BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, February 17, 2011

Tuah di Bumi Mesir : Gambar


Kali ini biar gambar bercerita. Inilah cuti musim sejuk saya. (^_^)
Rindu Kamu Wahai Mesir!

Alhamdulillah selamat tiba

Kereta kebal di mana-mana

Menjamu selera sebaik sahaja tiba di rumah Sinar.
Alhamdulillah sempat tiba sebelum perintah berkurung bermula.

Matawang Mesir
Inilah sekolah Along!

Antara bangunan yang wujud di dalamnya

Mencari sumber bunyi yang mengegarkan langit

Helikopter :RTM, CNN, Al-Jazeera?
Sempat lagi melawak (^_^)

Jet pejuang. Zasss : Gerun

Esoknya makan lagi sebelum dapat arahan untuk berpindah.

Mari berpindah! Terima kasih pada ikhwah yang membantu kami.

Orang lain tengah demonstrasi ada pula yang ambil kesempatan merompak. Aih la!

Wahai rakyat Malaysia, mari berpindah! (!_!)

Tak sampai hati juga. Saya sayang rumah saya.


Tiba di Malaysia Hall

Taklimat bersama pegawai JPA. Terima Kasih En Hazam!

Dah 2 hari di Malaysia Hall. Sekarang mahu balik sekejap ke rumah ambil barang yang tertinggal

Dapatlah tengok masjid yang saya suka ini (^_^) Erm.. Entah bila dapat tengok lagi
Tunggu saya ye!

First trip ke jeddah. Sekadar menghantar di depan pintu Malaysia Hall. Ceria sahaja mereka.

Sedang menimbang beg. Hanya 7kg. Jangan lebih!

Trip kedua


Fokus sungguh Lek dan Ummi. Setia di kafe untuk ikuti perkembangan.

Tv inilah setia bersama kami.

Trip seterusnya ke Jeddah. Tidak putus-putus.

Di bilik Sinar. Bukti Lek dan Ummi sudah jejak ke sini.

(^_^)

Hari tu tak sempat bergambar. Maka inilah peluang. Orang lain dah ke Jeddah, kami lari lagi ke rumah untuk bayar sewa, ambil fail yang mengandungi maklumat peribadi yang penting. Gembira Lek bila dapat 'berjalan'. Bosan juga terperuk di Malaysia Hall. Kesian mereka.

Terasa nyaman. Sebak seketika.

Sempat pula ke asyir dan membeli halawiyat(manisan).

Ramai sungguh jejaka Malaya menyebabkan saya segan berkeliaran.

Alhamdulillah. Tiba giliran kami pulang. Banyakkan beg?




Lek bersama Ammu Said.

Kata Ammu Said, " Kenapa kamu balik. Mesir negara aman."

Aish sedih pula. InsyaAllah nanti kami datang lagi.

Penuh rakyat Malaysia di Terminal 1. Mereka menunggu giliran penerbangan

Kami pula balik berasingan. Kuwait Airways menanti.

Tak merasa la udara Jeddah.

Ruang udara. Allahuakbar. Dia Maha segalanya.

Alhamdulillah tiba di Malaysia


...Allah is always with us...

Tuesday, February 15, 2011

Tuah di Bumi Mesir : Revolusi dan Sinar Baru 2

Sunnatullah : Kezaliman dibenci


Sudah sunnatullah yang zalim tanpa diminta akan dibenci. Tanpa diminta juga akan dijatuhkan. Cuma kebiasaannya masa yang akan menentukan bila dan oleh siapa? Sudah pasti Yang Maha Mengetahui itu Allah, Yang Maha Mengatur itu juga Allah. Sudah pasti juga yang meruntuhkan kezaliman itu orangnya berjiwa besar. Bahkan Muslim yang sedar dalam membenteras kezaliman itu juga merupakan jihad.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi meletakkan jihad dalam empat peringkat
  1. Jihad terhadap hawa nafsu
  2. Jihad terhadap syaitan
  3. Jihad terhadap orang Kafir dan Munafik
  4. Jihad terhadap para penzalim, pelaku bid'ah dan kemungkaran
Nah, menentang kezaliman itu sudah jihad. Untungnya mereka dan ruginya saya. Sinar masih tidak berbuat apa-apa.

Melihat kepada demonsrasi di Mesir, kesedaran itu bukan berada di satu pihak sahaja. Muslim, Kristian bersatu bangkit bersuara. Mungkin ramai yang bersorak ketika Hosni Mubarak meletak jawatan pada 11 Februari 2011 waktu Mesir (11022011). Tidak kurangnya juga kita, rakyat Malaysia yang jauh terpisah oleh benua. Satu tarikh yang Sinar kira cukup cantik. Namun semuanya masih menjadi tanda tanya. Siapakah yang akan memegang tampuk pemerintahan Mesir semula? Adakah keadilan akan tertegak di Mesir sana? Bahkan ini lebih menjadi kerisauan kita semua.

"Whatever happen, nothing will ever be the same again"- Tahrir Square demonstrator

Maka biar apapun yang terjadi selepas ini, tidak akan ada yang sama seperti sebelumnya. Perancangan harus ada setidaknya dari dalam Mesir mahupun pihak luar. Sudah pasti ada pihak yang tidak akan senang duduk kerana mereka khuatiri kesedaran Islam bakal tersebar.

Tempat jatuh lagi dikenang

Buat Sinar yang masih berbaki pengajian di sana juga risau. Bagaimana urusan belajar nanti? Pastinya ada anjakan jadual. Sangat berharap keadaan akan kembali pulih dan semua berjalan seperti biasa. Moga semuanya selamat. Buku-buku yang ditinggalkan seperti sudah bersuara dan mengamit suruh kembali. Hidup saya di Malaysia juga terasa seperti mimpi. Kebiasaanya tempat saya bukan di sini pada waktu ini. Rindu 'meja study'.

Saat diberi pilihan untuk pulang atau tidak, hati ada juga kecenderungan untuk tidak pulang. Kehadiran Ummi dan Lek sudah pasti mempengaruhi keputusan saya. Redha mereka sinar cari. Kebimbangan saya sedikit berkurang kerana ada Ummi dan Lek yang menemani. Tapi pernah sahaja bersembang dengan mereka.

"Along risau Ummi dan Lek, Kalau jadi apa-apa jenuh adik-adik di rumah. Kalau Along, at least ada 7 lagi anak ummi yang berbakti."

Entah kenapa laju sahaja mulut saya petang itu. Tapi dalam hati saya menyakini. InsyaAllah semuanya selamat. Melihat mata ummi sudah bergenang lekas saya menukar tajuk perbualan. Saya salah cakap rupanya. Kerisauan hati ibubapa terhadap anak sudah pasti berganda daripada diri kita. Jangan ambil mudah. Itu baru reaksi ibubapa yang berada di Mesir apatah lagi kerisauan ibubapa yang hanya mengikuti berita dari kaca mata televisyen. Beritanya pelbagai dan agak 'extreme' juga.

Selagi ada ibubapa, selagi punya tanahair yang aman, hargailah. Namun tempat jatuh bangun dalam perjuangan dan pelajaran janganlah kita lupa. Di situ tersisa misi yang masih belum selesai.

Moga mereka yang percaya pada Al-Haq yang akan memimpin dunia agar keamanan milik semua. Wallahu'alam.

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.Jika mereka berhenti, maka tidak ada lagi permusuhan kecuali terhadap orang-orang zalim"

(Al-Baqarah : 193)

Tuesday, February 08, 2011

Tuah di Bumi Mesir : Revolusi dan Sinar Baru

Alhamdulillah diri masih bernyawa saat ini untuk terus mencoret kata pada laman Sinar~Islami. Allah sebaik-baik perancang. Tidak pernah terbayang saat ini di Malaysia. Rindu musim sejuk di Mesir sana. Winter lover orang kata. Oleh sebab itu bila summer menjengah, pasti mahu pulang ke Malaysia. Janggal rasanya berada di Malaysia sekarang. InsyaAllah ada hikmah. Maka redha.

Mesir. Mengajar erti sabar dan redha. Bertuah rasanya dapat merasai kehidupan aman dan pergolakan di Mesir. Terasa seperti berada dalam putaran hikmah dan rahmah. Di sinilah kita dapat melihat mereka yang cinta kebenaran, bangkit menuntut hak. Golongan khianat pula ingin dijatuhkan.

Hikmahnya apabila kebathilan wujud manusia kembali mencari kebenaran, kebaikan. Sesungguhnya yang berada dalam keadaan taat dan benar itulah merupakan rahmat dari Allah.

25 Januari Pencetus revolusi. Jejak Tunisia diikuti

Siapa sangka cuti umum 25 Januari menjadi saksi kebangkitan. Sinar sendiri pada tarikh tersebut sudah punya plan sendiri untuk membeli barang di sebuah shopping complex namun perubahan situasi itu terasa ketika dalam perjalanan pulang ke rumah (rujuk entri sebelum ini). Semenjak itu persatuan sudah mula mengarahkan kami berjaga-jaga.


Namun di suatu petang kami keluar rumah lalu balik ketakutan kerana melihat sendiri keadaan yang kacau-bilau. Meremang bulu roma apabila bunyi dentuman kedengaran dan orang ramai berlari ke arah kami. Salah timing orang kata. (^_^) Tapi puas dapat melihat sendiri (tanda degil) bahkan ada seorang pemuda Arab yang bertopeng datang pada kami berkata "Go home, this is not your place." Risau kami diapa-apakan. Kami bergegas pulang. =) Pengalaman!

Sudah lama juga Sinar bingung melihat keadaan Mesir yang seolah-olah rakyatnya pasrah dengan kemiskinan dan penangkapan orang yang tidak bersalah. Padan pun negaranya kurang maju, yang baik, yang pandai kebanyakan disumbat dalam penjara. Jalan raya yang kita jejak mungkin saja lokasi penjara bawah tanah. Itulah antara kekayaan mesir, kaya penjara.

Seawal menjejakkan kaki ke Mesir aura ketidakadilan sudah lama Sinar rasai. Ada yang ditangkap di depan mata sendiri. Kawan Arab juga tidak putus menceritakan kezaliman mereka. Alhamdulillah, hari itu tiba. Mungkin Tunisia jadi inspirasi. Selama ini ramai takut bangkit kerana regim bakal menyumbat dalam penjara. Nah lihat. suara rakyat mampu membuat langit bergempita. Penjara, polis dan tentera bukan lagi penghalang. Apa yang mereka lebih risaukan nasib anak cucu mereka.

Allah tunjukkan kuasa

Kira-kira bermula hari Khamis, 28hb Januari, SMS, telefon, internet sudah mula disekat secara berperingkat. Mati kutu dibuatnya. Saat itu terasa teknologi yang dibanggakan tidak dapat membantu. Terputus dari dunia luar. Apa yang berlaku di Tahrir pun tidak kami ketahui. Dunia luar lebih tahu keadaan kami. Maklumlah TV tidak kami miliki. Sedangkan itu sahajalah antara yang berfungsi untuk mendapatkan update terkini. Padahal Tahrir itu sangat dekat dengan kawasan kediaman bahkan jalan Kasr El-Einy menjadi penghubung kediaman ke Tahrir turut mengalami pergolakan. Penyebaran maklumat dibuat dari rumah ke rumah. Arahan untuk berjaga-jaga, berkawal malam (hirasah) kami terima. Tidak lena malam kami dibuatnya. Ada sahaja bunyi bising dan pertengkaran di luar sana.

Kekuatan yang luar biasa juga Sinar lihat dari perhimpunan ini. Kesedaran mereka mengatasi sekatan teknologi. Mereka bersatu tidak kira agama, tidak kira pangkat dan rupa.

Percutian vs Pelarian bermakna


Kedatangan Ummi dan Lek ke Mesir sudah lama diimpi-impikan. 29hb Januari sangat dinanti-nantikan. Sinar juga sedaya upaya menyediakan plan percutian yang terbaik buat mereka. Namun siapalah yang tahu perancangan Allah Yang Maha Kuasa. Mesir pula bergolak. Ura-ura pun banyak mengatakan airport tutup, semua penerbangan delayed. Hati anak mana yang tidak risau. Pastinya ibubapa lebih risaukan anak mereka kan =)

Tengahari itu seperti Allah mendengar keluhan hati. Sudah 2 hari tidak dapat berhubung. Tiba-tiba telefon housemate berdering, kemudian telefon Sinar pula. Panggilan daripada keluarga di Malaysia. Ya tanda talian sudah berfungsi. Namun sms masih tidak boleh dihantar mahupun diterima. Namun Lek dan Ummi masih tidak boleh dihubungi mungkin kerana masih dalam penerbangan. Cuba untuk positif bahawa mereka tetap tiba, bertemankan seorang junior dan rakan sekuliah kami redah sahaja. Alhamdulillah mereka selamat tiba walaupun sedikit lewat dari masa yang dijadualkan. Pada hari itu jugalah perintah berkurung bermula dari 4 petang hingga 8 pagi esoknya. Alhamdulillah mereka tiba awal dari perintah berkurung kalau tidak pasti kami terkandas di airport sahaja.

Rasa bersalah pula kerana mereka tidak dapat berjalan-jalan melihat keunikan Mesir. Apa yang dilihat hanya kereta kebal, tentera, rakyat yang memegang senjata. Kami banyak meluangkan masa di dalam rumah. Hanya sempat dua hari mereka bermalam di rumah Sinar. Selebihnya kami diarahkan berpindah ke Malaysian Hall. Alhamdulillah dapat juga mereka melihat universiti tempat kubelajar sebelum diarahkan berpindah. Namun mereka sangat positif berhadapan dengan situasi itu. Mereka cuba ceriakan suasana (^_^) Along kagum dengan kalian. Gurauan sentiasa menghangatkan suasana bersama.


Diarahkan berpindah. Menunggu teksi

Taklimat

Berkumpul pada 3 pagi untuk bersiap-siap kerana dijangka berlepas ke Jeddah

Berkali-kali juga Sinar memohon maaf namun mereka membalas,

"Allah hantar Lek dan Ummi untuk jaga Along. Main lari-lari. Pengalaman tu. Baru rasa macam mana darurat. Kalau tengok kat TV lain, alami sendiri lain."

Sinar masih setia bersama Lek dan Ummi hinggalah Malaysia Hall hampir kosong daripada rakyat Malaysia. Mereka semua diterbangkan ke Jeddah. Kami pula masih di sana. Alhamdulillah 6 Februari kami berangkat ke Malaysia menerusi Kuwait Airways.

Mesir pasti bersinar semula

Persoalan itu masih tanda tanya, tapi tidak salah untuk kita selaku saudara untuk terus berdoa dan berdoa. Selaku pelajar di sana, Sinar mahu terus belajar di ardul kinanah itu. Ada banyak perhitungan yang belum selesai. Bahkan Sinar rindu pada rumah, rakan seperjuangan dan Mesir sendiri. Entah apa yang mengikat diri sedangkan diri banyak saja rungutan bila di sana. Mungkin inilah pengajaran Allah beri. Wallahu'alam. Doakan kami pelajar-pelajar Mesir.