BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 09, 2013

Cerita 11 Hari Kepulangan

Seminggu pantas berlalu. 11 hari juga rupanya saya sudah berada di tanahair tercinta.

Mereka permata hatiku

Pertama kali keluar dari pintu ketibaan, wajah-wajah yang saya kenali terus menerpa dalam pandangan, Abang, Lek dan Ummi sedang melambai. Oh alangkah indahnya saat itu. Walaupun bukan satu rombongan keluarga yang datang, sambutan dari mereka bertiga cukup hangat buat saya. Terasa sungguh kepulangan saya selepas berhempas pulas 6 tahun setengah disambut ceria.

Roti canai Pok Man

Kalau bercerita bab makan, Roti Canai antara makanan yang cukup glamour di bumi Malaysia. Semenjak saya menjejaki Marang, tempat suami saya dibesarkan, cukuplah Roti Canai Kedai Pak Man membuatkan saya terpanggil untuk ke sana semula. Sungguh sedap! Tak percaya? singgahlah kedai beliau..

Doktor oh Doktor

Sejak pulang, mereka di sekelilling sudah mula memanggil diri dengan panggilan 'Doktor'. Rasa asing pula. Sedangkan di Mesir, professor dan pesakit selalu memanggil kami Ya Duktur, Ya Dukturah... Tapi kali ini, panggilan itu sangat berat bagi saya. Setidaknya panggilan itu mengingatkan saya akan amanah yang sepatutnya saya pikul. Doakan ya, fasa itu saya tempuh dengan penuh bertanggungjawab dan berdedikasi.

Penting Buku Rekod Kesihatan Ibu

5 Mac 2013 - Ketika ini saya sudah pun 6 bulan mengandungkan 'si comel soleh/solehah' dan sudah lambat untuk saya membuka buku rekod kesihatan ibu dan melakukan pemeriksaan kesihatan ibu dan bayi di Malaysia. 'Buku Pink' adalah antara gelaran glamour untuk buku rekod tersebut, ibarat pasport si ibu untuk melakukan pemeriksaan susulan. Gementarnya saya sekiranya dimarahi oleh jururawat mahupun doktor bertugas. Alhamdulillah segalanya lancar dan mereka melayani saya dengan baik sekali. Rezeki anak rasanya.

Pertama kali saya mengisi buku rekod kesihatan ibu dengan ruang pekerjaan sebagai doktor/pegawai perubatan. Huhu sungguh rasa mahu memadamnya semula kerana belum bertugas. Ketika berurusan dan pemeriksaan kesihatan bertambah lagi insan yang memanggil saya dengan gelaran tersebut walaupun mereka itu juga doktor dan jururawat, hingga saya tersipu malu. Harap sangat itu sebagai doa dan buah keyakinan untuk menghadapi masa hadapan.

Suami mula bertugas

Alhamdulillah, semalam suami baru pulang dari program transformasi minda. Beliau bakal bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah. InsyaAllah esok bakal melaporkan diri di hospital berkenaan. Sekejap sungguh masa berlalu.Ketika beliau sedang berkursus saya pula pulang ke Besut bertemu Wan dan Tok Ki. :) Gembira sungguh mereka. Sebaik sahaja suami pulang, terasa masa sangat singkat dan amat berharga untuk saya. Maklumlah selepas ini beliau pasti sibuk bekerja. Sejak semalam dan hari ini banyak kami meluangkan masa bersama dan menyelesaikan beberapa perkara memandangkan kenduri menyambut menantu bakal menjelma tidak lama lagi.

Kalau difikirkan semula, 11 hari yang berlalu ini banyak perkara yang telah dan sedang dilakukan. (^_^) Tak putus saya mendoakan masa yang saya ada ini diberkati.