BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, May 04, 2012

Kepimpinan: Anugerah dan Amanah! Pimpinlah dengan sedar!

Pemimpin kecil berjiwa besar

Menyebut soal pemimpin pasti tertanya-tanya, siapakah yang digelar pemimpin? Justeru pasti terasa bukanlah kita orang yang selayaknya. Persepsi yang sememangnya salah kerana tanpa kita sedar, setiap hari lagak kita adalah lagak seorang pemimpin. Tidak percaya?

Lihat sahaja kehidupan seharian, baju apa harus dipakai, lauk apa harus dimasak, buku apa harus dibaca, jam berapa mahu tidur, semua kita tentukan sendiri. Jarang sekali kita mengikut orang sekeliling. Walaupun mungkin bertanya pendapat, akhirnya keputusan di tangan kita juga. Benar?

Percaya atau tidak manusia secara lahiriah sudah dilahirkan sebagai pemimpin. Sebaik sahaja celik melihat dunia, Allah mengizinkan kita mengerakkan mata, jari, mengagahkan tangan dan kaki untuk merangkak. Kemudian bertatih dan berlari sendiri. Setiap daripada kita berbeza usia untuk pertama kali kita berjalan tanpa dipimpin ibubapa kita. Allah jugalah yang membimbing kita untuk menjadi pemimpin di saat kecil. Puas emak dan ayah memberi sokongan untuk melihat perkembangan kita tetapi jika tiada sistem pimpinan dan kawalan dalam diri, kita tidak mampu bergerak ke suatu tahap yang lebih baik.  Sorokan mereka hanya tinggal sorakan jika kita tidak mempunyai keinginan.


Ya, saat kita kecil, kitalah ‘duta kecil’ malah pemimpin kecil yang memiliki cita-cita besar untuk berusaha merubah diri dari tidak tahu kepada tahu. Dari merangkak hinggalah berjalan. Hebat bukan…?

Setiap daripada kita adalah pemimpin

Setiap individu sudah Allah takdirkan menjadi pemimpin untuk dirinya. Inilah anugerah buat makhluk bernama manusia. Bergelar pemimpin berupaya menentukan pilihan. Allah bentangkan jalan ketakwaan dan kefasikan. Jika pilihan kita menepati apa yang Allah gariskan iaitu jalan ketakwaan, pahalalah milik kita. Bukankah itu anugerah untuk menambah amal?

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ عَلَيْهِمْ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Ibn umar r.a berkata : Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda : Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya. Seorang pemerintah akan diminta pertanggungjawaban  perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan jawab) darihal hal yang dipimpinnya. (Bukhari dan Muslim)

Nah, sudah terang pesanan Rasulullah s.a.w. ini. Setiap manusia adalah pemimpin, paling tidak, pemimpin pada dirinya iaitu dengan pemimpi jiwanya dalam segenap kehidupan, memilih antara yang hak dan bathil. Pemerintah adalah pemimpin, suami adalah pemimpin, isteri adalah pemimpin, agamawan adalah pemimpin, doktor adalah pemimpin, pelajar adalah pemimpin dan sesiapa sahaja adalah pemimpin terhadap amanah yang telah diberikan. Itulah tanggungjawab kita. Setiap apa yang kita pimpin ada hak yang perlu kita tunaikan.

Gambar Hiasan : Sumber Dr Amad's Blog

Wanita juga tidak lepas dari tanggungjawab ini..

Terbayang-bayang wanita Palestina mencorak anak lelakinya..

Harus mula bersiap dari sekarang! 


Pemimpin adalah mutiara ummah

Selain itu perlu diingatkan bahawa, kita dipimpin oleh Islam melalu Al-Quran, Hadith dan mereka yang terpercaya untuk memimpin. Tanpa panduan kita mungkin teraba-raba dalam mencari contoh khudwah (contoh). Biarlah kita memimpin dalam keadaan tahu akan hukum-hakam yang Allah gariskan. Jangan zalim di pertengahan jalan.

Kita menginginkan ummah yang mampu membawa keindahan Islam ke seluruh dunia. Tidak lain dan tidak bukan apabila wujudnya pemimpin yang mengutamakan manusia di sekelilingnya, melaksanakan amanah sebaiknya, ambil berat isu semasa, bahkan bercita-cita mengubah keadaan ummah Islam hari ini. Justeru pemimpin yang Allah suka bukan sahaja memimpin dirinya namun keluar memimpin ummah di sekitarnya. Dia mahu bergandingan dengan masyarakat untuk menyebarluas Islam yang dia percaya. Itulah mutiara di tengah ummah.

Tidak perlu pemimpin masa hadapan. Kenapa?

Pasti terkejut bukan. Ya itulah kenyataan. Kita lupa, bila mana slogan pemimpin masa hadapan dilaungkan justeru semangat kita pudar dek merasakan akan hadir pemimpin masa hadapan, bahkan kita sebenarnya wujud pada masa kini dan belum tentu kita miliki masa hadapan. Jadi yang harus diperjuangkan adalah masa  kini yang pasti. InsyaAllah perjuangan masa kini akan menatijahkan pemimpin masa hadapan. Ingatlah sabda Rasulullah saw;

“Tidak beriman orang yang tidak bisa menjaga amanah yang dibebankan padanya. Dan tidak beragama orang yang tidak bisa menepati janjinya.”

(Hadith Riwayat Ahmad Bin Hambal)

Na’uzubillah, marilah kita renungkan dan kilatkan iman di hati supaya sedar akan amanah ini.

Matahari akan terbit, maka sedarlah wahai teman!

Kalau anda memandang jauh ke hadapan, terpampang di sana sebuah harapan yang akan memenuhi hidup anda; harapan yang positif. Harapan harus tetap ada dan tertanam kuat di dalam jiwa. Harapan adalah potensi yang mendorong lahirnya gerakan dan produktiviti dalam beramal. Biar pun susah bergelar ‘pemimpin’ ketahuilah Allah menanti kita di akhirat sana dengan kenikmatan yang tidak mampu kita bayangkan.

Berbuatlah demi Allah untuk membangunkan ummah sebagai pemimpin masa kini dan juga masa hadapan, InsyaAllah.

Sinar~islami :
Risalah Buat Setiap Muslim dan Muslimah Jamadilakhir
El-Fahmy Alley
...........................................................................
Alhamdulillah, sedikit perkongsian di hari Jumaat yang barakah ini. Bukan mudah saya mencoret penulisan di atas. Atas permintaan sahabat, saya gagahkan juga supaya pesanan ini sampai ke dalam jiwa dan sesuai untuk sahabat-sahabat baca. Sungguh, saya juga sedang belajar menjadi pemimpin yang Allah redha. Moga Allah terus pimpin jiwa-jiwa kita untuk mendukung risalahnya. Moga kemanisan Islam kita terapkan dalam keluarga, rakan taulan, masyarakat dan negara kita. 

Wallahualam.. Salam jumaat buat semua. Jumaat terindah buat saya hari ni. Sujud syukur!

0 comments: