Pembaharuan sesebuah masyarakat tidak datang dengan tiba-tiba atau dengan kebetulan sahaja. Setiap tamadun di dunia bangun sesudah tidurnya, menjadi kuat setelah mengalami kejatuhannya, maju sesudah mundurnya.
Manusia juga ada pasang surutnya. Penuh dengan emosi. Manusia memberontak jika kemahuan tidak dipenuhi. Ada sahaja perubahan yang diinginkan. Begitulah jugalah iman di dalam hati akan memberontak jika nafsu merajai. Mana mungkin diizinkan nafsu memerintah diri. Maka kita tidak akan mudah mengizinkan kemalasan mengatasi kerajinan, kebodohan mengatasi kepandaian, kezaliman mengatasi keamanan apatah lagi kemaksiatan mengatasi keimanan. Kerana semua itu akan mencabut ketenangan.
Namun bila mana kita tahu sifat keji harus dibuang, sifat negatif harus ditangkis. Di mana kekuatan kita? Sudah pasti dengan perubahan jiwa dan cara fikir dapat mengubah nasib kita sendiri. Justeru perkara yang paling penting yang perlu diberi perhatian oleh kita semua ialah, penghijrahan jiwa dan minda dengan dorongan iman. Hanya dengan iman kita akan temui jalan pembaharuan.
Kebanyakan daripada kita juga tahu bahawa jiwa kita itu seringkali ada pertembungan. Bahkan turut di'highlight'kan bahawa ada 3 jenis jiwa yang disebut dalam Al-Quran.
1. Jiwa yang menganjurkan kejahatan (An-nafs Al-ammarah bissu')
Jiwa ini mudah terpengaruh dengan pujukan hawa nafsu dan dari itu lahirlah segala sifat keji seperti marah, bongkak, zalim dan tidak segan-silu ingkar perintah Allah. Bahkan jiwa manusia seringkali terperangkap dalam dorongan hawa nafsu. Maka di sinilah perlu mujahadah melawan bisikan kejahatan. Tidak dapat tidak, iman sahaja yang mampu melawan hawa nafsu. Firman Allah melalui kata-kata isteri pembesar Mesir
"Dan aku tidak membebaskan diriku dari kesalahan kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
( Surah Yusuf : 53)
2. Jiwa yang mengecam tuannya (An-nafs Al-lawwamah)
Allah berfirman:
" Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali dirinya sendiri."
(Al-Qiyamah :2)
Jiwa ini mengikut huraian Hasan Al-Basri merupakan jiwa seorang mukmin iaitu ia sentiasa menyesali dirinya dan mempersoalkan setiap perbuatannya. Persoalan selalu berlegar dalam dirinya. Apa yang inginkan diperkatakan? Apa yang dilakukan? Sementara orang jahat terus melangkah ke hadapan tanpa pernah menyesali dirinya.
Bahkan jiwa ini juga akan selalu mengecam dirinya ketika melakukan kejahatan. "Mengapa kamu lakukannya?" dan dia juga mengecam dirinya yang melakukan kebaikan," Mengapa kamu tidak perbanyakkan." Hatinya akan merintih pilu mengenang masa silam kerana penyesalan mempersiakan waktu-waktunya bukan pada ketaatan.
Antara kata-kata Syed Qutb, " Maka jiwa ini sedar, bertaqwa, takut, bimbang dan sentiasa muhasabah dirinya. Ia memperhatikan sekelilingnya, mengenal pasti hakikat hawa nafsunya dan memperingatkan tipu daya dirinya. Ia merupakan jiwa yang mulia di sisi Allah dan lawan kepada jiwa yang jahat. Jiwa yang jahat adalah jiwa yang ingin melakukan kejahatan dan terus melangkah dalam kejahatan."
3. Jiwa yang tenang (An-nafs al-Mutmainnah)
Imam Qurtubi berkata, "Jiwa mutmainnah adalah jiwa yang tenang dan yakin. Ia yakin bahawa Allah adalah Tuhannya. Lantaran itu ia khusyu' dan tunduk."
Justeru marilah berhenti sejenak membaca, ambillah Al-Quran dan selaklah Surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30. Indah bukan baik-bait ini.
Jiwa seperti ini kata Syed Qutb rahimahullah:
Tenang ketika senang dan susah
Tenang ketika lapang dan sempit
Tenang ketika terhalang dan beroleh kurniaan
Tenang maka ia tidak terpesong
Tenang maka ia tidak tergelincir dalam perjalanan
Tenang maka ia tidak ketakutan pada hari menakutkan dan mengerunkan (Hari Kiamat)
Sudah pasti selepas meneliti ketiga-tiga jenis jiwa ini yang kita idamkan adalah ketenangan dalam redha-Nya. Maka, langkah harus dimulakan. Yakin dengan-Nya, berbekalkan iman di dada, agar hati mampu berubah.
“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka berusaha merubah nasib mereka sendiri”.
(Surah Ar-Ra'd : 11)
Nah perubahan jiwa merupakan suatu revolusi dan pembaharuan tentang tujuan hidup, cita-cita dan keinginan. Perubahan hanya bermula ketika kita berusaha mencari jalan keluar. Merubah daripada kebiasaan yang kita lakukan kepada sebuah pembaharuan. Sungguh, Sinar sendiri pernah dan sedang mengalami beberapa perubahan. Tanpa iman dan petunjuk daripada-Nya sungguh diri rasa lemah yang bersangatan.
Takkan ada revolusi jika diri tidak berani dan diri diam menyepi. Hakikatnya dengan sebuah langkah, segalanya mampu berubah!
Moga kesalahan-kesalahan masa lalu menjadi pembuka pintu ketaatan yang baru. Kerana kita hamba yang lemah sentiasa memerlukan Dia sebagai Pemberi kekuatan.
Ayuh kita usaha miliki yang tenang dalam dakapan Illahi.
0 comments:
Post a Comment