Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuri lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran
Menebal rindu di dada andai lirik nasyid ini dihayati dengan sedalam-dalamnya. Bahkan kerinduan dan kecintaan yang sebenarnya tidak mampu diungkapkan hatta dengan kata-kata sekalipun. Justeru kita sebagai umat baginda seharusnya tidak memandang enteng akan sirah baginda bahkan inilah yang kita harus titik beratkan berbanding isu-isu semasa lain. Jika diimbaskan kembali, kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sebenarnya amat luar biasa, malah kehadiran baginda mengubah dunia yang fana ini dari gelap pekatnya jahiliyah kepada cahaya keimanan.
Dikatakan tak kenal maka tak cinta. Justeru teramatlah rugi seandainya kita tidak mengetahui rentetan perjalanan hidup baginda serta sunnahnya. Namun kita sebagai umat Islam mesti menjauhi sikap golongan kuffar yang mana mereka mengenali Nabi Muhammad s.a.w namun perkhabaran itu bukan menambahkan keimanan mereka terhadap Allah bahkan sebaliknya berlaku iaitu dengan menyemarakkan lagi api dendam mereka yang tidak berasas. Moga hidayah milik mereka serta moga Allah pelihara iman kita juga..
Marilah kita merenungi dan persoal diri. Apa erti kasih apabila kita hanya mengenal budi pekerti baginda tetapi tidak membenihkan rasa taat ? Apa maksud sayang apabila hanya memahami erti pengorbanan dan jasa baginda tetapi tidak mahu ikuti jejak langkahnya? Apa makna cinta apabila kita hanya mengetahui peribadi dan langkah perjuangannya tetapi tidak mahu menuruti sunnahnya? Tidak bersalahkah kita apabila hanya berbangga menyebut tentang kehebatan Rasulullah tetapi tidak berusaha untuk mencontohinya. Firman Allah
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(Al-Ahzab:21)
Maka sudah tiada lagi istilah ragu-ragu buat diri setiap Muslim. Malah lebih memalangkan lagi apabila kita hilang sensitiviti apabila ada golongan manusia yang memperlekehkan sunnah dan keperibadian baginda. Jelas seperti yang telah dilakukan oleh sebilangan kecil warganegara Denmark tentang karikatur yang menghina Junjungan Besar kita Muhammad s.aw. Justeru konsep cintakan sunnah dan cintakan Junjungan Besar haruslah diperjelaskan dan dipergilapkan lagi.Namun cinta pada Rasulullah tidak akan bererti tanpa mengotakan apa yang dikatakan tentang baginda
“Tidak patut bagi seorang mukmin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan suatu perkara untuk mereka, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya sungguh dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata. (QS. Al Ahzab: 36)
Tuntasnya menghidupkan sunnah Rasulullah baik dalam ibadah, akhlak, dan dalam semua sendi kehidupan kita adalah sangat-sangat digalakkan, sehigga kita menjadi orang asing di tengah jutaan agama dan bangsa lain masa kini. Sesungguhnya hanya Islam deen yang diredhai Allah. Rasulullah pernah bersabda:
“Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali pula dalam keadaan asing, maka berbahagialah orang-orang dikatakan asing.” (HR. Muslim dari hadits Abu Hurairah dan Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma)
Teringat pula..Pernah satu ketika, sedang Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda Rasulullah s.a.w. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah. Bila ditanyakan oleh Saidina Abu Bakar, baginda mengatakan bahawa baginda terlalu merindui umatnya di akhir zaman yang disebut–sebut sebagai ikhwannya. Para sahabat merasa iri hati, hinggakan Saidina Abu Bakar bertanya, “Bukankah kami ini ikhwanmu?Tidak, Abu Bakar, kamu semua adalah sahabat-sahabatku,kata Rasulullah. Ikhwanku itu,menurut Rasulullah s.a.w, adalah mereka yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman dan mencintaiku. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka.
KITALAH IKHWAN ITU
ps: apart from dis posting has been publish as an intro 4 kempen amal sunnah Rasulullah
0 comments:
Post a Comment