BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, February 14, 2016

Air Mata Bunda

Air mata Bunda

Anak di mata Bunda, ibarat permata. 
Pasti ada air mata yang mengiringi pembentukannya

Air mata tawa

Teringat pertama kali mendapat cahaya mata, gembira tak terkata hingga air mata kesyukuran mengalir tanpa sengaja. Melihat redup mata Papa, kesakitan dan kepahitan dari komplikasi bersalin biasa yang ditakdirkan terasa ringan, walaupun masih ada kesan di hati dan fizikal ini.

Air mata panahan kasih

Mengharungi detik-detik pantang pertama, berambu air mata, Nuha yang tercinta asyik menangis hingga terpaksa berjaga malam, Bunda pula masih lagi trauma dan untuk bertukar posisi sungguh payah sekali. Setiap kali terjaga, perlu bergerak mendekati si kecil, menangis Bunda terasa tidak berdaya, tapi digagahkan jua melihat dirimu lagi tak berupaya, malah tidak tahu apa apa. Papa memberi semangat, hinggalah satu ketika barulah tahu helah si kecil, awalnya kami tempatkan di katil berbeza, mana tidaknya menangis. Justeru tahulah kami tidur mahu ditemani rapat, mahu kehangatan Bunda dan Papa.

Anak kedua, alhamdulillah.. Si kecil tidak banyak ragamnya cuma kisah masih milik Nuha. Nuha terbukti tahu statusnya, sudah pandai beradik-adik, tahu cakna dan pandai bawa diri. Cabarannya Nuha pula yang meragam apabila tiba waktu malam atau mengantuk. Dia sudah biasa disusukan dan dimanjakan, kini Bunda pula beralih perhatian. Susu badan sudah pastinya tidak boleh diberikan, hak adik bertukar tangan. Sedih Bunda apabila Nuha tak putus putus merengek minta disusukan, menangisnya Nuha bukan kepalang, hinggalah Bunda akhirnya menangis dan terpaksa mengeraskan hati, aduh pedihnya hanya Bunda yang tahu..

Air mata kecewa

Melihat Nuha membesar, banyak yang kami belajar, Allah banyak membentukmu menjadi anak cerdas dan cergas serta mendidik kami untuk lebih sabar dan perbaiki seni keibubapaan.

Diawalnya Nuha tidak banyak kerenah, senang mengikut kata, tidak mudah 'tantrum'. Beranjak usia setahun setengah, Nuha sudah pandai merajuk dan menunjukkan ketidaksetujuan. Apabila dimuhasabah, terlepas juga suara tinggi kepadanya. Terasa sungguh kebodohan orang tua. Bukan sengaja, apabila penat bercampur kecewa itulah yang terjadi. Kenapa kecewa, kerana mengharapkan anak menjadi begini dan begini, apabila tidak seperti diharapkan mulalah kita terasa hati, terlepas dengan suara tinggi, si anak di marahi. Sebaik sahaja terlepas suara tinggi, Bunda pula menangis sekuat hati, kecewa dengan diri sendiri kerana berasa hati dengan anak kecil sendiri, dan gagal mengawal diri untuk membentuk anak yang diharapkan. Justeru setiap kali, saya berusaha mendidik diri untuk terlebih menjadi apa yang diharapkan sebelum mengharapkan anak menjadi sebegitu dan sebegitu.

Air mata keinsafan

Menjadi Bunda, bukanlah senang.. Dengan tugas terhadap masyarakat bukan sekali dua Bunda terasa anak Bunda terkena tempiasnya. Kurang masa bersama, kurang pehatian dan kurang kasih sayang. Tiada yang faham melainkan dirimu wahai anak yang merasai. Dirimu sudah banyak berkorban kerana berorang tuakan kami pegawai perubatan.  Justeru Bunda sungguh terasa jika tidak mampu mengembirakanmu dengan keterbatasan waktu. Disebabkan itu, tangisanmu sebolehnya tidak mahu Bunda dengari, biarlah tawamu mengubat lelah diri. Mendengar suara lunakmu mengatakan ' Sayangggg Bunda, sayanggg Papa' sudah cukup membuatkan kami lega, kerana kehadiran kami ada juga bekas di hatimu.. Setidaknya kasih sayang kami mengalir padamu. 

0 comments: