BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, April 27, 2011

Umairatuljannah

Cepat sungguh masa berlalu. Tidak sempat Sinar berkongsi dengan teman-teman di laman ini akan kehadiran insan baru dalam keluarga kami. Subhanallah insan ini comel sekali. Bukan kacak ya :) Itu belum lagi. Sekali lagi saya sudah bertukar status. Dengan rasminya saya sudah layak bergelar mak cik. (^_^) Jangan panggil Mak Long tapi Cik Long ya. Baru mesra!

Biar Sinar perkenalkan ahli baru dalam keluarga kami.

Nama diberi Syarifah Umairatuljannah Binti Syed Muhammad Solehin.
Dilahirkan pada 13 April 2011 (3.02 p.m) di Hospital Temerloh Pahang
Berat beliau ialah 2.41kg.

Tengok apa tu sayang? Hehe. Comelnya kamu.
Alhamdulillah Allah permudahkan.
Moga Allah peliharamu dunia dan akhirat.
Terpesona Sinar dengan dagu Umairah. :)

Nama Umairah cantik sekali,
Hadirnya dia penyejuk hati.
Dagu terbelah manis sekali,
Moga kita berjumpa nanti.

Muka siapalah Umairah ni ya? Ada yang kata muka walid dia, ada yang kata ummi dia. Dagu tu Sinar 'confirm' ikut umminya. Dengar kata nama Umairah ni, adik Sinar yang beri. :) Ada bakat rupanya. (^_^)

Dahulu ketika Sinar kecil, Sinar dikelilingi oleh mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik yang penyayang dan suka melayan. Pernah terdetik di hati seronoknya kalau dah besar nanti ada anak saudara yang comel. Melihat kondisi diri sendiri sebagai anak sulung terasa mustahil juga apatah lagi selepas Sinar adalah adik lelaki. Orang kata anak lelaki biasanya kahwin lambat. Erm, dunia sekarang tiada yang mustahil. Rezeki, jodoh dan ajal semua sudah ditentukan Allah. Dalam soal jodoh adik Sinar terlebih dahulu Allah izin mendirikan rumahtangganya pada akhir Januari 2010 dan kini April 2011 seperti tercapai pula impian ingin memiliki anak saudara terlebih dahulu. Itu tanda Dia dengar bukan? Segala puji bagi-Nya. (^_^)

Sungguh saya teruja menerima anak kecil dalam keluarga. Maklumlah Salwa, adik bongsu Sinar juga sudah besar. Teringat perbualan santai Sinar bersama Fatin dan Salwa. Mereka berdua ini ibarat belangkas. Ada juga yang mengatakan mereka ini kembar. Seorang Darjah 6 dan seorang lagi Darjah 3. Cuma perangai tidak pernah 'matured'. Dua-dua manja.

"Tak sabarnya Along nak tunggu baby keluar, " kata saya sambil mereka sibuk bermain komputer

"Erm, nanti baby Kak Malissa dan In nak panggil Salwa apa ya?"

"Mak Cik Salwa ke?" Terkekeh Sinar gelakkan dia.

"Apa la Along ni. Mestilah Kak Salwa," Balas Salwa sambil membuat muka comel.

"Aaa.. Fatin pun baby kena panggil Kak Fatin. Takkan la mak cik. Kitaorang kecik lagi la"

"Ye ke kecik? Hisap botol lagi ke Fatin?" Ada sahaja nak kenakan mereka.

Tersenyum sendiri mengingat gelagat mereka. :) Sinar dulu apabila sebaya mereka tak sabar menanti lahirnya adik baru. Mereka? Terus anak saudara. Tak sempat merasa adik sendiri. Risau pula nanti Salwa cemburu bila semua orang sudah tidak manjakan dia lagi. Macam manalah agaknya reaksi dia. Sungguh Sinar tak sabar ingin pulang menemui mereka semua.

Moga bertambahnya keluarga kami seiring bertambahnya redha Illahi. Moga Allah berkati kami dan kalian juga.

Sunday, April 10, 2011

Demam Malaysia : Ketidakstabilan Dunia.

Semenjak dua menjak ini makin menjadi-jadi pula sindrom berpantun. Mungkin inilah cara meluahkan apa yang terbuku di hati dan perkara yang menganggu fikiran. Rangkaian ayat dalam pantun yang tidak seberapa mampu membuatkan hati ceria :) InsyaAllah dikongsikan sesi berbalas pantun di Fb bersama junior yang disegani. Abaikan sesetengah pantun yang tidak memenuhi syarat ya.

S:
Malaysia kini apa nak jadi,
kami di sini risau sendiri.
Berita kian menjadi-jadi,
bilakah mahu sedar diri?

Ermmm...
Malaysia, Mesir, Libya, Syria tak stabil belaka. Salah siapa? Inilah ujian buat kita.

A:
Mesir kini apa nk jadi,
Sebelum revolusi takde la cam ni.
Curi-mencuri menjadi-jadi,
Mungkinkah arab akan sedar diri?

S:
Lapang sungguh jelapang padi,
Penat si adik berlari-lari.
Padanlah gempa selalu terjadi,
dek manusia tak sedar diri.

Menongkat daku memegang dahi,
bukan meneka bukan menilik.
Hidayah itu kepunyaan Illahi,
biiznillah yang 'buta' bakal 'celik'.

A:
Gempa bumi membawa tsunami,
bersamanya juga kesan radiasi.
Lupa diri sifat insani,
semoga Allah sentiasa memberkati.

Mencengkam pinggan membengkok tekak,
menilik meneka jadi sempadan.
Adakah kita buta dan pekak?
Kekuasaan pencipta jadikan teladan.

S:
Lemahnya manusia sifat azali,
untuk melihat kuasa Illahi.
Hargailah peluang walau sekali,
Moga kita Allah kasihi.

Biar buta mata, jangan buta hati,
Kalau pun mati, biarlah syurga menanti.

A:
Peluang mendatang akan dihargai,
kasihnya Tuhan jangan dipersiakan.
Kuasa Allah telah terbukti,
Moga Inayah-Nya tidak dilupakan.

Jika celik mata, Harus celik hati,
Indah banyak harta, Perit sungguh mati.
Untuk akhirnya....

Sayang negara mana tidaknya,
itulah tanah besarnya kita.
Kalau rasa sayangkannya,
Ubahlah Malaysia dan diri kita.

Apa yang mampu doa, usaha dan berubah :)

Moga perubahan diri membawa tranformasi pada negara yang lebih Allah redhai. Ameen...

Sekian sahaja(^_^) Mohon maaf atas kekurangan entri kali ini.
Demam berpantun kerana demam Malaysia :)
Mari hidupkan budaya melayu yang indah ini.
Menyampaikan sesuatu dalam bahasa yang cukup indah.
Sedang belajar walaupun tidak sepandai kalian berpantun :)

Wednesday, April 06, 2011

O&G itu peringatan


Alhamdulillah sudah hampir dua minggu saya berada di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G). Setakat ni tidak banyak yang Sinar 'explore' melainkan sedaya upaya membedah buku untuk mendapatkan teori dan ilmu. Tidak dinafikan untuk memahami proses kelahiran dan sakit puan ini tidak cukup dengan menatap buku sahaja malah perlu 'observe' dan mengurus pesakit. Baru beberapa kali sahaja berpeluang melihat proses kelahiran secara normal mahupun pembedahan. Belum cukup untuk berpuas hati. Masih banyak lompong di sana sini.


Kami di Hospital O&G ( Mustasyfa amrad an-nisa wat taulid)

Sinar juga kesal pada awal rotasi ini kerana kemampuan diri masih terbatas dalam banyak perkara. Sudah pasti tidak sama pengalaman seperti mereka yang belajar di Malaysia mahupun Indonesia. Saya teruja membaca pengalaman mereka. Antaranya di link ini . Teruja mahu sehebat mereka dan merasa pengalaman seperti itu walaupun sekali sebelum menamatkan pengajian nanti (^_^) Laskar pelangi harus berani bermimpi walaupun mungkin peluang tidak secerah mentari. Tak salahkan Sinar berharap?

Nah, kini Sinar terasa ditampar. Untuk menjadi hebat bukan sekadar bermimpi harus usaha lebih lagi.

Berada di tahun 5 sememangnya menyebabkan diri makin tidak senang duduk dek kebimbangan terhadap kerjaya sebagai doktor nanti. Inilah profesion yang kebanyakan orang menyangka profesionnya kukuh padahal cabarannya tak terkata. Ilmu dan kemahiran ibarat sinergi yang wajib ada pada seorang doktor. Profesion ini melibatkan nyawa bukan bahan mainan yang boleh dipakai buang. Gerun bukan? Oleh sebab itu, Sinar tidak senang duduk. Ini soal amanah dan kredibiliti. Hatta berpuluh-puluh buku dan kuliah yang dihadiri tidak menjamin kualiti diri. Sungguh bidang ini luas dan sungguhlah manusia itu lemah. Tanpa Allah kita bukanlah siapa siapa. Allah jugalah Pemilik segala ilmu dan kebijaksanaan.

Datangnya O&G dalam hidup Sinar, menyedarkan diri bahawa masa sangat suntuk. Ada sahaja cabaran yang mendatang. Dulu disediakan kelas khas untuk mahasiswa Malaysia kini lain pula ceritanya. Namun, biarpun suasana pembelajaran sudah berbeza, itu bukan alasan untuk tidak berusaha. Positifkan diri kerana begitulah kehidupan. Bukan semua keinginan kita dipenuhi. Yang indah semuanya di syurga. Adillah kiranya di dunia ini kita berpenat-lelah :) . Apapun Sinar mendoakan agar angkatan Gen6 selaku generasi pertama MOU pulang dengan jayanya.

Sedar atau tidak O&G mengajar untuk menghargai apa yang ada dan tiada...

Melihat sendiri proses kelahiran membuatkan Sinar terfikir hakikat kita sebagai manusia dan hamba Allah. Teringat kata-kata doktor di dalam tutorial tadi. Kelahiran sebenarnya adalah proses semula jadi dan tiada campur tangan manusia dalam proses tersebut. Daripada proses pemilihan benih, persenyawaan, penempelan di dinding rahim, pembesaran hinggalah kelahiran sudah terbukti menunjukkan Allah yang Maha Mengatur. Jika hidup, hiduplah bayi. Jika Allah takdirkan mati, matilah bayi. Peranan doktor? Membantu setakat kemampuan yang ada pada kudratnya. Bukanlah doktor penentu segalanya. Hatta doktor pun tidak dapat menentukan bilakah tarikh sebenar persenyawaan. Maka penentuan umur janin pun tidak tepat bukan? Apatah lagi mahu menentukan hidup dan mati manusia :) Allah saja yang tahu bila kejadian kita sebagai manusia dan bila pengakhiran kita di muka bumi.

Maka pada siapa kita patut mengucapkan syukur dan terima kasih kerana ketika ini mampu melihat dunia. Lihat sahaja saat bayi dilahirkan, ucapan terima kasih bertalu-talu pada doktor yang menyambut si anak. Di mana Allah di saat itu? Moga kita nanti, terlebih dahulu memanjatkan rasa syukur ketika bayi kita dilahirkan. (^_^)

Sinar juga sangat terharu, dilahirkan dari rahim seorang ibu yang dipanggil Ummi. Tabahnya Ummi membawa Sinar dalam kandungannya. Ke hulu dan ke hilir dengan muatan di perut. Doanya pasti tidak putus mengharapkan Sinar sihat saat dilahirkan (^_^). Sudah pasti kebimbangan dan pengharapan silih berganti. Alhamdulillah Allah penyusun segalanya. Sinar normal saat dilahirkan.

Ummi, walaupun mungkin biasa di mata orang lain, Ummi tetap hebat di mata saya. Tidak wajar saya bandingkan Ummi dengan sesiapa kerana tempat dan peranannya tidak boleh diganti. Kesabaran dan ketabahannya luar biasa. Kekurangannya membuatkan kami mencari kelebihan untuk membantunya. Sinar bersyukur dipilih menjadi anak Ummi. Terima kasih Ummi. Moga Allah menganjari syurga.

Alhamdulillah.. Moga Allah terus campakkan rasa syukur di hati ini dan memberi rasa untuk menghargai apa yang ada dan tiada. Sungguh hanya Allah yang tahu apa yang terbaik buat diri.

Melangkah dan melangkahlah tanpa berhenti... Hargailah apa yang ada kerana di situ letaknya kesyukuran. Hargailah apa yang tiada kerana di situ letaknya penyerahan dan pergantungan.

Salam mujahadah. Doakan Sinar ya.