Alhamdulillah thumma Alhamdulillah...
Tanggal 9 Jun 2013, dengan izinNya Sinar selamat melahirkan seorang puteri seberat 2.79kg di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Alhamdulillah kami berdua sihat dan saya masih dalam tempoh berpantang.
Namanya punya harapan dan makna
Di awal perkahwinan kami sudah berangan-angan untuk memiliki anak. Jadi sudah kami pasang niat untuk perbaiki diri untuk menjadi ibubapa mithali kerana kami sendiri tidak pasti bila rezeki ini tiba. Persediaan perlu ada. Di samping itu juga, hak anak adalah diberi nama yang baik. Kami cuba mencari beberapa nama yang sesuai untuk anak lelaki dan perempuan. Persediaan awal la kononnya. Apabila bercerita soal anak, kami suami isteri pasti bergurau senda dan cuba mereka nama untuk mereka. Indah..
Alhamdulillah, nama Nuha Sakeenah memikit hati kami untuk anak perempuan pertama. Maka anak kami diberi nama Putri Nuha Sakeenah Binti Ahmad Fahmi. (^_^) InsyaAllah ini doa untuknya juga.
Selesai saja mengumumkan namanya tempoh hari, ramai yang mengamati nama ini. Kata seorang kawan,
Putri - Indonesia
Nuha - Mesir
Sakeenah - Malaysia
Tergelak saya dibuatnya. Ada juga benarnya. 3 negara yang membekas di jiwa saya dan suami tersayang. Namun saya lebih memberi penekanan pada maksud di sebaliknya. Saya sendiri menginginkan ketenangan dalam dunia ini, lalu Sakeenah jadi pilihan. Saya doakan anak saya ini dilimpahkan ketenangan dalam hidup untuk terus merasai cinta Pencipta dirinya, dibuka ruang untuk menjadi hamba Allah yang solehah dan taat padaNya. Besar pengharapan saya, anak ini cerdik, pintar, cerdas untuk membantu Islam di masa hadapan, lalu Nuha jadi pilihan. Putri pula sudah semestinya kerana anak inilah ibarat puteri kami, punya keistimewaan di hati saya dan suami. Selain itu juga Bandung, Indonesia sememangnya mempunyai kenangan untuk kami ingati sepanjang perkahwinan.
Sakit bersalin itu muhasabah
Dulu saya tertanya-tanya, sakit bersalin itu bagaimana, keluar darah tu banyak mana, pecah air ketuban tu macam mana? Walaupun graduan perubatan, terasa 'blurr' bila kita sendiri akan mengalaminya. Saya pernah lontarkan soalan pada Ummi saya, Ummi cuba terangkan ikut pengalamannya sambil tergelak kecil dengan telatah saya. Hehe, malu sebenarnya saya mahu bertanya.
Saya alami sakit bersalin sejak maghrib 8 jun, namun kesakitan itu masih mampu saya tahan. Sejam sekali perut saya menegang dan mula sakit belakang. Keliru juga saya tapi terdetik di hati, 'Macam esok je ni bersalin, sebab sakit ni dah regular,'Sempatlah saya menunggu suami pulang, menemaninya makan dan berkongsi rasa di hati. Saya tidur dan terjaga semula pukul 1.45 pagi. Pusing kiri, pusing kanan, kejap berdiri, kejap duduk. Tidak selesa dan tiba-tiba rasa mahu ke tandas, kononnya mahu melunaskan hajat kecil. Terkejut juga sudah ada show(keluar darah). Suami pula sudah tidak lena tidur namun beliau sentiasa memainkan peranan untuk menenangkan saya. Maklumlah anak pertama ambil masa 12-14 jam untuk laluan/jalan bayi terbuka penuh. Kami bercadang untuk bertolak ke hospital selepas sarapan pagi :) Penting untuk saya simpan tenaga dan saya tak terperangkap terlalu lama di wad. Hanya Allah tempat berserah dan Dia sebaik-baik perancang.
Kira-kira pukul 9, saya diiringi jururawat bertugas bersama ambulans ke hospital. Suami pula menaiki kereta, mengekori kami dari belakang. Pertama kali naik ambulans, terasa lucunya sebagai pesakit. Serik juga rasanya. Apapun harus biasa kerana selepas ini perlu bertugas menemani pesakit pula.
Selesai mendaftar dan diperiksa pun sudah tengahari, Sinar di tempatkan di wad 1EF dahulu. Sempatlah Sinar makan tengah hari. Selesai sahaja makan, siap-siap untuk solah zohor. Sedang menunggu waktu solah sambil sembang dengan suami dan pesakit sebelah katil, terasa 'contraction' makin kuat lalu saya berdiri. Tiba-tiba gussshhh... Air ketuban pula pecah. Basah terus lantai. Apa lagi.. Suami terus memanggil jururawat, saya ditolak dengan kerusi roda ke bilik pemeriksaan. Oh, sungguhlah pemeriksaan itu sakit juga. Katanya jalan sudah separuh, maka saya ditolak ke bilik bersalin. Bermulalah penantian di sana.
Banyak sungguh masa saya bermuhasabah sepanjang saya alami sakit ini. Sungguh, saya teringat keperitan dan jerih perih Ummi saya ketika saat ini. Melihat suami tetap setia di sisi saya, teringat saya pada Lek. Saya berdoa Allah ampunkan dosa-dosa saya pada Ummi dan Lek. Terasa banyak juga hak mereka yang tidak tertunai.
Sedih dalam gembira
Alhamdulillah, kakitangan hospital cukup mesra dan sebolehnya memberi khidmat terbaik pada hemat saya. Lega juga hati saya kerana saya ditemani suami dan diuruskan oleh beberapa doktor yang masih sempat berkongsi pandangan dengan saya di bilik bersalin ketika saya sedang menahan sakit. Tahan punya tahan, saya ditawarkan epidural anesthesia untuk menahan sakit. Apapun sakit itu masih terasa. Apabila contraction sudah makin kuat dan jalan sudah terbuka. Bermulalah perjuangan untuk Allah izinkan si kecil melihat dunia.
Saya selamat melahirkan seorang puteri pukul 6.58 petang. Gembira tak terkata selepas berhempas-pulas meneran. Lega sungguh bila anak yang suci itu diletakkan di dada si ibu ini sebaik sahaja keluar ke dunia. Bonding... ikatan yang tak tergambar damainya hati ini. Saya lihat matanya sudah terbuka tapi suaranya belum kedengaran. Sebaik 'suction' terdengar suara esakannya. Allah.. Allah.. Terharu saya. Alhamdulillah puteri kami dilahirkan normal. Gembira sungguh saya dibuatnya. Alhamdulillah...
Sebaik sahaja diperiksa usai bersalin, saya dikatakan memiliki luka yang banyak. Kalau dalam rekod akan ditulis begini 'SVD episiotomy with 3rd degree tear'. Sungguhlah saya sendiri tahu apa kesannya memiliki luka hingga sebegitu rupa. Sedih.. tapi saya cuba kawal perasaan ini. Barangkali inilah ujian untuk saya setelah Allah mudahkan urusan mengandung hingga melahirkan anak. Saya ditolak ke dewan bedah pula untuk dijahit luka-luka yang ada. Pukul 11 malam baru selesai dan saya ditempatkan di wad 1b pula. Apapun saya bersyukur, kami semua selamat. (^_^) Alhamdulillah ada suami yang menguruskan saya dan Nuha. Hati saya kuat melihat suami
Alhamdulillah, sudah 20 hari
Hari ini juga ulangtahun kelahiran Tok Lek saya :) Selamat Hari Lahir..
Hari ini sudah genap umur Nuha 20 hari dan 20 hari jugalah saya berpantang. Yang kami perlukan doa-doa kalian untuk kami terus sihat dan saya sembuh seperti sediakala malah lebih bertenaga. Doakan ya. Tiada yang mustahil dengan kuasa Allah kan :) Saya sendiri berharap, untuk kelahiran seterusnya saya boleh melahirkan secara biasa lagi dan dipermudahkan urusan juga.
2 comments:
Salam kak sha! Alhamdulillah ala kulli Hal.Mabruk alaykum.sudah hadir 'sakeenah' dalam Hidup kak sha sekeluarga.aimi doakan kebahagiaaan do dunia dan di akhirat mengiringi kak sha sekeluarga.Nnt moga2 achik aimi dapat jumpa nuha.doakan Kami pula. :-)
me to aimi athirah : (^_^)
Alhamdulillah.. Jazakillahu kheiran kathira Aimi. Terus doakan 'sakeenah' hadir dalam keluarga kami :) InsyaAllah, kita kena saling mendoakan. Tak sabar nak tunggu anak-anak kita berukhwah pula.
Post a Comment