BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, May 06, 2013

Pasca PRU13 : 3 rasa dalam diri


Gembira, Sedih, Risau.. Mungkin itulah yang kita rasai di pagi ini dan untuk saya sudah pasti 3 rasa yang sedang bermain dalam diri..

Beberapa hari yang lalu ibarat persiapan Hari Raya, jalan sesak di kampung mahupun bandar tercinta. Seronok tak terkata. Yang tua hingga yang muda, jelas keterujaan mereka. Bendera berkibar tidak kira parti mana. Hijau, biru, putih dan merah semua ada. Meriah sungguh Malaysia tercinta.

Semalam berlalu sudah pilihanraya. Akhirnya keputusan sudah tersedia, kerajaan lama terus kekal tersedia. Maka, 5 tahun entah apa cabarannya. Kemajuan dan  pembangunan yang bagaimana mahu dibawa? Semua menjadi tanda tanya. Pastinya keimanan, ketakwaan wajib ditingkatkan untuk tempuh ujian daripadaNya.

Gembira kerana ini kalilah usaha tidak sia-sia, ada peningkatan untuk kita raikan walaupun kerajaan lama terus kekal di posisi sama. Ini kalilah juga untuk kita terus lipatgandakan usaha. Allah mahu kita muhasabah dan terus bekerja. Perbetulkan niat berpolitik, dakwah dan bersilaturahim tak kira bangsa dan agama. Allah beri peluang untuk kita kaji kelemahan dan perbaikinya, mungkin ada hak Allah, Rasul yang belum kita jelas tentangnya, hak keluarga yang belum kita sedari dan hak masyarakat yang belum kita lunasi. Perbaiki dan perbaiki. Tentu Allah menolong setiap langkah kita perbaiki diri. Yakin perubahan itu ada walaupun selambat kura-kura menuju destinasi, hakikatnya kura-kura menang kerana dia terus usaha atasi kelemahan diri dan jernih hati.

Sedih kerana diri masih banyak kelemahan dan tidak pasti masihkah diri berpeluang merasai PRU 14 nanti. Menjadi pengundi buat pertama kali, sungguh itulah yang didambakan hati. 5 tahun nanti pastinya sudah tertulis apa yang terjadi. Sedih ini insyaAllah bakal diubati sekiranya Allah terus mendidik diri menjadi insan yang lebih bertakwa dan tidak takut mati malah sedia melakukan perubahan untuk Islam kekal di bumi. 'Ya Allah pilihlah kami menjadi insan yang Engkau redhai.' Ameen..

Entah kenapa Risau sungguh dengan janji-janji yang ditaburi, tidak kira di pihak kerajaan mahupun yang dikatakan pembangkang kini. Janji senang dituturi tapi sukar ditepati, apatah lagi senang dimanipulasi oleh manusia yang lemah dan cinta duniawi. Moga Allah sedarkan pemimpin yang dipilih rakyat agar lebih takut dengan azab melantun bicara tanpa memikir isinya kerana neraka itu jelas bukan membakar kulit tapi hingga ke isi malah tulang sekali. Selamat berkhidmat dengan hati yang suci. Amanah itu jangan para YB khianati, nanti kelak azab menanti.

Majulah.. majulah.. langkah tak pernah berhenti. Positif itu ubat.. kerana Allah sentiasa mendidik diri bahawasanya Dia Maha Berkuasa atas segalanya yang belum kita miliki.

2 comments:

mamawana said...

Istiqamahlahh dlm perjuanganmu...

sinar_islami said...

InsyaAllah.. doakan saya mamawana. Jazakillahu kheir atas peringatan yang bermakna.