BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, September 30, 2010

Bakal doktor, muhasabahlah!

Sudah seminggu Sinar di sini. Hidup bersama debu-debu Mesir dan panasnya mentari mendidik diri untuk bertahan dan bersabar. Ya inilah ujian di sini. Walau se'ekstrem' mana pun cuaca di bumi empat musim ini perjuangan harus diteruskan. Sesekali lelah juga. Namun menyerah kalah bukanlah pilihan seseorang yang mengaku dirinya Muslim. Alhamdulillah, teruja untuk belajar. Sesi pengajian di mulakan dengan internal medicine. Fuh, masih banyak yang perlu diulangkaji.

Bimbang.. Bimbang..

Seolah-olah tidak percaya diri ini sudah menjejaki tahun-tahun akhir di kuliah perubatan. Tahun 5 merupakan tahun kritikal bagi Sinar. Tidak dinafikan, diri sudah tidak sabar untuk pulang berkhidmat. Namun jauh di sudut hati wujud kebimbangan.

Cukupkah ilmu?
Layakkah aku?
Mampukah aku sesibuk itu?

Mungkin ramai yang kita lihat mampu menjadi doktor yang baik. Namun diri kita, masih menjadi persoalan. Setiap manusia Allah ciptakan lain keupayaannya. Walaupun hasil keluaran universiti yang sama, tidak menjamin persembahan yang sama. Ada yang rajin ada juga yang malas berusaha. Ada yang akademiknya power tapi skillnya kurang. Ada yang skill power tapi akademik biasa sahaja. Ya manusia itu tidak sama.

Maka usaha perlu dilipatgandakan :) Go sinar go.. Go kawan-kawan go..

Manusia manusia, kenapalah suka berkira...

Apabila bertemu rakan-rakan kuliah pelbagai cerita dikongsi. Tidak kurang juga pengalaman masing-masing pulang bercuti. Ada yang menghabiskan masa di hospital untuk menambah ilmu dan mengasah kemahiran. Ada yang dipuji ada yang dimarah membuta tuli. Sudah pasti hati akan terguris bila mana manusia-manusia berkata

"Ni keluaran mana? Itupun tak tahu!"
"Universiti awak tak ajar ke?"

Kalau Sinar automatik Sinar jawab,

"Maaf doktor, kami memang tak belajar sebab baru nak masuk tahun 5. Silibus lain."

Nyatakan yang benar. Kalau lupa cakap lupa. Yang penting be humble jangan arrogant tak tentu hala.

Tidak pernah pula disindir sinis begini cuma apabila mendengar cerita terkilan dengan sikap manusia. Oh, kalau terkena pada diri mahu menangis dibuatnya. Pernah juga disindir cuma berbeza. Cuba pandang dari sudut positif. Alhamdulillah setakat ini, kalau diri tidak tahu, tidak segan berkata saya tidak tahu. Bahkan Allah menyuruh kita belajar jika tidak tahu. Belajar daripada siapa? Sudah pasti orang yang lebih tahu. Maka orang yang lebih arif dan tahu janganlah berlagak sombong. Allah nak tarik ilmu sekejap je. Jadi bila tua nanti bila kita dah ada tittle Dr, Pakar ke, Prof ke janganlah kuat menyindir. Sikap kita jaga. Harap-harap keluaran Mesir buat perubahan besar dengan sistem yang ada.


Generasi perubah :) Ini doa...

Ya, banyak sebenarnya Sinar dengar tentang sikap Melayu. Apa salah berkongsi ilmu. Apa salah mengajar orang tak tahu. Kalau bangsa kita dihina, melenting bukan main. Tapi nak berkongsi ilmu payah pula. Allah Allah. Maka, jika kita tidak suka diperlukan begitu, semoga di masa hadapan kita bukanlah orang yang lokek berkongsi ilmu.

Tiada kaitan dengan orang terdekat, cuma penat mendengar cerita tentang sikap. Ubahlah jangan tak ubah. Bila mana kita hormat orang lain, automatik orang lain hormat kita hatta kita bukanlah pandai mana. Gelaran Dr tak menjadi apa-apa bila attitude tak jaga. Allah itu Pengawas Utama.

Fuh, jauh lagi perjalanan. Moga Allah bimbing sikap dan kelakuan kita.

Monday, September 27, 2010

Selamat Tinggal Malaysia

Fuhhhhh....Berdebu blog ini rupanya. Maaf ya lama tidak mengupdate.
Pejam celik pejam celik sudah 2 bulan setengah Sinar bermukim di tanah air. Beruntung sebenarnya dapat ke Mesir. Setidaknya lebih menghargai negara sendiri dalam banyak perkara.
Rindu keluarga
Rindu kawan lama
Rindu sekolah lama
Rindu makanan Malaysia
Rindu suasana Malaysia
Alhamdulillah majoriti kerinduan terubat walaupun tidak terubat sepenuhnya tapi tahun ini banyak yang Sinar sempat lakukan berbanding tahun lepas. Dapat bertemu sanak saudara, kawan lama dan tidak kurang penting pelbagai makanan sempat juga dijamah supaya tidak mengidam.


Kembali ditemani oleh mereka (^_^) Tunggu Sha ya...


Di saat akhir menikmati keberadaan di Mesir ini Sinar turut dilanda rindu pada teman-teman sekuliah yang sudah berada di Mesir. Walaupun sebenarnya rasa bersalah kerana agak lambat Sinar pulang tahun ini, Allah sudahpun menyusun beberapa peristiwa untuk Sinar renungi. Mungkin inilah peluang terakhir bersama mereka yang Sinar sayang. =) Siapa tahu bukan. Hanya Dia sahaja yang tahu.

InsyaAllah pada malam ini, Sinar akan pulang ke Meir dengan penerbangan Royal Jordanian. Mohon doa kalian semoga Sinar selamat sampai di ardul kinanah itu.



Akhir kalam, moga redha Allah bersama kita. Maaf pada mereka yang Sinar tidak sempat bertemu dan bertegur sapa.

ps: Alhamdulillah update juga. Ok tak Kak Iman Aisyah :) Kira halal la ye. Ok nak bersiap sudah lewat. Huhu... beratnya hati.

Monday, September 13, 2010

Memori Aidilfitri 1431 H : Penuh pengertian

Apa khabar semua? Sihat?


Semoga sihatlah jasmani dan rohani kita :) Maklumlah sudah sebulan kita puasa rugilah sekiranya jika disia-siakan apabila syawal tiba.

Sebenarnya terasa rindu pada kalian dan laman ini. Alhamdulillah, semalam Sinar selamat tiba di rumah. Sudah 5 syawal rupanya. Perjalanan 4 syawal yang penuh pengertian buat diri. Setiap Syawal yang berlalu punya kisah tersendiri :) Banyak yang perlu direnungi. Hakikatnya Syawal ini membahagiakan di samping menginsafkan diri. Walauapapun, Sinar harapkan, segala sesuatu itu akan menjadi saham kebaikan di akhirat kelak. Perjalanan hidup ini ada hikmah tersembunyi. Alhamdulillah, Aidilfitri ini ada sinarnya. Rasanya masih belum terlambat untuk Sinar ucapkan "Salam Aidilfitri, maaf zahir batin" pada semua yang mengenali diri.



Raya pertama : Perlis

Alhamdulillah diberi peluang untuk beraya di bumi kelahiran walidku pada tahun ini. Sudah lama tidak beraya bersama. Namun, bumi Perlis ini sentiasa menjadi kunjungan Sinar walaupun bukan di Hari Raya. Saling bermaafan di hari raya membuatkan hati tersentuh. Tapi suka Sinar ingatkan diri, keluarga dan teman, walaupun mudah menitipkan maaf di hari raya namun biar hati turut ikuti. Janganlah usai berakhirnya Aidilfitri, yang lama kita ungkit kembali. Semoga hati kita turut memaafkan kerana Allah lebih jauh tahu apa yang tersembunyi tersembunyi di hati.


Gembira atau sedih sebenarnya terpulang pada kita menentukan. Kitalah yang mengawal perasaan dengan izin Allah jua. Maka, Sinar lebih suka menceriakan diri dari membiarkan diri diselimuti kesedihan di hari raya. Maklumlah bukan selalu boleh berjumpa sanak saudara. Sudah pastinya banyak gambar sinar 'pukul' walaupun hanya guna kamera kecil. Janji kena senyum baru dapat 'tembak' gambar (^_^) Siapalah mahu belanja kamera yang cun tu ye. Sabar menanti ni.


Senyum!!


Suka melihat gambar ini, lagi-lagi kamera itu.

Raya kedua: terengganu

Usai sahaja solat jumaat di hari raya pertama, kami sekeluarga sudah bersiap-siap mahu bertolak ke Terenganu pula. Tahun ini ada sedikit kelainan kerana kami beraya di kedua-dua kampung.

Di Terengganu, semua adik beradik ummi pulang ke kampung memandangkan Tokki dan Wan ingin mengadakan kenduri doa selamat sempena dikurniakan cucu melebihi 50 orang. Maka, pada hari raya ini kami merakam gambar bersama keluarga besar tetapi masih ada kekurangan ahlinya.



Kemeriahan sangat dirasai. Apatah lagi apabila melihat anak-anak kecil riang gembira berlari ke sana sini. Banyak sungguh wajah baru. Hanya Allah yang tahu gembiranya hati ini melihat mereka. Terbit rasa sayang pada keluargaku ini.


Hana yang ayu. Grrr. Geram.


Rupanya Faris sepupuku juga. Ahaks, baru Sinar tahu.


Penat menyuruh si Asma turun. Huhu

Sinar juga cukup terharu kerana buat pertama kalinya Sinar dapat merakam kenangan bersama walid, ummi dan adik-beradik Sinar. Alhamdulillah cukup 11 orang keanggotaan di tambah pula kehadiran orang baru iaitu adik ipar Sinar. Maklumlah apabila tiba sahaja hari raya, adik-adik Sinar pasti hilang entah ke mana ketika sesi bergambar.



Raya Ketiga : Majlis Kesyukuran Sahabatku

Hari ini sangat dinanti-nantikan oleh seorang teman sekuliahku. Ya, inilah hari dia diijabkabulkan bersama pemuda yang dia yakini sebagai pendamping hidupnya. Alhamdulillah, Sinar dapat hadiri. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya. Ayu sekali temanku pada hari itu. Sinar juga tumpang gembira. Syukur majlis berjalan lancar. Tema putih di saat akad nikah lambang sucinya ikatan yang terbina. Tema merah hati sudah pasti menjadi pilihan temanku ini. Cantik semuanya. Semoga redha Allah bersama kalian.


Tersarung sudah cincin di jari manisnya



Hantaran lambang kasih berpadu

Syukur, Aidilfitri ini penuh warna-warni (^_^)

Akhir kalam, Moga Allah sentiasa rahmati kita semua.

Salam Lebaran dan Salam kemaafan buat semua.

Wednesday, September 08, 2010

Ramadhan pergi, Syawal kembali

Ramadhan berlalu pergi...

Bila dibaca hasil tulisan rakan-rakan blogger, banyak yang menyentuh hati. Hinggakan diri ini lebih banyak menghabiskan masa merenung diri daripada menukil di laman blog ini. Ya, kita tahu ibadah di bulan ini penuh ganjaran bahkan pintu taubat dibuka seluas-luasnya namun mencetus mahu dan mampu itu kadangkala sangat payah diertikan bukan? Sinar sendiri akui...


membentuk diri bukan sekelip mata, tapi perlu proses dan masa...

" Ramadhan, madhrasah tarbiyah diri"
" Ramadhan, kem bina jati diri"
" Ramadhan, institusi pemangkin iman dan penawar hati"

Begitu banyak slogan yang dilaung-laungkan. Begitu banyak tazkirah dan ceramah yang mengisi masjid, surau, sekolah bahkan tempat kerja pada bulan ini. Tanda ada golongan yang ingin menghidupkan. Namun diri kita bagaimana? Melihat Ramadhan pergi dan bagaimana diisi, terasa masih banyak lompong di sana sini. Hinggalah akhirnya kita benar-benar di penghujung Ramadhan pada tahun ini. Syawal pula sudah mengamit di hujung titi.

Syawal pula kembali...

Sudahkan diri benar-benar pulang pada fitrah insani? Justeru layakkah diri menyambut eidulfitri pada Syawal yang sangat dinanti ramai? Apakah yang kita nantikan sebenarnya?

Pada satu sudut, diri sedih kerana bukanlah graduan terbaik dari institusi Ramadhan kali ini. Maka terasa tidak layak.

Pada satu sudut, diri bersyukur kerana masih diberi peluang daripada-Nya merasai hebatnya Ramadhan. Kalau diizinkan Allah Syawal itu hadir, kenikmatan bertemu sanak-saudara yang jarang sekali berkumpul adalah satu anugerah persaudaraan buat Sinar.

Ya. Itulah kita. Hamba yang kerdil. Sentiasa ada silap di sana sini. Jadikan Ramadhan yang pergi medan muhasabah diri, Syawal yang datang medan kita pertingkat amal Islami. Istiqamah itulah kunci dalam beramal. Hebat dalam Ramadhan bukanlah beerti dia jaguh di bulan-bulan hadapan. Mujahadah, mujahadah itu yang perlu kita lakukan. Bekalan yang kita perolehi di bulan Ramadhan, moga kekal bermanfaat untuk sepanjang perjalanan.

Moga Allah tautkan hati para graduan Ramadhan dengan tautan keimanan dan ketakwaan. Justeru akan lahir persaudaraan dan kemaafan yang berpanjangan. Akhir kalam, salam kemaafan dan salam mahabbah buat warga pembaca sekalian. Uhibbukumfillah.

Sunday, September 05, 2010

Ada tong tak?

Kisah 1

Seorang pesakit lelaki berbangsa Cina yang luka di tangan dibawa masuk ke bilik prosedur Jabatan kecemasan yang disediakan. Sudah pasti tangannya bakal dijahit.

"Uncle, ni kenapa?
"Itu kaca, kena tangan saya ma"
"Ada tong tak uncle"
"Banyak tong la encik"

Sambil Encik F selaku penolong pegawai perubatan membuka balutan, kami sebagai pelajar elektif memerhati dengan tekun. Terkejut sebentar melihat luka yang dalam dan besar. Otot pun dapat kami lihat. Naik mual juga melihat darah yang keluar. Walaubagaimanapun, inilah masanya membiasakan diri.

Terus En F mengambil ubat bius. Di suntik "local anesthetic" atau ubat bius di kawasan luka.

"Ada tong lagi tak?"

"Ada rasa kebas, tong sudah kurang ma. Tapi hati saya manyak tong. Tak tahan tengok itu darah"

"Hati pun boleh tong ye uncle?" Beliau angguk perlahan sambil tersenyum.

Kami semua tersenyum. Ngilu barangkali pakcik ini. Empathy. Tapi bab-bab hati ni memang unpredictable. Ngilu ke, fobia ke, sakit hati ni bukan boleh digambarkan. Liver disease ye lah boleh kita kesan melalui MRI ke, CT ke. Oh hati, hati. Sinar pun mula ngilu.

"Ha, sekarang barulah kita boleh jahit. Sakit pun dah kurang dan akan beransur hilang. Tapi keje menjahit ni kena cepat dan selamat sebab sekejap je kesan ubat ni." Terang Encik F.

Inilah antara peralatan dan cara yang akan digunakan. Gambar hanya sekadar latihan mengunakan gauze bukan kulit manusia :) susah nak tangkap gambar patient.

Kami mengangguk faham. Kena ada juga kemahiran bercakap dengan pesakit. Paling kurang tahu beberapa kalimah bahasa mereka. Tong tu sakit rupanya.(dieja berdasarkan bunyi, mungkin Sinar salah eja)

Akhir sekali, ucapan terima kasih daripada pesakit benar-benar membuatkan hati terharu.

Kisah 2

Pada suatu petang, Sinar diberi peluang untuk mengambil ABG (Arterial Blood Gas) buat pertama kali. Berdebar tak terkata. Apatah lagi pesakit ini mengalami SOB(Shortness Of Breath) dan sudah biasa dimasukkan ke hospital kerana mengalami beberapa episod SOB. Mana tahu tiba-tiba kredibiliti kita dipertikaikan. Maklumlah kami pun masih belajar. Memang banyak benda yang kami tidak tahu. Ada juga pesakit yang merasakan dirinya bahan eksperimen. Apa pun, kita kena ada kerendahan hati. Baru Allah buka jalan untuk belajar.

Seterusnya, setelah nadi ditemui dan membaca bismillah terus jarum di masukkan, Alhamdulillah Allah izin darah terus memasuki syringe. Berjaya!

Pakcik tu memang ramah orangnya. Dalam debaran tadi sempat juga menangkap beberapa kata-kata beliau.

"Good! tak sakit. Look! The key is don't be rush and panic. Just be calm. So you can manage it. Allah akan mudahkan. Believe in god." Terharu pula mendengar kata-katanya.

Setelah selesai, kami pun mengambil sejarah pesakit. Di situlah bermula pelbagai cerita. Kesian pula kami mendengarnya. Namun ada beberapa cerita yang kami kurang pasti kesahihannya. Sebagai doktor, mencari punca penyakit adalah penting. Maka mengarahkan soalan kepada beberapa punca juga penting dan menjadi wajib.

Kemudian, kami ingin melihat kondisi peparunya menggunakan 'stethoscope'. Sedang teman Sinar ingin memasang 'stethoscope' di telinga, Sinar dan tiga lagi teman mendengar bicara pakcik ni. Hinggalah kata-kata ini benar-benar menimbulkan tanda tanya.


"Ha, kenapalah pakai tudung macam ni." Beliau merujuk kepada tudung litup dan labuh yang kami pakai.

"Kan susah, nak pasang stethoscope tu. Ni semua tudung Anwar Ibrahim ni. Selendang kan senang. Zaman Hang Tuah dulu pun, pakai selendang je. Senang pun senang." Gitulah celoteh pakcik itu.

Silapnya kami, mulut kami hanya terkunci. Sinar tergumam sambil memandang teman di sebelah. Panic juga mendengar kenyataan itu. Masing-masing bermuka pelik. Kami pun tidak pasti sejauh mana kefahaman beliau. Awalnya elok beliau mengingatkan kami pada Allah. Singkat sebenarnya perkenalan ini maka tidak wajar kita menghukum, pasti ada yang tidak kena. Sepatutnya tugas kita membetulkan. Moga beliau dikurniakan kefahaman yang jitu. Moga hidayah milik kita semua.

Aduh, lain kali kena bersedia dengan soalan dan fakta provokasi daripada pesakit. Kita kadangkala delima antara penyakit yang pesakit hadapi dan kefahaman yang berpenyakit juga. Tugas doktor ada dua, merawat sakit zahir dan batin. Walaupun masa suntuk. Kita kena tangkas. Barulah bonus namanya.

Yang mana yang lebih tong, sakit badan ke, hati yang sakit?

Sinar~Islami
Puchong
Mood : ED dalam kenangan
Banyak lagi yang Sinar perlu perbaiki... Doakan...