BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, August 25, 2017

Checklist Bekalan Keperluan dan Kelengkapan Haji


Alhamdulillah, hasil muhasabah dan perkongsian pengalaman daripada orang terdahulu dan sekarang, saya cuba senaraikan keperluan untuk jemaah haji. Mungkin ada perubahan tertakluk pada apa yang dibekalkan oleh pihak yang menguruskan kita seperti saya di bawah Tabung Haji (Muassasah) atau jemaah dari pakej lain. Nota di bawah lebih kepada persiapan saya di bawah Tabung Haji pada tahun ini 2017/1438H dan beberapa penambahbaikan daripada jemaah di sini.

Terbuka untuk penambahbaikan di ruang komen.

Senarai seperti berikut :

❤ Surat Jadual Penerbangan Haji (Wajib bawa)

❤Buku Rekod Rawatan Jemaah haji (Wajib bawa)

❤Al Quran tafsir bersaiz poket/mini

❤Wang Saku/Belanja/Dam
- Tak perlu banyak, 1000 Riyal dulu pun cukup
- Nanti boleh bawa keluar duit dari Ibu Pejabat Tabung haji. Ada kaunter kewangan di sini. Scan name tag sahaja, tak perlu bawa buku akaun. Nak selamat snap gambar buku akaun pun ok.

❤Buku panduan haji dan doa (disediakan Tabung Haji)

❤Buku catatan serbaguna

❤Pen / Pensil

❤Pakaian
- Telekung labuh/pendek ~ 2 helai
- Kain Ihram (lelaki) ~ 2 pasang
- Baju blouse/muslimah ~ 2 helai
- Baju jubah/ punjabi style preferable ~ 2 helai
- Baju indoor/tidur ~ 3 helai
- Baju sejuk ~ 1 helai
- Seluar Putih/Hitam/ect ~ 4 helai
- Kain hitam ~ 2 helai
- Tudung Putih/Hitam/ect (wanita) ~ 4 helai
- Purdah putih atau hitam (pilihan) ~ 2 helai
- Anak tudung ~ 3 helai
- Anak baju dan seluar ~  7 helai
- Stokin kaki ~ 7 pasang
- Stokin lengan ~ 3 pasang
- Kain batik/pelekat ~ 1-2 helai
- Tuala ~ 2 helai

Bersedialah mengikut syariat. Tutup aurat.
.

❤Kasut  yang selesa eg crocs dan selipar tandas ~ 2 pasang
Yang lelaki pakai selipar jepun pun selesa dah.
Saya pun pakai selipar jenama Adidas yang getah tu sahaja pada kebanyakan masa😆

❤Ubat-ubatan
-Ubat wajib daripada pakar atau pegawai perubatan yang kita ikuti temujanji klinik (bekalan untuk sepanjang tempoh haji)
- Ubat kecemasan seperti ubat demam, sakit tekak, selsema, batuk  (kalau boleh cari yang tidak mengantuk) dan set ubat cirit birit.
- Supplement : Vitamin C, Calcium

❤Alatan menjahit (benang putih dan hitam/jarum)
Bukan apa, senang la nak baiki atau pendekkan baju yang beli di Saudi kalau rasa nak pakai. Memang ramai la yang membeli di sini 😉

❤Beg
- Beg bagasi besar
- Beg tarik 5 kg (disediakan Tabung Haji)
- Beg sandang ( disediakan Tabung Haji)
- Beg galas (pilihan sendiri)
- Tali ikat beg
- Pembalut beg eg Jenis kain atau plastik

❤Kelengkapan mandi/basuh
- Sabun mandi
- Shampoo
- Pencuci muka
- Ubat gigi
- Berus gigi
- Dental floss
- Sabun basuh baju
- Berus baju
- Penyangkut baju
- Penyepit baju
- Tali ampai baju

❤Kelengkapan diri
- Penyikat rambut
- Minyak/Krim rambut ( dipakai hanya sebelum atau selepas ihram).
- Lotion uv protection spf 30 atau 50
- Lotion badan (vaseline pun best)
- Pelembap bibir (Lipgloss, Lipbum)
- Minyak angin atau krim urut( saya bawa Minyak Pak Ali, eagle, Fresh care, dan paling kuat Flanil)
- Pengepit kuku
- Minyak wangi (dipakai hanya sebelum atau selepas ihram)
- Hand sanitizer (disediakan Tabung Haji)
- Mask (disediakan Tabung Haji) kalau boleh beli sekotak yang jenis boleh ikat, bukan getah
- Tuala wanita dan pantiliner
- Kerongsang/Pin

❤Makanan/Kudapan
- Gula-gula (eg: Mints, Hacks) melegakan tekak
- Biskut
- Keropok keping segera/sira
- Sambal ikan/ ikan bilis
(Gemmit Ikan Masin Rahimah dari Tawau best)
- Serunding ( pack kecil-kecil)
- Budu ( ada jual nasi kerabu tapi almaklum budu tiada)
- Biji selasih
- Gula batu
- Buah Kundur
- Asam Jawa
- Sos cili Kimball
kalau ada memang best apatah lagi Sos Thai
- Kicap Kipas Udang (kat sini pun ada kicap tapi jenama ABC la setakat ni)
- Minuman 3 in 1 (eg: milo, tamar cocoa, oat, kopi)

❤Alatan penting ibadah umrah haji
- Gunting untuk mengunting rambut
- Uncang untuk letak batu
- Torch light
- Botol spray air wuduk
- Tikar kecil untuk wukuf (disediakan tabung haji)
- Sejadah nipis (disediakan tabung haji)
- Sejadah tebal (boleh beli di Mekah/Madinah)
- Payung (saya beli, tapi muassasah pun ada bagi)
- Tisu basah ( Dettol)
- Tisu biasa sekotak/ 2 bungkus kecil (boleh beli tambahan di Mekah/Madinah)

❤Alatan dapur
- Bekas makanan (lebih baik yang berpenutup eg tupperware).
- Bekas air
- Sudu
- Garfu
- Pisau lipat atau berpenutup ( saya beli dekat DIY)
- Getah barang
- Sabun basuh pinggan (eg Axion saiz kecil)
- Span basuh pinggan (saya beli yang style jaring)

Alhamdulillah hotel saya memang ada pemanas air, cawan dan sudu disediakan.

❤Alatan Elektrik
- Charger Telefon
- Powerbank dan Charger
- Extension
- Adapter international

❤Passport dipegang oleh pihak Tabung Haji, akan diberi semula ketika perlepasan di lapangan terbang Malaysia.

Banyak juga boleh beli di Mekah, cuma harga pastinya mahal. Cuma lebih baik kita sediakan semua barang di atas tu sendiri dulu ya. Bab makan ni kalau jenis tak kisah tak perlu bawa pun tak apa. Saya sekadar senaraikan yang dirasakan asas untuk hormati kerinduan tekak anak Malaysia. Untuk kami bagasi hanya dibenarkan 20kg sahaja dan 5kg untuk 'hand carry'. Jadi utamakan yang utama.

Sekian sahaja. Moga berguna buat dhuyuffurrahman. Maafkan kekurangan, boleh ubah mengikut kesesuaian individu dan bajet ya.

Sinar Islami💞
Makkah Al Mukarramah
24.8.17@1945
Hujan sedang turun. Pengalaman kedua merasai dingin. Alhamdulillah.

#haji2017
#haji1438H
#checklisthaji

Thursday, August 24, 2017

🍀Kematian tazkirah setiap hari🍀



Kematian tazkirah setiap hari

Setiap waktu di sini, pasti ada sahaja solah jenazah yang bakal dilaksanakan.

Asalnya solah itu cukup asing bagi saya. Sudah lama tiada saudara mara yang dijemput pergi, namun hari ini hampir dua minggu berturut turut melakukan solah jenazah saban hari.

Terdetik di hati saya.
Adakah kita bersedia melakukan solah jenazah keluarga sendiri.

Sudahkah kita bersedia kehilangan ibubapa kita.
Kehilangan suami atau isteri kita..
Kehilangan anak- anak kita..
Kehilangan kakak atau abang kita..
Kehilangan adik-adik kita..

Kita sayang mereka tapi hati kita tidak tulus pada mereka
Ketika mereka hidup kita masih lagi cari salah mereka.
Kita lebih kenangkan kekurangan mereka.
Mencari titik lemah mereka.
Kita merasa diri kita bagus dari mereka.
Ego kita tak memaafkan mereka.

Bila mereka meninggal barulah kita terbayang kebaikan mereka..
Sudah terlambat untuk ucapkan
Terima kasih ummi lahirkan kami
Terima kasih ummi basuhkan baju kami
Terima kasih ummi masakkan untuk kami
Terima kasih walid hantar kami ke sekolah
Terima kasih walid belanja kami
Terima kasih abang menyantuni kami dan anak-anak
Terima kasih kakak bantu ketika perlukan wang
Terima kasih adik tolong buat kerja rumah

Dan list go on..

Sedangkan Nabi banyak mengajar kita
bersedia bersedia untuk benda yang pasti..
Iaitu mati dan akhirat yang pasti..
Sebelum tidur maafkan mereka yang kita kenali..
Taubat sebelum mata kita lena dibuai mimpi
Almaklum tidur itu ibarat mati

Semua mahu syurga, tapi hati masih terikat dengan dunia..
Hati masih masih ada sifat mazmumah
Hati masih sukar mencari mahmudah..

Astaghfirullah.. Banyaknya dosa..
Kotornya hati kita..
Ya rabbi, jernihkan hati kami.

Jadilah kami insan, paling menyayangi
Paling amanah dalam tugas dan peranan kami.
Paling jujur dalam tugas dan peranan kami.
Paling pemaaf dalam muamalah kami.
Paling lembut dalam menyantuni keluarga kami.

Ameen..

Sinar Islami
24.08.17@6am
Makkah Al Mukarramah

Saturday, August 12, 2017

Persiapan Haji, Berusaha Sebelum Terpilih!

Persiapan hati dan doa yang utuh

Ibadah haji bukan calang calang persiapannya. Kita sebagai Muslim wajib mempunyai semangat membara ingin menunaikan rukun Islam kelima. Bak kata orang kena bulat tekad dan azam ke sana. Usaha pun kena bersungguh-sungguh.

Setiap detik kita berharga.  Setiap sujud kita perkemaskan doa untuk dijemput menjadi tetamu Allah. Dengar ja khabar orang menunaikan umrah atau haji, monolog terus dengan Allah.

'Ya Allah, hambaMu ini mahu pergi ke Mekah untuk menunaikan haji seperti hamba-hambaMu yang lain. Jemputlah daku seawal mungkin dan ketika badan masih sihat dan kuat.'

Bermula saat itu, aim hati bersih..
Sentiasa maafkan orang
Sentiasa menginsafi kesalahan
Solat malam dan taubat sekerap mungkin
Istighfar dan zikir selalu
Banyakkan sedekah
Gembirakan hati ibu bapa
Raikan anak-anak

InsyaAllah, jalan membuka rezeki..

Kita tak lari dari buat kesalahan,
Kalau datang sahaja aura negatif, amalkan istighfar.
InsyaAllah kita doa hajat kita didengari Allah.

Persiapan kewangan, satu keperluan

Persiapan paling utama di abad ini adalah memastikan tabungan dan kewangan mencukupi. 

Menunaikan ibadah haji saja memerlukan belanjanya tersendiri tapi jangan kita lupa, wang belanja, wang nafkah untuk keluarga juga wajib kita berikan.

Bagaimana? Start menabung dari mula kita berniat. Sangat beruntung kalau ibu bapa kita sudah mula menabung sejak kita kecil. Nah.. Kita kena berterima kasih pada mereka. Jangan lupa😀

Urusan penerimaan tawaran haji

Ni part paling mendebarkan. Disebabkan kami ni kuota tambahan, nombor telefon yang aktif amat memainkan peranan. Pegawai akan menelefon  kita pada bila bila masa sahaja.

Apabila mendapat panggilan, tak kiralah pukul berapa, layani pemanggil dengan baik. Jika berita mengatakan layak menunaikan haji, tanyalah tindakan lanjutan yang perlu kita laksanakan. Memang macam tak percaya kita dibuatnya. 

Almaklum mungkin panggilan dilakukan selepas waktu bekerja. Tapi kena terus berbaik sangka.
Esoknya pergilah ke Tabung Haji, insyaAllah percayalah kita nanti.

Antara flow yang kami lakukan, setelah menerima perkhabaran.

🌱Ke kaunter tabung haji bahagian urusan haji

🌱Berikan Ic atau nyatakan nama beserta Ic

🌱Pegawai akan printkan surat tawaran haji
- Kita perlu nyatakan menerima atau menolak

Barang yang perlu disediakan sekiranya menerima tawaran haji

- Sediakan gambar 2 keping berukuran 4x6cm dan 1 keping saiz lesen

- Passport yang masih valid untuk tempoh 6 bulan ke atas atau seperti yang dinyatakan untuk tahun tersebut. Cth untuk tahun ini sah laku selepas/melebihi 03/03/2018

Kalau passport sudah atau hampir tamat tempoh, jangan risau pihak Th akan buat memo untuk memperbaharui passport, siap dapat diskaun tau untuk tujuan haji. Best kan😉

- Surat sokongan untuk ditemani mahram, cth saya ditemani suami jadi saya perlu bawa salinan sijil nikah yang disahkan oleh pejabat agama.
selesai berikan semua barulah akan diberikan buku rekod rawatan jemaah haji. Apa yang perlu dibuat? Kena buat medical checkup di klinik bertauliah dan dapatkan vaksin wajib seperti meninggococal.

Kelengkapan haji biar puas hati

Nak musafir selama hampir 2 bulan pastinya perlu bekalan.

Dari segi wang belanja, makan, pakai dan barang peribadi memang kena cakna.

Sebaiknya di tanya pada mereka yang sudah pernah menunaikan haji atau umrah. Kita ambil pengalaman mereka. Barang apa yang perlu dibawa.

Alhamdulillah, ummi lek ibu abah dan adik beradik yang pernah pergi sangat banyak membantu kami buat persiapan.

InsyaAllah nanti Sinar kongsikan checklist barang ya.

Keluarga yang dirindui

Untuk saya dan suami saya bakal tinggalkan anak-anak kami perlu bincang hal penjagaan dan nafkah mereka.

Alhamdulillah keluarga mertua dan pengasuh sangat supportive.



Debaran pun terasa untuk saya yang baru pertama kali ingin menjejakkan kaki.
Kini saya sedang berhimpun di tempat perkumpulan jemaah haji Terengganu di TH Hotel Terengganu. Doakan urusan pendaftaran dan penerbangan kami lancar ya.

Friday, August 04, 2017

Panggilan Haji, panggilan yang dinanti

Dalam banyak banyak tempat yang teringin sangat saya nak menjelajah, adalah Arab Saudi, to be specific adalah Mekah dan Madinah.

Sangat berhajat, sabar menunggu green light dari si Dia.

Tak senang hati ini selagi tidak menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah.

Terdetik hati,' Bila ya Allah nak pilih jadi tetamuNya.' Sebab tak nak gi sebagai pelancong, nak pergi sebagai tetamu Allah, kembara ibadah.

Cemburu pun ada pada mereka yang sudah ke sana. Kebanyakan berkesempatan berumrah di usia muda.

Saya masih belum diberi kesempatan masa dan rezeki ke sana..

Namun yakin akan terpilih..
Doa dan terus doa sambil berusaha..

Usaha setakat mampu, persiapan sedikit demi sedikit itu perlu. Tabunganlah wajib apabila niat sudah ada.

Umrah pun nak haji apatah lagi. Tamaknya😆 perkara baik, aci la kan.

Saya dan suami membuat rayuan selama 2 tahun berturut-turut. Tahun ni kelihatan lebih nekad. Tabungan mencukupi kalau untuk berumrah atau haji. Cuma hajat lebih besar dan berat untuk haji. Kalau tak dapat juga haji, nekad cari ruang untuk umrah selepas bulan haji tamat.

Sungguh tak di sangka,

Telefon saya berdering di suatu petang usai balik kerja, minta disambungkan ke suami.

'Pelik pula nak cakap dengan suami tapi telefon nombor kita, mujur lelaki.' ahaks monolog hati..

Rupa-rupanya dari Tabung Haji.

Alhamdulillah suami terpilih menjadi rombongan muassasah 1434H

Nah, suami dapat pergi. Isteri pun nak juga la kan. 😉 buatlah rayuan lagi untuk mengikuti suami sebagai mahram. Berapa kali rayu ntah. Memang buat muka tebal je.

Alhamdulillah 3 minggu kemudian debaran terungkai, jam.1420 tanggal 26 bulan Julai berita baik saya terima.

Lambat kan? Tak la, selagi boleh kejar untuk beribadah di sana bersama suami tercinta.

Pengembaraan rabbani dan rehlah ruhiyyah bakal bermula. Ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Apakah saya saya siap sedia?

Nantikan persiapan saya..

Catatan ini untuk Nuha dan Iman. Inilah kisah hidup Bunda dan Papa dalam perjuangan menjadi hamba Rabbani..

Nuha dan Iman pastinya menjadi Muslimah yang lebih baik lagi daripada kami. Ameen.

Jalan-jalan Bandung Februari 2017

Bandung 20/2/2017

Sempat bermalam di Hotel Caryota, kemudian bertukar angin ke Hotel Sukajadi pula.

🌟Kartikasari🌟

Singgah sekejap beli kuih muih

Langsung meneruskan perjalanan ke Lembang.

🌟Farm house susu Lembang 🌟

Memang best, Rp 20 000 berbaloi dengan landskap dan suasana yang menarik. Make sure camera ada. Tak puas bergambar.

🌟Floating Market

Tak sempat nak jelajah secara keseluruhan. Allah izin hujan. Bayar Rp 20 000 diberi juga voucher minuman panas.