BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, March 25, 2011

Titian Kehidupan : Carilah bekalan



Meniti hari-hari kehidupan

Tiada apa yang lebih mendebarkan sekiranya berlakunya perubahan dalam fasa kehidupan. Melangkah ke alam baru semestinya menuntut satu persiapan. Maka, Sinar, kamu dan kamu tidak akan lepas dari mempersiapkan diri setiap saat dalam kehidupan ini.

Esok? Tahukah apa yang akan terjadi?


Sungguh indah melihat bunga di taman, namun akan ada saat bunga juga berguguran...

Setiap hari pasti akan ada perubahan. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya. Dulu kita anak kecil kemudian melangkah dewasa. Dari alam persekolahan dan pengajian kita beralih ke alam kerjaya dan keluarga. Begitulah rotasi sebuah kehidupan. Ibarat titian yang panjang tapi hakikatnya cuma sebentar.

Matlamat yang tidak dimakan usia

Tiadalah yang membezakan semua ini melainkan faktor masa namun apa yang masih sama adalah matlamat akhir seorang manusia. Itu mungkin berlainan dari manusia kepada manusia yang lain. Namun bagi Muslim yang sedar, seharusnya matlamatnya kekal sama hingga ke penghujungnya. Jika 'terjatuh' di celah fasa perubahan maka dia tahu kepada haluannya. Dia tidak mudah melatah dalam meniti dunia. Namun apakah rahsianya untuk kekal lama dan sampai pada matlamat yang dicitakan. Maka di situlah perlunya bekalan meniti sebuah kehidupan. Bekalan ini tidak pernah berubah cuma kita perlu berusaha mencari dan mencari.

Al-Quran sudah khabarkan tinggal KITA cari!

Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal

(Al-Baqarah : 197)

Nah, bekalan itulah yang perlu dicari, perlu diisi ke dalam hati. Jika tidak kita bakal terkandas di salah satu stesen kehidupan. Berapa ramai yang putus asa kerana tiada bekalan ini, lalu memilih jalan bunuh diri. Sadis bukan. Inilah realiti. Bila mana dirasakan seolah-olah dunia matlamat akhir maka, di situlah tamat riwayat hidupnya. Sedangkan perjalanan kita masih berbaki di akhirat sana. Mahukah kita rugi di persimpangan dunia ini? Maka ayuh, berbekallah!

Walaupun dengan akal yang Allah kurnia masih ramai yang terlepas dalam mencari bekalan sebenar. Sungguh di luar ini banyak cabaran. Tribulasi yang penuh seribu ragam. Takkan sama dengan teori bahkan inilah medan sebenar. Dulu di Medan Islami kita diterangkan Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkannya. Namun di medan ini, kita lihat di mana Islam? Hilang? Kenapa?

Maka adakah sama peranan mereka yang memahami tugas manusia sebagai khalifah dengan yang tidak memahami. Itulah peranan generasi muda berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah, menegakkan ma'ruf akbar dan meruntuhkan jahilayah akbar.

Usahlah takut mendepani dunia luar. Terbanglah dalam sayap iman dan taqwa di situlah lahirnya kekuatan. Izzahlah dengan Islam yang engkau fahami, jangan terungkai dengan keseronokan duniawi. Kelazatan dunia yang sementara boleh mengundang kebinasaan kekal abadi.

Wahai diri sahabat dan adik-adik harapan Islam

Bagi memastikan diri terus terpelihara, berpeganglah dengan 5 M ini seperti mana diri ini cuba memegangnya. Ya sungguh kita lemah, tetapi jangan sekali-kali membenarkan kita lemas dan rebah selama-lamanya.

1. Mu'amalah dan Mu'ahadah (Mengingati janji)

Hendaklah kita mengingati perjanjian dengan Allah iaitu dengan menjadikan Allah sebagai Rabb.

2. Muraqabah (Merasa pengawasan Allah)

Merasakan keagungan Allah setiap waktu dan keadaan serta merasakan kehadiran-Nya di kala sendirian mahupun di khalayak ramai.

3. Muhasabah (Perbaiki diri)

Menghisab diri ketika selesai melakukan amal. Apakah amalan tulus kerana Allah atau dicemari sifat riya? Apakah ada dosa yang tersisa?

4. Mu'aqabah (Menebus kesalahan)

Memberi hukuman pada diri agar tidak mudah melanggar kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengakibatkan kesalahan itu sukar ditinggalkan

5. Mujahadah

Memaksa diri dengan tegas, serius dan penuh semangat untuk tetap mentaati suruhan Allah di kala terseret dengan kemalasan dan cinta dunia.

Begitulah sedikit perkongsian. InsyaAllah sama-sama mengingatkan diri untuk sentiasa berpegang pada 5M ini. Sebelum mengakhiri entri kali ini, khusus untuk putera dan puteri SPM '10 yang baru memperoleh keputusan kelmarin moga kalian terus thabat dan istiqamah di jalan kebenaran. Khusus buat adikku, perjalanan masih panjang. Jadilah dirimu dan jadikan Allah matlamat akhirmu. InsyaAllah kejayaan dan kebahagian akan dikau miliki. Susah payah di dunia adalah kemanisan di akhirat nanti. Jangan pernah serik ^_^ kerana Allah sedang menilai siapa kamu di sisi-Nya. Doakan Along juga.

Akhir kalam moga ada ruang untuk kita terus meraih cinta Illahi. Moga semua pembaca dirahmati Allah.

Terus dan terus melangkah.

Saturday, March 12, 2011

Dedikasi buat SAHABAT


Hari ini merupakan hari bersejarah buat sahabat saya. Ani nama gelarannya. Walaupun mungkin saya bukan siapa-siapa ( its feel better I feel I'm nobody rather than somebody) tapi kehadiran dia punya makna besar dalam hidup saya. ( Sebak pula tapi saya sungguh gembira kerana dia gembira) (^_^)

Pertemuan saya dengan dia adalah pada tahun 1999. Sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan pertengahan tahun di Sekolah Kebangsaan Padang Matsirat saya terpaksa pindah ke Perak mengikuti ayah. Keputusan penuh masih belum dikeluarkan. Risau sungguh saya risau dan sedih meninggalkan sekolah lama. Tahun itulah saya dari Utara Malaysia pertama kali menjejaki Perak sebagai budak baru di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh. Berbekal hanya keputusan Bahasa Inggeris yang dikatakan bagus oleh pihak sekolah yang baru, saya dimasukkan ke kelas pertama 5 Kualiti. Di situlah segalanya bermula...

Budak baru sudah sinonim ibarat makhluk asing. Berpuluh mata akan melihat diri ini. Janggal sungguh berada dalam komuniti yang tidak bercakap, hang, hangpa, habaq. Maka saya memilih untuk menjadi seorang yang pendiam. Namun dia dan seorang sahabatnya menegur saya, diajak saya meninjau kawasan sekolah ketika waktu rehat dan kami akhirnya menjadi akrab. Hinggakan kami mempunyai nickname masing-masing. Ani, Kat dan Sha. Maka di situlah sebenarnya lahirnya nama Sha. Bagi saya itulah tanda dan kenangan persahabatan kami. Secara tidak langsung ada juga yang tersalah anggap bahawa saya dan Ani adalah kembar. (^_^) itu menjadikan kami lebih rapat saban hari. Usah dikenangkan saat persekolahan kami, walaupun kami pengawas kami juga berlari-lari seperti anak kecil lain di sekolah itu. ( Saya tersenyum)


Ya kami bertiga ibarat belangkas. Bila mereka terpilih sebagai pengawas saya juga turut terpilih. Aneh sungguh sedangkan saya hanya budak baru. Sungguh Allah itu Maha Besar dan DIA sebenarnya sedang mendidik saya. Saat persahabatan ini bermula sungguh saya rasa akan ada perubahan besar dalam hidup saya. (Sebak)

Apa yang membuatkan saya cukup terharu, KLCC menjadi saksi persahabatan kami bertiga ketika kepulangan saya ke Malaysia baru-baru ini. Walaupun saya tidak dapat bertemu dengan mereka lama. Sepanjang perjalanan pulang saya sebak mengenangkan persahabatan kami. Saya kerap bertemu Ani berbanding Kat. Saya terharu dapat bertemu Kat. Sungguh Allah pelihara dia menjadi muslimah solehah. Sha doa Kat selalu. Hari itu menjadi saksi pertemuan 12 tahun tidak berkumpul bersama. Moga Allah rahmati kalian, sahabatku.

Dengan Ani, sebaik sahaja tamat sekolah rendah, dengan izin Allah kami berdua terpilih ke Mahad Attarbiyah Al-Islamiyah. Di situlah percambahan cinta saya pada Islam terus mekar. Mempunyai sahabat yang baik membuatkan saya bahagia. Saya makin menghargai apa itu Ukhwah Islamiyah. Saya tidak suka persahabatan biasa-biasa tapi saya mahu yang luar biasa. Di bumi itulah saya temua cinta hakiki, cinta yang takkan saya lupa. Saya makin mengenali apa itu hakikat Iman dan Islam. Saya sangat bersyukur pada Allah kerana menghantar dia untuk mengenali bumi wakafan itu. Tanpa izin-Nya, tanpa dia saya bukanlah saya yang sekarang. Syukur pada Allah. Moga Allah terus pelihara sahabatku dan pelihara diri ini. Sungguh saya lemah tanpa pengawasan dan ihsan Rabbul Izzati.

Sebak... kerana hari ini saya tidak mampu bersama dia secara nyata untuk meraikan hari bahagianya. Apa yang saya mampu bak kata sahabat saya yang turut saya sayang," Berdoalah untuk dia." Dan itulah yang sentiasa saya lakukan sebenarnya.

Buat sahabatku Ani, moga fasa baru yang bakalmu tempuhi menjadikan dirimu wanita yang mulia di sisi Allah, suami, keluarga dan ummah. Moga dirimu tetap teguh dengan panji Allah, menyebar luas kecintaan dan kemurniaan yang Islam bawa. Sebarkan bicara kebenaranmu. Moga hayunan langkahmu sebagai srikandi terus dan terus hingga negeri abadi. Sungguh Sha rindu dan sayang kamu. Uhibbukifillah ya ukhtie.



بارك الله لكما وبارك عليكما

وجمع بينكما في خير


(^_^) Moga Allah permudahkan urusanmu.
Moga Allah berkati dan redha-Nya sentiasa bersamamu.

Friday, March 11, 2011

Tuah di Bumi Mesir : Pulang semula

Pejam celik pejam celik mahu sebulan juga bercuti di Malaysia. Alhamdulillah hari ini Sinar sudah pun berada di meja study yang dirindui. Siapa sangka Mesir tiba-tiba bangkit menuntut hak dan kami pula dinasihatkan pulang. Pasti ada hikmah dan rahmah yang tersembunyi. Alhamdulillah keberadaan di Malaysia dimanfaatkan sebaik mungkin walaupun ada beberapa tempat wajib tidak sempat dikunjungi. Maafkan Sinar kerana tidak dapat tunaikan janji. Jujurnya terselit perasaan resah apabila teringatkan pengajian yang tertangguh. Mengenangkan buku-buku di rak tidak bersentuh menambahkan galau di hati. Nak tak nak, bila dapat arahan kenalah jugalah balik apatah lagi perjuangan belum selesai.

Pintu pagar sekolah setia menanti.

Minggu terakhir di Malaysia berderet kem yang harus Sinar sertai dari Tamrin Perantau, Kem SPIES anjuran Kerajaan Negeri Selangor hinggalah Program Wacana Intelektual aka BTN. Setiap kem ada objektif tersendiri dan insyaAllah banyak pengalaman dan ilmu ditimba. Alhamdulillah setidaknya mendidik Sinar untuk menilai realiti kita. Matang dalam menerima input dan maklumat.

Ketika BTN itulah sudah dimaklumkan kebarangkalian bahawa kami mahasiswa tajaan JPA akan dihantar pulang pada 9, 10 atau 11 Mac. Antara sedih dan gembira menerima berita tersebut. Walauapapun bersyukur kerana ada yang sudi menaja tiket pulang.

Setiap hari juga membuka emel dan menelefon pihak bertanggungjawab. Itupun jenuh digesa Ummi. Sinar bukanlah rajin mana untuk online di Malaysia, apatah lagi apabila tiada perkembangan mengenai tiket tersebut. Mungkin JPA masih dalam peringkat penyusunan. Hinggalah pada waktu tengahari 8hb Mac, barulah tergerak hati untuk melihat emel terkini penghantaran pulang ke Mesir. Bergolak hati apabila mendapat tahu perlu berkumpul di KLIA pada malam itu juga. Maklumlah 'unprepared'. Tepuk dahi kerana barang belum dikemas dan dibeli. Sepantas kilat Ummi pula mengajak keluar. Haha, tapi hati ni sungguh berat mahu meninggalkan Ummi, Lek dan adik-adik.

Sempat lagi menyiapkan jahitan leher dua helai baju yang Ummi jahitkan. Ada juga yang panggil mata lalat tapi kami suka panggil karipap. Sebenarnya beza panggilan berdasarkan berapa lilitan yang dibuat. Bila 3 lilitan namanya mata lalat, bila 5 namanya karipap. Disebabkan kami dari kecil melihatnya macam karipap, kami memanggilnya karipap hingga kini walaupun mengunakan 3 lilitan. Sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan jahitan ini. Comel pun comel. Hasilnya, cantik dan selesa dipakai (^_^). Orang sibuk kemas beg, Sinar sibuk menjahit. Oh lupa ada orang panggil 'tikam leher'. Mati mati Sinar ingat orang nak tikam leher. :) rupanya istilah sahaja berbeza.

Kain Cotton jadi pilihan. Selesai sahaja Ummi jahit baju giliran Sinar 'tikam leher'. Lucu pula bila guna ayat ini.

Ummi yang pilih. Terima kasih jahitkan.

Packing... Packing... Yeah! Dapat baju baru!

Pada 9.15 malam kami bergerak ke KLIA. Alhamdulillah Ummi dan Lek pun sudah ke Mesir tempoh hari. Maka tidak perlulah bawa banyak barang ke Mesir. InsyaAllah 20 kg yang dibenarkan oleh JPA memadai untuk penerbangan kali ini. (Ini ayat orang mahu balik lagi. Hehe)
Kalian permata hatiku. Sedihnya nak tinggalkan.
Senyum untuk cover....
Gurau dengan lek, " Siapa ye nak menangis dulu ni?"
Balas lek sambil senyum, " Lek ada dua kesedihan."
Berkaca sudah mata kami.
Speechless...
Terima kasih dan maafkan segala kesalahan Along ya.
Terima kasih JPA dan MAS. Layanan dan makanan BEST!
Cairo Airport sekali lagi kami jejaki. Macam tak percaya.
Zuppp... Sejuk... Inilah angin Mesir yang Sinar suka.
Sabar menanti bas. Apalah agaknya khabar rumah?

Terkejut!

Inilah kerja rumah yang ditinggalkan oleh 'makhluk kasar'

Kesian 'dia' terperangkap sedangkan kami terlepas selama sebulan... (^_^)

.................

Allahuakbar... Setiap yang bernyawa itu pasti mahu mencari jalan keluar bila menghadapi kesulitan... Wallahu'alam

.................

Begitulah coretan tentang cuti-cuti Malaysia -Mesir kali ini.

Doakan yang terbaik untuk kami ya. (^_^)

Salam perjuangan semua.

Tuesday, March 01, 2011

Kecil tetapi celoteh bermakna

Apa khabar sahabat-sahabat? Malam ini Sinar mahu menceriakan diri. Alhamdulillah apabila Sinar mengingati epilog hidup bersama adik kecil Sinar, pasti tersenyum. Bahkan dia cukup manja dengan kami sekeluarga. Walaupun dia masih banyak kekurangan tapi ada sesuatu yang saya belajar dari kebersihan jiwanya. Bicara dia berbaur lucu tapi ada benarnya.

Kisah 1

"Kenapalah kucing kencing kat situ"

"Allah yang bagi kucing rasa nak kencing tu. Nak wat camna."

MasyaAllah hebat jawapan dia.

Kisah 2

"Peliklah kenapa kawan Salwa tak nak pakai tudung. Tak tau ke haram tak pakai."

Sentap pula aku mendengar si kecil bercakap pasal hukum.

Kisah 3

"Kawan salwa tu janji je nak datang. Puas tunggu tak jadi pula. Tipu! Tipu! Tipu tu dosa. Dosa tu seksa." Celoteh dia di malam hari.

"Seksa tu macam mana Ummi?" menyambung lagi soalan dia. Tergelak Ummi dan Sinar. Sendiri cakap sendiri tanya.

Maka, janganlah kita menabur janji kalau tidak mampu lunaskan. Munafik orang kata. Apatah lagi berjanji dengan budak-budak, memang deme akan ingat janji kita.

Kisah 4

Petang tu telefon salah seorang keluargaku berbunyi.

"Eh, bukan lagu tu tak syar'ie ke?"

"Syar'ie tu camna?" Sinar menguji.

"Yang Allah suka." Selamba dia balas.

Tahu juga dia pasal syarak tak syarak. Sinar tersenyum.

.......................................................................

Kadangkala kita rasa hidup jauh daripada sentuhan Allah. Sedar tak sedar ada daie kecil dalam rumah yang mendidik diri tentang hidup sebagai hamba Allah. Walaupun kecil besar hikmah penciptaannya kerana dialah manusia yang bersih dari dosa.