BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, June 14, 2014

Aduhai Putri Kusayang, Setahun usiamu, sayang...


9.6.2013 tarikh bermakna buat saya dan suami. Tarikh yang mengubah status saya sekali lagi dalam kehidupan, kalau dahulunya bujang, kemudian menjadi isteri orang, dan tarikh itu bertukar lagi menjadi seorang ibu. Alhamdulillah.. Alhamdulillah. Setahun sudah usiamu Putri Nuha Sakeenah. Sebak kerana Allah masih memberi peluang untuk memiliki anak secomel, sebaikmu dan terus mentarbiyah Bunda dalam fasa berlainan.

Sepanjang mengandungkan Nuha, saya hanya mengalami anemia tanpa komplikasi yang teruk. Alhamdulillah. Allah banyak permudahkan urusan kami. Sejujurnya terkenang-kenang saat ketika melahirkan Nuha. Kesakitan, kegembiraan, kerisauan yang tidak mampu lagi saya gambarkan. Alhamdulillah suami tetap menemani. Saya bersyukur beliau ada di sisi. Allah sumber kekuatan dan suami memberi kata-kata semangat dan peringatan berharga. Sebaik sahaja saya melahirkan Nuha secara normal,  Nuha tidak terus menangis, segera diletakkannya di atas dada saya, matanya terbuka, mulus sungguh wajahnya, bersih, hilang kesakitan yang menyelubungi diri, kedengaran Dr menyebut pink ( barulah saya tahu maksudnya, bayi perempuan dilahirkan - blue pula untuk bayi lelaki) ketika itu matanya yang bulat tepat melihat saya. Saya nampak tidak nampak jantinanya kerana kekalutan ketika itu, Nuha pula yang masih tidak menangis dan nafasnya masih laju terus di bawa ke tempat 'resuscitation'. Alhamdulillah tidak lama kemudian kedengaran tangisan bayi. Suami mengiringi anak, dan terus memaklumkan pada saya, anak kami perempuan dan beliau cukup sifat, sihat, cuma perlu di masukkan ke wad kerana masih bernafas laju. :) Suami sayalah orang yang paling kalut menguruskan kami anak beranak ketika mana anak perlu dimasukkan ke wad dan saya pula terpaksa ditolak ke dewan bedah untuk menjahit luka.

Maka, terciptalah juga gelaran untuk Nuha, 'Hai anak TTN'( transient tachypneic of newborn). TTN ini kebiasanya terjadi pada bayi baru lahir, salah satu cirinya bernafas laji. Segaja kami memanggilnya begitu, terutama apabila Nuha melasak. Memang anak ini tak tahu dahulunya dia tidak menangis, kini pantang saja pergerakan disekat, atau keinginan tidak dipenuhi, kehendak tidak difahami, mulalah menangis. Haha kuat pula dia menangis. Untung Bunda dan Papa.

Setahun berlalu.. Memang pantas masa berlalu. Dahulunya Nuha 2.8kg, kini sudah 8kg. Kalau dahulu hanya minum susu badan, kini semua benda mahu dimakan. Dahulunya Nuha hanya pandai senyum, kini sudah pandai berkata-kata. Kalau dahulunya banyak tidur, sekarang sudah berjalan dan cuba berlari. (^_^) Memang Bunda dan Papa, kadangkala tidak menang tangan tapi kami gagahkan jua demi melayan anak tercinta.

(^_^) Sungguh Bunda  dan Papa sayangggg Nuha. Kami akan terus mendoakan Nuha dirahmati Allah dan mampu mengecapi hari-hari yang barakah untuk menjadi Muslimah yang berguna demi Islam dan mendoakan kami ketika kami sudah tiada nanti. Pembaca juga doakan Nuha menjadi anak solehah dan  muslimah solehah ya.


Thursday, April 24, 2014

Uniknya Anak.. Hebatnya Ibu? Ayuh terokai!

Sudah fitrah, si ibu dan si anak punya pertalian yang kuat. Mana tidaknya, si ibu sarat mengandung selama 9 bulan dengan harapan ke temu anaknya. Mahu tidak mahu, dari fasa ke fasa hingga dilahirkan, akhirnya si ibu akan jatuh hati pada anak yang dilahirkan. Anugerah Allah yang tiada tandingan. Dari tiada, dengan izinNya ada.

Anak-anak cahaya iman

Si kecil itu fitrahnya suci, dilahirkan putih berseri. Alhamdulillah Allah pinjamkan kami Putri Nuha Sakeenah untuk mentarbiyah diri dan tingkatkan iman.

Melihat Nuha membesar, syukur tak terhingga dirasakan kerana sebagai ibu tiada kuasa menjadikannya anak yang cerdas dan cergas. Alhamdulillah hanya dengan izin Allah dan sedikit ilmu yang saya dan suami miliki, anak yang kami kasihi membesar sesuai dengan kadar usianya. Gross motor, fine motor, social development berada pada tahap memuaskan.  Nuha boleh menggunakan jari kecilnya mencubit roti kemudian disuapkan ke mulutnya sendiri. Nuha sudah pandai berdiri, sedang berusaha menguatkan otot kaki, melangkah setapak demi setapak, insyaAllah tidak lama lagi sudah pandai berjalan sendiri. Nuha juga sudah boleh menyebut mama, papa dan mengikut kata-kata kami dengan lahjahnya sendiri. Hatta mampu melambai dan menyebut bye bye apabila ransangan di beri. Sudah pasti ketika kami mahu bergerak ke tempat kerja, si anak ini melambai, membuatkan kami berat hati meninggalkannya, tidak sabar mahu berjumpanya lagi.

Allah.. Besar sungguh rahmat dan kurniaMu. Kesihatan, kecergasan anak membahagiakan diri. 

Selama 4 bulan di wad kanak-kanak, pelbagai telatah ibu bapa yang saya perhati. Yang pastinya apapun kerenah mereka,  pastinya mereka mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Saya kagum dengan mereka kerana sanggup tinggalkan kerjaya demi menjaga anak tercinta, sungguh anak sebenarnya terhutang budi walaupun sudah tanggungjawab ibu bapa. Namun kerisauan saya melihat telatah ibu bapa adalah kebimbangan mereka dan kebergantungan mereka pada manusia bukan pada yang di Atas sana. Sunggu kepanikan kadangkala membuatkan manusia lupa ada Allah penentu segala. Doktor sudah biasa dipersalahkan, kerana mereka lupa siapa manusia siapa pencipta segala kejadian :) maka tidak hairan surat ketidakpuashatian sentiasa menghujani jabatan kami. Melihat pakar dan mo saya bekerja saya tahu mereka sedikitpun tidak meremehkan kondisi pesakit. Mereka sangat competent dengan tugas di jabatan ini. Hatta ho juga selalu diperingatkan, rawatlah anak-anak kecil ini seperti adik atau anak sendiri.

Melihat situasi yang ada, ibu bapa juga kadangkala lebih mementigkan kesihatan jasmani hingga lalai akan kesihatan rohani. Sungguh anak-anak itu fitrahnya suci namun bila tidak diisi dengan prndidikan keimanan, sudah pasti jahiliyah mengisi. Mungkin juga kita tiada 'clear cut' dalam penentukan kesihatan rohani, namun apabila anak tidak aktif, menangis, bernafas lain dari kebiasaan, kita tahu, hospitallah tumpuan yang harus di tujui. Hatta ketika anak sakitlah ibu bapa mesti mendekatkan diri pada Allah, itu contoh terbaik untuk anak mengenal siapa penciptanya. Kita harus ingat keajaiban bukanlah terjadi dengan menyerah pada sistem perubatan tapi pada Allah yang mencipta keajaiban.

Pernah satu ketika, sedang saya sibuk mengadap komputer, mengisi laporan kesihatan terdengar sayup suara anak kecil membaca doa.. Allah Allah sungguh bertuah ibu bapanya. Pasti ibu bapanya memberi pendidikan yang seimbang. Begitulah yang kita mahukan. Pernah juga ketika kami memasang intravenous line, bapa pesakit kecil itu sangat rendah diri dan tinggi tawakalnya dalam mengizinkan kami memulakan perubatan, alhamdulillah urusan anaknya dipermudahkan. Dia faham kami hanya pemudah cara. Sungguh kadangkala Allah tunjuki kuasanya, apabila ada yang salah menyerah tawakalnya pada manusia, Allah sulitkan urusannya. Wa na'uzubillah. Moga keimanan terus subur dalan diri ibubapa dan anak juga.

Si kecil mentarbiyah diri

Mana tidaknya kerana awal tarbiyahnya adalah Allah sendiri, bayangkan dalam berpuluh puluh anak kecil di jabatan kami, disamping ibu bapa menemani, si anak kecil yang berusia sebulan pun tidak menyerah kalah dalam perawatan. Berselirat wayar di badan. Ada yang dijangka kondisi akan lebih 
teruk tapi akhirnya kembali sihat seperti sedia kala. Ada juga kisah sedih, ibu bapa mengalah untuk 
mengizinkan rawatan atas faktor luaran, doktor terpaksa akur, si anak pulang dengan senyuman tanpa tahu kesihatannya merosot saat ibu bapa merayu pulang. Hanga doa kami titipkan.

Nah, si kecil akan terus kelihatan comel walaupun sedang mengadu kesakitan. Tangisan mereka membuatkan ibunya sendiri sebak.  Kanak-kanak memang unik! Sudah pasti syurga buat mereka jika mereka ditakdirkan kembali pada Pencipta. Ibu bapa perlu pujuk hati dan bangga ada sudah 'jambatan' ke syurga yang disediakan oleh anaknya.Maka beringatlah Allah pemberi kesihatan dan kelapangan.

Sayonara...

Kisah saya di jabatan kanak-kanak berhenti seketika di sini.4 bulan berlalu pantas. Setiap saat pertukaran jabatan baru pasti berat hati. Almaklumlah kerana kita sudah serasi dan baru mahir dalam mengendalikan kes di jabatan. Alhamdulillah lulus viva dengan 2 pakar kanak-kanak yang disegani, selesai juga menbuat presentation CME. Syukur... Maka saya secara rasmi berpindah ke jabatan baru pada hari Jumaat ini. InsyaAllah dari jabatan 'anak' ke jabatan 'ibu'. Jazakumullahu kheiran kathira pada semua kakitangan jabatan, daripada pakar perunding, pakar, mo, rakan ho, staffness, jm, staff radicace dan pesakit sendiri. Alhamdulillah banyak yang saya pelajari dari kalian semua.

Ahlan wa sahlan

Ucapan untuk diri agar terus kuat untuk menekuni bidang perubatan ini. Setiap hari adalah lembaran baru untuk diharungi. Moga kuat menghadapi segala bentuk ujian. Ya Rabb, redhailah hambaMu ini. 

Ayuh teroka hebatnya wanita pula dan pastinya banyak lagi pengajaran sebagai bekalan hidup untuk saya pelajari.

Sunday, April 13, 2014

Anak Kecil Tidak Pernah Putus Asa

Allah sahaja sebaik-baik pendidik dan syukur padaNya kerana tidak lekang mengurniakan nikmat dan rahmat yang tidak putus. Dari kecil hingga kini, fasa demi fasa berlalu, penuh dengan pelangi yang tersendiri. Keluarga dan kerjaya, keduanya ada saham akhirat yang perlu diamati. Memiliki anak sesungguh mendidik diri bahawa hanya Allah Yang Maha berkuasa. Kita punya banyak keinginan, harapan dan keluhan, semuanya didengari tetapi tidak semua tertunai kerana ada kebaikan yang Khaliq ketahui. Sungguh kerdil makhluk bernama manusia ini. Dari seawal kejadiaan hingga kematiaan insan, Allah Yang Maha Mengetahui dan Mengatur duniaNya ini.

Masa terus berlalu dan kini Nuha sudah 10 bulan

Alhamdulillah.. Sudah besar anakku ini. Kalau dahulu memerlukan sepenuh sentuhan, kini adakala cukup sekadar pantauan. Sudah aktif merangkak ke sana ke mari, tidak mahu 24 jam di ribaan ibunya. Syukur Nuha membesar dengan sihat dan mencapai perkembangan yang memberangsangkan. Setiap hari pasti ada sahaja kebolehan baru yang ditonjolkan, sudah pandai membuat pelbagai buyi, menyebut papa, mama dan bye bye sambil melambai tangannya yang mulus itu.

Alhamdulillah hari ini pula sudah mampu berdiri lebih lama tanpa sokongan luar dan melangkah 1-2 . Ajaib. Walau kita ajar, walau kita ransang setiap hari, Allah sahaja yang menetapkan sekian tarikh untuk Nuha menunjukkan kebolehannya.

Allah Allah syukur kerana adaMu selalu. Ya Rabbi teruslah mendidik kami dengan nur keimanan dan hidayahMu.

Insan kecil mengajar kita percaya...

Seputar kisah saya di jabatan kanak-kanak, hati terusik melihat kanak-kanak mampu tersenyum walaupun dirinya perlu dirawat. Masih gagah bersedekah dengan senyuman saat dirinya tidak tahu menahu sakit apakah yang dialaminya. Sungguh naif mereka ini, menangis saja mampu mengambarkan kesakitan yang dialami.

Mereka yang menghidap thalasemia pula ada persatuan mereka dan mereka saling menguatkan sesama sendiri. walaupun memerlukan tranfusi darah secara berkala, dicucuk berkali-kali mereka tidak pasrah dengan tidak mengembangkan potensi. Ada dikalangan mereka belajar hingga ke uuniversiti

Sunday, February 09, 2014

Perkahwinan : Macam Best Jer... (Ehem.. Baru 2 tahun!)

Saban hari pasti ada sahaja undangan perkahwinan daripada rakan dan kenalan. Tak kurang juga yang bertunang walaupun secara diam- diam. Terukir senyuman manis di bibir mereka dari gambar yang dikongsiksn. Alhamdulillah kelihatan sebuah permulaan yang indah kepada sebuah cerita yang masih rahsia. Yang bujang seakan terstimulate dengan kebahagiaan yang dipamerkan. Maklumlah , sepasang pengantin cantik jelita dan kacak bergaya dalam busana khas di hari bahagia. Tentunya menjadi idaman semua orang, persiapannya sahaja sudah tip top, masakannya tidak kerana semua beranggapan berkahwin hanya sekali dalam seumur hidup, sudah pasti mahukan yang terbaik bukan? Melihat keseronokan mereka teringat pula hari pertama saya bergelar isteri, debar, gembira dan sedih pun ada. Lalui dahulu barulah tahu perasaannya terutama kita anak perempuan. (^_^)

Ada apa ya? Sampai teringat-ingat...

Best sangat ya perkahwinan? Mungkin itulah pertanyaan bagi yang belum merasai. Ayuh cuba dahulu deh. Yang seronoknya kita selalu akan berangan dan menanam impian yang super super :)  Namun harus juga siap sedia untuk hadapi cabaran demi cabaran. Untuk permulaan, harusnya ada calon, dan jalannya bersih untuk sebuah baitul muslim bak dirikan masjid ini. Kalau belum punya, tidak perlu risau banyak lagi perkara best untuk orang bujang lakukan, namunnn usaha ke arah mencari calon soleh wa solehah itu perlu. Ingat jodoh bukan datang bergolek, paling tidak berdoa ya. Doa juga rumah tangga utuh, ada mardhatillah dan suami isteri saling melengkapi.

Baru dua tahun? Alhamdulillah sudah bertiga

Walaupun sudah beranjak 2 tahun usia perkahwinan, masih banyak perkara kami suami isteri harus pelajari. Baru dua  tahun kata orang yang sidah berumah tangga berpuluh-puluh tahun. Apapun syukur. Kalau dahulu berdua sekarang kami sudah bertiga. Memiliki si kecil adalah momen indah dan subjek baru dalam perkahwinan. 4 feb genap dua tahun perkahwinan, manakala 9 feb hari ini, genaplah puteri kami 8 bulan.. Pantas masa berlalu. Nuha pengikat cinta kami suami isteri. Kelincahanya penghibur hati. Sepenat mana pun kami suami isteri, Nuha tetap di hati.

Mahu jadi superwoman?

Best macam mana pun perkahwinan, akan ada sahaja cabaran. Untuk si isteri yng bekerja sememangnya menguruskan rumahtangga ini sudah menjadi suatu cabaran. Macam best kan kalau dapat jadi superwoman. Zupp..ke sana jadi doktor. Zass...ke sini jadi bunda. Zuss ke situ jadi isteri. Kena lincah! Aha semestinya saya perlu ada suami yang juga superman, menyokong, memerhati, melindungi dan menasihatin sang isteri. Alhamdulillah saya dipinjamkan suami yang sebegitu. Kadangkala kita penat untuk mengejar title superwife, supermom dan superwoman. Letih dan rasa juga mahu perputus asa. itulah manusia. bukan mudah  menikmati syurga dunia dan akhirat. Beliaulah yang mengingatkan, ' Alhamdulillah, anak baru seorang. Kenalah bertahan untuk masa hadapan.'

Sunday, January 05, 2014

Umur dunia: 26 tahun satu kesyukuran

Tiada siapa tahu sampai bila dirinya akan hidup. Begitu juga dengan ajal, tiada yang tahu bila akan menjemput. Hatta saya yang sudah berusia 26 tahun pada hari ini seakan tidak percaya, sudah 26 tahun? Pejam celik pejam celik. Meningkat sudah usia. Oh, sungguh terasa tua.

Alhamdulillah ketika menjejaki usia inia, terasa lengkap sudah diri dan sebahagian keperluan dalam mendirikan agama. Sudah bergelar isteri, sudah bergelar ibu dan sudah bergelar Dr. Mencabar tapi menarik dan perlu sentiasa muhasabah.

Setinggi kesyukuran dirafa'kan kerana Allah masih memberi peluang untuk menambah amal. Makin meningkat usia makin bertambah tanggungjawab. Allah Allah, pasti banyak perkara yang akan di soal. Apapun harus bersyukut dan terus positif mengharungi kepayahan dan kesenangan dunia. InsyaAllah akhirat sebaik- baik tempat kembali.

Di kesempatan ini, ingin ucapkan terima kasih yang tak terhingga pada ummi dan lek yang mendidik diri dari kecil. Syukran ya zauji kerana menjemput diri menjadi isteri. Terima kasih pada adik- beradik yang selalu mendoakan diri dan kepada semua yang mengenali, moga Allah berkati kalian semuanya. Salam ukhwah dan mahabbah daripada saya di hari yang indah ini.

Wednesday, January 01, 2014

Dari Jabatan Pembedahan ke Jabatan Kanak-kanak

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Selesai sudah posting pertama di Surgical Department (25 Ogos -24 Disember). Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Jabatan, Pakar, Mo dan rakan sekerja yang selalu membantu sepanjang saya bertugas. Suatu permulaan dan pengalaman yang indah. Di sinilah bermula kisah susah senang seorang houseman. Sejujurnya tempoh sebulan pertama memang mencabar. Dari tempat kerja, rakan sekerja, waktu bekerja semuanya perlukan masa untuk saya biasakan diri. Apatah lagi saya sudah berkeluarga. Kerjaya dan keluarga keduanya ada keutamaan.

Pembedahan ada senyuman

Terlalu banyak cerita dan pengajaran buat saya di jabatan ini. Membuat diri ini banyak berfikir dan merenung dhaifnya diri dalam dunia perubatan yang serba luas dan betapa besarnya harapan masyarakat pada institusi ini. 

Pembedahan salah satu cara rawatan yang kalau kita dengari sahaja sudah mengerunkan, namun ini juga satu keperluan dan alternatif untuk mencegah atau mengubati penyakit. Ada sahaja pesakit yang mengelak rawatan, perkara biasa yang terjadi di wad pembedahan. Ada yang berani menyahut cabaran dengan mengizinkan pembedahan dilakukan dan dengan izin Allah beliau lebih sihat dari sebelumnya. 

Dari aspek pekerjaan, saya kira selama ini saya tidak mampu berdiri lama di dewan bedah tetapi rupanya mampu juga saya dengan izinNya. Alhamdulillah sepanjang posting ini saya dapat melihat dan melibatkan diri dalam pelbagai jenis pembedahan. Terbit juga minat di dalam bidang ini. Melihat pesakit yang asalnya meraung kesakitan, selesai dibedah mampu tersenyum indah, benar benar mengubat hati yang sememangnya penat bekerja seharian.

Bertugas di Jabatan Kanak-kanak

Sekarang saya sudah mula bertugas di Jabatan Kanak-kanak. Pastinya banyak perkara baru yang saya harus pelajari dan biasakan diri. Sungguh, saya merindui Jabatan Pembedahan, mungkin kerana itulah Jabatan Pertama bak Cinta Pandang Pertama la katakan (^_^)

Hari pertama di jabatan baru sememangnya mengundang debaran, ibarat hari pertama mula bekerja juga. Alhamdulillah ada ramai senior yang dikenali bertugas di jabatan ini. Mereka pula tidak lokek mengajar saban hari dan sentiasa mengingatkan agar berhati-hati ketika bertugas. Maklumlah Jabatan Kanak-kanak ini perlukan ilmu, fokus dan kemahiran yang lebih berbandang jabatan lain kerana setiap hari akan menghadapi bayi dan kanak-kanak yang sememangnya agak mencabar untuk mengdiagnosis penyakit mereka. Penglibatan ibubapa amat diperlukan dan inilah cabarannya kerana ada pelbagai karenah dan ragam.

Masa akan terus berlalu, harapan saya di tahun baru ialah, saya menjadi yang terbaik di dalam kerjaya dan keluarga bahkan diangkat darjat di sisi Allah Yang Maha Esa. Moga Allah tambahkan lagi rasa keinsafan, menguatkan keimanan, ketakwaan dan menjadikan kita insan yang peka dengan nasib ummah hari ini. InsyaAllah kita menjadi insan terbaik untuk ummah yang kita sayangi.