BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, September 21, 2017

Kembara Madinah 2017


Setelah sebulan lebih di Mekah, dengan izinNya kami selamat berada di Madinah.
.
Hari ini sudah masuk hari ketiga di Madinah.
.
Kami sampai di Madinah pada 18/9/17 pukul 1.45 pagi. Kami berehat di bilik masing-masing dan di arahkan berkumpul semula pukul 6.30 pagi.
.
Untuk kami tiada sarapan disediakan, seharusnya kami membelinya sendiri. Oleh kerana tidak tahu, Alhamdulillah tergerak hati mengalas perut dengan kurma. Berangan juga ada sarapan disediakan, almaklum hotel ni bukan calang-calang hotel. Namun tiada tapi syukur keterujaan ingin menziarahi masjid mengurangkan rasa lapar.
.
Tak pernah terbayang akan tinggal sedekat ini dengan masjid. Bayangkan hanya 50 meter sahaja kami ke Masjid Nabawi. Dari hotel kami Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Pintu Pagar 15 menjadi perantara. Jadi tiadalah alasan jauh mahu bersolah jemaah. ๐Ÿ˜‰
.
Jangan hairan ya, di sini kami sangat dekat dengan nombor terutama nombor-nombor yang tertera di pagar masjid atau pintu masjid. Almaklum ini penting untuk rujukan supaya tidak sesat.
.
Ziarah Masjid Nabawi
.
Untuk pertama kali ini, kami dibawa mengelilingi hampir keseluruhan masjid untuk ke Raudhah. Sebenarnya untuk ke Raudhah kami perlu jalan lurus sahaja mencari Pintu Pagar 23. Namun kali pertama, kami dibawa pusing-pusing oleh pihak TH. Diarah berkumpul pada pukul 6.30 pagi. Dari pintu 15 kami bergerak ke Raudhah.


Dalam perjalanan, dapatlah kami lihat BabusSalam (Pintu As-Salam) dan selepas melintasinya kelihatan kubah hijau. Di situlah terletaknya Makam Rasulullah. Rasullah turut ditemani dua lagi sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
.
Setelah menyampaikan salam pada baginda dan sahabat, kami meneruskan langkah ke Pintu Masjid 23-25 . Pintu itulah pintu masuk ke Raudhah Syarifah. Satu satunya jalan untuk ke Raudhah. 
.
Masa untuk memasuki Raudhah sangat terhad, ada 3 waktu sahaja menunggu sahaja. Pertama bermula lepas subuh hingga pukul 9 pagi, lepas zuhur dan 10 malam.
.
Sebaik sahaja masuk di kawasan masjid melalui pintu 25 akan wujud beberapa kumpulan untuk menunggu giliran ke Raudhah. Ada kumpulan Arab, kumpulan Melayu dan lain-lain.
.
Kalau dulu dikhabarkan kemungkinan akan berhenti 4 hingga 6 checkpoint. Alhamdulillah untuk kami sekadar 3 checkpoint.
.
Ini perhentian ketiga sebelum kami dapat masuk ke kawasan Raudhah.
.
Alhamdulillah, dapat menjejaki kawasan Raudhah. Tandanya kawasan karpet hijau
.
Hati meronta nak solah di sini.
.
Tup tup Allah izin, ada seorang wanita mirip wanita Arab berbahasa Melayu, 
.
'Adik mari sini solah. Solah ja, nanti saya jaga.' sambil ditarik tangan saya.
.
Sujud pertama, berderai air mata...๐Ÿ˜‚ Syahdunya..
.
Ziarah Sekitar Madinah
.
Alhamdulillah masuk hari kedua di Madinah kami disediakan bas unthk Ziarah sekitar Madinah. Meneroka sedikit demi sedikit sejarah.
.
Alhamdulillah dapat lihat dan singgah beberapa tempat.
.
Kami singgah di;
Masjid Quba
Ladang Kurma (Majed Dates)
Bukit Uhud
.
Dapat juga kami lihat beberapa tempat dari dalam bas seperti Masjid Sajadah, Masjid Ijabah, Ladang Kurma Milik As'aad Bin Jararah, Perkuburan Baqi, Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh. Setiap tempat ada kisahnya. Yuk kita kongsi gambar dan catatan tempat yang dilawati.
.
Masjid Quba'
.
Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah ketika perjalanan hijrahnya dari Mekah menuju Madinah. Dalam pembinaan ini Rasulullah menginap di rumah Kalthum Ibn Hidam.
.
Turunlah ayat 108, Surah Al-Taubah,
'Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.'
.
Dikatakan tapak asal adalah di bawah Kubah Putih yang tertinggi.
Alhamdulillah, bahagian atas masih ada ruang.
.
Kenapa nak solah di sini? Berdasarkan sabda Nabi.
.
'Barangsiapa telah bersuci(berwudhu) di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba' lalu solah di dalamnya dua rakaat maka baginya sama dengan pahala umrah' (Sunan Ibn Majah)
.
Jadi rugilah jika tidak mengambil peluang ini kan?
.
Ladang Kurma
.
Setelah selesai solah di Masjid Quba' kami meneruskan perjalanan ke Majed Dates. Tempat ini merupakan ladang kurma yang dikormesialkan dengan penubuhan supermarket menjual kurma dan produk berkaitan.
.
Khabarnya syarikat ini yang menyediakan bas-bas untuk para jemaah haji melakukan ziarah di Madinah.
.
Moga Allah berkati.
.
Jabal Uhud
.
Jabal Uhud  ini memiliki banyak bukit. Terletak di sebelah utara Madinah. 
.
Nabi pernah bersabda sambil memandang Uhud;
'Sesungguhnya Uhud adalah gunung yang sangat mencintai kita dan kita pun mencintainya.' (Sahih Bukhari)
.
Di sinilah peperangan Uhud berlaku dan terdapat Makam Syuhada'.
.
Bukit kecil yang dinaiki manusia itu namanya Jabal Rumat, terletak di sebelah selatan Makam Syuhada'.
Masjid di sebelahnya bernama Masjid Said Syuhadah
.
Di situlah tempat Rasulullah mengarahkan 50 orang pemanah (Rumat) untuk bersiap sedia dalam Perang Uhud. Akhirnya semua pemanah ini Syahid.

Monday, September 18, 2017

Travelog Haji Sinar 2017/1438H - Siri 3


Akhirnya hari ini tiba. Detik yang pasti akan hadir apabila pertemuan tiba.

Awal pagi mengambil peluang ke Masjidil Haram. Waktu awal pagi terasa hening, hati terasa hiba. Seperti biasa, takbir bergema dan alunan ayat Quran dilantunkan tanda Solah Subuh berlangsung.

Selesai sahaja Subuh kami terus pulang ke hotel. Perut perlu diisi jadi teringin membeli sedikit juadah Sarapan Pagi di kaki lima hotel jiran, Hotel Fajr Al-Badea 3.

Suasana yang meriah. Berpusu-pusu jemaah ke kawasan kaki lima hotel. Ibarat semut menggerumuni gula. Saudara-saudara dari Pattani membuka kedai-kedai kecil.  Pelbagai juadah ada. Nasi Lemak, Nasi Goreng, Nasi Kerabu, Mee Goreng, Nasi Impit dan pelbagai juadah serta kuih muiha. Alhamdulillah tekak hari ni teringin makan Nasi Kerabu dan Nasi Impit Sambal, manakala untuk suami Nasi Goreng dan Nasi Impit Sambal.

Makanan pagi memang tak disediakan, jadi jemaah memang boleh membuat pilihan. Kadangkala selera Arab, kadangkala selera Melayu. Carilah di kiosk dan kedai makan berdekatan.

Sekitar jam 9 pagi, kami diminta mengumpulkan bagasi. Semua bagasi jemaah Malaysia di bawa turun dan diangkut mengunakan lori ke Madinah. Nak sedap hati, kami pun turun dan ingin melihat pengurusan beg hingga beg dibawa naik lori. Sambil 'melepak' di lobi mata tertangkap kelibat Arab iras ketua Maktab 76. Rupanya itulah gerangan orangnya, Sheikh M. Hisham Bin Damanhuri. Apa lagi, kami ajak bergambar. Teruja empunya tuan badan. Ibarat dirai agaknya.

Selesai melihat urusan beg, sempat juga berjumpa dengan kawan ummi, Uncle Hasnan yang bekerja di Mekah dalam urusan pembinaan kawasan tambahan Masjidil haram. Dapat juga bertaaruf serba sedikit dan berkongsi cerita.


Masa kian singkat. Kami tidak berjalan jauh, hanya membeli keperluan untuk perjalanan ke Madinah digerai berdekatan. Mood shopping pun tersangkut. Kami di minta melakukan Tawaf Wada sekitar Zohor sebelum bertolak ke Madinah jam 4 petang. Jadi kena pandai bajet masa. Wajib buat Tawaf Wada kalau tiada keuzuran.



Jadi saya dan suami setelah selesai persiapan, kami bergerak sekitar 11.45 pagi ke Masjidil Haram. Sempat meluang masa bergambar untuk kali terakhir. Kami menunaikan Solah Zohor dahulu baru melakukan Tawaf Wada.


Walaupun sinar mentari meninggi, tegak di atas kepala, bahangnya tidak seperti yang kami sangka. Lantai yang kami pijak terasa sejuk, angin sejuk kadangkala menerpa, mungkin dari penghawa dingin masjid. Alhamdulillah tak sampai 30 minit tawaf selesai. Cuma menguji silau mata, almaklum rabun dan silau itu ada. Alhamdulillah cermin mata ni akan menjadi gelap bila terdedah pada matahari. Redup jugalah dibuatnya. Selama ini saya terfikir bagaimana mereka bertahan untuk melakukan tawaf ketika tengahari. Namun, segalanya meleset. Apapun mungkin dengan izin Allah. Teringat kisah Nabi Ibrahim, mampu berada dalam api. Akal manusia tidak logik, kuasa Allah segalanya mungkin.

Selesai tawaf, perut berbunyi minta diisi. Kami bersegera pulang ke hotel. Selepas Tawaf Wada ada pantang larangnya. Antaranya kena bersegera meninggalkan Mekah, tidak boleh bergambar, tidak boleh membeli-belah hatta membeli makanan burung merpati melainkan keperluan perjalanan dan tidak boleh mencari orang untuk diberi sedekah.

Kami di suruh menunggu di lobi hotel. Disebabkan hotel kami padat, kami menumpang di hotel jiran. Tunggu dan tunggu. Bas kami terlewat tiba sehingga azan Maghrib berkemundang. Jemaah di minta menunaikan solah terlebih dahulu. Saya pun solah di lobi sahaja sambil mengawasi beg.

Bas pun sampai kira-kira pukul 7 malam. Kami diarah untuk memasuki bas mengikut nombor bas yang sudah dimaklumkan.

Alhamdulillah, segalanya lancar. Pukul 8 malam bas berhenti sebentar di Pilgrim checkpoint, di situ kami diberi sekotak hadiah, berisi biskut-biskut, kurma, air mineral dan air kotak.

Perjalanan di teruskan dan bas sekali lagi berhenti. Kali ini di kawasan rehat selama 40 minit untuk solah Isyak dan menjamu selera.



Selesai menunaikan tuntutan badan, kami menaiki semula bas. Alhamdulillah perjalanan selamat. Tertidur juga saya di dalam bas. Sedar sedar kami tiba di destinasi kira-kira pukul 1.45 pagi.

Alhamdulillah kami ditempatkan di Hotel Anwar Al-Madinah Mรถvenpick. Saya dan suami menginap di bilik masing-masing, Alhamdulillah bersebelahan sahaja. 8018 dan 8020 di bahagian Haram Tower. Bilik kami untuk 4 orang, Allah izin kami semua berpasangan.

Alhamdulillah untuk hari ini. Berehat untuk esok pula. Tak sabar menjejak kaki ke Masjid Nabawi. InsyaAllah esok kami akan berziarah ke sana. Pasti seronok mencungkil dan menghayati sejarah Islam di bumi Madinah yang penuh emosi bersama Rasulullah dan para sahabat. 

Sunday, September 17, 2017

Travelog Haji Sinar 2017/1438H-Siri 2




Sinar Islami
Makkah Al Mukarramah
17.09.17

Sunday, September 03, 2017

Travelog Haji Sinar 2017 /1438H Siri 1

Dari Terengganu Ke Jeddah

Mendapat panggilan haji adalah sesuatu yang mengembirakan, namun pada masa yang sama sangat mendebarkan. Setiap detik memerlukan doa dan pengharapan pada Allah. Perjalanan masih rahsia walaupun gambaran kasar itu ada. Selagi tidak menjejakkan kaki, hati masih tertanya-tanya 'Akukah dhuyuffurrahman?'

Cabaran setiap jemaah itu berbeza. Namun yang diinginkan itu sama. Haji mabrur, Saie yang disyukuri, dosa yang diampun, usaha yang dipuji, amalan soleh yang diterima dan perniagaan yang tidak rugi. 

Ameen.

Berlepas ke Jeddah

Pada malam 11.8.17 saya dan suami dihantar oleh keluarga ke Hotel Tabung Haji Kuala Terengganu. Kami terus bersalam dan mengucapkan selamat kerana anak-anak sudah mengantuk dan hampir diulit mimpi. Kami sepakat mengizinkan keluarga pulang setelah melihat kesesakan yang dihadapi di ruang menunggu di hotel tersebut. Ada tempat untuk turunkan jemaah haji dan beg bagasi besar diambil petugas dan dilabel no ikut kumpulan. Beg kami dilekatkan dengan pelekat nombor 1. Kami diminta untuk ingati nombor itu.

Usai jam 1.30 pagi kami diminta lapor diri. Di kaunter ini pula kami diberi tag nama, gelang pengenalan Jemaah Haji Malaysia dan beg sandang.

Jam 3 pagi pula kami diminta checkin di Dewan Baiduri TH Hotel. Kami diwajibkan memakai pakaian ihram. Di sana kami dikehendaki beratur dan melalui beberapa check point.

Check point 1: Memastikan Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji dibawa dan lengkap.

Check point 2 : Ambil beg di tempat kumpulan beg. Beg disusun berdasarkan nombor yang diberikan. Jadi kena ingat nombor yang ditulis di pelekat/sticker beg. 

Check point 3 : Scan bagasi besar.

Check point 4: Scan tag nama dan ambil passport dan boarding pass.

Check point 5 : Timbang beg bagasi besar (Had 20kg sahaja).

Check point 6 : Petugas memberi nombor kerusi di Dewan Baiduri dan nombor tempat duduk dalam bas. Saya C5 dan suami dapat nombor C6.  Nombor yang sama untuk 2 tujuan tersebut. Bersebelahan sahaja Alhamdulillah.

Check point 7 : Scan diri dan hand luggage sebelum memasuki dewan. Pastikan barang yang dibawa mengikut peraturan Malaysia Airline.

Check point 8 : Beristirehat di Dewan Baiduri dan makan pagi. Alhamdulillah ada Nasi Lemak, roti, kuih muih dan air panas. Pukul 4 pagi lagi kami sudah dijamu. Awal kan?๐Ÿ˜€

Usai makan kami diminta bersiap sedia untuk solah Subuh. Sekiranya kita keluar ke tandas, kita akan dikehendaki scan diri dan hand luggage semula. Sebaik sahaja Subuh, sedikit taklimat perjalanan rukun dan wajib haji dan amanat dijalankan.

Sekitar pukul 7 pagi, jemaah bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Mizan mengikut bas yang ditetapkan.

Penerbangan sedikit lewat, dalam pukul 8.30 pagi 12/8/2017 kami selamat berlepas. Alhamdulillah penerbangan ini terus ke Jeddah tanpa perlu singgah di KLIA.

Pesawat MH 8070 membawa kami KT 48 meredah langit biru mencari keampunan dan redha Illahi. Saya duduk di nombor 28A. Alhamdulillah berdua dengan suami, di pintu kecemasan. Serius, debaran makin terasa.

Jeddah kami datang

Alhamdulillah, kami tiba di Jeddah pukul 11.42 pagi waktu Saudi kira-kira 4.42 petang waktu Malaysia. Lebih kurang 8 jam perjalanan kami. Beza masa di antara dua negara ini ialah 5 jam. Alhamdulillah sepanjang penerbangan tiada masalah, kami pun tidak perlu menunaikan sebarang solah fardhu. Di beri makan 2 kali lagi. Nah 3 kali makan dalam masa 12 jam. Sihat la jemaah dibuatnya.

Di Jeddah proses di imigresen Allah izinkan cepat berbanding sangkaan saya berdasarkan pengalaman orang. Selepas passport di semak, kami dikehendaki scan semua jari kedua dua tangan dan gambar on the spot diambil oleh kamera sedia ada. Pastikan passport diberikan semula. Simpan pasport untuk kegunaan seterusnya.

Selesai sahaja di imigresen, kita perlu mengambil beg bagasi besar. Jika sudah ada, ikut jalan yang di tetapkan oleh petugas Tabung Haji untuk ke tempat perkumpulan. Beg bagasi akan diambil oleh petugas sebelum berkumpul. Jangan risau, beg akan dihantar terus ke hotel.



Di tempat berkumpul, kami di suruh melakukan solah jamak Zohor dan Asar tamam.
Setelah semua selesai solah, jemaah akan dipanggil mengikut kumpulan. Saya bas No 5. Ketika menaiki bas, pasport akan kumpulkan oleh pihak Arab yang bertanggungjawab menjaga jemaah haji Asia Tenggara. Bas ke hotel  bergerak kira-kira pukul 2.10 petang Saudi. Kami juga dibekalkan makanan tengahari.

Sepanjang perjalanan ada 2 tempat persinggahan. Persinggahan pertama diberi air zam zam sejuk dan sekotak makanan kering.
Alhamdulillah ketika memasuki border Mekah, jalan sedikit sesak.

Kira-kira 4.45 petang kami sampai di tempat penginapan. Saya dan suami tinggal di Hotel Saif Al-Yamani di bawah jagaan pejabat Saudi dengan gelaran Muassasah Maktab 76.

Kami diberi masa untuk berehat. Sekitar jam 9 malam kami berkumpul pula untuk bergerak ke Masjidil Haram untuk menunaikan Umrah terlebih dahulu kerana kami memilih Haji Tamattu'.

Untuk melaksanakan ibadah itu kami perlu berniat Ihram Umrah di dalam kapal terbang sebelum atau ketika berada di Miqat Qarn Al-Manazil. Alhamdulillah ada beberapa pengumuman oleh kapten sebelum kapal terbang melintas Miqat tadi.

Kami memilih Haji Tamattu'
Sebenarnya ada 3 cara mengerjakan haji iaitu
1. Secara Haji Tamattu'
2. Secara Haji Ifrad (paling afdhal)
3. Secara Haji Qiran

Untuk jemaah haji penerbangan kami KT 48 digalakkan menunaikan haji secara Tamattu'.

Apa itu Haji Tamattu'?

Mengerjakan haji cara ini bermaksud berniat umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan Umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama ia akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji. Maksudnya kami perlu melaksanakan Umrah dahulu kemudian ibadah Haji pula.

Rujukan : Buku Fiqh Ibadat Haji, Umrah & Ziarah oleh Tabung Haji)

Jadi saya dan suami melaksanakan Umrah terlebih dahulu.

Syukur! Alhamdulillah.



Sebak sungguh pertama kali menunaikan tawaf dan berdoa depan Kaabah. Waktu saie pula terbayang-bayang pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim, Siti Sarah dan Nabi Ismail. Sebak rasa hati sambil terbayang Nuha dan Iman. Usai minum air zam zam yang sejuk terasa sungguh kenikmatan dan rahmat Allah setelah menyelesaikan ibadah Umrah.

Alhamdulillah semua atas izin Allah. Debaran dan cabaran menunaikan haji akan bersambung di coretan seterusnya.