BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, July 09, 2013

Catatan Bunda : Syukur, Sebulan Yang Berharga!


Sebulan sudah berlalu..

Hari ini 30 Syaaban bersamaan 9 Julai. Genaplah sebulan usia puteri kesayangan kami. Baru sebulan juga kami suami isteri bergelar Papa dan Bunda. Sungguh masih banyak yang perlu kami pelajari. 

Mujahadah, itulah sebaik-baik kalimah untuk dihadam sepanjang sebulan dan untuk masa hadapan. Memahami si kecil yang hanya mampu mengeluarkan bunyi, menangis bukanlah mudah. Namun memerhati gelagatnya itu cukup indah. Melihat tubuhnya yang kecil itu indah. Sungguh indah ciptaan Allah. Dari sehari ke sehari wajahnya berubah-ubah. Tubuhnya pula semakin kemas berisi. Rezeki untuk si kecil ini sentiasa ada. Subhanallah wa Alhamdulillah, Allah sebaik-baik pemelihara dan pemberi nikmat. Syukur padaNya.



Sebulan bakal bertamu..

Bercerita kisah sebulan, usai Maghrib sahaja sudah 1 Ramadhan. Maka hadirlah bulan yang penuh barakah untuk ummat Islam beribadah. Sebulan yang juga menuntut mujahadah, mendidik sabar dan meningkatkan iman. Banyak kelebihan di bulan Ramadhan yang tiada di bulan lain. 


Sudah pasti Ramadhan kali ini amat berbeza untuk saya, apatah lagi  sudah bergelar ibu. Kalau diizinkan berpuasa, wajib difikir stamina diri untuk si kecil yang pastinya tidak berpuasa (^_^) Nuha agak demand, maklumlah mahu membesar, fitrah si kecil yang tiada dosa dan sangatlah naif.

Ramadhan dan Syawal kali ini mungkin yang terakhir mampu saya nikmati dengan senikmatnya walaupun kali ini tak mampu berterawikh di masjid kerana Nuha perlu diberi lebih perhatian. Entah bagaimana la Ramadhan saya tahun hadapan kalau masih panjang umur. Maklumlah kerja nanti tak menentu dan sungguh hetic. Sudah pasti kenikmatan menghidupkan malam tidak seperti dulu.

Apabila sebut Ramadhan, terbayang Ramadhan lalu. Itulah Ramadhan kali terakhir saya di Mesir. Sempat menjelajah beberapa masjid di sekitar Kaherah. Damai sungguh.. Kehangatannya lebih terasa berbanding Malaysia. Mengenangkan keadaan Mesir sekarang, pastinya sahabat-sahabat di Mesir tidak sebebas tahun-tahun sebelum ini untuk menjelajah masjid. Sedih saya mengenangkannya. Namun itulah jihad buat mereka yang benar. Yang pasti, kita kena panjatkan doa yang berterusan untuk saudara kita di Mesir, Syria, Palestin dan negara tertindas. Manfaatkan keberkatan di bulan yang mulia ini. Mesti!

Di samping itu juga, doakan saya sekeluarga diberi pengampunan dan terus dalam rahmatnya.