BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, August 27, 2010

Wad Kecemasan, satu permulaan

Teori dan praktikal merupakan dua medan yang berbeza. Baik sebagai Muslim mahupun pelajar kita akan dikelilingi oleh dua medan ini. Kita tahu hikmah sabar, kita tahu hikmah solat, kita tahu ganjaran taat pada Allah namun sejauh mana praktikal kita dalam mengendalikan marah dan melakukan amal kebaikan. Sungguh banyak yang kita tahu, tapi berapa banyak yang kita mampu lakukan?

Perbezaan inilah yang Sinar rasakan lebih-lebih lagi apabila menuntut ilmu di bidang perubatan. Bidang ini memerlukan gabungan teori dan praktikal yang padu. Barulah akan lahir seorang doktor yang mahir. 4 flat dan mumtaz dalam peperiksaan bukan jaminan utama seorang doktor mahir dalam melaksanakan tugas. Namun memperolehinya merupakan bonus.

Apabila berhadapan dengan pesakit, kita bukanlah ingin merawat penyakit tetapi menyelamatkan pesakit. Matlamat ini sahaja akan mebezakan keputusan yang bakal doktor lakukan apabila berhadapan dengan situasi di wad. Di sinilah 6 senses di perlukan. Ya, dan ini semua memerlukan kekuatan dan petunjuk daripada Allah. Di saat ramai orang ingat doktorlah penyembuh, kita pula harus mengingatkan diri Allah sahajalah Penyembuh. Kita hanyalah duta-duta kecil Allah untuk membantu merawat pesakit.

Bukan senang mahu menjadi doktor yang mahir dan alim. But nothing is imposible (^_^). We can InsyaAllah.

Apa yang perlu ialah usaha yang berterusan dan istiqamah dalam menimba ilmu dan pengalaman. Kombinasi terbaik adalah, pelajar + pemerhati + pekerja = kejayaan

Menyedari kekurangan sebagai mahasiswa luar negara dalam membiasakan diri dengan sistem di Malaysia, adalah lebih baik memanfaatkan cuti di hospital yang ada. Maka semenjak 9 September hinggalah kelmarin, Sinar dan dua teman lagi telah meluangkan masa di Hospital Ampang selaku pelajar elektif di wad kecemasan. Turut bersama kami seorang pelajar dari Ukraine, Faizal namanya. Alhamdulillah kami banyak belajar antara satu sama lain.


Dalam kenangan... InsyaAllah bertemu lagi

Pengalaman 3 minggu di wad kecemasan semestinya memberikan seribu satu peluang untuk mengasah diri dengan dunia perubatan sebenar. Di sinilah sinar pertama kali mengambil darah pesakit, menyuntik ubat, mengambil suhu, mengambil tekanan darah, menjahit luka dan pelbagai lagi. Di sini kami bebas berinteraksi dengan pesakit dan komuniti kerja selagi mana tidak melebihi batas seorang pelajar elektif.

Warga wad kecemasan turut melayan kami dengan baik dan sentiasa merai kedatangan kami. Baik doktor pakar, MO, HO, PPP, PPK, JM hinggalah pelajar seperti kami, tidak segan meluangkan masa bersama kami. Walaupun keadaan tegang mereka tetap mampu menceriakan suasana. Mereka tidak jemu memberi tunjuk ajar. Sungguh mereka banyak bersabar dengan kami. Jika ada sahaja prosedur yang mereka percaya kami boleh lakukan sedangkan kami tiada kemahiran mereka tetap beri peluang.

“Tak pe jangan takut, dekat sinilah kamu nak belajar.”

“Kalau bukan sekarang bila lagi. Ambik je darah patient tu. Awak boleh je. Best jadi dracula sementara ade peluang.”

Terngiang-ngiang kata-kata mereka. Boleh senyum sendiri. Kalau ikut perasaan takut mencuba memang sia-sialah Sinar di sana. Alhamdulillah banyak benda baru yang kami terokai.

Di bawah pengawasan Dr Azlina, kami diajar basic history taking dan sistem yang diguna pakai di wad kecemasan. Orangnya kelihatan tegas dan lincah. Itu penting untuk melayakkan diri sebagai pakar kecemasan. Namun beliau tidak lokek memberi semangat, dorongan dan teguran membina. Bak kata beliau, “Kalau tidak pandai kita belajar, tapi kita bodoh bila kita tidak bertanya.” Maka kami sedaya upaya, berkata tidak tahu apabila kami cetek ilmu. Bahkan reaksi positif kami akan terima. Dan semua staff sanggup membimbing kami.

Sungguh setiap detik di hospital punya cabaran tersendiri. Pelbagai kerenah pesakit kita akan temui, bahkan sekali sekala emosi kita turut tercabar.

Semalam merupakan hari terakhir sinar di sana. Terasa sebak dan berat hati saat melangkah pergi dari hospital ini. Akhirnya Sinar meninggalkan hospital dengan kenangan terakhir menjahit kulit kepala pesakit yang luka. Terima kasih kepada Nadiah dan Pana yang sedia memberi galakan dan semangat untuk melakukan pelbagai prosedur. Tanpa kalian, siapalah saya. Hehe...


Bersama Dr Azlina

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Ridzuan, Dr Azlina, Tuan Haji Samad, Dr Shahrul, Dr Taufik, Dr Nandini, Dr Shuba, En Musa, En Sam, En Yen, En Fahmi, En Ridhuan, En Zulhusni, En Firdaus, En Roslimi, En Syazman, Kak Adiba, Kak Lanny dan seluruh staff di Emergency Department Hospital Ampang. Ramai sangat yang berjasa pada Sinar. Terhutang budi rasanya. Maaf kerana mencuri masa kalian dan terima kasih di atas tunjuk ajar dan nasihat. Beruntungnya Sinar kalau dapat bekerja dengan kalian di masa hadapan. Kalian ceria dan menceriakan suanana. Walaupun situasi tegang kalian tetap tenang. Moga Allah berkati kalian selalu.

Saturday, August 21, 2010

Kita Tewas?

Sudah sepertiga Ramadhan berlalu. Sekejap sungguh!

Apa khabar iman kita?
Apa khabar amal kita?
Apa khabar tadarus kita?
Apa khabar mulut kita?
Apa khabar telinga kita?
Apa khabar mata kita?
Apa khabar kaki kita?
Apa khabar tangan kita?

Wah, banyak rupanya yang perlu kita tanyakan dalam seharian kita menghirup nafas apatah lagi sekarang dalam madhrasah Ramadhan.

Sudah menjadi tradisi yang berpusu-pusu ke masjid adalah golongan tua. Kita yang muda mudah benar malas dan culas. Kebanyakan yang muda enak bercanda di restoran bahkan ada yang melangsaikan hisapan rokok yang di tahan di siang hari. Hadirnya bulan Ramadhan sudah menjadi kebiasan untuk manusia meningkatkan amal. Namun ramai yang hanya memahaminya sebagai menahan diri dari hal yang membatalkan puasa.

Tewas atau tidak diri kita di bulan Ramadhan ini, kita perlu melihat 3 perkara yang mana menjadikan kita hamba yang akan terus patuh pada-Nya. Sekaligus menjadi hamba rabbani bukan hanya hamba ramadhani.

Pertama, berjaya atau tidak kita menahan diri dari hal-hal membatalkan puasa?

Kedua, berjaya atau tidak kita meningkat diri dengan amalan fardhu dan sunat yang Allah suka?

Ketiga, berjaya atau tidak kita merasai setiap tingkah laku di bawah pengawasan Allah?

InsyaAllah, masih ada masa untuk kita perbaiki diri. Tidak cukup hanya sekadar berlapar dan dahaga sedangkan besar hikmah kita berpuasa. Yang Allah mahu, biar nafsu ditundukkan oleh iman yang sempurna. Jangan disempit ibadah kita. (^_^) Selamat berpuasa dan memproses hati.

Wallahu3alam

Monday, August 09, 2010

Memori di Utara Malaysia'10

Utara Malaysia tempat jatuh lagi dikenang. Di sana ada kampungku dan di sana ada tempat kumenimba ilmu. Alhamdulillah seminggu di sana sempat untuk kubertemu ramai insan yang kusayang. Walaupun ada yang tidak sempat berjumpa, dapat jugalah berhubung menerusi teknologi yang ada. =)



Selangkah ke kampung dunia, beribu langkah ke kampung akhirat

Sinar bertolak dari Kuala Lumpur terus ke Perlis. Kedatanganku di sambut oleh hujan yang lebat. Seronok pula melihat hujan. Maklumlah kalau di Mesir jarang sekali hujan. Alhamdulillah pak cik menyambut di stesen bas dan terus membawaku ke kampung di Arau. Mak Tok menyambutku girang. Namun apa yang kuperhatikan beliau semakin kurus. Ya, banyak yang berubah di kampung. Rumah makin sunyi namun masih utuh berdiri.

Sepatutnya Mak Tok ke Penang. Sangkaku Mak Tok tiada di kampung. Katanya tak jadi pergi ke Penang. Takut tak sempat jumpa waktu raya nanti. Terharu sebentar. Betul juga kata Mak Tok " Tak pasti esok masih ada untuk kita". Tiada siapa berani menjamin kehidupan esok masih ada. Jangan kita mudah terleka dengan tawaran-tawaran kehidupan yang ada. Di sana sini ada potongan harga, lebih lebih lagi raya akan tiba. Tertipu juga kita akhirnya, "kalut" dengan persiapan raya melebihi persiapan ramadhan dan juga ajal yang tidak tahu bila. Tawaran-tawaran akhirat jugalah yang kekal selamanya. Itulah yang perlu kita kejar sebenarnya.

Melangkah ke kampung ini mengingatkan diri akan asal kejadian diri. Selangkah kita ke sini maka sepatutnya kita berlari-lari ke kampung abadi. (^_^)

MATRI wujud permata yang kucari

Dari kampung kumelangkah pula ke MATRI. Arau ke Beseri tidak langsung memusykilkan diri untuk ke sana. Apatah lagi 2 orang adikku masih setia menimba ilmu di bumi wakafan itu. Setidaknya dapat bertemu mereka dan mengubat rindu pada yang lain juga.


Bersama warden dan calon SPM 2010

Di MATRI banyak muka-muka baru yang tidak kukenali. Ada yang mirip kakak-kakak dan abang mereka. Akhirnya yang ku gelar, anti adik si fulan ye. Maaf la nama susah pula kak sha nk ingat. (^_^) Melihat mereka sudah pasti tersedia cabaran baru untuk mendidik anak-anak millenium ini. Banyak yang berubah. Namun selaku lepasan MATRI, hasrat melihat putera puteri akhirat ini terus berbakti pada Islam sentiasa termaktub dalam doa.

Kelemahan yang ada kita perbaiki dan kelebihan yang ada kita upgrade lagi. Tiada manusia yang sempurna. Cuma yang ada hanya cinta sempurna untuk kita sama-sama kejar. Sudah pasti mengejar cinta sempurna itu ada cabaran, dugaan dan ujian.

Penang, berziarah lagi

Sempat juga Sinar ke Pulau Pinang. Alhamdulillah dapat menziarahi Ummi Ammar sekeluarga. Jutaan terima kasih menerima kami sebagai tetamu.

Pelbagai nasihat dan cerita yang kami kongsi. Hidup ini adalah realiti yang perlu kita hadapi. Setiap detik, setiap saat dan setiap nafas itu hendaklah kita hubung dengan Allah. Sesungguhnya hebatlah ketika mana Allah uji kita bersabar.

Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim)

Moga Allah berkati Ummu Ammar sekeluarga. Moga ruh Ammar juga terus aman di sana.

Perantau'10, misi menjadi hamba Rabbani

Penutup kepada jelajah di utara adalah dengan mengendali dan menyertai program perantau 2010 di MATRI selama 2 hari. Kira-kira 42 orang peserta dari pelbagai institusi pengajian di luar negara yang menyertai program ini. Alhamdulillah pelbagai bekalan yang kami terima. InsyaAllah Sinar kongsikan sedikit di sini.

Hari pertama iaitu pada 7 Ogos dihangatkan dengan slot bersama Sir Muhammad Abduh Bin Zainal Abidin selaku PK Pentadbiran MATRI dengan tajuknya Jiddiyah Fil Amal. Beliau sememangnya sudah terkenal di kalangan pelajar Matri sebagai pendidik yang bersemangat dan berjiwa muda walaupun umur sudah 60-an. Setiap kerjanya dilakukan dengan sehabis baik bahkan slogan 'The best in the world' sentiasa dilaung-laungkan.


Dalam slot ini, beliau menekankan keperluan orang muda yang sentiasa bersemangat dalam mengerakkan masyarakat untuk mengenal Allah. Tidak dapat tidak orang muda(syabab) mestilah bergandingan dengan orang tua (syuyukh) kerana semangat orang muda terdapat pada hikmah orang tua dalam melaksanakan misi perubahan islam secara menyeluruh.

Beliau juga menekankan kepentingan firman Allah yang berbunyi,

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan menyatakan, 'sesungguhya aku termasuk orang-orang yang menyerahkan diri."

[Surah Fussilat : 33]

Justeru dalam penerusan amal islami pentingnya memiliki jiwa yang besar.Maka jiddiyah dan iltizam mestilah menyinari setiap tindakan kita kerana kedua intipati ini merupakan prasyarat kejayaan dan sifat asasi dalam menyebarluaskan Islam yang kita yakini.

Selain itu, Slot Risalah buat Siswa juga menarik perhatian Sinar. Akhi Salehuddin Bin Shuib mengajak kami merenungi perjalanan dan peranan seorang pelajar. Seorang mahasiswa perlu bersungguh-sungguh dalam bidang yang kita tekuni bahkan perlu juga optimum dalam dakwah dan tarbiyah. Beliau turut berkongsi kata-kata oleh Imam Hasan Al-Banna yang berbunyi:

“Setiap fikrah itu hanya akan berjaya apabila ia diperkuatkan dengan iman, dilengkapkan dengan keikhlasan yang mendalam untuk memperjuangkannya ditambah dengan semangat yang berkobar-kobar dan persediaan yang rapi untuk beramal dan berkorban dalam pelaksanaanya.”

Maka, pendek kata iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan rukun-rukun khusus untuk para pemuda yang menjadikan Allah matlamat akhir hidupnya. Malah, benarlah kata-kata Mustafa masyhur bahawa tarbiyah bukanlah segala-galanya namun dengan tarbiyah segala-galanya dapat diraih.

Lain negara, namun sedulang jua

Alhamdulillah... Inilah hasil perjalanan yang dapat Sinar simpulkan dalam satu entri. Banyak sebenarnya ingin dikongsi. Namun cukuplah kita cernakan sedikit demi sedikit. Moga perjalanan ini benar-benar membekas di hati Sinar. Doakan Sinar menjadi hamba Rabbani.