BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, January 01, 2014

Dari Jabatan Pembedahan ke Jabatan Kanak-kanak

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Selesai sudah posting pertama di Surgical Department (25 Ogos -24 Disember). Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Jabatan, Pakar, Mo dan rakan sekerja yang selalu membantu sepanjang saya bertugas. Suatu permulaan dan pengalaman yang indah. Di sinilah bermula kisah susah senang seorang houseman. Sejujurnya tempoh sebulan pertama memang mencabar. Dari tempat kerja, rakan sekerja, waktu bekerja semuanya perlukan masa untuk saya biasakan diri. Apatah lagi saya sudah berkeluarga. Kerjaya dan keluarga keduanya ada keutamaan.

Pembedahan ada senyuman

Terlalu banyak cerita dan pengajaran buat saya di jabatan ini. Membuat diri ini banyak berfikir dan merenung dhaifnya diri dalam dunia perubatan yang serba luas dan betapa besarnya harapan masyarakat pada institusi ini. 

Pembedahan salah satu cara rawatan yang kalau kita dengari sahaja sudah mengerunkan, namun ini juga satu keperluan dan alternatif untuk mencegah atau mengubati penyakit. Ada sahaja pesakit yang mengelak rawatan, perkara biasa yang terjadi di wad pembedahan. Ada yang berani menyahut cabaran dengan mengizinkan pembedahan dilakukan dan dengan izin Allah beliau lebih sihat dari sebelumnya. 

Dari aspek pekerjaan, saya kira selama ini saya tidak mampu berdiri lama di dewan bedah tetapi rupanya mampu juga saya dengan izinNya. Alhamdulillah sepanjang posting ini saya dapat melihat dan melibatkan diri dalam pelbagai jenis pembedahan. Terbit juga minat di dalam bidang ini. Melihat pesakit yang asalnya meraung kesakitan, selesai dibedah mampu tersenyum indah, benar benar mengubat hati yang sememangnya penat bekerja seharian.

Bertugas di Jabatan Kanak-kanak

Sekarang saya sudah mula bertugas di Jabatan Kanak-kanak. Pastinya banyak perkara baru yang saya harus pelajari dan biasakan diri. Sungguh, saya merindui Jabatan Pembedahan, mungkin kerana itulah Jabatan Pertama bak Cinta Pandang Pertama la katakan (^_^)

Hari pertama di jabatan baru sememangnya mengundang debaran, ibarat hari pertama mula bekerja juga. Alhamdulillah ada ramai senior yang dikenali bertugas di jabatan ini. Mereka pula tidak lokek mengajar saban hari dan sentiasa mengingatkan agar berhati-hati ketika bertugas. Maklumlah Jabatan Kanak-kanak ini perlukan ilmu, fokus dan kemahiran yang lebih berbandang jabatan lain kerana setiap hari akan menghadapi bayi dan kanak-kanak yang sememangnya agak mencabar untuk mengdiagnosis penyakit mereka. Penglibatan ibubapa amat diperlukan dan inilah cabarannya kerana ada pelbagai karenah dan ragam.

Masa akan terus berlalu, harapan saya di tahun baru ialah, saya menjadi yang terbaik di dalam kerjaya dan keluarga bahkan diangkat darjat di sisi Allah Yang Maha Esa. Moga Allah tambahkan lagi rasa keinsafan, menguatkan keimanan, ketakwaan dan menjadikan kita insan yang peka dengan nasib ummah hari ini. InsyaAllah kita menjadi insan terbaik untuk ummah yang kita sayangi.

1 comments:

Al-Manar said...

Houseman sekejap sahaja. Lebih mencabar ialah seorang housewife yang membentuk insan sepenuhnya dari sebelum lahir hingga menjadi maanusia yang berguna kepada insan dan ugama. Kalau yang ini berjaya kita akan bersyukur dan sebaliknya menyesal sepanjang hayat.