Moga kita terus istiqamah pertingkatkan amal diri. |
Salam Aidilfitri daripada kami buat rakan blog yang disayangi. Moga redha Allah bersama kita. Maafkan salah silap sinar ya.
Alhamdulillah, sudah 5 Syawal kita hari ini. Sinar pun sudah terbang ke Bandung bersama suami tercinta. Selamat tiba semalam di tanah ini. Alhamdulillah dulu kami jauh, kini kami dekat (^_^) Baki seminggu Ramadhan hingga kini masih dipinjamkan waktu untuk bersamanya. Sungguh Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Moga Dia terus melimpah rahmat ke atas kami dan kalian juga.
Sudah pasti Aidilfitri ini cukup berbeza buat diri. Bergelar seorang isteri dan punya keluarga baru membuatkan Aidilfitri kali ini penuh warna-warni. Alhamdulillah dapat juga beraya dengan keluarga sendiri. Indah! Saya cuba memaknakan Aidilfitri kali ini, kerana mungkin Ramadhan dan Syawal tahun depan bukan sebegini, apatah lagi kalau sudah bergelar Dr. Ramadhan dirindui, Syawal dirai. Kedua-dua bulan ada 'special'nya.
Tahun ini saya beraya di Terengganu lebih tepat di Marang (keluarga suami) dan Besut (keluarga sebelah Ummi). Perjalanan kali ini bermula 2 hari sebelum Syawal tiba dengan menaiki kerata Unser yang dipandu oleh suami secara bergilir. (^_^) Seronok rupanya bila merasa suami pandu kereta. Kami terlebih dahulu bermalam di Marang manakala keluarga terus ke Besut. Berbuka puasa bersama keluarga baru, terbit juga rasa segan. InsyaAllah usaha untuk menyuaikan diri dan keluarga suami sangat terbuka dan terasa dirai.
Esoknya pula hari terakhir berpuasa, malam raya disambut dengan majlis berbuka puasa dengan keluarga Ummi di Besut. Selesai berbuka, tiba pula giliran acara memanggang ayam, kambing dan membakar satay. Best, riuh dan meriah. Kemudian setelah selesai, saya dan suami bertolak semula ke Marang, kampung suami untuk beraya di sana.
Pagi raya seperti biasa, diizinkan solah sunat hari raya bersama suami dan keluarga mertua. Usai solah kami bersalaman dan mohon kemaafan.
Raya kedua pula diadakan rumah terbuka dan kenduri aqiqah di Marang untuk anak saudara kami Faqihah Nur Insyirah. Membantu selagi yang terdaya dan pastinya paling segan untuk menyambut tetamu. Maklumlah masih baru dalam suasana 'loghat terenggnu' tapi Alhamdulillah segalanya lancar. Dapat bertemu beberapa sahabat yang dirindui. Sekali lagi Aidilfitri saya diceriakan dengan kehadiran mereka.
Rasa lucu pun ada beraya kali ini. Rasa kekok itu sedikit demi sedikit hilang bila suami berperanan untuk mendekatkan diri saya dengan keluarganya dan sungguh beliau sangat membantu untuk meraikan Syawal ini. Alhamdulillah. Moga Allah pelihara dan lindunginya selalu.
Jutaan terima kasih buat suami tercinta, Ibu, Abah, Kak Long & suami, Angah & Aisyah, Ayie, Milah, Inah, Amad dan Bibik kerana menerima kehadiran saya di pagi raya. Maafkan kekurangan ahli baru ini. Terima kasih juga buat Ummi, Lek dan adik-adik yang sentiasa menceriakan hati Alongmu ini serta kawan-kawan yang sentiasa ingat dan tidak lepas doakan diri. Moga Allah berkati kalian semua. Selamat menyambut syawal, salam aidilfitri maaf zahir batin (^_^)
0 comments:
Post a Comment