah ke, nama khalid? Akak panggil ayah akak Walid. Short form Lek."
"Ooo. patutlah. Maaf akak, salah sangka tadi." Sambil tersipu malu

Tersenyum sendiri bila teringat cerita-cerita di sekolah dahulu. Dah lali rasanya. Tapi kena juga la terangkan. Menjadi makhluk berbaju biru sudah pasti punya amanah dan perlu menjadi khudwah. Maka jika 'badan pencegah jenayah sekolah' melakukan sesuatu perkara yang menyalahi undang-undang sekolah, sudah pasti di pandang serong. Apatah lagi kalau bergayut dengan telefon kan. InsyaAllah bersih dari rekod itu walaupun Sinar juga punya kelemahan tersendiri. (^_^)

Dialah lelaki pertama

Lek jugalah lelaki pertama yang hadir dalam hidup ini. Yang kedua ialah Solehin, adikku yang sudah pun beristeri. Yang ketiga? Tunggu dan lihat sahaja. Kalau ada, adalah dia. Maka, insan yang bernama lelaki merupakan subjek dan entiti yang kurang Sinar fahami. Watak, penampilan dan perasaan mereka sudah pasti berbeza dengan wanita. Namun Lek banyak membimbing dan mendidik perihal golongan mereka ini. Banyak nasihat dan peringatan yang Lek berikan. Tidak pernah jemu.

Sebelum mengakhiri entri ini Sinar ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir khas buat Lek tersayang. Moga hari-hari yang lalu menjadi muhasabah dan pemangkin untuk masa hadapan. Moga makin bertambah usia makin bertambah juga bekalan ke negeri abadi. Terima kasih di atas segala jasa dan pengorbanan tanpa henti pada kami sekeluarga. Jazakallahu kheir juga atas setiap nasihat dan sokongan yang diberikan. Moga Allah membalasi setiap keringatmu. (^_^)

Ingin berkongsi sms yang Lek beri setelah ucapan Hari Lahir kulayangkan...

"Wahai anakku, sesungguhnya dirikanlah solat, buatlah kebaikan, cegahlah kemungkaran, dan bersabarlah atas apa yang menimpamu. Sesungguhnya itu ketetapan daripada Allah. Jangan pernah angkuh, sombong dan bangga diri. Bersederhanalah"

Besar pesanan itu. Jazakallahu kheir Lek. (^_^)

Monday, June 28, 2010

Semakin dan semakin


Semakin hari semakin berharap

Alhamdulillah, semalam berlalu sudah peperiksaan bertulis. Pertarungan yang cukup sengit Sinar rasakan. Setiap soalan punya bisa tersendiri. Unexpected tu banyak sangat. Benarlah kata walid. Life as a doctor, mostly UNEXPECTED. It is a must. So apa nak hairan kan. Hehe, sebenarnya tak larat juga berendam dengan air mata dan tak larat juga mendengar komen kawan-kawan " You dah kurus la". Bukan ke Sinar memang kurus. Ops!!! Come on Sinar. Perjuangan harus diteruskan walau apa pun berlaku. Self control! By the way, Jazakumullahu kheiran kathira pada semua yang sentiasa memberi kata-kata semangat, samada secara langsung mahupun tidak, melalui sms dan juga panggilan. Terharu sebenarnya. Moga Allah berkati kalian.


Tutup kisah peperiksaan bertulis dan kita buka pula kisah peperiksaan lisan dan amali yang akan bermula 2 hari lagi. Tak dapat nak bayang juga macam mana keadaan nanti. Cuma akan terus berusaha dan berusaha hingga ke lubang cacing (^_^) Doakan ya. Cacing pun takut tengok Sinar kot. Ke terbalik?

Semakin dihitung hari semakin berharap agar pelangi muncul. Doakan Sinar lulus semuanya. Berharap menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat. Hanya Allah yang mampu menyempurnakan harapan saya. Doa dan terus doa. Ya Allah berikan yang terbaik untuk imanku.

Semakin hari semakin rindu

Kira-kiranya seminggu sahaja lagi peperiksaan akhir pula akan tamat. Sementara menunggu peperiksaan lisan dan amali, Sungguhlah Allah menguji hati ini. Membuak-buak dah kerinduan di hati. Terbayang-bayang wajah walid, umi dan adik-adik. Tergiang-ngiang suara Wan dan Tokki yang suka melayan Sinar.


Ceria bersama mereka...

Tak sabarnya...Doakan semuanya selamat dan berjalan lancar. Malaysia, wait for me!

Sunday, June 20, 2010

Hanya kita dan Dia

Situasi satu:

Kertas soalan peperiksaan sedang diedarkan. Dewan sunyi bertemankan sepi. Masing-masing gementar. Jauh di satu sudut, kelihatan Sarah menadah tangan berdoa. Debaran di hati Sarah hanya Allah yang tahu. Sarah tidak putus berzikir.

Melihat kertas soalan yang berada di tangannya, dia menarik nafas lega. Pena dicapai dan Sarah terus menulis jawapan ibarat mencurah ilmu yang ada di setiap helaian kertas. Sedang asyik menulis, mata ligat membaca soalan seterusnya.
Mulutnya membaca perlahan, "Discuss withdrawal manifestations of opiate dependence."

"Allah, aku ingat benda ni. Cuma turutan dalam buku tidak kemas dalam ingatan. Ya Rabb kembalikan ingatanku." Bisik hati kecilnya sambil jari jemarinya memusingkan pen.

Sarah berhenti sebentar. Zikir dan fikir. Mindanya ligat mencari maklumat. Allah dengar rintihan hatinya. Dengan rahmat Allah justeru tangannya ligat kembali menulis. Alhamdulillah bisik hati kecilnya.

Situasi 2

Zul seorang pelajar yang rajin dan konsisten dalam mengulangi pelajarannya. Setiap hari dia akan menelaah pelajaran. Setiap latihan dan soalan 'past year' sebolehnya akan dijawap. Tiba hari peperiksaan dirinya tidak gemuruh seperti pelajar lain. Dengan penuh yakin. Zul melangkah ke dewan peperiksaan.

Saat dia menerima kertas soalan. Dibelek-belek setiap helaian. Hatinya gusar. Kebanyakkan soalan adalah mirip soalan-soalan tahun sebelumnya. Namun susah untuk dirinya mencurahkan apa yang dia tekuni selama ini.
...

Inilah antara realiti musim peperiksaan. Hakikatnya peperiksaan, 'imtihan', 'examination' adalah dialog di antara seorang hamba dengan Pemilik diri dan segala ilmu. Sejauh mana pun kita berusaha, Allah jua yang memberi ilham dan mengekalkan ingatan terhadap apa yang kita belajar dan usahakan. Ketika inilah, hubungan kita dengan Allah memainkan peranan.

Kadangkala kita tersilap percaturan kerana meyakini dengan habisnya kita mengulang 2-3 kali pembacaan sudah memantapkan ilmu di dada. Saat peperiksaan segala-galanya boleh bertukar wajah. Ada segelintir kawan Sinar tidak sempat pun mengulang kaji subjek hingga ke kulit belakang tapi keputusannya jauh lebih baik. (^_^) Sungguh Allah yang banyak membantu.

Sinar sendiri sebenarnya terlalu banyak berhutang dengan Allah. Malu rasanya bila berhadapan dengan-Nya. Tapi Dia tidak pernah jemu mendengar rintihan kita. Bahkan memang menyeru agar hamba-Nya berpaut pada-Nya.

"Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dan dina."

(Surah Al-Ghafir : 60)


Menyahut seruan inilah, Sinar dan kalian perlu terus berdoa. Cuma kadangkala, tidak semua yang kita hajat kita akan miliki. Itu realiti.

Rasulullah saw bersabda:

“Tidak ada seorang muslim yang berdoa melainkan akan dikabulkan, ada kalanya disegerakan di dunia, ada kalanya disimpankan untuknya di akhirat. Dan ada kalanya digunakan untuk menghapuskan dosa-dosanya sesuai dengan kadar doa yang ia ucapkan selama ia tidak berdoa untuk dosa atau memutuskan tali persaudaraan”.

Cantikkan penyusunan Allah. Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Jangan lekas putus asa berdoa. Harapan masih ada. Bila dan bagaimana, itu urusan Allah. Sememangnya hidup ini adalah urusan kita dan Allah. Hanya kita dan Allah. Bila mana kita menjaga hak-hak Allah, InsyaAllah Allah akan menjaga kita.

Ya Allahu Ya rabbi, Ya Allahu Rabbi...Bantulah diri ini. Bantulah kami.

"Ya Allah! Bukalah pintu hati kami sebagaimana orang bijaksana dan kurniakanlah kepada kami kefahaman para Nabi dan pemeliharaan para Rasul dan ilham para malaikat yang hampir dengan-Mu. Ya Allah! Jauhilah kami dari kebingungan, muliakan kami dengan cahaya ilmu dan pengertian, bukalah kepada kami ma'rifat-Mu dan permudahkanlah bagi kami pintu-pintu kurnia-Mu. Ya Allah! Bukakanlah ke atas kami hikmah-Mu dan limpahkanlah ke atas kami khazanah-Mu. Ya Allah sesungguhnya aku serahkan apa yang aku baca, faham dan hafal kepada-Mu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha Berkuasa di atas segala sesuatu."

Ucapan khas hari ini: Selamat Hari Bapa kepada Walid yang tersayang dan tidak lupa juga kepada Tokki, Ami-ami, pakcik-pakcik, Abu Ahmad, Abu 'Ammar, Abu Umar, Abu Salman dan semua ayah yang kukenal.

Suka lihat lek senyum (^_^)

Hati terusik dengan balasan sms daripada lek,

"Slm. Slmt Hari Bapa. Mga jasamu diberkati Allah. Syg Lek"

"Tq. Hanya satu yang lek risau iaitu mcm mana nak bawa anak lek, umi dapat bersama dalam syurga."

Jauh kutermenung. Bukan senang mahu hidup dalam jiwa hamba apatah lagi memimpin keluarga. Moga Allah berkatimu dan permudahkan jalanmu.

Thursday, June 10, 2010

Kita Milik-Nya

Di saat usia sudah menjangkau 20-an. Satu mindset sudah Sinar ubah dan mula tanamkan agar tidak melatah dengan dugaan. Dulu ketika masih kecil, kita sentiasa menantikan kelahiran. Sentiasa tidak sabar untuk menerima orang baru dalam keluarga. Memandangkan Sinar anak sulung, kedatangan adik dalam keluarga merupakan satu anugerah Allah yang tak terkira nilainya. Hadirnya mereka menambah seri dalam keluarga. Walaupun pelbagai karenah tetapi setiap satunya ada keunikan yang Allah berikan. Sinar amat menyayangi mereka. Moga Allah pelihara iman mereka.


Jauhkah lagi perjalanan?

Sekarang di usia 20-an, berita gembira seperti perkahwinan sentiasa hadir namun berita kematian juga sering menjengah. Sudah pasti berita kematian lebih meruntun jiwa yang mendengarnya. Dulu, ketika menerima berita kematian hati sangat payah untuk turut sama terusik. Namun sekarang cepat sungguh terkesan, bahkan mata pun lekas berkaca. Jadi di usia begini, Sinar bahkan anda juga perlu bersedia menerima sebarang berita. Mungkin keluarga kita, mungkin kenalan kita yang kembali ke sisi-Nya. Hakikatnya kita milik dia, esok lusa kita pula yang bakal di jemput ke alam sana.

Menjadi hamba yang paling redha.

Pasang surut, suka duka sebuah kehidupan merupakan fitrah yang harus kita telan dan benar benar cerna intipatinya. Sesungguhnya Allah sedang menguji hamba-Nya untuk mengetahui siapa yang paling baik di sisi-Nya. Tidak dapat tidak kita mesti redha dengan segala ketentuan. Setiap takdir yang Allah ukir pasti yang terindah untuk membangunkan iman hamba-Nya. Moga Allah berkati jiwa-jiwa kita.

Kematian adalah peringatan.

Sesungguhnya isu konvoi baru-baru ini juga telah membuktikan bahawa kesyahidan peserta konvoi telah membuka mata dunia. Encik Muhammad Nizam, salah seorang peserta dari LL4G Malaysia, menyatakan bahawa misi ini tidak pernah gagal, hakikatnya kesyahidan peserta adalah bayaran untuk kesedaran dunia. Allah...Allah...tinggi sungguh bayarannya. Moga Allah tempatkan mereka di Jannah Firdausi.

Itulah pengajaran untuk kita yang masih diberi peluang untuk menghirup udara. Bangkit membuat perubahan. Mengubah diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Sungguh tinggi bayaran untuk sebuah peringatan.

Sedar atau tidak, hari ini juga sudah genap setahun pemergian arwah 'Ammar dan sudah seminggu Ukhtie Jannah meninggalkan dunia fana ini. Perginya mereka sudah pasti meninggalkan kesan buat kita yang mengenali. Moga menjadi peringatan untuk kita terus memandu kehidupan dengan acuan Allah. Moga Allah mencucuri rahmat dan kasih sayang pada mereka yang telah pergi. Perginya mereka bukan saja saja, tapi besar hikmahnya untuk kita. Moga kita semua terus thabat dan terus redha dengan segala ketentuan-Nya. Moga Allah kuatkan keluarga Ummu Ammar dan keluarga Ukhtie Huda dan Husna di atas kepulangan mereka yang tersayang. Sesungguhnya Allah sayang kalian.

Mereka masih dan akan terus hidup di hati kita. Moga kita semua terus melangkah mengharungi dunia dengan tabah. Sesungguhnya setiap jiwa adalah miliknya. Mari persiapkan diri dengan sebaik-baik bekal sebelum dijemput pulang selama-lamanya. Sinar juga mengharapkan doa daripada kalian. Moga diberkati setiap langkah ini. Kerdil diri ini tanpa Allah di sisi.

Monday, June 07, 2010

Jangan Bertangguh (2) !!!

Salam rindu buat semua. Rindu sungguh Sinar pada blog ini. Alhamdulillah, kerisauan yang dirasakan beberapa hari ini terungkai sudah. Bila keutamaan diutamakan jiwa tenang kembali. Tahukah kalian apa yang paling utama dalam hidup ini? Allah yang kita yakini itulah yang paling utama. Setiap sesuatu jika dihubungkan dengan Allah, akan ada rawatan dan kelegaan buat hati. Hati akan puas apabila Allah dijadikan sandaran dan pencari kekuatan. Sesungguhnya Allah tidak pernah lupa mendidik kita. Mungkin coraknya sahaja yang berbeza. Walauapapun terjadi, hidup perlu dihiasi dengan amal dan kesungguhan.



Teruskan melangkah...

Sedar tidak sedar hanya tinggal lima hari untuk Sinar persiapkan diri untuk peperiksaan akhir. Sekejap sungguh masa yang Allah pinjamkan. Persiapan masih lompong. Justeru tiada istilah bertangguh untuk saat ini. Apatah lagi esok masih misteri. Persiapkan diri sebelum kita diuji. Tidak sanggup menyesal di kemudian hari.

“Tangguhkan sesuatu perkara yang patut dilakukan hari ini kepada hari esok sekiranya anda sanggup untuk meninggalkan dunia ini dengan membiarkan ia tidak diselesaikan.”
~Pablo Picasso
~

Anda sanggup? Sinar tak sanggup =(

Setiap kali masih diberi peluang merasai hari esoknya. Bangun melihat dunia. Satu tusukan menepati dada. Persoalan ini akan Sinar lontarkan sekiranya, karat-karat jahiliah ini masih berbaki.

"Wahai diri, mengapa masih malas dan bertangguh? Inikah sikap muslim, mukmin, amilin?"

Kadangkala provokasi pada diri sendiri sangat berbaloi manakala pujian yang bertalu hanya mematikan hati. Setidaknya kita mengingatkan diri bahawa kita ini lemah tanpa Dia.

Kenapalah manusia suka benar bertangguh? Ini persoalan untuk diri Sinar fikir-fikirkan. Bahkan peringatan demi peringatan tidak putus Allah berikan. Hakikatnya semua orang tahu, bahawa bertangguh adalah teman kegagalan. Kitalah orang yang sombong sekiranya masih meyakini esok masih ada untuk kita. Setiap hari Allah menjemput hamba-Nya pulang. Kita pula bakal menyusul. Dalam bentuk apakah kita akan pulang menemui-Nya.

Ayuh, kita hidupkan hari-hari dengan kesungguhan luar biasa. Kita masih manusia, sentiasa melakukan kesilapan, maka taubat jangan kita lupa.

"Kerja kerana terpaksa, terseksa. Kerja untuk menerima, gembira. Kerja untuk memberi (bakti), bahagia. Anda pekerja kategori mana? "
~Abu Saif~

Doakan Sinar...

Monday, May 31, 2010

Keamanan yang dicuri, Israel Pengganas Dunia!

Izinkan saya bertanya pada saat ini...
Kalau pencuri keamanan wajar digelar apa?

Penganas!

Ya dan itu hanya layak untuk Israel Si Zionis yang bermuka-muka. Sungguh hati ini perit seawal bangun sudah dikejutkan dengan berita Kapal Mavi Marmara sudah dikepung, 10 dilaporkan mati dan 30 orang cedera. Aduh apakah aku mimpi? Sungguh tidak boleh diterima. Ya Allah kau hukumlah Israel setimpal dengan kekejamannya. Mereka benar benar dahagakan darah manusia.


Walaupun esok merupakan hari saya bertempur di medan peperiksaan, lewat satu pagi hari ini saya masih mengikuti perkembangan mereka di livestream-ihh. Kemudian barulah menidurkan diri. Saat itu krew kapal masih tenang walaupun amaran untuk memakai jaket keselamatan sudah dikeluarkan. Tidur pun tak terasa seperti tidur. Apabila terjaga, inilah yang terjadi. Allah..Allah..

Sumber : Al-Jazeera

Israel sudah lama bergelar penganas. Mungkin kita lupa dan mungkin ada yang berkata mereka juga berjuang untuk tanah mereka. Sedarlah wahai manusia. Tanah yang mereka diami saat ini adalah tanah saudara Palestin kita. Tanah yang mereka duduki adalah kesan darah saudara Palestin kita. Wajar kita perjuangkan hak siapa sekarang? Hak saudara kita! Sungguh saya tidak senang duduk saat ini. Kerana yang di atas kapal itu bukanlah membawa senjata tapi membawa misi kemanusiaan.

Israel PENGECUT! Mencari lawan yang salah. Senjata dengan bantuan kemanusiaan. Hilang akalkah?

Sedih tak terkata. Moga Allah pelihara iman mereka. Moga Allah kuatkan mereka.

Manusiakah Israel? Anda bagaimana? Masih manusia dan masih adakah perikemanusiaan? Sebarkan berita dan perasaan anda memprotes tindakan Israel. Teruskan berdoa.

Mungkin saat ini Allah mahu membuka mata dunia. Membuktikan pada dunia siapa penganas dunia, siapa dalang sebenarnya. Sekarang Israel bukan sahaja musuh Islam tapi musuh dunia kerana yang berada di atas kapal bukanlah Muslim sahaja. Bukalah mata wahai pembaca. Jangan kita enak dengan situasi yang ada. Mereka yang membawa misi kemanusiaan ini sedang melunaskan hak mereka, tapi kita juga perlu melunaskan hak kita. Berdoa dan berdoalah.


Terus memberi sokongan dan mengikuti perkembangan di:

http://twitter.com/freegazaorg

http://twitter.com/sahabatalaqsha

http://english.aljazeera.net/news/middleeast/

http://www.livestream.com/insaniyardim

http://www.presstv.ir/llnw/



Friday, May 28, 2010

SiNaR's Kitchen Corner : Puding Roti Pelangi

Salam sejahtera dan salam Jumaat semua...

Kawan-kawan tengah buat apa tu? Mesti tengah study kan? Kalau dah tak larat, apa kata buat aktiviti yang bermanfaat. Di samping tu dapat juga menenangkan fikiran dan regangkan otot. Pada yang sudah bekerja, mesti ramai yang bercuti hari ini kan? Apa agaknya aktiviti yang sesuai ya? Erm, bersenam dah, kemas bilik pun dah. Ha, memasak belum lagi. Nak masak tak?

Kalau sudah mengisi hari jumaat dengan membaca Al-kahfi, Seronok juga kalau kita memasak untuk teman-teman atau ahli keluarga. Teringin nak berkongsi salah satu resepi yang Sinar dapat daripada housemate iaitu puding roti. Sinar terpikat dengan warna-warni masakan ini. Menceriakan si pemasak dan yang bakal memakannya juga. Ada pelbagai cara dan resepi yang berbeza untuk membuat puding roti, tapi yang ini Sinar rasa yang terbaik pernah dipelajari.

Sebelum pergi lebih jauh. Sebenarnya hari ini teringin nak lakukan sedikit kelainan dalam blog ini. Bermula pada hari ini, InsyaAllah Sinar akan berkongsi beberapa masakan. Itupun sebagai selingan santai dan mempelbagaikan lagi perkongsian di sini. Cuma perihal berentap di dapur ini Sinar lebih gemar beraksi di dapur daripada mencoret di medan maya. Benda praktikal terutamanya memasak kena duduk di dapur dan berguru. Kemahiran perlu di asah di medan sebenar. Lagi ummp dapat belajar dari orang-orang lama macam mak kita, nenek kita, mak cik-mak cik kita dan tak kurangnya ayah kita. Kaum lelaki pun hebat ni.

Baiklah, resepi kita hari ini adalah Puding Roti Pelangi. Ops, nama ni bukan official. Saja Sinar letak namanya begitu. Walaupun namanya pelangi, tetapi hanya tiga warna yang digunakan. Pelangi itu indah kan?. Jadi, simboliknya puding ini juga enak dipandang dan sedap di makan. Jazakillah kepada sifu saya. Identiti beliau dirahsiakan. Ke nak kena bagitau ye? Hehe...


Bahan-bahan yang diperlukan ialah:

10 cawan air
Satu peket agar-agar (20-30 gm)
3 cawan gula
Pewarna ( Merah, Hijau dan Kuning)

Bahan-bahan yang dikisar:

1 buku roti (lebih kurang 15 keping)
1 kotak susu (1 liter)
3 biji telur

Cara memasaknya:
  1. Masukkan roti, telur dan susu ke dalam pengisar. Pastikan sebati dan ketepikan. Sebolehnya proses ini dilakukan sebanyak 3 kali - 5 keping roti dikisar bersama susu dan sebiji telur dan disatukan dalam bekas yang sesuai eg.mangkuk besar.
  2. Masakkan agar-agar bersama air hingga mendidih dan hancur. Digalakkan air mendidih terlebih dahulu baru dimasukkan agar-agar. Kemudian masukkan gula dan kacau hingga larut.
  3. Tuangkan bahan-bahan yang dikisar ke dalam agar-agar yang mendidih. Kacau sehingga adunan menjadi pekat.
  4. Bahagikan adunan kepada 3 adunan yang berbeza warna dalam bekas dan sediakan acuan atau loyang khas.
  5. Letakkan setiap adunan yang berbeza warna secara berselang seli ke dalam acuan. Biarkan sejuk.
  6. Lebih enak di masukkan ke dalam peti sejuk sebelum dipotong dan dihidang.


Selamat mencuba!
(^_^)
Ceria-ceriakan diri anda dengan senyuman dan sentuhan di dapur.
Wahai Cik Sinar, sila sambung study!

Wednesday, May 26, 2010

Optimis sajalah!


.:Optimis sajalah~Tashiru:.


Setiap manusia menginginkan kebaikan
Dalam menjalankan kehidupan di dunia
Meski terkadang semua yang diinginkan
Ternyata hanyalah impian

Setiap manusia mendambakan bahagia
Bila esok hari kan menyapa dirinya
Walau kenyataannya tiadalah tergenggam
Yakinilah nanti kan datang

Pabila terjadi sesuatu terhadap manusia
Jangan berpikir untuk berputus asa
Kembalikan semua pada Yang Esa saja

Berbenah diri hadapi yang terjadi
Raihlah dengan penuh percaya diri
Tingkatkan iman dan taqwa kepada Ilahi

Kalian pernah mendengar nasyid ini? Kalau tidak pernah, silakan mendengar. Yang penting mendengar sambil menghayati liriknya. Kemudian ukurlah di mana status iman kita dalam menghadapi sebarang cabaran di dunia ini.

Beranilah bermimpi!

Setiap manusia pasti mahukan yang terbaik dalam kehidupannya. Sudah fitrah manusia inginkan kebaikan buat dirinya. Apatah lagi seorang Muslim, hidupnya perlu diisi dengan perkara yang bermanfaat. Setiap detiknya akan menentukan sama ada ia ahli syurga atau neraka. Bahkan seorang Muslim mesti berani bermimpi dan bercita-cita tinggi. Kemudian membumikan apa yang diinginkan. Usaha, doa dan tawakal itulah senjatanya. Natijah diserahkan kepada Allah.

Amru Al-Ash radhiyallahu'anhu berkata:

"Kalian harus bercita-cita meraih perkara-perkara yang besar, bukannya perkara-perkara yang kecil"

Kagum dengan sahabat Rasulullah. Mereka berjiwa besar. Jauh rasanya dibandingkan dengan diri kerdil ini. Berani bermimpi ertinya berani berhadapan dengan risiko mahupun cabaran. Tak semudah itu Allah biarkan kita mengapai apa yang diimpi, Ujian tidak memilih manusia. Cuma bentuknya sahaja barangkali berbeza. Manusia sudah termaktub akan diuji. Suka atau tidak, ia mesti menghadapinya. Allah menguji untuk melihat siapakah yang paling baik amalnya, paling redha , paling sabar, paling tabah dan paling bersyukur. Seolah-olah ada carta untuk memilih siapakah yang paling mulia berada di sisi-Nya. Agak-agak kita di ranking ke berapa?

Wahai diri, hidup perlu optimis!

Awal pagi lagi telefon bimbit sudah berbunyi tanda pesanan ringkas baru sahaja diterima.

"Macam mana kuiz semalam? Senang ke? Wish you all the best." Ringkas sahaja Lek bertanya.

" Syukran Lek. Exam Alhamdulillah boleh buat. Tapi macam kelakar pula. Dengar kata 5 soalan je, but guess what, Dr bagi 50 soalan."

"Oklah tu. Sebagai bakal doktor mesti bersedia dengan pelbagai karenah pesakit dan keadaan yang tidak kita sangka. Itu nasib baik 50 soalan. Kalau tak da soalan lagi sedih"

Malu dan tersenyum sendiri apabila menerima balasan sms daripada lek. Bagi Lek tiada soalan itu lagi menyedihkan. Ambil masa juga untuk mencerna apa yang lek cuba sampaikan. Ya, peperiksaan itulah salah satu bentuk ujian kehidupan. Ujian yang hadir itu ada kebaikannya. Kalaulah hidup ini tiada ujian, itulah yang patut kita bimbangkan. Manusia kalau dibiarkan dalam zon selesa pasti dia akan leka. Jika Allah tak hadirkan ujian seolah-olah Allah tidak menyayangi kita pula. Justeru manusia yang Allah kurniakan akal kenalah memilih jalan yang terbaik untuk berhadapan dengan sebarang kesulitan dan kesenangan dalam kehidupan.

Hari ini pula sebelum kuliah bermula Dr. Rania berpesan.

"Today, I have surprise for you guys."

Riuh satu kelas dibuatnya.

"Apakah? Ni mesti shock exam. Aduh! Baru semalam kan kita exam." Sarah mula bersuara.

"Haha, memang doktor sayang kita la ni. Abeslah." Tambahku

Memang itulah hadiah yang kami terima. "Shock Exam lagi". Agak kritikal juga soalan yang kami terima. Jawab sajalah. Yakin diri. Maklumlah sms lek pagi tadi masih terkesan dalam diri. Pesan Dr Rania, "Look at brighter side". Terima kasih doktor. Kami belajar sesuatu. Jangan mudah menyerah kalah. Cuba dan cuba. Think and think.

Jadi kawan-kawan let us be optimist and always be prepared. Peringatan untuk diri sebenarnya. Hakikatnya macam itulah kehidupan, penuh rahsia. Ajal pun rahsia. Bahkan ajal adalah ujian terakhir kita. Waktu itu Allah tak kira sama ada kita bersedia atau tidak. Malaikat tidak pernah bertangguh menjalankan tugasnya merentap nyawa manusia. Ayuh, kita sedia!

Think positive and never loose hope!

Hidup ini sentiasa mencabar tetapi harapan itu masih ada. Debaran peperiksaan pun makin terasa. Tidak dinafikan selepas pelbagai peristiwa yang berlaku, Sinar pernah hilang keyakinan dalam meneruskan misi hidup. Alhamdulillah, Allah masih memberi kekuatan pada diri melalui keluarga dan sahabat-sahabat. Ramai yang mengingatkan untuk optimis. Terharu. Dalam dosa yang menimbun masih diberi peluang untuk mengecapi nikmat yang pelbagai. Moga Allah ampukan dosa-dosa Sinar. Esok merupakan hari terakhir kuliah di Tahun 4. Maka akan bermulalah sesi berhibernasi (study leave). Misi mengutamakan yang utama. Doakan Sinar ya =)

Exam End Round

End round Ophthalmology : 1 jun 2010

Exam final 4th year

.:Written:.

Community Medicine : 12 jun 2010
Forensic & Toxicology : 19 jun 2010
Ophthalmology : 23 jun 2010
Ear,Nose & Throat : 27 jun 2010

.:Fasa berikutnya:.

Oral & Practical ENT : 30 jun 2010
Oral & Practical Ophthal : 3 julai 2010
Oral Forensic & Toxicology : 5 julai 2010
Oral Community Medicine : 7 julai 2010

Kemudian pulang ke Malaysia (^_^) Doakan semua selamat ya.
Salam mahabbah...

Saturday, May 22, 2010

Ummi D~Hearty 2

Khas daripada anakmu...


Assalamualaikum wbt

Apa khabar semua? Walid dan Ummi sihat? Sahabat-sahabat yang sedang membaca pula macam mana, antum sihat? Sinar harap semua ceria ceria belaka. Jangan sedih sedih ya. Hari ini kena ceria. Baru bersemangat buat kerja (^_^)

Alhamdulillah, 22 Mei menjelma lagi. Terasa baru semalam 2009 meninggalkan kita. Apa yang penting hari ini hari ulangtahun kelahiran Ummi Sinar. Macam sedap je kalau panggil Ummu Hidayah kan (Ummi, Ok tak?).

Segala puji juga bagi Allah kerana Ummi masih sihat dan kuat untuk berubudiyah pada-Nya. Dari jauh anakmu tidak putus berdoa semoga Allah berkati dan lindungi Ummi dan Walid di tanah air.


22 Mei datang lagi (^_^)
Selamat Hari Lahir Ummi
&
24 Mei pun bakal tiba
Selamat Hari Lahir Hanisah

Ummi ratu hatiku, Walid penyeri hidupku

Tahun 2010 sememangnya adalah tahun yang 'special'. Tahun ini keluarga kami banyak melakar sejarah dan kenangan bersama. Ummi sendiri sudah bertambah status menjadi ibu mertua. Awal pula Ummi dapat menantu. Teringat pula dulu dulu kala, disebabkan adik-adik masih kecil, Sinar tak mahu dah tambah adik. Cukuplah yang ramai dan riuh ni. Tapi bila sudah besar, terasa sunyi pula daripada tawa dan tangis anak kecil. Maka mulalah teringin adik lagi. Betullah kata Walid, "Nanti Along yang beria nak adik lagi." Macam biasalah suka menidakkan tapi hati kata, " Ya, nak lagi." Ingatkan dapat baby tup tup dapat adik ipar. Cepat betul adik baru Sinar membesar. Hehe. Lebih tinggi daripada Sinar kot. Again I will be the shortest.


Tiada dalam gambar : Insyirah, Salwa dan Malissa

Walaubagaimanapun, setiap perubahan dan dugaan yang berlaku dalam keluarga, Ummilah orang yang paling tabah menghadapinya. Beliau juga sentiasa bersemangat berhadapan dengan benda baru. Malu pula bila diri 'down'. Ummilah penguat dan pembakar semangat Sinar. She is the queen of my heart. Walid pula sentiasa rasional apabila hati ini meminta pandangan dan nasihat. Ketika Sinar sedih, Walid akan hantar kata-kata motivasi dan sentiasa ingatkan diri pada Allah. Walid lah penyeri hidup Sinar. Kena puji dua dua ni sebab Walid pembaca setia. Nanti ada yang jelous. (Gurau je lek)

Ummi oh Ummi

Kalau nak cerita pasal Ummi, tak tahu bila boleh habis. Boleh kata Ummi ni 'all rounded'. Orangnya ramah. Agaknya Along banyak cakap macam Ummi kot. (^_^) Perasan pula...

Ummi Sinar pandai menjahit. Sinar pun sangat suka kalau dapat pakai baju yang Ummi jahit. Terasa hangatnya kasih seorang ibu. Anak dia ni tak pandai macam Ummi dia tapi minat tu ada. Ummi pernah usik Sinar fasal baju yang Sinar jahit dua tahun lepas sebab masih tak siap siap lagi. Ops, terbuka rahsia. Mana taknya, balik Malaysia je Sinar hilang dari rumah. Nampaknya Sinar layak jahit manusia je kot. Oho, it sound a little bit scary, isn't it?

Banyak jasa Ummi pada Sinar. Lagi lagi bila sudah besar ni, hampir semua benda Sinar rujuk Ummi. Dari hal peribadi hinggalah hal akademik. Dulu Sinar tak pandai sangat meluah perasaan ni. Suka menconteng di dalam diari. Sekarang dah maju sikit. Guna blog pula tapi masih ada batas bercerita. Tak puas la pula...

(Ummi pernah jumpa diari Along kan. Malu sungguh waktu tu. Hehe.)

Sinar anak siapa?

Apabila ada orang mula meneka dan memberitahu muka Sinar mirip Walid atau Ummi, Sinar sudah mula geli hati. Pada yang pernah jumpa mereka berdua, ada yang berkata, "Ni anak Lek ni." dan ada juga yang berkata," Ni anak Ummi dia ni"

Selain tu, kalau kawan-kawan nak tahu, setiap kali Sinar mengangkat telefon perbualan dibawah selalu terjadi.

Kring, kring, kring...
Sinar pun bergegaslah mengangkat telefon rumah. Itupun kalau Salwa tak mahu berebut la.

"Assalamualaikum." Kawan Ummi memberi salam.

"Wa'alaikumusalam. Ye, nak cakap dengan siapa"

"Ha, Sham, ni nak beritahu"

"Jap makcik. Ni Along ni. Mak cik nak cakap dengan Ummi ya?"

"Lah, Along ke. Suara macam Ummi."

"Hehe. Makcik tunggu kejap ya. Along panggilkan."

Setiap kali angkat telefon macam tu la perbualan yang akan terjadi. Dan kawan-kawan Ummi pun memang dah kenal Sinar. Hehe sebab Sinar ni suka benar mengikut Ummi ke program. Sampai makcik-makcik ni pun dah panggil Along. Mesra sikit la kan. Segan juga sebenarnya. Cuma bila menjawab telefon, ramai yang fail untuk mengenali inilah Along. Huhu...

Oh, sebut fasal kawan-kawan Ummi ni. Teringat peristiwa sekitar bulan Februari, beberapa orang kawan Ummi datang ke Mesir sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah. Sinar sempat la berjumpa untuk mengambil barang yang Ummi kirim dan makan malam bersama mereka. Topik perbualan malam tu hanyalah pasal "Along". Ha, Sinar lah tu jadi mangsa. Huhu malu sungguh. Sedang rancak makcik-makcik berbual, sempat pula mereka ni bertingkah.

"Ha, betullah Along ni macam Ummi dia." Kata makcik A

"Eh, tak lah tengok betul betul, macam Walid dia la." Kata makcik B

"Aaa, macam Lek dia."Kata makcik C

Pening juga la Sinar dibuatnya. Macam-macam kan. InsyaAllah semua betul. Sinar ni anak Ummi dan Walid. Muka pun, bila pusing kiri, pusing kanan, kejap nampak macam Ummi, kejap nampak macam Lek. Fair la kan...Hehe...

Tersenyum sendiri bila teringat semua ni. Makin rindu jadinya. Sebagai anak, kita ni tidak lepas dari bayangan ibu bapa. Merekalah yang telah membesar dan mendidik kita. Walaupun muka tidak seiras sekalipun, pasti ada tempias sikap dan tabiat. Bukan senang nak jadi ibu bapa ni. Syabas buat Ummi dan Lek kerana telah mendidik kami. Kelemahan dan kekurangan itu biasa. InsyaAllah sama-sama kita perbaiki. Yang Along tahu, Ummi dan Lek sedang mencuba yang terbaik. Along sayang kalian berdua. Sayang sangat.

Nampaknya kena berhenti dulu ni. Buat Ummi tersayang, selamat Hari Lahir Along ucapkan. Nanti nak pergi honeymoon tu jangan lupa Along ya. Lagi lagi time tu Along periksa. Doakan Along berjaya dunia dan akhirat. Kenang Along dalam doamu.(^_^)

Sebagai penutup, ada hadiah untuk Ummi. Gambar je la. Baru belajar je ni. Terubat la rindu dengan tulip. Bila la agaknya ada peluang ke Holand mahupun Turki (^_^). Tengah menunggu orang bawa. Banyak sangat hajat dan impian Sinar ni. Moga Allah dengar doa-doa Sinar. Ameen

Hanya untukmu...

Merah untuk Ummi
Biru untuk Walid
Jingga untuk Sinar
Oren untuk kamu
Kuning untuk dia

(^_^)
Maaf atas segala kekurangan.
Salam perjuangan semua.



Wednesday, May 19, 2010

Bergeraklah!

Apabila disebut kalimah bergerak apa yang kita gambarkan?

Gerak, kalian gerak....

Move by Deviantart

Adakah sekadar kaki digerakkan, tangan dihayunkan dan otot-otot yang kita miliki digunakan? Bagi Sinar, bukan hanya sekadar itu. Seharusnya apabila diminta bergerak, otak kita juga harus ligat berfikir dalam merungkai makna yang dicari.

Bergeraklah dalam menuai cinta Illahi

Definisi bergerak ialah beralih tempat atau perkataan lawannya ialah diam, statik atau pegun. Malah wujud juga perkataan 'gerak balas' iaitu interaksi dengan sesuatu yang kita hadapi. Maka bergerak pada unsur positif akan menghasilkan satu kemajuan dan perubahan. Sinar cukup menggemari kalimah ini. Kerana apa ya? Ok mari kita berkongsi. Erm, kita sendiri sedia maklum, kita perlu sentiasa bergerak dan terus bergerak. Hatta dalam kehidupan, berhentinya kita melakukan kerja adalah kemunduran pada pembinaan jatidiri. Apatah lagi, berhentinya kita melakukan kebaikan adalah kejatuhan kita sebagai seorang hamba. Ibaratnya kita menjatuhkan maruah diri dihadapan Maha Pencipta. Apa yang penting, hati kita perlu digerakkan.

Teringat pesanan seorang murabbi di dalam sebuah program dahulu,

"Kita tidak mahu menjadi air yang bertakung. Lama kelamaan air tersebut akan keruh. Hidup ini perlulah seperti air yang mengalir. Jernih dan menyucikan. Daie apatah lagi, statiknya daie akan merencatkan dakwah. Diri juga yang rugi."

Dan bertepatan pula pesanan itu dengan gambaran yang Imam Syafi'e pernah utarakan. Beliau menggambarkan dalam sya'irnya yang sangat indah bahawa air yang bertakung akan busuk dan air yang mengalir akan kelihatan bersih dan jernih.

Maka, yang mana satu pilihan hati?

Dalam ilmu perubatan sendiri, cuba kita nilai kembali keperluan pesakit koma digerakkan anggota badannya. Adakah saja-saja mahu digerakkan? =) Sudah pasti untuk melancarkan perjalanan darah dan mencegah komplikasi. Jadi terbukti dalam pegun, diam atau statik tersimpan segala macam keburukan. Bahkan kenderaan yang disimpan berbulan-bulan akan mudah berkarat dan rosak. Apa gunanya cantik, sihat dan berupaya tapi tidak menjalankan fungsi. Macam itulah manusia. Jika seluruh potensi tidak digerakkan, hidupnya sia-sia. Na'uzubillah. Moga kita dijauhkan.

Biar sihatnya kita, Islam boleh tumpang.
Biar mudanya kita, Islam boleh tumpang.

Mengembaralah!

Berjalan membuat hati merasai betapa luasnya rahmat Allah. Oleh itu Sinar tidak lokek dan jemu menyatakan salah satu hobi adalah 'bergerak'. Definisinya sendiri cukup luas. Namun di sini suka pula Sinar kaitkan dengan mengembara. Istilah berjalan, mengembara dan menjelajah akan membuka dimensi baru dalam kehidupan. Setiap negara ada keistimewaannya. Dari mengembaralah kita akan mengenal erti syukur dan menghargai kehidupan. Pengembara akan berhadapan dengan pelbagai ujian. Hakikatnya inilah yang akan mematangkan diri dan menghidupkan iman di hati.

Bahkan jika kita selak lembaran sirah Rasulullah SAW, baginda sendiri memilih untuk berhijrah daripada mendiami Mekah. Berhijrah samalah seperti bergerak melakukan perubahan. Maka, selagi ada peluang, belajarlah sesuatu dari sebuah pengembaraan. Setidaknya belajarlah mengenali hakikat diri sebagai hamba Allah dalam setiap nafas yang ada.

Tua bukan alasan!

Menaiki metro (baca: komuter) bersama kawan-kawan adalah satu detik yang mendamaikan. Dari sini akan terbuka sesi perkongsian hati ke hati bahkan apa saja akan berlaku bila bersama. Ya hari ini kami menaiki metro ingin melawati senior yang baru sahaja melahirkan permata ummah, bakal pejuang Islam InsyaAllah.

Dalam metro bermacam ragam dapat dilihat. Namun hati terpaut pada seorang wanita tua yang kemas pakaiannya, yang jernih mukanya sebaik sahaja dia mula melantun suaranya. Kuat dan lantang suaranya berkongsi doa. Sinar ingatkan sekadar doa, tapi beliau menyambung dengan sesi tazkirah. Surah Al- Baqarah dibedah. Kisah Nabi Musa dan Nabi Salleh dikupas. Tidak putus putus beliau mengingatkan bahawa kita disaudarakan oleh Allah. Allah penghubung kita.

Sungguh Sinar kagum. Walaupun sudah tua. Tidak ada kalimah pencen baginya dalam dakwah. Menyampaikan apa yang diyakini biar kebenaran itu terserlah. Ya, walaupun Mesir lubuk segala ilmu dan tempat lahirnya ramai ulama' terkenal, ketahuilah Mesir tidak lepas dari pembaratan yang cukup pekat dan kelat. Penentangan dan penyokong kebathilan masih ada. Maka, penyampai kebenaran tidak akan pernah lelap dalam menyampaikan risalah Allah.

Wahai anak muda, malulah kiranya kita lekas putus asa dalam dakwah. Andai dakwah kita diukur berdasarkan ramainya pengikut kita. Kita silap sebenarnya. Biarlah Islam kita sebarkan supaya manusia menjadi Muslim yang sebenar, bukan hanya ikut-ikutan. Berubah kerana hati diikat dengan Allah bukan dengan kita. Apa yang membahagiakan adalah, Islam disebarkan tanpa mengira manusia, bangsa, negara, medium dan masa. Mungkin kata-kata kita hari ini akan memberi kesan pada insan itu 10 tahun akan datang. Jangan mengharapkan natijah segera. Manusia tidak lekas berubah. Berubah perlu masa.

Bergeraklah...

Bergeraklah wahai diriku dari kegelapan dan kejahilan kepada sinar kebenaran, bergeraklah wahai diriku dari kemalasan yang melemahkan.

Jangan pernah berhenti, kerana kita tidak layak bergelar penganggur di dunia. Biarlah kita menjadi 'pekerja' yang itqan di dunia kerana akhirat tempat kita menuai hasil kerja.

Sebagai penutup, suka Sinar kongsi kata-kata Syeikh Muhammad Al Ghazali

"Bahawa orang-orang yang menganggur adalah manusia yang mati. Ibarat pohonan yang tanpa buah. Para penganggur itu adalah manusia-manusia yang wujudnya menghabiskan keberkahan.”

Wallahu'alam...
Salam mahabbah buat semua...

Friday, May 14, 2010

Berkatalah kalimah yang baik!

Salam kedamaian, salam sejahtera buat kalian

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...


Dalam kedamaian pagi Jumaat ini, telah kubaca ayat-ayat cinta di bawah ini...

"Dan orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan dimasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah salam"

"Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit."

"Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpaan itu untuk manusia selalu ingat"

"Dan perumpaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun)

"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh dalam kehidupan di dunia dan di akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki"

(Surah Ibrahim : 23-27)

Maka, tidak lepas untuk kita yang mahukan syurga sebagai destinasi akhir untuk berkata yang baik baik sahaja. Tidak mengungkap ungkapan yang sia-sia. Tidak mencaci makhluk-Nya. Tidak mengumpat manusia. Tidak melakukan sesuatu pun yang Allah murka. Insaf dan insaflah manusia. Banyak sungguh dosa kita sebenarnya. Sesungguhnya ini peringatan untuk diri dan kalian yang membaca. Ya Rabbi, ampunilah dosa-dosa kami...

Berkatalah yang baik selalu, itulah bekalan kita bertemu Allah. Termasuk kalimah yang baik ialah mengucapkan kalimah tauhid iaitu segala ucapan yang menyeru kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran serta perbuatan yang baik. Mudah bukan, menjadi hamba Rabbani! Hanya lakukan apa yang Dia suruh, tinggal apa yang Dia larang. Sungguh 'simple' arahan yang diberi namun manusia bertingkah dalam melakukan kebaikan. Ya, tidak dinafikan kerana hebatnya dugaan dan tarikan dunia. Itulah perlunya mujahadah. Terus dan terus melangkah dengan penuh keinsafan dan taubat yang berterusan. Allah sentiasa bersama kita.

Blog medan bertinta dan medan berkata-kata

Blog ini amat berharga bagi saya. Blog inilah ruang untuk saya meluah rasa, mencoret kata dan berkongsi berita dengan keluarga dan mereka yang saya sayang. Bahkan inilah medan untuk saya menyahut seruan "Berkatalah kalimah yang baik".

Semalam saya pernah meluahkan pada insan yang saya hormati untuk menutup blog ini akan tetapi beliau terus menasihati "Jangan! Muhasabah diri dan lakukan perubahan". Itulah jawapan yang beliau beri. Walaupun jawapannya ringkas, namun hati ini cukup terkesan. Inilah bukti saya masih manusia. Ada pasang surut, ada saat lemah dan ada saat saya kuat (^_^) Saya bersyukur pasti ada sahaja peringatan yang hadir.

Sesungguhnya setiap langkah saya beberapa hari ini menggesa saya meninjau kembali kenapa saya menulis dan terlibat dalam dunia blogger ini. Hatta penglibatan saya dalam beberapa medan penulisan lain menyebabkan sedikit hati ini terluka mengenangkan diri sememangnya bukanlah penyampai dan penulis yang baik. Bahkan saya sentiasa mengarahkan segenap jiwa dan minda saya menulis kerana Allah. Sememangnya kata-kata insan ini supaya saya muhasabah, telah mengingatkan saya akan seseorang yang telah pergi dan takkan mungkin kembali.

Beliau sentiasa di hati

Maka datangnya tarikh 14 Mei ini mengingatkan saya pada seorang murabbi yang banyak melatih diri dalam dunia penulisan dan saya mengakui saya masih banyak kekurangan dalam bidang ini. Buku latihan sewaktu di sekolah dahulu masih saya simpan. Beliau sangat prihatin dan tegas dalam tatabahasa dan struktur ayat yang kami gunakan. Ya, beliaulah Ummi Halimaton yang pernah saya coretkan kisahnya pada 14 Mei 2009 yang lalu. Itulah tarikh kepulangan beliau ke sisi Pencipta Yang Maha Agung.

Langkah kakiku ke bumi wakafan... terasa sunyi tanpa Ummi...
Sebak mengenangkan meja gurunya yang kosong tanpa empunya...
Terharu mengenangkan gambar kami, anak didiknya masih di mejanya...
Hilanglah satu suara yang menyambut ceria kehadiran kami selama ini...

Banyak nasihat Ummi yang menyuntik diri bahkan gurauan nakalnya juga masih segar dalam ingatan. Tidak mahu mengulas panjang. Memori bersama beliau cukup banyak dan mengundang sebak. InsyaAllah blog ini saya akan manfaatkan untuk menyampaikan kalimah yang hak. Tidak akan saya sia-siakan usaha Ummi mendidik saya. Ini janji. Moga Allah mudahkan.

Doakan saya. Saya masih manusia, tidak lepas dari silap dan salah. Salam perjuangan buat semua.

Monday, May 10, 2010

Saya rindu Ummi!

Terasa ingin bercerita. Duhai blog silalah bersabar dengan celoteh tuanmu ini.

Semalam ketika sudah penat mengulangkaji, hati teringat sangat pada Ummi. Rindu . Terus telefon dicapai. 'Direct call' lebih memuaskan hati. Hehe apalah sangat kredit untuk melepas rindu. Betul tak? Walaupun ummi biasanya sudah pun tidur waktu sebegini. Cuba sajalah...


"Assalamualaikum Ummi!" Riang sungguh diri memberi salam.

"Wa'alaikummusalam. Along ke?" Erm, lain sungguh suara ummi.

"Hehe, Along la siapa lagi. Duk teringat Ummi. Tu yang terus call. Ummi dah ngantuk ye, tapi kenapa suara semacam je ni? Tak sihat ke?"

"Ummi mengantuk dah tapi duk berehat kat bilik adik-adik. Allah izin Ummi demam."

"Demam! Ummi makan ubat tak? Dah jumpa doktor?"

"Alhamdulillah dah makan. Doktor je belum jumpa. Tak sempat."

Sememangnya Ummi jarang sakit. Kalau sakit tu, akan terasa sangat kesannya. Kalau Ummi demam, agak teruk jugalah. Sinar pun mewarisi kot. Jarang juga demam, mungkin sekali setahun. Genetikkah? Erm... Sinar mulalah berfikir siapalah jaga ummi, siapalah tolong uruskan rumah dan siapalah nak hantar adik-adik pergi sekolah. Kadangkala bila mengingatkan banyak urusan yang Ummi mampu uruskan, terasa sangat Ummi ni orangnya hebat.

Bila Ummi sakit, terasa semua benda serba tidak kena. Sebenarnya Allah nak suruh Ummi berehat. Selain tu Allah nak didik anak-anak ni supaya jadi insan bersyukur dan hargai jasa Ummi. Dulu dan sekarang, makan minum kita Ummi jaga, sihat dan sakit kita Ummi tidak pernah lepas pandang. Ke hulu ke hilir melayan karenah anak-anak nan lapan ini. Hatta waktu tidur Ummi pun terganggu sejak kita dilahirkan. Disebabkan Ummi selalu ada, kadangkala kita tidak sedar yang kita ni sebenarnya 'terhutang banyak benda' dengan Ummi. Justeru wahai adik-adikku, sayangilah Ummi sepenuh jiwa ragamu. Kita buat yang terbaik untuk Ummi dan Lek walau hakikatnya tak terbalas jasa mereka pada kita.

Bila Ummi kata Ummi tak sihat. Kita yang jauh ni pun dah mula rasa risau. Mana taknya, anak-anak Ummi dan Lek yang sudah besar pun tinggal jauh. Seorang tercampak ke ardul kinanah, dua orang di utara. Maka tinggallah yang 'kecik kecik' kat rumah. Kebetulan semalam lek pun tiada di rumah. Hari ini baru lek pulang dari outstation. Alhamdulillah juga Solehin dan isteri masih tinggal di rumah. Lega sikit hati ni. Alhamdulillah ada adik ipar yang boleh tolong masak dan tolong apa yang patut (^_^) Syukran dik. Ada hikmah ada orang baru.

Kemudian teringat Salwa, si bongsu yang sentiasa Along rindu. Adik-adik lain pun Along rindu juga tau...

"Salwa ada lap lapkan dahi Ummi ke? Ummi sakit ni mesti dia tak duduk senyap. Rindu pula Along kat dia."

"Takde pula tapi Salwa tu kalut juga, sampai siap selimutkan Ummi. Dia dengan Fatin la nak temankan Ummi tidur." Dalam suara yang serak Ummi tergelak dengan celoteh anak-anak. Tersenyum Sinar di sini.

Kerisauan terubat sedikit melihat adik-adik yang begitu concern. Moga Allah pelihara dan didik jiwa adik-adik Sinar dengan sifat mahmudah. Alhamdulillah, pada hari ini pula sebaik sahaja selesai menunaikan solat subuh terus menelefon Ummi untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu dan bertanyakan perkembangan kesihatannya. Walaupun tiada perubahan Along doakan moga Ummi lekas sembuh. Syafakillah ya ummi habibati. (^_^)

Bukan apa Sinar berkongsi cerita ini. Jauhnya anak dengan ibubapa tidak akan mengurangkan apa pun sebenarnya. Malah menambah rasa cinta dan rindu pada mereka. Mereka lepaskan kita jauh jauh pun dengan meletakkan pergantungan pada Allah supaya Allah menjaga kita. Maka kita pun kena berserah pada Allah dan sentiasa berdoa pada-Nya.

Sempena hari ibu ini, Sinar ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu pada Ummi, Wan, Maktok, makcik-makcik yang disayangi, Ummi Siti, Makcik Madziah, cikgu-cikgu di MATRI , Dr. Mariam, Ustazah Fatahiyyah dan kaum ibu yang dihormati di seluruh dunia. Moga Allah ganjarkan kalian pahala dan syurga kerana tidak jemu jemu mendidik kami, anak-anakmu. Sayang kalian kerana Allah.

Friday, May 07, 2010

STuDy...ExAm!!!


Dua kalimah ini amat sinonim dengan mereka yang bergelar penuntut ilmu. Bermula dari peringkat tadika sehinggalah ke peringkat yang tertinggi. Sememangnya lumrah dalam pengajian pasti ada peperiksaan. Kebanyakan di kalangan kita sudah pun berada di penghujung semester. Sudah pastinya sibuk dengan pelbagai persiapan sebelum berjuang di medan peperiksaan. Masing-masing mahukan kejayaan yang cemerlang. Namun, adakah kita pasti yang kita mengejar dan menuju kejayaan dalam pengajian, kita ikhlas dalam belajar? Juga adakah ia selaras dengan visi sebagai pelajar muslim? Atau sekadar mengikut arus kehidupan yang menuntut kita menggapai kejayaan dalam pengajian? Sama-sama kita koreksi diri.

Rasulullah saw merupakan mu’allim dan murabbi terunggul. Baginda merupakan khudwah. Pada suatu hari baginda mengajar dan memberi motivasi kepada Muazd Bin Jabal, seorang tokoh yang di kemudian hari menjadi salah seorang fuqaha’ dalam kalangan sahabat r. a. dan kemudian menjadi guru kepada orang Yaman, dengan sabdanya bermaksud:

“Pelajarilah olehmu akan ilmu pengetahuan kerana: mempelajarinya kerana Allah adalah hasanah, mengkajinya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, menuntutnya adalah ibadah, mengajarkannya adalah sedeqah, mencurahkannya pada ahli adalah Qurban, memikirkannya umpama puasa, dan mendiskusinya ibarat Qiyam.”

Visi Pelajar Muslim

Secara umumnya, visi pelajar muslim dapat disimpulkan dalam dua patah kata: ALIM MUJAHID. Setiap pelajar muslim bertanggungjawab menjadikan dirinya sebagai seorang yang alim lagi mujahid. ALIM memberi konotasi penguasaannya terhadap ilmu yang diceburi, sama ada ilmu yang berkait dengan ad-Deen ataupun bekerja dan berjuang untuk ketinggian Islam. Kombinasi keilmuan dan amal islami adalah visi setiap pelajar Muslim.

Tetapi bagaimana kita hendak mencapai visi ALIM MUJAHID ini??

>> Teguh dalam aqidah

Ini merupakan syarat utama seorang mukmin, iaitu sentiasa membina hubungan dengan Allah SWT, mempunyai niat yang ikhlas dalam menuntut ilmu dan meninggalkan maksiat kerana maksiat boleh menghalang ilmu masuk ke dalam dada.

>> Jernih dalam fikrah

Kejernihan fikrah mampu menyelamatkan pelajar muslim dari berbagai fahaman dan ideologi asing serta isme-isme lama dan baru. Jernih dalam fikrah membantu pelajar muslim memilih dan membezakan antara hikmah dan sampah yang dimiliki oleh orang lain. Maka, adalah mustahak kejernihan fikrah dalam menapis pemikiran-pemikiran sesat atas nama ilmu pengetahuan.

>> Cemerlang dalam akademik

Kecemerlangan akademik melambangkan ketekunan dan sifat jiddiyah seorang pelajar dalam menuntut sesuatu ilmu. Pernah disabdakan oleh Rasulullah bahawa Allah mengasihi seseorang yang apabila melakukan sesuatu ia mengerjakan dengan tekun dan teliti. Oleh itu, kita sebagai pelajar muslim perlulah bersungguh-sungguh dalam belajar.

>> Aktif dalam dakwah

Aktif dalam kegiatan dakwah bukan bermaknalah semata-mata memberi syarahan agama, bercakap banyak, perbincangan halaqah, hadir halaqat dan sebagainya. Apa yang lebih penting di sini adalah “concern” dan keperihatinan jiwa kita terhadap masalah ummah dan juga terlibatnya kita dengan usaha-usaha amal islami. Ini merupakan medan sebenar bagi para pelajar untuk melatih diri berkorban di jalan Allah SWT.

>> Memanfaatkan kerjaya sebagai wasilah

Sesungguhnya kerjaya dan kepakaran kita adalah anugerah dan amanah daripada Allah. Ia perlu dipulangkan balik kepada Allah melalui usaha-usaha meninggikan kalimat Allah. Oleh itu segala ruang dan kesempatan yang ada hendaklah dipandang sebagai peluang-peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ikhlas dalam Belajar

Jika kita ingin ikhlas dalam belajar, sudah tentu kita harus mempersiapkan niat. Kerana gerbang ikhlas adalah niat. Lalu, apa yang kita perlu lakukan?? Kita haruslah memikirkan mengapa kita belajar! Alangkah ruginya mereka yang belajar kerana exam, kerana suka-suka, apatah lagi kerana sanjungan orang.

Katakanlah :

“Aku akan belajar kerana orang soleh tidak layak untuk gagal. Oleh itu, aku harus belajar sehingga aku tidak akan mencoreng muka orang mukmin lagi soleh.”

“Aku akan belajar kerana sehingga kini yang menakhodai dunia adalah orang kafir, orang fasik ataupun orang yang tak berguna dan juga golongan yang hendak menhancurkan Islam. Maka kini tibalah giliran salah satu dari orang soleh memimpin dunia…”

“Saya akan belajar hingga saya dapat menyeru manusia kepada Allah SWT.”

Dengan niat ini, setiap goresan pena atau pandangan mata pada kitab akan menerima pahala. Indahnya Islam. Amal kebiasaan boleh diubah menjadi ibadah. Kita belajar dan mendapat pahala, dan mungkin hati kita akan bertambah semangat dalam belajar kerana niat yang baik.

Sama-samalah kita memperbaharui niat sebelum melakukan apa jua perkara atau sebelum melakukan satu dari amal-amal ketaatan.

Tawakal

“Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya…”

(Surah At-Thalaq: 3)

Terdapat 4 tafsiran ulama’ mengenai tawakal;

Pertama, kepasrahan hati di hadapan Allah SWT seperti pasrahnya mayat di hadapan orang yang memandikannya. Adakah kita tahu apa yang dilakukan orang yang memandikan mayat? Ia membolak-balik tubuh mayat itu seenaknya. Begitulah tawakal.

Kedua, biarkanlah Allah SWT untuk menentukan.

Ketiga, kita menyempurnakan ‘sebab’ dengan anggota badan, dan memutuskan ‘sebab’ dari hati kita. Yakni tangan kaki kita harus menyempurnakan ‘sebab’ sedangkan hati kita harus melepaskan diri dari ‘pikiran sebab’.

Keempat, kita rela Allah SWT menjadi wakil kita.

Bagaimana pula yang dikatakan bertawakal kepada Allah? Nabi SAW bersabda; “Kalau kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, maka Allah akan memberi rezeki kalian seperti Dia memberi rezeki burung yang keluar pagi dalam keadaan lapar dan kembali petang dalam keadaaan kenyang.”

Erti ‘sebenar-benar tawakal’ ialah kita beramal dengan anggota badan kita tetapi hati kita terkait dengan Allah SWT.

Maka, disini wajarkah kita belajar dengan sekadarnya? Usahalah semaksima mungkin seterusnya menyerahkan apa jua natijah yang akan datang kepada Allah sebagai pemangkin diri kita dan yang pasti semuanya ada hikmah Allah sediakan untuk para hambaNya.

Penutup : Peperiksaan akhir

Dalam kesibukan kita bertungkus-lumus melengkapkan persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal menjelma, perlu kita ingat akan satu lagi peperiksaan akhir yang akan hadir. Yang mana peperiksaan itulah yang menentukan pengakhiran kehidupan duniawi kita. Hakikatnya, dunia ini hanyalah tempat persinggahan ke destinasi hakiki. Bahkan di dalamnya penuh dengan liku-liku kehidupan.

Kehidupan kita semua akan dinilai. Anggota badan menjadi saksi segala perbuatan yang kita lakukan semasa di dunia. Kehidupan kita penuh dengan ujian. Jika kita menduduki peperiksaan kita pasti dimaklumkan jangka masa untuk menjawab soalan. Namun bagaimana pula dengan kehidupan kita? Saat kita hidup adalah satu tempoh. Justeru tempoh itu terselit infiniti ujian. Namun pengujungnya kita sendiri tidak pasti bila tiba waktu akhirnya.

Sedarkah kita kehidupan kita sehari-hari adalah dalam pengawasan Allah. Malaikat kiri dan kanan tidak putus mencatat amalan. Kita pastinya bertungkus-lumus memanfaatkan tempoh peperiksaan. Bersungguh-sungguh tanpa melengah-lengah. Namun bagaimana persediaan kita untuk satu tempoh yang kita tak tahu? Maka kita kena perlu lebih bersedia kerana pengakhiran kita masih rahsia.

Mari sama-sama bayangkan dalam satu situasi ketika pensyarah kita tiba-tiba berkata, "Saya akan kutip assignment kamu bila bila sahaja saya suka." Justeru macam mana perasaan kita dan macam mana persediaan kita? Mungkin kita akan resah atau mungkin kita akan tenang dalam mengatur langkah.

Akhir kalam, moga setiap usaha kita diiringi doa dan tawakal pada-Nya. Moga Allah dengar doa kita. Jangan putus berdoa. Itu senjata kita.

Daripada kami untuk kamu saudara yang kami kasih.
Kita sebenarnya sama kerana kita saudara

KITA : Mesir bertinta
24 April 2010
Edited : 2 Mei 2010

Sunday, May 02, 2010

Hanya Kerana Mata

Agak tertunda kerja-kerja saya kebelakangan ini. Semua datang bertimpa-timpa. Alhamdulillah kerja yang banyak itu tidak memungkin saya untuk membuang masa cuma diri ini kena lebih sistematik mengatur kerja. Alasan harus dibuang jauh. Ketika mahu lelapkan mata, bermacam-macam perkara difikirkan. Kadangkala sebelum melelapkan mata, pantas pusing ke kiri dan pusing ke kanan lama juga baru diulit mimpi. Terinsomnia seketika. Maaf kepada kerja-kerja yang tertangguh dan maaf juga pada rakan sekerja (ops seolah saya seorang pekerja bukan pelajar pula). Sungguh saya juga tidak suka menjadi manusia penangguh kerja kerana ia akan melibatkan masa orang lain dan melambatkan proses kerja orang lain. Maaf dan maaf. Sekarang saya berusaha berlari mengoptimum waktu waktu yang ada.

Ophthalmology subjek berbisa:

Sekarang saya sudah pun hampir tiga minggu di round baru iaitu Ophthalmology (Mata). Ya subjek ini menarik. Namun terasa kecacatan diri ekoran mata rabun dan berhajatkan cermin mata. Namun subjek ini merupakan subjek terakhir untuk kami pelajari di Tahun Empat ini dan subjek ini menduga kesabaran kami. Cabarannya pelbagai. Dari doktor yang pelbagai personaliti, jadual yang begitu fleksibel dan juga kemudahan pembelajaran yang disediakan amat menguji kesabaran. Terus bersabar dan usaha untuk bersyukur.

Dari kerana mata

Mata merupakan nikmat yang Allah kurniakan. Dengan mata kita dapat melihat warna, benda, manusia dan alam ciptaan-nya. Ya, dengan mata kita dapat melihat betapa besarnya kebesaran dan keagungan ciptaan Allah. Mata yang kelihatan biasa ini sebenarnya terlalu kompleks mahu ditafsirkan. Ya mungkin sains dapat menggambarkan struktur dan lapisan mata tapi saya cukup yakin masih wujud rahsia yang tersembunyi. Rosaknya mata akan menghilangkan separuh kepuasan dalam menikmati hidup seharian. Sekalipun kebanyakan penyakit mata ada penawar dan rawatannya namun tetap tidak sama. Keaslian mata dan fungsi mata adalah hak mutlak yang Allah jadikan. Maka nikmat tuhanmu yang mana kamu dustakan?




Namun dengan anugerah ini juga manusia lupa, manusia alpa dalam menghargai mata. Ada mata tapi hati buta. Tidak pernah melihat dunia dengan mata hati. Lihat sahaja kekejaman yang kita lihat saban hari, sahabat di Palestin di bunuh, peperangan wujud di sana sini semuanya hasil kotornya mata hati. Mata yang berada di kepala tidak berupaya menghargai apa yang dilihat sekiranya mata hati sudah gelap dan kotor dengan ajakan taghut yang hina. Fitrah manusia sukakan keamanan, bencikan keganasan tapi manusia jenis apakah yang sentiasa dahagakan darah lawan... Renungkan...

Mungkinkah kita juga spesis yang sama?

Apa perasaan melihat si anak kecil comot di jalanan...
Apa perasaan melihat si tua compang camping mengemis di jalanan...
Apa perasaan melihat kawan dalam kesusahan...
Apa perasaan melihat Nabi Muhammad diperlekehkan...
Ya mungkin ramai yang lebih memikirkan perut sendiri...
Ya mungkin ramai yang kata, bukan aku yang diuji...

Di manakah peranan pemimpin dan di manakah peranan kita? Atau kita sekadar mampu melihat...dan melihat...tanpa berbuat apa-apa? Atau kita masih mencari salah sahabat seperjuangan sementara umat lain tenat menunggu bantuan. Oh, saya masih tidak dapat menerima hakikat mengaku faham agama, faham dakwah tapi masih mahu bercakaran. Rasulullah ajarkah kita berbuat demikian? Tidak bukan!!!

Sungguh sadis sebenarnya...

Bangunlah, usaplah mata hati dengan air keimanan bukan hasad dengki!!!

Sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada

(Al-Hajj 22: 46)

Jazakallahu kheir pada warga PERUBATAN yang menjayakan Lifeline 4 Gaza
Tanda hati antum hidup insyaAllah...
Sama-sama meneruskan kehidupan dalam memberi dan menghargai...
Lihat dan hayatilah setiap epilog suka dan duka ummah dengan mata hati...
Wallahu'alam...

Tuesday, April 27, 2010

Bebola Palestina : PoM PoM Ball

Apa la agaknya Sinar nak cerita ni kan. Sebenarnya Sinar sedang melaksana projek jualan untuk Lifeline 4 Gaza di peringkat PERUBATAN. Isu Palestin mampu menjentik dan mencuit hati sesiapa sahaja. Semangat diri ini dibuatnya. Alhamdulillah kemahiran lama dicungkil kembali agar bermanfaat. Enjoy!

Menyingkap sebuah memori

Alhamdulillah selesai melilit dan mengunting...Fuhh...

Usaha dan usaha. Tinggal ikat sahaja.

Jeng jeng !!! Akhirnya dah jadi bulat. Kena kemaskan pula.

Inilah hasilnya! Bebola Palestina !
Dulu kami panggil PoM PoM Ball. Betul ke tidak ye ejaan. Lupa (^_^)
Bebola kecil berwarna oren, hijau dan ungu adalah kenangan lama.
Saya rindu tangan-tangan yang dulu bersama saya.
Masihkah kau ingat wahai sahibah-sahibahku?

Sebenarnya inilah antara kenangan Sinar bersama warga puteri Raudhatus Solehah, generasi kesebelas di MATRI dahulu. Seperti mana kehangatan ukhuwah mampu terbina di kalangan Gen 11, justeru pengharapan yang sama saya harapkan pada Gen 6 di ardul kinanah ini. Mungkin amal yang kecil ini lebih Allah pandang kerana kita ikhlas melakukan demi membantu saudara kita di Palestin. Siapa tahu (^_^) Dengan kesungguhan kita ini dapat meringankan beban sahabat-sahabat kita. Allah Maha Mengetahui Segala sesuatu. Maka sama-samalah kita tajdid niat. Kita disatukan oleh akidah bukan kerana yang lain. Maka tugas kita membantu saudara tidak kira siapa pun mereka.


Sebelum terlupa, seinfiniti terima kasih saya ucapkan kepada warga Gen 6 yang berhempas pulas menyiapkan bebola ini. Macam-macam cerita muncul. Biasalah tu. Nama pun baru belajarkan =) Lucu pula rasanya tapi antum memang best! Moga Allah kumpulkan kita di syurga nanti.

Jika direnungkan, semua perkara di dunia memerlukan sabar dan ikhlas. Tidak kiralah apa jua situasi. Setiap perkara yang kelihatan cantik, sedap dan enak dipandang mata memerlukan kesabaran untuk membentuknya. Bahkan akhlak yang baik pun harus dilentur dengan penuh kesabaran.
Teringat pesan seorang murabbi

"Seorang muslim mesti bersabar dalam 3 hal. Sabar dengan ketaatan, sabar dengan maksiat dan sabar dengan qada Allah"
Wallahu'alam...

Ditahap manakah kesabaran kita? Selesaikah dalam 3 hal itu?
Mari kita muhasabah sejenak...

Monday, April 26, 2010

Buktikan kita saudara mereka!

Ini adalah beberapa soalan yang kerap ditanyakan oleh seorang anak Palestin kepada ayah beliau suatu ketika dahulu..

Why do we not have a garden?
Why does the roof always leak in winter?
Why do we go to school without having a breakfast or pocket money?
Why do all ten of us sleep in one room?Why do we have no heating in our house or school?
Why does our classroom have 50 students in one small space?
Why do we not have a playground?
Where can I get clean water?
Why do we not travel anywhere?
Why do we hear booming sounds throughout the night?
Will the roar of the bulldozer come towards us today?
Who has been killed today?
Why do you let the soldiers humiliate you at the checkpoints?
Do all human beings live like us?

Ketahuilah, bahawa dia dan mereka di Palestin sana adalah saudara seIslam kita. Betapa dekatnya lokasi dan pertalian antara kita dan mereka. Tetapi betapa jauhnya taraf kehidupan kita dan mereka.

Perhatikan 3 situasi berbeza di bawah:
  1. Anak-anak dan saudara seIslam kita di Palestin, berebut-rebut untuk mendapatkan botol air minuman yang diedarkan. Mereka menimba air daripada tangki yang aliran airnya amat perlahan.
  2. Anak-anak Yahudi bersenang-lenang dan bergembira di dalam kolam renang yang airnya jernih.
  3. Kita di sini?
“No amount of reading, attendance at conferences, documentary viewing and words of mouth could have prepared me for the reality of the situation here. You just can’t imagine it unless you see it.” - Rachel Corrie, siswi Amerika yang pernah menyertai International Solidarity Movement di Palestin.
Benarlah bahawa, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Tahukah kita bahawa suatu angka yang Amerika telah memberi sokongan kewangan kepada Israel sebanyak USD 108 billion (1949-2006). Puratanya USD 3 billion setiap tahun atau USD 6-8 million setiap hari.jauh lebih besar daripada angka sasaran kutipan dana RM10 juta Lifeline4Gaza. Dan melalui sokongan kewangan ini Israel telah menjadikan hidup adik-beradik seIslam kita sengsara.

We’ve got to realize that our brothers and sisters there need our help, and we are ignoring them.
We’ve got to understand that they have feelings, they think, smile and cry, just like us.
We’ve got to understand that they are us, we are them.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah dia daripada kalangan mereka.”
Abu Daud meriwayatkan hadis:
“Tidak ada seseorang muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika harga dirinya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah akan membiarkannya (tidak menolongnya) ketika dia memerlukan pertolongan.”




Infaqlah,
sebagai bukti ambil berat kita.
Infaqlah,
sebagai bukti kita tidak membutakan mata terhadap saudara seIslam kita.
Infaqlah,
sesungguhnya infaq kita menyumbang ke arah pembinaan Palestin.
Infaqlah,
sesungguhnya LE 50,000 kita dijanjikan Allah s.w.t
dengan ganjaran yang jauh lebih baik di akhirat kelak.

Firman Allah s.w.t. :
10. Dan mengapa kamu tidak menafkahkan (sebahagian hartamu) pada jalan Allah, padahal milik Allah segala pusaka langit dan bumi? Tidak sama antara kalian orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

11. Siapakah yang meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang mulia.

12. (iaitu) pada hari ketika kamu melihat orang-orang mu'min dan mu'minah, cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang agung." (Al-Hadid)
“Dikatakan kepada meraka: Pada hari ini ada berita gembira untukmu.”
Inilah lafaz kasih Maha Pengasih, Allah Ar-Rahman, lafaz sayang Maha Penyayang, Allah Ar-Rahim yang menjadi kerinduan dan harapan kita.

“Dikatakan kepada meraka: Pada hari ini ada berita gembira untukmu.”
Inilah ayat cinta daripada Allah buat mu’minin dan mu’minat kelak.

Persoalannya adakah kita daripada kalangan mereka kelak? Adakah menjadi cita-cita kita untuk menjadi sebahagian daripada mereka? Di mana mujahadah kita?

Infaqlah, sebagai salah satu bukti mujahadah kita untuk meraih cinta Allah.

Buat warga PERUBATAN Mesir sahutlah seruan LE 100 anda untuk Palestina kerana sumbangan itu mampu membina sebuah negara bernama Palestina tercinta.

Sumber