Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..
Segala puji pada Yang Maha Tinggi
Sekali lagi Allah beri kurniaan demi kurnian untuk menjadi
tamu di hari barunya. Hari ini 4 Februari 2013. Maka genap sudah setahun usia
perkahwinan kami ikut tahun Masihi.
"1 tahun jika diukur dari tarikh ikatan, 3 bulan jika
diukur dari sebenar-benar pengertian.
Suburkanlah, eratkanlah, perkuatkanlah Ya Allah."
4 Februari 2012 - Kami sah sebagai suami isteri.
Terharu membaca catatan suami di Facebooknya. Jauh di lubuk
hati meng'amin'kan setiap bait tulisannya. Setahun kedengaran lama. Tapi untuk
saya yang merasai perkahwinan jarak jauh, terasa baru beberapa bulan menginjak
ke alam perkahwinan. Namun setahun ini cukup mengajar saya pelbagai
perkara. Warna-warni perkahwinan itu
ada, apatah lagi jasad terpisah oleh dua benua. Ya, hanya Allah tempat kami
berdoa, bergantung dan berharap. Hanya dengan izinNya perkahwinan kami terus
utuh, diberkati dan kami diberi kekuatan dari semasa ke semasa.
Sungguh, saya masih terasa aura Pengantin Baru. Masih terasa
hangatnya cinta. Terkadang malu juga apabila masih ada yang mengucapkan
'Selamat Pengantin Baru'. Justeru, (^_^) Saya doakan Allah sentiasa memberi
rasa cinta hari demi hari hingga kami ke Jannah nanti. Apatah lagi kini saya
sudah berbadan dua. Keajaiban daripada Allah Yang Maha Kuasa. Alhamdulillah..
Setapak melangkah, rumahtangga kini dihiasai dengan cinta, tanggungjawab dan
amanah daripadaNya.
Belajar Mencintai dan Dicintai
Ketahuilah tahun pertama penuh debaran yang tidak mampu
dilakarkan dengan kata atau bicara. Bernikah dengan seorang pemuda yang kita
tidak kenal perwatakannya membuatkan hati tertanya-tanya,
"Betulkah diri bersedia? Siapakah dia sebenarnya?
Mampukah menyayanginya?"
Itulah yang sendiri berlegar di minda. Tapi sampai bila
harus melarikan diri dari tuntutan ini. Harus tempuh dengan hati yang sedar dan
celik iman di dada. Lalui baru tahu realitinya. Peningkatan diri akan dikecapi
apabila kita melalui fasa-fasa baru yang kita selama ini kita risaukan dan
bimbangi. Masa itu sendiri perubahan. Perubahan akan hadir dalam diri kita dan
mereka di sekeliling kita tanpa kita pinta. Cara kita mengharungi masa dan
berhadapan dengan perubahan itu menghasilkan natijah yang berbeza. Kenalilah
perubahan ini sebagai cabaran bukan masalah yang memberatkan untuk meningkatkan
darjat di sisi Allah Yang Maha Esa.
Dunia lelaki selalu berlingkar sekitar rasional, kritikal
dan penyelesaian masalah, manakala wanita lebih cenderung mengutamakan emosi,
kehendak dan menyuarakan masalah dari mencari penyelesaiannya. Banyak lagi
perbezaan dalam citarasa. Dalam banyak perbezaan ini, kedua-duanya cuba
menyesuaikan diri dan meraikan persamaan yang ada. Apa yang penting, wujudkan
sikap terbuka, positif dan menghargai si dia seadanya. InsyaAllah banyak
perbezaan itu adalah peluang melengkapkan diri untuk menghadapi hari muka.
Itulah cinta, meletakkan perbezaan sebagai peluang dan ruang
untuk kita memperkuatkan. Mencari titik kesamaan untuk terus menyuburkan sebuah
institusi kecil, nukleus terpenting dalam ummah Islam yang kita harapkan.
Bagaimana menyubur cinta? Lelaki tetap lelaki. Kalau dahulu
kita ajnabi, kita tidak boleh berutusan manja dan berhias berlebihan di
depannya. Kini dia sudah bergelar suami. Menatap wajahnya, bergurau manja
dengannya, bersolek dan berhias di depannya satu ibadah. Itulah juga antara
pemikat jiwa kelakiannya. Ketahuilah, walaupun kita aktivis, daieyah, dia
bukanlah ikhwah yang harus kita layan sama rata seperti abang, adik dan ikhwah
di luar sana. Lelaki itu harus dilayan mesra dan manja. Jauh dilubuk hatinya,
masih anak kecil untuk dibelai oleh si isteri yang setia.
Si isteri pula tidak kurangnya. Dia bukanlah emakmu untuk
selalu dituruti tanpa banyak bicara, kakakmu untuk ditakuti, bukan adikmu untuk
diarah itu ini. Paling tidak, dia mahu seorang suami yang selalu berbicara,
bertanya khabarnya, mengambil berat akan dirinya dan menghormati dirinya
sebagai manusia. Dengan hanya bertanya khabar dan siulan kata cinta daripada
suami membuatkan si isteri tersenyum saban hari. Pastinya tanpa arahan si
isteri akan melakukan tugasnya dengan senang hati. Jadilah dia superwife dan
supermom yang membuatkan si suami makin jatuh hati. Allah.. Allah.. "Ya
Allah, jadikan Sinar Islami, isteri yang menyenangkan hati." Ameen.
Tips bercinta
Ada beberapa hal yang harus kita perhatikan dan dijadikan
ramuan dalam rumahtangga terutama di awal perkahwinan. Hasil tulisan Saudara
Cahyadi Takariawan dalam bukunya Di Jalan Dakwah Aku Menikah, molek rasanya saya
kongsikan mengikut bahasa dan pemahaman saya. Alhamdulillah, catatan di bawah
ini telah dan sedang kami praktikkan dalam rumahtangga kami. Perkara yang wajar
pasangan praktikkan :
1. Wujudkan keterbukaan (musharahah) dan hidupkan komunikasi
dengan pasangan (musyawarah)
2. Jadilah yang terlebih dahulu memahami pasangan, bukan
minta difahami dan jadilah yang terawal dalam segala segi.
3. Tidak mengabaikan hal yang dirasakan kecil.
4. Saling mengalah untuk kebaikan bersama dan berlumba
meminta maaf.
5. Hubungkan semua perkara dengan Allah.
InsyaAllah, dalam apa jua hal kehidupan, kita harus positif
dan bersangka baik terhadap Allah dan manusia . Kalau dalam perkahwinan
pastinya bersangka baik dengan pasangan. (^_^) Allah itu Pencipta dan Pemilik
hati manusia. Suami dan isteri itu pula manusia yang perlu bergantung pada
pencipta mereka. Hubungan dengan Allah wajib dijaga untuk kelangsungan
rumahtangga bahagia.
Sekian sahaja, selamat bercinta dan menemui cinta kalian.
Doakan kami bahagia dunia dan akhirat.
Jazakallahu kheiran buat suami tercinta dan Jazakumullahu kheiran
kathira semua terutama keluarga yang tidak putus mendoakan kami bahagia.
Uhibbukum fillah.