Perjalanan jaulah
cinta kami (28 Januari 2013)
Perjalanan menuju
ke Bahnasa semalam membuahkan ketenangan dan kerehatan buat jiwa yang dahagakan
cinta. Inilah peluang buat saya dan rombongan akhwat seangkatan dalam
perjuangan 6 tahun setengah di sini. Sudah pasti, peluang ini tidak kami
lepaskan untuk menyucikan hati dalam mencari redha Illahi. Tidak putus kami berselawat
dan mendoakan kesejahteraan diri, keluarga, sahabat dan ummah seluruhnya serta
kejayaan kami. Alhamdulillah misi 1000 selawat setiap orang telah melengkapkan
misi 35 000 selawat sepanjang perjalanan. InsyaAllah barakah! Tambahan pula
kami sedang menunggu keputusan peperiksaan akhir untuk tamat pengajian Kuliah
Perubatan Am di Mesir ini. Maka, saya berharap dan berdoa, kedatangan kami ke
Bahnasa dipandang Allah, diberkati dan doa-doa kami diangkat serta kedudukan
kami dinaikkan di sisiNya seperti para solehin yang di maqamkan di Bahnasa ini.
Ameen.
Sejujurnya,
tempat bernama Bahnasa ini baru saya kenali ketika jaulah ini ingin diadakan. Alhamdulillah
tempat barakah ini sempat juga saya singgah di saa-saat akhir berada di Mesir
ini. Segala puji bagi Allah.. sungguh rasa terpilih. Kalau dahulu kami akhawat
Gen6 ke Bahriya, kini kami ke Bahnasa mencari cinta hakiki, sambil menyubur
cinta dan ukhwah di kalangan kami.
Istimewanya
Bahnasa
Sepanjang
perjalanan dari Kaherah ke Bahnasa, kiri dan kanan terbentang gurun dan pasir yang menguning. Namun gurun
yang kelihatan gersang bukanlah sebarang gurun yang kita gambarkan, ada
bahagian yang mempunyai sumber air dan galian. Bahkan subur dengan tanaman
seperti tomato, kubis dan lain-lain lagi. Semakin mendekati Bahnasa, angin
sepoi-sepoi bahasa menampar pipi. Sejuk, dingin dan damai sekali.
Bahnasa ketika zaman Mesir Purba dikenali sebagai 'Pr-Medjed'
berdasarkan nama ikan dan ketika di zaman Greek dikenali sebagai 'Oxyrhynchus'.
Bahnasa terletak di Muhafazah Al-Minya (Upper Egypt) di Selatan Mesir kira-kira
160 km dari Kaherah. Selain mempunyai kesan arkeologi yang berharga, 5000 jasad sahabat-sahabat
dan tabi'in yang gugur syahid peperangan Fathul Islami di semadikan di sini termasuk 70 orang ahli Badar. Maka itu
menjadikan Bahnasa merupakan bumi yang penuh keberkatan dan lebih berharga di
sisi ummat Islam. Maka tidak syak ada kedamaian di sini buat kita kerana
terdapat bukti kekuasan Allah dan cerita untuk kita renungkan.
Berhampiran
dengan Masjid Ali Jummam (Qadi Bahnasa) terdapat bukit-bukit yang mempunyai sebahagian
besar bilangan daripada kubah-kubah dan maqam-maqam yang dinisbahkan kepada
sahabat, tabi'in dan ulama' . Justeru ramai ulama’ dahulu dan sekarang yang
menziarahi tempat ini.
Secara ringkas
sejarah Kota Bahnasa, dahulunya Bahnasa ditakluk kerajaan Rom dan merupakan
sebuah kota yang serba kukuh benteng pertahanannya, dikelilingi tembok yang
kukuh dan rantai berduri. Selepas pembukaan kota Bahnasa oleh tentera Islam
yang diketuai Saidina Khalid Al-Walid, kota ini dijadikan tempat membuat kain
tenun yang disulam dengan emas.
Saidina Amru
Al-Asr RA, sahabat baginda yang membuka Mesir pernah mengatakan “Sesungguhnya
Rasulullah SAW telah bersabda “: Tidak ada selepas Mekah, Madinah dan Baitul
Maqdis suatu tempat yang berkat melainkan di bumi Mesir serta lebih banyak
keberkatan di bahagian Barat Mesir. Kata Saidina Amru lagi : “Mudah-mudahan ia
(tempat yang banyak keberkatan itu) ialah Bahnasa”.
Tempat bersejarah
dan maqam para solehin
Di antara para
solehin yang disemadikan di bumi yang berkat ini dan yang sempat kami ziarah
ialah:
- Maqam 7 perempuan : Dome of seven girls
- Maqam Saidi Ali Jummam (Qadi Bahnasa)
- Maqam Saidi Jaafar dan Ali Bin 'Ukil Bin Abi Talib (Anak saudara Saidina Ali)
- Maqam Saidi Syarif Mas'ud ( Satu maqam dengan Saidi Jaafar dan Ali)
- Pokok Saidah Maryam (Tempat Maryam, Ibu Nabi Isa alaihissalam berehat ketika melarikan diri)
- Maqam Saidina Ziad bin Abi Sufian bin al-Harith bin Abdul Muttalib (Ketua perang)
- Maqam Saidi Hassan bin Soleh bin Ali Zainal 'Abidin bin Hussain bin Ali (Cicit Saidina Hussain)
- Maqam Ubaidah Bin Ubadah Bin Assomat (Anak Sahabat)
- 12 Maqam di bawah satu kubah antaranya Saidina Muhammad bin 'Uqbah bin Nafi' dan Qa’qa Ibn Umar
- Saidah Khaulah Al-Azwar
- Saidi Hassan Bin Yahya Bin Hassan Al-Basri (Cucu Hasan Al-Basri)
- Saidina Muhammad bin Abdul Rahman bin Abu Bakar (Cucu Saidina Abu Bakar As-Siddiq)
Perjalanan kami :
Cerita bergambar
Kami mula berkumpul pukul 6.30 pagi dan bertolak ke Bahnasa kira-kira 7.30 pagi. Seperti biasa, dalam perjalanan kalau tidak tidur, pastinya kami bersembang dan makan. Memang puas hati kerana sudah lama kami tidak beramah-mesra sesama sendiri melainkan bertemankan buku sepanjang hari sejak beberapa bulan yang lalu. Sudah pasti banyak cerita yang kami kongsi.
Sebaik sahaja memasuki
Bahnasa, tempat pertama yang kami ziarahi adalah Dome of seven girls. Di sini
wujudnya 7 maqam perempuan yang dipercayai telah menyertai peperangan membuka
kota Bahnasa bersama tentera Islam. Mereka dibunuh oleh tentera Rom dan darah
yang terkena batu-batu di lapangan berhampiran dikatakan terus berdarah dan
menjadi rebutan orang yang menziarahi. Disebabkan itu tidak lagi kelihatan batu
tersebut.
Di sini juga wujudnya 3 maqam di dalam bangunan berkubah, 3 maqam di sisi
banggunan, dan 1 maqam di belakang bangunan, menjadikan 7 buah maqam semuanya . Di belakang
perkarangan ini juga terdapat sebuah padang pasir yang luas dinamakan ‘Sahra' Dammul
Syuhada’ yang mempunyai keberkatan dan keajaiban dengan izin Allah. Ramai yang
mengambil peluang untuk berubat di kawasan ini. Wallahu’alam sejauh mana
keberkesanan namun menurut cerita dan pengalaman orang, sesiapa yang membaca Surah Al- Fatihah, memejamkan mata dan dan mengulingkan badan kemudian mereka akan terus
berguling tanpa dikawal oleh mereka sendiri.
Kemudian, kami bergerak dengan menaiki bas ke perkarangan Masjid Ali Jumman. Di sinilah sejumlah besar maqam dan perkuburan di tempatkan.
Masjid dan Maqam Saidi Ali Jummam, Maqam Saidi Jaafar dan Saidi Ali serta Maqam Saidi Saidi Syarif Mas'ud |
Pokok Saidah Maryam ; Sebatang pokok yang besar dan berlingkar. |
Maqam Saidina Ziad bin Abi Sufian bin al-Harith bin Abdul Muttalib |
Maqam Saidi Hassan bin Soleh bin Ali Zainal 'Abidin bin Husain bin Ali (Cicit Saidina Hussain) |
Maqam Ubaidah Bin Ubadah Bin Assomat dan 12 Maqam di bawah kubah bersebelahan |
Banyak cerita dan
pengajaran di sebalik maqam dan tempat yang kami lawat. Alhamdulillah nasihat
yang berguna turut disampaikan oleh Ustaz Zahari yang menemani perjalanan kami
ke sini. Jazakumullahu kheiran kathira diucapkan pada Ustaz, Kak Lyanna dan AJK
Jaulah serta akhawat Gen6 yang menjayakan Jaulah Bahnasa ini. Saya doakan kita
semua berjaya dunia akhirat dan dikurniakan kebaikan demi kebaikan selagi hayat
dikandung badan. Ameen.
0 comments:
Post a Comment