Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam, tiada sekutu baginya dan demikianlah itu yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama meyerah diri kepada Allah
Pertamanya selawat dan salam buat Rasul junjungan, pembawa Risalah agung serta contoh terbaik jalinan ukhwah bersama sahabat baginda tercinta,Kesyukuran juga dirafakan ke hadrat Illahi kerna dengan limpah kurniaNya kita bisa merasai pelbagai nikmat di dunia malah dijanjikan pula nikmat yang tiada tara di akhirat sana. Maka marilah sama-sama muhasabah iman dan renungkan nikmat mana pernah kita dustakan.
Pernah kita persoalkan apakah jambatan kasih yang ingin kita bina. Mungkin kebanyakan yang hangat bercinta, yang sedang mabuk cinta kebahagian hidup bersama pasangan @ buah hati yang ingin dibina hingga terbina mahligai di gerbang maya. Bahkan ada yang kecundang dek mengabaikan iman sebagai pengaturnya dan nafsu pengemudi rasa. Namun bukan jambatan kasih ini yang ingin dibicarakan. Sembang-sembang ukhwah ingin ana layarkan.
Ma makna Ukhuwwah
~mengikut Risalah Ta'lim~
Ukhwah adalah anugerah daripada Allah buat mereka yang ikhlas di kalangan hambaNya, para penolongnya, pengikut dan kelompoknya yang berjiwa bersih dan suci. Allah swt berfirman:
~Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. Dan (Dialah) yang menyatupadukan di antara hati mereka yang beriman itu. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara(hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana~
(Surah Al-Anfal:62-63)
Inilah kekuatan iman yang diwariskan oleh perasaan yang mendalam, jiwa yang benar dan Mahabbah, penuh kasih sayang dan rasa hormat serta saling percaya yang mana jalinan ini diikat oleh akidah yang sahih(benar). Bahkan tiada ukhwah tanpa iman dan tiada keimanan yang sempurna tanpa ukhwah sepertimana tiada persahabatan tanpa takwa dan tiada takwa tanpa persahabatan. Tiada ukhwah tanpa keimanan berdasarkan firman Allah,
~Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara~
(Al-Hujurat:10)
Manakala tiada persahabatan tanpa taqwa berdasarkan firman Allah: ~Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengah yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)~
(Al-Zukhruf:67)
Semarakkan kesatuan, menjana pengorbanan
Ukhwah di jalan Allah adalah nikmat besar dan merupakan elemen penting dalam pembangunan syakhsiyah. Ukhwah juga satu penganugerahan buat mereka yang beriman kerana ia benteng kesatuan dan kekuatan. Bahkan lambang kemegahan dan keizzahan acuan Islam yang boleh mengentarkan hati musuh seperti dalam surah Ali Imran ayat 103.
Imam Hasan Al-Banna juga pernah berkata:
~Aku maksudkan dengan ukhwah ialah: "Hati dan jiwa ditautkan dengan aqidah "Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan berharga. Ukhwah adalah saudara bagi iman. Perpecahan adalah saudara kekufuran . Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan . Tiada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahteraan hati(terhadap saudara seIslam) dan yang peling tinggi ialah ithar(utamakan sahabat melebihi dirinya). Allah berfirman: Dan sesiapa yang dipelihara oleh Allah dari kebakhilan dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung"
Justeru hakikat hidup mereka yang dinaungi cinta dan ukhwah kerana Allah merasa kebahagiaan dan ketenangan jiwa yang tidak pernah dirasai oleh mereka yang berkumpul kerana urusan dunia semata-mata. Hubungan inilah yang terjalin di zaman Rasullullah dengan baginda mempersaudarakan orang-orang Ansar dan Muhajirin lalu ia menjadi teladan dalam hal kecintaan dan ithar. Malah ukhwah Islamiyah inilah yang mampu menempa siri pengorbanan penuh kesyahduan dalam epilog manusia. Maka bagaimanakah kita...sudah lahirkah matlamat ukhwah yang dibina? Rindukah kita pada mereka, pada ajakan teman2 kearah kebaikan, pada laungan mengerjakan amal islami..Rindukah kita..??
Sahabat itu ibarat cerminan
Ukhwah itu menyatupadukan. Ukhwah itu mencambahkan kasih sayang. Seharusnya hajat seorang sahabat mahu sama-sama cipta kebaikan untuk membina syurga di akhirat sana. Jika perilaku temannya hampir tersungkur di pintu kemaksiatan, dia pasti segera menyambut tangan temannya supaya kembali mengingati Allah Yang Maha Esa. Sesungguhnya sahabat yang soleh itu pabila dilihat mengingatkan kita pada Pencipta. Sebaliknya melihat sahabat yang jahat mengingatkan kita pada kemaksiatan dan akibatnya. Namun serulah mereka kepada kebaikan dan baikilah diri. Benarlah sabda Rasulullah:
~Sahabat yang salih itu ibarat penjual minyak wangi, bila engkau tidak mendapatkan minyak wanginya, maka engkau mendapatkan harumannya. Dan sahabat yang jahat itu ibarat tukang besi, bila engkau tidak terkena percikan apinya, maka engkau akan terkena asapnya~
(Hadith Riwayat Abu Daud)
Orang mukmin itu ibarat cerminan. Masakan kita mampu hidup sendirian tanpa teman untuk menasihati dan membaiki aib diri. Tidak ada yang mampu melaksanakan tugas itu melainkan sahabat atau saudara yang mencintainya kerana Allah, tulus dalam persahabatan, lembut dalam pergaulannya, benar dalam bicaranya dan bijak memberi nasihat. Justeru peranan ukhwah juga merupakan sebaik-baik bekalan dalam perjalanan seorang insan.
Secara tuntasnya, kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Suhubungan ini Allah s.w.t menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.”
(Al-Anfal: 1)
Justeru amat rugi sekali apabila seseorang yang telah diberi hidayah serta menjadi pengikut Rasululah yang pengasih dan penyayang jika sentiasa berada di jalan perpecahan. Moga ukhwah yang kita bina bersama teman-teman mahupun kenalan lama dan baru biarlah bertitik tolakkan landasan yang benar. InsyaAllah moga kita menjadi insan yang dinaungi oleh Allah dan dicintai-Nya selalu. Moga kita tergolong dalam 7 golongan yang akan mendapat naungan dari Allah pada hari tidak ada naungan kecuali naunganNya dan antaranya adalah dua orang yang saling mencintai kerana Allah; berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah..Wallahu3alam