BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, June 14, 2014

Aduhai Putri Kusayang, Setahun usiamu, sayang...


9.6.2013 tarikh bermakna buat saya dan suami. Tarikh yang mengubah status saya sekali lagi dalam kehidupan, kalau dahulunya bujang, kemudian menjadi isteri orang, dan tarikh itu bertukar lagi menjadi seorang ibu. Alhamdulillah.. Alhamdulillah. Setahun sudah usiamu Putri Nuha Sakeenah. Sebak kerana Allah masih memberi peluang untuk memiliki anak secomel, sebaikmu dan terus mentarbiyah Bunda dalam fasa berlainan.

Sepanjang mengandungkan Nuha, saya hanya mengalami anemia tanpa komplikasi yang teruk. Alhamdulillah. Allah banyak permudahkan urusan kami. Sejujurnya terkenang-kenang saat ketika melahirkan Nuha. Kesakitan, kegembiraan, kerisauan yang tidak mampu lagi saya gambarkan. Alhamdulillah suami tetap menemani. Saya bersyukur beliau ada di sisi. Allah sumber kekuatan dan suami memberi kata-kata semangat dan peringatan berharga. Sebaik sahaja saya melahirkan Nuha secara normal,  Nuha tidak terus menangis, segera diletakkannya di atas dada saya, matanya terbuka, mulus sungguh wajahnya, bersih, hilang kesakitan yang menyelubungi diri, kedengaran Dr menyebut pink ( barulah saya tahu maksudnya, bayi perempuan dilahirkan - blue pula untuk bayi lelaki) ketika itu matanya yang bulat tepat melihat saya. Saya nampak tidak nampak jantinanya kerana kekalutan ketika itu, Nuha pula yang masih tidak menangis dan nafasnya masih laju terus di bawa ke tempat 'resuscitation'. Alhamdulillah tidak lama kemudian kedengaran tangisan bayi. Suami mengiringi anak, dan terus memaklumkan pada saya, anak kami perempuan dan beliau cukup sifat, sihat, cuma perlu di masukkan ke wad kerana masih bernafas laju. :) Suami sayalah orang yang paling kalut menguruskan kami anak beranak ketika mana anak perlu dimasukkan ke wad dan saya pula terpaksa ditolak ke dewan bedah untuk menjahit luka.

Maka, terciptalah juga gelaran untuk Nuha, 'Hai anak TTN'( transient tachypneic of newborn). TTN ini kebiasanya terjadi pada bayi baru lahir, salah satu cirinya bernafas laji. Segaja kami memanggilnya begitu, terutama apabila Nuha melasak. Memang anak ini tak tahu dahulunya dia tidak menangis, kini pantang saja pergerakan disekat, atau keinginan tidak dipenuhi, kehendak tidak difahami, mulalah menangis. Haha kuat pula dia menangis. Untung Bunda dan Papa.

Setahun berlalu.. Memang pantas masa berlalu. Dahulunya Nuha 2.8kg, kini sudah 8kg. Kalau dahulu hanya minum susu badan, kini semua benda mahu dimakan. Dahulunya Nuha hanya pandai senyum, kini sudah pandai berkata-kata. Kalau dahulunya banyak tidur, sekarang sudah berjalan dan cuba berlari. (^_^) Memang Bunda dan Papa, kadangkala tidak menang tangan tapi kami gagahkan jua demi melayan anak tercinta.

(^_^) Sungguh Bunda  dan Papa sayangggg Nuha. Kami akan terus mendoakan Nuha dirahmati Allah dan mampu mengecapi hari-hari yang barakah untuk menjadi Muslimah yang berguna demi Islam dan mendoakan kami ketika kami sudah tiada nanti. Pembaca juga doakan Nuha menjadi anak solehah dan  muslimah solehah ya.