BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, January 05, 2013

Umur dunia : 25 tahun bukan sekadar angka.


Banyak cerita, banyak berita, banyak kenangan yang terukir di sebalik angka 2 dan 5. Alhamdulillah genap sudah 25 tahun masihi di muka bumi yang diciptakan Allah ini. Alhamdulillah!


Umur, tidak akan berhenti dibicarakan..


Sebut sahaja perihal umur, pasti ada yang termenung panjang. Tidak kira tua atau muda, lelaki mahupun wanita. Tahun demi tahun kita tempuhi, umur kian bertambah tanpa kita sedari. Kulit yang dahulunya mulus, kian berkedut saban hari, rambut yang dahulunya hitam, bakal putih suatu hari, badan yang dahulunya sihat, kian lemah jua bila Allah takdirkan nanti. Itu sunnah alam. Harus kita tempuhi dengan matang. Namun keajaiban boleh sahaja berlaku kerana semuanya milik Allah jua.

Berapa pun umur kita, bukanlah jaminan 100%  kematangan dan keimanan. Boleh sahaja yang tua bersikap kebudak-budakan dan yang muda matang pemikiran. Boleh sahaja usia lebih muda, tapi nuraninya tua, lemah tidak berdaya. Boleh sahaja umurnya tua, tapi nuraninya muda, teguh keimanannya. Apa sahaja mungkin di dunia ini. Namun kita sentiasa diingatkan, kasihi yang muda, hormati yang tua. Yang salah kita betulkan, yang benar kita tegakkan tidak kira batas usia. Permainan umur ini kadangkala di salah ertikan. Moga kita tidak termakan dengan tipu daya umur. Yang benar wajib dibenarkan, yang salah wajib disalahkan.

Begitulah umur antara kayu ukur di dunia supaya kita sedar diri tentang hidup ini ada tempohnya, walaupun kita sendiri tahu ajal itu rahsia dan tidak kira muda atau tua.

Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan tentang harta bendanya dari manakah ia perolehi dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya". (HR Tarmizi)

Menggerunkan bukan? Allah akan soal kita... Jawapan apa yang bakal kita bentangkan? Sepanjang 25 tahun apa yang telah aku lakukan atas sebuah jasad yang Allah berikan?

Hargai masa ini, 25 dan kehadapan..

Berbunga rasa hati bila mendengar ucapan Ummi, Lek dan Abang sempena hari lahir ini. Tak lupa juga ucapan adik-beradik, rakan dan adik seperjuangan. 'Special'nya itu kerana merekalah insan berjasa dalam mencorak warna-warni kehidupan 25 tahun ini. Yang lepas dijadikan kenangan, teladan dan sempadan. 

Yang bakal ditempuhi, esok dan seterusnya merupakan hadiah untuk terus mematangkan diri. Sungguh pun sudah bergelar isteri, belaian kasih sayang Ummi dan Lek belum puas kutagih. Mungkin juga diri ini anak sulung kepada 8 adik-beradik dan sejak umur 13 tahun berjauhan dengan Ummi dan Lek. Sungguh mereka berjasa besar dalam segenap segi. Moga Allah berkati mereka. Hadirnya Abang dan 'insan kecil' di dalam kandungan, petanda bahawa Allah sekali lagi sedang mempersiapkan saya untuk fasa-fasa kehidupan seterusnya. Moga saya kuat dan keimanan juga tertingkat.

Terima kasih juga buat rakan terdekat, adik-adik yang prihatin terhadap diri. Moga Allah eratkan lagi ukhwah ini.

Peringatan ini kusemat.. agar diri terus kuat.

"Rebutlah olehmu akan lima perkara sebelum datang lima perkara; hidup kamu sebelum mati, sihat kamu sebelum sakit, masa lapang kamu sebelum masa kesibukan kamu, muda kamu sebelum tua, dan kaya kamu sebelum miskin". (HR Hakim dan Baihaqi)

Ya Allah, pinjamkanlah kekuatan dan bimbinglah kaki ini mendapat redha dan rahmatMu. Ameen.

0 comments: