BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 28, 2009

Kira-Kira

“Susahlah, perpuluhan banyak sangat, nak cari purata la, median la, mode la”

“Apa yang susah kalkulator ada, tekan je. Nak cepat lagi, guna la excel nanti. Dunia dah maju, teknologi pun dah canggih. Guna jangan tak guna.”

“Aaaa! Hehe tapi leceh la. Kena salin betul-betul. Kalau salah satu data, salah semua. Parah tu!”

“Manusia tu lemah sentiasa ada salahnya. Biasala tu. Nama pun belajar. Practice make perfect!”



Macam-macam gaya apabila pensyarah meminta kami menganalisis data nutrisi yang diperolehi. Beginilah senario anak-anak muda mengalisis data untuk Community Medicine. Subjek statistik menjadi pilihan. Rumus dan jalan kira yang sudah lama kami tinggalkan sedikit meriuhkan suasana. Masing-masing masih terkial-kial dengan nombor dan membuat jalan kira. Namun perjuangan itu tanpa henti. Kira dan terus kira.

Menganilis data-data yang diperolehi sebenarnya mengingatkan diri akan perhitungan amalan dengan Allah. Setiap data ada kepentingan. Bahkan begitulah juga amalan di muka bumi ini. Baik satu dosa mahupun satu pahala bakal mempengaruhi timbangan kita kelak. Itulah dua data yang sangat bernilai dan penentu akhir Syurga atau Neraka dan ditambah pula rahmat Allah yang tidak ternilai harganya. Tanpa rahmat Allah, amalan kebaikan yang banyak juga takkan ada nilainya. Justeru, sejauh mana kita benar-benar peduli ralat dan kesalahan dalam timbangan kita? Kita bising dan riuh kalau kawan kita salah mengisi data, tapi ada kita peduli usaha kawan kita berusaha sehabis baik dan paling besar, adakah kita benar-benar peduli kiraan dosa dan pahala kita yang terhimpun. Kita lupa bukan?

Perkiraan dan perhitungan Allah itulah yang paling persis dan jitu

Kalau kita benar-benar risau akan perkiraan kita menjadi negatif sudah pasti kita bersegera dalam menambah amal biar nilainya positif. Sebaik-baik Penghitung hanya Allah juga. Sebesar zarah kebaikan pun sudah Allah kira untuk menambah saham akhirat. Kasihnya Allah pada kita. Allah itu Maha Adil, kejahatan kita juga turut dinilai tapi masih dibuka peluang untuk pintu taubat. Begitulah pesalah sentiasa diberi peluang kedua. Namun kalau terlambat menghargai peluang yang Allah berikan sangat sia-sialah jawapnya.



Sesuai barangkali kita ungkit isu amal dan isu perubahan diri. Sudah 12 hari Muharram berlalu dan dalam beberapa hari pula tahun baru akan bertandang pula. Dua tahun baru iaitu Hijri dan Masihi dapat kita rasai. Justeru kepekaan kita juga harus berganda. Perhitungan amal juga harus digiatkan. Janganlah kita berkira-kira dalam membuat amal kebaikan, apatah lagi janganlah terlalu berkira-kira ketika kawan kita buat kesalahan. Kawan kita insan yang lemah seperti mana kita juga. Salinglah lengkap melengkapi, itukan lebih baik. Lebih cantik perhitungan Allah nanti.


“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat leherya”(Qaf : 16)

Wednesday, December 23, 2009

Ayuh, mengorak lebih jauh!


Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Illahi, kerana tidak putus-putus dihadirkan peringatan untuk membangunkan diri. Dalam menghadapi realiti kehidupan, pelbagai ujian yang akan bertamu. Adakala senang, adakala susah. Sukar sekali untuk kita melupakan waktu getir dalam kehidupan. Sudah sunnatullah begitulah aturan kehidupan. Sudah seminggu Muharram bertamu. Sudah seminggu kita tinggalkan. Justeru, sudahkah digerakkan azam-azam yang kita taburkan di hari pertama Muharram menjelang? Ini peringatan untuk diri dan kalian. Tak lama lagi Tahun Baru Masihi pula akan menjelang. Sungguh ini satu peringatan!




Apa yang kita tunggu & tangguh lagi? Ayuh bergerak !!!


Saat ini, capailah sehelai kertas mahupun diari peribadi. Tulislah azammu. Biar dihitam putihkan. Senang untuk kita menilai sejauh mana pelaksanaannya. Barulah kita dapat mengukur kejayaan.

Setiap azam dan cita-cita perlu ada cara mengerakkan dan menguruskannya (management orang putih kata). Langkah-langkah yang perlu ada antaranya ialah, merancang (planning), melaksanakan( implementation) dan akhirnya penilaian( evaluation), Tanpa ketiga-tiga langkah ini, sia-sia kita berazam. Ingat, hidup ini perlu ada penyusunan dan perancang! Strategi itu penting untuk membawa diri kepada matlamat yang diimpikan. Azam itu biarlah 'relevant' dan mampu untuk dicapai, selagi mana ada jalan, di situ ada peluang.

Merancang kehidupan untuk menjadi insan yang dikasihi Allah dan disayangi seluruh makhluk di langit dan di bumi sudah pasti menuntut pengorbanan dan perubahan. Dan dari situlah, bermulanya sebuah perjuangan. Pertembungan nafsu dan Iman.

"Dan diantara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha penyantun pada hamba-hamba-Nya" (Al-Baqarah:207)




Mengapa nafsu dan Iman? Cuba kita lihat dan perhati. Saat kita ingin belajar, ingin benar menjadi pelajar cemerlang, kita dilanda kemalasan yang bersangatan. Itu bisikan nafsu bukan, mahu bersenang-lenang. Saat kita ingin beribadah, ingin menunaikan solah, ingin membaca Al-Quran, saat itulah kita lebih enak memilih tidur. Liat sungguh untuk bangun dari mimpi indah. Saat diajak ke usrah, saat itulah hati berat untuk pergi kerana masih banyak filem dan drama yang perlu ditontoni. Itulah pertembungan nafsu dan iman. Hakikatnya inilah ragam dan pertembungan yang berlaku. Akhirnya penyesalan yang tiada makna melanda diri akibat perbuatan dan pilihan sendiri.

Merindui diri yang dahulu

Ya daku merindui diri yang dahulu kerana di situ ada keyakinan yang daku sendiri sudah lupa bagaimana coraknya. Yang daku tahu, Sinar hari ini tidak sama dengan Sinar 10 tahun yang lepas. Keyakinan itu yang memandu diri untuk mencipta kejayaan demi kejayaan di masa lampau. Namun hari ini daku rasakan seperti kehilangan sebahagian daripada episod silam hidupku, keyakinan itu kekadang sama-samar diulit debu-debu Kota Kaherah ini. Tahun ini berazam untuk mencari semula keyakinan dan kepercayaan diri. Daku tahu daku mampu mengorak lebih jauh. Bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada, cuma ingin buat yang lebih baik dan yang terbaik. Apa yang perlu, daku perlu percaya, usaha dan InsyaAllah akan berjaya. Daku sendiri jelas sumber kekuatan utama adalah Allah. Namun, semakin kita mencuba mendekati Allah, menjelaskan matlamat, semakin hebat ujian yang Allah beri. Sungguh Sinar ingin kuat seperti dulu, ingin mencari fokus dan istiqamah. Ya Allah bantulah hamba-Mu yang lemah ini.

Hadis Qudsi ada menyebut Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku...." (Sahih Bukhari)

Menghargai diri yang sekarang

Alhamdulillah, diri ini banyak mengalami perubahan dari pelbagai sudut. Ilmu kian bertambah. Pengalaman kian banyak. Idea kian bercambah. Syukur diberi kesejahteraan untuk meningkatkan diri hingga hari ini. Allah yang banyak mendidik hati. Dihadirkan sisi gelap sebagai peringatan untuk mendidik diri, mengajar diri untuk tabah, mengajar diri untuk redha dengan ketentuan-Nya. Biarpun sudah banyak titisan air mata menemani sepanjang perjuangan, namun air mata itulah yang menenangkan kembali hati, mengubat luka-luka dengan rawatan mujarab iaitu merasai kekerdilan diri. Moga Allah benar-benar memimpin diri ini. Lemah sungguh tanpa bantuan-Nya. Dihadirkan sisi bahagia pula sebagai peringatan untuk mendidik diri, mengajar diri bersyukur, mengajar diri untuk menghargai peluang yang diberi. Hakikatnya Allah juga sebaik-baik perancang. Dialah yang mendidik kita selama mana kita bergelar hamba. Allah tahu apa yang terbaik. Maka Sinar dan kalian perlu percaya. Ayuh bina keyakinan dan percaya diri.

"Allah adalah Pelindung orang-orang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) menuju cahaya (iman)..." (Al-Baqarah: 257)

Mengharapkan satu perubahan yang lebih baik pada masa hadapan

Dulu, kini dan akan datang semua adalah pelengkap ‘puzzle’ kehidupan. Diriku dulu, kini dan akan datang adalah sangat berharga untuk Hari Penentuan. Moga amal-amal yang terhimpun tidak sia-sia. Rahmat Allah juga diperlukan untuk menjadi Ahli Syurga. Doa kalian Sinar harapkan. Sama-sama mendoakan.

Senyum itu ubat...

(One of our 'cutest patient' in out patient clinic. Miss you Habibah. She remind me of Salwa)


Salam Perubahan...dan salam perjuangan buat semua. Ayuh mengorak langkah, kita jana perubahan. Moga Allah sayang kita semua. (^_^)

KLIK :: Percaya dan Berjaya

Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah 1431

Salam Hijrah..Salam Mahabbah



Tick Tock...Tick Tock
Begitulah kedengaran detikan melalui jam kecil di biliku.
Mengingatkan masa sedang dan akan terus berlalu.
Sekejap sungguh rasanya.
Terasa baru semalam melangkah ke tahun baru.
Namun hari ini pula adalah hari terakhir 1430H menemaniku,
1431 pula akan bertamu.
Sekejap bukan? Sama-sama muhasabah waktu.
Ke mana usia dan masa kita habiskan?
Di jalan kebenaran atau terbuang begitu sahaja?
Mari hijrahkan diri mengejar Cinta Sempurna.
Walaupun susah, walaupun payah,
Ada kemanisan dihujung sana.
Jangan pernah sesal dan putus asa.
Moga mujahadah kita, Allah terima.
Justeru di kesempatan ini, Sinar ingin mengucapkan
Salam Maal Hijrah buat keluarga dan sahabat semua.
Maaf andai ada terkasar bahasa, terlepas kata,
terkurang masa bersama, kerana diri ini insan biasa
Moga Allah kuatkan keimanan kita semua dan
Moga Allah tetapkan kita di atas jalan-Nya
Hiduplah dalam kesabaran dan penuh kehambaan
“Hidup ini bagaikan satu pelayaran yang sukar. Maka bersabarlah wahai saudaraku kerana sabar itu indah, sabar adalah bunga-bungaan daripada keimanan yg benar. Harumannya ialah kepasrahan iaitu memandang segala keputusan Allah disamping meyakini hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Kelopak-kelopaknya diwarnai ketabahan, ketenangan, keteguhan jiwa sebagai lambang kepuasan dengan qadar Allah SWT.”
Mulakan tahun baru dengan Alhamdulillah dan Istighfar selalu.
Selamat memasang azam baru dan perkemaskan azam lalu.
Realisasikan hidup dalam jiwa hamba,
Meneroka kehebatan Dia Yang Maha Esa.
Salam Mujahadah semua (^_^)

Wednesday, December 16, 2009

Rasa hati

Alhamdulillah, bersyukur masih diberikan peluang untuk merasai pelbagai nikmat saat ini. Tanpa rahmat Allah, siapalah kita agaknya. Hidup dalam teman-teman yang banyak mengingatkan dan hidup dalam lingkungan doa mereka yang tersayang itulah antara penguat untuk menghadapi cabaran hari demi hari. Cuma kalau dibiar bersendirian ada sahaja memori, kenangan dan cerita yang menerjah kotak pemikiran ini. Maka lahirlah bermacam-macam perasaan. Bukan personal disorder ya. Cuma menjiwai apa yang sedang berlaku secara langsung atau tidak langsung.

Hidup tidak akan lari dari berperasaan dan berprasangka. Namun di sini letaknya kebijaksaan kita mengendalikan emosi dan akal dalam menerajui tindak tanduk seharian. Kita perlu BIJAK dan BERHATI-HATI. Apatah lagi insan bergelar wanita. Cukup bijak bermain emosi, hatta bukan emosinya sahaja, mampu juga mempengaruhi emosi siapa sahaja di sekeliling mereka.

Perjalanan hidup seorang muslimah pasti sahaja berliku. Adakala kebahagian hadir, senyum pun terukir. Adakala khabar duka bertamu, air mata membasahi. Adakala persoalan diaju, dahi berkerut seribu.Adakala musibah menimpa, mula tertunduk kaku. Itulah sunnah kehidupan, mendidik jiwa yang ingin dididik agar terdidik dengan didikan Rabbul Izzati. Masakan kita tidak diuji?



Hati itu bekas yang mengumpulkan pelbagai rasa dan perasaan; positif dan negatif tapi ada pemisahan. Kita boleh gembira, suka, sedih, sebak, geram, kecewa, marah dan jutaan lagi perasaan. NAmun kawallah rasa-rasa ini agar sentiasa dalam landasan yang diredhai Allah dan jauh sekali dari kemurkaan-Nya.

"Dan sebutlah nama Rabb- mu dalam hatimu dengan merendah diri dan rasa takut dan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang. Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai "(Al-A'raf:205)

Saat ini marilah kita sama-sama menyucikan hati dengan zikrullah

Bertasbih dengan mengucapkan Subhanallah

Bertahmid dengan mengucapkan Alhamdulillah

Bertahlil dengan mengucapkan La ilaha ilallah

Bertakbir dengan mengucapkan Allahuakbar

Maka di sini kita akan salurkan segala perasaan kepada Allah. Kesenangan dan kebahagian kita syukuri dengan memuji Zat Yang Maha Memberi. Allah sewajarnya yang kita lambakkan segala pujian. Bahkan masalah dan bebanan yang dirasakan besar akan terasa kecil jika kita memperingatkan diri bahawasanya Allah itu Maha Besar. Maka kita akan bina kekuatan untuk terus mengharungi kehidupan.

Saat ini juga, macam-macam dirasa. Nama pun manusia.

Saat ini daku rindu

Adakala ketika belajar, sempat sahaja fikiran ini merawang pulang ke Malaysia. Aduh, parah juga apabila sarat dengan rindu, kalaulah tambang sekadar 80 sen sudah lama agaknya kaki ini melangkah pergi. Namun tidak semudah itu, masih tergalas amanah di sini, ada kewajipan yang harus dilunaskan. Hatta pernah diluahkan hajat mahu pulang. Apa kata ummi & lek, macam biasa, "Utamakan yang utama. Tunggu la bulan 7 nanti." Buat adikku Husna moga cepat sembuh sepenuhnya.



Saat ini daku gembira

Menerima jemputan demi jemputan perkahwinan, gembira dibuatnya. Mana tidaknya teman sepermainan kita akhirnya melangkah ke alam baru. Seorang demi seorang membina mahlligai baru. Jauh di sudut hati gembira bercampur sedikit kecewa kerana tidak dapat turut serta. Salam dari kejauhan dan semoga baitul dakwah yang dibina menjadi saham untuk kita sama-sama ke syurga.

Kalau berbicara fasal kuliah, banyak juga ceritanya. Turun padang bersama masyarakat setempat di bumi firaun ini, membuatkan hati gembira mendapat kepercayaan mereka. 'Community medicine' membuka langkah pertama dalam menghadapi realiti sebenar. Biarpun masih banyak yang belum diterokai, memadai untuk membina keyakinan diri. Moga Allah mudahkan walaupun masih banyak kekurangan. Telan sahaja yang pahit, agar yang manis itu pemangkin fasa seterusnya (^_^)

Saat ini daku sedih

Saban hari ada sahaja berita kematian. Inilah peringatan. Allah lebih menyayangi mereka. Tidak kira usia.Warga tua berjasa, muda remaja bertenaga, suami isteri tercinta, bahkan anak kecil penyejuk mata dijemput pulang ke negeri abadi. Suci hati anak-anak kecil ini. Baru sahaja melihat gambar mereka, minggu ini sudah dijemput pulang. Ya Allah cucuri rahmah ke atas ruh mereka dan tabahkan insan yang menyayangi mereka. Inilah peringatan buat kita yang masih hidup. Kita pula hanya menunggu masa. Tidak dapat disangkal, giliran daku pula bakal menyusul. Bila? Itu rahsia... Bersiap sedialah... Mimpi semalam mengejutkan daku dari kelalaian dunia. Ya Rabb pandu daku meniti jalan-Mu...

Itulah perasaan yang mampu dicoretkan. Banyak lagi yang terpendam. Kalian pula bagaimana? Sama jugakan, macam-macam yang dirasa. Hakikatnya daku, kamu dan kalian sama sahaja. Biarlah sesetengah itu urusan kita dengan Tuhan Yang Menciptakan. Cuba apa yang ingin dikongsi, dalam apa-apapun kita tidak keseorangan, Allah ada untuk mengadu cerita, teman-teman ada untuk meluah rasa.

Bercampur pula perasaan sendiri. Tenanglah wahai hati, Tenanglah....

Friday, December 11, 2009

Adikku sayang

"Ummi, kenapa Along tak balik? Semua dah ada,tapi Along je tak de."

"Salwa,Along tengah belajar.Jauh tau, mana la Along boleh balik."

"Boleh la ummi."

"Along baru je balik. Lagipun naik kapal terbang mahal."

"Mahal? Murah je la Ummi, mana ada mahal."

"Murah? Mana Salwa tahu?

"Salwa tahu... 80 sen je... Murahkan tu."

Tergelak Ummi dibuatnya. Seronok kalau melayan Salwa. Ada sahaja modalnya. Bila mendengar Ummi bercerita, ketawaku turut memecah kesunyian bilik pada petang itu. Bercampur sebak juga bila mana ada orang mengenang diri kita yang jauh di perantauan. Begitulah cerita ummi di corong telefon. Sewaktu musim cuti sekolah bermula, adik-adikku semua sudah pulang. Dua puteri Ummi dan Lek yang belajar jauh ke Utara Malaysia pun sudah mengisi kekosongan rumah. Mana tidaknya Salwa bertanya. Sememangnya keanggotaan rumah tidak pernah lengkap dan genap. Rindu...rindu...

Erm... 80 sen? Macam mana dia boleh dapat idea.. Sampai sekarang bila mengenangkan cerita Ummi, daku tersenyum sendiri.

Itulah Salwa. Adik bongsuku. Petah berkata satu hal. Kalau berbicara memang yakin dan mahu menang. Kalau dapat bercakap dengan Salwa, hati ini akan segera meronta mahu pulang. Kalau dia mula bercakap, kebiasaannya ayat ini akan diucapkan

"Salwa rindu Along. Along balik tau." Sebak dada dibuatnya.

Semalam ummi 'call'. Kata Ummi sempena hari lahir Salwa, macam-macam gelagatnya. Kelakar juga dengar cerita ummi. Allah izin ahli keluarga belah Ummi datang ke Kuala Lumpur. Apa lagi suka la Si Salwa dapat bertemu dengan sepupu-sepupunya. Langsung minta izin ummi dan lek untuk tidur di rumah Chek Ngah di Setia Alam kerana mereka bermalam di sana. Pandai sungguh. Dah 7 tahun anak kecil ini. Tapi biasa la manja dan selalu ingin perhatian. Bukan mudah mendidik puteri-puteri yang ramai. Segalanya ingin kehendak dipenuhi. Di sini perlu toleransi.

Sebenarnya tengah berusaha untuk melakukan sesuatu sempena Besday Si kecil ini. Tapi buat masa ni Along dahulukan dengan ucapan Selamat Hari Lahir. Moga adik Along tidak hanya comel pada pandangan manusia tapi pada Pandangan Allah itu yang utama. Moga Allah pelihara selalu dan menjadi anak solehah dan muslimah harapan ummah. Sebuah nasyid untukmu wahai adikku.

Adikku Sayang
Album : Rumahku Syurgaku
Munsyid : Tazakka
http://liriknasyid.com

Adikku yang tersayang
Harapan ibu bapa di masa depan
Bila telah dewasa nanti
Jadilah engkau penyejuk hati

Senantiasalah mematuhi
Selalulah engkau berbakti
Pada kedua orang tua
Selama masih dalam kebenaran

Ibu bapa mengasihi kita
Sejak dalam kandungan
Sampai kini hingga ajal menjelang
Jangan pernah ada durhaka
Pada keduanya, selamanya

Doa orang tua dikabulkan oleh Tuhan
Redha orang tua jua Redha Yang Kuasa
Redha yang Kuasa

Ya Allah ampuni mereka
Kasihanilah mereka
Seperti mereka sayang kami
Saat kecil dahulu...

Pagi tadi ketika dalam perjalanan ke 'Malaysian Hall, Sinar mendapat sms daripada Lek, kata Lek, Salwa tak mahu hadiah pensel warna tapi mahu cococrunch sahaja. Lek siap balut lagi !!! Pelik...pelik adikku nan seorang ini...Ketawa lagi daku dalam teksi.


Seperti yang dijanjikan, pada malam harinya operasi berjaya dilaksanakan. Alhamdulillah misi berjaya... Just a simple gift from me. Nanti mesti ada orang kata, "Mana aci, Along masak pastu makan sendiri." Nak buat macam mana. Benua memisahkan kita. Ops (^_^) sekadar alasan... Jom layan gambar ye. Maaf ya, ini sahaja yang termampu dalam kelapangan masa yang ada.

Dah bakar nak kena hias, selepas hias nak buat perkataan pula...Jom!!
~Sayang Salwa~
Salwa !!!


Lawa ke? (^_~)
Walauapapun, Salwa tetap di hati Along!!!

Ok. Santai sahaja kali ini. Sudah dikemaskini(^_^)

Wednesday, December 09, 2009

Ini dunia kita?

Apa khabar dunia anda hari ini? Anda selesa? Sudah tentu selesakan. Mana tidaknya segala keperluan sudah ada, pastinya kita bahagia. Melihat dari sudut keselesaan diri. Alhamdulillah, rata-rata pembaca blog bukanlah sesusah teman-teman kita yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Untungkan kita, Syukur Alhamdulillah tapi beringat.. Ujian itu ada dalam kesenangan juga. Kita juga sedang diuji. Biarpun sudah 4 hari menjadi tetamu di Community Medicine Department, hati ini meronta-ronta untuk berkongsi rasa. Jadual yang padat bukan alasan utama. Dalam keadaan apapun Sinar sentiasa memerlukan perhatian dari Allah dan meneruskan kelangsungan amal di sini. Sinar, Kamu dan juga Kalian akan sentiasa memerlukan Dia dan peringatan yang 'membasahkan' jiwa.

Erm...melihat dunia hari ini dari peningkatan usia bumi, Sedih dibuatnya....

Bukit kita ditarah, udara kita dicemari, sungai kita dikotori. Di manakah kawasan yang damai buat kita? Kota yang kita banggakan ibarat hutan batu, manusia terkenal dengan kalimah sibuk, sibuk dan sibuk. Masing-masing dengan hal sendiri. Kampung pula, permai namun sedikit demi sedikit pengaruh kebandaran dan kebaratan mula menular. Sudah pandai anak-anak kampung merempit di lorong sunyi, berkepit di air terjun damai. Manusia sudah berubah, berubah dan berubah. Kesopanan dan keramahan kian hilang dalam budaya hidup hari ini. Yang menghiasi hidup manusia hari ini, keangkuhan, kebendaan dan kelalaian.

Benar bukan? Ini realiti yang terjadi. Era globalisasai memakan nilai hidup dan jatidiri manusia tanpa kita sedari. Manusia tertipu dalam menilai dunia. Ya, di satu sudut, inilah yang berlaku. Negara yang membangun tapi hampir majoriti negara terbantut dalam aspek modul insannya. Cuba kita lihat kiri dan kanan, atas dan bawah dunia hari ni. Bagaimana? Lihatlah dari prospektif iman. Saat ini, hati ini meronta-ronta ingin bersama generasi awal bersama Rasulullah, ingin melihat kekuatan mereka. Kekuatan Akidah, Kekuatan Fikrah, Kekuatan Ukhwah, Kekuatan Akhlak. Tidak puas sekadar membaca dan mendengar cerita ummat terdahulu. Ya Allah jangan Engkau padam rasa hati ini. Sungguh aku rindu pada kekasih-Mu dan kedamaian ketika mengadu pada-Mu. Hati sedih melihat dunia hari ini. Manusia lupa Allah memerhati mereka.




Sekarang mari kita lihat teman-teman kita di Palestine, satu sudut dunia yang tidak putus-putus berendam air mata dan bermandi darah. Rumah mereka hancur dibedil bom tanpa mata, status pengganas sebenarnya layak untuk perampas tanah. Habis bangunan menjadi serpihan dan bongkah batuan. Kalau kita ada sungai, ada air tapi dicemari mereka pula bekalan air disekat dan tiada ketika mahu digunakan.

Mendengar dan membaca pengalaman para sukarelawan Palestine, membangkit rasa lemah dalam diri harus dirawat. Kita lihat penderitaan ummat Palestine itu satu kesusahan, tapi itulah medan mereka berjihad dan menjadi kekasih Allah, mereka sendiri menyatakan bertuah dipilih menjadi insan di bumi Palestine. Hebat bukan sudut pandang mereka. Husnu zhon dan tetap berjuang tanpa henti. Tapi itu bukan syarat untuk kita memangku tangan dan berpeluk tubuh. Mereka berjuang demi kita dan demi Islam seluruhnya. Tidak malukah kita membiarkan mereka berjuang bersendirian. Luka mereka adalah luka kita.




Mahu tahu apa kekuatan mereka? Pertama mereka mendekati Al-Quran dan kedua mereka memantapkan institusi keluarga.

"Besar perjuangan Hamas di sana. Benar Hamas telah memulakannya. Tetapi mereka hanya satu juzuk daripada Ummah yang besar. Mereka memerlukan bantuan luar. Hamas memulakan tetapi Ummah di luar akan menyempurnakan. Begitulah indahnya keadilan Allah yang memberikan peluang kepada semua untuk sama-sama mendapatkan saham akhirat"

"Rupa-rupanya kekuatan itu adalah natijah daripada proses dakwah & tarbiyah oleh generasi awal sejak lebih 40 tahun lagi bukan setahun dua. Bermula daripada dakwah kepada anak-anak dan keluarga. Dakwah supaya mereka mencintai Al-Quran, supaya mereka membaca, menghafal dan menghayati Al-Quran. Al Quran menjadi sumber kehidupan, Al Quran menjadi amalan hidup. Inilah proses yg telah dilakukan oleh Rasulullah saw. Proses melahirkan Jil Quran Farid (Generasi Al-Quran yang unik). Proses dakwah/ ajakan kepada Allah melalui wahyu Allah. Bukan hanya sekadar kata-kata manusia, atau ceramah pembakar dan menyentuh jiwa. Tetapi mereka mulai dengan seruan dan ajakan "untuk mencintai Al Quran". Mereka kenalkan Allah melalui Al-Quran. Mereka kenalkan manusia melalui Al Quran. Mereka kenalkan kehidupan melalui Al-Quran. Mereka selesaikan segala permasalahan hidup melalui Al Quran. Dari anak-anak sehingga orang tua berlumba-lumba mendekati Al Quran."

Jiwa anak-anak muda dicetak oleh Al-Quran. Pemikiran mereka disusun oleh Al-Quran, Amal mereka menjurus pada perintah Al-Quran. Maka terhasilnya barisan pejuang yang tidak gerun syahid demi Islam. Ini tidak dapat tidak, hasil pembentukan dari madhrasah Al-Quran dan hasil didikan keluarga yang benar-benar memahami Islam. Indah bukan hasilnya?

Ayah menjadi Mithali,
Ibu menjadi Mithali,
Anak-anak juga Mithali..

Rosak ayah rosak keluarga,
Rosak ibu binasa keluarga,
Rosak anak-anak hancur ummah.


Subhanallah, satu-satunya kalimah yang terucap. Kemas dan kagum. Kelu lidah melihat kehebatan saudara di Palestine. Mereka ibarat singa dalam perjuangan. Melihat kekuatan yang mereka ada sedikit sebanyak mengubat rindu pada generasi awal, masih ada mereka yang benar-benar teguh di jalan INI. Daku mahu sekuat mereka dalam mendepani cabaran dan ujian dunia.

Entah la kenapa. Sedih di hati masih berbaki. Melihat realiti Islam dipermainkan oleh pembawa-pembawa agama apatah lagi penolak agama. Hatta ummat Islam kian jauh dengan Al-Quran. Jauh dari memahami apa yang ada di dalamnya. Hatta kadangkala, kita sendiri kurang kedepankan sikap dalam memaparkan Islam sebenar. Benarlah kata YusuF IsLam ketika ditemuramah mengenai keislaman beliau. Beliau sendiri tertarik pada Islam bukanlah dengan melihat muslim-muslim yang ada tapi bila Islam yang syumul itu menyentuh hati-NYa. Ya Allah berdosa rasanya apabila bergelar muslim tapi kita tidak mempersembahkan contoh teladan yang baik. Sinar ingin mengajak diri dan teman-teman, perhatikan sirah, perhatikan sejarah, perhatikan sikap ulama. Jujurlah pada kata-kata dan perbuatan. Tidak takut kah kita dengan azab Allah? Bila mana Al-Quran dan suruhannya kita langgar? Ya Allah ampunkan kami.




Dunia menuntut perubahan... Akhirat tempat perkumpulan. Ya Allah, sinarilah kami hidayah-Mu dan kumpulkan hati-hati kami di Jannah-Mu.

Friday, December 04, 2009

Rumah Kita

Kalau sebut fasal rumah macam-macam ada. Rumah banglo, rumah teres, rumah pangsa, pondok dan lain-lain lagi. Pendek kata di abad ini segalanya ada. Isu rumah juga tidak kurang hebatnya. Menjadi keperluan asasi untuk berumah kerana disitu tempat kita berlindung. Namun apabila memerhatikan rumah hingga tidak cukup tangan menanganinya.

"Mama, bila rumah kita nak dicat?" tanya si anak

"Baba, atap umah kita bocor." kata angah pada ayahnya

"Tak abis abis paip ni bocor, sinki pula sumbat." keluhan si isteri di senja hari

"Aku bila besar nanti nak rumah banglo." Lagak si anak memikirkan masa hadapan.
Gambar hiasan

Hari ini mari kita kenangkan rumah kita. Yang berada di perantauan pastinya sangat rindu bukan. Jom pulang ke negeri dan daerah masing-masing. Bagaimana kondisinya? Cantik atau ditelan usia?

Baiklah...Mari kita lihat rumah kita yang ini pula. Bagaimana?


Di mana seharusnya letaknya islam, iman dan ihsan? Apa alasannya? Kukuhkah binaannya?

Apa itu islam?

Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerahkan kepada Allah swt. Dari segi istilah syarak pula ialah agama yang dibina di atas lima asas iaitu
  1. Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Tuhan (ilah) melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah
  2. Mendirikan solat dalam waktunya dengan rukun dan syarat yang sempurna serta menjaga sunat dan adabnya
  3. Mengeluarkan zakat
  4. Berpuasa di bulan Ramadhan
  5. Menunaikan haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan dan memiliki keperluan untuk bermusafir seperti bekalan, kenderaan dan belanja nafkah ahli keluarganya.


Namun Islam tidak terbatas dalam lima asas sebentar tadi. Islam adalah deenul hayah iaitu gaya hidup mahupun peraturan kehidupan. Islam bukan suatu Deen yang wujud secara kebetulan tetapi adalah satu natijah (hasil) daripada satu tarbiyah (pendidikan). Hasil dari perancangan, perencanaan, pembentukan yang disusun dengan rapi dan berhati-hati melalui ransangan-ransangan dan bimbingan yang diransang dalam rangka melahirkan manusia yang Islam dalam pemikirannya, aqidahnya, akhlaknya dan jiwanya dalam segala perbuatan dan tindakannya.

Apa itu Iman?

Iman dari segi bahasa ialah at-tasdiq (membenarkan) dan dari segi syarak ialah: Tasdiq yang jazim (keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap kewujudan Allah Taala yang Maha Pencipta dan bahawasanya Allah itu Esa dan tiada sekutu. Membenarkan kewujudan para malaikat, kitab-kitab samawiah, para rasul, hari kiamat dan membenarkan semua perkara yang berlaku dimuka bumi ini adalah dengan takdir (ketentuan) Allah Taala berdasarkan hikmah yang tersembunyi. Inilah rukun-rukun iman yang sudah kita sedia maklum

Iman ialah teman sejati manusia. Di kala kita kesunyian dan kesedihan imanlah penghibur. Maka keteguhan iman sebagai asas atau fondisi sangat besar peranannya. Masakan sebuah rumah akan stabil andai tapaknya goyah. Justeru kestabilan diperingkat asas, dasar mahupun tapak itu perlu agar binaan yang terbina atasnya kukuh hingga keakhirnya.

Apa itu Ihsan?

Ihsan ialah ikhlas dan tekun. Inilah hasil apabila kita beribadah seolah-olah kamu dapat melihat Allah sekiranya tidak mampu seolah-olah Allah Taala melihat kita samada kecil ataupun besar perbuatan tersebut.

Dr Abdullah Azzam pernah berkata:

"Sesungguhnya meninggalkan sikap saling membantu dalam mengembalikan semula agama Allah ke alam wujud adalah jenayah terbesar yang dilakukan oleh golongan yang berdiam diri dan yang malas membina semula agama ini."

Justeru dalam menjadi seorang hamba yang taat pada Pencipta-Nya, dalam membantu agama-Nya, tidak dapat tidak kita harus sedar dimana tanggungjawab kita. Ingin bermalasan? Malas itu meyamai anda membiarkan diri diselimuti dosa. Ingin terus diselimuti maksiat dan amal yang tidak berfaedah? Tidak takut Allah kah kita?

Dewasa ini, manusia berlumba-lumba dalam membina rumah yang cantik strukturnya namun, iman, islam dan ihsan tidak dihiraukan pembinaannya dalam diri. Setiap satunya masih goyah. Marilah kita perkemaskan rumah kita. Tegakkan dalam diri dan akhirnya tersegam indahlah setiap satunya dan rumah kita secara amnya adalah serupa bahkan tertegaklah masyarakat Muslim dan barulah terbentuknya daulah.

Tuesday, December 01, 2009

Bunga Oh Bunga...Tautan Hati


Bila bercerita mengenai sahabat atau teman, banyak suka dan duka yang dikenangkan semula. Permusafiran beberapa hari keluar Kota Kaherah banyak mendidik diri dalam segenap hal. Apa itu pengorbanan, apa itu sabar, apa itu kasih sayang, apa itu ukhwah dan apa itu jiddiyah. Semua berpadu dalam benak fikiran dan Allah mendidik secara langsung ataupun tidak langsung. Moga redha Allah bersama setiap derap kaki kumelangkah. Pagi ini sahaja sebenarnya ada kejutan buat diri. Dalam kekalutan mengemas barang, bergelut dengan masa agar tidak terlepas keretapi untuk berangkat ke Tanta, sempat pula adik-adik ini membuat kejutan. Angin sejuk Iskandariah sungguh mendamaikan. Terasa ingin terus berada disini melarikan diri dari kesibukan kota Kaherah. Pintu rumah yang Sinar tumpang di ketuk. Kedengaran pintu rumah dibuka.

“Kak Sha, ade surprise ni!”

“Apa yang suprisenya, akak tengah bersiap ni. Milah dah sampaikan, tu akak pun tau. Takde suprise la camtu. Hehe” Ada ada je kanak-kanak ini

“Mai la sini.”

“Kejap la…tak sabar sabar la antum ni”

“ Surprise !”

“Wah, bunga! Cantiknya!” Terharu dan terpana sebentar.


Teruja sebenarnya mendapat bunga. Inilah kali pertama mendapat Bunga Ros (Bunga tulip tak de ye ? Nak yang warna ungu). Selama ini kalau teringin Sinar beli sendiri dan beri pada mereka yang Sinar rasa boleh mengembirakan hati mereka. Kali ni sejambak Sinar dapat. Gembira tak terkata. Sungguh rasa dihargai. Moga Allah berkati pemberi bunga ini. (Ahli beit lepas baca ni, ingat tau Januari tak lama lagi)

Ada apa ye dengan bunga. Kalau dulu teruja Sinar kupaskan tentang Tulip. Biarpun Bunga Ros diminati namun Tulip tetap juga dihati. Jom kita lihat apa ‘significant’ bunga ros pula. Tadabburlah setiap ciptaan-Nya.

Keindahannya mengingatkan diri akan hakikat bersahabatan kerana Allah itu sememangnya indah dan mengisi jiwa untuk mendekati Allah. Hakikatnya Allah akan menaungi dua hati yang bertaut kerana Allah Taala. Keharuman bunga pula mengingatkan sinar akan hakikat harumnya bau syurga milik mereka yang berkasih sayang kerana Allah. Layakkah diri untuk melangkah ke sana. Moga rahmat dan kasih sayangnya milik kita jua.

Keindahan bunga ros janganlah disalah guna. Hari ini rata-rata ‘flowers’ ini hanya glamour dalam perhubungan lain jantina. Kenapa tidak digunakan untuk mengeratkan ukhwah Islamiyah sesama kita. Itukan lebih indah dan Allah tidak murka. Ayuh senangkan hati sahabatmu.


Sebenarnya tidak kiralah bunga,kek,coklat, baju, jam, beg, buku dan sebagainya apabila kita berikan hadiah pada insan yang kita kasihi pastinya akan membuatkan hatinya senang dan bahagia sekali. Kita akan gembira apabila mendapat hadiah dan perhatian. Maka kita seharusnya melakukan benda yang sama. Erti hidupkan pada memberi. Sedikit sahaja usaha yang perlu kita lakukan tapi kesan daripadanya berpanjangan. Menjaga ukhwah itu memerlukan pengorbanan dan penghargaan. Adakala nasihat diperlukan, adakala pertolongan kita diperlukan, adakala penghargaan diperlukan. Sebagai teman, jangan lokek menghulurkan bantuan. Kita manusia saling memerlukan. Adakala dia susah dan adakala kita pula.

“Dia yang mempersatukan hati mereka(orang-orang beriman). Walaupun kamu membelanjakan (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhna Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al-Anfal : 63)

Perjalanan dari Kaherah ke Iskandariah dan kemudiannya ke Tanta sebenarnya. Membangkit naluri keinsafan dan membenihkan ukhwah di kalangan sahabat handai. Ketika masalah membelenggu diri, permasalahan banyak yang tidak mampu diungkai sendiri, sahabatlah tempat kita berkongsi rasa, Allah pula tempat kita mengadu cerita. Allah jugalah pembuka dan pemudah cara. Luahkanlah andai ada yang terbuku didada. Moga Allah jernihkan segala.

Baru tiba di Tanta

Berjalan di Tanta..Terjumpa kedai ini..Tersenyum lebar (^_~)
Coklat yang sedap di kedai Chocola !!!

Setelah selamat sampai di Tanta, petangnya pula memanjangkan kaki ke Apple. Makan-makan, sembang-sembang perkembangan dan perancangan masing-masing. Maklumlah ke Tanta membawa seribu cerita dan hasrat juga. Selama ini tidak sempat ingin menjelajah Tanta. Hanya sekadar menjadi tetamu di rumah teman seperjuangan langsung tidak keluar berjalan. Moga Allah meredhai ukhtie ana ini (dah la exam ophthalmologynya tak lama lagi). Dapat menghirup udara kampung satu kepuasan sebelum pulang lusanya.

Alhamdulillah, seinfiniti penghargaan untuk keluarga yang dirindui, sahibah-sahibah yang dikasihi, teman-teman yang disayangi, rakan-rakan yang mendoakan diri ini. Syukran semua. Ambik coklat tu seorang satu ye =)
Sinar~islami
Shober, Tanta