Akhirnya hari ini tiba. Detik yang pasti akan hadir apabila pertemuan tiba.
Awal pagi mengambil peluang ke Masjidil Haram. Waktu awal pagi terasa hening, hati terasa hiba. Seperti biasa, takbir bergema dan alunan ayat Quran dilantunkan tanda Solah Subuh berlangsung.
Selesai sahaja Subuh kami terus pulang ke hotel. Perut perlu diisi jadi teringin membeli sedikit juadah Sarapan Pagi di kaki lima hotel jiran, Hotel Fajr Al-Badea 3.
Suasana yang meriah. Berpusu-pusu jemaah ke kawasan kaki lima hotel. Ibarat semut menggerumuni gula. Saudara-saudara dari Pattani membuka kedai-kedai kecil. Pelbagai juadah ada. Nasi Lemak, Nasi Goreng, Nasi Kerabu, Mee Goreng, Nasi Impit dan pelbagai juadah serta kuih muiha. Alhamdulillah tekak hari ni teringin makan Nasi Kerabu dan Nasi Impit Sambal, manakala untuk suami Nasi Goreng dan Nasi Impit Sambal.
Makanan pagi memang tak disediakan, jadi jemaah memang boleh membuat pilihan. Kadangkala selera Arab, kadangkala selera Melayu. Carilah di kiosk dan kedai makan berdekatan.
Sekitar jam 9 pagi, kami diminta mengumpulkan bagasi. Semua bagasi jemaah Malaysia di bawa turun dan diangkut mengunakan lori ke Madinah. Nak sedap hati, kami pun turun dan ingin melihat pengurusan beg hingga beg dibawa naik lori. Sambil 'melepak' di lobi mata tertangkap kelibat Arab iras ketua Maktab 76. Rupanya itulah gerangan orangnya, Sheikh M. Hisham Bin Damanhuri. Apa lagi, kami ajak bergambar. Teruja empunya tuan badan. Ibarat dirai agaknya.
Masa kian singkat. Kami tidak berjalan jauh, hanya membeli keperluan untuk perjalanan ke Madinah digerai berdekatan. Mood shopping pun tersangkut. Kami di minta melakukan Tawaf Wada sekitar Zohor sebelum bertolak ke Madinah jam 4 petang. Jadi kena pandai bajet masa. Wajib buat Tawaf Wada kalau tiada keuzuran.
Jadi saya dan suami setelah selesai persiapan, kami bergerak sekitar 11.45 pagi ke Masjidil Haram. Sempat meluang masa bergambar untuk kali terakhir. Kami menunaikan Solah Zohor dahulu baru melakukan Tawaf Wada.
Walaupun sinar mentari meninggi, tegak di atas kepala, bahangnya tidak seperti yang kami sangka. Lantai yang kami pijak terasa sejuk, angin sejuk kadangkala menerpa, mungkin dari penghawa dingin masjid. Alhamdulillah tak sampai 30 minit tawaf selesai. Cuma menguji silau mata, almaklum rabun dan silau itu ada. Alhamdulillah cermin mata ni akan menjadi gelap bila terdedah pada matahari. Redup jugalah dibuatnya. Selama ini saya terfikir bagaimana mereka bertahan untuk melakukan tawaf ketika tengahari. Namun, segalanya meleset. Apapun mungkin dengan izin Allah. Teringat kisah Nabi Ibrahim, mampu berada dalam api. Akal manusia tidak logik, kuasa Allah segalanya mungkin.
Selesai tawaf, perut berbunyi minta diisi. Kami bersegera pulang ke hotel. Selepas Tawaf Wada ada pantang larangnya. Antaranya kena bersegera meninggalkan Mekah, tidak boleh bergambar, tidak boleh membeli-belah hatta membeli makanan burung merpati melainkan keperluan perjalanan dan tidak boleh mencari orang untuk diberi sedekah.
Kami di suruh menunggu di lobi hotel. Disebabkan hotel kami padat, kami menumpang di hotel jiran. Tunggu dan tunggu. Bas kami terlewat tiba sehingga azan Maghrib berkemundang. Jemaah di minta menunaikan solah terlebih dahulu. Saya pun solah di lobi sahaja sambil mengawasi beg.
Bas pun sampai kira-kira pukul 7 malam. Kami diarah untuk memasuki bas mengikut nombor bas yang sudah dimaklumkan.
Alhamdulillah, segalanya lancar. Pukul 8 malam bas berhenti sebentar di Pilgrim checkpoint, di situ kami diberi sekotak hadiah, berisi biskut-biskut, kurma, air mineral dan air kotak.
Selesai menunaikan tuntutan badan, kami menaiki semula bas. Alhamdulillah perjalanan selamat. Tertidur juga saya di dalam bas. Sedar sedar kami tiba di destinasi kira-kira pukul 1.45 pagi.
Alhamdulillah kami ditempatkan di Hotel Anwar Al-Madinah Mövenpick. Saya dan suami menginap di bilik masing-masing, Alhamdulillah bersebelahan sahaja. 8018 dan 8020 di bahagian Haram Tower. Bilik kami untuk 4 orang, Allah izin kami semua berpasangan.
Alhamdulillah untuk hari ini. Berehat untuk esok pula. Tak sabar menjejak kaki ke Masjid Nabawi. InsyaAllah esok kami akan berziarah ke sana. Pasti seronok mencungkil dan menghayati sejarah Islam di bumi Madinah yang penuh emosi bersama Rasulullah dan para sahabat.
0 comments:
Post a Comment