BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, January 29, 2013

Kembara Mesir : Bahnasa - Jaulah Mencari Cinta


Perjalanan jaulah cinta kami (28 Januari 2013)

Perjalanan menuju ke Bahnasa semalam membuahkan ketenangan dan kerehatan buat jiwa yang dahagakan cinta. Inilah peluang buat saya dan rombongan akhwat seangkatan dalam perjuangan 6 tahun setengah di sini. Sudah pasti, peluang ini tidak kami lepaskan untuk menyucikan hati dalam mencari redha Illahi. Tidak putus kami berselawat dan mendoakan kesejahteraan diri, keluarga, sahabat dan ummah seluruhnya serta kejayaan kami. Alhamdulillah misi 1000 selawat setiap orang telah melengkapkan misi 35 000 selawat sepanjang perjalanan. InsyaAllah barakah! Tambahan pula kami sedang menunggu keputusan peperiksaan akhir untuk tamat pengajian Kuliah Perubatan Am di Mesir ini. Maka, saya berharap dan berdoa, kedatangan kami ke Bahnasa dipandang Allah, diberkati dan doa-doa kami diangkat serta kedudukan kami dinaikkan di sisiNya seperti para solehin yang di maqamkan di Bahnasa ini. Ameen.

Sejujurnya, tempat bernama Bahnasa ini baru saya kenali ketika jaulah ini ingin diadakan. Alhamdulillah tempat barakah ini sempat juga saya singgah di saa-saat akhir berada di Mesir ini. Segala puji bagi Allah.. sungguh rasa terpilih. Kalau dahulu kami akhawat Gen6 ke Bahriya, kini kami ke Bahnasa mencari cinta hakiki, sambil menyubur cinta dan ukhwah di kalangan kami.

Istimewanya Bahnasa

Sepanjang perjalanan dari Kaherah ke Bahnasa, kiri dan kanan terbentang  gurun dan pasir yang menguning. Namun gurun yang kelihatan gersang bukanlah sebarang gurun yang kita gambarkan, ada bahagian yang mempunyai sumber air dan galian. Bahkan subur dengan tanaman seperti tomato, kubis dan lain-lain lagi. Semakin mendekati Bahnasa, angin sepoi-sepoi bahasa menampar pipi. Sejuk, dingin dan damai sekali.

Bahnasa ketika zaman Mesir Purba dikenali sebagai 'Pr-Medjed' berdasarkan nama ikan dan ketika di zaman Greek dikenali sebagai 'Oxyrhynchus'. Bahnasa terletak di Muhafazah Al-Minya (Upper Egypt) di Selatan Mesir kira-kira 160 km dari Kaherah. Selain mempunyai kesan arkeologi yang berharga, 5000 jasad sahabat-sahabat dan tabi'in yang gugur syahid peperangan Fathul Islami di semadikan di sini termasuk 70 orang ahli Badar. Maka itu menjadikan Bahnasa merupakan bumi yang penuh keberkatan dan lebih berharga di sisi ummat Islam. Maka tidak syak ada kedamaian di sini buat kita kerana terdapat bukti kekuasan Allah dan cerita untuk kita renungkan.


Berhampiran dengan Masjid Ali Jummam (Qadi Bahnasa) terdapat bukit-bukit yang mempunyai sebahagian besar bilangan daripada kubah-kubah dan maqam-maqam yang dinisbahkan kepada sahabat, tabi'in dan ulama' . Justeru ramai ulama’ dahulu dan sekarang yang menziarahi tempat ini.

Secara ringkas sejarah Kota Bahnasa, dahulunya Bahnasa ditakluk kerajaan Rom dan merupakan sebuah kota yang serba kukuh benteng pertahanannya, dikelilingi tembok yang kukuh dan rantai berduri. Selepas pembukaan kota Bahnasa oleh tentera Islam yang diketuai Saidina Khalid Al-Walid, kota ini dijadikan tempat membuat kain tenun yang disulam dengan emas.

Saidina Amru Al-Asr RA, sahabat baginda yang membuka Mesir pernah mengatakan “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda “: Tidak ada selepas Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis suatu tempat yang berkat melainkan di bumi Mesir serta lebih banyak keberkatan di bahagian Barat Mesir. Kata Saidina Amru lagi : “Mudah-mudahan ia (tempat yang banyak keberkatan itu) ialah Bahnasa”.

Tempat bersejarah dan maqam para solehin

Di antara para solehin yang disemadikan di bumi yang berkat ini dan yang sempat kami ziarah ialah:
  1.  Maqam 7 perempuan : Dome of seven girls
  2. Maqam Saidi Ali Jummam (Qadi Bahnasa)
  3. Maqam Saidi Jaafar dan Ali Bin 'Ukil Bin Abi Talib (Anak saudara Saidina Ali)
  4. Maqam Saidi Syarif Mas'ud ( Satu maqam dengan Saidi Jaafar dan Ali)
  5. Pokok Saidah Maryam (Tempat Maryam, Ibu Nabi Isa alaihissalam berehat ketika melarikan diri)
  6. Maqam Saidina Ziad bin Abi Sufian bin al-Harith bin Abdul Muttalib (Ketua perang)
  7. Maqam Saidi Hassan bin Soleh bin Ali Zainal 'Abidin bin Hussain bin Ali (Cicit Saidina Hussain)
  8. Maqam Ubaidah Bin Ubadah Bin Assomat (Anak Sahabat)
  9. 12 Maqam di bawah satu kubah antaranya Saidina Muhammad bin 'Uqbah bin Nafi' dan Qa’qa Ibn Umar
  10. Saidah Khaulah Al-Azwar
  11. Saidi Hassan Bin Yahya Bin Hassan Al-Basri (Cucu Hasan Al-Basri)
  12. Saidina Muhammad bin Abdul Rahman bin Abu Bakar (Cucu Saidina Abu Bakar As-Siddiq)

Perjalanan kami : Cerita bergambar

Kami mula berkumpul pukul 6.30 pagi dan bertolak ke Bahnasa kira-kira 7.30 pagi. Seperti biasa, dalam perjalanan kalau tidak tidur, pastinya kami bersembang dan makan. Memang puas hati kerana sudah lama kami tidak beramah-mesra sesama sendiri melainkan bertemankan buku sepanjang hari sejak beberapa bulan yang lalu. Sudah pasti banyak cerita yang kami kongsi.


Sebaik sahaja memasuki Bahnasa, tempat pertama yang kami ziarahi adalah Dome of seven girls. Di sini wujudnya 7 maqam perempuan yang dipercayai telah menyertai peperangan membuka kota Bahnasa bersama tentera Islam. Mereka dibunuh oleh tentera Rom dan darah yang terkena batu-batu di lapangan berhampiran dikatakan terus berdarah dan menjadi rebutan orang yang menziarahi. Disebabkan itu tidak lagi kelihatan batu tersebut. 


Di sini juga wujudnya 3 maqam di dalam bangunan berkubah, 3 maqam di sisi banggunan, dan 1 maqam di belakang bangunan, menjadikan 7 buah maqam semuanya . Di belakang perkarangan ini juga terdapat sebuah padang pasir yang luas dinamakan ‘Sahra' Dammul Syuhada’ yang mempunyai keberkatan dan keajaiban dengan izin Allah. Ramai yang mengambil peluang untuk berubat di kawasan ini. Wallahu’alam sejauh mana keberkesanan namun menurut cerita dan pengalaman orang, sesiapa yang membaca Surah Al- Fatihah, memejamkan mata dan dan mengulingkan badan kemudian mereka akan terus berguling tanpa dikawal oleh mereka sendiri.

Kemudian, kami bergerak dengan menaiki bas ke perkarangan Masjid Ali Jumman. Di sinilah sejumlah besar maqam dan perkuburan di tempatkan. 

Masjid dan Maqam Saidi Ali Jummam, Maqam Saidi Jaafar dan Saidi Ali serta Maqam Saidi Saidi Syarif Mas'ud

Pokok Saidah Maryam ; Sebatang pokok yang besar dan berlingkar.

Maqam Saidina Ziad bin Abi Sufian bin al-Harith bin Abdul Muttalib

Maqam Saidi Hassan bin Soleh bin Ali Zainal 'Abidin bin Husain bin Ali (Cicit Saidina Hussain)
Maqam Ubaidah Bin Ubadah Bin Assomat  dan 12 Maqam di bawah kubah bersebelahan
Banyak cerita dan pengajaran di sebalik maqam dan tempat yang kami lawat. Alhamdulillah nasihat yang berguna turut disampaikan oleh Ustaz Zahari yang menemani perjalanan kami ke sini. Jazakumullahu kheiran kathira diucapkan pada Ustaz, Kak Lyanna dan AJK Jaulah serta akhawat Gen6 yang menjayakan Jaulah Bahnasa ini. Saya doakan kita semua berjaya dunia akhirat dan dikurniakan kebaikan demi kebaikan selagi hayat dikandung badan. Ameen.

Thursday, January 24, 2013

Catatan Bunda : 20 minggu - Kenangan 12 Rabiulawal 1434H


اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين

Selawat dan salam buat junjungan besar yang kita cintai Nabi Muhammad S.A.W. Syukur pada Allah masih diizinkan menghirup udara baru di hari baru.

Hari ini 24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiulawal 1434 H..


Maulidurasul takkan dilupa

Tidak dilupakan tarikh ini dari ingatan ummat Islam khususnya. Yang pasti menjelang 12 Rabiulawal kita seharusnya muhasabah kembali sejauh mana pengamatan dan sunnah yang baginda tinggalkan untuk kita amalkan. Di hari inilah titik tolak untuk kita perbanyakkan selawat kepada baginda.


Genap setahun hijri perkahwinanku

Pantas sungguh masa berlalu. Akad nikah 4 Februari 2012 bersamaan 11 Rabiulawal (Malaysia) atau 12 Rabiulawal (Mesir). Justeru setahun sudah perkahwinan kami mengikut bulan Islam. Allah.. Allah..Gembira dan sebak juga. Kerana perkahwinan jarak jauh, sungguh saya tak menyangka setahun sudah usia ikatan ini. Masih banyak yang perlu kami lalui dan fasa baru yang bakal kami tempuhi.

Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Walaupun kenduri sebelah lelaki belum sempat dijalankan kerana jarak dan waktu memisahkan, saya bersyukur majlis akad dan kenduri saya sudah pun selamat berlangsung setahun yang lalu dihadiri oleh keluarga besar, kenalan Ummi, Lek dan sebahagian besar adalah sahabat ketika saya kecil hingga universiti. Semalam melihat semula gambar yang ada, terdetik di hati, moga Allah berkati mereka ini. Saya mampu tersenyum mengingati doa-doa mereka di hari perkahwinan kami. Sungguh mereka antara orang soleh yang menyejukkan majlis saya. Hanya Allah yang tahu perasaan sebenar saya, disebalik setiap persiapan majlis ini. Alhamdulillah makin hari saya makin merasakan keluarga suami juga sebahagian daripada saya. Sudah pasti kalau berlangsung sahaja kenduri nanti, saya masih berbadan dua, dengan 'si comel' bermain di alamnya.


Genap 20 Minggu kandunganku

Hari ini genap juga usia 20 minggu 'si kecil comel' kami. Lagi 20 minggu untuk saya tempuhi. Alhamdulillah dengan rahmat Allah, segalanya dipermudahkan. Baby juga sangat baik pada Bundanya. Bunda sayanggg Baby! Baby pun sudah aktif dan sudah pandai beraksi. Alhamdulillah saya sudah merasa sebahagian pergerakannya ketika usianya 19 minggu (17 Jan) sebaik sahaja Papa pulang semula ke Malaysia. Kesian Papa kan? Hehe.. Makin lama makin aktif. Bunda doakan sihat dan ceria selalu anakku.

Gembira dan syukur tak terkata. Semoga Allah pelihara anak yang saya kandungkan dengan sifat rahmatNya. Seorang bakal ibu pastinya mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Anaknya sihat sempurna, baik akhlaknya, teguh pegangan agamanya, lembut bicaranya, teralun Al-Quran dan Hadith di lisannya serta sejuk dipandang oleh manusia amnya.

Bunda doakan agar Allah berkatimu anakku.. Dikuatkan menghadapi seribu macam ujian di dunia kelak. Moga kita bertemu di hari kelahiranmu ditemani Papa di sisi kita. Ameen.

Wednesday, January 23, 2013

23 Januari 2013 Dalam Sejarah

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.. Tiada kalimah yang lebih agung, di hari ini melainkan setinggi-tinggi pujaan padaMu Ya Rabbi..


23 Januari 2013.. Penuh pengharapan!

Selesai sudah peperiksaan yang cukup mendebarkan hati ini.

Hari ini merupakan hari bersejarah buat kami. Inilah hari terakhir saya, sahabat-sahabat Gen6 dan sebahagian angkatan tahun akhir 2012 Fakulti Perubatan Universiti Kaherah menduduki peperiksaan akhir demi sekalung ijazah. Ijazah itulah yang bakal merubah hidup kami. Walaupun itu bukanlah segala-galanya, tapi ijazahlah wasilah untuk kami mencari redha Allah dan jalan untuk mendekati dan berkhidmat pada masyarakat kelak.

Perjuangan ini masih belum terhenti. Doa dan tawakal harus mengiringi. Keputusan peperiksaan sudah pasti mendebarkan kami. Inilah saat penantian yang penuh pengharapan buat kami. Doakan keputusan yang cemerlang milik kami semua ya. (^_^)

Jutaan kemaafan saya ucapkan kepada yang mengenali terutamanya suami yang dikasihi, Ummi Lek, Ibu Abah, adik-beradik, keluarga besar, pendidik, angkatan Gen6, sahabat-sahabat, adik-adik..maafkan salah silap sepanjang kita berinteraksi, jika ada tersalah bicara dan tingkah-laku yang tidak berkenan di hati. Terima kasih yang tak terhingga juga kepada semua kerana sentiasa memberi sokongan, semangat dan nasihat sepanjang menghadapi saat-saat getir ini.

Moga Allah beri yang terbaik untuk kami demi membahagiakan keluarga yang selalu mendoakan kami. Ameen.


23 Januari hari lahirnya..


Hari ini juga hari penting dan 'special' untuk sahabat saya. Sepanjang 6 tahun setengah di sini, saya dikurniakan sahabat yang sangat dekat di hati. Kami kuliah sekali, kelas Al-Quran sekali, bahkan di dewan peperiksaan juga sekali. Angka gilirannya 1650 dan saya 1651. Banyak kenangan kami bersama, tidak mampu bercerita. Orangnya lincah, baik sekali. Pemurah dan sangat menyenangkan hati. Bait kata dan bicara, menyedarkan diri. Alhamdulillah, syukur pada Allah memberi sahabat yang baik untuk perbaiki diri.

Moga Allah berkati teman saya ini. (^_^)
Uhibbukifillah. Abadan abada.. Biiznillah kita berjiran di Syurga nanti.

Saturday, January 19, 2013

Kembara Mesir : Bersama Habibi. Uhibbuka fillah!


Tidak disangka-sangka, Allah membuka peluang suami yang dikasihi hadir ke bumi kinanah ini. Syukur ke hadrat Illahi. (^_^) Alhamdulillah, memang ada hikmah di sebalik kedatangan suami. Allah membuka ruang untuk saya terus berkhidmat sebagai seorang isteri sebagai bekalan akhirat untuk bertemu Pencipta diri dan memperingatkan diri di saat akhir perjuangan di Mesir ini. 

Di samping bergelut dengan buku, Allah membuka seluasnya peluang untuk meraikan kedatangan beliau ke sini. Melihat beliau makan masakan sendiri pun sudah menguntumkan senyuman dan kelegaan di hati. Di samping itu sempat juga membawa beliau menjelajah sedikit sebanyak tempat di Kaherah dan Iskandariah. Memang tidak puas kata beliau. Maklumlah kebanyakan masa menemani saya di rumah untuk menghadapi peperiksaan akhir yang masih berbaki. Beliau sangat memahami dan sentiasa memberi semangat pada diri.

Iskandariah kami lawati (6-7 Januari 2013)

Sudah pasti Iskandariah kami jejaki kerana adik beliau masih belajar di sini. Yang jauh dekat di hati, lagi dirindui. Pastinya kedatangan ke Mesir tidak lengkap kalau tidak ke sini kerana Iskandariah juga merupakan tempat pelancongan yang masyhur dengan pantainya bahkan itulah pusat pemerintahan Mesir suatu ketika dahulu :) Alhamdulillah tertunai hajatnya. 


Sebaik sahaja tiba di Iskandariah, terasa beza sungguh udaranya dengan Kaherah. Maklumlah, ada pantai dan angin yang segar menghidupkan suasana di sini. Antara tempat yang sempat kami lawati ialah, Bibliotheca Alexandrina (Perpustakaan), Makam Nabi Daniel, Makam Luqman Al-Hakim, Masjid Abu Al-Abbas Al-Morsi dan Kubu Qaitbay.


Sambil berjalan, perut juga pasti berdendangan. Tidak lengkap rasanya kalau tidak menikmati aiskrim segar buah-buahan di Iskandariah. Walaupun musim sejuk, kelazatan aiskrim menghangatkan. Kemudian, pada sebelah malamnya juga kami menikmati hidangan makanan laut sebelum membeli belah di Mashiyah. Jutaan terima kasih pada adikku Milah, sahabat saya Ukhti 'Izzah dan junior yang dihormati Hashimi dan Qarafi kerana sudi menemani sepanjang perjalanan kami di sini.

Walaupun ziarah singkat di Iskandariah, manisnya tetap dirasa apabila dapat bertemu insan yang tersayang bahkan dapat bersilaturahim dengan sahabat-sahabat baru. Itulah manisnya sebuah kembara. Sambil mengenal tempat baru, sambil menyebar ukhwah.

Kaherah bercerita (5-17 Januari2013)

Sudah pasti, kebanyakan masa suami dihabiskan di Kaherah. Kami tinggal di Mouniera-Sayeda Zainab. Secara tidak langsung, tinggal di sini memberikan gambaran cara hidup golongan majoriti di Mesir. Kepadatan penduduk di Kaherah membuatkan kehidupan di sini terasa sesak dan menguji kesabaran. Kaherah boleh diibaratkan kota yang tidak pernah mati. Hidup sepanjang hari. Di pagi hari lagi, rakyatnya sudah beratur membeli 'eisy (roti), ful, to'miyyah, pengangkutan awam sudah dibanjiri dan hon kereta pula silih berganti. Siangnya sibuk dengan aktiviti jual beli bahkan tak pernah berhenti. Di sebelah malamnya pula kedai kopi dan shisha pasti dipenuhi. Ya, itulah Kaherah dengan seribu macam ragam Misriyuun. Namun, di situlah letaknya seribu macam teladan dan sempadan buat perantau seperti kami.

Jauh dari kebiasaan, Kaherah masih banyak keunikan yang perlu diterokai. Wujudnya masjid bersejarah dan makam para sahabat dan solehin menjadikan kita terpanggil untuk menjadikan diri sebaik mereka, meneruskan perjuangan mereka dan mengimarahkan masjid yang sedia ada. Walaupun sudah 6 tahun di sini, saya sendiri terasa buta sejarah dan masih mencari-cari untuk melengkapi cebisan yang masih berbaki.



Sudah pasti Makam Imam Waqi', Imam Syafie dan Imam Hassan Al-Banna antara pilihan di hati.  Kali terakhir saya ziarahi mungkin 3 tahun yang lepas. Sejuk hati melihat Makam Imam Hassan Al-Banna lebih rapi dan terpelihara. Namun sedih pula melihat kondisi makam-makam Imam dan para sahabat. Tidak terjaga. Moga ada perubahan selepas ini.

Di samping itu juga , saya menemani suami ke makam beberapa sahabat Nabi dan melihat masjid yang masyhur di sini seperti Masjid Amru Al-Asr, Masjid Al-Azhar, Masjid Hussein, Masjid Sayeda Zainab, Masjid Sayeda Aisyah, Masjid Muhamad Ali Pasha serta Kubu Salahuddin yang masih teguh berdiri.
Selesai melawat tempat-tempat orang soleh yang terpilih, kami beranjak melihat tinggalan Firaun yang dilaknat Allah. Memang gah kelihatan piramid di mata kasar tapi tidak mampu menandingi kebesaran dan keagungan Allah. Telah Allah buktikan, Dia mampu menjatuhkan sebesar-besar empayar dengan kuasa sebagai PEMILIK sebenar alam ini. Tidak ada manusia yang mampu menandingi kuasaNya hatta Firaun yang mengaku tuhan dan memiliki piramid yang pernah diagung-agungkan.

Sebesar mana pun ciptaan manusia, besar lagi kekuasan Allah ke atas kita, kerana kita ciptaanNya.
Hanya tinggal 'batu' sebagai saksi keangkuhan..
 Jiwa akan gersang jika kita jauh daripada Allah, Pencipta sekalian alam.

Yang hadir akan pulang... Itulah sunnahnya.

Tak tergambar dengan kata dengan kehadiran suami ke sini. Sungguh itulah antara hadiah termahal yang Allah beri. Sebak pula membaca tulisan suami di facebooknya. Tersentuh dengan kasih sayang Allah dan suami..

'Jika ada awal, mesti ada akhir. Jika ada listen, mesti ada speak. 

Itulah percutian cinta kali ini. Penuh cinta bertemu zaujah tersayang, penuh mahabbah bertemu sahabat-sahabat di Mesir walaupun baru kali pertama bersua muka. Offline atau online hanyalah sekadar cara, apapun ia pastikan terus subur di lubuk hati kita.

Jumpa di Malaysia dengan title Dr dan Ustaz berada didepan nama kalian.

Semoga Allah rahmati kita semua dan berada dalam dakapan kasih sayang-Nya. 

Untuk anakanda, jaga bonda bebaik ya!'
-------------------------------------
"Kembali ke tanahair. Berat hati tinggalkan zaujah dan baby. namun InsyAllah, Allah akan menjaga mereka. "


InsyaAllah, di hati mengharapkan pertemuan penuh barakah untuk fasa seterusnya. Moga Allah rahmati dan buka peluang untuk mentaatiNya dan zauji juga. Moga diampunkan dosa dan dibuka pintu kemaafan untuk menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan. Ameen..

Saturday, January 05, 2013

Hadiah berharga di Jubli Perak'

5 januari 1988

Mengimbau detik itu..25 tahun dahulu..T idak kutahu bagaimana peritnya seorang ibu melahirkan anak seberat 2.8kg ketika masih di perantauan, ditemani seorang ayah yang pengasih di sisi. Kini, bayi itu sudah dewasa, sedang mengandung cucunya pula. Sungguh aturan Allah itu Maha cantik. Hadiah yang tidak ternilai daripada Allah adalah dengan kewujudan mereka. Tanpa mereka siapalah saya. Ditakdirkan pula saya ditemani seorang adik lelaki dan 6 adik perempuan. Comel dan karenah yang pelbagai mewarnai hidup saya. Tidak putus saya mendoakan mereka. Moga syurga milik kami semua.

Sehari sebelum 5 Januari 2013

Allah hadiahkan kehadiran sahabat yang disayangi. Memasak Laksa Johor kami persetujui, dimeriahi lagi dengan kehadiran rakan seperjuangan dan adik-adik sepengajian yang dikasihi.

5 Januari 2013

Pada tarikh ini, tahun ini Allah hadirkan lagi insan baru, di dalam hati dan di dalam diri. Siapakah mereka?sudah pasti suami yang dicintai dan 'anak' yang dikasihi. Tidak pernah disangka, pada 5 Januari, ketika saya berkelana sendiri di bumi Mesir ditemani rakan seperjuangan tanpa suami, Allah lapangkan rezeki dan masa  suami untuk menziarahi saya di benua afrika ini. Subhanallah.. sebuah lagi hadiah tidak ternilai. Syukur!

Saya tersenyum.. masihkan saya tidak bersyukur?

Umur dunia : 25 tahun bukan sekadar angka.


Banyak cerita, banyak berita, banyak kenangan yang terukir di sebalik angka 2 dan 5. Alhamdulillah genap sudah 25 tahun masihi di muka bumi yang diciptakan Allah ini. Alhamdulillah!


Umur, tidak akan berhenti dibicarakan..


Sebut sahaja perihal umur, pasti ada yang termenung panjang. Tidak kira tua atau muda, lelaki mahupun wanita. Tahun demi tahun kita tempuhi, umur kian bertambah tanpa kita sedari. Kulit yang dahulunya mulus, kian berkedut saban hari, rambut yang dahulunya hitam, bakal putih suatu hari, badan yang dahulunya sihat, kian lemah jua bila Allah takdirkan nanti. Itu sunnah alam. Harus kita tempuhi dengan matang. Namun keajaiban boleh sahaja berlaku kerana semuanya milik Allah jua.

Berapa pun umur kita, bukanlah jaminan 100%  kematangan dan keimanan. Boleh sahaja yang tua bersikap kebudak-budakan dan yang muda matang pemikiran. Boleh sahaja usia lebih muda, tapi nuraninya tua, lemah tidak berdaya. Boleh sahaja umurnya tua, tapi nuraninya muda, teguh keimanannya. Apa sahaja mungkin di dunia ini. Namun kita sentiasa diingatkan, kasihi yang muda, hormati yang tua. Yang salah kita betulkan, yang benar kita tegakkan tidak kira batas usia. Permainan umur ini kadangkala di salah ertikan. Moga kita tidak termakan dengan tipu daya umur. Yang benar wajib dibenarkan, yang salah wajib disalahkan.

Begitulah umur antara kayu ukur di dunia supaya kita sedar diri tentang hidup ini ada tempohnya, walaupun kita sendiri tahu ajal itu rahsia dan tidak kira muda atau tua.

Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan tentang harta bendanya dari manakah ia perolehi dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya". (HR Tarmizi)

Menggerunkan bukan? Allah akan soal kita... Jawapan apa yang bakal kita bentangkan? Sepanjang 25 tahun apa yang telah aku lakukan atas sebuah jasad yang Allah berikan?

Hargai masa ini, 25 dan kehadapan..

Berbunga rasa hati bila mendengar ucapan Ummi, Lek dan Abang sempena hari lahir ini. Tak lupa juga ucapan adik-beradik, rakan dan adik seperjuangan. 'Special'nya itu kerana merekalah insan berjasa dalam mencorak warna-warni kehidupan 25 tahun ini. Yang lepas dijadikan kenangan, teladan dan sempadan. 

Yang bakal ditempuhi, esok dan seterusnya merupakan hadiah untuk terus mematangkan diri. Sungguh pun sudah bergelar isteri, belaian kasih sayang Ummi dan Lek belum puas kutagih. Mungkin juga diri ini anak sulung kepada 8 adik-beradik dan sejak umur 13 tahun berjauhan dengan Ummi dan Lek. Sungguh mereka berjasa besar dalam segenap segi. Moga Allah berkati mereka. Hadirnya Abang dan 'insan kecil' di dalam kandungan, petanda bahawa Allah sekali lagi sedang mempersiapkan saya untuk fasa-fasa kehidupan seterusnya. Moga saya kuat dan keimanan juga tertingkat.

Terima kasih juga buat rakan terdekat, adik-adik yang prihatin terhadap diri. Moga Allah eratkan lagi ukhwah ini.

Peringatan ini kusemat.. agar diri terus kuat.

"Rebutlah olehmu akan lima perkara sebelum datang lima perkara; hidup kamu sebelum mati, sihat kamu sebelum sakit, masa lapang kamu sebelum masa kesibukan kamu, muda kamu sebelum tua, dan kaya kamu sebelum miskin". (HR Hakim dan Baihaqi)

Ya Allah, pinjamkanlah kekuatan dan bimbinglah kaki ini mendapat redha dan rahmatMu. Ameen.