Alhamdulilah. Dengan izin-Nya sampai juga kami ke destinasi untuk teruskan pengembaraan di dunia ini.
Hajat suami nak sangat ke Bukit Tinggi - Padang. Alhamdulilah dapat juga bawa Ummi, Lek, Nuha, Iman dan Hana..
Tiket kami urus sendiri, manakala untuk urusan hotel, pengangkutan, 'tour' Alhamdulillah Ummi banyak Pengalaman dan rangkaian. Kali ni kita bekerjasama dengan Kita Holiday. Pengangkutan, Makan Minum, Penginapan semua diatur.
Hari Pertama yang unik dan pengalaman berharga!
Alhamdulilah perjalanan ke KLIA2 lancar dengan menaiki kendaraan sendiri. Kami bertolak dari rumah pukul 3 pagi. Pertama kali kami nak bawa anak-anak menaiki kapal terbang sejak covid melanda. Bahkan memang pengalaman pertama buat Hana juga. Debar juga untuk menyiapkan semua seawal pagi.
Alhamdulillah sempat Subuh di KLIA2. Pukul 7.20 pagi kapal pun berlepas. Penerbangan memakan masa 1 jam 5 minit. Alhamdulillah tertunai hajat nak makan Nasi Lemak Pak Nasser.
Sampai sahaja di lapangan terbang, cuaca mendung, hujan renyai. Sejuk pula. Kami disambut oleh Riko, pemandu pelancong.
Perjalanan kami diteruskan ke Bukit Tinggi. Di dalam perjalanan kami dapat singgah di Air Terjun Lembah Anai, Museum Bustanil Arifin, Rumah Makan
Air Terjun Lembah Anai
Air Terjun Lembah Anai (dikenal juga Air Mancur, ejaan lama: Ajer Mantjoer) adalah sebuah air terjun yang terletak di Tanah Datar, Sumatera Barat. Air terjun ini setinggi 35 meter berada di tepi Jalan Raya Padang-Bukit Tinggi di kaki Gunung Singgalang. Air Terjun Lembah Anai merupakan bagian dari aliran Sungai Batang Lurah, anak Sungai Batang Anai yang berhulu di Gunung Singgalang di ketinggian 400 Mdpl.
Museum Bustanil Arifin PDIKM
Kemudian perjalanan kami diteruskan. Sesampai sahaja di sebuah tempat yang lamannya penuh flora ala ala Istana.. Terpukau.. Terpesona saya melihat rumah berciri Minangkabau ini. Sangat terkenal dengan jolokan Rumah Gadang Minangkabau.
Ketika di sana, ada jurucakap yang memberi info. Secara umum, Rumah Gadang mempunyai ciri yang berbeza mengikut suku. Kali ini kita melawat Rumah Gadang Temenggung. Rumah ini diketuai oleh ketua digelar Datuak untuk kegunaan suku. Namun Datuak tidak tinggal di Rumah Gadang. Rumah ni diwarisi oleh wanita tertua dalam suku.
Ciri-ciri khas1
1. Ada anjung kiri (untuk perbincangan Datuak ibarat raja, Bundu Kanduang ibarat ratu.
2. Manakala anjung kanan (untuk anak-anak perempuan beraktiviti dan berehat).
3. Anak-anak lelaki pula akan tidur di surau.
4. Ada 8 bilik kecil untuk pasangan berkahwin. Pasangan baru berkahwin akan ditempatkan ke bilik pertama. Jika ada pasangan baru lagi, pasangan lama kena berpindah ke bilik seterusnya. Jika sudah penuh ke bilik, pasangan lama yang ke 9 terpaksa bersiap sedia masuk ke rumah sendiri.
Di luar rumah gadang pula ada beberapa jenis tempat simpan beras yang dipanggil Rangkiang. Kegunaan dibezakan mengikut tiang.
Tiang 4 untuk kenduri
Tiang 6 harian
Tiang 9 untuk membangun negeri
Kemudian saya rujuk juga secara spesifik tentang bangunan yang kami lawati ini seperti rujukan di bawah.
Sebenarnya bangunan yang kami lawati ini bukan sekadar Rumah Gadang biasa. Bangunan ini ditubuhkan dengan tujuan untuk generasi masa hadapan.. Merupakan Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau atau biasa disingkat PDIKM. Bangunan ini juga merupakan museum di Sumatera Barat yang terletak di Kelurahan Silaing Bawah, Kecamatan Padang Panjang Barat, Kota Padang Panjang. Museum ini terletak di jalan utama Padang–Bukittinggi, berjarak sekitar lebih kurang dua kilometer dari pusat Kota Padang Panjang. Jadi senang untuk kita lawati.
Terdapat pelbagai informasi dan koleksi mengenai kebudayaan Minangkabau baik berupa dokumentasi audio maupun visual.. .
Sejarah awal ditubuhkan untuk menjadi pusat rujukan buat generasi mendatang kerana banyak sumber berkenaan sejarah Minangkabau melalui pertuturan, manakala catatan, gambar banyak di luar negeri. Pada 8 Ogos 1988 diletakan batu pertama sebagai tanda pembinaan PDIKM di Padang Sarai, Kelurahan Silaing Bawah. Bangunan PDIKM didirikan mengikuti bentuk Rumah Gadang, dan dirasmikan pada tanggal 19 Disember 1990.
Rujukan : https://id.m.wikipedia.org/wiki/Pusat_Dokumentasi_dan_Informasi_Kebudayaan_Minangkabau
Kraftangan Kulit yang berkualiti!
Kagum saya melihat hasil kraftangan masyarakat di sini. Hebat! Tergoda jugalah dengan sepasang kasut kulit ☺️
Batik, sulaman, hasil tangan yang cantik!
Alhamdulillah, sebagai pengemar batik. Memang rambang la mata melihat kain batik, jubah, blouse yang dipamerkan. Tak kurang juga, baju dan telekung pun penuh sulaman. Kaum wanita pun rambang mata.
Makanan Minangkabau sedap!
Memang sedap. Tak terkata. Rasa dari satu kedai ke satu kedai berbeza.
Alhamdulilah..
Pastinya tidak lengkap kalau tak mencuba makanan di sini.
Terkejut melihat juadah yang terhidang untuk menu tengahari Masakan Padang. MasyaAllah lauk pauknya... Pelbagai jenis. Pastikan jika mahu tukar, kita tukar sebelum menjamah.
Nasi Padang memang berbaloi untuk dinikmati bersama keluarga.
Sempat juga kami merasa Bika. Makanan ini ala ala lemping kelapa yang padu rasanya.