BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, September 03, 2017

Travelog Haji Sinar 2017 /1438H Siri 1

Dari Terengganu Ke Jeddah

Mendapat panggilan haji adalah sesuatu yang mengembirakan, namun pada masa yang sama sangat mendebarkan. Setiap detik memerlukan doa dan pengharapan pada Allah. Perjalanan masih rahsia walaupun gambaran kasar itu ada. Selagi tidak menjejakkan kaki, hati masih tertanya-tanya 'Akukah dhuyuffurrahman?'

Cabaran setiap jemaah itu berbeza. Namun yang diinginkan itu sama. Haji mabrur, Saie yang disyukuri, dosa yang diampun, usaha yang dipuji, amalan soleh yang diterima dan perniagaan yang tidak rugi. 

Ameen.

Berlepas ke Jeddah

Pada malam 11.8.17 saya dan suami dihantar oleh keluarga ke Hotel Tabung Haji Kuala Terengganu. Kami terus bersalam dan mengucapkan selamat kerana anak-anak sudah mengantuk dan hampir diulit mimpi. Kami sepakat mengizinkan keluarga pulang setelah melihat kesesakan yang dihadapi di ruang menunggu di hotel tersebut. Ada tempat untuk turunkan jemaah haji dan beg bagasi besar diambil petugas dan dilabel no ikut kumpulan. Beg kami dilekatkan dengan pelekat nombor 1. Kami diminta untuk ingati nombor itu.

Usai jam 1.30 pagi kami diminta lapor diri. Di kaunter ini pula kami diberi tag nama, gelang pengenalan Jemaah Haji Malaysia dan beg sandang.

Jam 3 pagi pula kami diminta checkin di Dewan Baiduri TH Hotel. Kami diwajibkan memakai pakaian ihram. Di sana kami dikehendaki beratur dan melalui beberapa check point.

Check point 1: Memastikan Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji dibawa dan lengkap.

Check point 2 : Ambil beg di tempat kumpulan beg. Beg disusun berdasarkan nombor yang diberikan. Jadi kena ingat nombor yang ditulis di pelekat/sticker beg. 

Check point 3 : Scan bagasi besar.

Check point 4: Scan tag nama dan ambil passport dan boarding pass.

Check point 5 : Timbang beg bagasi besar (Had 20kg sahaja).

Check point 6 : Petugas memberi nombor kerusi di Dewan Baiduri dan nombor tempat duduk dalam bas. Saya C5 dan suami dapat nombor C6.  Nombor yang sama untuk 2 tujuan tersebut. Bersebelahan sahaja Alhamdulillah.

Check point 7 : Scan diri dan hand luggage sebelum memasuki dewan. Pastikan barang yang dibawa mengikut peraturan Malaysia Airline.

Check point 8 : Beristirehat di Dewan Baiduri dan makan pagi. Alhamdulillah ada Nasi Lemak, roti, kuih muih dan air panas. Pukul 4 pagi lagi kami sudah dijamu. Awal kan?😀

Usai makan kami diminta bersiap sedia untuk solah Subuh. Sekiranya kita keluar ke tandas, kita akan dikehendaki scan diri dan hand luggage semula. Sebaik sahaja Subuh, sedikit taklimat perjalanan rukun dan wajib haji dan amanat dijalankan.

Sekitar pukul 7 pagi, jemaah bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Mizan mengikut bas yang ditetapkan.

Penerbangan sedikit lewat, dalam pukul 8.30 pagi 12/8/2017 kami selamat berlepas. Alhamdulillah penerbangan ini terus ke Jeddah tanpa perlu singgah di KLIA.

Pesawat MH 8070 membawa kami KT 48 meredah langit biru mencari keampunan dan redha Illahi. Saya duduk di nombor 28A. Alhamdulillah berdua dengan suami, di pintu kecemasan. Serius, debaran makin terasa.

Jeddah kami datang

Alhamdulillah, kami tiba di Jeddah pukul 11.42 pagi waktu Saudi kira-kira 4.42 petang waktu Malaysia. Lebih kurang 8 jam perjalanan kami. Beza masa di antara dua negara ini ialah 5 jam. Alhamdulillah sepanjang penerbangan tiada masalah, kami pun tidak perlu menunaikan sebarang solah fardhu. Di beri makan 2 kali lagi. Nah 3 kali makan dalam masa 12 jam. Sihat la jemaah dibuatnya.

Di Jeddah proses di imigresen Allah izinkan cepat berbanding sangkaan saya berdasarkan pengalaman orang. Selepas passport di semak, kami dikehendaki scan semua jari kedua dua tangan dan gambar on the spot diambil oleh kamera sedia ada. Pastikan passport diberikan semula. Simpan pasport untuk kegunaan seterusnya.

Selesai sahaja di imigresen, kita perlu mengambil beg bagasi besar. Jika sudah ada, ikut jalan yang di tetapkan oleh petugas Tabung Haji untuk ke tempat perkumpulan. Beg bagasi akan diambil oleh petugas sebelum berkumpul. Jangan risau, beg akan dihantar terus ke hotel.



Di tempat berkumpul, kami di suruh melakukan solah jamak Zohor dan Asar tamam.
Setelah semua selesai solah, jemaah akan dipanggil mengikut kumpulan. Saya bas No 5. Ketika menaiki bas, pasport akan kumpulkan oleh pihak Arab yang bertanggungjawab menjaga jemaah haji Asia Tenggara. Bas ke hotel  bergerak kira-kira pukul 2.10 petang Saudi. Kami juga dibekalkan makanan tengahari.

Sepanjang perjalanan ada 2 tempat persinggahan. Persinggahan pertama diberi air zam zam sejuk dan sekotak makanan kering.
Alhamdulillah ketika memasuki border Mekah, jalan sedikit sesak.

Kira-kira 4.45 petang kami sampai di tempat penginapan. Saya dan suami tinggal di Hotel Saif Al-Yamani di bawah jagaan pejabat Saudi dengan gelaran Muassasah Maktab 76.

Kami diberi masa untuk berehat. Sekitar jam 9 malam kami berkumpul pula untuk bergerak ke Masjidil Haram untuk menunaikan Umrah terlebih dahulu kerana kami memilih Haji Tamattu'.

Untuk melaksanakan ibadah itu kami perlu berniat Ihram Umrah di dalam kapal terbang sebelum atau ketika berada di Miqat Qarn Al-Manazil. Alhamdulillah ada beberapa pengumuman oleh kapten sebelum kapal terbang melintas Miqat tadi.

Kami memilih Haji Tamattu'
Sebenarnya ada 3 cara mengerjakan haji iaitu
1. Secara Haji Tamattu'
2. Secara Haji Ifrad (paling afdhal)
3. Secara Haji Qiran

Untuk jemaah haji penerbangan kami KT 48 digalakkan menunaikan haji secara Tamattu'.

Apa itu Haji Tamattu'?

Mengerjakan haji cara ini bermaksud berniat umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan Umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama ia akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji. Maksudnya kami perlu melaksanakan Umrah dahulu kemudian ibadah Haji pula.

Rujukan : Buku Fiqh Ibadat Haji, Umrah & Ziarah oleh Tabung Haji)

Jadi saya dan suami melaksanakan Umrah terlebih dahulu.

Syukur! Alhamdulillah.



Sebak sungguh pertama kali menunaikan tawaf dan berdoa depan Kaabah. Waktu saie pula terbayang-bayang pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim, Siti Sarah dan Nabi Ismail. Sebak rasa hati sambil terbayang Nuha dan Iman. Usai minum air zam zam yang sejuk terasa sungguh kenikmatan dan rahmat Allah setelah menyelesaikan ibadah Umrah.

Alhamdulillah semua atas izin Allah. Debaran dan cabaran menunaikan haji akan bersambung di coretan seterusnya.

0 comments: