BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, April 27, 2010

Bebola Palestina : PoM PoM Ball

Apa la agaknya Sinar nak cerita ni kan. Sebenarnya Sinar sedang melaksana projek jualan untuk Lifeline 4 Gaza di peringkat PERUBATAN. Isu Palestin mampu menjentik dan mencuit hati sesiapa sahaja. Semangat diri ini dibuatnya. Alhamdulillah kemahiran lama dicungkil kembali agar bermanfaat. Enjoy!

Menyingkap sebuah memori

Alhamdulillah selesai melilit dan mengunting...Fuhh...

Usaha dan usaha. Tinggal ikat sahaja.

Jeng jeng !!! Akhirnya dah jadi bulat. Kena kemaskan pula.

Inilah hasilnya! Bebola Palestina !
Dulu kami panggil PoM PoM Ball. Betul ke tidak ye ejaan. Lupa (^_^)
Bebola kecil berwarna oren, hijau dan ungu adalah kenangan lama.
Saya rindu tangan-tangan yang dulu bersama saya.
Masihkah kau ingat wahai sahibah-sahibahku?

Sebenarnya inilah antara kenangan Sinar bersama warga puteri Raudhatus Solehah, generasi kesebelas di MATRI dahulu. Seperti mana kehangatan ukhuwah mampu terbina di kalangan Gen 11, justeru pengharapan yang sama saya harapkan pada Gen 6 di ardul kinanah ini. Mungkin amal yang kecil ini lebih Allah pandang kerana kita ikhlas melakukan demi membantu saudara kita di Palestin. Siapa tahu (^_^) Dengan kesungguhan kita ini dapat meringankan beban sahabat-sahabat kita. Allah Maha Mengetahui Segala sesuatu. Maka sama-samalah kita tajdid niat. Kita disatukan oleh akidah bukan kerana yang lain. Maka tugas kita membantu saudara tidak kira siapa pun mereka.


Sebelum terlupa, seinfiniti terima kasih saya ucapkan kepada warga Gen 6 yang berhempas pulas menyiapkan bebola ini. Macam-macam cerita muncul. Biasalah tu. Nama pun baru belajarkan =) Lucu pula rasanya tapi antum memang best! Moga Allah kumpulkan kita di syurga nanti.

Jika direnungkan, semua perkara di dunia memerlukan sabar dan ikhlas. Tidak kiralah apa jua situasi. Setiap perkara yang kelihatan cantik, sedap dan enak dipandang mata memerlukan kesabaran untuk membentuknya. Bahkan akhlak yang baik pun harus dilentur dengan penuh kesabaran.
Teringat pesan seorang murabbi

"Seorang muslim mesti bersabar dalam 3 hal. Sabar dengan ketaatan, sabar dengan maksiat dan sabar dengan qada Allah"
Wallahu'alam...

Ditahap manakah kesabaran kita? Selesaikah dalam 3 hal itu?
Mari kita muhasabah sejenak...

Monday, April 26, 2010

Buktikan kita saudara mereka!

Ini adalah beberapa soalan yang kerap ditanyakan oleh seorang anak Palestin kepada ayah beliau suatu ketika dahulu..

Why do we not have a garden?
Why does the roof always leak in winter?
Why do we go to school without having a breakfast or pocket money?
Why do all ten of us sleep in one room?Why do we have no heating in our house or school?
Why does our classroom have 50 students in one small space?
Why do we not have a playground?
Where can I get clean water?
Why do we not travel anywhere?
Why do we hear booming sounds throughout the night?
Will the roar of the bulldozer come towards us today?
Who has been killed today?
Why do you let the soldiers humiliate you at the checkpoints?
Do all human beings live like us?

Ketahuilah, bahawa dia dan mereka di Palestin sana adalah saudara seIslam kita. Betapa dekatnya lokasi dan pertalian antara kita dan mereka. Tetapi betapa jauhnya taraf kehidupan kita dan mereka.

Perhatikan 3 situasi berbeza di bawah:
  1. Anak-anak dan saudara seIslam kita di Palestin, berebut-rebut untuk mendapatkan botol air minuman yang diedarkan. Mereka menimba air daripada tangki yang aliran airnya amat perlahan.
  2. Anak-anak Yahudi bersenang-lenang dan bergembira di dalam kolam renang yang airnya jernih.
  3. Kita di sini?
“No amount of reading, attendance at conferences, documentary viewing and words of mouth could have prepared me for the reality of the situation here. You just can’t imagine it unless you see it.” - Rachel Corrie, siswi Amerika yang pernah menyertai International Solidarity Movement di Palestin.
Benarlah bahawa, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Tahukah kita bahawa suatu angka yang Amerika telah memberi sokongan kewangan kepada Israel sebanyak USD 108 billion (1949-2006). Puratanya USD 3 billion setiap tahun atau USD 6-8 million setiap hari.jauh lebih besar daripada angka sasaran kutipan dana RM10 juta Lifeline4Gaza. Dan melalui sokongan kewangan ini Israel telah menjadikan hidup adik-beradik seIslam kita sengsara.

We’ve got to realize that our brothers and sisters there need our help, and we are ignoring them.
We’ve got to understand that they have feelings, they think, smile and cry, just like us.
We’ve got to understand that they are us, we are them.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah dia daripada kalangan mereka.”
Abu Daud meriwayatkan hadis:
“Tidak ada seseorang muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika harga dirinya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah akan membiarkannya (tidak menolongnya) ketika dia memerlukan pertolongan.”




Infaqlah,
sebagai bukti ambil berat kita.
Infaqlah,
sebagai bukti kita tidak membutakan mata terhadap saudara seIslam kita.
Infaqlah,
sesungguhnya infaq kita menyumbang ke arah pembinaan Palestin.
Infaqlah,
sesungguhnya LE 50,000 kita dijanjikan Allah s.w.t
dengan ganjaran yang jauh lebih baik di akhirat kelak.

Firman Allah s.w.t. :
10. Dan mengapa kamu tidak menafkahkan (sebahagian hartamu) pada jalan Allah, padahal milik Allah segala pusaka langit dan bumi? Tidak sama antara kalian orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

11. Siapakah yang meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang mulia.

12. (iaitu) pada hari ketika kamu melihat orang-orang mu'min dan mu'minah, cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang agung." (Al-Hadid)
“Dikatakan kepada meraka: Pada hari ini ada berita gembira untukmu.”
Inilah lafaz kasih Maha Pengasih, Allah Ar-Rahman, lafaz sayang Maha Penyayang, Allah Ar-Rahim yang menjadi kerinduan dan harapan kita.

“Dikatakan kepada meraka: Pada hari ini ada berita gembira untukmu.”
Inilah ayat cinta daripada Allah buat mu’minin dan mu’minat kelak.

Persoalannya adakah kita daripada kalangan mereka kelak? Adakah menjadi cita-cita kita untuk menjadi sebahagian daripada mereka? Di mana mujahadah kita?

Infaqlah, sebagai salah satu bukti mujahadah kita untuk meraih cinta Allah.

Buat warga PERUBATAN Mesir sahutlah seruan LE 100 anda untuk Palestina kerana sumbangan itu mampu membina sebuah negara bernama Palestina tercinta.

Sumber

Monday, April 19, 2010

Palestina tanah kita!

Menjejak kembara Palestina melalui maya, sentiasa membangkitkan rasa sayu dihati, kadangkala geram pada diri sendiri kerana tidak mampu membantu mereka secara langsung. Semangat mereka mengalahkan kita yang hidup dalam keadaan aman. Walaupun dihujani peluru, peribadi yang lahir dari tanah itu jauh berbeza dari tempat kita. Setiap hari akan lahir puluhan malahan ratusan hafiz Al-Quran. Kita pula masih merangkak mahu membaca Al-Quran apatah lagi menghafal. Bukan mengecilkan potensi tapi mahu menjentik diri untuk terus melangkah beribu tapak ke hadapan.



“Perjuangan kami bukan hanya sekadar ingin memerdekakan sekeping tanah, tetapi untuk memandu kebangkitan umat Islam semula dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.” – Khalil Ismail al-Haya ketika mengunjungi Malaysia pada tahun 1998

Besar nilai sebidang tanah itu. Bukan hanya milik mereka. Milik kita yang mengaku saudara. Siapa kata kita tidak boleh melakukan apa-apa. Kita tidak harus kecut dengan ancaman zionis durjana. Doa dan sumbangan kita masih belum terlambat untuk mereka. Dilihat masih ada saluran untuk terus menyumbang. Benarlah kita bersaudara. Cubit paha kanan, paha kiri terasa. Ayuh buktikan kita saudara mereka!

Kempen Lifeline 4 Gaza, Ayuh Sahut!

Alhamdulillah, semangat kental saudara Islam diluar Palestina mengubat hati ini. Sesungguhnya kita bukanlah diikat dengan semangat bangsa tapi atas dasar akidah yang satu. Mampu terukir senyuman dibibir yang lesu. Setidaknya kita mampu melakukan sesuatu dari tunduk kecut berhadapan dengan taghut. Dan saat ini, sungguh saya terasa bersyukur, masih ada ruang dan harapan. Janji Allah pasti.


Tahukah anda ketika ini, sebuah kempen sedang dijalankan hampir di seluruh dunia. Para sukarelawan sedang rancak mempromosikan Kempen Konvoi Talian Hayat Gaza (Lifeline 4 Gaza) di merata tempat termasuklah di Amerika, United Kingdom, Ireland, Greece, France, Germany, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Venezuela. Turut dicatatkan di laman web Lifeline4Gaza mengatakan 42 negara menjayakan projek mega ini. Hatta di akhbar Malaysia juga tidak lepas membicarakan isu ini.

Kempen Lifeline 4 Gaza merupakan misi keempat dalam menerobos tembok besar Gaza. Kempen ini adalah rentetan daripada misi-misi sebelumnya. Misi pertama adalah pada tahun 2006. Misi kedua adalah pada Julai 2009. Manakala misi ketiga telah berjaya sampai di Gaza pada 6 Januari 2010 setelah memulakan misi ini pada 6 Disember 2009. Bahkan setiap misi ada ujian dan rintangannya tersendiri. Moga misi ini dipermudahkan Allah.

Justeru Konvoi talian hayat Gaza (Lifeline 4 Gaza) adalah bukti kecintaan kita pada bumi Palestina. Misi ini akan diketuai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa Turki, Foundation for Human Right & Freedom & Humanitarian Relief (IHH). Misi kali ini adalah misi pertama menggunakan jalan air melalui Laut Mediterranean sehingga ke perairan Gaza. Misi ini juga merupakan konvoi yang terbesar dengan kapasiti 10 000 penyertaan dan sebanyak 20 kapal yang akan berkonvoi dengan kutipan sumbangan yang disasarkan sebanyak RM10 juta. Apa yang menarik adalah misi ini akan diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip Edrogan. Justeru kelantangan seorang pemimpin itu sangat perlu untuk menegakkan kebenaran. Moga akan lahir ribuan pemimpin sebegini.

Hulurkan bantuan

Justeru bagi pembaca yang ingin turut serta menyumbang buat teman kita di Gaza, kalian bolehlah berbuat demikian dengan memasukkan wang ke dalan akaun Lifeline 4 Gaza dengan butiran di bawah :


Nama akaun : "TABUNG PALESTIN HALUAN"

Nombot akaun : 5-644-902-085-28

Bank : Maybank Berhad

Ikuti perkembangan Lifeline 4 gaza di laman web rasmi mereka dan di Facebook fan Page


Tuesday, April 13, 2010

Menulislah kerana Allah

"Dalam memulakan sebarang pekerjaan, niat itu penting," pesan seorang rakan

"Selalulah tajdid (perbaharui) niat," pesan seorang teman

"Niatlah akan menentukan halatuju kita. Malas atau rajinnya kita semua akan ditentukan oleh niat," pesan seorang sahabat

Begitulah antara pesanan-pesanan yang sentiasa menghiasi hidup ini. Tersemat sudah. Namun pelaksanaannya bukanlah semudah dituturkan. Setiap kata-kata akan diuji dan dinilai oleh Maha Penilai dan diadili oleh Ketua Segala Pengadil. Justeru setiap kata-kata dan penulisan kita yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran akan dipersoalkan.

Kita mengajak kepada kebaikan tapi adakah kita pula yang melakukan kemungkaran? Sungguh keadaan seperti itu tidak akan diterima oleh mereka yang mengenali. Cabaran besar buat seorang penulis mahupun penyampai agama Allah ini adalah bila mana amalan tidak seiring dengan kata-kata. Ini hanya mengundang cemuhan bahkan kemurkaan Allah sendiri. Sungguh ini peringatan untuk diri ini dan teman-teman jua. Selalulah muhasabah dan beristighfar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata perlu dilaksanakan. Orang menilai diri kita dari apa yang kita lakukan dan kita perkatakan.


Dalam menuju keunggulan, aset utama yang perlu dimanfaatkan adalah diri sendiri. Manusia dijadikan Allah dengan potensi. Untuk berjaya potensi ini harus digilap dengan ramuan yang betul. Bagi mencapai keunggulan dan kekuatan, seorang blogger dan penulis harus mengilap akalnya dengan ilmu dan kesedaran yang tinggi. Jernihkan akal dan benarkan dengan amal.

Kita menulis bukanlah mencari glamour, bukanlah menjadi populariti. Jauh sekali. Azab Allah itulah perlu kita takuti. Firman Allah,

"Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan"

(As-Saff : 3)

Jika amal kita tidak seiring dengan kata-kata kita, inilah masanya untuk perbaiki. Ayuh berubah. Yusuf Qardawi ada berkata " Ubahlah dirimu nescaya sejarah akan berubah."


Menulislah kerana Allah, InsyaAllah akan ada kebahagian dan kesenangan hati. Moga medan penulisan ini setidaknya memberatkan mizan kita ke syurga. Ya Allah ampunkan kekurangan diri dan kalam yang tidak selaras dengan hidup ini.

  • Saya budak baru belajar, salah silap tolong tunjukkan.
  • Saya budak baru belajar, salah silap tolong ajarkan.

Sinar sudah memasuki fasa terakhir tahun 4. Mohon doa kalian. Subjek Ophthalmology mengetuk hati untuk menulis sebuah artikel memandangkan mata adalah bukti hebatnya kuasa Allah.

Oh, sebelum terlupa! Nak bagi hadiah jauh sangat (alasan je tu..hehe) Maka ini daripada Sinar untuk Iman Aisyah =) Moga Allah beri kebahagian dan kemanisan hidup sebagai seorang hamba rabbani.




Thursday, April 08, 2010

Nak Chipsmore!

Hari ini entah kenapa Sinar teringatkan Chipsmore. Sedapnya kalau dapat makan. Maka mulalah terkenang kisah-kisah yang berkaitan. Terkenang zaman persekolahan dahulu. Kalau membeli barang untuk dibawa pulang ke asrama, pelbagai makanan akan dicapai tetapi biskut memang tidak berapa digemari melainkan Chipsmore dan yang seangkatan dengannya. Dalam erti kata lain memang sangat meminati 'chocolate chip cookies' especially yang emak saudara Sinar buat. Maka siaplah kalau tibanya lebaran, operasi menjejaki cookies bermula. Janganlah ada yang menghidang. Kesian pula tengok balang kuih perlu diisi semula.


Apabila bercakap pasal Chipsmore, teringat falsafah Chipsmore. Oh ada ya falsafah dia? Ha, bukanlah falsafah sangat pun, cuma apabila sebut ayat ini kita akan terus teringat Chipsmore.

"Kejap ada, kejap tiada"

Seringkali kalau sesuatu perkara tiada ketetapan, mahupun satu aturan agak tidak berkala mulalah ayat ini terpantul daripada mulut kita. Misal kata seorang ahli rumah bukanlah jenis lekat di rumah, biasa bila ditanya kita akan membalas,

"Macam tak kenal dia. Kawan kita tu buzy memanjang. Dah macam chipsmore pun aku tengok. Kejap ada kejap takde!"

Tapi bukanlah ini yang Sinar ingin 'highlightkan'. Apabila diputar semula memori, ditenung kembali kenangan mencari apa itu tarbiyah Islamiyah, apa itu fikrah Islamiyah, banyak kisah boleh dijadikan renungan untuk menghadapi hari muka.

Dalam meniti detik masa yang terus berlalu, timbul persoalan dalam diri. Agaknya berapa ramai daripada para sahabat kita yang berkobar-kobar untuk sampaikan Islam masih bertahan hingga hari ini?

Chipsmore dalam kelansungan dakwah...

Begitulah apa yang Sinar nampak dalam resam hidup ini. Penuh pasang surut. Alhamdulillah makin ramai yang berhajat pada Islam. Namun hari yang berlalu terus diasak kerisauan dan kesedihan apabila ramai juga yang gugur dipertengahan jalan. Walaupun mungkin seorang dua tapi itu tetap menyumbang saham terbesar dalam menegakkan Islam di muka bumi. Keseronokan dan kesibukan dunia sungguh mampu memikat dan membantutkan sesiapa sahaja. Kalau dikenang-kenangkan. Dulunya ramai...

Dulu merekalah insan yang mengajak kita ke masjid,
Dulu merekalah insan yang membangunkan kita di malam hari
Dulu merekalah insan yang memimpin tangan menuju redha Allah
Namun hari ini mereka cukup berbeza
Terlalu jauh mereka pergi...


Dan kini...
Yang dulu kian berkurang...

Inilah peringatan buat diri. Dalam mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, jangan lupa berdoa agar diteguhkan di jalan ini. Hidayah itu milik Allah. Sesiapa pun berhak memilikinya dengan izin Allah dan Allah jualah berhak mencabutnya daripada dada mereka yang diuji. Namun sebagai sahabat, tugas kita untuk sama-sama membimbing menuju syurga Allah. Kalau boleh kita tidak mahu sahabat kita tergelincir bahkan disambar panasnya azab Allah. Na'uzubillah. Ya Allah moga dipimpin dan terpimpin hati ini.

Jangan tertipu dengan budaya kejap ada kejap tiada. Cubalah untuk memimpin diri untuk istiqamah. Iman makin didekati makin manis. Iman makin digilap makin banyak ujiannya.

Pandanglah setiap manusia dengan pandangan kasih sayang. Gapailah tangan mereka dengan sentuhan iman. Takkan rugi kita berbuat demikian. Wallahu'alam

Sunday, April 04, 2010

Wujudkah berhala dalam diri?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Terasa kerdilnya diri dengan kenikmatan yang Dia beri...


Teringin dilahirkan semula...

Sungguh dunia ini penuh dengan hambatan. Pelbagai fasa akan kita lalui. Gagal mencari bekalan bermakna kita akan lekas kecundang. Justeru ingin Sinar kongsi beberapa peringatan hasil pembacaan. Dalam beberapa hari ini juga, diri ini amat sensitif dan mudah terasa. Maaf kalau ada yang terguris kerana kelakuan atau bicara yang salah. Sungguh saya rindukan ketenangan. Sungguh saya rindu kata-kata yang memberi kekuatan. Saya mendapatnya tapi masih tidak puas dan cukup. Ohoo kelihatan tamaknya saya.

Kadang kala kita tidak sedar bahawa diri kita sebenarnya sedang diuji. Hakikatnya kita adalah manusia hidup dalam dunia serta bakal pulang ke kampung akhirat. Maka sudah pastinya berumahkan dunia akan menghidangkan ujian yang bertali arus. Bukan senang ya kawan-kawan mahu ke akhirat apatah lagi yang mengidam mahligai di syurga nanti. Saya sedang merasakan bahawa jalan ini sungguh perit. Sungguh banyak cubaan dalam menangani hati manusia apatah lagi memenangi kasih Allah... =( Sungguh saya lemah dalam banyak hal.

Kita selalu tertipu dengan kesenangan yang ada
Kita selalu tertipu dengan kejayaan yang diterima
Kita selalu terlupa dengan rahmat Allah semua ini dikecapi

Membelek sebuah buku ini, banyak yang menyedarkan saya. Mari Sinar cerita apa yang terdaya. Selebihnya bolehlah kalian dapatkan di kedai buku. InsyaAllah tidak rugi... Ego anda, sombong anda, bangga dirinya anda. Semuanya bakal dicairkan.


Buku ini mengingatkan saya pada kenangan lama di alam persekolahan dulu

"Akak, dulu awal-awal ana ingat akak ni sombong," kata seorang adik jujur

"Lepas tu, sekarang macam mana. Sombong ke?" Tanyaku dibalas senyuman oleh adik seasrama sebelum masing-masing menaiki tangga asrama.

"Bila dah kenal, baru tahu. Ana salah rupanya" Sambil mengeleng. Kubalas dengan senyuman.

Itulah kebiasaan anggapan orang pertama kali mengenal saya di sekolah dulu. Mungkin kerana status sebagai badan disiplin menampakkan saya seorang yang garang dan sombong. Sekadar andaian saya. Lucu mengingatkan cerita ini tapi saya sedikit terluka bila mengenangkan cerita dulu. Kenapa ya orang kata saya sombong? Itu membuatkan saya ingin tahu. Ingin muhasabah mana silapnya. Lupa pula saya tanya di mana sombongnya saya.

Sudah pasti kisah lama saya dan buku ini ada kaitannya. Walaupun mungkin bukan seratus peratus sama, tapi banyak yang saya dapat daripada buku ini. Banyak didikan dan banyak juga peringatan untuk diri. Buku ini pada awalnya membentangkan hakikat hamba, apa itu bangga diri dan mengupas apa itu syirik. Kemudian dipertekankan isi kandungan buku dalam soal syirik khafi.

Terjebakkah kita dalam syirik khafi?

Syirik khafi adalah bentuk syirik yang tidak nampak secara jelas kewujudannya dalam diri manusia. Syirik khafi adalah syirik yang tersembunyi. Bahkan tidak terkesan melainkan dengan memerhati perbuatan dan kata-kata pelaku dengan cermat. Di antara syirik khafi yang paling menonjol adalah melihat diri sendiri dengan rasa bangga, riak, ujub dan meyakini bahawa dirinya berjaya bahkan disayangi Allah kerana kemampuan dan kehebatan dirinya. Namun penyakit ini susah dikesan oleh pelaku. Ia berhajatkan kepada sebuah kesedaran yang tinggi. Inilah antara berhala yang perlu kita kuatirkan.

Antara fenomena yang boleh dijadikan renungan bersama ialah kisah seorang penuntut ilmu yang dikurniakan Allah kepintaran. Dia boleh sahaja merasakan dirinya sangat bagus dalam memahami dan menghafal ilmu yang dipelajari. Justeru dia mudah terjebak dengan rasa tinggi diri apabila merasakan kerana kepintarannyalah dia berjaya. Mana tidaknya, dia mampu menyiapkan puluhan nota dan latihan hatta keputusannya setimpal usaha yang dikenakan membuatkan dia mendabik dada. Istighfar panjang saya dibuatnya. Moga saya dijauhkan dari sifat yang tidak patut.

Bahkan seorang wanita yang dapat menyiapkan makanan yang enak boleh diheret penyakit tinggi diri bila dirasakan kerana kemampuannyalah, dia dapat membuat makanan yang enak pada bila-bila masa. Tambah pula kisah seorang pendakwah yang merasakan kerana ilmu yang dimiliki, kemampuan dia bercakaplah yang mampu menarik orang pada Islam. Sedangkan Allah lah yang membuka hati-hati manusia lain dengan seruan dakwahnya itu.

Inilah realiti dan kisah yang sering terjadi di kalangan kita. Ramai manusia tertipu dengan kehebatan sendiri, lalu timbullah bangga diri, sombong, riak, ujub dan sebagainya.

Syaikh Majdi Al-Hilali juga menegaskan bahawa termasuk juga dalam kategori sombong adalah ketika seseorang berpuas hati dengan diri kemudian memuji dirinya atas prestasinya itu dan lupa bahawa Allah sajalah yang memiliki setiap kelebihan yang ada pada diri manusia.

Al-Muhasibi berkata,"Sombong adalah memuji diri sendiri atas prestasi yang berbentuk pekerjaan atau pengetahuan dan lupa bahawa nikmat-nikmat itu berasal dari Allah."(Al Muhasibi, Ar-Ri'ayah li Huquqillah, Darul yakin, Al-Mansurah, Mesir, ms 420)

Makna ini dikuatkan oleh Abu Hamid Al-Ghazali dalam perkataannya,"Sombong adalah mengagungkan-agungkan suatu kenikmatan dan cenderung kepadanya dengan melupakan penyandaran kenikmatan itu kepada Zat yang memberikannya" (Ihya Ulumuddin)

Sombong adalah jenis penyakit yang hampir tidak ada seorang pun yang selamat darinya. Ia sangat berbahaya dapat menjadikan diri seseorang merasa besar, Dari sini sifat sombong akan membentuk sebuah berhala internal di dalam jiwa pemiliknya dengan mengagungkan namanya. Kita harus berwaspada! Daripada rasa inilah akan memakan segala amal yang kita lakukan. Maka jadilah setiap amal kebaikan yang dilakukan tanpa ikhlas seperti debu-debu berterbangan.

Faktor yang menimbulkan penyakit bangga diri
  1. Tidak mengenal Allah
  2. Tidak mengenal diri sendiri
  3. Mengabaikan penyucian jiwa
  4. Selalu berjaya dalam bidang yang diceburi
  5. Selalu mendapat pujian
  6. Pengaruh pangkat dan kekuasaan
  7. Kurang bergaul dengan golongan miskin dan tidak ada yang menasihati
  8. Pendidikan ibubapa
  9. Memiliki kelemahan dalam berinteraksi
  10. Tingginya populariti dalam masyarakat

Menghilangkan berhala diri?

Bagaimana ingin menghancurkan perasaan itu. Ya, sudah pasti ada penawarnya. Menghilangkan berhala di dalam diri bermaksud memandang diri kita sebagai manusia yang kecil dan rendah berbanding Allah walauapapun posisi kita di tengah masyarakat. Kita beramal soleh tanpa merasa bangga dengannya. Saat kita berbincang dengan manusia dan berbicara dengan mereka kita tidak angkuh dan tidak besar diri. Bahkan setiap saat kita isi dengan istighfar.

Besar peringatan ini agar kita tidak lupa diri... Moga Allah ampunkan kesilapan masa lalu...

Hari Rabu ini kami akan menghadapi 'end round exam' untuk subjek Ear, Nose and Throat. Saya cuba mengingatkan diri. Kalau ikut banyaknya baca, saya lemah sekali. Kalau ikut pandai, entahlah jauh sekali pengakuan itu. Saya berada di sini, hari ini pun semua hasil pertolongan Allah. Sungguh saya tiada apa-apa, melainkan usaha yang kecil dan pengharapan yang besar. Aduh kerdilnya saya... Doakan saya... Maaf dipinta jika ada salah dan silap.

Wallahu'alam...

p/s:
  • Doakan saya dan rakan seangkatan.
  • Maaf kepada mereka yang tidak saya tunaikan hak. Maaf sangat...