Dari mana harus saya mula berkongsi rasa.. Walaupun baru sebulan, pelbagai cerita mewarnai hidup saya di hospital. Ada yang gembira, ada yang menghimpit jiwa.
Senyum..
Kecil di mata sesetengah pihak tapi perkara besar untuk saya. Sebuah senyuman besar nilainya. Seorang doktor kelihatan menyerabutkan tanpa senyuman di mukanya baik ketika berinteraksi bersama pesakit, rakan sekerja, dan pihak atas, tidak kira pakar mahupun senior ho dan mo. Ketika saya menjadi pesakit, apa yang meringankan sakit saya adalah senyuman daripada doktor yang merawat. Ketika saya bergelar pegawai perubatan, senyuman rakanlah meringankan keserabutan tugasan. Oh besarnya nilai sebuah senyuman.
Keruhnya muka jururawat, rakan sekerja, MO dan pakar sungguh tidak menyenangkan. Apatah lagi di mata pesakit (^_^) Maka senyumlah, tidak kira apa jua keadaan. Saya akan cuba tersenyum biarpun berhadapan dengan mereka yang tawar daripada senyuman.
Kecilnya..
Ketika berhadapan dengan pesakit, kita sebagai doktor di lihat sebagai sumber harapan. Besarnya peranan dan kita diberi kuasa besar untuk merawat. Kita diberi pengharapan oleh pesakit dan keluarganya untuk merawat selagi terdaya. Adakala mereka lupa, kita hamba dan hanya Allah penentunya. Amanah dipikul tanpa bicara, si doktor tidak wajar besar diri, harus selalu tautkan hati kerana kuasa menyembuh hanya pada Sang Illahi. Manusia yang bergelar doktor ini boleh sahaja melakukan kesalahan walaupun target perawatan adalah yang terbaik untuk pesakit dan jauhi dari sebarang kesalahan yang boleh membahayakan pesakit. Allah.. Allah sangat berat peranan ini. Siapalah kita untuk bangga diri, sedangkan kita hamba yang hina dan sangat kecil di sisiNya. Tanpa Allah siapalah kita...
Masa..
Masa oh masa. 24 jam terasa cepat berlalu. Bagi orang yang tiada kepentingan dalam hidupnya, selalu masa yang ada akan dibazirkan. Kelihatan masa itu unsur kecil baginya. Bagi yang punya komitmen pula, masa sangatlah berharga. Mereka akan berkira-kira untuk menggunakan masa dengan sebaiknya.
Sepanjang di hospital, masa sangat mencemburui. Lambakan kerja membuatkan kami di wad tidak senang duduk. Bermimpilah kalau mahu goyang kaki di hospital. Walaupun waktu bekerja bermula dari jam 7 pagi hingga 8 malam, tiada istilah tepat waktu untuk pulang ke rumah. Hinggakan sering sahaja saya merasakan bahawa jasad sahaja di hospital, namun hati saya kerap di rumah mengenangkan anak kecil yang kurang meluangkan masa dengan bundanya. Hati saya mudah sebak sekiranya saya lewat pulang. Saya berkira-kira tentang masa kerana masih ada yang memerlukan saya di rumah selain di hospital. Di hospital masih ada rakan setugas yang boleh meneruskan tapi di rumah hanya ada seorang bunda dan papa. Tiada pengganti yang sama untuk tugas ibubapa. Mungkin ada yang berkata, itu lumrah kerjaya seorang doktor, terpaksa berkorban meninggalkan keluarga tapi mereka mungkin lupa sistem itu dihasilkan oleh manusia dan kita mampu mengubahnya. Pasti ada keseimbangan untuk cemerlang dalam dunia keluarga dan kerjaya.
Empati..
" Terima kasihlah Dr rawat saya. Kalau Dr ada suami dan anak mesti terpaksa tinggalkan mereka untuk rawat saya. Besar pengorbanan Dr, " berkata Pakcik A sambil tersenyum kelegaan dan matanya sayup dengan air mata selepas bergelut dengan kesakitan.
Air mata saya mula bergenangan mendengar kalimah itu. Beliau beruntung, kerana anak-anaknya begitu prihatin. Mungkin dia juga mementingkan keluarga lantas berbicara seperti itu. Pantas saya membalas, " Sama-sama Pakcik. Alhamdulillah, ada suami dan anak sekarang. Yang penting doakan kebaikan untuk kami, Allah dengar doa orang sakit ni."
Sebelum ini pensyarah di Mesir selalu juga menasihatkan kami supaya meletakkan elemen empati dalam merawat pesakit, namun kali ini saya berhadapan dengan pesakit yang empati pada kerjaya Dr. Terharu dibuatnya...
Tali pergantungan
Hamba ini perlu pada Yang Maha Esa supaya terus kuat menghadapi segalanya. Sibuknya urusan bekerja tidak wajar membuatkan kita lupa kuasa Allah Yang Maha Esa. Terasa jiwa saya dihimpit rasa bersalah kerana keterbatasan saya membaca Al-Quran dan sentiasa berkejar-kejar ketika melakukan solah. Dulu saya bebas membaca Al-Quran terutama selepas setiap waktu solah. Selepas solah masih boleh berwirid dan berdoa panjang. Kini, saya terbatas. Allah, sungguh saya rindu untuk meluangkan masa bersama Allah lebih lama. TanpaNya sungguh lemah jiwa ini.
Di hospital juga ramai pesakit yang beralasan untuk menunaikan solah. Kadangkala, saya bingung dengan sikap orang kita. Ketika sakitlah masa untuk dekat dengan Allah, kerana hanya Allah Yang Maha segalanya. Saya impikan institusi hospital nanti mesra ibadah, bukan sahaja di kalangan pesakit, tapi dikalangan perawat juga. Kita sibuk mahu merawat pesakit dengan rawatan terbaik hingga ketika berlaku kesilapan, kita mula menuding jari pada rakan setugas dan anak buah tapi kita lupa hanya Allah yang mampu menyembuhkan. Saya risau, boleh sahaja keberkatan dalam menjalankan tugas dicabut kerana hubungan kita dengan Allah tidak mapan. Allah.. Allah.. ampunilah hambamu ini.
Sungguh dunia ini banyak perkara seolah-olah kelihatan kecil tapi besar nilainya. Yang besar pula sebenarnya kecil nilainya. Hanya kita kadangkala masih samar-samar dalam menilainya. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk pada kita.