::Erti Hidup dalam Mencari::
~warna-warna kehidupan~
Apakah yang dicari ?
Kadang-kadang manusia buntu, ditanya matlamat hidup dia sudah menggaru tidak tahu. Ramai hilang arah namun sudah bertapak-tapak melangkah. Adakah akan sampai ke destinasi jika tempat yang ingin dituju juga masih tidak diketahui ? Begitulah jua hidup ini, jika tiada matlamat kita pasti hilang arah, mudah tergelincir dan sesat dalam menilai kehendak dunia.
Adakah kita diciptakan untuk suka-suka? Bangun, makan, minum, belajar, bekerja, tidur dan rutin yang sama berulang. Tidakkah bosan hidup begitu? Justeru jika bosan ditambah masalah membebankan, arak, couple, rempit dan rokok kah penawar ? Kenapa cari jalan singkat ? Nyawa dan maruah anda berharga dan tidak layak diperlaku sedemikian rupa. Fikirkanlah kenapa anda hadir ke dunia. Lihatlah proses kejadian manusia, yang sudah pasti menginsafkan anda untuk memperlakukan diri sedemikian rupa. 9 bulan anda dipelihara dalam kandungan seorang insan yang mengharap anda bahagia. Kemunculan anda di dunia dinanti-nanti. Ya anda suci sebenarnya. Lalu sucikanlah dirimu dan kembalikan fitrahmu yang dahulu
Sentiasa persoalkan, dari mana kita didatangkan? Kenapa kita didatangkan dan ke mana kita akan pergi? Di situ pasti ada jawapan. Kewujudan kita bukannya kebetulan tapi ia adalah KETENTUAN dan pasti ada misi kita didatangkan.
Sudah ketemu jawapannya??
~Jom ketuk pintu hati~
Marilah sama-sama tenangkan jiwa dari kekusutan duniawi, rehat sebentar mencari hakikat diri.
Itulah matlamat kehidupan insan. Itulah tujuan manusia diciptakan. Tidakkah kalian lihat, ALLAH menciptakan kita, maka matlamat kita adalah ALLAH semata-mata. Pemilik jiwamu adalah Dia, Allah Yang Maha Esa, Maha Melihat, Maha Perkasa.
Ingatlah matlamat tanpa perjuangan juga sia-sia. Buktikan dengan amalan. Di sebalik getirnya perjuangan Rasulullah dan sahabat terdahulu juga, sudah banyak jasad dan nyawa jadi taruhan, sudah banyak darah dipersaksikan untuk menyambung risalah suci ini. Takkan terhasilnya sebuah kejayaan hanya dengan omongan kosong tanpa pengorbanan dan gerak kerja. Kalau ingin cinta Allah buktikan! Masjid sudahkan kau imarahkan? Solahmu sudahkah kau kerjakan? Mengajak pada kebaikan sudahkah kau war-warkan? Maksiat sudahkah kau tinggalkan?
Kemaksiatan tidak sempat atau takut pada-Nya?
“ Sahibah-sahibah harapan ummah, beringatlah dalam menghadapi tipu daya dunia. Cuba sedaya upaya antum jauhilah kemaksiatan sebab itu yang akan mengikis peribadi dan kesedaran antum. Renung-renungkanlah adakah kita tidak sempat berbuat maksiat atau sebenarnya kita takut pada-Nya?”
Petang itu hatiku terusik, pesanan terakhir betul-betul menyentap nurani untuk terus menilai dan menghisab hari hari yang berlalu tambah pula di bawah pohon rendang itu hati-hati kami bersatu. Tamparan angin petang itu juga, mengajak kami menghitung amal-amal lalu. Anda pula bagaimana. Sama-sama kita renungkan. Sudah berpuas hati dengan amal lalu.Yakinkah pahala mengatasi dosa? Bertaubatlah kita selagi ada masa.
~Pintu Taubat masih terbuka~
Redhakah Allah dalam setiap amal ku ? Adakah kerana sibuk maka tiada waktu berbuat maksiat atau sebenarnya aku belum kuat menghadapi saat itu. Moga Allah pelihara jiwa kita. Persoalkan..kita takut pada-Nya atau kita tiada masa berbuat maksiat..yang mana kondisi kita..?
Erti hidup dalam mencari
Kebiasaan kita mengenal Islam dalam bentuk ‘warisan’. Betulkan? Maka itu harus diteliti. Anda harus mencari dan mencari hakikat kesyumulan Islam itu sendiri. Jihad dalam mencari hidayah. Jangan hingga anda di uji anda menyesal tanpa bunyi. Firman Allah::
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sehinggakan merka mengubah nasib dan keadaan mereka sendiri”
Ya..tak dinafikan ramai yang ditanya pasal hukum banyak dalil dan nas boleh diberi. Namun bukan keintelektual sahaja yang diharapkan. Lebih bermakna kesedaran yang mengakar dalam diri. Teori penuh tapi jika amal sifar kita ibarat tin kosong. Bunyi saja kuat mengalahkan isi. Perkara ini harus kita bendung. Ya rabb permudahkanlah pencarian ini. Hakikat tarbiyah atau proses didikan hati ini, bukan dulu dan sekarang tapi sampai mati. Mencari itu sampai kita menemui ajal nanti.
Dalam mencari erti hidup
Ujian itu pasti
Kalam Illahi tercatat sudah, Al-Ankabut:2 merungkai madah
“Adakah manusia menyangka dia akan ditinggalkan setelah mengatakan "kami telah beriman", sedangkan dia belum diuji.”
Kesusahan, kehilangan itu ujian, kesenangan dan kekayaan itu ujian juga. Manusia tidak lepas dari Penilai Agung. Cuma kita sering leka dan terlepas pandang. Ujian bukan pematah semangat tapi platform mendekatkan diri pada Rabbul Izzati. Kembalilah pada-Nya kerana hanya dengan-Nya hati akan tenang dan tenteram seadanya. Carilah sebaik-baik teman dan penuhilah bekalan dengan sebaik-baik bekalan. Sahabat sejati dan bekalan taqwa itulah jawapan. Moga saat lemah ada yang sudi menghulurkan tangan dan meminjamkan bahu buat sandaran.
Teringat saat seorang teman diuji. Bait-baitnya cukup membuatkan diri dirundum sebak dan hati mula memainkan irama pilu..
“Biarkan ana mati sebentar ukhti, ana nak cari diri” keluhan lembut seorang teman saat diuji, keadaannya sangat tidak bermaya, dia mengalami partial amnesia. Dia cuba Melelapkan mata atas desakan teman-temannya namun pada hakikatnya dirinya sedang keliru siapakah dia ketika itu. Sedih teman-teman yang datang menziarahinya.
Namun jauh dilubuk hati, daku kagum melihat detik ini. Saat beliau sakit ramai sahabatnya sudi menemani walaupun terpaksa bermusafir beberapa hari. Peri pentingnya membina ukhwah yang didasari hanya kerana-Nya. Saat rebah ada yang sudi memapah kembali.
Ya Rabb pelihara hidayah ini dan sampaikan kami pada destinasi cinta hakiki-Mu. Dalam mencari erti hidup ini. Carilah teman ~Al-Quran teman setia diikuti sahabat sejati. Paling utama bergantunglah hanya sanya pada-Nya. Ya Rabb matikan kami dalam pancaran hidayah dan taufik dari-Mu