BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, June 29, 2010

Walid D~Hearty 2

29 June akhirnya bertandang kembali. Alhamdulillah, Alhamdulillah masih dipanjangkan umur untuk bernafas hingga ke hari ini. Hari ini merupakan hari yang istimewa buat Sinar, Ummi dan adik-adik. Hari ini merupakan Hari Lahir Walid Sinar. Tanpanya tidak lengkaplah keanggotaan keluarga kami.


Nak bercerita memang tak cukup satu entri dan tak cukup hanya dengan coretan ini. Terlalu berharga pengalaman bersama Walid atau mesranya kami anak-anak memanggil beliau Lek.

Lek oh Lek

Panggilan Lek sahaja sudah cukup unik untuk Sinar. Ramai juga yang masih pelik dengan panggilan tersebut. Bagi Sinar, ini satu kebiasaan kerana dalam keluarga besar iaitu kami yang berketurunan Syed dan Sharifah selalu menggunakan Walid untuk ayah, Ummi untuk emak dan Ammi untuk pakcik sebelah ayah.

Waktu di sekolah dahulu, kawan-kawan terasa pelik bila mendengar Sinar bercerita pasal keluarga. Walaupun Walid adalah bahasa arab dan Sinar bersekolah di sekolah berasaskan Bahasa Arab, mereka masih pelik terhadap penggunaan kalimah ini. Hinggakan pernah timbul satu cerita lucu di sekolah ketika sedang menelefon walid di asrama. Sudah pastinya ketika itu tiada telefon bimbit hanya menggunakan pondok telefon yang menjadi rebutan ramai.

"Lek, lek. Nanti balik kita gi jalan ye." Lepas tu bercampur gelak tawa. Mana la orang tak salah anggapkan? (^_^) Haru sungguh!

Habis je bercakap dengan telefon, terus adik-adik yang sedang menunggu 'turn' pandang pelik dan mujur ada yang bertanya.

"Akak telefon siapa tu?"
" Ayah akak." sambil tersenyum sebab sudah mengagak mesti mereka salah paham
"Oh, ingatkan...."
"Ingat akak telefon ikhwah ke, nama khalid? Akak panggil ayah akak Walid. Short form Lek."
"Ooo. patutlah. Maaf akak, salah sangka tadi." Sambil tersipu malu

Tersenyum sendiri bila teringat cerita-cerita di sekolah dahulu. Dah lali rasanya. Tapi kena juga la terangkan. Menjadi makhluk berbaju biru sudah pasti punya amanah dan perlu menjadi khudwah. Maka jika 'badan pencegah jenayah sekolah' melakukan sesuatu perkara yang menyalahi undang-undang sekolah, sudah pasti di pandang serong. Apatah lagi kalau bergayut dengan telefon kan. InsyaAllah bersih dari rekod itu walaupun Sinar juga punya kelemahan tersendiri. (^_^)

Dialah lelaki pertama

Lek jugalah lelaki pertama yang hadir dalam hidup ini. Yang kedua ialah Solehin, adikku yang sudah pun beristeri. Yang ketiga? Tunggu dan lihat sahaja. Kalau ada, adalah dia. Maka, insan yang bernama lelaki merupakan subjek dan entiti yang kurang Sinar fahami. Watak, penampilan dan perasaan mereka sudah pasti berbeza dengan wanita. Namun Lek banyak membimbing dan mendidik perihal golongan mereka ini. Banyak nasihat dan peringatan yang Lek berikan. Tidak pernah jemu.

Sebelum mengakhiri entri ini Sinar ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir khas buat Lek tersayang. Moga hari-hari yang lalu menjadi muhasabah dan pemangkin untuk masa hadapan. Moga makin bertambah usia makin bertambah juga bekalan ke negeri abadi. Terima kasih di atas segala jasa dan pengorbanan tanpa henti pada kami sekeluarga. Jazakallahu kheir juga atas setiap nasihat dan sokongan yang diberikan. Moga Allah membalasi setiap keringatmu. (^_^)

Ingin berkongsi sms yang Lek beri setelah ucapan Hari Lahir kulayangkan...

"Wahai anakku, sesungguhnya dirikanlah solat, buatlah kebaikan, cegahlah kemungkaran, dan bersabarlah atas apa yang menimpamu. Sesungguhnya itu ketetapan daripada Allah. Jangan pernah angkuh, sombong dan bangga diri. Bersederhanalah"

Besar pesanan itu. Jazakallahu kheir Lek. (^_^)

Monday, June 28, 2010

Semakin dan semakin


Semakin hari semakin berharap

Alhamdulillah, semalam berlalu sudah peperiksaan bertulis. Pertarungan yang cukup sengit Sinar rasakan. Setiap soalan punya bisa tersendiri. Unexpected tu banyak sangat. Benarlah kata walid. Life as a doctor, mostly UNEXPECTED. It is a must. So apa nak hairan kan. Hehe, sebenarnya tak larat juga berendam dengan air mata dan tak larat juga mendengar komen kawan-kawan " You dah kurus la". Bukan ke Sinar memang kurus. Ops!!! Come on Sinar. Perjuangan harus diteruskan walau apa pun berlaku. Self control! By the way, Jazakumullahu kheiran kathira pada semua yang sentiasa memberi kata-kata semangat, samada secara langsung mahupun tidak, melalui sms dan juga panggilan. Terharu sebenarnya. Moga Allah berkati kalian.


Tutup kisah peperiksaan bertulis dan kita buka pula kisah peperiksaan lisan dan amali yang akan bermula 2 hari lagi. Tak dapat nak bayang juga macam mana keadaan nanti. Cuma akan terus berusaha dan berusaha hingga ke lubang cacing (^_^) Doakan ya. Cacing pun takut tengok Sinar kot. Ke terbalik?

Semakin dihitung hari semakin berharap agar pelangi muncul. Doakan Sinar lulus semuanya. Berharap menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat. Hanya Allah yang mampu menyempurnakan harapan saya. Doa dan terus doa. Ya Allah berikan yang terbaik untuk imanku.

Semakin hari semakin rindu

Kira-kiranya seminggu sahaja lagi peperiksaan akhir pula akan tamat. Sementara menunggu peperiksaan lisan dan amali, Sungguhlah Allah menguji hati ini. Membuak-buak dah kerinduan di hati. Terbayang-bayang wajah walid, umi dan adik-adik. Tergiang-ngiang suara Wan dan Tokki yang suka melayan Sinar.


Ceria bersama mereka...

Tak sabarnya...Doakan semuanya selamat dan berjalan lancar. Malaysia, wait for me!

Sunday, June 20, 2010

Hanya kita dan Dia

Situasi satu:

Kertas soalan peperiksaan sedang diedarkan. Dewan sunyi bertemankan sepi. Masing-masing gementar. Jauh di satu sudut, kelihatan Sarah menadah tangan berdoa. Debaran di hati Sarah hanya Allah yang tahu. Sarah tidak putus berzikir.

Melihat kertas soalan yang berada di tangannya, dia menarik nafas lega. Pena dicapai dan Sarah terus menulis jawapan ibarat mencurah ilmu yang ada di setiap helaian kertas. Sedang asyik menulis, mata ligat membaca soalan seterusnya.
Mulutnya membaca perlahan, "Discuss withdrawal manifestations of opiate dependence."

"Allah, aku ingat benda ni. Cuma turutan dalam buku tidak kemas dalam ingatan. Ya Rabb kembalikan ingatanku." Bisik hati kecilnya sambil jari jemarinya memusingkan pen.

Sarah berhenti sebentar. Zikir dan fikir. Mindanya ligat mencari maklumat. Allah dengar rintihan hatinya. Dengan rahmat Allah justeru tangannya ligat kembali menulis. Alhamdulillah bisik hati kecilnya.

Situasi 2

Zul seorang pelajar yang rajin dan konsisten dalam mengulangi pelajarannya. Setiap hari dia akan menelaah pelajaran. Setiap latihan dan soalan 'past year' sebolehnya akan dijawap. Tiba hari peperiksaan dirinya tidak gemuruh seperti pelajar lain. Dengan penuh yakin. Zul melangkah ke dewan peperiksaan.

Saat dia menerima kertas soalan. Dibelek-belek setiap helaian. Hatinya gusar. Kebanyakkan soalan adalah mirip soalan-soalan tahun sebelumnya. Namun susah untuk dirinya mencurahkan apa yang dia tekuni selama ini.
...

Inilah antara realiti musim peperiksaan. Hakikatnya peperiksaan, 'imtihan', 'examination' adalah dialog di antara seorang hamba dengan Pemilik diri dan segala ilmu. Sejauh mana pun kita berusaha, Allah jua yang memberi ilham dan mengekalkan ingatan terhadap apa yang kita belajar dan usahakan. Ketika inilah, hubungan kita dengan Allah memainkan peranan.

Kadangkala kita tersilap percaturan kerana meyakini dengan habisnya kita mengulang 2-3 kali pembacaan sudah memantapkan ilmu di dada. Saat peperiksaan segala-galanya boleh bertukar wajah. Ada segelintir kawan Sinar tidak sempat pun mengulang kaji subjek hingga ke kulit belakang tapi keputusannya jauh lebih baik. (^_^) Sungguh Allah yang banyak membantu.

Sinar sendiri sebenarnya terlalu banyak berhutang dengan Allah. Malu rasanya bila berhadapan dengan-Nya. Tapi Dia tidak pernah jemu mendengar rintihan kita. Bahkan memang menyeru agar hamba-Nya berpaut pada-Nya.

"Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dan dina."

(Surah Al-Ghafir : 60)


Menyahut seruan inilah, Sinar dan kalian perlu terus berdoa. Cuma kadangkala, tidak semua yang kita hajat kita akan miliki. Itu realiti.

Rasulullah saw bersabda:

“Tidak ada seorang muslim yang berdoa melainkan akan dikabulkan, ada kalanya disegerakan di dunia, ada kalanya disimpankan untuknya di akhirat. Dan ada kalanya digunakan untuk menghapuskan dosa-dosanya sesuai dengan kadar doa yang ia ucapkan selama ia tidak berdoa untuk dosa atau memutuskan tali persaudaraan”.

Cantikkan penyusunan Allah. Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Jangan lekas putus asa berdoa. Harapan masih ada. Bila dan bagaimana, itu urusan Allah. Sememangnya hidup ini adalah urusan kita dan Allah. Hanya kita dan Allah. Bila mana kita menjaga hak-hak Allah, InsyaAllah Allah akan menjaga kita.

Ya Allahu Ya rabbi, Ya Allahu Rabbi...Bantulah diri ini. Bantulah kami.

"Ya Allah! Bukalah pintu hati kami sebagaimana orang bijaksana dan kurniakanlah kepada kami kefahaman para Nabi dan pemeliharaan para Rasul dan ilham para malaikat yang hampir dengan-Mu. Ya Allah! Jauhilah kami dari kebingungan, muliakan kami dengan cahaya ilmu dan pengertian, bukalah kepada kami ma'rifat-Mu dan permudahkanlah bagi kami pintu-pintu kurnia-Mu. Ya Allah! Bukakanlah ke atas kami hikmah-Mu dan limpahkanlah ke atas kami khazanah-Mu. Ya Allah sesungguhnya aku serahkan apa yang aku baca, faham dan hafal kepada-Mu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha Berkuasa di atas segala sesuatu."

Ucapan khas hari ini: Selamat Hari Bapa kepada Walid yang tersayang dan tidak lupa juga kepada Tokki, Ami-ami, pakcik-pakcik, Abu Ahmad, Abu 'Ammar, Abu Umar, Abu Salman dan semua ayah yang kukenal.

Suka lihat lek senyum (^_^)

Hati terusik dengan balasan sms daripada lek,

"Slm. Slmt Hari Bapa. Mga jasamu diberkati Allah. Syg Lek"

"Tq. Hanya satu yang lek risau iaitu mcm mana nak bawa anak lek, umi dapat bersama dalam syurga."

Jauh kutermenung. Bukan senang mahu hidup dalam jiwa hamba apatah lagi memimpin keluarga. Moga Allah berkatimu dan permudahkan jalanmu.

Thursday, June 10, 2010

Kita Milik-Nya

Di saat usia sudah menjangkau 20-an. Satu mindset sudah Sinar ubah dan mula tanamkan agar tidak melatah dengan dugaan. Dulu ketika masih kecil, kita sentiasa menantikan kelahiran. Sentiasa tidak sabar untuk menerima orang baru dalam keluarga. Memandangkan Sinar anak sulung, kedatangan adik dalam keluarga merupakan satu anugerah Allah yang tak terkira nilainya. Hadirnya mereka menambah seri dalam keluarga. Walaupun pelbagai karenah tetapi setiap satunya ada keunikan yang Allah berikan. Sinar amat menyayangi mereka. Moga Allah pelihara iman mereka.


Jauhkah lagi perjalanan?

Sekarang di usia 20-an, berita gembira seperti perkahwinan sentiasa hadir namun berita kematian juga sering menjengah. Sudah pasti berita kematian lebih meruntun jiwa yang mendengarnya. Dulu, ketika menerima berita kematian hati sangat payah untuk turut sama terusik. Namun sekarang cepat sungguh terkesan, bahkan mata pun lekas berkaca. Jadi di usia begini, Sinar bahkan anda juga perlu bersedia menerima sebarang berita. Mungkin keluarga kita, mungkin kenalan kita yang kembali ke sisi-Nya. Hakikatnya kita milik dia, esok lusa kita pula yang bakal di jemput ke alam sana.

Menjadi hamba yang paling redha.

Pasang surut, suka duka sebuah kehidupan merupakan fitrah yang harus kita telan dan benar benar cerna intipatinya. Sesungguhnya Allah sedang menguji hamba-Nya untuk mengetahui siapa yang paling baik di sisi-Nya. Tidak dapat tidak kita mesti redha dengan segala ketentuan. Setiap takdir yang Allah ukir pasti yang terindah untuk membangunkan iman hamba-Nya. Moga Allah berkati jiwa-jiwa kita.

Kematian adalah peringatan.

Sesungguhnya isu konvoi baru-baru ini juga telah membuktikan bahawa kesyahidan peserta konvoi telah membuka mata dunia. Encik Muhammad Nizam, salah seorang peserta dari LL4G Malaysia, menyatakan bahawa misi ini tidak pernah gagal, hakikatnya kesyahidan peserta adalah bayaran untuk kesedaran dunia. Allah...Allah...tinggi sungguh bayarannya. Moga Allah tempatkan mereka di Jannah Firdausi.

Itulah pengajaran untuk kita yang masih diberi peluang untuk menghirup udara. Bangkit membuat perubahan. Mengubah diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Sungguh tinggi bayaran untuk sebuah peringatan.

Sedar atau tidak, hari ini juga sudah genap setahun pemergian arwah 'Ammar dan sudah seminggu Ukhtie Jannah meninggalkan dunia fana ini. Perginya mereka sudah pasti meninggalkan kesan buat kita yang mengenali. Moga menjadi peringatan untuk kita terus memandu kehidupan dengan acuan Allah. Moga Allah mencucuri rahmat dan kasih sayang pada mereka yang telah pergi. Perginya mereka bukan saja saja, tapi besar hikmahnya untuk kita. Moga kita semua terus thabat dan terus redha dengan segala ketentuan-Nya. Moga Allah kuatkan keluarga Ummu Ammar dan keluarga Ukhtie Huda dan Husna di atas kepulangan mereka yang tersayang. Sesungguhnya Allah sayang kalian.

Mereka masih dan akan terus hidup di hati kita. Moga kita semua terus melangkah mengharungi dunia dengan tabah. Sesungguhnya setiap jiwa adalah miliknya. Mari persiapkan diri dengan sebaik-baik bekal sebelum dijemput pulang selama-lamanya. Sinar juga mengharapkan doa daripada kalian. Moga diberkati setiap langkah ini. Kerdil diri ini tanpa Allah di sisi.

Monday, June 07, 2010

Jangan Bertangguh (2) !!!

Salam rindu buat semua. Rindu sungguh Sinar pada blog ini. Alhamdulillah, kerisauan yang dirasakan beberapa hari ini terungkai sudah. Bila keutamaan diutamakan jiwa tenang kembali. Tahukah kalian apa yang paling utama dalam hidup ini? Allah yang kita yakini itulah yang paling utama. Setiap sesuatu jika dihubungkan dengan Allah, akan ada rawatan dan kelegaan buat hati. Hati akan puas apabila Allah dijadikan sandaran dan pencari kekuatan. Sesungguhnya Allah tidak pernah lupa mendidik kita. Mungkin coraknya sahaja yang berbeza. Walauapapun terjadi, hidup perlu dihiasi dengan amal dan kesungguhan.



Teruskan melangkah...

Sedar tidak sedar hanya tinggal lima hari untuk Sinar persiapkan diri untuk peperiksaan akhir. Sekejap sungguh masa yang Allah pinjamkan. Persiapan masih lompong. Justeru tiada istilah bertangguh untuk saat ini. Apatah lagi esok masih misteri. Persiapkan diri sebelum kita diuji. Tidak sanggup menyesal di kemudian hari.

“Tangguhkan sesuatu perkara yang patut dilakukan hari ini kepada hari esok sekiranya anda sanggup untuk meninggalkan dunia ini dengan membiarkan ia tidak diselesaikan.”
~Pablo Picasso
~

Anda sanggup? Sinar tak sanggup =(

Setiap kali masih diberi peluang merasai hari esoknya. Bangun melihat dunia. Satu tusukan menepati dada. Persoalan ini akan Sinar lontarkan sekiranya, karat-karat jahiliah ini masih berbaki.

"Wahai diri, mengapa masih malas dan bertangguh? Inikah sikap muslim, mukmin, amilin?"

Kadangkala provokasi pada diri sendiri sangat berbaloi manakala pujian yang bertalu hanya mematikan hati. Setidaknya kita mengingatkan diri bahawa kita ini lemah tanpa Dia.

Kenapalah manusia suka benar bertangguh? Ini persoalan untuk diri Sinar fikir-fikirkan. Bahkan peringatan demi peringatan tidak putus Allah berikan. Hakikatnya semua orang tahu, bahawa bertangguh adalah teman kegagalan. Kitalah orang yang sombong sekiranya masih meyakini esok masih ada untuk kita. Setiap hari Allah menjemput hamba-Nya pulang. Kita pula bakal menyusul. Dalam bentuk apakah kita akan pulang menemui-Nya.

Ayuh, kita hidupkan hari-hari dengan kesungguhan luar biasa. Kita masih manusia, sentiasa melakukan kesilapan, maka taubat jangan kita lupa.

"Kerja kerana terpaksa, terseksa. Kerja untuk menerima, gembira. Kerja untuk memberi (bakti), bahagia. Anda pekerja kategori mana? "
~Abu Saif~

Doakan Sinar...