BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, January 24, 2013

Catatan Bunda : 20 minggu - Kenangan 12 Rabiulawal 1434H


اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين

Selawat dan salam buat junjungan besar yang kita cintai Nabi Muhammad S.A.W. Syukur pada Allah masih diizinkan menghirup udara baru di hari baru.

Hari ini 24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiulawal 1434 H..


Maulidurasul takkan dilupa

Tidak dilupakan tarikh ini dari ingatan ummat Islam khususnya. Yang pasti menjelang 12 Rabiulawal kita seharusnya muhasabah kembali sejauh mana pengamatan dan sunnah yang baginda tinggalkan untuk kita amalkan. Di hari inilah titik tolak untuk kita perbanyakkan selawat kepada baginda.


Genap setahun hijri perkahwinanku

Pantas sungguh masa berlalu. Akad nikah 4 Februari 2012 bersamaan 11 Rabiulawal (Malaysia) atau 12 Rabiulawal (Mesir). Justeru setahun sudah perkahwinan kami mengikut bulan Islam. Allah.. Allah..Gembira dan sebak juga. Kerana perkahwinan jarak jauh, sungguh saya tak menyangka setahun sudah usia ikatan ini. Masih banyak yang perlu kami lalui dan fasa baru yang bakal kami tempuhi.

Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Walaupun kenduri sebelah lelaki belum sempat dijalankan kerana jarak dan waktu memisahkan, saya bersyukur majlis akad dan kenduri saya sudah pun selamat berlangsung setahun yang lalu dihadiri oleh keluarga besar, kenalan Ummi, Lek dan sebahagian besar adalah sahabat ketika saya kecil hingga universiti. Semalam melihat semula gambar yang ada, terdetik di hati, moga Allah berkati mereka ini. Saya mampu tersenyum mengingati doa-doa mereka di hari perkahwinan kami. Sungguh mereka antara orang soleh yang menyejukkan majlis saya. Hanya Allah yang tahu perasaan sebenar saya, disebalik setiap persiapan majlis ini. Alhamdulillah makin hari saya makin merasakan keluarga suami juga sebahagian daripada saya. Sudah pasti kalau berlangsung sahaja kenduri nanti, saya masih berbadan dua, dengan 'si comel' bermain di alamnya.


Genap 20 Minggu kandunganku

Hari ini genap juga usia 20 minggu 'si kecil comel' kami. Lagi 20 minggu untuk saya tempuhi. Alhamdulillah dengan rahmat Allah, segalanya dipermudahkan. Baby juga sangat baik pada Bundanya. Bunda sayanggg Baby! Baby pun sudah aktif dan sudah pandai beraksi. Alhamdulillah saya sudah merasa sebahagian pergerakannya ketika usianya 19 minggu (17 Jan) sebaik sahaja Papa pulang semula ke Malaysia. Kesian Papa kan? Hehe.. Makin lama makin aktif. Bunda doakan sihat dan ceria selalu anakku.

Gembira dan syukur tak terkata. Semoga Allah pelihara anak yang saya kandungkan dengan sifat rahmatNya. Seorang bakal ibu pastinya mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Anaknya sihat sempurna, baik akhlaknya, teguh pegangan agamanya, lembut bicaranya, teralun Al-Quran dan Hadith di lisannya serta sejuk dipandang oleh manusia amnya.

Bunda doakan agar Allah berkatimu anakku.. Dikuatkan menghadapi seribu macam ujian di dunia kelak. Moga kita bertemu di hari kelahiranmu ditemani Papa di sisi kita. Ameen.

0 comments: