BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, February 28, 2012

Senyumlah... Ujian itu anugerah!

Setiap hari akan ada sahaja ujian yang Allah hadirkan. Bagaimana kita menghadapinya? Tanpa iman kita mungkin menyalahkan Tuhan, kita putus asa dan mungkin ada sahaja yang ingin terus lari dari kehidupan dengan memilih jalan yang Allah murka. Jangan pula kita cari selain Allah untuk jalan pintas. Kemurkaan Allah lebih besar pada mereka yang menyekutuNya. Nah, di akhirat sana API NERAKA sedang ternanti-nanti untuk membakar mereka yang dusta dan berdosa. Na'uzubillah. Sesusah mana pun ujian, carilah Allah semula.. Hanya DIA! Pintu TAUBAT dan RAHMAT sentiasa TERBUKA.

Bagi Muslim Mukmin, ujian bukanlah penamat kehidupan tapi dihadapi dengan penuh kesabaran, redha dan usaha mencari jalan. Ujian adalah anugerah untuk kita ke darjat seterusnya di sisi Allah. InsyaAllah kedamaian ada di SANA selepas bersusah-payah di SINI. Tiada yang abadi di dunia yang boleh kita kejar, akhirnya kita bakal mati juga. Bila? Mungkin sebentar lagi...

Teringat pesan Brother Fadel Soliman, Mukmin kalau diuji tidak terjerumus dalam 'major depression' tetapi " They change the hapiness and sadness to feeling of acceptance (redha). Nothing happens without His knowledge." Maka Dia MAHA TAHU yang hambaNya ini mampu...




Nasyid ini pernah menemani hampir bertahun-tahun di bumi Mesir. Alhamdulilah masih ada dalam playlist. Dengar dan hayatilah. Moga kekuatan Allah beri untuk kita hadapi kehidupan ini.

Teruskan senyum dan hadapilah kehidupan dengan pengawasan Tuhan.


"Hidup ini bukan kita punya. Ada penciptanya.

Maka hiduplah seperti yang Pencipta gariskan...

Allahu musta'an. Setiap hari dan setiap saat takkan lepas dari diuji. Hati! Kuatlah!"

Friday, February 10, 2012

Perkahwinan : Redha Illahi redha suami

Perkahwinan adalah penyatuan dua hati. Itulah hadiah yang Allah berikan untuk meraikan fitrah insani. Siapalah kita untuk menidakkan kehadiran fasa ini. Dengan izin Allah akan hadirlah fasa ini. Di dalamnya ada tanggungjawab bukan sekadar suka suka. Suka duka kehidupan pasti silih berganti namun di dalam perkahwinanlah wujud medan praktikal melebihi medan teori. Maka tidaklah asing jika hadith mengatakan sempurnalah setengah agama jika seorang hamba itu menikah ( Hadith hasan riwayat Al-Hakim dan Ath-Thabrani dari Anas Bin Malik)

Persoalan bersedia atau tidak, tanyalah iman di hati. Bila redha ibu bapa dan jalannya Allah permudahkan, siapalah kita sebagai hamba untuk menidakkan. Walaupun manusia berkata itu dan ini, keputusan itu di tangan kita bahkan perancangan Allah itu mengatasi segalanya.

Alhamdulillah dengan izin Allah. Berubahlah Sinar ke fasa baru. Merasa manisnya pernikahan yang Allah berikan. Kerana apa Sinar kata fasa ini manis, kerana iman saya bakal diuji dan kemanisan iman itu hanya dirasai selepas diuji, diuji dan diuji hingga dijemput pergi. Perkahwinan juga merupakan ujian bila mana Allah rasa kita layak menempuhinya.. Allah!

Wajib ditanya di jalan apa kita menikah? Sangat menenangkan kalau di jalan dakwah kita menikah dan mesti diperingatkan bahawa di jalan nikah juga aku berdakwah. Keduanya perlu perlaksanaan. (^_^) Doakan saya ya. Ini tanggungjawab yang bakal disoal Allah kelak. Harus mencari bekal untuk sebuah Baitul Muslim yang diredhai Allah.

Justeru 4 Februari 2012 (11 Rabiulawal 1433H) akan terus kekal dalam ingatan sebagai hari bersejarah dalam hidup Sinar. Hari Sinar diijab kabulkan dengan pemuda pilihan Allah.


Sungguh saat akad nikah, debarnya tak terkata. Di temani Ummi, Lek, keluarga dan beberapa teman setidaknya mengurangkan sedikit debaran yang ada.

"Aku terima nikah Sh. Nurul Hidayah Binti Syed Murzaki dengan mas kahwinnya sebanyak 300 ringgit tunai." sekali lafaz... Alhamdulillah...



Saat dilafazkan sahlah diri ini bergelar isteri. Sebak kerana selama ini Lek dan Ummi mendidik diri. Saat itu tanggungjawab sudah beralih kepada insan baru dalam hidup ini. Sinar sentiasa berdoa moga Allah pimpin hatinya untuk memimpin diri ini. Kami masing-masing punya kelemahan dan kekuatan itu hanya daripada Pencipta diri kami.

Seminggu yang indah.

Jujur saya lebih mengenalinya sebaik sahaja bergelar isteri. (^_^) Saya tahu beliau ada kekurangan dan saya siap menerimanya. Tidak layak meminta itu ini kerana saya juga punya kelemahan tersendiri. InsyaAllah kami saling mengingatkan untuk saling memberi dan saling melengkapi.

Hari ini sudah genap seminggu Sinar bersama suami, Ahmad Fahmi. Alhamdulillah fatrah pertunangan kami harungi dengan baik dan penuh toleransi dan semoga perkahwinan ini juga dapat kami harungi dengan penuh kesabaran. Berbincang dan bertoleransi itu telah kami sepakati jika terdapat duri-duri yang harus kami lalui. Moga bantuan Allah bersama kami.

Hanya berbaki dua hari bersama suami, kemudian masing-masing meneruskan perjuangan di medan sendiri. Sinar yakin, kualiti masa lebih utama dari kuantiti. Dan kerana masa itu yang diizinkan Allah untuk kami, kami sama-sama memberi untuk mencipta kenangan terindah selama 9 hari. Bakal terpisah oleh benua takkan memisahkan hati ini kerana hati terpaut dalam satu ikatan. InsyaAllah terus kuat mencari redha Illahi. Ameen.

Seperti biasa beliau ke hospital dan saya pula di rumah memasak seadanya dan Alhamdulillah baru sahaja selesai makan bersama suami tercinta.

"Macam mana ya buat ayam berempah ni."
"Kenapa? " Tanya saya, risau la juga..
"Sedap!" Katanya, lantas hati ini berbunga-bunga.

Sungguhlah rasa sangat bahagia dan seronok melihat suami makan dengan selera. Orang kata mahu menangi hati suami menangi perutnya. Hehe Sinar masih belajar untuk menambat hati suami. Rasa kekok memasak untuk seorang lelaki yang dahulunya asing, Alhamdulillah dari sehari ke sehari cuba mencari serasi. Dan saya cukup mengkagumi layanan yang dia beri. Hilang kekok saya dibuatnya.

Nekad saya adalah menjadi isteri solehah. Doakan!

Isteri Solehah

Album : Secercah Pewarna
Munsyid : The Zikr

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penyejuk jiwa
Di rumah ia isteri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur diwaktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat sibuta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan


Tenang sungguh di rasa. Sungguhlah yang halal itu memberi ketenangan. Selagi bergelar tunangan orang hati sukar untuk tenang. Ya saya tahu awal pernikahan itu nampak semuanya indah, namun diharapkan keindahan inilah menjadi kekuatan untuk dikenang-kenangkan andai diuji nanti.

Wednesday, February 01, 2012

Menghitung hari...?

Segala puji bagi Allah yang mengatur segalanya. Moga damailah hati ini dan mereka yang bertungkus lumus menyumbang tenaga. Allah, Dia sajalah yang Maha Mengetahui perasaan kala ini. Jiwa hamba itu sememangnya lemah dan hanya Dia yang mampu memberikan kekuatan.

Sudah berlalu Januari kini tiba debaran Februari. Sungguh rasa bersyukur Maulidurrasul menghampiri. Moga Allah memberkati majlis nanti dan syafaat Rasulullah juga dimiliki.

Sambil menghitung hari, tidak dinafikan kekhuatiran saya lebih jauh kepada menghitung amalan diri dan redha Illahi berbanding kelancaran majlis nanti. Kepada yang faham mereka tahu kenapa saya fikir begini. Saya tidak mahu yang grand di mata manusia, perfect di mata manusia tapi di sisi Allah zero, wa na'uzubillah. Ya Allah berilah kekuatan pada kami...

Mohon doa ya... Jemput hadir pada yang berkelapangan...