BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, July 04, 2012

Harga Sebuah Perkahwinan : Bukan Sebatas Dunia, Bicara dan Rasa..

Angka 5 datang lagi. Suka benar dengan angka itu kerana angka yang sangat rapat dengan diri. Hari ini genap 5 bulan pernikahan kami (4Feb-4Julai). Alhamdulillah, terisi dan taaruf masih berterusan. Menilai perjalanan sebuah perkahwinan bukanlah semata dari luaran tapi dalaman dan pengalaman. Ya, saya akui, saya masih HIJAU di alam ini.

Moga dengan warna pakaian inilah kami di akhirat nanti...

Dunia maya hadir sebagai pelengkap diri

"Skype tu apa?" tanya saya pada Lek dan seorang kawan diawal taaruf dengan Skype. Sudah bertahun di perantauan tapi skype tidak pernah disentuh. Maklumlah kalau rindu keluarga, terus sahaja buat panggilan ataupun ym. Berdolak-dalik mahu menginstall Skype. Akhirnya perkahwinan jarak jauh ini mengkehendaki saya menggunakan khidmatnya. Khidmat percuma tapi tidak ternilai untuk saya.

Jangankan skype... Dalam fasa-fasa hendak berkahwin pun baru mendekati dunia maya lebih jauh.

Lepas tunang baru tahu apa itu fb..
Lepas kahwin baru manfaatkan whatapp semaksimanya.. 
Lepas kahwin baru teringin guna voip..

Dunia tu walaupun kadangkala kita rasa ketinggalan tapi bila saat diperlukan baru rasa ada kemanisan.. 

:) Maka, ada benda yang Allah tangguhkan untuk sebuah kebahagiaan di hadapan. :)

Alhamdulillah... di dunia walaupun rasa ketinggalan bukanlah satu kerugian, namun manis bila kita gunakan dunia untuk keperluan bukan sekadar kemahuan.

Selagi mampu, senyum pilihan hati!

Setiap kali di awal bicara, lewat telefon mahupun skype hatta sms sekalipun, senyum seperti ini (^_^) mahupun ini =) sudah menjadi tradisi kami. Walaupun selepas itu, perbincangan serius ataupun sedih mengisi. Selalunya, kami pasti tersenyum mahupun tertawa. Itulah.. Damai.. Senyum adalah sarana pengikat hati, pertautan jiwa. Mampu memberi kesan lebih daripada apa yang boleh dilahirkan oleh nilai kebendaan. Alhamdulillah melalui komunikasi verbal dan nonverbal kami belajar mengenali.

Sesungguhnya, “Senyum itu akan terasa berat dilakukan bagi jiwa yang belum dibiasakan dengan kebaikan”. (Muhammad Qutb)

Namun bagi sang isteri, senyuman itu bertambah-tambah pahalanya. Masihkah ada pilihan lain? Kasihnya Allah pada wanita.. Setiap perilaku yang baik adalah ibadah dan pahala. Hingga kini, menatap suami sahaja senang sekali senyuman terukir. Jauh itu mendekatkan. Justeru, railah sesiapapun yang ada disekeliling dengan senyuman, apatah lagi yang dekat di mata. InsyaAllah, akan ada kedamaian di celah-celah kesibukan mahupun kesedihan. Maklumlah hati kita selalu sibuk dengan benda yang kita tidak nampak yang akhirnya membunuh senyuman.

Lembut bicara, tuturkan kalimah cinta

Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)

Sudah pasti dalam pernikahan berhajatkan pada madah bicara penuh kesopanan dan kelembutan. :) Itulah yang harus dikekalkan sepanjang perkahwinan. Dengan kelembutan mampu menyentuh jiwa insan dan menuturkan kalimah cinta tanpa paksaan.

Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR. Al-Bukhari)

Dunia dan akhirat mahu dimiliki

Dunia sahaja tidak menjanjikan apa apa. Apa yang kita suburkan demi perkahwinan seperti mentaati suami, senyuman, gurauan hanya tinggal dunia jika tiada ketulusan. Dunia penuh dengan peluang namun peluang perlu ada asas untuk membuahkan hasil di akhirat sana.

Jadilah perkahwinan sebatas dunia jika, kebahagiaan di dunia sahaja yang kita inginkan. Berapa ramai yang megah dengan majlis persandingan, pakaian pengantin, kecantikan dan kekacakan, keakraban yang dipertontonkan. Namun semua itu sebatas luaran. Terlalu banyak ilmu perkahwinan yang harus kita terokai hatta sudah selesai berakad nikah kerana syurga suami pada isteri dan anak-anak. Tarbiyah imaniyah dan tarbiyah tzatiyah sebuah keluarga harus diisi demi akhirat sana. Sungguh, banyak nasihat dari mereka yang lebih berpengalaman saya ambil buat bekalan.

Lazimi zikir seperti  Alhamdulillah, Subhanallah dan wallahuakbar ketika bersendirian. Bahkan lazimi istighfar kerana boleh sahaja disebabkan dosa, hati kita keruh, kurang cahaya, kurangnya cinta untuk kita kongsikan dengan orang yang kita sayang..

InsyaAllah dunia dan akhirat milik pasangan, jika neraca Allah jadi timbangan :) Tiadalah harga perkahwinan itu sejumlah mahar Rm sekian dan sekian tapi lebih dari segalanya. Bahkan jauh sekali sebatas dunia. Harga perkahwinan letaknya pada redha Allah dan suami yang mentaati Allah :) Maka, lengkaplah!